Wednesday, September 12, 2012

RG2011... Polemik Melayu Pulau Pinang Oleh Zairil Khir Johari

 


11 September 2012

Berikut ialah ucapan Saudara Zairil Khir Johari, CEO  Penang Institute, di pembukaan Forum Nusantara ke 6 dengan tajuk "55 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Mana Melayu Pulau Pinang?"

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian ke Forum Nusantara Siri Ke-6 anjuran Penang Institute yang berjudul, "55 tahun kemerdekaan: Ke arah mana Melayu Pulau Pinang?".

Dalam forum-forum yang lepas, kami telah banyak menelusuri riwayat negeri Pulau Pinang sebagai pusat fikrah dan pencerahan minda yang boleh dianggap terkehadapan pada zamannya. Begitu suburnya tanah negeri ini sehingga ramai para cendekia dan pemikir Melayu, khususnya tokoh-tokoh kaum muda dan pelopor-pelopor gerakan reformis Islam, telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan mereka.

Ramai di antara mereka asalnya bukan anak negeri, namun tertariknya mereka ke Pulau Mutiara ini adalah kerana ruang kebebasan dan suasana penuh saingan yang sangat memberangsangkan. Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri yang bertradisi majmuk di mana penduduk majoritinya bukan Melayu. Pun begitu, suasana sedemikian tidak menjadi halangan, malah mereka lagi berjaya dan berkembang maju.

Saya rasa kejayaan mereka mempunyai dua faktor utama. Pertamanya, disebabkan pasaran bebas dan suasana persaingan yang wujud di negeri pelabuhan entrepot ini, maka wajiblah mereka menonjolkan keupayaan dan daya usaha yang lebih tinggi. Dalam erti kata lain, persaingan tidak menjadi masalah malah menggalakkan dinamisme dan semangat kecemerlangan di kalangan mereka.

Keduanya, Pulau Pinang sebagai Negeri Selat yang bebas daripada sistem feudal tempatan, menyediakan ruang yang lebih luas berbanding dengan negeri-negeri lain. Barangkali kerana cengkaman pihak berkuasa ke atas sistem sosial Melayu tidak begitu terserlah, maka gagasan kebudayaan yang diutarakan pada zaman itu dapat mencerminkan idea-idea yang lebih progresif dan reformis.

Akan tetapi, jika daya maju yang diuar-uarkan ini menjadi kelumrahan Melayu Pulau Pinang pada suatu ketika dahulu, apakah yang telah terjadi sehingga persoalan kemajuan masyarakat yang sama pada hari ini sudah menjadi isu yang begitu menimbulkan kontroversi? Kemanakah perginya semangat dinamis dan daya maju, yang tampaknya sudah diganti pula dengan sikap ketidakyakinan dan mentaliti terkepung?

Saban hari, polemik Melayu Pulau Pinang ini seringkali menjadi bahan tumpuan dalam akhbar-akhbar kebangsaan. Mengapakah begitu? Mungkin kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri Semenanjung di mana Melayu masih lagi menjadi minoriti dari segi politik. Walaupun dari segi demografi populasi Melayu kian meningkat, kebanyakannya masih muda dan berada dalam lingkungan umur bawah 20 tahun.

Tetapi jika itu persoalannya, kenapakah isu ini tidak pernah diberi perhatian yang begitu serius dalam lima dekad sebelum ini? Tidak mungkin fenomena kemunduran masyarakat Melayu ini boleh terjadi dengan tiba-tiba. Mereka yang memiliki akal sihat pasti sedar bahawa polemik ini merupakan angkara pihak-pihak tertentu yang bermotif politik kerana jelas masalah ini bukannya perkara baru tetapi sesuatu yang telah diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Sungguhpun begitu, adalah tidak dinafikan bahawa masyarakat Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan di serata negara masih lagi terkebelakang jika dibandingkan dengan masyarakat-masyarakat lain. Ini adalah satu keadaan yang sangat mendukacitakan. Setelah 55 tahun sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, masyarakat Melayu yang merupakan majoriti negara ini masih lagi tercari-cari rentak untuk melangkah.

Dilema ini sungguh mencurigakan, bukan sahaja kerana negara kita telah diterajui selama 55 tahun oleh sebuah parti Melayu yang mendakwa menjuarai dan menjaga kepentingan bangsanya, tetapi juga apabila pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarat Melayu.

Di Pulau Pinang misalnya, atas semangat Dasar Ekonomi Baru berbagai-bagai peruntukan telah disalurkan khususnya untuk pembangunan Melayu melalui badan-badan seperti Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Koperasi Gabungan Negeri, selain bantuan dana kepada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan kumpulan-kumpulan berkaitan.

Pada peringkat kebangsaan pula lebih banyak usaha telah dibuat, termasuk skim-skim seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sepatutnya membantu untuk meningkatkan pemilikan saham di antara masyarakat Melayu-Bumiputera. Berdasarkan perangkaan yang diberi oleh syarikat Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan saham-saham ini, gambarannya memang memuaskan – secara purata, setiap pelabur mempunyai simpanan berjumlah RM8,000. Itu bukan jumlah kecil. Tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, purata simpanan itu menjadi hanya RM553 seorang jika 20 peratus pelabur tertinggi diambil keluar. Maksudnya, purata simpanan bagi orang kebanyakan hanyalah sekitar RM500 seorang. Jadi, walaupun pada zahirnya pemilikan saham masyarakat Melayu telah bertambah, hakikatnya ia terhad kepada golongan kecil elit sementara golongan Melayu marhaen tidak dapat menikmati kekayaan tersebut.

Bagi perangkaan pendapatan pula, 40 peratus daripada isi rumah di negara kita mempunyai pendapatan hanya RM1,500 sebulan, seisi rumah. Tiga perempat daripada angka ini pula merupakan keluarga-keluarga Bumiputera. Jadi, hakikat keterbelakangan masyarat Melayu ini adalah sesuatu yang benar dan tidak khusus kepada Pulau Pinang sahaja.

Akan tetapi, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak mahu sekadar menyalahkan kepimpinan lampau. Tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang harus diterjemahkan dalam bentuk dasar pembangunan yang adil dan seimbang. Melalui tadbir urus yang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya meningkatkan peruntukan untuk kebajikan anak-anak negeri ini tanpa mengira bangsa. Pelbagai program sosial yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti warga emas, ibu tunggal, OKU, kanak-kanak sekolah dan sebagainya telah pun dilaksanakan. Bahkan peruntukan untuk agama Islam telah meningkat dengan signifikan, daripada hanya RM12.5 juta pada tahun 2008 kepada RM64 juta sekarang. Banyak lagi program yang dibuat, termasuk peruntukan tahunan untuk Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru Kafa dan sebagainya.

Dalam serba keterbatasan dan tempoh yang singkat, kerajaan negeri Pulau Pinang telah mencatat beberapa pencapaian yang tidak pernah disaksikan dalam tempoh lebih 50 tahun sebelum ini. Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan yang baik bukanlah kerajaan yang mewujudkan kebergantungan rakyat kepadanya tetapi kerajaan yang mampu membuka seluas-luasnya ruang dan peluang untuk setiap anggota masyarakatnya untuk memenuhi potensi diri.

Sepertimana tokoh-tokoh Melayu Pulau Pinang pada zaman lampau yang berjaya dalam suasana persaingan dan kebebasan kebudayaan, maka kita harus membentuk semula suasana sekitaran yang berasaskan semangat pencerahan dan daya maju. Ini hanya akan tercapai sekiranya masyarakat Melayu sendiri dapat membebaskan diri daripada sikap ketidakyakinan dan mentaliti terkepung yang telah sekian lama mengongkong kemajuan kita.

Justeru, Penang Institute selaku badan pemikir kerajaan negeri, sangat menyokong sebarang perdebatan dan perbincangan yang sihat demi membina semula tradisi keintelektualan dan penglibatan aktif masyarakat madani.

Program-program Forum Nusantara merupakan salah satu daripada usaha Penang Institute untuk mencapai matlamat tersebut, dan pada malam ini kita sangat bernasib baik kerana berjaya mengumpulkan seorang Ahli Dewan Rakyat, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang Senator Dewan Negara yang juga merupakan profesor sejarah Melayu, serta seorang pemimpin UMNO negeri, untuk sama-sama membincangkan hala tuju dan masa depan pembangunan masyarakat Melayu Pulau Pinang. Semoga diskusi malam ini akan menggalakkan lagi semangat pencerahan di kalangan kita.

Sekian, terima kasih dan selamat berforum.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment