Sunday, December 18, 2011

RG2011... Filem Islamik dan ‘roh’ Islam

 

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Apabila menonton filem Melayu, saya akan mengharapkan kehadiran "roh" Melayu. Begitu juga, dalam filem-filem bertema Islam, saya mengharapkan "roh" Islam.

Malangnya, daripada pengalaman saya selama ini, apa yang dicari masih belum ditemui dalam filem-filem Melayu yang dilabel dan dipromosikan sebagai "filem Islamik".

Saya sempat membincangkan topik ini bersama-sama Nizam Zakaria iaitu seorang novelis, penulis skrip, pengarah dan penerbit drama televisyen sepenuh masa pada 30 November 2011.

Pemuda yang lahir di Singapura itu mengakui bahawa banyak filem Islamik, sejak awal lagi, adalah mengenai topik dakwah dan masuk Islam.

Katanya, apa yang kadang kala membimbangkan adalah kegemaran pembikin filem menunjukkan bahawa agama asal watak itu ada banyak kepincangan.

Filem 'Muallaf' masih kekal sebagai filem bertema Islamik terbaik.
"Tindakan seumpama itu adalah terlalu simplistik. Mungkin ada kebenaran dalam kes-kes terpencil tetapi apabila diulang dalam terlalu banyak filem, perkara itu menjadi semacam branding.

"Akhirnya, filem bertema Islam tidak bergerak keluar daripada kepompong kecil," Nizam yang mendapat pendidikan di Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat menghuraikan.

Filem-filem bertema Islam keluaran tempatan juga nampaknya tidak boleh lari daripada tunjang (tema) utama iaitu bertaubat. Malangnya, tema itu juga dijadikan terlalu simplistik.

"Satu watak akan buat jahat, kemudian akhirnya bertaubat. Saya mahu juga menonton filem-filem Islamik yang keluar daripada kotak sempit ini. Maknanya tidak sekadar berkisar tema masuk Islam dan tema bertaubat.

"Kalau kita berpeluang menonton filem-filem Iran yang dikatakan bertema Islamik, sebenarnya banyak filem-filem besar dari negara itu tidak sepenuhnya masuk dalam kotak tema Islamik secara konvensional," katanya.

Nizam juga bercakap berdasarkan pengalaman luas dalam bidang drama, telemovie dan filem tempatan. Beliau menulis lebih 20 skrip, termasuk "Hotel Mania" (2010), "Ponti Anak Remaja The Series" (2010), "S3RAM" (2011) dan "Boona & Boonie" (2011).

Pemuda yang turut terlibat dalam pementasan muzikal "Terima Kasih Cinta" di Istana Budaya pada Februari-Mac lalu mengakui bahawa terdapat banyak filem kontroversional dari Iran.

Ramai juga pembikin filem dan pelakon di negara itu dijatuhi hukuman kerana terlibat dalam filem-filem yang dikatakan tidak Islamik.

Satu persoalan menarik adalah sama ada filem-filem yang berciri out of the box masih boleh berciri Islamik. Filem-filem tempatan juga banyak menggunakan simbol-simbol seperti masjid, solat, ustaz dan sejadah untuk menunjukkan unsur Islamik yang mahu ditonjolkan menerusi filem-filem bertema Islam.

"Saya sebagai pembikin filem, contohnya, mungkin boleh menggunakan warna hijau sebagai simbol Islam. Kita perlu faham bahawa 'bahasa filem' adalah berbeza kerana kita boleh menunjukkan visual untuk menyatakan sesuatu," Nizam menjelaskan sewaktu kami bertemu di KLCC.

Perlu diakui bahawa kalau seorang pembikin filem boleh melakukan sesuatu secara bersahaja, halus dan dapat menembusi sanubari penonton, itu adalah kejayaan lebih besar bagi sebuah filem Islamik.

"Ramai juga yang bising mengatakan bahawa filem-filem barat cuba menerapkan unsur-unsur Kristian. Misalnya menerusi 'The Da Vinci Code' (2006), 'Lord of the Rings' (2001, 2002, 2003) dan 'The Chronicles of Narnia' (2005, 2008, 2010).

"Bukankah lebih jika kita bertanya kepada diri sendiri: mengapa kita tidak cuba menggunakan filem Melayu tempatan untuk menonjolkan unsur-unsur Islam sehebat itu?" Soal Nizam yang menulis dan mengarah filem "Cinta Kura-kura" (2012).

Beliau bimbang bahawa kita masih belum mempunyai sebuah karya seperti itu yang mampu diangkat ke dalam sebuah filem yang menerapkan unsur-unsur Islam secara bersahaja sehingga mampu menarik minat penonton kanak-kanak, remaja dan dewasa sekali gus.

Mungkinkah juga realiti penduduk pelbagai kaum, etnik dan agama di negara bertuah ini menjadi semacam hambatan ke arah menghasilkan filem-filem Melayu yang bertema Islam dan mampu dihayati seisi keluarga?

Nizam Zakaria mendapat pendidikan di Amerika Syarikat.
"Saya rasa tak jadi masalah kerana di Malaysia, masyarakat pelbagai kaum dan agama masih boleh menonton filem-filem bertema Islam. Cuma masalahnya, seperti dikatakan tadi, apabila filem-filem ini ketara berciri dakwah, masuk Islam dan taubat," katanya.

Pada pandangan Nizam, jika mahu bercakap mengenai filem Islamik yang betul-betul berjaya menambat hati semua, tentulah filem "Muallaf" (2008) oleh Yasmin Ahmad.

"Filem itu bercerita mengenai agama Islam melalui pandangan yang amat indah. Apa yang lebih penting, dalam usaha menunjukkan keindahan Islam, Yasmin tidak sedikit pun memburukkan agama-agama lain. Sebab itulah juga arwah adalah seorang pembikin filem yang penting di Malaysia," pemuda berumur 37 tahun itu menghuraikan.

Berbalik pada karya fiksyen tempatan yang mampu diangkat menjadi filem bertema Islam, Nizam memilih novel "Imam" (1995) oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

"Kalaulah saya diberi peluang mengadaptasi sebuah novel bertema Islam ke filem, saya akan memilih Imam. Walaupun ia sebuah novel yang berat, ceritanya sangat sesuai diangkat ke filem," katanya.

Pada pandangan saya, satu lagi perkara yang perlu diambil kira adalah bahawa bahan yang diangkat ke filem perlu bersifat universal. Maknanya, sebuah filem Melayu bertema Islam yang dihasilkan di Malaysia mesti masih mampu berkomunikasi dengan penonton di luar negara.

Misalnya bagaimana filem "Children of Heaven" (1997) mampu dihayati dan dihargai penonton seluruh dunia tanpa mengira batas ideologi, politik, kaum dan agama. Kita perlukan sebuah karya yang tidak menunjukkan bahawa filem itu cuba berdakwah per se.

Nizam mengakui dengan memberikan contoh di mana setiap kali menjelang Aidil Fitri, banyak juga filem dan drama bertema Islam yang bercerita tentang orang meninggal dunia.

"Seolah-olah Hari Raya Puasa adalah hari kematian. Cuba bandingkan pula dengan filem-filem menjelang Krismas, misalnya, yang sentiasa membawa kisah-kisah penuh ceria dan harapan positif," kata Nizam yang antara lain pernah mengarah telemovie "Gaia" (2008) dan "Cikaro" (2011).

Bagaimanapun, katanya, sejak belakangan ini, sudah ada beberapa pembikin filem Melayu yang cuba meninggalkan filem Islamik yang konvensional.

Paling tidak, menampilkan unsur ceria dan gembira dalam filem dan drama hari raya.

Di Indonesia, misalnya, filem "3 Hati Dua Dunia, Satu Cinta" (2010) tulisan dan arahan Benni Setiawan membawa nafas baru dalam industri filem Islamik. Filem berkenaan menampilkan watak budak lelaki berambut Afro yang bercinta dengan seorang gadis Islam dan seorang gadis Kristian.

Filem berkenaan tidak bersifat berdakwah secara langsung dan berterus-terusan. Bagi Nizam, itu adalah antara filem Indonesia yang terbaik sejak lima tahun lalu.

Pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada pengalaman pembikin filem Islamik di Indonesia. Sekurang-kurangnya untuk menyedari bahawa filem-filem Islamik tidak semestinya mengisahkan suatu watak buat jahat dan kemudian bertaubat, atau memberi gambaran negatif mengenai agama lain.

Di Malaysia, pada penelitian Nizam, antara pengarah yang sedang memberikan nafas baru kepada genre filem/drama Islamik ialah Azma Aizal Yusoof menerusi "Hajar Aswad" (2011) dan Shahrulezad Mohameddin menerusi "Antara Garisan" (2010).

Drama 'Antara Garisan' menang Anugerah Skrin 2010.
Ternyata, apa yang juga penting dalam pembikinan filem bertema Islam adalah keikhlasan dan kejujuran dalam bercerita. Aspek story-telling itu adalah yang paling utama sementara motif-motif lain — misalnya, berdakwah — hanya datang kemudian.

Nizam mengakui bahawa jika motif berdakwah diutamakan, maka aspek bercerita akan cair atau hilang terus. Apatah lagi, apabila tidak dilakukan secara jujur dan ikhlas, apa yang diimpikan tidak akan sampai kepada orang lain (penonton).

"Baru-baru ini, saya membaca kenyataan seseorang menerusi Twitter. Katanya, sesiapa yang menonton filem-filem Islamik seolah-oleh membeli tiket ke syurga," Nizam menceritakan.

Pemuda itu tidak menolak kemungkinan memang ada orang membaca novel serta menonton filem bertema Islamik dengan kesedaran dan harapan mendapat pahala serta peluang lebih cerah untuk memasuki syurga.

"Kita perlu ingat bahawa sebuah filem tetap sebuah filem. Saya rasa seseorang tidak akan tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang alim selepas menonton sebuah filem. Sebagaimana seseorang tidak akan tiba-tiba bertukar menjadi pembunuh bersiri selepas menonton 'Silence of the Lamb', misalnya.

"Sebaliknya, filem mampu menjadi umpama tingkap yang memberi ruang kepada kita untuk melihat dan memahami apa yang berlaku dalam kehidupan orang lain," katanya.

Saya juga amat bersetuju bahawa filem-filem bertema Islam juga mampu — dan sewajarnya — menjadi tingkap untuk membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia memahami kehidupan Islam yang sebenar.

Sebab itulah penting bagi sebuah filem berbentuk Islam untuk menunjukkan sesuatu nilai yang bersifat universal. Akhirnya, penonton bukan Islam di mana-mana penjuru dunia akan faham bahawa inilah kehidupan Islam yang sebenar.

Paling penting, seperti kata Nizam, filem berkenaan tidak berciri dakwah dan/atau menyalahkan agama lain dalam usaha mengangkat martabat Islam.

"Dua kesilapan ini akan membuatkan penonton switch-off dan segala mesej yang mahu disampaikan secara tersurat atau tersirat tidak sampai kepada mereka.

"Kalau kita mahu penonton bukan Islam membuka hati mereka dan menonton filem-filem bertema Islam dan melihat cara hidup orang Islam, kita perlu mampu menghasilkan karya yang bersifat subtle dan tidak terlalu berdakwah," kata Nizam.

Sekali lagi, pemuda itu memberikan filem-filem Yasmin sebagai contoh terbaik. Bakat muda yang disebut beberapa kali oleh Nizam adalah Azma Aizal dan Shahrulezad yang dikatakan menunjukkan potensi ke arah itu menerusi telemovie dan drama.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment