Thursday, March 21, 2013

RG2011... Sabah Di Ceroboh

 
 
Rock sokmo.. (jadi rakan FB wa: irwan matrock)
 
Nasional

Seorang penceroboh ditembak mati, wanita ditahan dalam Op Daulat

Oleh: Wartawan Sinar Harian 
Tarikh: March 21, 2013
LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas ketika operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang.
   
Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.
   
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.
   
"Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka serta menahan seorang wanita.
   
"Anggota tentera yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan selepas pembedahan, keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Berhubung kemungkinan penduduk Kampung Tanduo boleh kembali ke kediaman masing-masing, Zulkifeli berkata pasukan penilaian terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu akan digerakkan ke kampung itu selewat-lewatnya esok bagi melakukan penilaian keseluruhan sebelum penduduk dibenar pulang.
   
Beliau berkata kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan kewasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun, benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama militan selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum ini.
   
"Dari segi kerosakan fizikal agak mudah untuk dinilai tetapi dalam aspek keselamatan kami perlu pastikan keadaan benar-benar bersih dan selamat sebelum penduduk dibenar kembali ke kediaman mereka," katanya dan memberitahu bahawa hanya terdapat 12 rumah penduduk di kampung itu.
   
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifeli turut menafikan dakwaan bahawa sekumpulan lelaki dari Sabah akan dihantar ke Filipina untuk membunuh Kiram, dan berkata dakwaan itu tidak berasas dan mengarut.
   
Sementara itu, Khalid ketika ditanya sama ada pihak berkuasa mempunyai bukti sehingga lapan militan didakwa di mahkamah berkata: "Sudah tentu, tapi kita tidak boleh dedahkan dan jika tiada bukti bagaimana kita boleh mendakwa mereka.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba mempertikai tindakan itu perlu menunggu sehingga perbicaraan dan sekiranya mempunyai sebarang persoalan ia boleh dirujuk kepada Wisma Putra.
   
Lapan rakyat Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di Tawau dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.
   
Empat lagi didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua yang lain didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
   
Kesemua mereka ialah antara 108 individu yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
   
Berhubung statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat militan berjaya dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga kini tiada pihak tampil menuntut mayat-mayat itu.
   
Jumlah tangkapan di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan mengikut lain-lain akta setakat ini, katanya. - Bernama
 
 
Nasional

AG: Kes 8 rakyat Filipina bukan soal suku tetapi pengganas

Oleh: 
Tarikh: March 21, 2013
TAWAU - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa kes lapan rakyat Filipina yang didakwa di Mahkamah Tawau hari ini bukan persoalan kaum tetapi soal aktiviti pengganas.
Beliau berkata dalam soal undang-undang, bukan suku kaum yang dilihat, sebaliknya kesalahan individu atau kumpulan terbabit sama ada menyalahi undang-undang ataupun tidak.
"Bagi saya, ini bukanlah persoalan kaum, sebaliknya ini adalah persoalan pengganas. Jangan lupa, orang kita (Melayu) pun ada. Contohnya Yazid Sufaat yang didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria.
"Dalam undang-undang kita tidak tengok dari segi itu (suku kaum). Saya tidak terkejut jika orang lain (suku lain) pun ada masuk (kumpulan pengganas)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini hari ini apabila diajukan soalan sama ada kelapan-lapan tertuduh dalam insiden pencerobohan Sabah itu daripada kaum Suluk atau sebaliknya.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Siasatan Jenayah Sabah SAC Omar Mamah, timbalannya ACP Mohd Shariff Wahid dan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah.
Abdul Gani berkata, setiap orang mahukan keadilan dan sesiapa yang patut dihukum perlu dihukum.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah kerana memahami kepentingan kes pendakwaan ke atas lapan tertuduh Filipina dengan mempercepatkan pendengaran kes.
Beliau juga memuji anggota keselamatan yang sentiasa bersedia dan prihatin dalam soal keselamatan.
"Kalau kita lihat (masa) kita nak tuduh pun begitu ramai polis berkawal. Kita juga hendak anggota polis ini menjaga keamanan. Jadi kita perlu perkara ini dipercepatkan," katanya. – Bernama
Pengganas amal ilmu hitam, mayat cepat reput
 
 
 
 
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh pesisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan berunsur syirik.
 
Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas mati ditembak memakai tangkal dan ada tatu ayat al-Quran di badan.
 
"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka. Peliknya, pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiar lebih daripada dua atau tiga hari," katanya.
 
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah, Mejar Anuar Mat Zin berkata, Islam melarang guna ilmu kebatinan yang boleh sekutukan ALLAH kerana ia lari daripada landasan agama.
 
Beliau berkata, perbuatan itu boleh merosakkan akidah, sekali gus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.
 
Pengganas yang didakwa guna ilmu batin untuk kebal turut pakai tangkal dan kad ramal hari, iaitu ilmu Kutika dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan ia disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
 
"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya kepada pemberita kelmarin.  - Bernama
 
 
Nasional

Sabah diceroboh: Tertuduh dakwa dia diupah

Oleh: 
Tarikh: March 21, 2013
TAWAU - Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.

Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.
Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000. 

Sementara itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.

Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.

Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan 'straight jacket' seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan
berulang kali dalam bahasa Suluk.

Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.

Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.

Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.

Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya menyatakan 'nothing to say' (tiada apa yang hendak dicakapkan).

Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.

Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.

Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.

Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.

Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.

Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi. – Bernama
Nasional

Lapan pengganas didakwa, dua daripadanya berdepan hukuman mati

Oleh: 
Tarikh: March 21, 2013
TAWAU - Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
   
Tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika prosiding di hadapan Hakim P. Ravinthran berlangsung dan mereka hanya dibacakan pertuduhan untuk mencatatkan sama ada memahaminya atau tidak.
   
Ravinthran membuat keputusan untuk tidak merekod pengakuan setelah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan memohon supaya perkara itu dilakukan setelah kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing.
   
Pertuduhan dalam bahasa Melayu itu diterjemah ke bahasa Bajau serta Suluk oleh jurubahasa mahkamah.
   
Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel ialah dua individu yang dituduh atas pertuduhan melancarkan perang dan mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas.

Atik Hussin didakwa melakukan dua kesalahan itu di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu dari 9 Feb hingga 3 Mac lepas manakala Basad melakukan dua kesalahan yang sama dari 9 Feb hingga 2 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
   
Turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas ialah Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir.
   
Lin dan Holland didakwa melakukan kesalahan itu Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu, dari 9 Feb hingga 3 Mac manakala Habil dan Timhar didakwa melakukan kesalahan sama di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu dari 9 Feb hingga 4 Mac.
   
Dua tertuduh lagi, Kadir Uyung dan Lating Tiong didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
   
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanjung Labian, Lahad Datu pada pukul 4.30 petang, 4 Mac lalu.
   
Semalam kelapan-lapan mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes itu diperintah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.

Bagi kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong, Atik dan Basad didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan denda.
   
Manakala bagi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun yang sama.    Kadir dan Lating pula didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.
   
Kedua-dua pertuduhan itu (menganggotai dan melindungi pengganas) membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.
   
Sepanjang prosiding, keadaan mahkamah dikawal ketat oleh polis dan tujuh daripada pengganas dipakaikan 'straight jacket' (seperti dipakai pesakit mental) berwarna putih.
   
Kelapan-lapan mereka dipercayai berusia antara 17 hingga 66 tahun dan diletakkan di bahagian kerusi hadapan mahkamah.

Ketika dibacakan pertuduhan, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan mengenai pertuduhan dan memberi kebenaran untuk setiap tertuduh menyatakan sesuatu berhubung prosiding yang berlangsung.
   
Terdahulu Abdul Gani memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Persatuan Peguam Sabah untuk berbincang mengenai perlantikan peguam tertuduh.
   
"Pihak pendakwaan juga akan menghubungi kedutaan Filipina atas semangat Asean berhubung perkara ini dan sekiranya tiada peguam yang tampil, pihak mahkamah boleh melantik peguam untuk membela mereka," katanya.
   
Berikutan itu, mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan kes.
   
Turut membantu Abdul Gani ialah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan dan Dusuki Mokhtar. - Bernama
 
Nasional

Bekas Mufti Johor: 'Militan Filipina juang ikut nafsu'

Oleh: 
Tarikh: March 21, 2013
LAHAD DATU - Tindakan pengganas militan dari selatan Filipina menceroboh Sabah hanya mengikut nafsu dan berkepentingan peribadi, bukannya atas kepentingan agama Islam.
Bekas Mufti Negeri Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Nooh Gadut berkata tindakan mereka itu tidak membawa sebarang makna dan tersasar daripada landasan Islam.
"Mereka berjuang ikut hawa nafsu, taksub, ikut syaitan, ada kepentingan peribadi dan bukan kepentingan agama serta menyelamatkan negara," katanya kepada Bernama di Dewan Cenderawasih Felda Sahabat hari ini.
Beliau mengetuai rombongan Majlis Penyelaras Gabungan Persatuan Bukan Kerajaan Melayu Johor bagi menghantar sumbangan kepada penduduk kampung yang ditempatkan di dewan itu serta mereka yang tinggal di tiga lagi dewan iaitu Fajar Harapan, Embara Budi dan Gemala Pura.
Pengganas militan itu melakukan pencerobohan di Kampung Tanduo pada 12 Feb kononnya berjuang untuk mendapat hak mereka di Sabah.
Nooh berkata perjuangan kumpulan pengganas itu jauh sekali untuk agama dan negara mereka, malah bertindak tanpa perikemanusiaan selain menggugat keamanan umat Islam lain di negara ini, terutama di kawasan Lahad Datu.
"Dalam peperangan Islam, kalau membunuh seseorang musuh diharamkan mayat mereka diapa-apakan sebagai menghormati mayat musuh," kata Nooh, yang juga Anggota Majlis Diraja Johor.
Beliau menyifatkan tindakan pencerobohan oleh pengganas militan itu tidak mengikut lunas kemanusiaan, tuntutan dan budaya Islam serta undang-undang antarabangsa.
"Keputusan dan tindakan kerajaan memerangi pengganas militan ini untuk melindungi nyawa umat Islam di negara ini adalah sesuai dan wajib dilakukan atas tuntutan Islam. Ia bagi memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus dijaga," katanya.
Mengulas misi kemanusiaan itu, Nooh yang menjadi penasihat majlis gabungan membabitkan 360 persatuan bukan kerajaan Melayu Johor, berkata ia dibuat atas keprihatinan rakyat negeri itu terhadap mereka yang terjejas akibat tindakan pengganas militan dan anggota pasukan keselamatan yang terkorban.
Beliau berkata tabung itu berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM140,000 dan mengumpul pakaian terpakai untuk diagih kepada penduduk kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan.
Selain bantuan barangan keperluan dan kewangan kepada penduduk kampung itu, Nooh bersama rombongan melaksanakan pendekatan kerohanian dengan melakukan tazkirah, tahlil serta sembahyang hajat di Dewan Fajar Harapan. – Bernama
Nasional

Plot bunuh: Filipina gesa Kiram henti berbohong

Oleh: Wartawan Sinar Harian 
Tarikh: March 21, 2013
MANILA - Kerajaan Filipina tidak mahu mengambil pusing berhubung plot pembunuhan yang didakwa oleh Jamalul Kiram III dan penasihatnya, Saycon Pastor.

Jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda semalam meminta Jamalul berhenti berbohong dengan segera.
"Dakwaan ini tidak masuk akal. Setiap hari beliau mengeluarkan cerita sensasi," kata beliau pada sidang media, semalam.
Lacierda turut membaca kenyataan Penasihat Keselamatan Negara, Cesar Garcia mengenai pengesahan komuniti perisikan mengenai plot pembunuhan itu adalah negatif.

"Siasatan yang dijalankan mengenai dakwaan kehadiran individu tertentu juga tiada sama sekali," katanya.

Lacierda berkata, pihaknya juga tidak pasti sama ada cerita plot pembunuhan itu sahih atau tidak.

Beliau menambah, pihaknya sukar untuk mempercayai Jamalul kerana sebelum ini mereka pernah menyebarkan berita palsu.

"Kami mempunyai pengalaman yang sama sebelum ini, mereka tidak memberitahu kami cerita sebenar," ujar Lacierda.

Beliau berkata lagi, Jamalul juga mesti memaklumkan kepada Biro Siasatan Negara  (NBI) mengenai 'cerita' mereka itu.

Saycon dan peguam Jamalul, Leonard de Vera telah mengunjungi NBI petang semalam bagi melaporkan plot yang dikatakan mahu membunuh Jamlul,  ahli keluarga terdekat dan para pengikutnya.

Menurut Saycon, mereka ada membincangkan mengenai ancaman sebenar ke atas Kesultanan Sulu.
 
Nasional

Guru hina pasukan keselamatan dibebas sementara

Oleh: 
Tarikh: March 21, 2013
KOTA BHARU -  Guru yang didakwa menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu melalui laman sosial Facebook miliknya dibebaskan sementara hari ini dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata, ini berikutan perintah tahanan reman terhadap guru itu selama tujuh hari telahpun berakhir.
"Suspek kini dibebaskan sementara dengan ikat jamin polis sehingga siasatan mengenai kes itu lengkap dan akan merujuk kembali kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Guru berusia 37 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali ditahan kira-kira 7 malam Khamis lepas di sebuah rumah di Jalan Panglima Raja, Kampung Gong Serapat di sini.
Guru sekolah rendah itu dilapor membuat kenyataan menghina pasukan keselamatan sebagai 'anjing' dan menganggap kematian mereka sebagai 'mati katak' dalam laman sosial Facebooknya. – Bernama
 
 
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
 
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.



No comments:

Post a Comment