Monday, February 21, 2011

RG09... Malcolm X (19 Mei 1925 - 21 Februari 1965) - Syuhada Dari America


Posted on Monday, February 21 @ 08:00:00 PST
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Rencah Oleh: bantingjavi

"Lahir sebagai Malcolm Little ke dalam sebuah keluarga baptis kulit hitam, melalui kehidupan sukar di bawah penindasan 'bayangan era perhambaan' dan segregasi kaum berdasarkan warna kulit, membesar dengan menghadapi masalah keluarga yang tragis – ayahnya mati dibunuh, ibu yang menjadi gila, dipaksa berpisah dengan adik beradik; seterusnya dewasa dalam kehidupan sarat dengan segala macam masalah sosial – dadah, alkohol, wanita dan pelacuran, pemilikan senjata api, jenayah berat. Dan akhirnya penjara - dimana bermula perjalanan beliau menemui nur Islam.

Bermula dengan Islam palsu Nation of Islam (NOI) yang diperkenalkan kepadanya oleh adik beradiknya sewaktu dia masih dipenjara. Black Muslim diketuai oleh Elijah Mohammad (EM) yang mengakui diri sebagai nabi (the messenger of Allah). Elijah Muhammad M juga mengajarkan bahawa orang kulit putih adalah syaitan (The Devil) yang menyebabkan mereka sangat kejam dan tidak berperi kemanusiaan terhadap bukan kulit putih di Amerika.

Selepas dibebaskan dari penjara beliau menjadi pelajar, pengikut dan pembantu paling setia kepada EM di mana 'bintangnya' menyinar dan dia menjadi orang kepercayaan serta jurubicara NOI. Hasil kerja keras, disiplin yang amat tinggi dan keberkesanan pengurusanya memperkasa gerakan NOI berkembang pesat dengan ratusan ribu pengikut dan tertubuh cawangan NOI di kebanyakan bandar bandar besar diseluruh Amerika.

Keberaniannya memperjuangkan hak golongan kulit hitam menyebabkan dia amat dihormati oleh kawan dan digeruni oleh pihak lawan. Kepetahan berhujah diperakui oleh semua dan dia menjadi penceramah undangan kedua paling popular di universiti-universiti di seluruh Amerika selepas John F Kennedy.

Perbezaan pendapat dan perasaan cemburu pimpinan atasan menyebabkan beliau disingkirkan dari NOI. Dia amat percaya alasan penyingkiranya adalah palsu malah dia yakin Elijah Muhammad sendiri telah mengarahkan supaya dia dihapuskan kerana dia telah mendapat tahu serta mempunyai bukti kukuh bagaimana pada hakikatnya Elijah menjalani kehidupan yang amat tidak bermoral di sebalik wajah baik yang diketahui umum.

Pada tahun 1964 Malcolm berangkat ke Arab Saudi untuk menunaikan Ibadah Haji. Dia pernah berkata di sana beliau telah di muliakan oleh Allah SWT dengan kurnia kurnia yang tidak terjangka oleh fikiranya. Bermula dia merasa amat keseorangan dan hilang punca semasa ditahan di lapangan terbang, merasa kosong ilmu tentang Ibadat haji dan Islam yang sebenar serta hilang punca di tengah lautan manusia kepada situasi sebaliknya di mana dia diberi penghormatan serta layanan setaraf seorang pemimpin negara dengan kereta, pemandu serta mutawwif khas.

Beliau akhirnya dibenarkan memasuki Mekah dan menunaikan Haji selepas mengucapkan Syahadah dan memeluk Agama Islam yang sebenar. Sewaktu menunaikan Haji inilah juga beliau mengalami perubahan pandangan terhadap perbezaan warna kulit. Disana dia melihat orang hitam sehitam hitamnya saling dapat saling bersaudara secara tulin dan ikhlas dengan 'orang putih berambut perang bermata biru' atas dasar akidah Islam yang sebenar. Menurutnya hubungan seperti itu tidak mungkin wujud di Amerika. Dia juga diberikan nama baru Al Haj Malik As Syabazz.

Sekembalinya di Amerika beliau telah mengasaskan dua persatuan iaitu Muslim Mosque, Inc. dan Organisation of Afro-American Unity. Muslim Mosque, Inc. dijadikan sebagai landasan untuk menyebarkan dakwah Islam Sunni yang baru dianutinya dan Organisation of Afro American Unity pula sebagai platform untuk meneruskan gerakan pembelaan hak sivil dan kemanusian golongan kulit hitam Amerika.

Diperingkat ini beliau sudah menyedari bahawa hayatnya tidak panjang. Dia menyedari 'musuh musuh' nya semakin bertekad untuk membunuhnya. Dia menyedari bahawa musuh nya sudah bertambah bukan hanya sekadar NOI dan Elijah Muhammad serta kumpulan pelampau kulit putih (KKK dan The Black Legion) tetapi dia juga sentiasa diawasi dan sering diekori oleh agen perisikan negara seperti FBI (yang menuduhnya sebagai kominis) dan agen persatuan yahudi amerika (menuduh beliau anti-semitik) yang amat tidak senang terhadap perkembangan baru yang dibawanya. Akhirnya pada 21 Februari 1965 sewaktu berucap di Audubon Ballrom Manhattan beliau telah ditembak mati - gugur sebagai As Syahid Al Haj Malik As Syabazz.

Dalam buku Autobiography of Malcolm X (Time Magazine menyatakan buku ini sebagai salah satu di antara 10 buku bukan fiksyen paling berpengaruh di abad ke 20) beliau ada menyebutkan bahawa dia merasakan bahawa Allah SWT sering memerhatikanya meskipun semasa beliau masih sesat di alam jahiliah dan bergelumang dengan segala noda dan dosa. Dia juga percaya Allah SWT telah menyelamatkanya di dalam beberapa insiden di mana peluru dan bilah pisau seharusnya telah mengakhiri riwayat hidupnya. Dia juga yakin, amat bersyukur dan penuh insaf bahawa Allah menakdirkan semua itu bukan sia-sia dan beliau tahu ada tugas yang di amanahkan kepadanya dan dia telah mencuba yang terbaik untuk melaksanakanya.

Hari ini genap 46 tahun kesyahidanya. Sekiranya dia masih hidup hari ini tentunya dia berbangga melihat begitu ramai umat Islam di Amerika dan Islam merupakan agama yang paling pesat berkembang di sana terutamanya di kalangan orang Afro Amerika"

 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment