Thursday, November 10, 2011

RG2011... Implikasi penghakiman bersejarah kes UKM4

 



Fokus Isu

Oleh HILMAN IDHAM 

 

Kes UKM4 berhadapan dengan kesudahan yang agak manis di Mahkamah Rayuan tempoh hari. Saya sebut 'agak' manis hanya kerana keputusan panel hakim rayuan tidak disambut sorhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhPE4JLu1Hj8WvliVTroQMg9w9tt5wCNSQ-EUA70bMfIuExdCCUbDRoUK7ffG44xegRz7mUOZ6OPd3iDXc04Z08k3msQDGnGlBNawSFZFo61fK9CWPYJYEsza5AExJ_Fy_qEr_Li9pDpfXP/s400/auku_small.jpgak anak muda mahasiswa yang berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman; berbanding sewaktu keputusan kes diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Jika tidak, pastilah kemenangan itu bertambah manis lagi.



Sewaktu kes tersebut kalah di Mahkamah Tinggi, ratusan anak muda mahasiswa berkumpul, hadir menyatakan sokongan. Kekalahan yang kami terima terasa begitu indah, sehingga tidak langsung terasa dukacita dengan keputusan yang diberi. Ada yang memanjat tiang perkarangan mahkamah Jalan Duta bersorak dan bertepuk tangan memberi galakan. Teriak sorak Hidup Mahasiswa masih terngiang-ngiang di telinga.

 

Maka keputusan Mahkamah Rayuan sedikit sebanyak membuat saya sedikit mamai. Seolah-olahnya semua ini terlalu hebat untuk menjadi kenyataan. Seakan tubuh digoncang-goncang kuat untuk dikejutkan dari tidur yang panjang. Lagipula tidak ada ramai kawan-kawan mahasiswa untuk menyambut berita gembira itu di luar pintu mahkamah.

 

Saya dan tiga lagi teman, Woon King Chai, Azlin Shafina dan Ismail Aminuddin telah pun dilepas bebas dari tindakan tatatertib di peringkat universiti. Kami berempat telah ditahan di kawasan parlimen Hulu Selangor, sewaktu berlangsungnya pilihanraya kecil di kawasan tersebut. Saya dan Azlin ditahan di sebuah warung, yang dikerumuni pegawai polis cawangan khas.

 

Jawapan pegawai polis, apabila saya tanyakan sebab saya ditahan masih mencuit hati saya sehingga ke saat ini. "Sebab kamu berada di Hulu Selangor. Salah untuk kamu berada di sini," katanya. Seolahnya mana-mana mahasiswa yang berada di dalam kawasan pilihanraya melakukan satu dosa besar yang tidak mungkin terampun. Biarpun jawapan ini menurut saya tidak rasional, namun lucu.

 

Justeru selalu saya sebutkan kepada teman-teman bahawa jika itu alasannya, maka kalau berlaku pilihanraya umum di Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi harus sewa sebuah kapal untuk bawa sekalian anak mahasiswa keluar negara sehingga pilihanraya selesai; memandangkan menjadi satu kesalahan bagi mahasiswa untuk berada di dalam kawasan yang sedang berlangsungnya pilihanraya.

 

Ini jawapan sinis dari saya. Harapnya mereka faham.

 

Apa sebenarnya yang menyebabkan situasi kelakar ini? Apakah yang menjadi faktor utama kepada adegan lucu yang berlaku di segenap institusi pendidikan negara ini? Saya dan teman-teman telah ketemu pucuk pangkal masalah ini, dan kami telah melancarkan perang habis-habisan ke atas faktor ini, sehinggalah saat manis mahkamah rayuan membenarkan pendirian kami bahawa AUKU itu bukanlah suatu makhluk undang-undang yang menepati semangat Perlembagaan Persekutuan.

 

Satu masalah yang besar dalam rejim pemerintahan Barisan Nasional ini ialah keghairahannya mengawal segala yang boleh dikawal. Kita mungkin tidak akan pernah faham mentaliti 'pengawas sekolah' ini kerana sudah terlalu lama daya fikir kita dibonsaikan oleh pihak pemerintah. Justeru pengawasan dan kawalan sudah menjadi suatu kelaziman dalam kelangsungan hidup sehari-hari.

 

AUKU dicipta untuk mengawal kebebasan berfikir mahasiswa. Dicipta sekitar zaman kebangkitan anak muda menentang kezaliman era 70'an, AUKU terus dijadikan aparat pemerintah yang paling ampuh untuk menutup mulut dan minda anak mahasiswa daripada lantang memberi kritik-kritik kepada kebijakan kerajaan. Seksyen 15-nya, yang disebut ramai sebagai hati nurani akta tersebut mengikat tangan kaki mahasiswa daripada berfungsi sebagai jurubicara rakyat terbanyak. Bahagian inilah yang sudah kami cabar keabsahannya di mahkamah tempoh hari.

 

Seksyen 15 AUKU mengekang hak mahasiswa sebagai warganegara untuk menyatakan sebarang sokongan terhadap mana-mana anasir politik. Ini kejanggalan maha besar, memandangkan maksud memberi sokongan ini boleh juga mencakupi aspek mengundi sewaktu pilihanraya. Ini lebih kelakar dari jenaka sewa kapal tadi. Apakah yang dibuat oleh seseorang apabila memangkah kertas undi kalau bukan menyatakan sokongan kepada parti politik? Apa mahasiswa tidak boleh mengundi?

 

Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju dengan pihak defendan – dalam kes ini, Kerajaan Malaysia; bahawa kekangan-kekangan undang-undang terhadap kebebasan bersuara adalah perlu demi memulihara keteraturan awam dan tatasusila moral. Kami berhujah pula bahawa kekangan tersebut biarpun perlu, haruslah dilaksanakan dengan munasabah. Hakim rayuan sependapat dengan kami apabila beliau pula bersetuju bahawa tidak ada mana-mana bahagian dalam ucapan menteri sewaktu undang-undang ini digubal, bahawa AUKU bertujuan menjaga keteraturan awam mahupun nilai-nilai moral.

 

Hakim Rayuan Hishamuddin Yunus menyebut dalam alasan penghakiman beliau bahawa adalah menjadi satu kesukaran bagi beliau untuk memahami bagaimana seorang mahasiswa yang menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti politik mampu membawa mudarat kepada umum mahupun menyebabkan kebejatan moral kepada masyarakat. Saya harus bersetuju dengan beliau, yang menyebabkan saya tambah tidak mengerti mentaliti pengawas sekolah UMNO yang begitu giat mahu mengawal kebebasan bersuara dan kebebasan politik mahasiswa. Kelab UMNO tak apa pula.

 

Beliau turut menambah bahawa mahasiswa, secara umumnya sudah pun mencapai usia majoriti. Mereka sudah punya kapasiti yang disahkan undang-undang untuk menandatangani sebarang kontrak, menjadi pengarah syarikat, boleh bernikah dan punya keluarga, boleh pula mengundi, tetapi undang-undang menyekat kebebasan bersuara dan berpartisipasi secara langsung dalam politik negara. Ini harus dilihat sebagai suatu kerugian besar kepada masa depan negara. Saya juga bersetuju dengan Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan bahawa universiti seharusnya menjadi lubuk  pemikir dan pencetus perubahan, bukan kilang penghasilan robot dalam persekitaran yang represif dan mengekang.

 

Justeru apa tandanya penghakiman kes UKM4 di mahkamah rayuan ini untuk masa depan gerakan mahasiswa secara keseluruhan? Adakah dengan keputusan bahawa AUKU bertentangan dengan semangat perlembagaan maka semua mahasiswa boleh terus isi borang parti politik atas nama memperjuangkan kebenaran dan keadilan?

 

Perjuangan mahasiswa ini umpama permainan cinta. Sebagaimana butanya cinta, seperti itu jugalah butanya perjuangan mahasiswa. Bukanlah kerana perjuangan mahasiswa ini tidak punya kemampuan untuk melihat dan mengukur. Tetapi kerana perjuangan mahasiswa harus kerap kali menutup mata dari sebarang tarikan kebendaan, dan dan hanya mengikut kata hati. Sesuai gelarannya sebagai suara hati nurani rakyat terbanyak.

 

Demikian yang kita sama-sama lihat sekitar perhimpunan anak mahasiswa di Universiti Islam Antrabangsa tempoh hari lalu, ketika anak muda bingkas bangun mempertahankan kebebasan akademik dan mengangkat Aziz Bari dari seorang pensyarah undang-undang ke martabat seorang revolusioner. Semangat kebangkitan anak muda mahasiswa menentang segala yang tidak betul seharusnya dilihat sebagai suara hati nurani rakyat yang telah sekian lama hidup dalam kongkongan dan kawalan yang tidak munasabah.

Jadi berbalik kepada persoalan awal tadi; selesaikah sudah semuanya? Adakah penghakiman julung-julung kali terhadap AUKU melalui kes UKM4 ini akan merobah status quo? Jawapannya tidak. Mahasiswa akan terus ditekan dan rantai yang membelenggu mereka akan terus diketatkan. Saya pertanyakan kepada tuan-tuan, kenapa begitu runsing dan bimbang sekali pihak menteri dan pemerintah apabila mahkamah akhirnya berani bertingkah dengan kehendak eksekutif?

 

Peguan terkenal Haji Sulaiman Abdullah pernah menyebut, "Seandainya kita tidak jemu mengetuk pintu badan kehakiman, suatu hari nanti pasti akan ada yang sudi membukakan pintu itu." Kes UKM4 adalah suatu sejarah besar dalam gerakan mahasiswa, yang akhirnya memberi tamparan kepada sekalian aparat pemerintah bahawa mereka tidak selalunya betul dan turut terbuka kepada cabaran-cabaran yang memalukan. Sama seperti malunya mereka sekitar bulan Mac 2008.

 

Menteri Pengajian Tinggi kelihatan bersungguh mahu mencabar keputusan mahkamah rayuan. Timbalan menterinya pula tersenyum riang kerana ide yang beliau canang-canangkan akhirnya dipersetujui oleh mahkamah. Anak muda mahasiswa boleh menarik nafas lega. Namun seperti yang selalu saya sebutkan, 'perjuangan itu pasti terus'. AUKU hanya akan dikebumikan dengan 'political will' pihak-pihak yang berani di Parlimen. Mahkamah sudah membuka 'floodgate'nya.

 

Perjuangan pasti terus. Jalan sudah terbentang luas untuk kita semua.

  

Seronok dengar leteran Hakim Hisham kepada Umno ...

Minda Lutfi

Oleh  AHMAD LUTFI OTHMAN

Keputusan Mahkamah Rayuan, 31 Oktober lalu, melalui Hakim Hishamuddin Yunos dan Linton Albert, bahawa Seksyen 15(5)http://criticallegalthinking.com/wp-content/uploads/2011/01/auku_edited.jpg(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan dan memihak empat siswazah sains politik UKM, diterima berbelah bahagi pemimpin BN.

 



Sudah pasti, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah -- yang konsisten berusaha membebaskan dunia kampus daripada kebekuan dan kelesuan -- gembira dengan perkembangan menyegarkan itu. Difahamkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu juga menerimanya dengan baik, serta mahu Auku dikaji semula.

Meneliti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikontrol Umno, jelas akta "ketinggalan zaman dan karut-marut" itu mahu dipertahankan sehinggakan artikel sama oleh seorang pelajar Universiti Malaya, yang memberi justifikasi bebal terhadap Auku, disiarkan kedua-dua akhbar berkenaan, di halaman rencana utama.

Apa pun, ia bukanlah menghairankan, bukankah sejak lama harian Melayu cukup memalukan...

Apa pun, saya percaya jika Perdana Menteri memberi reaksi berbeda, maka segalanya bertukar. Seperti juga apabila Najib Razak mengumumkan inisiatif tranformasi politik dengan memansuhkan ISA, perisytiharan darurat dan pindaan Akta Mesin Cetak, pendirian terhadap akta rimba itu pun berubah. Berebut-rebutlah juak-juak Umno dan tukang kipas media menyokong "langkah pembaharuan" PM itu.

Secara peribadi saya mengharapkan lebih ramai pemimpin kerajaan tampil berani seperti Saifuddin, walaupun terpaksa bertembung menterinya sendiri. Auku yang digubal pada 1971 dan diperketatkan 1975 sudah tidak boleh dipertahankan lagi. Realiti politik tanahair dan gelombang pendemokrasian di seluruh dunia, lambat atau cepat, pasti memberikan pukulan paku terakhir buat keranda akta-akta drakonian seumpama Auku.

Sehari selepas penghakiman bersejarah itu, Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin cuba membenarkan hujah larangan pelajar berpolitik, demi memastikan matlamat utama pendidikan untuk membina minda dan keupayaan intelektual pelajar dipenuhi. Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Wanita Umno, Senator Norliza Abd Rahim menyokong Seksyen 15, bagi mengekalkan suasana kondusif  di kampus sebagai tempat menimba ilmu dan bukan medan politik.

Daleh kolot yang tidak masuk akal ini hanya akan menjadi bahan ketawa. Apatah lagi dengan cuba membayangkan, jika warga kampus dibenarkan berpolitik, maka pensyarah yang berbeda parti dengan pelajarnya mungkin akan membalas dendam dengan menggagalkannya. Waduh, cukup singkat akal pemuja Auku ini, sekali gus satu penghinaan buat tenaga akademik kita.

Sebaliknya dunia mahasiswa yang diserkup Auku mempunyai banyak sisi gelapnya. Saifuddin kerap membangkitkan hal ini: "Kehidupan mahasiswa tidak terhad dalam batasan pagar universiti.  Mahasiswa perlu bersama masyarakatnya, mendengar denyut nadi masyarakatnya, menjadi jurubicara masyarakatnya dan menjadi agen perubahan dalam masyarakatnya. Ini termasuk semua perkara, seperti sosial, ekonomi dan politik. Malah mahasiswa  sebahagian daripada kehidupan warga dunia."

Aneh sekali Seksyen 15. Mahasiswa mahu diputuskan hubungan dengan dunia sekelilingnya, walhal ramai pelajar terutama peringkat sarjana dan PhD yang bukan saja memegang jawatan dalam parti-parti politik, malah merupakan Adun ataupun Ahli Parlimen. Mereka juga sebenarnya dikurung Auku. Definisi politik juga kerap ditafsirkan secara sempit dengan warna hitam pekat.

Saya melihat Seksyen 15 itu memang jantung kepada Auku namun masalah lebih besar adalah sikap pentadbiran universiti, terutama Urusetia Hal Ehwal Pelajar, yang sentiasa memandang rendah, memperlekeh dan memperbodoh mahasiswa. Segalanya perlu kelulusan HEP, hatta untuk mencetak dan mempamerkan sekeping risalah. Setiap undangan terhadap tokoh luar, terutama pembangkang, pasti disaring halus dan akhirnya ditolak mentah-mentah.

Kalau dahulu Universiti Malaya pernah berbangga dengan Debat Ekonomi yang menampilkan penalis hebat tanahair dan dihadiri ribuan orang luar, kini aktiviti mahasiswa terhad kepada warga kampus dan cukup sukar mendapat kebenaran menjemput pemimpin pembangkang. HEP berhak melarang tanpa perlu memberi alasan. Saya mengimpikan aktivisme pelajar tanpa entiti bernama HEP itu, sepertimana sebelum Auku digubal.

Walaupun dikembalikan Sudut Pidato tetapi dengan kontrol melampau HEP, kampus terus sunyi. Skrip perlu disediakan untuk tapisan HEP. Kakitangan akademik lebih tertekan. Untuk menyuarakan pandangan berkaitan kepentingan umum, berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing pun terhalang, apatah lagi memberikan respons terhadap isu-isu semasa yang kontroversi. Nah, khazanah ilmu kita terpendam berkarat.


Ada benarnya cadangan felo penyelidik kanan UKM, Denison Jayasooria yang mendapat ilham berdasarkan perarakan peguam-peguam pada 2007 ketika mengulas sekatan terhadap para pensyarah, seperti dihadapi Prof Dr Aziz Bari: "Jika kita boleh mendapatkan 1,000 ahli akademik berarak ke Putrajaya, saya rasa barulah kerajaan akan mendengar suara kita."

Jika kehidupan mahasiswa nampak terkepung dan terkurung, warga akademik lebih "tersiksa". Budaya takut dan sikap tidak peduli semakin serius. Ramai mengambil jalan mudah, dengan turut "mengampu dan mengipas". Justeru, sukar sekali mahasiswa mencari ikon atau pendorong-penggalak di kalangan pensyarah sendiri.


Akhirnya, elok direnung kembali penghakiman Hishamuddin, yang  berpendapat seksyen yang "melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara" adalah tidak munasabah. Beliau tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.

"Bukankah parti politik adalah entiti sah dari segi undang-undang yang menjalankan aktiviti politik yang sah. Bukankah pemimpin politik, termasuk menteri dan penggubal undang-undang persekutuan dan negeri juga adalah ahli parti politik. Peruntukan ini tidak rasional," katanya.


Linton pula berkata, seksyen itu  tidak masuk akal kerana empat pelajar berkenaan berdepan tindakan tata tertib, termasuk dibuang universiti hanya kerana menghadiri kempen pilihan raya kecil itu.

Hakim sudah menjalankan tugasnya dengan berani. Sesekali seronok juga apabila menteri dan pentadbir universiti dipaksa mendengar leteran hakim seperti pernah dilalui Dr Mahathir Mohamad di zaman Tun Salleh Abas dahulu. Soalnya, apakah kes UKM4 ini mempunyai momentum atau lonjakan untuk membebaskan dunia kampus tempatan, yang penuh kecelaruan, double-standard dan percanggahan ini?

Diharapkan bara api yang mula menyala ini, dimulai dengan isu Dr Aziz Bari, dan kini perisytiharan Seksyen 15 bercanggah Parlimen boleh membawa sinar baru, sekurang-kurangnya membakar jiwa anak muda untuk menjulang kembali idealisme perjuangan mahasiswa.



Hak mahasiswa ditindas

Artikel

Oleh Ezham Mohd Noh

Dalam sesebuah negara, kerajaan merupakan pentadbir yang sering kali dipandang tinggi oleh rakyat.  Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, kerajaan adalah pilihan rakyat dan kerajaan harus menjaga hak rakyat.  Namun demikian, situasi kini memperlihatkan hak rakyat dinafikan.



Kerajaan kini, dilihat bukan hanya takut kepada kepada gelombang kebangkitan rakyat yang dibawa oleh pembangkang, malahan, kebangkitan mahasiswa, telah menjadi sesuatu yang menggusarkan buat kerajaan seolah-olah mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.

Seperti yang diketahui umum, mahasiswa merupakan golongan intelektual.  Golongan ini jugalah yang bakal menjadi peneraju negara seperti yang selalu disebut-sebut dalam pepatah Melayu, "Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara".

Perkataan mahasiswa itu sendiri jika kita rungkai kembali ianya membawa satu makna yang besar dan berat untuk digalas oleh mahasiswa itu sendiri.  Perkataan "maha" membawa erti agung, besar, hebat.  Manakala, "siswa" pula bererti golongan bijak pandai yang lahir dari universiti.  Yang menjadi tanda tanya, apakah kerajaan takut dengan istilah ini, ataupun kerajaan sebenarnya takut kepada idealisme, intelektual, gelombang pembaharuan, kesedaran, dan keberanian menyatakan hak yang bakal dibawa oleh golongan ini?

Pelbagai cara dilakukan kerajaan dalam menyekat kebangkitan rakyat bersuara.  Jika ISA suatu masa dahulu telah diwujudkan untuk menyekat suara dan kebangkitan rakyat, AUKU atau Akta Universiti dan Kolej Universiti pula diwujudkan bagi menyekat dan menghalang hak-hak mahasiswa di mana mereka tidak bebas untuk bersuara.  Kalau sudah mereka ini diikat hidung seperti lembu, apa makna title "maha" yang telah diberikan kepada mereka.  Lagi menyedihkan, AUKU ini dilihat seakan tidak mengalakkan budaya ilmu, atau intelektual dalam kalangan mahasiswa.

Penahanan UKM4 semasa PRK Hulu Selangor

Kes penahanan empat pelajar jurusan sains politik dari UKM melihatkan lagi sikap paranoia kerajaan terhadap mahasiswa.  Sesuatu yang melucukan jika sekumpulan pelajar Sains Politik ditangkap ketika turun kelapangan pilihanraya.  Sebagai pelajar jurusan sains politik, sudah tentulah lapangan bagi mereka mengukuhkan lagi pemahaman teori mereka di kawasan pilihanraya.  Takkanlah pelajar ini menjalankan kajian sains politik mereka di hospital besar?

Mereka ditahan dalam satu sekatan jalanraya yang mana pada waktu itu mereka berada dalam kereta seorang aktivis.  Insiden tersebut menyebabkan mereka dituduh berkempen walhal mereka cuma didapati menumpang kereta.

Sebagai golongan yang faham dan terdidik, hal-hal sedemikian sudah tentulah boleh mereka fikirkan sendiri.  Kalau sudah tidak dibenarkan buat apa mereka mahu berkempen.  Tambahan pula, berkempen untuk parti pembangkang.  Perbuatan tersebut umpama meletakkan tali di tengkuk mereka sendiri.  Hanya menanti seseorang menarik tali tersebut.

Mahasiswa dan politik

Mental mahasiswa negara kita diserongkan dengan sejenis doktrin sehingga "politik" dilihat sebagai sesuatu yang taboo buat mereka.  Mengikut sekseyen 15(5)(a) AUKU mahasiswa dilarang untuk mengikuti politik kepartian.  Hal ini menyebabkan mahasiswa seakan tidak punya apa-apa hak terhadap negara, jika kita renung kembali syarat daftar mengundi bagi negara kita.

Sudah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.  Jika begitu, tidak gunalah disaran supaya daftar mengundi sedangkan mahasiswa itu sendiri tidak dibenarkan berpolitik.

Sekatan mahasiswa untuk terlibat dalam politik ini sekaligus menindas hak mahasiswa.  Sebagai seorang golongan yang terdidik, mereka juga punya suara, mereka juga punya hak dalam negara.  Golongan mahasiswa merupakan anak muda yang sudah pasti mempunyai banyak idealisma yang boleh diketengahkan.

Dalam dunia serba canggih kini, pepatah "banyak makan garam" tidak boleh digunapakai lagi.  Larangan berpolitik dalam kalangan mahasiswa telah membuatkan mereka endah tak endah terhadap perkembangan politik dan pemerintahan negara.  Hal ini sangat bahaya jika tidak dibendung.  Bayangkan jika selamanya, mereka tidak endah tentang politik negara.  Siapa yang bakal menjadi menjadi pengundi sekaligus penentu masa depan Negara?  Sudah tentu kita tidak mahu pendatang asing yang "melambak" di negara kita ini yang menentukan nasib masa depan negara kita.

Hapuskan AUKU

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, beliau sedia berunding dengan semua pihak termasuk wakil mahasiswa bagi membincangkan isu larangan mahasiswa berpolitik ini.  Katanya lagi, akta ini harus dilonggarkan kerana ianya seakan mengekang mahasiswa untuk menyatakan pendapat mereka.

Suara mahasiswa tidak boleh dipandang enteng.  Lihatlah bagaimana suatu masa dahulu walaupun AUKU tidak diwujudkan, negara telah ramai melahirkan pemimpin tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.  Hal ini kerana mereka begitu aktif berpersatuan dan berpolitik ketika mereka masih di menara gading.

Tidakkah kita mahu, negara kita melahirkan pemimpin yang lebih berkualiti dari yang sedia ada?  Untuk itu, kerajaan haruslah bijak dalam menerapkan nilai demokrasi yang sihat dalam kalangan mahasiswa ini.  Untuk itu kerajaan haruslah memberikan hak kepada mahasiswa untuk berpartisipasi dalam politik kerana ia sebahagian latihan dan membantu memberi kefahaman buat mereka setelah berada di luar kelak.

Konklusinya, perjuangan untuk menghapuskan AUKU merupakan perjuangan yang murni dan berani.  Dalam apa jua keadaan, mahasiswa mahupun pihak kerajaan haruslah bijak mengatur strategi dalam menyelesaikan masalah ini.  Pihak kerajaan haruslah berfikir jauh demi masa depan negara dan anak muda.  Mahasiswa pula, jika telah dibenarkan berpolitik, jangan sesekali mengabaikan pelajaran dengan asyik berpolitik.  Harus diingat, lahirnya universiti adalah untuk melahirkan bijak pandai, bukannya ahli politik.

"Anak muda mesti berani".

*Ezham Mohd Noh ialah penulis bebas.

 
Khaled Nordin, kenapa kau degil?

Artikel

Oleh Izmil Amri

Tidak, kes UKM4 belum basi. Terima kasih kepada kedegilan Khaled Nordin, kes UKM4 masih lagi seronok diwacanakan. Kenapa seronok? Kerana tidak ada yang lebih seronok dariphttp://www.internationalbusinessreview.net/Portals/4/IBR_58/Datuk%20Seri%20Mohd%20Khaled%20Nordin.pngada melihat pemerintah yang degil berdepan dengan mahasiswa yang cekal dengan prinsip perjuangan.

Tambah seronok apabila sudah ada suara dari dalam struktur pemerintah itu sendiri yang beriya-iya memujuk kerajaan supaya tidak dirayu keputusan kes UKM4 itu, supaya tidak malu dua kali.

 



Mahasiswa dan anak muda seluruh Malaysia melihat kes UKM4 sebagai isu besar yang telah berjaya menjentik hidung Kementerian Pengajian Tinggi apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan empat mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (yang kini sudah bergelar graduan) untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memberi alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal demi menjaga tata susila dan norma moral masyarakat kampus.

Setelah puas diselak-cari celah mana yang disebut kononnya itu tujuan AUKU digubal, dan lantas tidak pun jumpa, maka dua daripada tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan Mahkamah Tinggi turut dengan kejamnya mengenakan kos ke atas empat anak mahasiswa tersebut – Hilman Idham, Woon King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina – yang punya kemungkinan berdepan dengan perintah membayar kos mencecah RM60,000.

Justeru, Mahkamah Rayuan mendapati Seksyen 15 (5) (a) AUKU yang digunakan untuk menganiayai UKM4 adalah tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Hakim Hishamudin

Maka Hakim Rayuan Hishamudin Yunus pun memberi rasional beliau (yang jauh lebih masuk akal) dan membenarkan permohonan empat siswazah malang ini.

Penghakiman Yang Arif  Datuk Hishamudin menggunakan kaedah mencari tafsir dan interpretasi asal kepada kehendak Parlimen sewaktu awal-awal ia menggubal akta tersebut. Kaedah interpretasi ini disebut sebagai purposive approach seperti yang diputuskan dalam kes Pepper v. Hart [1993] AC 593 .

Dalam penghakiman beliau yang memetik hansard ucapan Menteri sewaktu mengusulkan AUKU dipinda dalam tahun 2008, telah menjumpai bahawa tidak ada sebarang bahasa yang mencadangkan bahawa AUKU bertujuan untuk menjaga orde sosial atau moraliti awam. Orde sosial dan moraliti awam adalah alasan penghakiman Datuk Aziah Ali (kini hakim Mahkamah Rayuan) semasa menolak kes UKM4 di Mahkamah Tinggi.

Datuk Hishamudin menegaskan bahawa asas penghakiman Datuk Aziah adalah salah memandangkan asas itu tidak pernah wujud dalam niat Parlimen, dan seolahnya hanya dipetik dari langit.

Beliau juga menyentuh soal kekangan munasabah ke atas kebebasan berpendapat yang tidak ditentang oleh responden-responden, dan berpendapat berdasarkan kes-kes bahawa kekangan undang-undang dalam soal hak asasi harus dibaca secara sempit, yakni dengan tidak terlalu bebas meletakkan kendala undang-undang ke atas hak-hak asasi.

Paling penting, alasan penghakiman beliau juga menyebut tentang peranan universiti sebagai tapak semai minda-minda kritis serta bagaimana AUKU menghalang percambahan ide lantas menjadikan institusi pengajian tinggi tidak lebih dari sekadar kilang penghasilan robot.

Keputusan Hakim Linton

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Linton Albert pula menyentuh pendekatan literal Datuk Aziah dalam menafsirkan disiplin mahasiswa yang berada di universiti sebagai sebahagian daripada konsep moral dan keteraturan awam serta turut menyentuh soal kekangan undang-undang munasabah.

Beliau turut menguji sama ada hak asasi seseorang sudah pun dilanggar, dengan menggunakan prinsip-prinsip dalam kes terdahulu, iaitu untuk menguji samaada tindakan negara (state) itu menafikan hak asasi seseorang sah atau tidak, perlulah melihat kepada asas hak tersebut, sama ada ia langsung terkesan atau tidak.

Yang Arif Datuk Linton lebih banyak menggunakan fakta dan rasional dalam memberi alasan penghakiman, dan mencemuh AUKU sebagai suatu akta yang pelik berdasarkan fakta bahawa UKM4 ditahan di Hulu Selangor hanya kerana mereka hadir di dalam kawasan pilihan raya kecil itu berlangsung pada April 2010.

Kritik besar beliau kepada keabsahan AUKU ialah akta tersebut menafikan hak partisipasi demokrasi dan itu tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang munasabah atas nama mengekang hak bersuara atau berpendapat berdasarkan limitasi perlembagaan.

Kritik ini adalah benar, memandangkan kekangan AUKU itu tidak meletakkan garis nyata antara "menyatakan sokongan kepada parti-parti politik" dan menunjukkan sokongan dalam bentuk undi  dalam sesuatu pilihan raya. Jika salah tafsir, AUKU boleh menghalang mahasiswa yang berusia 21 tahun ke atas daripada mengundi!

Keputusan Hakim Low

Alasan penghakiman Datuk Wira Low Hop Bing, seorang lagi Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes UKM4, adalah berbeza dengan dua di atas.

Pendekatan tafsiran undang-undang Low Hop Bing sama sebiji dengan hakim Mahkamah Tinggi sebelumnya, iaitu menggunakan interpretasi literal dan terlalu bebas mencapah tafsiran moralnya sehingga mengaitkan disiplin mahasiswa sebagai piawai moral yang diterima pakai di universiti.

Low menyebut AUKU sebagai aparat mengekang pengaruh politik dari menjarah minda mahasiswa dengan ideologi ekstrem, lantas menafikan fungsi universiti sebagai tempat menuntut ilmu.

Pandangan ini jelas sempit dan tidak progresif. Barangkali beliau punya masalah dengan penyebaran politik pembangkang di kalangan kelompok mahasiswa yang kritis kepada pentadbiran kerajaan yang begitu cela dengan korupsi dan politik perkauman.

Namun sedikit ganjil apabila secara obiter dicta (kata-kata sampingan dan bukan sebahagian daripada alasan penghakiman), Datuk Wira Low mencadangkan supaya AUKU dipinda oleh Parlimen. Mahkamah, katanya, hanya boleh memberi interpretasi kepada undang-undang, dan bukan mengubahnya.

Pelik kerana boleh dilihat hampir 90 peratus alasan penghakiman Low Hop Bing adalah petikan penghakiman kes-kes yang beliau rujuk. Hanya satu ayat itulah yang boleh dikira hasil pendapat beliau sendiri.

Rata-rata pengamal undang-undang melihat alasan penghakiman Low Hop Bing sebagai sesuatu yang ditulis secara rigid dan mungkin juga malas. Demikian barangkali kerana mahu memperlihatkan bahawa badan kehakiman masih punya ikatan-ikatan longgar dengan pihak pemerintah dalam mengangkat kebijakan yang sedia ada.

Apa yang patut kerajaan BN buat

Itu keputusan kes. Kini kesannya kepada apa yang perlu dilakukan dalam konteks political will. Perlukah kerajaan Barisan Nasional merayu semula keputusan Mahkamah Rayuan yang bukan sahaja amat popular di kalangan mahasiswa tetapi juga bertapak kukuh dengan alasan yang demokratik dan berperlembagaan?

Persoalan besar di sini ialah kenapa Khaled Nordin harus berdegil? Kenapa Menteri Pengajian Tinggi begitu ego?

Saifuddin Abdullah, Gan Ping Sieu dan Khairy Jamaluddin yang mewakili BN telah duduk semeja dengan anak-anak muda UKM4 ini dalam satu sidang media dan bersetuju menasihatkan Kabinet agar kes ini tidak dirayu supaya kerajaan tidak bertambah malu.

Siapa ketiga-tiga pemimpin BN ini? Seorang daripadanya adalah timbalan menteri kepada Khaled Nordin sendiri, yang barangkali akan kena cantas dalam adat politik UMNO sejak azali kerana berani menegur pemerintah. Seorang lagi adalah timbalan menteri yang peduli soal anak muda tetapi tidak sangat diambil serius oleh kerajaannya sendiri. Yang terakhir ialah seorang ketua pemuda, yang belum jadi menteri dan terkial-kial mencari populariti.

Ketiga-tiganya dilihat sebagai tidak punya cukup kuasa untuk benar-benar menggertak Kabinet pimpinan Datuk Seri Najib Razak agar mendengar dengan penuh teliti dan membuat perubahan.

Kebangkitan mahasiswa

Dalam rentak politik warga kampus, kabinet Najib seharusnya gerun dengan ombak-ombak kebangkitan mahasiswa. Gumpalan salji yang menuruni bukit sudah semakin besar dan akan membantai apa sahaja yang menghalang laluannya.

Ini dapat dilihat sewaktu anak muda bangkit mempertahankan Dr Aziz Bari di Universiti Islam Antarabangsa kerana digantung semata-mata mengemukakan pandangan dalam bidang yang menjadi kepakarannya. Anak-anak muda yang sedikit tenggelam suara mereka di sebalik politik kepartian orang dewasa (sejak reformasi 1998) kini bersuara kembali.

Kini terbit pula kemenangan rayuan UKM4 yang disambut oleh tiga politikus BN dengan dada lapang. Walau hanya tiga, ia satu petanda baru. Pada dekad-dekad sebelumnya, mustahil ada mana-mana wakil dari BN yang berani membuka mulut.

Namun sedikit malang kerana yang tiga itu kekal di tahap suara minoriti. Barangkali Gan Ping Sieu perlu masuk DAP, sekali dengan Saifuddin Abdullah. Khairy pula… err.. tak apalah. Lupakan dulu Khairy buat masa ini. Dia mungkin terlalu sibuk dengan twitter, menghebah dan menyebar itu ini untuk kepentingan politiknya.

Keangkuhan pimpinan UMNO

UKM4 menyalahkan keangkuhan para pemimpin UMNO, dan memang benar mereka itu angkuh apabila membuat keputusan untuk merayu demi menegakkan benang yang basah. Keangkuhan ini sudah jadi darah daging pimpinan UMNO; sifat mazmumah yang seharusnya sudah dibuang tatkala mereka menerima penampar rakyat pada Mac 2008.

Tetapi tidak, pimpinan tinggi UMNO tidak mahu belajar. Mereka kekal angkuh sombong dengan ego yang melangit.

Inilah penyakit UMNO yang bakal membuat ia jatuh terlungkup. Berjuta-juta ahli UMNO, yang walau pun tidak selesa dengan permainan politik kepimpinan mereka, akan turut tertiarap hanya kerana bongkaknya pimpinan parti menentang empat anak muda berani yang telah mencabarnya di mahkamah.

Pimpinan UMNO telah menyeret ahli-ahli parti yang inginkan perubahan. Walau yang berani bersuara cuma tiga pemimpin kecil BN, yang diam gelisah dengan telatah pucuk pimpinan sebenarnya ramai di kalangan UMNO dan BN. Bukankah itu suatu yang malang? 

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment