Sunday, May 20, 2012

RG2011... Fw: 33 jam sehari untuk TV, Internet

 



 

33 jam sehari untuk TV, Internet

Satu kajian terhadap golongan belia di Malaysia menunjukkan bahawa golongan belia menghabiskan masa mereka selama kira-kira 32.6 jam setiap hari melakukan aktiviti yang berkaitan media.

Ia seperti menonton TV, melayari Internet, mendengar radio dan membaca majalah. Macam mana boleh jadi 32.6 jam? Tidakkah kita hanya mempunyai 24 jam dalam satu hari?

Teknologi membolehkan kita untuk membuat pelbagai tugasan pada satu masa yang sama. Ketika kita sedang bercakap di telefon, kita juga sedang menonton televisyen, memeriksa akaun Facebook atau mendengar muzik pada masa yang sama.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa daripada 32.6 jam tersebut, 26.8 jam telah digunakan untuk melakukan aktiviti berbentuk sedentari atau aktiviti secara bersendirian, tanpa adanya interaksi dengan keluarga dan rakan-rakan.

Kanak-kanak pula telah menghabiskan kira-kira 5.3 jam di sekolah, 3.3 jam di Internet, 2.5 jam untuk menonton televisyen, 1.3 jam dengan telefon dan 6.8 jam untuk tidur. Tidak ada banyak masa yang tersisa untuk aktiviti bersama ahli keluarga.

Masalah ini bukan sahaja berlaku kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada orang dewasa. Secara purata rakyat Malaysia melayari Internet selama lebih kurang 20 jam setiap minggu.
Lebih daripada separuh, iaitu 53 peratus pengguna digital di Malaysia melayari Internet setiap hari, manakala 35 peratus melayari Internet beberapa kali dalam seminggu. Selain itu, sebanyak 10.6 jam seminggu telah digunakan untuk menonton televisyen.

Telefon pintar dan komputer berbentuk tablet semakin diminati di Malaysia.

Dalam satu kajian terhadap isi rumah pengguna digital, pemilikan telefon pintar dijangkakan menghampiri dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan akan datang, iaitu mencapai 89 peratus (meningkat daripada 48 peratus pada masa ini), kepada semua pengguna digital yang berumur 15 tahun dan ke atas.

Manakala pengguna tablet pula meningkat sebanyak 75 peratus (18 peratus pada masa ini). Ini bermakna rakyat Malaysia akan menghabiskan lebih banyak masa mereka dengan Internet.
Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap media dan peranti berkemampuan Internet juga telah meningkatkan peluang untuk menggunakan media secara serentak.

Lebih daripada dua pertiga (71 peratus) daripada responden mengatakan bahawa mereka menonton TV dan melayari Internet pada masa yang sama.

Manakala, komputer tetap merupakan platform utama untuk kegunaan yang serentak, 11 peratus pengguna digital mengatakan mereka menonton TV dan mengakses Internet dengan telefon bimbit mereka dalam satu masa.

Dengan jumlah masa yang banyak digunakan untuk media berskrin, maka ia juga menyebabkan masa yang berkualiti untuk bersama-sama keluarga dan rakan-rakan semakin berkurang.

Kita sendiri boleh perhatikan tentang golongan muda yang khusyuk dengan telefon pintar mereka, walaupun ketika waktu makan malam bersama-sama keluarga mereka. Keadaan semakin buruk sekiranya mereka menggunakan Internet di dalam bilik tidur, yang menyebabkan perhubungan sesama keluarga semakin renggang.

Satu kajian antarabangsa pula mendapati rakyat Malaysia paling ramai mempunyai rakan Facebook, iaitu purata 233 orang dalam setiap akaun. Rakyat Malaysia juga telah menghabiskan masa selama 9 jam seminggu di Facebook, yang merupakan antara yang tertinggi berbanding dengan negara-negara lain.

Pada masa ini terdapat lebih daripada 10 juta pengguna Facebook di Malaysia. Statistik turut menunjukkan bahawa kita mungkin mempunyai lebih banyak rakan 'digital' berbanding dengan rakan-rakan 'sebenar'.

Teknologi komunikasi telah menukar cara seseorang berhubung dengan rakan atau ahli keluarga mereka daripada bersemuka kepada penggunaan teks di skrin.
Masa yang banyak dihabiskan di skrin telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin kurang melakukan aktiviti yang bersifat aktif. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, menunjukkan 43.7 peratus rakyat Malaysia tidak menjalani hidup secara aktif.

Kajian yang sama menunjukkan 45.6 peratus orang dewasa di kawasan bandar kurang aktif berbanding dengan orang dewasa di kawasan luar bandar. Gaya hidup yang tidak aktif merupakan salah satu penyebab kepada penyakit obesiti.

Terdapat kira-kira 43 peratus orang dewasa, 20 peratus remaja dan 26 peratus pelajar sekolah rendah didapati mengalami berat badan yang berlebihan atau obes. Justeru, marilah sama-sama kita menutup peralatan berskrin dan mulai melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang boleh mengeluarkan peluh, berbanding dengan menghabiskan masa selama 5.6 jam seminggu bermain permainan dalam talian.
21 hingga 27 April adalah Minggu Tanpa Skrin, yang inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh FOMCA sejak tahun 2009.

Inisiatif ini memberikan mesej kepada kanak-kanak, keluarga, pihak sekolah dan anggota masyarakat supaya menutup peralatan berskrin mereka selama tujuh hari dan melakukan aktiviti yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sudah tiba masanya untuk anda membuka plug peralatan berskrin anda, kemudian pergi bermain, membaca, bermimpi, mencipta, meneroka, dan menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Layari www.kkk.org.my/english untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai kempen ini. Marilah kita menutupkan skrin dan menghidupkan amalan kekeluargaan.

DATUK PAUL SELVA RAJ ketua pegawai eksekutif FOMCA.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment