Monday, July 18, 2011

RG2011... persoalan bidaah

 


Artikel ini ditulis di atas permintaan sahabat untuk memahami permasalahan mengenai bidaah. Saya tidak bercadang untuk membawa dalil-dalil dari kitab-kitab yang besar untuk menerangkan masalah yang tiada berkesudahan ini. Sekadar pemerhatian, saya dapati sudah banyak artikel mengenainya ditulis yang dipetik daripada kitab ulamak dan juga dalil al-Quran dan al-Hadis. Namun apa yang ingin saya kongsikan bersama suatu kefahaman yang perlu ada kepada kita untuk memahami permasalahan ini yang sengaja dibesar-besarkan agar umat Islam terus berselisih sepanjang zaman sehingga melupakan perkara yang lebih besar daripada membincangksn masalah khilafiyah yang sudah diselesaikan oleh ulamak terdahulu beratusan tahun.

Namun, kerana wujudnya segelintir golongan yang tidak ingin berpedoman dengan kalam ulamak bahkan mereka lebih suka untuk menggunakan kalam mereka sendiri menyebabkan mereka hanyut dalam kefahaman yang mereka cipta sendiri. Ulamak dikatakan manusia biasa. Mempunyai potensi untuk melakukan kesilapan namun persoalannya apakah kita luar biasa? Apakah pandangan kita tidak ada potensi untuk silap? Sudah tentu pandangan kita yang dangkal dan tidak dipandukan dengan dowaabit syariyyah yang betul, lebih berpotensi untuk silap berbanding ulamak-ulamak kita yang jika dihitung kitab dan tulisan mereka tidak termampu oleh kita untuk merenangi lautan ilmu mereka. Justeru, menyebabkan kita hanyut di lautan yang luas bersama rakit kecil.

Sayugia difahami, untuk memahami nas syar'iyyah kita memerlukan penguasaan ilmu alat. Ilmu alat merupakan suatu sifir dan formula yang disusun oleh ulamak bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Formula ini disusun setelah mereka merenangi lautan ilmu yang luas daripada kalamullah dan kalam Rasulillah SAW. Bukan hanya berakit ke hulu lalu merasakan diri sudah hebat dan jaguh di lautan ilmu Allah SWT. Kesilapan memahami hadis Rasulillah SAW merupakan suatu pendustaan ke atas nama Nabi SAW yang dijanjikan "seat" kelas VVIP di dalam api neraka Allah SWT seperti mana yang telah disabdakan oleh junjungan besar SAW.

Bidaah bukan suatu hukum. Jika kita mempelajari ilmu usul fiqh kita tidak akan menemui satu hukum yang dinamakan sebagai bidaah. Hukum ada 5 yang disebut sebagai hukum takhlifi iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jadi, sesuatu perkara bidaah hendaklah dihukumkan dengan 5 hukum ini samada ia bidaah yang wajib, bidaah yang haram, bidaah yang sunat, bidaah yang makruh atau bidaah yang harus. Maka kita tidak boleh hukumkan semua bidaah adalah haram kerana terdapat bidaah yang wajib seperti menyusun al-Quran di dalam satu mushaf yang kita tahu ia berlaku pada zaman Sayyidina Uthman R.A. iaitu zaman sahabat Radhiallahu 'Anhum. Tidak berlaku pada zaman Nabi SAW. Maka Islam tidak menganggap ia sesuatu yang haram bahkan wajib kerana jika tidak disusun di dalam satu mushaf yang dikenali sebagai mushaf uthmani pada zaman kita ini maka keaslian al-Quran tidak akan terjamin kerana masing-masing akan membaca mengikut lahjah (loghat) mereka.

Saya boleh membincangkan topik ini daripada sudut bahasa arab itu sendiri. Adakah kullu yang digunakan oleh Nabi SAW menunjukkan tidak terkecuali yakni semua atau sebahagian sahaja? Tidak ada takhsis dan sebagainya. Mengapa digunakan lafaz nakirah pada perkataan bidaatin? Kenapa digunakan perkataan muaannas iaitu bida'ah tidak digunakan bid'un sahaja namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya pada artikel ini. Cukuplah jika kita memahami bahawa kalam nabi SAW merupakan kalam berbahasa arab dan mesti difahami dengan menggunakan bahasa arab yang betul mengikut qawaid nahwiyyahnya. Jika kita mengetahui makna bahasa arab dengan bantuan kamus jangan merasa terlalu bijak untuk memahami kalam Nabi SAW yang agung sehinggakan penyair-penyair arab yang hebat bahasanya di zaman jahiliyyah tidak dapat menandingi kesusasteraan bahasa Nabi SAW.

Kecuaian dalam memahami istilah hadis. Apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW? Hadis ialah "apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat kejadian tubuh Nabi SAW atau akhlaknya". Ulamak usuliyyun yakni ulamak usul fiqh tidak mengambil kira sifat kejadian Nabi SAW dan akhlak sebagai dalil hukum. Dengan perkataan yang lain. Ulamak usuliyyun mengambil kira 3 aspek daripada 5 aspek ini untuk menentukan sesuatu hukum iaitu perkataan Nabi SAW, perbuatan Nabi SAW dan akuan atau diam Nabi SAW.

Kebiasaan golongan yang suka membidaahkan umat Islam melihat kepada dua sahaja iaitu apa yang dikatakan oleh Nabi SAW dan apa yang dibuat oleh baginda dan mencuaikan yang ketiga iaitu hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Jika Nabi tak buat dan Nabi tak kata maka bidaah padahal di sana masih ada satu lagi kategori hadis yang dicuaikan oleh mereka iaitu sunnah taqririyyah.

Sunnah taqririyyah ialah sesuatu yang Nabi diam padanya. Nabi tidak kata boleh dan Nabi tidak kata tak boleh atau haram maka dikira sebagai harus. Pernah belaku di zaman Nabi SAW, para sahabat memakan dhob (binatang padang pasir bentuknya seperti biawak) dihadapan Nabi SAW tetapi Nabi tidak memakannya dan Nabi SAW tidak melarang sahabatnya daripada makan maka ulamak menganggap ia suatu yang halal kerana jika ia suatu yang diharamkan oleh Allah SWT maka pasti dilarang oleh Nabi SAW kerana seorang Nabi tidak akan redha dengan maksiat yang dilakukan oleh umatnya dan menjadi kewajipan seorang Nabi untuk menyatakannnya. Maka inilah yang dikatakan sebagai hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Nabi tak kata dan Nabi tak buat tapi adakah Nabi larang? Jika tidak ada larangan daripada Nabi SAW mengapa kita memandai-mandai untuk melarang dan mengatakannnya haram?

Jika kita melarang apa yang Nabi SAW tidak larang kita juga sebenarnya melakukan bidaah yang lebih besar kerana kita mengada-ngadakan larangan sesuatu yang Nabi SAW sendiri tidak larang..

Kerana kecuaian kita dalam memahami sunnah taqririyah ini maka kita melarang apa yang Nabi SAW tidak pernah melarang seperti tahlil, berzikir selepas solat secara berjemaah, terawih secara berjemaah, talqin kepada orang yang telah mati, bacaan yasin malam jumaat dan seumpamanya bahkan nun jauh di sana ada dilalah yang membenarkan semua itu walaupun daripada sudut parktikalnya berbeza kerana ia termasuk daripada perkara yang luas dan tidak ditetapkan begini-begini. Adapun bidaah yang haram ialah seperti kita menambah bilangan rakaat solat yang secara qot'ie telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

Adapun permasalahan baca yasin maka tidak menjadi satu kesalahan jika kita ingin membacanya pada malam jumaat atau pada malam-malam yang lain tanpa mewajibkannya. Namun dengan kelebihan surah yasin yang digelar sebagai qalbul quran (jantung al-Quran) dan kebesaran malam jumaat yang digelar sebagai sayyidul ayyam (penghulu segala hari) maka jika digabung keduanya sudah pasti kita akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.



From: Izana Hani <izanahani@yahoo.com>
To: "respeks_group@yahoogroups.com" <respeks_group@yahoogroups.com>
Sent: Sunday, 17 July 2011 17:12:09
Subject: Re: RG2011... Jauhi Bid'ah Nisfu Sya'ban

 

dah byk sgt bercerita bid'ah ni
seorang kata bid'ah tak bole, sorang kata boleh
tolong bagi tau apa itu bid'ah
apa kriteria dikata bid'ah, apa kriteria bukan bid'ah
apa hukum sebenar bid'ah tu

supaya faham semua
bukan separoh2


From: suhaili sahari <surosab161@yahoo.com>
To: "respeks_group@yahoogroups.com" <respeks_group@yahoogroups.com>
Sent: Saturday, July 16, 2011 1:58 PM
Subject: Re: RG2011... Jauhi Bid'ah Nisfu Sya'ban

 
Sepatutnya para cendiakawan yang selalu cakap biadaah ni banyakkan amalan sebab yang kita tengok setiap kali ada amalan yang baik nak dibuat pada bulan yang baik termasuk ramadhan ada saja bidaahnya. Macam ulamak ulamak dulu tak reti langsung tentang bidaah ni. Setiap bulan ada saja biadaahnya, baca yasin pun bidaah hari jumaat. Last last setiap hari tak payah buat apa apa semuanya bidaah. Yang tak bidaah mengadap internet bagitahu orang semua amalan bidaah.

Lagi bagus kalau dia orang kata:

1. Tak solat sunnat sebelum dan selepas solat fardhu tu BIDAAH
2. Tak puasa sunat Isnin dan khamis tu BIDAAH
3. Tak baca quran dan Khatam 2 kali setahun tu BIDAAH
4. Tak brsedekah tu BIDAAH
5. Tak berzikir tu BIDAAH
6. Tak baca surah AL Khafi setiap malam jumaat tu BIDAAH
7. Tak baca 10 surah awal dan akhir surah alkahfi utk elak fitnaj dajal tu BIDAAH
8. Tak solat berjemaah tu BIDAAH
9. Tak dengar ustaz mengajar tu BIDAAH
10. Tak solat terawih tu BIDAAH
11. Tak sambung solat terawih kat rumah lepas 8 rakaat tapi tengok TV tu BIDAAH
12. Tak beramal malam raya seperti baca quran etc pada malam raya tapi sibuk hias rumah dan buat kuih tu BIDAAH
13. Tak baca quran dibulan ramadhan tu BIDAAH
14. Tak iktikaf 10 hari terakhir di bulan ramadhan tu bidaah.
15. Tak solat dhuha 8 @ 12 rakkat tu BIDAAH.
16. Tak bagi salam bila jumpa saudara Islam tu BIDAAH
17. Masuk rumah tak bagi salam tu BIDAAH
18. Tak tutup aurat sempuna tu BIDAAH (HARAM pun boleh)
19. Berjoget dan menyanyi lalai tu BIDAAH (HARAM pun boleh)
20. Pergi ziarah KUIL FIRAUN tu BIDAAH (Bukan ziarah Makam NABI)
21. Ada TV kat rumah tu BIDAAH
22. Banyak lagiiiiiiii

Pelik manusia ni 
 
Suhaili Bin Sahari
Tel: 0133974740
email address: surosab161@gmail.com
http://suhailisahari.blogspot.com
http://www.mudah.my/cermin-kereta?ca=8_s
http://groups.yahoo.com/group/HalalIndustry

From: Mohd.Syaiful bin Ramli Ramli <per6079@yahoo.com.my>
To: respeks_group@yahoogroups.com
Sent: Friday, July 15, 2011 5:55 PM
Subject: Re: RG2011... Jauhi Bid'ah Nisfu Sya'ban

 
Orang wahabi memang macam tu semua sesat belaka. Yang dia kalut orang buat ibadat benda yang furuk2. Dia tak kalut orang tak sembahyang, zakat, haji dan puasa. Kata Ustaz Muthalib Maarof, jangan diganggu orang yang beramal perkara itu setelah sekian lama perkara itu diamalkan orang terdahulu. Orang wahabi kalau tak mau beramal jangan kacau orang yang nak beramal.

--- On Fri, 15/7/11, zeck mat <semuaall@yahoo.com> wrote:

From: zeck mat <semuaall@yahoo.com>
Subject: Re: RG2011... Jauhi Bid'ah Nisfu Sya'ban
To: respeks_group@yahoogroups.com, muslimz87@yahoo.com
Date: Friday, 15 July, 2011, 8:04 AM

 
salam
 jika dibawa pendapat al-bani, dr asri, Rasul dahri, dan yg seangkatan dgn nya, confirm wahhabi... jika zikir beramai2 pun puak2 kamu kata sesat, apa ler mlm Nifsu Sya'ban ni.. tapi wujudkan 3 jenis tawhid, tak pulak sesat dan bidaah...
 

 


From: abu usamah <muslimz87@yahoo.com>
Sent: Thursday, 14 July 2011 15:57:38
Subject: RG2011... Jauhi Bid'ah Nisfu Sya'ban

 
Assalamualikum WBT. Bulan sya'ban dah nak sampai pertengahannya.
Apa ada dengan pertengahan sya'ban? Apa ada dengan nisfu sya'ban?
"Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Akan tetapi hadith di atas tidak mengajar apa-apa amalan khusus di malam atau siang Nisfu Sya'ban! Dari mana asalnya? Siapa pula nabi yang mendapat wahyu yang mengajar kita tentang ibadah-ibadah yang tak di ajar oleh Nabi Muhammad SAW penutup segala rasul ini.
Ulas Dr. Yusuf al-Qaradawi:
"Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi' tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Sudahlah mennyebarkan bid'ah, kita lalai, lupa sehingga menjadi tali barut penipu dan pendusta dengan menipu masyarakat menggunakan nama Rasul. Ibadah yang tak pernah di ajar Nabi SAW dikatakan di ajar oleh Rasulullah SAW.
"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)
Ustaz Asri Zainul Abidin menyebutkan:
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya. Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu', atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:
"Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w." (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)
Apakah modal-modal atau hadiith-hadith palsu yang dijadikan hujah untuk menipu masyarakat ini dan secara tak langsung mengkhianati agama wahyu yang telah sempurna ini?
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya'ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:
- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya'ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: "Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..
Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya'ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
- Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya'ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)).
Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.
Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya'ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya'ban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu': "Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I'syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya'ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid'ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya'ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu' seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).
Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:
((Tentang malam Nisfu Sya'ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya'ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).
Beliau menambah lagi:
((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti:
((Dan pada malam Nisfu Sya'ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya'ban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya'ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya'ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya'ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi:
((Di dalam kaedah syara', tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara' kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)
Untuk apa kita sibuk-sibuk beramal dengan yang tidak sunnah sedangkan berapa banyak sunnah yang kita abaikan. Bahkan berapa ramai daripada kita meremehkan sunnah-sunnah ada, walaupun sudah mengetahui tentang nya. Lihatlah apa jadi dengan sunnah solat menghadap ke sutrah. Bid'ah nisfu sya'ban lebih popular dengan sunnah yang makin dilupakan ini, bahkan dipandang pelik orang yang sibuk-sibuk mencari dinding atau objek untuk dijadikan sutrah. Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan bersiwak waktu nak solat, waktu nak baca al-Quran? Berapa ramai daripada kita bila mendengar azan akan berselawat? Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi SAW ajar? Lihatlah, bid'ah semakin membiak dan sunnah semakin pupus.
Wassalam.




__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment