Thursday, April 11, 2013

RG2011... Ayam menang, kampung tergadai? Oleh: Uthaya Sankar SB

 

Ayam menang, kampung tergadai? Oleh: Uthaya Sankar SB

7 April 2013

Tindakan HRP akan menyebabkan undi PR berpecah dan BN untung. (Komik dari akhbar Sin Chew)

PILIHAN RAYA Umum Ke-12 (PRU-12) membuktikan kerjasama utuh antara PKR, DAP dan PAS sehingga mampu mendapat kepercayaan serta keyakinan pengundi di beberapa negeri yang sebelum itu dianggap "deposit tetap" bagi Barisan Nasional (BN).

Malah, majoriti pengundi di negeri Perak juga memilih Pakatan Rakyat (PR) tetapi "dirampas" oleh BN menggunakan undang-undang. Saya percaya bahawa para pengundi di negeri kelahiran saya sudah lebih bersiap-sedia menjelang PRU-13 bagi memastikan pisang tidak berbuah dua kali.

Kerjasama dan semangat kebangsaan yang ditunjukkan oleh PKR, DAP dan PAS dalam PR tentu sahaja menimbulkan perasaan iri hati dalam kalangan orang luar, khususnya "penyokong" BN. Hal ini adalah berasas kerana kerjasama dan ikatan yang wujud dalam BN secara terang-terangan memberi lebih banyak kuasa dan hak veto kepada UMNO manakala MIC, MCA, Gerakan, PPP dan sebagainya kurang berhak membuat kata putus.

Penelitian terhadap sejarah pembentukan parti-parti dalam BN – dahulu dikenali sebagai Perikatan – akan membuktikan realiti ini yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan. Kecuali tentulah dalam buku-buku teks Sejarah di sekolah memandangkan ia ditulis berdasarkan apa yang mahu disogokkan kepada generasi muda yang masih mentah.

Selepas membuktikan kemampuan mentadbir negeri Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah (serta Perak selama hampir setahun), PR pasti sahaja sedang bersiap-sedia melebarkan sayapnya ke negeri-negeri lain menjelang PRU-13.

BN juga terbukti sudah menyedari hakikat bahawa majoriti penduduk di negeri-negeri yang ditadbir PR berpuas hati dengan apa-apa yang dinikmati sejak 2008. Memanglah akan ada suara-suara sumbang di sana sini tetapi keadaan seperti itu adalah lazim dan lumrah.

Cuba kita berfikir secara logik: Pelbagai masalah gagal ditangani oleh BN yang memerintah sesebuah negeri selama lebih 50 tahun. Masakan kita boleh mengharapkan PR menyelesaikan masalah yang sama dalam masa lima tahun. Kita tidak perlu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk memahami perkara itu.

Kebimbangan BN juga jelas melalui pelbagai kempen besar-besaran yang dibuat menggunakan media arus perdana dan media milik kerajaan. Kempen "Sayangi Selangor, Yakini BN" misalnya menjadi bukti betapa BN bimbang tidak akan mampu "merampas" semula Selangor daripada PR. Jika tidak, mengapa begitu banyak wang Rakyat (huruf besar disengajakan) dibazir bagi membuat pelbagai kempen (khususnya di Stesen Komuter dan di dalam tren Komuter) yang sebenarnya hanya memualkan, meloyakan dan menimbulkan kebencian orang ramai.

Sebagai individu yang tidak menyokong mana-mana parti politik dan mana-mana politikus, saya berani katakan bahawa saya sangat gembira apabila BN menjadi pembangkang di Selangor. Hasilnya, penduduk negeri ini mendapat pelbagai keuntungan. Sekadar contoh mudah adalah apabila Kerajaan Negeri Selangor menanggung bil air bagi 20 meter padu yang pertama.

Sejak 1 Oktober 2008, Kerajaan Persekutuan pula membiayai RM20 daripada jumlah bil elektrik saya setiap bulan. Sebagai orang biasa yang tidak belajar menabung sejak dalam kandungan serta tidak ada kroni dalam kalangan politikus, tentulah saya sangat gembira dengan langkah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Kemewahan kecil" seperti itu juga membuatkan saya tidak memikirkan apa-apa keperluan untuk "menumbangkan" kerajaan negeri yang sedia ada di Selangor. Lainlah kalau PR gagal mentadbir negeri ini dengan baik. Saya tidak nampak apa-apa alasan kukuh mengapa penduduk/pengundi yang memilih calon PR pada PRU-12 perlu memilih calon parti lain pada PRU-13.

Namun begitu, masalah atau "musuh" kepada "kemewahan kecil" (seperti rebat air dan elektrik) yang sedang dinikmati oleh Rakyat di Selangor mungkin muncul dalam bentuk Parti Hak Asasi (Human Rights Party). Parti politik yang belum diluluskan pendaftarannya itu sudah mengesahkan akan bertanding di Parlimen Kota Raja, Kelana Jaya dan Kuala Selangor, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda, Sri Andalas, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok.

HRP mahu menghantar "calon Hindraf pertama ke Parlimen".

Penyokong Hindraf kecewa, bantah keputusan HRP

Sebagai pengamal media dan pemerhati politik, apa yang saya bimbangkan bukanlah kemungkinan calon-calon HRP akan menang di tempat-tempat berkenaan. Sebaliknya apa yang dibimbangkan adalah bahawa HRP hanya "membantu" BN dengan memecah undi antara calon PR dan HRP. Akhirnya, tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN itu mungkin jatuh kepada BN.

Logik mudah ini disedari orang ramai – termasuk kaum India yang memberikan sokongan padu kepada kebangkitan Hindraf pada November 2007 sehingga menyebabkan tsunami politik pada Mac 2008.

"Akhirnya Hindraf sudah membuatkan kaum India menjadi orang tolol kerana menyokong perjuangan mereka dahulu! Seorang berjaya membuncitkan poketnya selepas berpecah dan menubuhkan sebuah parti politik serpihan daripada Hindraf. Kini ada lagi yang mahu melakukan perkara sama dengan cara yang mungkin sedikit berbeza," kata Suthahar Selvaraj dari USJ, Subang Jaya.

Menurut pemuda kelahiran Kuantan, Pahang itu, muslihat yang ditangani pihak tertentu adalah amat jelas dan sudah disedari orang ramai; khususnya kaum India.

"Mereka bagaikan menyapu tahi ke muka masyarakat India yang tampil menyokong perjuangan mereka pada 2007. Kalaulah HRP benar-benar mengambil berat akan nasib kaum India, mengapa hanya bertanding bagi kerusi-kerusi dimiliki PR? Usahlah berdalih dengan mengatakan HRP tidak menyokong BN. Kaum India sudah tidak boleh ditipu dengan muslihat seperti itu lagi," katanya.

Keputusan rasmi HRP mahu bertanding secara khusus di lapan tempat yang dikuasai PKR dan PAS diumumkan pada 4 April 2013. Lalu, ramai yang meluahkan rasa tidak bersetuju menerusi media sosial khususnya Facebook. Kebanyakan komen yang sempat saya baca menyatakan bahawa HRP sebenarnya tidak berjuang bagi kaum India.

"Apakah P. Uthayakumar sudah hilang akal? Kalaulah semua pengundi kaum India di Kota Raja dan Sri Andalas mengundinya sekali pun, dia tidak ada peluang untuk menang," kata Suthahar lagi dengan kecewa dan marah.

Pandangan yang senada dikemukakan oleh Emmanuel Joseph dari Klang. Eksekutif teknologi maklumat (IT) itu mempersoalkan mengapa HRP yang kononnya memperjuangkan hak kaum India tidak pula bertanding di Sungai Siput menentang Devamany atau di Cameron Highlands menentang Presiden MIC, Datuk G. Palanivel.

Penulis berkempen supaya pengundi tidak tersalah memilih wakil dalam PRU-13.

"Janganlah cuba menipu orang ramai dengan memberikan alasan kononnya mahu bertanding di tempat majoriti pengundi kaum India. Berhentilah juga menipu diri sendiri. HRP secara terang-terangan mahu mensabotaj PR dengan memecah undi di lapan kawasan itu supaya BN boleh menang. Mengaku sajalah!" Demikian kata anak jati Klang itu.

Seorang lagi pengundi dan anak jati Klang, Mohd Prasad Hanif bertanya apa perlunya begitu banyak parti politik yang muncul dengan alasan mahu memperjuangkan serta membela nasib kaum India.

"Hindraf menjadi pencetus kepada kebangkitan kaum India yang akhirnya menyumbang kepada tsunami politik pada tahun 2008 tetapi saya sedih dengan perkembangan sekarang apabila HRP mahu bertanding menentang calon PR," katanya.

Emmanuel turut mengaku sudah hilang rasa hormat terhadap Hindraf berikutan apa yang berlaku. Pada tahun 2007, pemuda ini pernah sama-sama menyertai Perhimpunan Hindraf tetapi kini, katanya, rasa bangga itu tiba-tiba luntur.

Ada juga mengguna Facebook yang menyamakan Hindraf dan HRP dengan Perkasa; kumpulan yang cuba mengaut keuntungan dengan memanipulasi situasi semasa. Malah ada juga yang meluahkan rasa terkejut mengapa Uthayakumar begitu "kurang bijak" membuat keputusan seperti yang diumumkan pada 4 April 2013.

"Realiti politik di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada politik wang. Perasaan ego yang terlalu besar juga mungkin menjadi punca mengapa semua ini berlaku," kata seorang kerani bank dari Ipoh, Toh Chiew Yee.

Dalam meluahkan perasaan kecewa, Prasad Hanif hairan bagaimana Hindraf/HRP boleh "menolong" (secara langsung atau tidak langsung) BN dan UMNO yang pernah melanyak mereka pada 2007. Ada juga yang mengatakan bahawa HRP nampaknya sudah sanggup berbuat apa sahaja dalam usaha merampas mana-mana kerusi yang ada majoriti pengundi kaum India.

Semasa perbincangan topik hangat ini sedang berlangsung secara terbuka di Facebook, individu yang menggunakan identiti "Hindraf Hrp" tampil membela Uthayakumar.

Jangan jadi seperti Perkasa yang dibenci orang

"Apa yang kamu semua tahu mengenai HRP? Sebelum ini, Uthayakumar meminta diberi peluang bertanding di Kota Raja atas tiket PAS tetapi tidak dibenarkan. Jadi, salahkah tindakan HRP mahu bertanding sebagai calon bebas?" Demikian tanya wakil HRP itu.

Untuk itu, Emmanuel mengakui bahawa dia tidak tahu apa-apa pun mengenai HRP. "Saya menyertai Perhimpunan Hindraf pada November 2007 bukan sebagai ahli HRP tetapi sebagai warga Malaysia. Terus-terang, saya rasa ramai yang tidak ambil kisah tentang apa itu HRP. Kononnya Hindraf bermula sebagai gerakan kebangkitan rakyat, tetapi kini hanya membangkitkan kemarahan rakyat," tegasnya.

Pemuda dari Klang itu juga berani menyatakan bahawa kalau sekalipun berjaya memenangi kesemua lapan kerusi yang ditandingi, HRP tidak akan mampu melakukan perubahan yang diwar-warkan.

"HRP sebenarnya sekarang sedang menjadi penghalang kepada calon-calon PR yang sedang dan akan meneruskan usaha melakukan perubahan itu. Malah, amat memalukan apabila HRP seperti kembali merayu-rayu dan meminta simpati daripada UMNO yang dahulu ditentang. Saya masih ingat slogan 'musuh kita bukan orang Melayu tapi UMNO' yang dicanangkan Hindraf dahulu," tegasnya.

Chiew Yee pula tertanya-tanya apa perlunya HRP menggunakan "hak asasi" (human rights) pada namanya sedangkan ia secara terang-terangan mahukan sokongan serta mahu berjuang bagi kaum India miskin sahaja.

"Bukankah HRP turut bersikap perkauman dan rasis apabila memperjuangkan hak kaum tertentu sahaja, sedangkan orang miskin dan terpinggir terdapat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama?" Demikian persoalan logik yang ditimbulkan oleh Chiew Yee.

Muhammad Shakir yang berasal dari Pulau Pinang tetapi sudah tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam sejak 15 tahun lalu juga tampil berkongsi pandangan berhubung keputusan HRP mahu bertanding secara khusus di tempat-tempat PR.

"Saya pengundi di Parlimen Kota Raja dan saya tidak mahu kawasan saya diwakili Uthayakumar. Saya berpuas hati dengan Ahli Parlimen yang kami pilih pada PRU-12 dan saya mahu beliau mengekalkan kerusi itu. Saya perhatikan Hindraf kini sama sahaja seperti Perkasa versi India. Lebih baik ahli HRP sertai MIC," kata perunding insurans itu.

Janganlah sampai perjuangan dan impian Rakyat musnah disebabkan tindakan mementingkan diri.

Bercakap mengenai perbandingan antara Hindraf dan Perkasa, Yusrizal Yusof dari Putra Heights juga berpendapat demikian.

"Apabila bertanding sebagai calon bebas merebut kerusi yang ditandingi PR dan BN, HRP hanya memecah undi orang ramai. Kita semua tahu siapa yang akan untung daripada perbuatan itu. Saya harap para pengundi di semua tempat di mana HRP mahu bertanding akan bertindak bijak apabila mengundi nanti," nasihat jurutera itu yang berasal dari Taiping, Perak.

Sedikit pandangan yang dikongsikan secara terbuka oleh rakan-rakan menerusi Facebook menunjukkan kebimbangan orang ramai terhadap keputusan HRP bertanding dalam PRU-13 menentang calon PR. Rata-rata mereka tidak mahu HRP "mengganggu" kawasan PAS, DAP dan PKR.

Kononnya HRP mahu menghantar wakil ke Parlimen untuk mewakili kaum India yang miskin dan tertindas. Akan tetapi, HRP perlu tahu bahawa tindakan mereka nanti mungkin umpama "yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran". Lebih teruk lagi jika HRP hanya menang sorak tetapi kampung tergadai. – Roketkini.com

Uthaya Sankar SB sedang berkempen menasihatkan pengundi memilih "calon yang berwibawa" berbanding "syaitan yang dikenali" dalam PRU-13.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment