Wednesday, July 18, 2012

RG2011... Ketenangan Hati

 



 
Ketenangan hati adalah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang manusia walau apapun latarbelakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap insan.
 
 
Keutuhan dan kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada sesuatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit. Dan Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan  bumi ini serta apa yang ada di atas langit yang tujuh ini, semuanya adalah milik mutlak Tuhan yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmuNya dan izinNya.
 
 
Seseorang yang menjalani hidup ini dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku, sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaanNya. Menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Agung. Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta sentiasa berkata : "Wahai hambaKu, mintalah kepadaKu, akan Kupenuhi segala permintaan kamu!" tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku dan kemampuanku.
 
 
Seorang anak kecil akan berasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah di pasar raya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi "ketenteraman" dan "ketenangan hatinyalah" yang tercedera. Kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh, berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, "Dah, jangan menangis..sikit je tu. Nanti ibu sapukan ubat". Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa "sakit" pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin ibunya memahami "penderitaannya" dan ibunya "mampu" mengubati luka dilututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Hal ini menunjukkan bahawa ketenteraman hati dan ketengan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia. Adalah menjadi satu hukum serta prinsip alam, sesorang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui bahawa di sana adanya satu "kuasa" yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.
 
 
Seorang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ. Tetapi seseorang yang mantap EQnya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf, tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimilikinya, dia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali terlontar daripada patah bicaranya perkatan-perkataan yang bersifat "teraputik" yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.
 
 
Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQnya berada. Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip, "Bukankah dengan berzikir kepada Allah, hati akan menjadi tenang?" (Ar-Ra'd):28. Berzikir membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingati Allah, merasakan kehadiranNya dan berasa keagunganNya dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin mungkin seseorang yang melihat Tuhan itu (dengan segala kebesaran dan kekuasaanNya) berada begitu hampir dengan dirinya masih boleh berasa tidak tenteram dan aman?
 
 
Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan "nur" kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi. Allah berfirman. " Dialah yang menurun 'sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman" (Al-Fath:4). Sakinah bermaksud ketenangan yang tetap.
 
 
Jika demikian, sudah tentu dalam apa yang diperintahNya itu ada alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati seperti amalan zikrullahsolat, tafakur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi. Semoga hati kita tidak 'buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan sekalian alam.
 

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment