Sunday, January 23, 2011

RG09... Hidup penuh kekeliruan

 

Salam,

mungkin ada ahli di sini boleh membantu sahabat saya ini. saya manalah ada pengalaman berumah tangga. tapi, nak dibiarkan sahaja juga rasanya tak patut. saya teringiiin sangat agar dapat membantu dia. tapi, tak tahu macam mana.

Assalamualaikum wbt.,

Seperti yang akak dah katakan sebelum ini, ada satu perkara yang ingin akak sampaikan buat nurul. akak tau, nurul belum berkahwin, belum ada pengalaman berumah tangga. namun, akak tak tahu dengan siapa lagi yang boleh akak percayai untuk meluahkan segala isi hati.

rakan2 di ofis memang baik2 belaka, tetapi akak tak yakin rahsia akak ini akan terjaga jika disampaikan kepada salah seorangpun di antara mereka. akak juga masih belum bersedia untuk berjumpa mana2 ustaz atau ustazah untuk bertanya akan hal ini. lalu, akak cuma nampak nurul sahaja yang boleh dipercayai untuk menyimpan semua ini. nurul pun dah janji akan jadi pendengar yang setia buat akak. tak mengapalah kalau nurul nak guna apatu yahoo forum(?) untuk minta pandangan mereka. tp, janganlah nurul bagitau siapa diri akak ni. akak yakin dengan nurul. sebab akak tau, nurul tak pernah bocor rahsia orang.

sebenarnya masalah ini dah berlanjutan dari sejak akak kawin lagi. akak dah tak mampu menahan bebanan perasaan, dikutuk, dihina dan diherdik oleh seorang lelaki yang bernama suami. walaupun, dia adalah lelaki pilihan keluarga, akak tidak pernah menganggap bahawa perkahwinan akan lebih bahagia jika kita buat pilihan sendiri. sama ada berkahwin pilihan keluarga atau pilihan sendiri, ia tidak akan menentukan kebahagiaan alam rumah tangga yang akan dibina.

memang dia tidak pernah memukul akak (buat setakat masa ini), tetapi, bahasa makian dan herdikkannya sangat menekan jiwa akak. sejak sebelum kahwin, akak dah menanam impian menjadi isteri solehah, akan melayan suami dengan sebaik mungkin, mendidik anak2 agar menjadi manusia yang berjaya dan taat pada tuhan serta keluarga. namun, sejak berkahwin sehingga kini, akak merasakan impian itu seperti impian kosong yang tiada ertinya. akak tak pernah bercita-cita besar. hanya impian ini sahaja cita2 terbesar dalam hidup akak. tapi, nampaknya akak akan gagal meraih cita2 ini kecuali impian terhadap anak2. mereka nampaknya, sedang membesar dengan ahklak yang boleh dikatakan baik dan rajin belajar. akak syukur sangat akan hal ini.

namun, keperitan hidup bersuamikan lelaki kasar dan suka mengherdik, membuatkan akak merasakan gagal menjadi isteri solehah. sebabnya, walaupun, akak tak pernah melawan kata2nya, tetapi di dalam hati, akak merintih. hilang sudah rasa cinta. yang ada hanyalah rasa tanggungjawab memikul tugas semata2. ada kalanya, perasaan akak dirasakan mati, kosong dan tiada nilai.

sejak kebelakangan ini, akak mulai terfikir untuk memohon berpisah sahaja. tambahan pula, suatu hari, anak akak no 1 pernah berkata, mereka izinkan akak berpisah dengan ayah mereka itu kerana tidak sanggup lagi melihat akak sentiasa muram.

anak akak tu memang cerdik dan matang orangnya. walaupun baru berusia 13 tahun, dia curiga dengan perbezaan keadaan akak sekarang dengan di zaman akak muda2 dahulu. mungkin dia ada tengok gambar atau bersembang dengan mak dan bapak sedaranya.

akak dulunya bukanlah seorang yang pendiam dan suka menyendiri. akak juga seperti nurul, suka bermesra bersama ahli keluarga, rakan2. mudah tersenyum dengan ramai orang. happy dan periang. tetapi semua itu bertukar sejak mula akak berkahwin lagi.

dalam bulan2 pertama perkahwinan lagi, akak pernah rasa mahu lari dari rumah dan balik kepada ahli keluarga. tapi mereka selalu ingatkan bahawa itu cuma sementara. itulah asam garam dalam rumah tangga. istri kena taat pada suami, kalau tak nanti dikatakan isteri derhaka, tak cium bau syurga. lalu akak cuba bersabar.

memang akhirnya akak dapat bersaabar dengan menahan hati dan memendam rasa. akak tak pernah merungut dan akak ikutkan sahaja kehendaknya. malah, tak pernah pun akak merengek2 meminta itu dan ini seperti isteri2 orang lain. akak cuba sebaiknya memperbaiki setiap kelemahan yang dia perkatakan. namun, dalam pada masa yang sama, rasa cinta yang sepatutnya ada dalam diri pasangan suami isteri seperti tidak pernah wujud dalam hati akak. apa yang akak buat adalah sekadar menjalankan khidmat sebagai isterinya. perasaan akak benar2 mati. akak rasa hidup akak kosong dan seolah2 akak sudah menjadi sebuah robot yang bernyawa. bangun pagi urus suami dan anak2 pegi sekolah, kemudian keluar bekerja. habis keje, terus balik rumah, urus keperluan rumah kemudian tidor dan esoknya berulang lagi.

suami akak memang pernah sekali sekala bergurau senda dengan akak, tapi bila akak tersalah cakap sikit, terus sahaja diherdiknya lagi. lalu akak terus diam. hilang semula rasa mesra. akak tak berani nak bersembang2 sembarangan kerana akak tahu pasti akan ada yang boleh menaikkan kemarahannya walaupun selalunya akak rasa ianya perkara remeh. lalu akak rasa bosan dengan semua ini. akhirnya, akak terus diam dan terus diam. lagipun, setiap pandangan akak walaupun hanya atas perkara2 remeh (urusan rumah) sentiasa dianggap tidak betul dan bodoh. oleh itu, semua perkara termasuk kelengkapan rumah dan dapurpun ditentukan olehnya sahaja.

kini, akak rasa seperti mahu lari dari semua ini. akak mahukan kehidupan yang lebih baik dan ketenangan jiwa. malah, kalau dia mahu akak tebus balik mas kahwin dan hantarannya dulu, akak sanggup sediakan semua itu. akak tau, kalau akak cakap semua ni kat rakan di ofis atau ustazah mana2, sudah pasti akak akan ditempelak dan dikatakan bukan isteri yang baik. tetapi jiwa akak sudah terlalu menderita. akak dah penat sangat-sangat!

akak terfikir nak tebus diri ini sebab baru2 ni akak ada terbaca kisah seorang wanita di zaman rasulullah ada menyampaikan keinginan untuk berpisah daripada suaminya kepada rasulullah. lalu rasulullah bertanya sama ada dia mahu memulangkan segala hak yang diberikan suaminya semasa perkahwinan. dia kata, dia sanggup. lalu baginda izinkan wanita itu berlepas diri daripada suaminya.

anak2 pun dah bagitau yang mereka semua nak duduk dengan akak dan sanggup ikut akak ke mana sahaja walaupun dah hilang segala harta benda yang mereka miliki selama ini. akak memang cukup terharu dengan keprihatinan mereka walaupun mereka masih kecil. akak tak pernah bagitau mereka tentang penyiksaan batin akak selama ini. cuma mereka selalu nampak bagaimana kasarya bahasa ayah mereka terhadap akak dan mereka juga pernah beberapa kali ternampak akak menangis sorang2 dalam bilik atau dapur. nak tipu mereka pun, tak boleh sebab mereka dapat mengagak apa yang sedang berlaku. cuma mereka ingatkan akak agar jangan halang hubungan mereka dengan ayah mereka - itu sahaja.

selama ini pun, mereka memang tidak pernah ada apa2 masalah dengan ayah mereka. si ayahnya melayan dengan baik walaupun tidaklah semesra ayah orang lain. akak sendiri pun, tidak pernah menghasut mereka agak membencinya.

pernah juga si sulong itu tanya ayahnya, kenapa ibu mereka dilayan sebegini rupa. si ayah dengan yakinnya mengatakan itu sudah tanggungjawabnya untuk membetulkan kesilapan sang isteri. tugas isteri adalah patuh pada kata2 suaminya. lalu anak2 hanya terdiam. mereka tahu, yang mereka tidak boleh bertanya lebih lanjut selepas itu. benarkah para suami boleh menegur dan mendidik isterinya dengan kasar dan bahasa2 mengherdik? dan apa yang perlu dibuat oleh si isteri hanyalah redho sahaja diperlakukan begitu? bukankah perkahwinan itu bertujuan untuk memberi ketenangan kepada kedua-duanya (suami isteri). tetapi, akak tak pernah rasa ketenangan itu.

akak tak mintak harta benda dia... akak tak mintak dia memanjai akak melampau-lampau. akak cuma mahu rasa disayangi, dihargai, diberi peluang menyatakan pandangan demi kesejahteraan keluarga. akak perlukan ketenangan jiwa dan kemesraan hubungan suami isteri seperti yang selayaknya. itu sahaja.

akak pernah berdoa dan solat hajat agar hati suami menjadi lembut. tapi, sampai sekarang keadaan tak pernah berubah.

tiba2 baru2 ini, akak diberitakan tentang kisah salah seorang kenalan kita telah bercerai dengan suaminya dulu dan kini hidup bahagia bersama suami yang kedua. dan bertambah 2 anaknya lagi. malah, anak2 dengan suami yang pertama juga sangat erat dengan ayah tirinya yang semua orang tahu baik akhlaknya. alangkah untungnya sahabat kita itu. tapi, akak tidak pula merancang untuk berkahwin lagi cepat2 jika berpisah dengan suami sekarang. akak tiada sesiapa.

akak tahu, kita tak akan tahu sama ada kita akan bahagia atau lebih menderita lagi selepas ini. tapi, akak dah tak sanggup terus bersabar dan menunggu keadaan berubah dengan sendirinya. oleh itu, akak harap sangat nurul doakan la akak bahagia walau apapun yang berlaku selepas ini.

nurul tak perlu buat apa2. cuma simpan kisah ini dan doakan akak. akak pun doakan nurul sentiasa bahagia dan dapat suami yang baik. perkahwinan memang suatu perjudian. ada orang bahagia, ada orang lebih menderita. biarlah jodoh nurul lambat, asal dia seorang lelaki yang baik dan berbudi pekerti tinggi. memang selayaknya nurul dapat suami begitu sebab akak nampak nurul seorang perempuan yang baik dan sopan. kalau nurul nak bagi pandangan pun takpe, akak terima dengan hati terbuka kerana akak tau nurul seorang yang terbuka, mudah berterus terang dan sentiasa berniat baik. kalau nurul nak jadikan pengalaman akak ni sebagai pengajaran sesiapapun akak izinkan. asal nurul tak cerita siapa diri akak ni. even dengan adik beradik nurul sendiri.

buat masa ini, akak nak tenangkan diri dulu dan solat istikharah. akak sebenarnya tak tau nak kata apa. sebab entah kenapa perasaan akak lain bila terdengar kisah sahabat kita yang dah kawin lain tu setelah beberapa kali beristikharah. adakah ini jawapannya?

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"



Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment