Wednesday, September 5, 2012

RG2011... Sejarah Merdeka wajib ditulis semula

 

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.


6 SEPT — Sudah menjadi trend, menjelang sambutan ulangtahun Merdeka, akan timbul isu menimbulkan polemik sehingga menyebabkan kita berfikir semula apakah kita hidup dalam sebuah negara yang begitu "banal" dan masih belum selesai perkara asas sebagai sebuah negara bangsa.

Heboh seluruh negara apabila media arus perdana memainkan gambar beberapa anak-anak muda mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" — mirip bendera Singapura, Indonesia, Umno dan PAS.

Tindakan ini dianggap satu pengkhianatan kepada Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi negara, lambat laun, pasti anak-anak muda tersebut ditangkap polis untuk siasatan.

Heboh juga apabila terdapat beberapa anak-anak muda memijak gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tidak terlepas, gambar pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut menjadi mangsa.

Tahun lalu, timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu dikecam diseluruh negara selepas memuji tindakan berani Mat Indera dalam melawan penjajahan kolonial Inggeris.

Media arus perdana memainkan tentang Mohamad yang dianggap menghina pejuang Bukit Kepong dan menyokong komunis.

Akhirnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali terperangkap apabila terdapat sebuah buku terbitan sebuah yayasan di Johor yang mana Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman sendiri menulis kata pengantar, memuji tindakan berani Mat Indera dalam melawan penjajah British.

Kebenaran pasti muncul

Realiti hari ini, Jalur Gemilang adalah bendera yang diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

Seperti yang dikatakan oleh pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim baru-baru ini bendera sesuatu negara diputuskan oleh majoriti rakyat sesuatu negara tersebut.

"Kalau majoriti rakyat nak tukar bendera, bolehlah tukar.

"Kalau tidak kita guna sahaja yang sedia ada," kata beliau seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider baru-baru ini.

Internet telah menyebabkan maklumat yang disorokkan daripada pengetahuan umum sebelum ini, terbongkar dan apabila dimainkan oleh media arus perdana bolehlah kita ibaratkan sebagai "senjata makan tuan".

Saya tertawa apabila membaca komen-komen di laman sosial Twitter oleh penyokong Umno yang mencerca anak-anak muda yang mengibarkan Sang Saka Malaya dengan mengatakan bendera tersebut menyerupai bendera Singapura.

Mungkin mereka terlalu naif dengan sejarah serta tidak mempunyai inisiatif untuk membaca atau menggali maklumat dalam internet tentang sejarah bendera Umno itu sendiri.

"Sang Saka adalah sejarah bangsa, dari zaman kerajaan Langsakuka, Gangga Negara, Sri Vijaya inilah warnanya.

"Merah putih adalah motif nusantara.

"Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka," kata Hishamuddin Rais dalam laporan The Malaysian Insider beberapa hari lalu.

Penulisan semula sejarah

Buku teks sejarah perlu menulis semua perkara yang berlaku tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.

Walaupun sedikit sebanyak ia akan mengguris hati sesetengah pihak, namun kebenaran tetap perlu ditulis.

Keluarga kepada askar-askar Melayu yang berkhidmat dengan penjajah Inggeris perlu tahu bahawa apa yang dilawan oleh ayah, pakcik atau abang meraka dalam askar Melayu pada ketika itu adalah pejuang-pejuang kemerdekaan yang terpaksa masuk ke hutan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) selepas darurat diisytiharkan oleh penjajah.

Darurat datang bersama dengan pengharaman parti-parti politik progresif seperti PKMM, PKM, Hizbul Muslimin dan banyak lagi.

Penjajah begitu takut dengan gabungan Putera-AMCJA selepas "hartal" (sejenis protes politik) dilancarkan diseluruh negara pada 20 Oktober 1947 mendapat sambutan besar dari rakyat.

Protes politik pertama yang terbesar bagi rakyat Malaya pelbagai kaum.

Jika anda mempunyai masa, tontonlah dokumentari bertajuk "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" arahan Fahmi Reza yang boleh ditonton dari laman YouTube.

Dokumentari ini menceritakan dengan jelas tentang apa yang berlaku sepuluh tahun sebelum British menyerahkan Malaya kepada Umno, MCA dan MIC.

Dokumentari tersebut memperlihatkan dengan jelas bagaimana penjajah British menggunakan media untuk melaga-lagakan masyarakat Melayu, Cina dan India yang sebelum itu tidak kenal erti politik perkauman.

Untuk terus maju kedepan, kita perlu selesaikan perkara asas.

Selagi kita tidak melakukannya, kita akan terus tersekat dengan perkara-perkara warisan penjajah seperti politik perkauman yang menghalang Malaysia untuk terus maju kedepan.

Sejarah juga tidak akan melupakan jasa Umno dan Barisan Nasional yang telah memimpin Malaysia sehingga apa yang dicapai hari ini.

Patriotisme akan muncul jika rakyat tidak ditipu oleh sejarah yang ditulis oleh golongan yang menang.

Pembodohan terbesar dalam penulisan sejarah hari ini adalah Malaya mendapatkan kemerdekaan tanpa menumpahkan setitis darah walaupun sebenarnya ribuan telah mati dibunuh untuk kemerdekaan tanah air.

Adillah kepada sejarah yang berlaku dan Malaysia akan maju kedepan dan akan memimpin Asia Tenggara dalam menghadapi persaingan global.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment