Thursday, January 12, 2012

RG2011... Tangguh dulu merayakan "kemenangan"!

 

Minda Lutfi

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tidak ramai menduga keputusan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim, 9 Januari lalu, akan berakhir dengan pembebasannya. Apa pun, yang pasti, kali ini semua orang yang tersalah jangka itu, terutama yang memenuhi kawasan lapang berhampiran mahkamah, langsung tidak kecewa sebaliknya mereka saling mengucapkan tahniah.




"Saya rasa beban berat yang terpikul sejak tiga setahun lalu itu terangkat ... sungguh lega, umpama dapat melunasi timbunan hutang," ujar seorang penyokong Anwar, dari Gombak, yang menelefon saya. Beliau masih dalam perjalanan ke mahkamah semasa berita pembebasan Anwar mula tersebar luas.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, melalui blognya mencatatkan: "Amat jarang sekali seseorang berasa gembira apabila terbukti jangkaan dan ramalannya meleset dan tersilap. Barangkali ini adalah di antara masa-masa yang jarang itu."

Sehari sebelum itu, juga dalam blognya, Khalid meramalkan "Anwar akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan, bukan kerana beliau bersalah tetapi kerana pihak berkuasa tiada pilihan melainkan mendapati beliau bersalah."

Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tanggapan hampir seragam terhadap badan kehakiman. Mahkamah dilihat boleh ditekan dan dipengaruhi, terutama oleh elit penguasa, khususnya yang membabitkan kes-kes kritikal terhadap pemerintah.

"Lebih teruk jika ada pihak yang mendakwa hakim juga boleh dibeli oleh orang yang kaya-raya. Ini lagi berbahaya, pelabur akan lari," kata seorang wartawan, berpengalaman lebih 20 tahun.

Ulasan seorang lagi sahabat saya, seorang wartawan penyiaran, apabila ditanya reaksinya dengan penghakiman 901, membalas: "Suatu yang menarik, baik orang itu suka Anwar bebas atau tidak suka, dalam kepalanya terlintas keputusan itu bukan semata-mata berdasarkan hukum dan fakta. Betapa rosakanya kehakiman Malaysia."

Persepsi itu mungkin tidak seratus peratus benar, namun tanggapan itulah yang dikongsi majoriti rakyat sejak sekian lama.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari berkata, dari awal lagi rakyat -- baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa -- dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang. "Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin, mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa," tegasnya, seperti dipetik Merdeka Review.
 
Mungkin Dr Mahathir Mohamad bukannya orang yang mula menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap kebebasan dan integriti institusi penegak keadilan itu, tetapi bagi saya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya menjerumuskan badan kehakiman ke dalam "gaung paling dalam". Pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi cuba berusaha memulihkannya tetapi gagal.

Di bawah Najib Razak, bukan saja semakin ramai memperlekehkan usaha transformasinya, beliau dilihat akan memperalatkan apa jua bagi memastikannya bukan PM terakhir daripada Umno.  Dan Anwar adalah seteru utama yang mesti dijinakkan, kalaupun tidak dapat ditumpaskan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.


Kita tentunya belum lupa begitu banyak "keganjilan" dalam perbicaraan kes pembunuhan Altatuya  Shaariibuu, yang terus meninggalkan seribu satu misteri. Nama Najib dan isterinya, Rosmah Mansor terpalit teruk dengan kes tersebut.


"Sukar untuk menyanggah tanggapan bahawa keputusan Isnin lalu dipengaruhi tekanan politik. Jika pendakwaan kes ini sejak awal sudah sarat dengan elemen politik, mana mungkin kita mengharapkan keputusan akhirnya langsung tidakl dicemari pengaruh politik," pandangan rakan lama saya, seorang peguam berpengalaman.

"Bagi saya, sebagai pengamal undang-undang, tidak ada apa-apa yang boleh digembirakan dengan keputusan kes ini. Takkan hanya dengan satu kes, tiba-tiba hakim-hakim di Malaysia sudah terlepas daripada sebarang kongkongan dan gangguan. Langsung tidak masuk akal," tambahnya.

Beliau seterusnya meminta saya membidas contoh yang sering diberikan  oleh pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir, bagi membuktikan kehakiman di Malaysia adalah bebas dan berintegriti. Iaitu kes pengharaman Umno pada 1988 oleh Hakim Harun Hashim.

"Saya sudah menulis banyak kali kes ini," balas saya. Ada nada kemalasan untuk mengulanginya lagi.

"You kena terus jelaskan bahawa dalam kes tersebut peguam Dr Mahathir sendiri yang mahu Umno diharamkan. Hakim tiada pilihan selain mengharamkan Umno atas kehendak presidennya sendiri. Kemudian Mahathir mudah menubuhkan parti baru, dengan memastikan hanya ahli yang setia menyertainya, dan menyingkirkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang hampir menewaskannya pada April 1987, serta dapat pula mewarisi aset dan kewangan Umno lama," tegasnya.

Rakan saya ini berpandangan, Umno dan Najib lebih mendapat manfaat politik dengan pembebasan Anwar, berbanding jika Ketua Pembangkang itu dipenjarakan.

"Dulu Mahathir telah memenjarakan Anwar, hasilnya orang Melayu marah dan menolak Umno pada 1999. Kali ini keadaan akan menjadi lebih teruk jika Anwar dizalimi memandangkan majoriti masyarakat bukan Melayu awal-awal lagi sudah muak dengan BN. Undi pengundi Melayu yang bersimpati dengan Anwar itu akan berpadu dengan kemarahan pengundi Cina yang tidak boleh dilunakkan lagi," tambahnya.

Saya juga tertarik dengan Cikgu Bard (Badrul Hisham Shaharin): "Keputusan hakim itu harus dilihat sebagai kemenangan rakyat. Ia adalah hasil tekanan dan kesedaran rakyat terhadap kes tersebut. Bayangkan jika Anwar gagal memastikan maklumat bagaimana kepincangan kes tersebut kepada rakyat terbanyak dan gagal mengumpul sokongan, saya yakin Anwar akan didapati bersalah."

Justeru, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya tidaklah semudah disangka. Banyak lagi ranjau yang perlu dibersihkan. Tangguh dulu majlis untuk merayakan "kemenangan" ini ....

Dan tidak mustahil juak-juak Umno sedang menunggu penghakiman bertulis Hakim  Zabidin Mohd Diah bagi mencari ruang untuk terus menyerang Anwar, sekurang-kurangnya demi menyuntik rasa ragu dan curiga kepadanya. Mungkin pertarungan di mahkamah sudah berakhir tetapi pentas politik masih terbuka luas, 'kan? 

II.

Di waktu ramai bergembira pada pagi Isnin lalu dengan keputusan kes Anwar di Jalan Duta, khabar di sebelah petangnya dari Tanjung Malim "mungkin" mendukacitakan. Anak muda yang mencipta kejutan, Adam Adli Abdul Halim, 22, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  digantung tiga semester (satu setengah tahun) selepas didapati bersalah menurunkan bendera Najib Razak di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Adam Adli dan rakan-rakannya yang giat berkempen memperjuangkan kebebasan akademik, juga mendesak dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), bukan sekadar pindaan kosmetik seperti dijanjikan Perdana Menteri. Mereka turut menzahirkan hasrat murni itu, dengan turun menemui wakil-wakil kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sebagai isyarat kebebasan akademik harus dinikmati semua warga kampus, di seluruh negara.

Kenapa pula saya menyebut "mungkin" mendukacitakan? Bukankah nasib dan masa depan Adam Adli yang digantung itu bakal menjadi tidak menentu, dan tentunya ia berita menyedihkan? Masakan hukuman zalim dan tindakan opresif itu, boleh merangsang satu kebangkitan lebih menyeluruh?

Sebenarnya tidak sedikit yang melihat keputusan jawatankuasa disiplin itu telah melonjakkan obor semangat mahasiswa mendepani cabaran melepaskan kongkongan di kampus. Malah, riak wajah Adam Adli, sejurus menerima hukuman, tetap ceria. Langsung tiada mendung di wajahnya.

Di depan pintu masuk UPSI, dikerumuni media dan teman-teman seperjuangan, selepas melaungkan slogan keramat "Hidup-hidup, mahasiswa! Tumbang-tumbang, tumbang Auku!", Adam Adli mahu pusat pengajian yang pernah melahirkan pejuang kemerdekaan itu, seperti Ibrahim Yaakob, segera dibebaskan daripada pembodek dan pengampu, untuk diserahkan kepada mahasiswa. 

Ungkapan katanya tetap berbisa, selain terus sinis dan menyindir keanggotaan panel tatatertib, di antaranya Prof Dr Zainal Kling, yang dilihat akrab dengan UMno dan  sentiasa memberi komentar negatif kepada pembangkang, selain pernah menyifatkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

"Jelas, juri-jurinya adalah orang Umno, apa lagi yang dapat kita harapkan daripada jawatankuasa itu?" tegas Adam Adli.

Beliau bukan saja tidak akan merayu, malah tidak pernah mengiktiraf kedudukan "mahkamah Auku". "Saya akan buktikan kepada orang yang menghina perjuangan pelajar, yang menuduh aktivis mahasiswa sibuk berpolitik dan malas belajar, bahawa mereka semua salah," katanya. Beliau akan memfailkan permohonan mencabar keputusan itu di mahkamah terbuka.

Seterusnya Adam Adli dilihat mengoyak sekeping kertas, mungkin petanda penolakan total kepada hukuman gantung itu.  Beberapa posting dalam internet mengaitkannya sebagai "Anwar Ibrahim dalam pembikinan". Beliau turut hadir ke perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta, menunggu penghakiman Anwar, dan diberikan penghormatan oleh hadirin dengan menjulangnya.

"Setahun setengah kena gantung sebab pejuang kebebasan akademik lebih mulia daripada setahun dipenjara makan rasuah," tegasnya.

"Memang watak anak jantan," kata seorang penerbit buku terkenal. "Itulah perjuangan yang Adam kena bayar, pemuda macam ini boleh buat menantu," SMS seorang pembaca Harakah, 'Makcik Kedah'. Tidak kurang yang menggesa Harakah menubuhkan tabung khas untuk membiayai Adam Adli meneruskan kesnya di mahkamah.


"Kalau Adam dihukum kerana didakwa telah  mencemarkan reputasi UPSI, saya kira ramai lagi pentadbir kanan universiti, termasuk bertaraf profesor, yang patut didera dengan hukuman lebih berat, kerana mereka lebih-lebih lagi telah memalukan universiti, dengan gelagat pengampu dan kenyataan yang memperbodohkan taraf warga kampus," kata seorang rakan, pensyarah kanan IPTA.

Teringat pengalaman teman-teman di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 1986, yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atas dakwaan terbabit dalam demonstrasi membantah pemecatan saya. Mudah sekali, ada yang dihukum gantung pengajian, hanya selepas "bersembang-sembang kosong" dengan pegawai kanan Hal Ehwal Pelajar, yang bertindak sebagai pendakwa dan hakim sekali gus.

Jika satu waktu dahulu, ada pemimpin pelajar yang mohon bercuti untuk aktif berpersatuan, saya cuba mencongak bagaimana Adam Adli mahu menghabiskan tempoh penggantungannya yang agak lama itu. Mungkin kempennya menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Auku dapat dipergiatkan lagi.

"Kesempatan ini harus dimanfaatkan. Gelora perjuangan pelajar bukannya mudah untuk dicetuskan. Sekali membara, jangan biar ia padam. Ia harus digerakkan dalam satu pakej, menuntut perubahan lebih bermakna buat rakyat Malaysia," demikian emel yang saya terima, sambil meminta Harakah mengembalikan ruang khas buat aktiviti kampus.

Tulisan pertama Adam Adli sebagai kolumnis laman merdekareview, bertajuk "Mengapa saya pilih jalan raya?" menarik perhatian saya. Berbakat juga anak muda ini dalam penulisan. Gaya penceritaannya lancar dan tersusun.

"Saya sering tekankan kepada rakan-rakan, Parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari.  Maka jalan raya adalah ruangnya.  Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!" tulis Adam.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment