Friday, May 20, 2011

RG2011... Masyarakat Arab di Pulau Pinang: Kepimpinan dan Perniagaan

 


Mahani Musa

Universiti Sains Malaysia


Pengenalan

Meskipun kehadiran mereka di Nusantara adalah dalam skala kecil, orang Arab merupakan kelompok penghijrah yang meninggalkan signifikan tersendiri dalam sejarah rantau Asia Tenggara. Hubungan kelompok ini dengan dunia Melayu dikatakan bermula sejak zaman Srivijaya pada abad ke-7 Masihi dan berlarutan hingga abad-abad berikutnya. Di Pulau Pinang, sejarah kedatangan kelompok ini telah bermula lama sebelum kehadiran Francis Light, asalnya atas tujuan keagamaan. Selepas pengambilalihan Pulau Pinang daripada kesultanan Kedah pada 1786, paten kehadiran ini mula berubah apabila kelompok pedagang Arab mula menuju ke Pulau Pinang untuk mencari peluang perniagaan. Namun, sebagai kelompok yang sering dikaitkan dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w, ciri-ciri keagamaan tidak dapat dipisahkan daripada golongan tersebut. Lantas kehadiran kelompok pedagang ini seringkali ditandai dengan kemunculan alim ulama, pemimpin dan intelektual Islam. Kertas kerja ini meneliti hal-hal berkaitan dengan kegiatan perniagaan kelompok ini dan bagaimana hal ini turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat Islam di negeri itu.


Masyarakat Arab yang Awal di Batu Uban

Satu-satunya tulisan tentang orang Arab di Pulau Pinang telah dihasilkan oleh Omar Farouk, "The Arabs in Penang." Sebagai keturunan Arab, kajian beliau amat mendalam dan turut menyentuk aspek-aspek bahasa, perkahwinan, bentuk organisasi sosial, kemasyarakatan, pendidikan, bentuk migrasi dan petempatan. Berkenaan migrasi orang Arab ke Pulau Pinang, Omar Farouk mengelompokkannya kepada dua bentuk iaitu secara langsung atau tidak langsung. Migrasi secara tidak langsung bermula sebaik sahaja Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) menduduki negeri itu dan berlaku melalui tiga paten. Pertama, migrasi orang Arab ke Pulau Pinang dari Kepulauan Melayu seperti Acheh yang dikatakan berlaku sejak awal pendudukan SHTI. Paten kedua pula berlaku selepas pembukaan Singapura pada tahun 1819 yang menyaksikan perpindahan masuk orang Arab dari negeri itu ke Pulau Pinang. Paten ketiga melibatkan migrasi orang Arab dari India khususnya Gujerat ke Pulau Pinang. Migrasi secara langsung pula lebih merupakan fenomena abad ke-19 dan berterusan sehingga abad ke-20 yang menyaksikan penghijrahan secara terus orang Arab khususnya dari Mekah dan Hadramaut.1 Sehingga penghujung tahun 1833 terdapat sejumlah 347 orang Acheh di Pulau Pinang.2 Samada secara langsung atau tidak langsung, migrasi orang Arab ke Pulau Pinang selepas itu hanya berlaku dalam skala kecil sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.

Bilangan Orang Arab di Pulau Pinang3

Tahun

Bilangan orang Arab

Jumlah penduduk


1881

1891

1901


574

567

544


190,597

123,886

248,207


Di sebalik bilangan yang kecil dengan peratusan pertambahan penduduk yang juga rendah, golongan Arab masih mampu membuatkan kehadiran mereka dirasai menerusi penguasaan, bukan sahaja bidang agama dan keintelektualan Islam, malah juga dalam bidang ekonomi. Ramai daripada kelompok ini merupakan pedagang penting di negeri itu sepanjang abad ke-18 sehingga abad ke-20.

Meskipun migrasi orang Arab ke Pulau Pinang menjadi lebih ketara sebaik sahaja Light menduduki negeri itu pada 1786 namun masyarakat orang Arab yang paling awal telahpun dikesan mendiami Batu Uban lama sebelum ketibaan Light sendiri. Batu Uban telah dibuka oleh Haji Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Intan yang berasal dari Kampung Bodi, Payakumbuh pada 1734. Tarikh 1734 ini tertera di papan tanda Masjid Jamek Batu Uban yang masih berdiri teguh sehingga hari ini. Selain daripada Haji Mohammad Salleh, satu lagi kumpulan dari Pagarruyung yang diketuai oleh Datuk Jenatun turut berhijrah ke Batu Uban sekitar tahun 1749.4 Oleh kerana bahagian pantai telah diteroka oleh kumpulan Haji Mohammad Salleh, Datuk Jenatun memilih untuk meneroka kawasan di sebelah bukit.

Sebagai orang yang berpegang teguh kepada ajaran agama malah sanggup meninggalkan tanah tumpah darah kerana tidak sependapat tentang isu agama dan praktis adat, Haji Mohammad Salleh menjadi satu tarikan penting yang membawa kepada berlabuhnya kapal-kapal Arab di Batu Uban. Sejak itu Batu Uban menjadi pusat pengajian dan penyebaran agama Islam yang penting dan juga sebagai tumpuan kegiatan ekonomi orang Arab. Kebanyakan imam yang awal di Masjid Batu Uban adalah terdiri daripada orang Arab. Oleh kerana kebanyakan orang Arab ini tidak membawa isteri mereka, perkahwinan dengan wanita tempatan memang tidak dapat dielakkan. Penduduk tempatan biasanya amat menggalakkan perkahwinan ini kerana melihatnya sebagai "berkahwin dengan keturunan nabi". Sebagai menyatakan kegembiraan tersebut, tanah dan rumah milik mereka atau anak-anak perempuan mereka akan diserahkan kepada orang-orang Arab ini. Perkahwinan ini kemudiannya melahirkan golongan peranakan Arab.

Antara orang Arab yang bersemenda dengan wanita Batu Uban adalah Al-Khayyat dan al-Baghdadi. Anak perempuan Haji Mohammad Salleh sendiri yang bernama Kalsom telah berkahwin dengan Sheikh Ahmad Makawi, seorang Arab yang alim yang telah menjadikan Batu Uban sebagai markas menyebarkan agama Islam. Pengaruh keluarga Makawi bukan sahaja amat dirasai di kalangan penduduk setempat malah juga di kalangan pegawai SHTI yang berada di Pulau Pinang. Beliau sentiasa menjadi rujukan dari segi agama dan kehidupan oleh masyarakat Islam di negeri itu. Ketokohan ini juga menyebabkan Makawi dihormati oleh pegawai SHTI meskipun mereka melihat beliau seorang yang sangat fanatik dalam soal keagamaan. Hal ini mungkin berpunca daripada tanggapan pihak British yang melihat Makawi sebagai penyokong kuat perjuangan Tunku Mohamad Saad, kerabat Kedah yang berjuang habis-habisan untuk mendapatkan semula Kedah yang ditawan oleh Siam sejak tahun 1821. Sejak penawanan itu ramai penduduk Kedah termasuk Sultan Ahmad Tajuddin dan kaum kerabatnya lari ke Seberang Perai dan Pulau Pinang yang dahulunya pernah berada di bawah kesultanan tersebut dan menjadikan kedua-dua kawasan tersebut sebagai markas melancarkan serangan terhadap Siam di Kedah. Perihal perjuangan orang Melayu Kedah hendak merampas semula negara mereka dari Siam itu dikatakan sering menjadi topik perbualan Makawi dengan rakan-rakannya. Sebagai seorang Islam, Makawi digambarkan sanggup berbuat apa sahaja untuk menghapuskaan pemerintahan orang kafir (dimaksudkan Siam).5

Perkahwinan dengan orang Arab terus berlaku dalam keturunan Haji Mohammad Salleh dan nama-nama Arab dapat dikesan dalam geran-geran tanah penduduk Batu Uban. Perkara yang sama berlaku dalam keluarga Datuk Jenaton. Salah seorang cucunya telah berkahwin dengan keturunan Al-Baghdadi. Mulai dekad pertama abad ke-20, perkahwinan orang tempatan (Batu Uban) turut berlaku dengan masyarakat lain yang mendiami Pulau Pinang dan hal ini semakin menghakis "darah Minang" dan "darah keturunan Arab" yang ada dalam di kalangan penduduk Batu Uban.


'Wilayah Orang Arab' di Lebuh Acheh

Selepas pendudukan Pulau Pinang oleh SHTI, Lebuh Acheh dan kawasan berdekatan yang dikenali sebagai "Pekan Melayu" merupakan kawasan petempatan bandar yang paling awal didiami oleh orang Arab dan peranakan Arab. Setelah lebih ramai orang Arab tiba di Pulau Pinang pertengahan abad ke-19, tumpuan golongan ini mula berselerak ke kawasan lain seperti Melaka Street dan Seang Tek Road. Lebuh Acheh dibuka oleh Tunku Sayyid Hussain Aidid, seorang kerabat diraja Acheh yang berketurunan Arab. Pada 1791, Tunku Sayyid Hussain bersama-sama kaum kerabat dan pengikutnya berpindah ke Pulau Pinang kerana pergolakan politik di Acheh. Kedatangannya sangat dialu-alukan oleh Francis Light disebabkan beliau merupakan pedagang rempah yang kaya raya yang menguasai perdagangan tersebut di antara Acheh dan Pulau Pinang. Namun Light juga adakalanya tertekan dengan kelompok yang beliau anggap 'tidak mahu tunduk kepada mana-mana kuasa…sahabat yang baik dan musuh yang sangat berbahaya' ini.6 Tunku Sayyid Hussain, umpamanya, pernah memohon kebenaran Light untuk membenarkan beliau menguatkuasakan undang-undang sendiri ke atas pengikut-pengikutnya serta memohon mendapatkan keistimewaan berjual beli timah yang diperoleh sendiri kepada mana-mana kapal/saudagar yang mereka suka. Tuntutan-tuntutan ini terkandung dalam satu surat perjanjian antara beliau dengan Francis Light bertarikh 27 November 1791.

Permintaan ini dianggap oleh Light agak keterlaluan kerana Tunku Sayyid Hussain seolah-olah cuba mewujudkan satu bentuk pemerintahan sendiri meskipun dari sudut yang lain, Light sedar keadaan penguatkuasaan undang-undang yang masih lemah dan baru tidak memungkinkan aspek keamanan dan perundangan British dapat dilaksanakan sepenuhnya. Light menganggap permintaan kelompok Arab ini berpunca daripada sikap golongan tersebut yang memperbesar-besarkan kedudukan mereka sebagai berketurunan nabi lalu beranggapan mereka tidak perlu tunduk kepada mana-mana kuasa dan undang-undang kecuali kuasa dan undang-undang mereka sendiri.7 Namun menyedari pentadbiran beliau masih kekurangan dalam serba serbi, tuntutan ini dibenarkan. Akhirnya wujud satu paten penempatan yang melambangkan pengaruh, kuasa dan status ketua masyarakat Arab ini di Lebuh Acheh. Kelebihan Lebuh Acheh sebagai kawasan dalam bandar yang hampir dengan pusat pentadbiran SHTI sebenarnya menyediakan banyak ruang kepada peneroka asal untuk membangunkan kawasan itu. Lebuh Acheh agak bernasib baik kerana pengasasnya adalah Tunku Sayyid Hussain yang bukan sahaja ada kaitan dengan kerabat diraja Acheh malah yang lebih penting beliau juga adalah seorang ahli perniagaan yang kaya dan berkuasa. Pengasasan dan pengukuhan pengaruh Acheh ini diperteguhkan lagi dengan pembinaan sebuah masjid di kawasan tersebut pada tahun 1808 yang dikenali sebagai Masjid Acheh atau Masjid Melayu. Tunku Sayyid Hussain meninggal dunia pada tahun 1840 dan beliau telah mewakafkan tanah seluas 66,396 ribu kaki yang termasuk masjid Melayu dan kawasan persekitarannya dan deretan rumah di Lebuh Acheh dan Chulia Street untuk tujuan keagamaan.8

Sejak dibuka, hubungan perdagangan Acheh-Pulau Pinang menjadi penting walaupun hubungan ini sering terganggu dengan kemelut politik di Acheh. Selain pergantungan kepada Kedah, Pulau Pinang juga amat bergantung kepada Acheh untuk mendapatkan buah pinang, lada hitam, beras dan padi manakala Pulau Pinang sendiri mengeksport kapas, garam, candu, kain dan lain-lain ke Acheh. Nilai import-eksport ini sentiasa mengalami pasang-surut akibat pergolakan politik di Acheh.9

Kejayaan dan pengaruh Tunku Sayyid Hussain dalam perdagangan boleh dilihat daripada nilai barangan yang diambil oleh Sultan Mahmud Riau-Lingga. Senarai nilai barangan ini terkandung dalam sepucuk surat Tunku Sayyid Hussain yang ditujukan kepada T.S. Raffles di Singapura bertarikh 24 November 1810. Surat ini ditulis oleh Tunku Sayyid Hussain untuk meminta bantuan Raffles mendapatkan baki bayaran barang-barang yang diambil oleh Sultan Mahmud dalam masa mereka berurusan tentang dagangan. Berdasarkan lampiran surat tersebut yang mengandungi butiran muatan dalam kapal Tunku Sayyid Hussain yang diambil oleh Sultan Mahmud, aset dagangan yang dibawa oleh kapal tersebut berjumlah 33,723 rial dan 75 duit. Setelah ditolak baki bayaran, Sultan Mahmud masih terhutang 20,651 rial 16 duit kepada Tunku Sayyid Hussain. Antara barang-barang yang dibawa dalam kapal Tunku Sayyid Hussain ialah meriam, pemuras, senapang, ubat bedil, dan lada [hitam].10 Selain perdagangan persendirian, Tunku Sayyid Hussain juga merupakan ejen kepada Syarikat Palmer & Co. yang beribu pejabat di Calcutta. Beliau juga memiliki beberapa buah kapal dagang seperti Futty Salim, Kalantan dan Kota Jawa yang kemudiannya digunakan dalam operasi merebut takhta di Acheh.11 Salah satu mercu tanda kekayaan dan pengaruh Tunku Sayyid Hussain ialah bangunan (gudang) Acheh yang dijadikan pejabat beliau dan tempat menyimpan rempah ratus. Gudang Acheh merupakan bangunan empat tingkat pertama di bandar George Town dan dikenali sebagai "Rumah Tinggi" di kalangan orang Melayu. Dengan nilai bangunan ini 6,000 Spanish Dollars, Tunku Sayyid Hussain dianggap sebagai salah seorang terkaya di Pulau Pinang selepas Francis Light sendiri dan rakannya, James Scott.12 Pengaruh beliau begitu besar dalam masyarakat di sekitar Lebuh Acheh sehingga Lebuh Pantai (terletak antara Armenian Street dan Lebuh Acheh) dikenali sebagai Tuan Ilo-Sun Kay bermaksud "Tuan Hussain Street."

Kekayaan dan pengaruh Tunku Sayyid Hussain memberi banyak ruang kepada beliau untuk menjalin hubungan baik dengan pihak SHTI di Pulau Pinang (dan juga Singapura). Hubungan baik dengan pihak pemerintah ini boleh dikesan melalui surat-surat kepada pihak SHTI sama ada di Pulau Pinang mahupun di Singapura. Pada 6 Julai 1820, misalnya, sempena pelantikan W. E. Phillips sebagai gabenor, 32 orang ahli peniagaan Melayu dan Arab yang berpengaruh di Pulau Pinang telah menghantar sepucuk surat alu-aluan dan tahniah kepada gabenor baru itu diketuai oleh Tunku Sayyid Hussain.13 Kehidupan keluarga pedagang kaya ini juga digambarkan amat mewah. Malah hasil hubungan dan pergaulan dengan pegawai-pegawai SHTI, Tunku Sayyid Hussain dikatakan amat terpengaruh dengan cara kehidupan barat dari segi pakaian dan makanan. Beliau juga sering mengadakan parti-parti mewah dengan menjemput pegawai-pegawai SHTI yang berpangkat tinggi hadir di majlis berkenaaan. Berikut adalah gambaran parti makan malam yang diadakan di rumah beliau pada tahun 1806:

"[A] very elegant entertainment was given by Tuan Syed Hussain, at which the Honourable Government attended by his suite, his Excellency Sir Thomas Troubridge, Bart., the Commander-in-Chief of the troops, and upwards of sixty ladies and Gentlement of the Settlement were present. The whole of the Syed's Premises, as well as all the streets and avenues around, were illuminated; Peons were stationed and several officers of the Police attended, for the purpose of preventing the access from being obstructed by the concourse of Native Spectators that had collected to view this, to them novel entertainment."14


Agak menarik, dalam memberi tumpuan kepada usaha mengumpulkan kekayaan, hubungan dengan tanah tumpah darah tidak terputus sama sekali. Oleh yang demikian, Lebuh Acheh bukan sahaja menjadi wilayah ekonomi malah juga wilayah politik bagi penghijrah-penghijrah dari Acheh. Setiap perkembangan yang berlaku di Acheh berada dalam pengetahuan masyarakat Acheh di kawasan tersebut dan sekitarnya. Penglibatan Tunku Sayyid Hussain dalam kancah perebutan kuasa di Acheh amat ketara. Hal ini tidaklah menghairankan kerana beliau sendiri adalah daripada keturunan Sultan Acheh, Sultan Jamal al-Alam. Latar belakang keturunan diraja ini memberi peluang kepada beliau untuk bergiat cergas dalam perdagangan di Riau dan Jawa sebelum membuat keputusan berpindah ke Pulau Pinang. Malah beliau menikmati pengecualian cukai perdagangan di Acheh sehingga Sultan Jauhar Al-Alam (memerintah 1802-1823) mengenakannya semula pada tahun 1810. Hal ini menimbulkan rasa tidak puashati Tunku Sayyid Hussain dan ekoran daripada itu beliau telah berpakat dengan panglima-panglima sagi dan eleebalang-uleebalang untuk menggulingkan Sultan Jauhar Al-Alam. Atas jemputan panglima-panglima sagi dan uleebalang-uleebalang Tunku Sayyid Hussain telah menghantar anaknya, Saif Al-Alam, untuk dirajakan di Acheh pada 1815 namun tidak dapat bertahan lama apabila Sultan Jauhar Al-Alam berjaya mendapatkan kembali tahktanya pada 1820 hasil sokongan British. Pertelingkahan antara kedua-dua pihak ini banyak membawa kemusnahan dalam perdagangan.15 Setelah meninggal dunia pada tahun 1840, kegiatan perdagangan yang diusahakan oleh Tunku Sayyid Hussain diteruskan oleh beberapa orang anaknya seperti Sayyid Abdullah dan Sayyid Akil. Anak-anaknya juga turut mengambil berat tentang perkembangan politik di tanah tumpah darah mereka. Sayyid Akil, misalnya, dilantik menjadi Raja Muda Deli ekoran perkahwinannya dengan kerabat Sultan Deli pada tahun 1825.

Selepas kematian Tunku Sayyid Hussain pada 1840, wujud lowongan dalam kepimpinan di Lebuh Acheh namun keadaan ini tidak berlarutan dengan kemunculan seorang lagi tokoh bernama Sheikh Omar Basheer sebagai imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh. Sheikh Omar berketurunan Arab dari Hadramaut. Bapanya bernama Basheer bin Hamid bin Bahaman dari sudu baridzwan dan Bafadzal. Sheikh Omar di lahirkan di Kampung Masjid Kapitan Keling pada tahun 1811 dan pernah menetap untuk belajar ilmu agama di Mekah beberapa tahun. Beliau pernah menjadi guru agama dan kadi di daerah Demak, Pulau Jawa.16 Berbanding dengan Tunku Sayyid Hussain, Sheikh Omar lebih menonjol dari segi kepimpinan agama. Selain menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh, Sheikh Omar juga merupakan pemimpin tarikat Naqsyabandiah yang dibawa masuk dari Acheh oleh datuknya, Hamid bin Bahaman. Tarikat ini mendapat sambutan bukan sahaja penduduk tempatan malah tersebar sehingga ke Johor, Kedah dan Indonesia. Pusat utama kegiatan ini ialah di Madrasatul Suluk Kampung Melayu, Air Itam, yang juga menjadi rumah kediaman Sheikh Omar. Maklumat tentang Sheikh Omar Basheer dan aktiviti pengembangan tarikat Naqsyabandiah ini boleh didapati daripada Buku catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer dengan Rujukan Terhadap Rusuhan di Pulau Pinang pada Tahun 1867 yang disimpan di Muzium Negeri Pulau Pinang. Melalui buku catatan peribadi ini dapat dikesan bahawa Sheikh Omar telah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah penglibatan orang Islam di Pulau Pinang dalam kegiatan kongsi gelap. Hal ini berikutan tercetusnya rusuhan kongsi gelap yang terbesar di Pulau Pinang pada tahun 1867 yang menyaksikan dua buah kongsi gelap Melayu, Bendera Putih dan Bendera Merah, bergabung dengan dua kongsi gelap Cina (Bendera Putih bergabung dengan Ghee Hin manakala Bendera Merah bergabung dengan Toh Peh Kong) untuk meneruskan pergaduhan sesama mereka.17


Rusuhan kongsi gelap pada tahun 1867 telah menyebabkan banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban. Apa yang lebih membimbangkan pihak kerajaan pada waktu itu ialah fenomena penglibatan orang Melayu-Muslim dalam rusuhan tersebut dan dalam kegiatan berkongsi gelap yang selama ini dianggap asing bagi kehidupan sosiobudaya orang Melayu. Oleh yang demikian kerajaan telah memberi mandat kepada Sheikh Omar Basheer yang pada waktu itu dianggap sebagai pemimpin orang Melayu-Muslim di negeri itu untuk menasihati orang Melayu berhubung penglibatan dalam kongsi gelap. Sehubungan dengan itu pada 24 Ogos 1867, Sheikh Omar Basheer telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan orang Melayu-Muslim di negeri itu daripada menyertai sebarang kegiatan kongsi gelap. Sejak fatwa tersebut dikeluarkan, ramai orang Melayu-Muslim datang mengangkat sumpah di hadapan Sheikh Omar bahawa mereka telah keluar daripada kongsi gelap atau mengisytiharkan bukan ahli mana-mana kongsi gelap.18 Sheikh Omar juga turut mengeluarkan peraturan yang sama bagi ahli kumpulan tarikatnya bagi memastikan tarikat tersebut bersih daripada gejala kongsi gelap.

Selepas Sheikh Omar meninggal dunia,19 tradisi kepimpinan keluarga Basheer ini diteruskan oleh anak-anaknya. Anak pertamanya, Haji Yahya (1853-1901) membuka "the first Muslim Registrar's office" di No. 69, Lebuh Acheh pada tahun 1888. Anak keduanya, Sheikh Zakaria Basheer (1855-1926) pernah menjadi imam masjid Lebuh Acheh dan menjadi mufti pertama di negeri itu. Haji Muhammad Natt (1862-1910) pula dilantik menjadi kadi sekitar awal abad ke-20 dan memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1910.20


Secara umumnya, kemunculan komuniti Arab di Lebuh Acheh ini menjadi pemangkin kepada perkembangan masyarakat Arab di Pulau Pinang. Sehingga abad ke-20, Omar Farouk menyenaraikan terdapat sekurang-kurangnya 24 kelompok Arab (clan) di Pulau Pinang yang rata-ratanya bergiat dalam bidang perniagaan:

  1. Aljunid

  2. Al-Aidid

  3. Al-Sagof

  4. Al-Nahdi

  5. Al-Rafiee

  6. Al-Bar

  7. Al-Yafiee

  8. Al-Attas

  9. Al-Mashoor

  10. Al-Makki

  11. Al-Khayyat

  12. Al-Habshi

  13. Al-Baghdadi

  14. Al-Basrawi

  15. Al-Juffri

  16. Al-Khalidi

  17. Ashiblee

  18. Bajunid

  19. Bentakeb

  20. Balidram

  21. Ben Sahil

  22. Ben Harris

  23. Zubaidy


Aktiviti Perniagaan Orang Arab di George Town

Selain Tunku Sayyid Hussain, beberapa orang keturunan Arab juga terlibat dalam perdagangan rempah dan menikmati kehidupan mewah hasil perniagaan tersebut. Syed Mohamed Alatas salah seorang daripadanya. Beliau juga merupakan pemimpin kongsi gelap Bendera Merah sehinggalah kematiannya pada tahun 1890. Perkahwinan beliau dengan anak perempuan Khoo Thean Poh, orang penting dalam Toh Peh Kong, mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua kongsi gelap tersebut.

Satu lagi perniagaan yang banyak melibat orang Arab ialah sebagai broker atau sheikh haji. Pulau Pinang khususnya Lebuh Acheh pada pertengahan abad ke-19 lebih dikenali sebagai "Jeddah kedua" yakni sebagai tempat berlepas kapal-kapal haji. Pada waktu musim haji kawasan di Lebuh Acheh dan sekitarnya menjadi tumpuan jemaah haji dan kaum kerabat dan hal ini membuka kepada banyak peluang perniagaan termasuklah broker haji dan ejen tiket kapal haji. Walaupun lebih dikenali sebagai pemimpin agama, Sheikh Omar juga sebenarnya merupakan ejen kapal haji. Penglibatan Sheikh Omar dalam perniagaan ini dapat dikesan dalam buku catatan harian beliau dan kemudiannya telah diteruskan oleh anaknya, Sheikh Zakaria Basheer. Syarikat Zakaria Basheer & Sons menjadi ejen kepada kapal Mansfield untuk pengangkutan jemaah haji. Pada 1920an, Sheikh Zakaria juga terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan; perniagaan getah, kelapa, lada hitam, kopi, gambir selain menjadi ejen haji. Selepas meninggal dunia, perniagaan tersebut diteruskan oleh anak menantu beliau. Perniagaan ini tergendala sebentar semasa Pendudukan Jepun (1941-1945) dan disambung kembali selepas British kembali memerintah Tanah Melayu.

Selain keluarga Basheer muncul banyak lagi syarikat-syarikat dan orang perseorangan yang menjadi broker haji. Walaupun Lebuh Acheh-Lumut Lane menjadi tumpuan perniagaan tersebut, ejen-ejen juga turut ditubuhkan di beberapa kawasan lain di George Town. Syarikat-syarikat broker haji ini terus giat sehinggalah perkhidmatan kapal haji sebagai pengangkutan jemaah haji digantikan dengan perkhidmatan kapal terbang pada tahun 1976. Antara orang Arab yang bergiat sebagai broker haji ialah Sheikh Abdul Rahman bin Sheikh Mansoor Bahwirith dan Syed Ali bin Syed Abdullah Al-Mufathal. Sheikh Abdul Rahman dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1916 dan menjadi broker haji sebelum Perang Dunia Kedua. Premis perniagaan beliau terletak di No. 2, Lumut Lane dan beliau turut membawa jemaah haji dari Telok Anson ke Pulau Pinang apabila beliau menetap di sana selepas berkahwin. Perniagaan beliau sangat maju malah mempunyai 50 hingga 60 jemaah haji di bawah pengurusan beliau untuk setiap musim haji. Sebagai broker haji, Sheikh Abdul Rahman menguruskan semua hal tentang pembelian tiket kapal haji, tempat tinggal dan makan minum sebelum berangkat ke Mekah dan setelah semua jemaah haji pulang dari Mekah.21 Beliau juga pernah menerbitkan buku Peduman Bakal-Bakal Haji pada tahun 1973 yang merupakan panduan ringkas kepada jemaah haji. Syed Ali bin Syed Abdullah Al-Mufathal pula memulakan perniagaan selepas Perang Dunia Kedua. Pada awalnya beliau mencari pengalaman dengan bekerja dengan syarikat Juddah Pilgrimage sebelum membuka perniagaan sendiri di No. 6, Lumut Lane. Kebanyakan jemaah haji yang diuruskan oleh beliau adalah dari Kelantan dan selatan Thailand.22

Selain broker haji atau sheikh haji, orang Arab juga sangat menonjol dalam bidang percetakan. Syed Sheikh Al-Hadi, meskipun lebih diingati dengan karya-karya novel beliau yang tersohor seperti Hikayat Faridah Hanum (dikarang sekitar 1925-1926), juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Hasil pendapatan daripada jualan novel ini membolehkan beliau memulakan syarikat percetakan Jelutong Press pada tahun 1927. Melalui syarikat ini Syed Sheikh berusaha menerbitkan buku-buku bacaan secara murah dan banyak untuk keperluan masyarakat yang inginkan bahan bacaan yang lebih maju isi kandungannya. Jelutong Press yang beralamat di No. 555, Jalan Jelutong ini telah mencetak majalah dan akhbar terkenal seperti majalah Al-Ikhwan (1926-1931), akhbar Saudara (1928-1941), majalah Al-Hikmah (1935), majalah Cherita (1938) dan majalah Dewan Pergaulan (1940). Di samping akhbar dan majalah Jelutong Press juga aktif menerbitkan buku. Antaranya, Cherita Rokambul karangan Syed Sheikh Al-Hadi sendiri. Syarikat ini juga pernah diberi kepercayaan untuk mencetak karya sejarah rasmi negeri Kedah iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pada tahun 1928 selain aktif menerbitkan karya terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu.23 Kemunculan Pulau Pinang menggantikan Singapura sebagai pusat intelektual dan reformis Islam yang penting sejak 1920an banyak menyaksikan pencetakan majalah dan akhbar mahupun terbitan-terbitan lain yang digerakkan oleh Kaum Muda. Kebanyakan penerbitan-penebitan ini diterajui oleh golongan Arab dan peranakan Arab yang, selain memiliki modal, telah terdedah kepada idea-idea pembaharuan dari Timur Tengah sejak sekian lama. Golongan ini merasakan mereka bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada penduduk Islam di Tanah Melayu.24

Satu lagi syarikat percetakan milik golongan Arab ialah Sulaiman Press milik Shaikh Sulaiman bin Bakar Rafee. Dilahirkan di Mekah pada tahun 1916, Sheikh Sulaiman memulakan perniagaan menjilid al-Quran dan kitab-kitab agama yang diambil daripada Persama Press milik Muhammad Ali bin Muhammad Idrus Sulaiman Ar-Rawi. Shaikh Sulaiman kemudiannya telah berunding dengan anak Muhammad Ali yang bernama Hassan Rawa untuk mengambilalih syarikat percetakan Persama Press dalam tahun 1970. Nama Persama Press kemudiannya ditukar kepada Sulaiman Rafee Press dan sekali lagi diubah nama kepada Sulaiman Press and Paper Sdn Bhd.25

Perniagaan lain yang diceburi oleh golonganArab dan peranakan Arab ialah perniagaan kain dan barang kemas. Antara peniaga barang kemas yang terkenal ialah Syed Omar Al-Mashoor yang pernah mempunyai dua premis kedai barang kemas iaitu di Buckingham Street dan di Pitt Street (kini Jalan Masjid Kapitan Keling). Sebelum menceburi perniagaan barang kemas, Syed Omar meneroka bidang perniagaan kain. Hasil keuntungan daripada perniagaan ini digunakan untuk membuka kedai barang kemas. Beliau juga menjadi ejen kapal syarikat Mansfield yang beroperasi di Singapura. Sehingga kini hanya kedai di Jalan Masjid Kapitan Kling yang masih diteruskan operasinya oleh anak perempuan dan menantu beliau.26 Manakala Sheikh Mohamed Badjenid pula merupakan peniaga kain yang terkenal di Pulau Pinang sepanjang abad ke-20. Beliau telah terlibat dalam aktiviti perniagaan ini sejak berada di Hadramaut lagi dan meneruskan perniagaan yang sama semasa berpindah ke Acheh. Pada awal 1890an, beliau dan isteri peranakan Arab yang dikahwininya di Acheh berhijrah pula ke Pulau Pinang dan membuka kedai menjual kain dan rempah ratus di Lebuh Acheh. Pada tahun 1917, beliau membuka sebuah lagi kedai di alamat 184-185, Beach Street, dengan nama S. M. Badjenid & Sons. Kini kedai tersebut diteruskan oleh cucunya S.A Hamid bin S. Hassan Badjenid.27 Tan Sri Syed Abbas bin Syed Abdul Rahman Al Habshee pula mewarisi bakat berniaga bapanya dalam perniagaan kain batik. Beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan membeli kain dan pakaian daripada pelabuhan bebas Pulau Pinang dan menjualnya di Pekan Rabu, Alor Setar. Perniagaan terjejas semasa pendudukan Jepun namun beliau masih berbasikal antara Pulau Pinang dan Alor Setar untuk menjual kain dan pakaian walaupun tidak mendapat banyak keuntungan. Apabila perang tamat, beliau menjadi broker barang-barang dari India seperti rokok dan daun terup serta mengimport batik dari Indonesia. Perniagaannya terus melebarkan sayap dengan mengorak langkah menubuhkan syarikat konsortium perkapalan yang banyak menaikkan nama dan pengaruh beliau dalam dunia perniagaan. 28

Kejayaan dalam bidang perniagaan membolehkan golongan Arab dan Peranakan Arab menyumbang kepada aspek kemasyarakatan dan keagamaan. Pendidikan amat dititikberatkan oleh golongan ini. Penubuhan Madrasatul Al-Quran di Lebuh Acheh pada 1916 banyak digerakkan oleh golongan Arab yang kaya dan berpengaruh di negeri itu seperti Sheikh Hasan Al-Baghdadi, Sheikh Abdul Rahman Al-Habshi dan Sheikh Zakaria Basheer. Pada peringkat permulaan sekolah ini bertempat di rumah No. 67, Acheen Street (rumah milik Sheikh Zakaria Basheer) dengan pelajar seramai 16 orang sahaja namun lama kelamaan bilangan pelajar semakin meningkat sehingga sekolah tersebut terpaksa dipindahkan ke premis baru. Akhirnya Madrasatul Al-Quran dipindahkan ke Kampung Jawa Lama sehinggalah orang Arab yang kaya raya berpakat membeli sebidang tanah di Teck Soon Street untuk dibuat sekolah dan namanya juga bertukar kepada Sekolah Al-Mashoor. Di sini jugalah muncul Syed Sheikh Al-Hadi sebagai penggerak utama kepada Sekolah Al-Mashoor sempena nama Sayyid Mashoor.29 Syed Sheikh kemudiannya menjemput Sheikh Tahir Jalaludin, seorang ahli teologi dan astronomi untuk menjadi guru di sekolah tersebut antara 1918-1920.



Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, golongan Arab dan peranakan Arab memainkan penting dalam sejarah pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang. Namun oleh kerana ketiadaan kajian menyeluruh tentang kelompok ini (melainkan dalam bentuk artikel), banyak sumbangan golongan ini terhadap sejarah kepimpinan dan sosioekonomi negeri itu tidak ditonjolkan. Hal ini menjadikan pensejarahan Pulau Pinang tidak seimbang dengan hanya kelompok tertentu sahaja dilihat memainkan peranan penting dalam sejarah sosioekonomi negeri itu. Oleh itu kajian sejarah mikro dengan memberi tumpuan kepada kelompok kecil/minoriti tidak harus dipinggirkan dalam penulisan sejarah negara dan sejarah negeri agar sejarah Malaysia yang lebih seimbang dapat dihasilkan.



1 Omar Farouk Shaeik Ahmad, "The Arabs in Penang," Malaysian in History, Vol. XX1, No. 2, 1978, hlm. 2.

2 T. J. Newbold, Our Political Possessions in the Straits of Malacca (terbit pertama kali pada 1839), London: Oxford University Press, hlm. 54-55.

3 Disusun dari Census of the Straits Settlements, 1891 dan 1901. Angka ini tidak termasuk banci di Province Wellesley (Seberang Perai) yang jauh lebih kecil jumlahnya.

4 Untuk tinjauan lanjut tentang Datuk Jenaton, lihat Abdul Aziz Ishak, Katak Keluar dari Bawah Tempurung, Kuala Lumpur: Karya Bistari, 1987; Abdul Aziz Ishak, Mencari Bako, Kuala Lumpur: Penerbit Adabi, 1983.

5 J. T. Thomson, Some Glimpses in the Far East, London: Richardson, 1865, hlm. 41-42.

6 Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, A History of Malaysia (second edition), (Basingstoke: Palgrave, 2001), hlm. 96.

7 Extracts from Captain Light dispatches dated 24 August 1792 dalam J. R. Logan (peny.), "Notices of Pinang," JIAEA, Jil. 4, hlm. 655.

8 "The Legacy of Tunku Syed Hussain," Pulau Pinang, Jil. 2, No. 2, hlm. 14.

9 Untuk tinjauan lanjut, lihat, Salina Haji Zainol, Hubungan Perdagangan Acheh dengan Pulau Pinang, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

10 Annabel Teh Gallop, The Legacy of the Malay Letter/Warkah Warisan Melayu (with an essay by E. U. Kratz), London: published by the British Library for the National Archives of Malaysia, No. 33, hlm. 207.

11 John Anderson, Acheen and the Ports on the North and East Coasts of Sumatra, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1971, hlm. 81.

12 Khoo Su Nin, Street of George Town, Penang, Penang: Janus Print & Resources, hlm. 24-26, 47.

13 Annabel Teh Gallop, The Legacy of the Malay Letter, hlm. 221, No. 71.

14 Dipetik daripada Salina Haji Zainol, Hubungan Perdagangan Acheh dengan Pulau Pinang, hlm. 143-144.

15 Untuk tinjauan lanjut tentang masalah perebutan takhta di antara Tunku Sayyid Hussain dan Sultan Jauhar Al-Alam, lihat, John Anderson, Acheen and the Ports on the North and East Coasts of Sumatra.

16 S.P 63/8 Surat Persendirian Haji Fathil Basheer. Riwayat Ringkas berkenaan hal ehwal Almarhum Sheikh Omar Al Nakshabandi Al Khalidia Al Nibbani, Arkib Negara Malaysia.

17 Untuk tinjauan lanjut tentang rusuhan kongsi-kongsi gelap pada tahun 1867 ini, lihat, Mahani Musa, Kongsi Gelap Melayu di Negeri-negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940an, Kuala Lumpur: MBRAS, Monograph No. 36, 2003.

18 Buku catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer dengan Rujukan Terhadap Rusuhan di Pulau Pinang pada Tahun 1867.

19 Di papan tanda makam Sheikh Omar Basheer di Kampung Melayu, Air Itam dicatatkan tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1881. Manakala dalam satu rencana ringkas berjudul Makam/Mousoleum Sheikh Omar yang dikeluarkan oleh Muzium Negeri Pulau Pinang pada tahun 1988 dicatatkan beliau meninggal dunia pada 11 Mei 1884.

20 S.P 63/8 Surat Persendirian Haji Fathil Basheer.

21 Temubual dengan Haji Abdul Malik bin Md. Hussain, 61 tahun, pernah bertugas sebagai pembantu Sheikh Abdul Rahman sejak 19600an hingga 1970-an, 16 Januari 2011 di Masjid Melayu Lebuh Acheh; temubual dengan Haji Jaafar (anak Sheikh Abdul Rahman), 16 Januari 2011 di Masjid Melayu Lebuh Acheh.

22 Temubual dengan Syed Salim bin Syed Ali Al-Mufathal (anak Syed Ali) di bangunan Persatuan Melayu Pulau Pinang, 25 Januari 2011.

23 Jelani Harun, "Pulau Pinang Bandar Percetakan Awal Negara," dalam Noriah Mohamed, Melayu Pulau Pinang: Himpunan Kertas Kerja Kolokium Kebangsaan Melayu Pulau Pinang, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

24 Untuk tinjauan lanjut tentang peranan golongan Arab dan yang berpendidikan dari Timur Tengah dalam membangkitkan semangat kesedaran orang Islam di Tanah Melayu, lihat, W. R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1980.

25 Temubual dengan Taufik bin Shaik Sulaiman (anak Shaikh Sulaiman), di Masjid Melayu Lebuh Acheh, 28 Disember 2010.

26 Temubual dengan Syarifa Zahara (anak Syed Omar Al-Mashoor), di kedai emas S. O. Almashoor, Jalan Masjid Kapitan Kling pada 19 Februari 2010

27 Temubual dengan Sheikh Tawfeek Badjenid (cucu Sheikh Mohamed Badjenid) di pejabat beliau Tawfeek Badjenid & Partners, Northam Hotel, 5 Mac 2010.

28 Suriyati binti Mohd Hussain, "Tan Sri Syed Abbas Alhabshee: Peranan dan sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi orang Melayu Pulau Pinang," disertasi Mod-campuran (Sarjana Asia Tenggara), Universiti Sains Malaysia.

29 S. L. 75 Wawancara Sejarah Lisan Fadzil Zakaria, Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment