Saturday, December 10, 2011

RG2011... Rahsia jalan tengah Malaysia – Oleh Fairuz Azhan

 

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/12/pix-for-Bahagian-Pertama.jpg

Bahagian Pertama

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

8 DISEMBER – Apa itu demokrasi sosial? Dalam bahasa mudah, ia satu fahaman yang mempertahankan sistem ekonomi pasaran tetapi pada yang sama menyediakan satu jaring keselamatan sosial kepada rakyat mengikut garis-garis demokrasi. Dalam konteks Malaysia, ia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kaum dan agama.

Daripada perkataan akar 'sosial', kita dapat membayangkan bahawa fahaman ini amat mementingkan kebajikan rakyat sebagai dasar utamanya dalam segenap apsek, dan dari perkataan 'demokrasi' kita tahu ia adalah satu ideologi yang ingin mencapai matlamat politik dalam konteks yang dibenarkan dalam sempadan undang-undang dan Perlembagaan.

Demokrasi sosial

Demokrasi sosial, yang sememangnya bukan sesuatu yang maha sempurna, terbukti menjadi amalan popular kebanyakan kerajaan di dunia ini yang berjaya 'membahagiakan' rakyat mereka, yakni paling tinggi tahap mendapat kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan, hak kebebasan dan demokrasi yang luas serta paling kurang berlaku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendapati bahawa negara-negara yang rakyat mereka paling 'bahagia' sekali di dunia ialah negara-negara Skandinavia seperti Norway dan Sweden di mana kerajaan mereka rata-rata mengamalkan demokrasi sosial.

Dalam sistem pasaran bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan, setiap individu bebas untuk bersuara dan melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Ia dapat mewujudkan masyarakat berdaya saing dan berusaha memajukan diri untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga.

Namun, ia juga meninggalkan kesan negatif apabila rakyat atau pekerja terpinggir tanpa sebarang pembelaan. Walau pun rakyat mempunyai hak asasi, mereka mungkin terasa kesan besar kehilangan hak ekonomi.

Dalam sistem ekonomi perancangan pusat atau sistem komunis, segalanya dihakmiliknegarakan dan tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh parti pemerintah. Ia tidak memberi insentif kepada rakyat untuk berkerja keras mahu pun memajukan diri sendiri. Bagi memastikan tiada tentangan terhadap kuasa kerajaan, rakyat dinafikan hak asasi manusia.

Namun ada juga kebaikan sistem itu apabila kemudahan asas air, elektrik, sekolah, kesihatan dan minyak diberikan percuma atau sangat murah. Memanglah harganya tinggi kerana kebebasan terpaksa digadai dalam sistem seperti ini.

Oleh itu, jalan terbaik adalah mengambil yang jernih, membuang yang keruh. Ambil jalan tengah dan itulah demokrasi sosial. Dan inilah sebenarnya yang diperjuangkan DAP melalui fahaman politiknya.

Jalan tengah pilihan rakyat

Dalam konteks politik hari ini, sama ada disedari atau tidak, Pakatan Rakyat sebenarnya memilih jalan tengah ini. Selain DAP yang demokrasi sosialnya, PKR berteraskan keadilan dan dasar sosial untuk semua rakyat manakala PAS, sama ada melalui konsep Negara Islam yang dikemaskinikan sebagai Negara Berkebajikan membawa usaha menjamin kesejahteraan rakyat untuk semua kaum juga.

Kesemuanya tidak menolak sistem pasaran asalkan kerajaan menjamin tiada siapa menjadi mangsa penindasan, kesemuanya mahu peranan kerajaan bertumpu kepada menjaga kebajikan rakyat. Pakatan juga mahu menggalakkan usaha berdikari dan membuka peluang yang lebih adil berbanding sistem demokrasi cacat yang semakin parah keadaannya yang diamalkan oleh UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, demokrasi sosial sebagai pegangan prinsip DAP disesuaikan dalam konteks Malaysia dengan menerima dan menghormati sepenuhnya prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu tohmahan kononnya DAP mahu menubuhkan republik mahu pun mengetepikan institusi raja-raja adalah amat tidak benar sama sekali. Jauh panggang dari api.

Apabila ada orang yang tidak memahami DAP atau sengaja membuat fitnah terhadap DAP, tuduhan yang sering didengar ialah parti demokrasi sosial ini adalah 'anti-raja', 'anti-Melayu', 'anti-Islam' dan pelbagai lagi konontasi negatif, seolah-olah tujuan DAP ditubuhkan adalah semata-mata untuk membinasa dan menghancurkan kemakmuran negara.

Logik tak masuk akal

Secara waras dan logik, wajarkah wujud sebuah parti sedemikian rupa? Sungguh tidak masuk akal langsung. Fitnah-fitnah yang terlampau jahat ini sesungguhnya hanya berniat untuk kepenting politik sesetengah pihak yang tiada idea atau hujah yang baik sebagai alternatif kepada perjuangan DAP.

Juga tohmahan bahawa DAP merupakan parti komunis dan parti untuk orang Cina sahaja merupakan fitnah yang paling besar sekali. Ia merupakan parti tanpa kaum (non-racial) yang memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia.

Malahan, penubuhan DAP itu sendiri adalah sebagai alternatif kepada kebangkitan komunis yang aktif semasa tahun-tahun 1950-60-an dahulu serta memberi pilihan 'jalan tengah' untuk Malaysia, iaitu ia bukan berhaluan kiri atau kanan, dan hanya berjuang untuk menolak politik perkauman pecah dan perintah yang diamalkan oleh pemerintah Perikatan.

Jalan tengah atau dalam bahasa politik semasa "Middle Malaysia" merupakan jalan tolerasi dan moderasi yang menjamin kemakmuran dan keadilan di Malaysia. Ia adalah jalan pilihan majoriti rakyat yang menolak ektremisme kiri dan kanan.

DAP bukan parti yang memperjuangkan sistem pasaran bebas yang amat terbuka tanpa kawalan. Ia mempercayai bahawa jaminan keselamatan ekonomi dan sosial adalah yang paling utama untuk rakyat Malaysia, terutamanya dalam masyarakat berbilang kumpulan etniknya.

Ia juga bukan parti komunis, sama ada atas logik tidak masuk akal kononnya perjuangan DAP sama dengan Parti Komunis China mahu pun atas alasan kurang cerdik kononnya ia mengamalkan sistem ekonomi perancangan pusat.

Prinsip demokrasi sosial yang membawa kepada jalan tengah Malaysia, itulah rahsia kekuatan DAP. Dan rahsia itu ingin dikongsi bersama dengan semua rakyat yang dahagakan kebenaran, keadilan, demokrasi, hak dan peluang saksama serta kemakmuran dan kestabilan negara.


http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/12/pix-bahagian-kedua.jpg


Bahagian Kedua

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

9 DISEMBER – Setelah lebih 50 tahun Merdeka, rakyat Malaysia berpeluang melihat aksi sebenar demokrasi sosial melalui pelaksanaannya di Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan DAP.

Walau pun dihadkan peruntukan kerajaan pusat, walau pun tidak mendapat kerjasama penuh dari kerajaan pusat dan walau pun sentiasa dikacau ganggu oleh anasir-anasir perkauman, kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah membuktikan kata-kata perjuangannya melalui pelaksanaan.

Apa yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang

Setelah diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri, kerajaan Pakatan Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus dalam masa tiga tahun sahaja! Di bawah pentadbiran UMNO-BN dahulu, hutang negeri adalah RM630 juta yang kini telah dikurangkan kepada RM27 juta sahaja.

Dengan mengamalkan amalan gabungan pasaran bebas dan penjagaan kebajikan oleh kerajaan melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT), jelas dilihat kemakmuran ekonomi semakin hari semakin bertambah. Kejayaan negeri mendapat pengiktirafan dan pujian masyarakat antarabangsa.

Apabila hutang dikurangkan, perbelanjaan kerajaan dijimatkan dan tarikan pelaburan ditingkatkan, sudah tentu kerajaan negeri mengumpul hasil yang berbaloi. Apa pula yang dibuat dengan wang tersebut?

Tidak ada gunanya jika negeri kaya tetapi kemakmuran itu tidak dinikmati warganya. Kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang telah menghapuskan kemiskinan tegar di negeri tersebut kini berusaha mahu membasmi kemiskinan keseluruhan dalam masa empat tahun lagi.

Pada masa yang sama, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya, kanak-kanak tanpa mengira kaum telah banyak menikmati sumbangan kewangan dan peruntukan program untuk memastikan tidak ada anak negeri Pulau Pinang dipinggirkan. Malah, prinsip tidak mengira kaum dan agama itu sebenarnya memberi faedah besar kepada orang Melayu miskin di Pulau Pinang yang sebelum ini dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-BN dahulu.

Peluang pekerjaan, terutama bagi mereka yang separuh mahir dan mahir, semakin bertambah di sektor perkilangan, pembuatan dan teknologi maklumat. Bagi peniaga dan kontraktor pula, buat kali pertama, mereka mendapat peluang yang adil dan saksama untuk membina kontrak kerana tiada lagi amalan membayar 'duit kopi' atau 'kabel politik' yang diamalkan sejak berzaman dahulu.

Pasaran bebas dan kawalan kerajaan

Inilah contoh jalan tengah yang diperjuangkan DAP. Dengan pasaran bebas (tanpa kroni, tanpa campur tangan orang politik, tanpa rasuah) dan jaminan jaring keselamatan sosial kerajaan (bantuan untuk rakyat dan pekerja yang susah, sumbangan kepada mereka yang berpendapatan rendah, peluang pekerjaan), jelas ekonomi sesebuah negeri atau negara boleh maju dan makmur.

Dengan kejayaan tersebut, kita menjulang dan mengangkat rakyat ke martabat insan yang sebenar kerana mereka tidak lagi tercicir dan dijamin keselamatan sosial mereka. Itu hanya sebuah negeri di utara Semenanjung. Bayangkan jika sistem yang baik dan bersih itu menjadi amalan di seluruh negara Malaysia.

Jika kita masih mengamalkan politik perkauman sempit yang didokong oleh UMNO-BN di mana andaiannya adalah kalau mahu kaya kena baik dengan pemimpin dan kalau mahu projek kena sogok, maka hidup kita akan terus tersepit.

Yang tidak ada pengaruh atau pun kuasa wang tidak akan diangkat manakala yang miskin akan terus hidup melarat. Ia mencipta hegemoni dan mentaliti 'rent-seeker' yang tidak membantu atau memperkasakan rakyat secara keseluruhan, walau pun atas nama satu kaum, kerana hanya yang elit dan segelintir manusia yang sudah sedia kaya dan mewah sahaja yang untung besar.

DAP merupakan sebuah parti yang murni perjuangannya dan ingin mengajak seluruh warga Malaysia, khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini, untuk menyertai perjuangan tersebut. Tiada batasan warna kulit mahu pun agama jika ingin bersama dalam perjuangan DAP.

Serangan saraf UMNO-BN

Memang banyak tanggapan buruk daripada segmen masyarakat Melayu yang tidak memahami DAP. Kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata kerana jentera propaganda UMNO-BN sesungguhnya sangat besar yang disalahgunakan melalui peruntukan wang cukai rakyat dan hasil sumber negara. Tambahan pula, mereka membolot semua jenis media massa.

Sementara menanti lebih ramai orang Melayu mengambil jalan tengah, sudah tentu DAP akan terus ditohmah dan difitnah. Sama ada pembohongan mereka masuk akal atau tidak, mereka akan terus cuba membangkitkan kemarahan rakyat terhadap DAP.

Sebagai contoh di Pulau Pinang, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka telah menuduh DAP menindas orang Melayu. Tohmahan itu terbukti palsu. Berkat usaha kerajaan Pakatan, orang Melayu semakin ditingkatkan taraf hidup mereka. Maka MCA pula menuduh DAP anti-Cina kerana membantu Melayu. Inilah sandiwara kotor BN.

Apabila ketandusan daya intelek untuk berhujah atau memberi alternatif kepada DAP, maka mereka mencipta tomahan dan fitnah menakutkan orang ramai supaya mereka selamanya tidak akan terdedah tentang perjuangan sebenar DAP.

Ini kerana jika rahsia atau kebenaran ini diketahui umum, rakyat akhirnya dapat melihat pilihan jalan tengah Malaysia yang dibawakan oleh DAP serta dikongsi bersama Pakatan Rakyat boleh diterima oleh semua orang.

Di saat itu, maka tidak relevan lagi parti-parti kaum atau mereka yang bermain politik perkauman. – Roketkini.com


__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment