Saturday, January 22, 2011

RG09... Sejarah PAS 10: Prof Dr Burhanuddin

Sejarah PAS 10: Prof Dr Burhanuddin


IBNU HASYIM:Fokus Sejarah PAS Siri 10

ERA kebangkitan PAS peringkat kedua pun bermula. Ia bermula apabila PAS menemui seorang pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dalam politik tanahair. Dr Burhanuddin seorang doktor perubatan homeopathy dijemput mengambil alih kepimpinan dari Dr Abbas, juga seorang doktor perubatan allopathy.

Dr Abbas Alias, dengan rasa tawaddhuk dan rela hati menyerahkan amanat yang terpaksa dipikul dari pimpinan pertama dulu, untuk memimpin persatuan yang ia asaskan bersama rakan-rakannya seperti Mohd Asri Haji Muda, Haji Zabidi Ali dari Pulau Pinang dan lain-lain. Muktamar PAS ke 5 pada 23 hingga 25 Disember 1956 di Kuala Lumpur, telah memberi mandat kepada Dr Burhanuddin yang juga seorang professor untuk menerajui kebangkitan PAS seterusnya.

Burhanuddin bin Haji Muhammad Noor yang dilahirkan di Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak, pada 29 Ogos 1911. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behrang Ulu, di Bakap dan Kota Bharu. Waktu di Kota Bharu, beliau mula menulis dan menerbitkan 'Berita Minggu', iaitu akhbar mingguan berita di sekitar kampungnya. Pada tahun 1924, belajar agama di Sungai Jambu Sumatra, di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al-Mashor Al-Islamiah di Pulau Pinang.

Dalam tahun 1928, ia mengembara ke India, sambil mengikuti pergerakan Mahatma Ghandi, Mohd Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India. Ia juga menuntut di Aligarh Muslim University dan mendapat ijazah perubatan homeopathy di Ismaeliah Medical College New Delhi, sehingga digelar 'anak Melayu pertama belajar homeopathy'. Akhirnya, beliau telah memperkenal dan menyebarkan ilmu perubatan tersebut ke seluruh tanah air hingga seperti yang ada sekarang.

Tahun 1935, ia kembali ke tanah air menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura dan aktif dalam pegerakan-pegerakan Islam di pulau tersebut. Dua tahun kemudian, menerbitkan majalah 'Taman Bahagia' tetapi satu jam sesudah isu pertama majalah itu diedarkan, iapun ditangkap dan ditahan oleh penjajah British. Kemudian dibebaskan dengan jaminan $1,000 (satu ribu ringgit Malaya). Dikatakan juga beliau ditangkap kerana beliau mengecam dasar Inggeris di Palestin dan membela hak-hak Arab Muslimin (Menunjukkan betapa kuatnya cita-cita kuasa-kuasa barat hendak meranapkan Islam dengan menubuhkan negara Israel (1948) bagai duri dalam daging di tengah-tengah jantung umat Arab).

Pada tahun 1939, Dr Burhanuddin diperkenalkan dengan Kesatuan Melayu Muda atau KMM, yang baru ditubuhkan kita-kira 2 tahun sebelumnya. Tetapi menjelang peperangan Dunia Kedua pada tahun 1940, ramai pemimpin KMM ditangkap termasuk Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Sutan Djenin dan lain-lain oleh British, yang kemudiannya dibebaskan apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Dr Burhanuddin tidak ditangkap mungkin kerana beliau belum begitu aktif dalam KMM.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau memegang jawatan Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu atau Advisor on Malay Custom and Culture, berpejabat di Markas Pentadbiran Jepun, di Taiping. Seperti juga pemimpin KMM yang lain, ia menggunakan jawatan yang diberi oleh Jepun untuk membebaskan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Beliau menganjurkan dua kongres Islam, melindungi dan membantu Maahad Al-Ihya Al-Syarif, pusat pendidikan Islam di Gunung Semanggul, Perak.

Pada bulan Julai 1945, Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin, Onan Siradj dan beberapa pemimpin KMM telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dengan sokongan pemerintah tentera Jepun untuk mengambi-alih pemerintahan Tanah Melayu selepas Jepun menarik diri. Dr Burhanuddin dan Ibrahim Yaakob bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik Indonesia iaitu Sukarno dan Mohd Hatta di lapangan terbang Taiping. Pertemuan sewaktu pemimpin-pemimpin tersebut dalam perjalanan pulang dari perjumpaan dengan pemerintah Jepun di Markas Jepun Asia Tenggara Saigon pada 12 Ogos 1945.

Pertemuan dan persetujuan tersebut berbunyi, 'Tanah Melayu akan bersama-sama Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945'. Tetapi malangnya, 3 hari sebelum itu apabila pemerintah Jepun di Tokyo telah mengumumkan kekalahannya pada Kuasa-kuasa Berikat, Dr Burhanuddin tidak dapat berbuat apa-apa, kerana kumpulan-kumpulan penentang Jepun telah menguasai keadaan Tanah Melayu. Sedangkan Sukarno terus mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Selepas British kembali ke Malaya, Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam yang sedang kendalikan akhbar 'Suara Rakyat' telah menubuhkan PKMM atau Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Ipoh pada 17 Oktober 1945. Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai Yang Dipertua Agung dan Dr Burhanuddin sebagai Naibnya, walaupun beliau tidak hadir dalam perjumpaan itu. Tetapi Mokhtaruddin dikatakan 'menghilang diri' beberapa hari selepas dilantik sah dalam kongres ke I PKMM yang diadakan pada 30 November hingga 3 Disember tahun tersebut.

Maka dengan persetujuan pimpinan Dr Burhanuddin mengambil alih jawatan itu, dan tempatnya diganti oleh Ishak Haji Muhammad. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, PKMM bersama-sama badan-badan Melayu lain telah turut menganjurkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, kerana menentang rancangan Malayan Union tajaan British. Walaupun pada awalnya PKMM menyokong dasar 'kesatuan' Tanah Melayu itu, tetapi 2 bulan kemudian PKMM terpaksa keluar dari UMNO kerana menentang sikap tolak ansur pemimpin-pemimpin UMNO terhadap penjajah British.

Pada Februari 1947, PKMM bersama API, AWAS dan beberapa badan lain bergabung sebagai satu barisan politik Melayu, diberi nama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), untuk menentang UMNO dalam menentukan corak politik Malaya. PUTERA bergabung dengan All-Malaya Council for Join Action (AMCJA) dengan Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, untuk menguatkan lagi tentangan terhadap British dan UMNO.

Semasa menjadi ketua PKMM, beliau berjaya mengumpulkan kawan-kawannya di Maahad Al-Ihya' Al-Syarif bagi menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama Se Malaya pada 22 hingga 24 Mac 1947, di mana menghasilkan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya atau PEPERMAS, dan Majlis Agama Tertinggi Se Malaya atau MATA. Tetapi apabila beliau setuju terima jawatan Penasihat Agung PKMM yang baru diwujudkan pada Disember 1947 di kongres Singapura, jawatannya diganti oleh Ishak Haji Muhammad.

Mungkin di situ ada sikit 'main politik'. Mengikut Ahmad Boestamam 'proses guling' tersebut dibuat kerana beliau terlalu 'lurus dan jujur hingga rugikan PKMM'. Mengikut John Funston, 'adalah manifestasi rebut-kuasa antara sayap Islam di bawah Dr Burhanuddin dengan sayap kiri di bawah Boestamam dan Ishak.' Hujung tahun 1947, Dr Buhanuddin mengetuai wakil Malaya ke Inter-Asean Relations Conference di New Delhi, India.

Namun di Malaya sendiri perubahan politik begitu pesat berkembang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan pada Februari 1948, tetapi telah ditentang oleh Parti Komunis Malaya atau PKM secara militan atau bersenjata, menyebabkan parti itu diharamkan. Atas alasan inilah, maka pada Jun tahun itu, pemerintah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat, haramkan PKMM dan menangkap pemimpin politik yang menentang mereka.

Antara yang ditangkap termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam yang baru ditubuh beberapa bulan, di mana PKMM dan Dr Burhanuddin terlibat dalam penubuhannya. Dalam keadaan begini beliau berpindah ke Singpura. Di Singapura dikatakan beliau terlibat dalam 'kes Natrah' dan ditangkap pada Disember 1950. Mengapa dengan kes Natrah?

Natrah (ada juga tulis Nadra), nama asalnya Maria Hertogh, adalah anak perempuan seorang soldadu Belanda yang ditahan tentera Jepun di Jawa Indonesia. Untuk selamatkannya, anak itu diberikan oleh ibunya kepada seorang wanita Melayu di Terengganu dari keluarga yang berada. Natrah dibesarkan di negeri Terengganu dalam masyarakat Melayu-Islam, dan akhirnya berkahwin dengan pemuda Islam bernama Mansur Adabi.

Tetapi pada tahun 1950, ibubapa Natrah yang berada di Belanda meminta mahkamah Singapura kembalikan balik Natrah kepada mereka. Walaupun proses penghakiman penjajah telah menyetujuinya, namun ia ditentang oleh Jawatankuasa Bertindak Natrah yang dianggotai oleh Dr Burhanuddin. Beliau dituduh 'membangkitkan kemarahan orang ramai melalui tulisannya, berakibatkan rusuhan orang Islam menuntut hak secara Islam, yang akhirnya ramai terkorban di pulau tersebut.' Setahun kemudiannya, beliau dibebaskan.

Pada April 1955 beliau dijemput ke Kongres Pemuda Melayu Se Malaya di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Datuk Onn tetapi dipulau oleh UMNO. Beliau dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang diberi mandat mewakili mereka ke Persidangan Afro-Asia di Bandung. Sekembalinya dari Bandung, beliau melibatkan diri dalam kempen pilihan raya Persekutuan 1955, atas nama Barisan Kebangsaan Melayu yang ditubuhkan oleh Kongres Pemuda Melayu Se Malaya tersebut.

Menurut Professor Means dalam 'Malaysian Politics' London, melalui syarahannya dalam pilihan raya, beliau megkritik UMNO dan Parti Negara pimpinan Datuk Onn, serta meragui terhadap pilihanraya itu sendiri. Professor Dr Burhanuddin juga adalah perancang penubuhan Parti Rakyat Malaya, dengan persetujuan Ahmad Boestamam yang baru bebas dari tahanan darurat pada Julai 1955. Beliau akan dilantik sebagai Ketua Umum parti itu yang dilancarkan pada November 1955 kelak.

Tetapi yang terjadi sebaliknya, beliau bersetuju menyertai PAS dan dilantik sebagai Yang Dipertua parti itu, di Muktamar Tahunan ke 5 pada 23 Disember 1956. Dengan itu berakhirlah ucapan yang mempersenda-sendakan PAS sebelumnya, bahawa 'PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur!' Kini kepalanya sudah bangun untuk mencabar lawan.
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment