Sunday, April 14, 2013

RG2011... Mari belajar Bahasa Arab Mudah!

 

Buku Bahasa Arab Mudah Mengembara di Timur Tengah ini dilengkapi dengan pembelajaran bahasa Arab secara asas dan dilengkapi dengan contoh-contoh perbualan. Selepas ini, mungkin anda terfikir untuk pergi ke kelas bahasa Arab untuk meningkatkan kemahiran bahasa anda. Namun, sekiranya anda hanya duduk dan mendengar semasa di dalam kelas, lebih-lebih lagi kelas tersebut mempunyai masa yang sangat terhad dan bilangan pelajar yang ramai, sudah pasti guru di dalam kelas tersebut tidak dapat menumpukan perhatian untuk mengajar anda.

 

Saya tidak bermaksud untuk menghalang anda daripada pergi ke kelas, namun saya ingin anda ketahui bahawa ilmu itu tidak dapat diperoleh sekadar dengan pergi ke kelas, membaca buku, dan mempunyai guru yang hebat tetapi yang paling penting kemahuan kita untuk mempraktikkan apa-apa yang telah kita pelajari. Sekarang ini anda telah menghabiskan pembacaan buku ini dan untuk pengetahuan anda, kini anda masih berada pada langkah pertama dan hal ini belum cukup untuk menjamin kemampuan anda untuk berinteraksi dalam bahasa Arab. Langkah yang seterusnya adalah untuk anda mengamalkan ilmu yang terdapat dalam buku ini dalam perbualan harian anda, tetapi bagaimana?

 

Sekiranya anda seorang ibu dan mempunyai anak anak, tidak salah untuk mengamalkan dialog ini semasa anda sedang berbual dengan mereka menggunakan ayat lazim dan ayat mudah dalam Bab 4. Anda boleh menggunakan perkataan atau ayat yang sesuai dengan keadaan. Anda boleh memilih mana-mana kalimah atau ayat yang menarik dan sesuai untuk diamalkan. Begitu juga sekiranya anda merupakan seorang pelajar, sudah tentu anda mempunyai kawan yang dapat membantu anda mengamalkan ilmu ini. Selepas ini anda bakal mempunyai satu lagi nilai tambah dalam diri anda, iaitu mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab.

 

Bahasa ialah suatu ilmu yang tidak akan habis. Tiada sesiapa di dunia ini yang telah sempurna pengetahuan bahasanya. Oleh itu, anda tidak perlu berasa rendah diri sekiranya anda masih baharu dan tidak pernah mempelajari bahasa Arab kerana sebaik sahaja anda berjaya berkomunikasi, anda sudah pun boleh berbahasa Arab. Pasti anda akan berasa seronok kerana anda sudah tahu maksud sesetengah perkataan Arab dalam bahasa Melayu.

 

Langkah yang pertama ialah anda harus membaca buku ini secara keseluruhan dan memahami isi kandungannya. Langkah yang kedua pula ialah anda harus mengamalkan isi kandungan buku ini dengan mempraktikkan perbualan bahasa Arab dalam perbualan harian anda. Lama-kelamaan anda tentu akan mahir dalam perbualan bahasa Arab. Langkah seterusnya, adalah dengan menambahkan pengetahuan tentang perkataan-perkataan baharu dan tatabahasa Arab secara lebih mendalam. Untuk itu, saya syorkan kepada anda untuk pergi ke peringkat yang lebih lanjut mengikut keselesaan anda tidak kira secara pembacaan atau pembelajaran di dalam kelas ataupun melalui Internet. Pembacaan hadis serta terjemahan juga merupakan satu kaedah yang menarik untuk mempelajari bahasa Arab. Hal ini demikian kerana gaya bahasa yang digunakan dalam hadis adalah lebih mudah berbanding dengan bahasa al-Quran. Malah, anda dapat meningkatkan ilmu agama dan lebih menghayati maksud hadis berkenaan.

 

Terdapat juga dalam kalangan pembaca yang hanya mempelajari bahasa Arab ini bertujuan untuk berkomunikasi dengan masyarakat Arab semasa melancong atau menunaikan haji dan umrah, Insya-Allah, buku ini telah pun mencukupi untuk anda. Semua contoh dialog yang penting dan selalu digunakan telah pun saya

masukkan ketika menulis buku ini. Idea untuk topik contoh perbualan dalam Bab 5 bukan hanya idea saya seorang malah saya turut meminta pendapat daripada rakan yang saya kenali sewaktu berada di Palestin, iaitu Sajada Omar. Beliau juga turut mengemukakan idea menurut pengalaman beliau semasa bertemu dengan pelancong-pelancong dari negara lain.

 

6.1 Harapan Penulis

 

Saya berharap agar pembaca dapat mengambil manfaat daripada penulisan saya ini. Buku ini ditulis sepenuhnya berdasarkan pengalaman saya belajar bahasa Arab selama 10 tahun dan telah ke negara Arab sebanyak empat kali. Saya juga kerap kali menyemak buku-buku kaedah mempelajari bahasa Arab yang lain sebagai panduan dan sumber idea sepanjang saya menulis buku ini. Mungkin buku ini tidak setebal buku-buku bahasa Arab yang lain, namun bagi saya biar sedikit asalkan pembaca mendapat input yang maksimum daripada buku ini. Ketebalan buku juga sebenarnya mempengaruhi kesanggupan pembaca untuk membacanya. Ada yang telah berputus asa untuk mempelajari bahasa Arab setelah melihat isi kandungan buku yang begitu tebal dan berpuluh-puluh muka surat hanya untuk mempelajari tatabahasa Arab belum termasuk perkataan-perkataan baharu dan ayat lazim dan umum bahasa Arab. Oleh sebab itu, saya mengetengahkan tatabahasa yang paling penting sahaja untuk digunakan untuk komunikasi dan tidak memasukkan tatabahasa yang rumit dan susah diaplikasikan. Buku ini sangat sesuai untuk tujuan berkomunikasi dan bukannya untuk tujuan penulisan.

 

Saya berasa sangat gembira kerana impian saya untuk berkongsi ilmu dengan pembaca telah pun tercapai. Selepas ini, saya berharap agar lebih banyak pelancong yang melawati negara Arab dan Timur Tengah mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab serba sedikit dan tidak lagi sekadar menggunakan bahasa isyarat. Keadaan ini bukan sahaja membantu kita, malah dapat memberikan persepsi baharu terhadap masyarakat Arab tentang masyarakat Malaysia bahawa kita semua boleh bertutur dalam bahasa mereka. Persepsi sebegini secara tidak langsung pasti dapat mewujudkan rasa hormat terhadap negara kita dan mewujudkan perasaan ingin mengenali lebih lanjut mengenai negara kita. Itu sudah pasti.

 

Berdasarkan pengalaman saya berbual dengan masyarakat Arab, mereka kebanyakannya mengenali Malaysia sebagai ‘syurga pelancongan’ memandangkan keadaan negara kita yang serba hijau dan indah. Banyak lagi pandangan yang dapat dikongsi oleh mereka berkenaan Malaysia. Perkara sebegini jarang-jarang kita dapat sekiranya kita tidak berkomunikasi dengan rakyat bangsa asing. Kita juga tidak akan dapat banyak mengetahui perkara tentang masyarakat Arab hanya dengan bertanya kepada pemandu pelancong. Masyarakat Arab lebih mesra dan gemar berkongsi tentang gaya hidup mereka. Malah, dengan bersama-sama mereka kita lebih banyak mencipta kenangan indah ketika melancong.

 

Perkara inilah yang saya harap agar anda juga dapat mengecapinya setelah mampu berkomunikasi dengan mereka nanti. Usah risau sekiranya bahasa Arab anda

masih lagi pada peringkat asas kerana anda tidak dapat menggambarkan betapa mesranya masyarakat Arab apabila disapa. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang ingin belajar berkomunikasi dalam bahasa Arab atas dasar minat dan tidak mempunyai apa-apa sebab lain. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada anda kerana mempunyai minat dan kehendak untuk belajar bahasa Arab. Anda telah meneruskan kesinambungan usaha keras ulama terdahulu dalam menyebarkan ilmu bahasa Arab dan ajaran Islam. Tidak banyak yang berminat untuk mempelajari ilmu yang penting ini dan anda pasti merupakan seorang yang istimewa kerana terpilih untuk meminati bahasa yang indah ini.

 

Seperti yang kita semua sedia maklum, dunia kini digemparkan dengan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin. Jadi, tidakkah anda berasa rugi sekiranya

tidak mengambil kesempatan untuk menegur rakyat Palestin atau sekurang-kurangnya mengucapkan takziah kepada mereka sewaktu bertemu mereka di Tanah Suci? Pasti mereka akan berasa sangat dihargai apabila kita mengambil berat akan peristiwa yang menimpa mereka. Sepertimana Kaabah dapat menyatukan arah ibadah umat Islam, begitu juga bahasa Arab seharusnya dapat menyatukan silaturrahim dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.

 

Sebagai umat Islam yang prihatin, kita harus fi kirkan apakah tindakan yang terbaik dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka. Sebagai salah satu usaha kecil saya, satu contoh perbualan yang boleh diamalkan sewaktu beramah mesra dengan masyarakat Palestin telah dimasukkan. Semoga contoh perbualan ini membantu anda agar dapat berinteraksi dengan mereka sewaktu berjumpa di sana nanti. Yakinlah bahawa hati yang ikhlas lebih mesra berbanding kesempurnaan bahasa yang dituturkan. Tuturkanlah kata-kata dari hati, usah takut untuk memulakan perbualan.

 

Ingin saya nyatakan bahawa kehidupan kita lebih bermakna sebagai seorang muslim sekiranya kita mampu berbahasa Arab. Hal ini demikian kerana anda dapat menghayati setiap bacaan dalam solat dan doa. Anda juga dapat memahami apa-apa yang cuba disampaikan semasa membaca ayat suci al-Quran dan hadis. Malah, anda pasti terpegun oleh keindahan bahasa Arab itu sendiri, dan pasti anda akan mengangguk setelah memahami sebab Allah menurunkan ayat-ayat sucinya dalam bahasa Arab. Saya tidak berniat untuk menafi kan kebaikan terjemahan bahasa Melayu yang kini banyak terdapat pada al-Quran. Namun, hanya penerangan dalam bahasa Arab yang mampu menjelaskan maksud ayat-ayat suci al-Quran dengan penjelasan yang sempurna.

 

Akhir kata, saya sentiasa mendoakan agar Allah mempermudah anda dalam mempelajari bahasa Arab ini. Jangan lupa untuk berniat bahawa tujuan anda membeli buku ini adalah untuk mempelajari bahasa agama kita. Semoga Allah menurunkan rahmat-Nya kepada kita. Maafkan saya juga sekiranya terdapat kekurangan atau kecuaian sepanjang penulisan ini. Sekian, wassalam.

 

 

Maklumat lanjut berkenaan buku BAHASA ARAB MUDAH MENGEMBARA DI TIMUR TENGAH ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila hubungi Cik Nor di talian 03-90195303.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (2)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment