Sunday, January 23, 2011

RG09... PRK Tenang: Pencalonan Bekas ADO Mohd Azahar ...

PRK Tenang: Pencalonan Bekas ADO Mohd Azahar Mencemar Maruah Umno Labis

oleh AlmankaraQi Alman pada pada 23hb Januari 2011 pukul 4.39 ptg


Zaman memilih songkok, tunggul dan batang kayu yang bertanding menggunakan lambang dacing sebagai wakil rakyat sudah berlalu. Kedua-dua kolisi politik nasional, PR dan BN, dilihat mengambilkira aspek ini dalam pemilihan calon-calon mewakili mereka dalam 13 PRK yang diadakan pasca Mac 2008.

Menjenguk PRK Tenang, 3 puak terkuat dalam Umno Bahagian Labis dikatakan telah memulakan lobi untuk dipilih sebagai calon sebaik sahaja penyandangnya meninggal dunia, bahkan ada diantaranya didakwa bergerak lebih pantas dari Malaikat Maut lagi!


DUN Tenang adalah kubu kuat Umno sejak merdeka. Pedulikan walau berapapun majoriti kemenangan yang sentiasa boleh berubah naik turunnya setiap kali pilihanraya.


Justeru, bagi pemuka-pemuka Umno di Labis, jika dicalonkan di Tenang, ianya adalah bonus besar yang pastinya mampu melonjakkan karier politik mereka. Walau nama baru sekadar calon dan PRK belum berlangsung, kemenangan sudah tercapai di atas kertas. Ramainya ahli Umno di sana berbanding beberapa kerat ahli PAS dan PKR seakan-akan jaminan pasti ke arah itu. Yang tinggal lagi cuma untuk memastikan ahli-ahli Umno yang ramai itu keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian untuk membentuk satu angka majoriti yang dapat meluaskan lubang hidung bangsawan-bangsawan Umno tatkala pengumuman rasmi kemenangan oleh pegawai pengurus pilihanraya.


Ketiga-tiga puak dominan dalam Umno Labis sedar hakikat ini. Mereka tidak teragak-agak menonjolkan diri agar nama-nama mereka dispekulasikan sebagai calon dan disebut-sebut oleh media.


Tiba-tiba Muhyidin Yassin mengumumkan Mohd Azahar Ibrahim, seorang bekas ADO sebagai calon BN!

Mana nak letak muka Pemangku Ketua Bahagian Labis, Rusdin Mahmud? Adakah beliau tidak terpilih semata-mata kerana beliau dilahirkan di Negeri Sembilan? Jika begitu penyokong-penyokong tegar beliau akan mempersoalkan Adun-Adun dan Ahli-Ahli Parlimen Umno yang terpilih menjadi calon di Johor sekalipun dilahirkan di negeri lain. Pasti nanti meniti di bibir mereka nama Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Dato' Othman Jais, Syed Hamed Albar, Shahrir Samad dan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman. Kesemuanya dilahirkan di luar Johor! Sejak kekosongan kerusi Tenang, Rusdin dilihat sebagai orang paling layak menjadi calon. Puak ini amat malang kerana usaha puak-puak lain mensabotajnya berjaya hanya semata-mata beliau bukan anak kelahiran Labis. Penyokongnya terpinga-pinga. Bagaimana mungkin orang yang cukup berjasa mengemudi Umno bahagian diketepikan begitu sahaja.


Mana nak letak muka Naib Ketua Bahagian Labis, Hashim Mahmud? Adakah Hashim tidak dipilih sebagai calon kerana usianya sudah menjangkau 63 tahun? Jika itulah alasannya maka para penyokong beliau akan mempersoalkan apakah seseorang yang berusia bawah 40-an terjamin jangkahayat lebih panjang?


Mana nak letak muka Ketua Wanita Umno Labis, Haslinda Salleh yang turut mendapat sokongan MCA dalam usahanya melobi sebagai calon? Adakah penolakan kepada pencalonan beliau memberi gambaran bahawa pucuk pimpinan Umno memperlekehkan prestasi wanita Umno Labis. Penyokong-penyokong tegar beliau pasti merasa terhina, seolah-olah mereka tidak setanding dengan muslimat PAS Labis yang ketuanya dipilih sebagai calon?

Mana nak letak muka kira-kira 90 ahli jawatankuasa Umno bahagian, pergerakan wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Labis?


Apabila Muhyiddin mengumumkan Bekas ADO Mohamad Azahar Ibrahim sebagai calon, adakah bekas MB Johor itu membayangkan kesemua 90 orang aktivis parti yang telah berkorban jiwa raga ini sebagai tidak berguna, tidak layak, tidak berharga kepada Umno sehinggakan seorang pegawai perkhidmatan awam Johor(JCS) diarah letak jawatan untuk jadi calon?


Pengumuman Muhyidin umpama memperlekeh dan memijak-mijak maruah para penggerak perjuangan Umno di Labis.


Semuanya dipandang tidak layak hanya kerana Muhyidin Yassin lebih berkenan kepada Mohd Azahar Ibrahim yang diketahui umum tidak aktif dan sudah lama berada di luar kawasan.


Ketiga-tiga puak dominan dalam Umno Labis telah menunjukkan rasa tidak puas hati atas pemilihan bekas ADO Mohd Azahar. Maruah mereka tercemar, harga diri mereka bagaikan diletak di bawah tapak kaki.

Ketiga-tiga ketua puak ini telah membuat kenyataan akhbar untuk menyokong bekas ADO Mohd Azahar. Namun di bawah sana penyokong-penyokong mereka tidak berhenti merungut.


Muhyidin masih ada sedikit masa untuk memujuk puak-puak yang bertelagah ini dengan imbuhan-imbuhan atau mana-mana janji yang patut. Kegagalan berbuat demikian akan membantutkan usaha Muhyidin mencapai KPI 5,000 majoriti undi dalam PRK Tenang nanti.


Jika Muhyidin gagal, tidak mustahil bukan sahaja KPI 5,000 majoriti tidak tercapai bahkan majoriti yang diperolehi pada PRU12 lalu pun mungkin akan menyusut dengan ketara.


Ada 2 pilihan bagi puak-puak Umno yg menentang pencalonan Mohd Azahar;

Pertama, memenangkan Mohd Azhar dan berusaha untuk berkecimpung dalam puaknya apabila beliau mengambilalih Umno Bahagian Labis selepas menjadi Adun Tenang nanti.


Kedua, memenangkan calon PAS agar status quo dalam Umno Bahagian Labis dapat dikekalkan sekaligus dapat mengelakkan risiko dicantas oleh puak Mohd Azahar selepas beliau mendapat kedudukan sebagai Adun.


Pilihan pertama dirasakan amat berisiko oleh puak-puak yang telah dicemarkan maruahnya dengan pemilihan Mohd Azahar sebagai calon.


Cakap-cakap yang tersebar di kalangan ahli-ahli Umno di Dun Tenang sekarang membayangkan mereka sedang mempertimbangkan pilihan kedua.


Kata mereka, biarlah Mohd Azahar kalah asalkan Umno bahagian tidak dihina dan dipijak-pijak maruahnya sedemikian rupa oleh pucuk pimpinan.


Sent from my Nokia phone
--------------------------------------------------------------
Ovi Mail: Making email access easy
http://mail.ovi.com/

 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment