Sunday, June 12, 2011

RG2011... Cerpen: Kasih yang Terbuang

 

Cerpen: Kasih yang Terbuang
Oleh Farahana Hussain
farahnyemahmulya@yahoo.com
2010/12/12

HANISYIQA menghidu bau wangi bada pisang yang digoreng ibunya, aroma masakan itu mengapung terus dari dapur ke ruang tamu. Dia mengusap perut, kecur air liur terus menjilat bibir. Selera makannya menjadi-jadi pantang terbau makanan panas-panas yang bergoreng nafsu makan terus bangkit. Berat badannya naik mendadak lantaran selera makannya yang meningkat itu. Bukan dia tidak cuba mengawalnya, namun seleranya memang gagal dikekang. Belum sempat dipelawa Hanisyiqa sudah mengetis hujung bada pisang yang masih panas di dalam pinggan.

“Ibu, duit.” Hanisyiqa mengerjap-ngerjap mata seakan memujuk.

“Duit, duit. Ke mana saja, Hani halakan duit saku Hani?”

“Ibu, ni. Hani tiap-tiap hari pergi perpustakaan dan kafe siber. Tengoklah selera makan Hani pun bertambah. Banyak membaca, banyak hal tentang kemasukan ke universiti kena tengok melalui internet, banyak guna tenaga tau, Ibu. Singgah makan, beli bahan-bahan bacaan.” Hanisyiqa beria-ia meyakinkan.

Wanita berwajah manis lingkungan awal 50-an dengan tahi lalat di dagu, tidak mahu berbantah-bantah lagi. Kabinet dapur dibuka, wang not RM50 dihulur dengan lembut. Hanisyiqa membalas dengan pelukan. Tangan kanan menyambut huluran wang, sementara tangan kiri memegang bada pisang. Mulutnya masih penuh dengan makanan, Ibu dicium di pipi dan dia berlalu pergi. Kehidupan Ibu sebagai pembantu am rendah di sekolah tidak mendedahkan Ibu dengan banyak hal dunia, apa saja yang dikatakan Hanisyiqa diterima bulat-bulat atas dasar percaya dan kasih. Dunianya hanya sekolah rendah tempat dia bekerja dan rumah pangsa kos rendah yang didiaminya bersama satu-satunya permata hati peninggalan arwah suami. Hanisyiqa ditatang bagai minyak yang penuh dari kecil hingga kini. Dia bersyukur anak gadisnya itu pintar. Keputusan UPSR, PMR dan SPMnya cemerlang dengan rekod 5A, 8A dan 10A. Kini Hanisyiqa di ambang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Ibu yakin kejayaan anaknya itu berterusan dan kemanisan akan berulang. Pengetahuan Ibu terbatas pada aktiviti Hanisyiqa semasa menunggu keputusan SPM. Anak gadisnya itu tidak disuruh bekerja sambilan, malahan hanya bersenang-senang di perpustakaan dan kafe siber untuk menambah pengetahuan, begitulah dakwa Hanisyiqa pada Ibu. Kelmarin, ada jiran yang membabarkan hal kurang enak tentang anak gadis kesayangannya. Tidak kurang juga yang bertanya mengapa anak gadisnya itu tidak disuruh bekerja.

“Hani tu ke mana cuti-cuti macam ini, kau tahu ke’ Leha?” Zubaidah jiran sebelah rumah membuka bicara.

“Dia anak aku, aku tahulah. Dia ke perpustakaan, pergi kafe siber. Kan dia nak masuk universiti. Macam-macam hal kena tengok di internet tu. Dia pergi perpustakaan biarlah. Aku tak mampu belikan buku mahal-mahal. Di perpustakaan dia baca percuma. Kan bagus.”
“Bukannya apa. Salim ni, Nampak Hani dengan lelaki naik motor besar. Ke hulu ke hilir jugalah. Bukan sekali dua. Dia tak kerjakan? Ke mana saja dia ke hulu ke hilir macam tu, ” Zubaidah menunggu reaksi balas, bimbang Ibu melenting.

“Salim tu, sekolah takat tingkat tiga. Dengkikan Hani agaknya. Kau jagalah anak kau. Aku jaga anak aku.” Ibu mengawurkan kata-kata pedas dan berlalu pergi.

Zubaidah sebagai jiran hanya menggeleng. Niatnya bukan menjaga tepi kain orang, tetapi memberitahu hal sebenar. Reaksi melenting memang boleh disangka kerana Hanisyiqa memang kelihatan seperti anak gadis yang manis yang sempurna.

Perangkap Kasih
KEPINTARAN dan kecerdasan anak didik akan selalu memutik rasa kasih dan perhatian tidak berbelah bagi di hati pendidik. Cikgu Imran memandang Hanisyiqa memang berbeza daripada pelajarnya yang lain. Selain cerdas dalam pelajaran, pengetahuannya tentang hal ehwal semasa juga mendalam. Diselidiki rekod Hanisyiqa dari segi akademik dan latar belakang peribadi timbul rasa kasihan dan simpati. Anak yatim dan beribu tunggal yang hanya berkerja kais pagi makan pagi.

Cikgu Imran tahu, dulu Hanisyiqa pernah menolak untuk ke kelas tambahan berbayar kerana keterbatasan kewangan. Cikgu Imran memberi galakan untuk Hanisyiqa membuat latihan tambahan dan merujuk kepadanya. Selalu juga dia melihat Hanisyiqa dengan rakan kumpulan belajar yang lain. Nurdiana, Fuziah, Marlis, Farouk dengan Jalal. Berenam dengan Hanisyiqa kumpulan belajar mereka memang terancang dan mempunyai prestasi membanggakan. Dua minggu sekali, Cikgu Imran menjemput mereka ke rumahnya untuk mengulang kaji. Cikgu Imran masih tinggal dengan keluarga di rumah banglo bersama ibu bapa dan adik bongsunya. Kadang-kadang dia menghantar keenam-enam anak didiknya itu pulang dengan MPV milik keluarga. Selalunya kalau mereka datang, dijamu dengan makanan yang enak dan berkhasiat. Hanisyiqa biasanya makan dengan berselera, dari situ Cikgu Imran meneka bahawa makanan seperti udang, sotong dan ketam memang jarang dijamah oleh anak didiknya dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah. Setakat mana kemampuannya, dia berusaha. Ikrarnya sebagai pendidik. Dia cuba memberi peluang kepada pelajarnya yang berpotensi terutama yang tidak bernasib baik untuk mereka dipermudahkan jalan dalam menuntut ilmu. Selepas tamat, peperiksaan SPM masing-masing membawa haluan sendiri. Dia pernah menghadiahkan Hanisyiqa telefon bimbit, atas kejayaan dalam keputusan peperiksaan percubaan SPM. Namun, tidak selalu mereka berhubungan. Cikgu Imran bimbang disalahertikan. Namun baru-baru ini dia tersentak. Di lampu trafik persimpangan sekolah, dia melihat Hanisyiqa membonceng lelaki hampir sebaya usianya. Hanisyiqa memalingkan wajah membuatkan Cikgu Imran tidak dapat memastikan sama ada gadis itu benar-benar Hanisyiqa atau ilusi semata-mata.

“Siapa jantan tadi yang pandang U dari dalam kereta?” Razi meninggikan suara membentak inginkan jawapan daripada Hanisyiqa.

“Cikgu sekolah I.”

“U ada hubungan dengan dia? Hah?” Razi memicit dagu Hanisyiqa dengan keras. Hanisyiqa menahan sakit dan memujuk agar tidak dikasari.

“Cikgu sekolah saja. Tak lebih daripada tu.” Hanisyiqa meyakinkan.

“Oh, cikgu yang beri U handphone kan? U bagi apa pada dia sampai dia bagi macam-macam?” Amarah cemburu Razi masih belum reda. Ikatan tocang kuda Hanisyiqa disentak, air mata sudah mula merembes dari pelupuk mata Hanisyiqa. Tubuh kecil Hanisyiqa dihumban ke sofa. Hanisyiqa memujuk Razi. Perkenalan singkat melalui alam maya dan seterusnya pertemuan di kafe siber telah merubah seluruh hidup Hanisyiqa. Razi, pelajar universiti swasta dengan berbekalkan paras wajah rupawan dan harta kekayaan keluarga dengan mudah memastikan Hanisyiqa jatuh ke tangannya. Razi sudah lama mensasarkan Hanisyiqa yang kelihatan naif dan berbudi untuk menjadi kekasih hati. Dia mengekori Hanisyiqa ke kafe siber dan mengupah pemilik kafe siber untuk mendapatkan ID Yahoo Messenger, milik gadis genit itu, sebelum menjual ayat-ayat manisnya. Kemudian, dia mengatur pertemuan mata bertentang mata dengan Hanisyiqa. Razi menabur kemewahan berbentuk barangan kepada gadis manis itu. Dibawanya gadis manis itu, ke SPA di samping menjalani rawatan muka. Sekali sekala merapikan kuku kaki dan tangan. Kadang-kadang bermotor kuasa tinggi, kadang-kadang dipandunya kereta mewah milik keluarga. Hanisyiqa terbuai dengan hidup selesa. Razi sudah bosan dengan gadis yang ditemui di kelab malam dan gadis sekolejnya. Pucuk dicita ulam mendatang, tidak sampai sebulan Hanisyiqa sudah berjaya ditaklukinya dari hujung rambut ke hujung kaki. Razi memandang Hanisyiqa yang merengek-rengek memujuknya, entah kenapa hatinya masih sayang. Biasanya cukup tiga bulan Razi akan bertukar gadis lain. Hatinya terikat, mungkin kerana Hanisyiqa bijak dan merendah diri. Gadis itu naif malahan masih suci tatkala mereka bertemu pertama kali dan tidak pernah mengatakan tidak pada permintaannya.

Debar Hati Ibu
KATA-KATA Zubaidah meninggalkan kesan hebat di hati Ibu. Jam menunjukkan pukul 7 malam. Kelibat Hanisyiqa masih tidak kelihatan. Hati Ibu, terusik. Bilik anak gadisnya yang manis tidak pernah diselongkar atau diselidiki.

Kepercayaannya pada Hanisyiqa tinggi. Sanggup dia mempertaruhkan nyawanya bahawa anak gadisnya itu, masih anak manis yang dikenalinya dulu. Dia tidak percaya. Langsung tidak percaya dengan cerita-cerita bingit daripada jiran tetangga. Almari berwarna coklat tua yang usang diselak daun pintunya. Baju Hanisyiqa dikibas satu persatu dari gantungan. Memang Ibu perasan banyak baju baru dan agak mahal kelihatan. Ibu masih cuba memahami gelojak jiwa anak muda untuk bergaya, Ibu mula faham mengapa wang saku Hanisyiqa selalu tidak cukup. Buku akaun ASB Hanisyiqa diperiksa, wang pelaburannya bertambah. Sedikit demi sedikit. Ibu bangga anaknya menabung. Hati mula bertanya, jika wang saku ditabung, Hanisyiqa bermewah bagaimana? Ibu menyedapkan hati sendiri. Mungkin Hanisyiqa bekerja sambilan. Dia tersenyum sendiri. Dia beralih mendekati meja solek. Alatan yang ada masih seperti dulu. Bedak bayi jenama Johnson & Johnson yang selalu dipakai, deodorant Rexona dan celak mata dari Makkah. Setakat itu saja bersama sikat rambut dan getah berwarna-warni. Nafas lega dilepaskan oleh Ibu kerana Hanisyiqa masih anak gadis yang dikenalinya dulu. Dia mahu membabat kepala jiran-jirannya selepas ini, kalau mereka memburukkan Hanisyiqa lagi.

“Ibu? Kenapa Ibu menangis ?” Hanisyiqa duduk di sebelah Ibu.

Ibu menggeleng dan mendakap Hanisyiqa erat.

“Hani dah berisi sangatlah. Tengok lengan pun banyak daging.” Ibu memicit-micit lengan kanan Hanisyiqa. Hanisyiqa tersenyum. Memang benar berat badannya bertambah mendadak. Mungkin kerana ditamu makanan mewah oleh Razi. Hatinya senang bersama buah hati. Walaupun dia tidak suka aktiviti Razi merempit di jalanan. Hanisyiqa tetap memberi sokongan walaupun selalu memujuk Razi meninggalkan tabiatnya. Razi anak orang berada, Hanisyiqa yakin satu hari Razi akan berubah dan kebahagiaan akan menyebelahinya. Tiba-tiba tekaknya mual dan meloya. Agaknya makanan yang dibeli Razi tadi membuatkan dia begini. Dia berlari laju ke tandas. Ibu mengekori dari belakang.

“Salah makan agaknya.” Hanisyiqa menyedapkan hati Ibu
Gerak naluri hati seorang Ibu, gagal membendung rasa ingin tahu. Rasa curiga berputik. Pertambahan berat badan dengan selera mendadak. Kini, anak gadisnya muntah-muntah. Oh, Tuhan! Bisikan-bisikan nakal dan umpat keji jiran mula terngiang-ngiang. Ibu mengurut dada. Dia diserang asma tiba-tiba. Hanisyiqa menelefon teksi. Dipapah Ibu ke dalam teksi. Tubuh genitnya tidak mampu menanggung badan Ibu yang berisi. Salim, jiran sebelah rumah dipanggil. Di klinik, kedua-dua Ibu dan anak diperiksa. Ketika ucapan tahniah diucapkan oleh doktor wanita yang memeriksa Hanisyiqa, seluruh tubuh Ibu berapungan ke udara. Melayang. Dunia gelap tiba-tiba. Ibu pengsan. Sebaik sedar, racau Ibu terus menjadi-jadi.

“Ibu nak tahu, siapa? Siapa?” Ibu memekik-mekik.

“Sabarlah mak cik. Sabar. Hani pun kurang sihat. Mak cik pun. Berehatlah dulu. Esok pagi, mak cik bincangkan baik-baik.” Salim cuba memujuk.
“Ya Allah, Hani. Apa yang kau buat pada Ibu. Apa?”

Hanisyiqa hanya terbayangkan wajah Razi. Berbalam-balam dengan wajah Cikgu Imran. Hanisyiqa dibisikkan idea-idea hitam. Dia mahu melindungi Razi. Dia tidak mahu Razi terlibat dalam masalah.

“Cikgu Imran, Ibu. Hani, dirogol.” Hani menitiskan air mata palsu.
Benih haram di rahimnya bukan hasil keterpaksaan, tetapi benih nafsu yang bercambah membesar akibat pujukan syaitan. Cikgu Imran pula yang dijebakkan.

“Kita lapor pada, polis.” Ibu mengesat air mata, terus simpati pada anak gadis membuak-buak.

“Jangan, Ibu. Jangan.”

“Kita pergi rumah dia. Hani tahu kan rumah dia?” Ibu menyarankan.

Hanisyiqa mengangguk dan melangkah longlai.

Korban Kasih
“MAK CIK, saya akan bertanggungjawab.” Jawapan itu meluncur ikhlas dari mulut Cikgu Imran. Ibu bapanya terkesima. Mereka saling berpandangan. Anak teruna kesayangan mereka tidak akan berkelakuan sumbang. Tetapi jauh di sudut hati mengetahui ada alasan sebab musabab jawapan itu keluar dari mulut anak teruna kesayangan, maka mereka merelakan. Tidak ada ketegangan. Suasana hening. Seorang demi seorang bercakap. Perbincangan lancar tanpa sampuk menyampuk. Ibarat lanting menuju tampuk, berkata menuju benar. Ibu menghembus nafas lega. Hanisyiqa membentuk bibir, antara sesal dan lega kerana selamat daripada aib dan amukan Ibu.

“Baguslah, kalau macam tu. Mak cik , tak mahu menanggung aib bertimpa-timpa. Kami tak akan lapor pada polis kalau Cikgu hendak bertanggungjawab.”

“Tapi, Ibu. Hani tak mahu kahwin dengan Cikgu Imran.” Antara keluar dengan tidak ayat itu di bibir mungil Hanisyiqa.

Cikgu Imran terpukul. Hanisyiqa kini seperti meletakkan Cikgu Imran bagai dipukul lutut sakit, direngkuh siku ngilu. Entah apa yang bermain dalam benak dan kepala Hanisyiqa ketika ini. Bayangan Razi sahaja yang tampak di retinanya. Cikgu Imran meminta izin untuk berbicara sendirian dengan Hanisyiqa di laman rumah. Deru air terjun mini dari kolam Jepun menenggelamkan perbualan mereka.

“Kenapa sampai macam ni? Cikgu nak tolong Hani. Kenapa Hani menipu?”
“Kenapa Cikgu tu bodoh sangat, mengaku? Cikgu boleh nafikan saja.” Hanisyiqa senyum mengejek.

“Sebab kamu anak didik Cikgu. Ibu kamu sakit, kita boleh selesaikan semua ni baik-baik. Cikgu tak nak kamu hanyut.”

“Cikgu ingat saya hendak sangat kahwin dengan Cikgu?” Mulutnya dijuih, mendabik dada kerana dalam keadaan sudah ditebuk tupai, Cikgu Imran masih mahu menyuntingnya.

“Jangan silap, Hani. Saya sudah bertunang dengan gadis pilihan saya. Saya hanya menunggu dia menamatkan pengajian sarjananya di luar negara. Saya katakan saya akan bertanggungjawab bukan dengan menikahi kamu. Saya, cikgu kamu. Saya bertanggungjawab menangani masalah kamu.”

Hanisyiqa tersentak sedar kekhilafan diri. Malu tiba-tiba. Perasaan yang sudah lama sirna dari jiwanya.

“Kita akan lapor pada polis, kalau teman lelaki kamu tak nak bertanggungjawab. Cikgu akan carikan rumah perlindungan untuk kamu lahirkan bayi ni. Untuk kamu kembali ke pangkal jalan.” Cikgu Imran memandang Hanisyiqa yang hanya membuang pandangan jauh, kakinya menguis rumput mutiara di halaman rumah.

“Ingatlah Hani. Nabi pernah bersabda, ‘Berkata benarlah, walaupun pahit.’ Kamu saja yang boleh menjernihkan kekeliruan yang timbul. Cikgu tak paksa. Tapi, hakikatnya yang hitam tetap hitam dan yang putih tetap putih. Cikgu hanya bimbangkan masa depan kamu. Maruah dan kesihatan Ibu kamu penting. Cikgu harap, kamu fikirkanlah masak-masak. Jangan jatuh di lubang yang sama dua kali. Sedar dan bangkitlah daripada kesilapan semalam.”

Hanisyiqa mencari kekuatan untuk bercakap benar pada Ibu dan ibu bapa Cikgu Imran. Tidak ada kata yang mampu diucapkannya, hanya tangis panjang dan raungan ampun maaf. Mereka saling berpandangan. Menunggu penjelasan daripada Hanisyiqa untuk mendengar hakikat dan kebenaran.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment