Tuesday, July 24, 2012

RG2011... Kerajaan Islam berpaksikan maqasid syariah

 

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

24 JULAI — Perdana Menteri Najib berkata betapa kerajaan tetap berpaksi atas landasan maqasid syariah iaitu menjaga akidah (agama), menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga kehormatan diri dan menjaga harta.

Inilah landasan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan pemerintahan Madinah, disambung oleh pimpinan khalifah ar-Rasyidin dan dijayakan sepenuhnya di bawah Khalifah Umar Abdul Aziz. Keagungan pemerintahan Andalusia di Sepanyol dan empayar Utmaniah Turki dulu adalah berpegang kepada dasar ini.

Apa pemerintahan yang terkemudian mengabaikannya, pemerintahan Andalusia pun hancur dan empayar Turki tinggal sebagai negara Turki yang mundur.

Apabila dikatakan kerajaan Malaysia berpaksi atas tuntutan maqasid syariah seperti yang Perdana Menteri dakwa, ia adalah polisi dan cita-cita yang wajar. Jika Malaysia berada pada landasan yang demikian, sejak bila ia terlaksana? Sejak Tunku Abdul Rahman Putra jadi Perdana Menteri tahun 1957 atau sejak Tun Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru? Atau sejak tercetusnya pelan transformasi diberbagai arena di bawah tiga tahun pentadbiran Najib?

Tiada siapa dalam kerajaan selama 54 tahun merdeka tahu dan dengar istilah maqasid syariah itu dan apa maksudnya. Para pemimpin PAS ada menyebutnya apabila menghuraikan tentang maksud pemerintahan Islam baik dalam sejarahnya mahu pun yang dicita-citanya.

Jika maqasid syariah sudah bermula sejak tahun 1957, ia bukan sekadar menyusun kinikan pentadbiran jabatan agama Islam semua peringkat, tetapi telah tidak ada industri judi dan kilang arak di sana sini. Tentu tiada peluang bagi datuk Perdana Menteri Najib, Tan Sri Noh bersama saudagar Lim Goh Tong mengasaskan pembangunan Genting Highlands.

Kasino yang tiada ada di mana-mana di Asia Tenggara tentu tidak ada di Genting kira konsep maqasid syariah menjadi pegangan kerajaan kerana industri judi itu  mengancam akidah, otak, saksiah dan harta individu.

Mustahil Tunku dan Tun Razak tentu tidak benarkan edaran minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan kiranya pengetahuan maqasid syariah ada dalam kerajaan.

Apabila rasuah menjadi darah daging kerajaan Malaysia dan menyelimuti imej para pemimpinnya, hingga meletakkan Malaysia berada di belakang Indonesia dan Filipina dalam amalan rasuah, maka dengan sendirinya maqasid syariah itu tidak terlaksana.

Rasuah, maksiat, jenayah, pecah amanah dan sebagainya tidak berada dalam satu bakul dengan maqasid syariah. Sama seperti Malaikat dan iblis tidak boleh duduk di bawah satu bumbung. Bila semua keburukan itu ada, ia tanda maqasid syariah tidak ada. Dalam negara maqasid syariah, tiada rasuah dan pecah amanah, tiada banyak jenayah dan maksiat.

Bagaimana dalam sebuah kerajaan yang membawa perjuangan maqasid syariah, seperti yang PM Najib sebut ketika memperingati jasa Al-Marhum Nik Mohyideen, pengetuan  Kolej Islam 40 tahun lalu, boleh bising dengan isu pembunuhan mistri Altantuya dan skendal pembelian kapalselam dari Perancis?

Bukankah antara hikmat maqasid itu adalah untuk memelihara nyawa. Maqasid menjamin hak manusia untuk hidup sejak dari rahim ibu hingga ke pintu kubur. Tiada siapa boleh mati dibunuh. Nyawa wanita Mongolia yang menziarahi Malaysia tidak selamat. Bukan dia sekadar mati dibunuh, tetapi mayatnya diletupkan hingga hancur berkecai.

Kekejaman itu seolah-olah menyamai apa yang dialami oleh Saidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW yang syahid dalam perang Uhud. Bukan sekadar terbunuh tetapi jenazahnya dirobek dan hatinya dimamah oleh wanita jahiliyah. Tetapi jasatnya masih ada untuk dimakamkan.

Kekejaman itu dilakukan oleh orang Quraisy jahiliyah di zaman jahiliyah. Betapa jenazah pejuang Islam diperlakukan oleh orang jahiliyah, tetapi jasat Altantuya seorang bukan Islam di zalim begitu rupa dalam negara dan masyarakat Islam. Bagaimana dalam negara yang raja dan perdana menterinya orang Islam boleh berlaku kekejaman yang setara dengan kekejaman jahiliyah Quraisy dulu?

Maqasid bukan sekadar menjaga jiwa orang Islam tetapi ia memberi perlindungan sekaian anak Adam tidak kira rakyat dan pelancong. Ketika negara-negara maju di dunia sekarang amat prihatin tentang keselamatan binatang buas seperti gajah, singa dan ular, kerajaan Malaysia tidak dapat memberi perlindungan kepada nyawa Altantuya.

Dan bukan skendal rasuah pembelian kapalselam oleh Malaysia itu sedang ditangani oleh makamah Perancis. Bagaimana kes yang melibatkan membabitkan para pembesar negara tidak dapat ditangani oleh mahkamah dan kejaksaan sendiri tetapi ia terpaksa ditangani oleh kehakiman negara asing?

Tidakkah skendal kapalselam itu mengancam keselamatan dan pertahanan negara dan rakyat, ia mengancam maruah rakyat, kerajaan dan negara, malah ia mengancam kesejahteraan ekonomi dan harta rakyat?

Jika pentadbiran Najib dan BN begitu prihatin dengan maqasid syariah nescaya tidak terjadi cincin berharga RM24 juta boleh dikirim ke alamat Perdana Menteri dari New York.

Semua ini tidak terjadi dalam masyarakat yang mengamalkan maqasid syariah. Apabila semua kepincangan ini berlaku, bagaimana Perdana Menteri hendak mempertahankan dia dan kerajaan sudah membawa maqasid syariah? Seperti cerita raja berbaju baru. Kononnya baginda berbaju baru. Sebenarnya tidak berbaju.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment