Thursday, March 7, 2013

RG2011... eKutbah “TANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN NEGARA ” (8 MAC 2013 / 25 RABIULAKHIR 1434H)

 

http://www.islam.gov.my/khutbah-online

 

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

  "TANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN NEGARA "                                                              

(8 MAC 2013 / 25 RABIULAKHIR 1434H)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dikesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: "TANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN NEGARA ".

 

 

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan kepada sejarah,  negara kita telah berdepan dengan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman pengganas komunis semasa darurat dan kemunculan beberapa kumpulan militan seperti kumpulan tentera sabilillah, kumpulan  Nasir  Ismail, al-Maunah dan lain lain lagi yang  kesemuanya menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu telah berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat dan strategik demi mempertahankan maruah negara.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa berdasarkan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa mempertahankan negara adalah fardhu kepada setiap orang Islam  manakala menderhaka dan mengkhianati negara merupakan satu dosa besar. Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama pihak musuh.

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa: "Mempertahankan negara adalah wajib keatas setiap muslim". Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh bahawa ianya sama ada fardhu kifayah atau fardhu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman yang dihadapi oleh sesebuah negara itu.  Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya  Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

 

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam menangani pelbagai ancaman yang dihadapi oleh negara maka mimbar  yang mulia ini berpendapat bahawa pendekatan yang bersepadu wajar dilaksanakan, antaranya ialah dengan perlunya kesedaran semua pihak bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan adalah tanggungjawab bersama.  Perlu difahami bahawa ruang lingkup ancaman keselamatan negara amat luas dan musuh wujud di mana-mana.

Justeru,  tidak mungkin tanggungjawab ini berada dikalangan  anggota-anggota pertahanan dan keselamatan sahaja tanpa didokong oleh setiap individu  yang bergelar sebagai rakyat negara ini. Yakinlah, bahawa  segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda  jihad kita di jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam dalam negara mesti bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama berdasarkan segala kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana- mana pihak yang cuba menghancurkan keamanan negara ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anaam ayat 82:

 

Maksudnya : "Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk".

 

Walaupun agama Islam mengutuk peperangan kerana ianya melibatkan pembunuhan sesama manusia dan dijadikan sebagai  alat  oleh pengacau, pengkhianat atau penjajah untuk merampas sesebuah negara, merampas kekayaan negara atau memperluaskan wilayah. Namun agama Islam juga  mengharuskan umatnya untuk menjadikan peperangan sebagai satu cara untuk mempertahankan diri demi menjaga maruah  agama, bangsa dan negara sekiranya di ancam dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah at-Haj ayat 39:

Bermaksud; Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka".

 

Percayalah, peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan agama, bangsa dan negara  dari sebarang pencerobohan musuh. Kerana itu mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati pun dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.  Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW, "Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sedera darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za' faran dan baunya bagaikan kasturi". (Riwayat: Abu Daud).

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Negara Malaysia adalah tanah air kita yang perlu dipertahankan. Di sinilah tempat kita membiakkan keturunan, membesarkan generasi Islam, menyuburkan syiar Islam dan menjaga kemaslahatan ummah yang kita warisi daripada asal usul keluarga Islam kita. Oleh itu marilah kita berusaha mempertahankan kedaulatan negara  yang telah dirintis oleh perjuangan datuk nenek kita selama ini. Usahlah menggadaikan masa depan negara ini dan terpengaruh dengan pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

 

 

Janganlah  terjebak dan  terikut-ikut dengan mereka yang tidak menyedari asal usul serta  tidak memahami adat istiadat latar belakang penduduk dan agama di negara ini dan  mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu demi kepentingan peribadi dan politik mereka. Hayatilah semangat perjuangan pahlawan yang terdahulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut sehinggalah perwira yang terkorban di Lahad Datu baru- baru ini sebagai pembakar semangat agar kita sentiasa bersedia untuk berjuang dan berkorban demi mempertahankan negara dan agama tercinta.

Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama- sama berusaha mempertahankan setiap inci tanah air kita ini dari dicerobohi mereka yang tidak bertanggungjawab, marilah kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha untuk menggugat  keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Percayalah, hanya dengan bersatu kita akan menjadi kuat dan mampu mengalahkan pihak musuh. Sedarlah, permusuhan  sesama sendiri pasti merugikan dan melemahkan kita. Marilah sama- sama kita  perkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah, syariat Allah dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus berjuang di jalan Allah dan dimasukkan golongan yang berjuang fi-sabilillah.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, Mimbar yang mulia pada hari ini mengambil kesempatan untuk menyatakan kekesalan diatas pencerobohan yang berlaku di Sabah ketika ini sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan kematian anggota keselamatan negara. Justeru, mimbar menyeru kepada seluruh jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar Ops Daulat yang dilancarkan  oleh anggota keselamatan diberi  perlindungan dan keselamatan serta kemenangan oleh Allah SWT. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam sekalian untuk bersama-sama mengadakan solat hajat, memohon keamanan khususnya di Lahad Datu dan semoga usaha ini mampu meredakan konflik dan ketegangan yang berlaku seterusnya membawa kepada penyelesaian yang terbaik.

Merujuk kepada pendirian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 6 Mac 2013 mengenai anggota keselamatan yang terkorban dalam isu pencerobohan di Lahad Datu Sabah, bahawa mereka adalah tergolong di dalam Syahid Akhirat kerana terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.Marilah kita berdoa mudah mudahan Allah SWT memberi ganjaran yang setimpal di atas jasa dan pengorbanan besar yang mereka lakukan serta menempatkan mereka bersama orang orang yang solehin.

Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan  usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya kekuasaan dan  pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam Surah Al- Imran ayat 160:

Maksudnya: "Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri".

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment