WALAUPUN kelab Manchester City berjaya merampas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semalam, Pengurus Manchester United (MU), Sir Alex Ferguson mendakwa pasukan The Citizens tidak akan berjaya memadamkan rekod pasukannya.

Menurut Ferguson, City memerlukan lebih 100 tahun untuk mencatat sejarah mereka sekali gus menyekat kegemilangan MU dalam EPL.

"Bagi saya, kemenangan mereka tidak membuktikan City mampu mencatat sejarah seperti mana yang telah dilakukan oleh kelab MU.

"Memang kami gagal, tapi itu tidak bermakna kegemilangan MU akan berakhir. Malah bagi saya, tiada siapa mampu menandingi kami untuk mencipta rekod paling lama memegang mahkota Liga," kata beliau dalam temu bual dengan media England selepas perlawanan semalam.