Monday, March 7, 2011

RG09... PAS Kelantan Kekal Haram Judi

PAS Kelantan Kekal Haram Judi

KOTA BAHARU, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan PAS Kelantan tetap mempertahankan pendiriannya mengharamkan segala bentuk perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak sekutunya DAP supaya menarik balik pengharaman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri tidak akan berganjak dengan keputusan itu kerana perjudian bagi setiap agama tidak pernah diterima oleh penganutnya.

Sehubungan itu, beliau menjemput Pengerusi DAP, Karpal Singh, untuk datang ke Kelantan dan melihat sendiri bagaimana sistem pemerintahan Islam yang diamalkan termasuk mengharamkan judi dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan menghalang masalah sosial daripada berlaku.

Takiyuddin turut mempelawa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Anggota Jawatankuasa Pusat parti itu, Datuk Ti Lian Ker untuk berdialog berhubung pengharaman penjualan tiket loteri Big Sweep.

"Kita tidak boleh berkompromi terhadap perjudian yang mana agama lain turut mengharamkannya," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Pada 28 Feb lalu, pihak berkuasa tempatan menyaman dua pemilik kedai buku di negeri ini kerana menjual tiket loteri menyebabkan timbul dakwaan bahawa Kerajaan PAS Kelantan menidakkan hak penganut agama lain di negeri ini.

Ekoran pengharaman itu, Karpal mendesak Kerajaan PAS Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu memandangkan ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-undang kerajaan persekutuan dan Kelantan tidak terkecuali.

Sementara itu, Dr Chua seperti dilaporkan sebuah akhbar hari ini berkata, MCA akan membawa isu tersebut ke mahkamah sekiranya PAS Kelantan masih bertegas untuk mengharamkannya.

Takiyuddin berkata kerajaan PAS Kelantan tidak dapat menghalang tindakan undang-undang MCA dan bersedia menghadapi apa jua cabaran.

-- BERNAMA
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment