Tuesday, January 8, 2013

RG2011... "Kami yang hendak import keamanan Malaysia ke sini!"- Wartawan mesir

 


Rencana dari Dato' Mukhriz Mahathir 

Pertaruh keamanan untuk demokrasi

"DIA gila!", jawab spontan seorang wartawan akhbar Mesir kepada saya apabila saya memberitahunya bahawa Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang mengimport "Arab Spring" ke Malaysia.

"Kami yang hendak import keamanan Malaysia ke sini!", katanya dengan nada tegas.

Isu ini timbul pada 11 Disember lepas apabila selesainya beliau menemuramah saya mengenai misi kemanusiaan yang saya ketuai ke Gaza.

Saya minta huraian beliau tentang politik semasa di Mesir memandangkan kedua-dua pihak, baik yang menentang mahupun yang menyokong pindaan hak mahkamah Mesir untuk menyemak keputusan Presiden, menganjurkan demonstrasi jalanan di Dataran Tahrir dan beberapa pusat kunjungan sekitar Kaherah.

Malah dataran di depan Rumah Malaysia di Kaherah juga kadangkala menjadi medan himpunan pendemontrasi kebelakangan ini.

Dari pengamatan saya, seluruh Kaherah menjadi haru-biru bila demonstrasi berlaku di mana sekalipun.

Wartawan tersebut menceritakan bagaimana demonstrasi kini menular menjadi budaya rakyat Mesir yang tidak puas hati atas sebarang perkara - lazimnya isu yang melibatkan kerajaan semasa. "Walaupun presiden sekarang menang dalam pilihan raya, satu-satunya proses demokrasi yang penting, tetapi umum faham bahawa ia bermula dengan demonstrasi yang menjatuhkan Hosni Mubarak dan rejimnya.

Maka walaupun Presiden Mohamed Morsi dipilih melalui proses demokrasi, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa rejim yang beliau jatuhkan kini mempunyai hak untuk menggunakan kaedah yang sama, iaitu demonstrasi, untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai apa apa perkara semata mata untuk memberi tekanan keatas kerajaan baru ini. Ini sudah tentu menggugat kestabilan politik negara.

Yang mengeruhkan lagi keadaan ialah apabila pihak yang menyokong kerajaan juga berdemonstrasi untuk menunjukkan bahawa kerajaan juga menikmati sokongan ramai. Mujurlah setakat ini kedua-dua kumpulan yang menunjuk perasaan tidak bertembung dan berlaku pergaduhan. (Nota penulis: Pada 21 Disember memang berlaku pergaduhan antara kedua pihak ini mengakibatkan kematian)

Berlatarbelakangkan situasi semasa di Kaherah itu, wartawan Mesir yang sudah beberapa kali ke Malaysia itu menyatakan rasa kagum beliau di atas amalan demokrasi di Malaysia yang perlu dicontohi oleh Mesir. Walaupun rakyat Malaysia majmuk tetapi sistem demokrasi yang diamalkan sejak merdeka mampu memberi hak memilih yang saksama kepada setiap warga yang cukup umur.

Dan ini dilakukan dalam keadaan aman sentosa. "Alangkah nikmatnya jika demokrasi alaf baru yang diamalkan di Mesir dapat meneladani Malaysia", tambah beliau lagi.

Jadi tidak hairanlah reaksi terkejut dan bingung beliau apabila saya maklum bahawa Anwar yang mengaku rapat dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir ingin menggunakan demonstrasi jalanan ala Arab Spring untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Malaysia.

Ironisnya, Mesir menghormati, malah memandang tinggi sistem kerajaan yang digunakan di Malaysia. Beliau langsung tidak nampak sebarang cacat cela dalam sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia.

Kalau pun ada, ia merupakan khilaf yang boleh diperbetulkan kerana yang baik itu jauh lebih banyak dari yang buruk. Oleh itu, lebih baik dan mudah jika diperbetulkan sahaja kekhilafan yang ada tanpa perlu terus menukar kerajaan.

Malah Hassan Malik, penasihat ekonomi kepada Presiden Morsi apabila berbincang dengan saya sewaktu beliau mengunjung MITI pada bulan lepas banyak bertanya mengenai bagaimana Malaysia (baca : Kerajaan BN Malaysia) mengurus pembangunan ekonominya sehingga begitu berjaya)

Jelas sekali walaupun Mesir juga dianggap sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tetapi acuan yang mereka gunakan semasa zaman pemerintahan Mubarak tidak memberi hak yang saksama kepada rakyatnya.

Hanya sebilangan kerusi di Parlimennya yang ditandingi di setiap pilihan raya, dengan kebanyakan kerusi disandang oleh wakil-wakil lantikan presiden sendiri. Ikhwanul Muslimin yang punyai sokongan yang besar di Mesir diharamkan oleh Mubarak daripada bertanding dalam pilihan raya.

Faktor-faktor ini dengan sendirinya menjamin jumlah kerusi majoriti di Parlimen dikuasai oleh Mubarak, sekali gus melindungi kuasanya sebagai presiden. Tiada peluang untuk menjatuhkan Mubarak selagi keistimewaan ini dinikmatinya.

Mungkin atas sebab ini, demonstrasi Arab Spring memang diperlukan untuk mencetuskan transformasi paradigma yang menyebabkan kejatuhan Mubarak. Hanya dengan beliau tidak lagi berpengaruh barulah dapat memangkinkan demokrasi yang lebih adil dilaksanakan.

Ini berbeza sama sekali dengan keadaan politik di Malaysia. Sejak sebelum merdeka, Malaya dan kemudiannya Malaysia menyaksikan pilihan raya umum yang digunakan oleh rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan juga kerajaan yang akan mentadbir negara.

Setiap seorang berhak ke atas satu undi, dan pihak yang bersaing dengan parti pemerintah juga berpeluang untuk bertanding. Parti parti pembangkang tidak diharamkan dari menyertai pilihan raya. Calon bebas pun dibenarkan bertanding. Malah kadangkala calon Perikatan dan BNl berjaya dikalahkan.

Ayah saya sendiri pernah kalah dalam pilihan raya. Umum tahu bahawa enam negeri telah berjaya dikuasai parti pembangkang pada PRU ke 12 yang lepas. Terkini, dari 16 pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang penggal ke 12 ini, BN menang setengah manakala PR setengah lagi.

Sesungguhnya "demokrasi" tidak adil seperti yang diamalkan di Mesir di zaman Hosni Mubarak tidak langsung boleh disamakan dengan demokrasi ala Malaysia sejak zaman Malaya lagi. Tidak berlaku keadaan di mana kerusi yang dibuka untuk ditandingi tidak cukup untuk menjatuhkan kerajaan yang berkuasa.

Di PRU ke-12, semua 222 kerusi Dewan Rakyat dibuka untuk direbut oleh mana mana pihak yang berminat. Tidak timbul situasi di mana hanya 110 kerusi yang dibuka untuk dipertandingkan - kalaupun pihak pembangkang menang kesemua kerusi itu masih tidak cukup untuk menjatuhkan parti yang memerintah dan mendirikan kerajaan.

Justeru tiada sebab untuk mencetuskan transformasi paradigma melalui demonstrasi untuk melahirkan sistem demokrasi yang lebih adil. Sesungguhnya demokrasi acuan Malaysia sudahpun adil walaupun boleh diperbaiki lagi. Seperti kata wartawan Mesir tadi, kalaupun ada sedikit khilaf, ia boleh diperbaiki dengan mudah tanpa perlu menidakkan kebaikan yang begitu banyak.

Wartawan tadi juga kagum dengan keamanan yang wujud di Malaysia. Orang Mesir memang bersifat suka mengelak konflik - dan ini antara sebabnya pemerintah seperti Mubarak boleh bertahan lama tanpa dicabar mana mana pihak. Meskipun keadaan ini boleh mewujudkan suasana aman, tetapi ia tidak diiringi keadilan untuk rakyat.

Di negara kita sistem pemilihan pemerintah yang adil membawa kepada keadaan yang aman. Agaknya ini yang dikagumi wartawan itu.

Saya rasa cukup terkilan kerana ada pihak yang sanggup menggugat keamanan kononnya kerana sistem demokrasi Malaysia tidak adil. Dengan alasan "pembersihan" sistem pilihan raya kita, mereka sanggup mewujudkan suasana yang setiap kali menjurus kepada ketegangan dan konflik. Maka demonstrasi yang sepatutnya aman sengaja dimanipulasi supaya mencetus porak peranda.

Memang keadaan ini pilihan Anwar dan rakan-rakan sekutunya di pihak pembangkang, mungkin kerana mereka tidak yakin dia akan dapat menjadi Perdana Menteri jika sistem sediada digunakan.

Bayangkan jika Anwar berjaya dalam memenuhi cita cita tinggi itu (nauzubillahu min zalik), tentu dia berasa selesa kerana memahami bahawa pihak BN tidak suka kepada demonstrasi jalanan dan akan menjauhi kaedah itu untuk menyaingi Pakatan Pembangkang.

Alasan yang Anwar gunakan untuk menghalalkan demonstrasi jalanan ialah bahawa ia boleh dilakukan secara aman seperti yang dilakukan di banyak negara Barat.

Memang benar ada demonstrasi aman yang berlaku di Barat, namun ada juga yang bertukar menjadi ganas. Tetapi bukan demonstrasi Barat yang aman yang Anwar hendak import ke Malaysia.

Terang-terang Anwar menyatakan bahawa tunjuk perasaan ala Arab Spring yang beliau mahu. Terang lagi bersuluh Anwar tidak ragu ragu untuk gunakan kekecohan untuk merampas kuasa. Tindakannya sewaktu Bersih 3.0 mengarah orang-orangnya untuk merusuh membuktikan kebenaran ini.

Soalnya, adakah kita perlu mempertaruhkan keamanan yang kita bina dengan begitu susah payah selama ini untuk menambah baik sebuah sistem demokrasi yang sudahpun dikagumi pihak luar? Tidakkah cukup sekadar kita melawati tempat tempat di mana berlaku pergolakan seperti Mesir dan medan keganasan seperti Gaza untuk kita ambil iktibar dan jadikannya pendorong untuk kita berjuang mempertahankan keamanan milik kita ini?

Tidakkah memadai untuk kita melihat keganasan yang berlaku di negara orang untuk kita "tepuk dada tanya selera" dan sedar bahawa sesungguhnya kita amat bertuah dilahirkan di negara yang aman sentosa, sejahtera dan makmur?

Kenapa perlu kita memperjudikan kedamaian kurniaan Tuhan semata mata untuk membawa masuk kekecohan Arab Spring ke Malaysia untuk membuat sedikit perubahan kepada kaedah pilihan raya kita? Tidakkah pendekatan itu bertentangan dengan matlamat yang hendak dicapai? Adakah hanya kerana matlamat maka cara yang jelas merugikan kita pun hendak dihalalkan?

Kalau orang lain kagum dengan cara kita, kenapa kita hendak buang faktor kekaguman itu untuk mengikut cara mereka?

Setiap negara punyai keadaan yang berbeza. Tidak ada dua negara yang sama keadaannya. Begitu juga tahap kematangan dalam pentadbiran dan kepimpinan negara juga turut berbeza.

Cara kita terbukti berjaya untuk melonjakkan kedudukan negara ke tahap yang begitu membanggakan kini. Peningkatan tangga dalam begitu banyak penilaian atau indeks yang dibuat oleh agensi antarabangsa terhadap Malaysia adalah bukti kejayaan cara pentadbiran kita - walaupun pihak pembangkang cenderung untuk menidakkan kebenaran ini dan hanya gembar gemburkan laporan negatif yang kadangkala muncul.

Saya juga percaya kalaupun negara lain meniru bulat-bulat apa yang kita lakukan, belum tentu mereka boleh mewujudkan kemakmuran seperti yang kita nikmati.

Ini kerana keadaan mereka tentunya berbeza dengan kita. Memahami hakikat ini, penting bagi kita tidak menganggap apa yang diamalkan negara lain sesuai untuk kita.

Perbezaan budaya, peninggalan sejarah, situasi semasa semuanya memainkan peranan. Dan sudah tentu kalaupun kita hendak belajar dari orang lain, mestilah hanya perkara baik baik belaka.

Tidak mungkin kita hendak mencontohi teladan yang tidak baik. Demonstrasi jalanan yang bertukar menjadi rusuhan akan menjejas keamanan teras kejayaan Malaysia. Budaya ganas ini bukan budaya kita. Demokrasi berhemah yang kita amal perlu dikekalkan.

Jangan diundang perubahan hanya kerana mahukan perubahan. Kalau hendak ubah pun, mestilah ubah untuk kebaikan. Mana mungkin kita hendak ubah dari keadaan yang baik kepada keadaan yang buruk? Juga, kalau ada sesuatu yang tidak kena, perbetulkanlah sesuatu itu sambil memastikan tindakan kita itu tidak memburukkan keadaan yang sebelum ini baik.

Jangan kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar. Nyamuk tidak mati, kelambu pun tiada lagi untuk melindungi kita dari gigitan nyamuk.

Setengah jam yang saya luangkan untuk bersembang dengan wartawan Mesir itu benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada saya.

Ia meningkatkan pemahaman saya mengenai apa yang sedang berlaku di Mesir, tetapi lebih dari itu ia memperkukuhkan lagi keazaman saya untuk mempertahankan nikmat keamanan yang Allah SWT kurniakan kepada Malaysia dan seluruh warganya.

Pernah saya bertanya seorang ketua pengarah syarikat Jepun yang telah membuat keputusan untuk melabur ratusan juta ringgit di Malaysia kenapa beliau memilih Malaysia. Jawapannya tanpa ragu-ragu ialah "kestabilan politik". Inilah punca keamanan kita. Seperti saya dan pelabur tadi, saya percaya majoriti besar rakyat Malaysia meletakan keamanan pada tahap paling tinggi dalam senarai perkara yang dihargai.

Saya doakan Malaysia kekal aman damai, rakyatnya hidup harmonis sepakat dalam agenda pembangunan yang membawa kemakmuran kepada semua, insya Allah.

Adalah kepercayaan saya secara tidak berbelah bahagi bahawa hanya sebuah kerajaan yang ditadbir dan dipimpin oleh BN di peringkat persekutuan mahupun negeri boleh menjamin keamanan bagi semua, di atas mana kesinambungan agenda pembangunan boleh diteruskan untuk membawa makmur kepada rakyat jelata.

Harapan saya rakyat juga yakin dan percaya akan kebenaran ini dan menterjemahkan keyakinan itu dalam bentuk undi kepada BN menjelang pilihan raya umum kelak. Semoga Allah SWT membuka hati rakyat untuk tujuan tersebut.
--

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment