Friday, November 11, 2011

RG2011... Secawan kopi bersama Ronnie Liu

 


Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu telah sempat meluangkan sedikit masa untuk berbual dengan wartawan Roketkini Fairuz Azhan. Ronnie yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran (Selangor) telah berkongsi pandangan dalam isu-isu semasa.

Bolehkah saudara jelaskan bagaimana boleh terlibat secara aktif dalam politik, DAP khususnya, dan sejak bila?

Saya sudah terlibat dalam politik sejak di bangku sekolah lagi, tetapi pada masa itu saya masih belum cukup umur. Saya masuk DAP kira-kira 30 tahun yang lalu apabila saya mula menyertai program-program DAP termasuk majlis makan malam, ceramah dan sebagainya. Itu semua pada awal tahun 70-an. Di bangku sekolah pun saya sudah minat politik.

Mengapa saudara pilih DAP, bukannya parti-parti lain?

Sebab pada masa itu hanya DAP sahaja yang mengeluarkan kenyataan atau pun menyatakan dasar yang menunjukkan mereka membela nasib rakyat. Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang ingin dijaga oleh MCA mahu pun Gerakan. UMNO apa lagi. Saya tidak boleh nampak atau ingat apa-apa pun yang yang diperjuangkan mereka. Kita hanya nampak kenyataan-kenyataan saudara Lim Kit Siang, Karpal Singh, Chan Heng Kai dan sebagainya. Tetapi kita tidak lihat atau terbaca kenyataan tokoh-tokoh MCA yang perjuang isu rakyat. Oleh itu saya tertarik dan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dan aktiviti-aktiviti DAP secara semula jadi.

Sepanjang penglibatan saudara dalam DAP, saudara tentu sedar UMNO selalu mengambarkan DAP ini sebagai parti cauvinis dan komunis. Apa komen saudara?

Dari dulu lagi Utusan Malaysia sudah cuba meracuni fikiran orang-orang Melayu atau pun fikiran orang Malaysia umumnya bahawa DAP adalah parti cauvinis. Mereka selalu mengatakan DAP itu komunis, perkauman dan sebagainya. Tetapi kita tahu bahawa ini tidak benar, dan semangat atau konsep DAP ialah 'Malaysia untuk semua rakyat Malaysia'.

Masih kekal lagi pendirian itu?

Masih kekal sejak zaman dulu. Dulu pun kita ada pemimpin Melayu DAP yang menang dalam pilihan raya. Mereka terima perjuangan kita. Mereka tahu kita bukan parti untuk satu kaum. Memang ada banyak orang Melayu sokong kita. Tapi mungkin tak secara terbuka.

Tentang pemimpin Melayu, calon-calon Melayu, atau pun ahli Melayu dalam DAP, berbanding tahun 1960-an hingga 2008, bagaimanakah perkembangan DAP dalam hal ini?

Saya rasa ada perkembangan tetapi tidak pantas dan tidak besar sangat, dan peningkatannya sungguh halus.

Apakah sebabnya? Adakah punca luaran atau dalaman?

Saya rasa ada banyak faktor. Faktor pertama ialah orang ramai orang Melayu masih tidak faham apa itu DAP. Lagi pun orang Melayu ada banyak pilihan, dia ada PAS, ada PKR. Sebelum itu ada Semangat 46. Jadi orang Melayu ada banyak pilihan parti politik. Sebelum itu, tak ramai orang Melayu tidak berani masuk DAP kerana mereka lihat pemimpin DAP akan dimasukkan ke dalam penjara dan ditahan di bawah ISA dan sebagainya. Jadi itu imej bahawa sesiapa yang masuk DAP akan diambil tindakan.

Oleh sebab itu, untuk suatu masa yang panjang, bukan saja orang Melayu takut nak masuk DAP, orang Cina dan India pun tak berapa berani masuk DAP. Ramai tak masuk sebab ibu dan bapa akan beritahu anak, jangan masuk DAP; isteri suruh suami jangan masuk, nanti masuk penjara. Jadi untuk suatu masa yang lama, kita tidak dapat menarik ahli. Nak jelaskan pendirian sebenar kita, tak ada akhbar atau TV atau radio mahu siarkan.

Apa saranan saudara untuk mengatasi masalah ini?

Ini satu tugas yang besar. Pertama, pemimpin-pemimpin DAP perlu ada usaha untuk menarik perhatian orang muda untuk mendekati DAP. Mesti ada usaha itu. Dan sebagai parti, kita harus menorganisasikan publisiti macam akhbar Rocket dan laman web Roketkini serta memperkuatkan Roketkini dengan para pemimpin dan ahli DAP sendiri menulis atau menghantar tulisan kepada penerbitan kita ini. Juga adakan dialog dan ceramah kecil-kecilan dengan anak-anak muda dan mereka yang berminat dengan demokrasi, hak asasi dan isu-isu keadilan tanpa kira kaum.

Kedua, pemimpin DAP harus ada kesedaran dan kesanggupan untuk menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kegunaan seharian. Malah gunakan Bahasa Malaysia dalam majlis atau mesyuarat sesama ahli-ahli sendiri walau pun kebanyakan kita dari kaum Cina atau India. Bahasa Malaysia bukan milik satu kaum, ia milik kita semua sebab ia adalah bahasa kebangsaan.

Bukannya kita tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia, jadi apa salahnya kita menggunakan Bahasa Malaysia? Apabila kita mengamalkan Bahasa Malaysia, kebanyakan orang India, Melayu, Cina, Kadazan, Iban yang berada di majlis boleh faham. Kalau bercakap bahasa Cina sahaja, tak ramai akan faham. Apabila orang bukan Cina menyertai forum atau pun majlis makan malam DAP, itu menunjukkan mereka sudah ada minat untuk mengenali, malah menyokong DAP. Tetapi bila mereka mendengar ceramah atau ucapan dalam satu bahasa yang mereka tak tidak faham, maka susahlah. Ini satu kelemahan yang perlu dibetulkan seberapa cepat yang boleh.

Bercakap tentang bahasa tadi, apakah pendirian saudara tentang isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris)?

Saya rasa kita kena bagi pilihan. Sebagai kerajaan, mereka hendaklah memberikan pilihan pada ibu bapa. Maksudnya, jika ada ibu bapa yang masih ingin mengekalkan Bahasa inggeris, kena ada kelas tertentu yang dikekalkan. Tidak boleh tukar dasar last minute macam itu saja. Mereka kena kekalkan. Tidak salah juga jika ada kelas di dalam bahasa ibunda, dalam Bahasa Malaysia, boleh. Dasar ni kerajaan buat, selepas itu mereka tukar, ikut suka saja. Masa dulu bila buat PPSMI, alasan tidak kukuh. Sekarang nak mansuh pun, tiada alasan kukuh. Sebab itu terjadinya tak puas hati. Bukan saja ibu bapa, pelajar pun marah.

Apakah harapan saudara kepada negeri Selangor dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang? Apa yang saudara jangkakan?

Saya menjangkakan rakyat sekarang sudah pandai, mereka tidak banyak bergantung kepada media seperti Utusan dan TV3 sahaja. Rakyat Selangor ramai mempunyai internet, ramai baca media bebas seperti Malaysiakini, baca blog seperti Malaysia-Today, laman web Roketkini dan banyak lagi. Di Selangor pun ada laman TV internet iaitu SelangorTV. Kita ada akhbar Selangor Times dan Selangorkini dan sebagainya. Walau pun masih disekat penyebarannya, ia dapat beri alternatif kepada rakyat.

Jadi saya rasa rakyat Selangor boleh membuat perbandingan. Perbandingan antara pimpinan Pakatan Rakyat yang ada sekarang dengan pimpinan Barisan Nasional yang dulu. Maknanya, membuat perbandingan di antara (bekas Menteri Besar) Datuk Seri Khir Toyo dengan (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim. Banding exco-exco Pakatan sekarang dengan exco-exco BN dulu. Apakah yang mereka buat? Apa kerja yang dibuat semasa mereka pegang kuasa dulu, dan apa yang kita buat sekarang. Saya rasa mereka akan membuat perbandingan seperti itu dan akan lebih yakin dengan Pakatan Rakyat.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment