Wednesday, May 15, 2013

RG2011... ] Duhai Mata Yang Sedang Menangis

 

 

 

Duhai Mata Yang Sedang Menangis

Ya Allah, bantulah aku

      Duhai mata yang sedang menangis,

     Mungkin tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka. Apapun situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir di pipimu adalah anugerah Allah s.w.t. yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun di mata dan di tubuhmu kemudiaan disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah pada-Nya kerana hingga saat ini matamu masih mampu menangis.              

     Aduh!              

            Sungguh hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan. Malah meanggapnya satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah S.W.T merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,

       “Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Al-Isra’: 109)             

           “Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Maryam: 58)              

      Duhai mata yang sedang menangis, 

Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuhmu. Air mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otakmu pula berkerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat sungguh penciptaan air mata!              

         Duhai mata yang sedang menangis,             

       Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Samada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.  

      Duhai mata yang sedang menangis, 

   Jika kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apapun, tak siapa dapat menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kerana kelak badanmu mendapat darurat. 

Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah dikau, penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki. Ianya antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.  

      Duhai mata yang sedang menangis,             

      Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisanmu itu tak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan kabus pada masa depanmu.  Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk  melonjakan amal dan perubahan untuk hari esok. Tangisan kerana Allah S.W.T ketika gembira atau derita adalah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup.  Dengarilah pesanan Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan kalam Yang Esa,             

    “Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (HR Ahmad dan an-Nasa’i).

 

.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment