Wednesday, May 23, 2012

RG2011... Fw: Menunggu bom seni diletupkan

 



 

Menunggu bom seni diletupkan

Oleh Dinsman

Betul. Macam itulah! Macam pesta polis memukul rakyat, atau pesta polis membantai rakyat. Apabila membaca tajuk berita dalam akhbar Harakah dan Suara Keadilan beberapa hari selepas peristiwa 428 (28 April), dan melihat gambar-gambar yang tersebar dalam akhbar-akhbar tersebut, juga akhbar-akhbar Cina dan melalui pelbagai laman internet, kita rasa memang tepatlah apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari itu – memang polis macam berpesta memukul rakyat.

Tapi – macamana boleh jadi gitu? Atau kenapa ia boleh terjadi sampai ke tahap itu? Apakah polis-polis itu (ada orang syak sebahagiannya bukan polis) memang sengaja dilatih untuk bertindak kasar dan ganas begitu, khas bagi menghadapi peserta Bersih 3.0?

Tak kiralah. Apa pun, berdasarkan gambar-gambar yang tersebar itu, memang nampak polis macam berpesta sakan memukul peserta Bersih 3.0. Dan TG Haji Hadi Awang Presiden PAS mempersoalkan kenapa. Kenapa polis bertindak melampaui batas, memukul peserta yang tidak berbuat apa-apa dan sedang beredar untuk pulang, di luar kawasan yang dilarang mahkamah?

Dan kenapa pula kemudiannya media-media kawalan Umno-BN menyiarkan gambar-gambar mereka yang dikatakan dikehendaki polis kerana terlibat dalam himpunan 428 itu? Haji Hadi juga bertanya – kenapa hanya rakyat yang ditangkap dan disiasat (dan dipukul) sedangkan anggota polis yang bertindak kasar memukul, menumbuk, menyepak dan menendang rakyat itu dibiarkan begitu saja tanpa diambil apa-apa tindakan?

Betullah tu, soalan Hj Hadi itu. Yang nampak jelas memukul dan berkerumun hingga 10 orang dan lebih polis pakat membelasah seorang peserta yang tak bersenjata dan tak melawan itu – siapa? Polis. Tetapi kenapa mereka itu dibiarkan begitu saja? Peruntukan undang-undang dan peraturan mana yang membenarkan mereka? Ataupun mereka memang dibenarkan bertindak tanpa mempedulikan peruntukan undang-undang? Demi menjamin keselamatan pemimpin parti yang sedang memerintah negara sekarang.

Maka kita pun teringatlah akan ikrar seorang Perdana Menteri yang berjanji kepada ahli-ahli partinya bahawa dia akan mempertahankan Putrajaya menjadi milik mereka hingga ke titisan darah yang terakhir. (Barangkali ikrar itu akan tercatat dalam sejarah dunia sebagai Perdana Menteri pertam

a di kalangan negara-negara demokrasi di dunia yang pernah berikrar demikian). Dan yang terbaru pula dia memperbaharui ikrarnya itu dalam bentuk yang lain sedikit. Dalam bentuk maki hamun pula. "Haram jadah!" Itulah katanya, yang disaksikan secara 'live' oleh barangkali jutaan rakyat Malaysia yang menonton televisyen siaran langsung ucapannya yang mengumumkan 'durian runtuh' kepada para peneroka Felda itu.

Inilah sebahagian daripada kecelaruan dan huru-hara yang sedang berlaku di negara kita hari ini, menjelang PRU13 yang menjadi teka-teki rakyat Malaysia bilakah ia akan diumumkan, padahal lapan tuntutan Bersih masih tidak dipedulikan. Maka kemungkinan akan dianjurkan pula Bersih 4.0 pun semakin menjadi buah mulut di sana sini.

"Kita tengok kali ini berapa ratus ribu pula rakyat akan turun ke jalan raya, dan kita perhatikan betul-betul kali ini siapakah yang akan memulakan aksi ganas dan menghuru-harakan perhimpunan aman?" Ujar sebahagian mereka yang tidak puas hati dengan cara kerajaan sekarang menangani kebangkitan rakyat, hingga wartawan dan jurukamera media pun lebih 10 orang dibelasah.

"Dah terang dan nyata tu, polis yang mengganas. Apa yang nak disiasat lagi?" Tanya anak muda yang marah-marah.

"Dah tu lantik pula bekas ketua polis yang tuduh peserta Bersih sebagai komunis tu jadi ketua panel penyiasat. Apa mereka ingat rakyat semua ni bodoh dan bangang sangat ke?" Kawan anak muda itu nampaknya lebih marah lagi.

Apa tidaknya! Sekarang ini segala-galanya dalam masyarakat kita ini seperti sudah kehilangan nilai diri. Dengan fitnah yang tak habis-habisnya, disiarkan di muka depan akhbar pula – gambar foto lucah yang tak mungkin tergambarkan oleh orang-orang yang masih punya nilai diri. Dan orang sepenting bekas Ketua Polis Negara pula tak semena-mena mengatakan Tok Guru Nik Aziz itu 'bapa kafir' – dan disiarkan oleh akhbar sepenting NST.

Apa lagi selepas ini – yang lebih hebat dan lebih dahsyat daripada itu semua? Maka seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, saya pun sedang menunggu bilakah salah seorang jurucakap majlis fatwa kebangsaan kita akan mengumumkan fatwa baru yang mengharamkan orang Islam daripada mengundi calon parti pembangkang dalam PRU13 nanti.

Memerhati pada trend yang sedang terjadi dalam masyarakat kita sekarang – dengan para muftinya yang sedemikian, dengan para profesornya yang sedemikian (ilmu dan agama pun sudah dipermain-mainkan) – hanya orang-orang bodoh dan bangang sahajalah yang akan terkejut sekiranya ada mufti kita yang membuat pengumuman fatwa sedemikian.

Dan yang lebih-lebih lagi saya tunggu-tunggu sekarang ialah saat akan lahirnya sebuah karya seni yang setaraf novel SHIT oleh Shahnon Ahmad (walaupun Shahnon dikatakan tidak mahu mengakuinya kini) sebagai hasil seni yang merakamkan semangat keliru dan hodohnya gelagat penguasa yang sedang terkial-kial mempertahankan saki-baki kekuasaannya sekarang.

Kalau di zaman Reformasi 1998-99 dulu telah lahir novel SHIT yang sangat menggemparkan pada waktu itu, merakamkan semangat kotornya permainan kuasa oleh PM waktu itu, apakah tidak mungkin akan lahir pula karya seni setaraf SHIT itu sebelum PM sekarang mengumum-kan pembubaran Parlimen, setelah dia mengumumkan "durian runtuh" di sana-sini?

Siapakah di kalangan sasterawan dan seniman kita yang akan tampil meletupkan bom seninya itu? Ataupun sebenarnya bom itu sudahpun diletupkan oleh Sasterawan Negara kita yang tidak asing lagi dengan rakyat hari ini – satu-satunya yang kita hormati dan kasihi itu?
 

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment