Sunday, September 8, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 090913 bersamaan 3 Zulkaedah 1434H

 

 

 

 

Umat Islam mula membanjiri Madinah

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

MADINAH - Ratusan ribu umat Islam kini mula membanjiri kota Madinah sebagai tempat persinggahan awal sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah musim ini.


Jemaah yang tiba awal itu adalah mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dahulu dalam musim haji sebelum mengerjakan ibadah haji pada bulan hadapan.


Hari wukuf di Arafah dijadual pada 14 Okt iaitu hari bermulanya kerja ibadah rukun Islam yang kelima itu.


Tinjauan Bernama mendapati Masjid Nabawi, iaitu masjid terletaknya makam Nabi Muhammad SAW telah mula dipenuhi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.

Masjid terbesar di kota suci Madinah itu mampu menampung hampir sejuta jemaah pada satu-satu waktu solat dan setakat ini hampir 2,000 jemaah haji Malaysia adalah antara umat Islam yang tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat dalam masjid berkenaan.


Seorang jemaah Malaysia, Maskiron Maskon, 62, menyifatkan kemampuan beliau untuk menunaikan ibadah haji sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Bekas pekerja swasta dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata beliau sangat bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri Fatimah Mohamad sejak 20 tahun lepas akhirnya menjadi kenyataan hari ini.


Usahanya mengumpul wang selama bertahun-tahun sejak muda dan ditambah dengan baki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja membolehkan mereka berdua memijak kaki di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.


"Saya bersyukur dan perjalanan kami pula semuanya menjadi mudah kerana kecekapan Tabung Haji (TH) yang mengurus jemaah dari mula berkursus di Seremban sehinggalah urusan penerbangan, Kastam dan Imigresen di Lapangan Terbang di Madinah...semuanya menjadi mudah," kata beliau.

Kedua-dua zon pusat perkhidmatan haji TH yang menyediakan perkhidmatan kewangan, pusat kesihatan, kaunseling dan bimbingan agama juga telah beroperasi sepenuhnya mulai semalam.


Sebanyak 22,320 jemaah haji dari Malaysia menunaikan haji tahun ini dan ia  berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi sebagai langkah mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ekoran kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.


Sementara itu, golongan peniaga di Madinah juga teruja dengan kehadiran jemaah haji Malaysia dan sering melaungkan kata-kata "Malaysia Bagus, Malaysia Boleh" untuk menarik perhatian jemaah dari tanah air.


Kebanyakan mereka boleh bertutur bahasa Melayu yang mudah dan menawarkan harga dengan menyebut angka dalam bahasa Melayu serta menarik perhatian pelanggan dengan berkata "jualan murah, harga rendah untuk rakyat Malaysia".


Seorang rakyat Afghanistan yang bekerja di sebuah butik pakaian, Abdul Aziz Ismail, 23, berkata: "Bila jemaah Malaysia datang? Berapa ramai?".


Malah lebih menarik ialah beliau telah memasang tanda iklan yang tertulis "Harga runtuh dan harga borong" dan kertas iklan itu juga dilekatkan Jalur Gemilang.


Seorang lagi peniaga Mohamad Sulaiman berkata beliau suka dengan rakyat Malaysia yang disifatkan mempunyai akhlak yang tinggi.

"Ramai pelanggan saya rakyat Malaysia, saya tahu berbahasa Melayu dan saya jual murah-murah untuk rakyat Malaysia," kata beliau.


Setiap kumpulan jemaah haji Malaysia akan berada di kota Madinah selama lapan hari sama ada sebelum bertolak ke Makkah ataupun selepas menunaikan haji mengikut giliran masing-masing yang ditetapkan oleh Tabung Haji.  – Bernama

 

Projek naik taraf Masjid Nabawi tak ganggu jemaah

Oleh:

Tarikh: September 7, 2013

MADINAH - Kerja naik taraf bandar Madinah dan pembesaran Masjid Nabawi di sini tidak menganggu pergerakan jemaah haji di sekitar bandar itu.

Ketua Muassasah Adilla bagi Asia Tenggara di Madinah Dr Yusof Ahmad Hawala berkata, walaupun projek menaik taraf Masjid Nabawi itu adalah yang terbesar dalam sejarah sejak pembinaannya, namun kerajaan Arab Saudi telah mengambil pertimbangan mengenai keselesaan orang ramai yang mengunjungi di bandar itu sempena musim haji.

Menurut laporan media tempatan, projek pembesaran Masjid Nabawi itu kelak dapat menampung sebanyak 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini.    

"Proses (pembesaran) awal sebenarnya telah bermula di bahagian timur masjid dengan meroboh beberapa buah hotel berhampiran. Ia akan diteruskan tanpa mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Syed Omar Al Saggaf membantu menterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia wawancara dengan Dr Yusof itu.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi sentiasa melakukan perubahan dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan lagi kemudahan kepada orang ramai terutamanya jemaah haji di Madinah dan ia boleh disaksikan oleh mereka yang pernah mengunjungi tanah suci itu.

Dr Yusof juga berkata, Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara lain dalam mengurus dan mendidik jemaah haji yang sekali gus melicinkan pihak Muassasah  memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan. - Bernama

Bakal haji perlu lapor diri di TH Hotel Terengganu

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KUALA TERENGGANU - Buat julung kalinya, jemaah haji yang akan berlepas ke Makkah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) diminta melaporkan diri di Kompleks Haji di TH Hotel Terengganu dekat Kuala Nerus di sini.

   
Pengarah Operasi Stesen Haji Tanah Air (Ohta) Terengganu, Azillah Itam berkata, sebelum ini, bakal haji melaporkan diri di LTSM kira-kira empat jam sebelum berangkat ke Tanah Suci. 

   
Ini merupakan tahun keenam jemaah haji menaiki pesawat dari LTSM.

   
Azillah berkata, lima penerbangan haji akan berlepas melalui LTSM dengan  yang pertama pada 17 September pada 2.15 petang diikuti tarikh 23, 24, 25 dan 26 September membabitkan jemaah haji seramai 1,340 orang.  – Bernama

 

Taman Ilmu Tembila terima 603 pelajar Unisza

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

BESUT - Taman Ilmu, pusat kecemerlangan bertaraf antarabangsa di Tembila di sini, hari ini menerima 603 pelajar sulung terdiri pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Tembila yang mula beroperasi di kawasan itu.
   
Pengarah Unisza Kampus Tembila, Prof Dr Che Abdullah Abu Bakar berkata, kampus itu menerima kemasukan pelajar peringkat ijazah untuk dua fakulti - Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan serta Fakulti Informatik dan Komputeran.
   
Katanya, kampus baru itu dilengkapi dengan bilik kuliah tiga tingkat, tiga blok asrama yang boleh menampung 920 pelajar, surau, bangunan pentadbiran dan kaferia.
   
"Pelajar yang mendaftar terdiri daripada pelajar semester 1 serta pelajar semester 2 dan 3 yang dipindahkan dari Kampus Unisza di Kuala Terengganu secara berperingkat mulai hari ini," katanya kepada pemberita semasa memantau pendaftaran pelajar di kampus berkenaan di sini hari ini.
   
Pembinaan Taman Ilmu Besut diilham bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah Barisan Nasional berjaya merampas kembali pentadbiran negeri daripada Pas.
   
Taman Ilmu melibatkan kawasan seluas 280 hektar yang mampu menampung  enam buah institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). - Bernama

Harga rumah di Kelantan naik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 9, 2013

KOTA BHARU - Harga rumah di Kelantan mungkin turut berdepan kenaikan, namun bukan semata-mata disebabkan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen, sebaliknya dipengaruhi banyak faktor termasuk harga tanah dan bahan mentah.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan, Datuk Sekarnor Che Omar berkata, ada kemungkinan untuk naik, tetapi tidak sampai 10 peratus sebagaimana kenyataan Rehda Malaysia.

"Mungkin naik dalam dua atau tiga peratus, atau lebih tapi tak sampai 10 peratus, sebab kini harga simen sudah naik RM2, daripada RM18 sebelum ini.

"Apa yang boleh dikatakan, apabila harga minyak (diesel dan petrol) naik, tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi kenaikan harga barangan lain, walaupun asas penghasilan sebahagian barang keperluan itu bukan daripada bahan api berkenaan," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy yang sebelum ini menyatakan peningkatan harga minyak sebanyak 20 sen dijangka menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Sekarnor berkata, kenaikan barangan lain mungkin tidak begitu mempengaruhi barangan lain, tetapi berbeza dengan petrol dan diesel kerana ia melibatkan pengangkutan serta kemudahan harian.

"Bila harga minyak naik, ramai yang mula ambil kesempatan, nak buat macam mana, memang begitu situasinya," katanya.

Menurutnya, situasi di Kelantan mungkin berbeza berbanding negeri lain, kerana kenaikan harga sebelum ini tidak hanya dipengaruhi satu-satu faktor sahaja, sebaliknya berlaku secara tradisi.

 

 

SPRM: Dimana ubat RM6 juta?

Oleh: MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan NURUL RIDUAN NORSHAHA

Tarikh: September 8, 2013

SHAH ALAM - [Dikemaskini] Penangkapan seorang pegawai kanan dalam pasukan tentera berpangkat kolonel yang berkhidmat di sebuah hospital tentera dan pemilik syarikat pembekalan ubat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar penyelewengan pembelian ubat bernilai hampir RM6 juta.

Penyelewengan yang berlaku sejak 2011 itu dijalankan secara licik oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan yang bertanggung jawab mengesahkan penerimaan bekalan ubat yang diterima hospital itu.

Menurut sumber, kegiatan itu berjaya dikesan setelah siasatan mendapati pegawai perubatan itu hidup mewah tidak setanding dengan gaji yang diterima.

Pegawai perubatan yang ditahan oleh SPRM itu disyaki menyalah gunakan kuasanya dalam satu urusan pembekalan barangan bagi kegunaan sebuah hospital.

Sementara itu, pemilik syarikat berkenaan pula adalah bekas kakitangan kerajaan yang dipercayai memberikan habuan lebih RM4 juta kepada pegawai hospital terbabit untuk mengesahkan penerimaan bekalan ubat kepada hospital.

Kedua-dua mereka ditahan di sekitar ibu kota awal minggu ini.

Menurut sumber itu, penyelewengan tersebut bukanlah yang pertama berlaku. Ia dipercayai sudah berlaku beberapa kali secara sindiket.

Modus operandi kegiatan ini adalah dengan menghantar sebut harga pembekalan ubat-ubatan kepada hospital berkenaan terlebih dahulu.

Setelah kelulusan pembekalan diterima, pemilik syarikat seolah-olah melakukan prosedur seperti biasa tetapi ubat-ubatan tersebut sebenarnya tidak wujud.

Walaupun hanya pengesahan penerimaan dibuat tanpa menerima ubat-ubatan sepatutnya, pembayaran diluluskan.

Menurut sumber itu lagi, pihak SPRM sedang menyiasat bagaimana pengesahan penerimaan ubat-ubatan dibuat sedangkan ubat itu tidak wujud.

"Siasatan juga menjurus kepada penglibatan lebih banyak pihak. Kita percaya ada sesuatu yang tidak kena.

"Bagaimana pembayaran itu dibuat dengan begitu mudah sekali tanpa ada pemeriksaan atau audit dibuat terhadap setiap barang yang diterima," katanya, semalam.

Beliau juga hairan di mana silapnya sistem yang digunakan agensi berkenaan sehingga boleh mengakibatkan kerugian begitu banyak kepada kerajaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada lagi kes-kes sedemikian yang perlu dipantau lebih-lebih lagi melibatkan dana awam.

"Adakah kerana kelompangan sistem membuatkan perkara ini berlaku atau amanah yang tidak dijaga penjawat awam dengan baik," katanya.

Sumber itu menegaskan, apa yang berjaya dikesan ini mungkin merupakan satu daripada ratusan kes penyelewengan ubat-ubatan yang berlaku di beberapa hospital utama di negara ini.

Tambah sumber itu, semua pihak sama ada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan ataupun pihak hospital sendiri, perlu meneliti semula sistem yang diguna pakai di tempat masing-masing agar mereka yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas dengan amanah dan supaya tidak ada ruang untuk sesiapa melakukan sebarang penyelewengan.

Katanya lagi, tindakan kerajaan membayar RM6 juta untuk ubat yang tidak wujud adalah merugikan negara di mana akibat ketirisan ini rakyat terpaksa menanggung pelbagai tekanan ekonomi.

Bermadu kasih di pentas

Oleh: SYAIRAH ABDUL LAJIS

Tarikh: September 9, 2013

KUALA PILAH – Sebuah pentas tersorok bersebelahan Dewan Datuk Bahaman Shamsudin, di sini, dijadikan 'port' pasangan remaja melakukan aktiviti kurang sopan.

Lokasi yang terletak berhampiran gelanggang bola keranjang itu didakwa penduduk sering menjadi tumpuan remaja melepak yang boleh mengundang gejala tidak sihat.

Malah, dalam kes terbaru, sepasang kasih tidak segan silu bermadu kasih sebelum sepasukan anggota polis tiba dan membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, polis melakukan pemeriksaan berkenaan selepas menerima aduan orang ramai berhubung pasangan yang menjadikan pentas berkenaan untuk kegiatan tidak bermoral.

"Pasangan itu diperiksa dan diberikan nasihat sebelum anggota bertugas meminta mereka beredar dari tempat berkenaan," katanya di sini, semalam.

Azmi berkata, berdasarkan aduan orang ramai itu, polis juga akan mengadakan operasi bersama Pejabat Agama Islam Kuala Pilah bagi memantau kawasan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan pentas berkenaan memang lokasi melepak golongan remaja.

Peniaga sebuah kedai runcit, Maisuri Abd Rashid, 45, tindakan remaja melakukan maksiat di kawasan itu perlu dibendung, lebih-lebih lagi ia bersebelahan dengan perumahan Taman Pilah Perdana.

"Saya harap selepas ini pihak berkenaan dapat membuat rondaan di kawasan ini bagi mengelakkan perkara sebegini berterusan," katanya.

Bagi Mohd Qayyum Abdul Jalil, 23, pula berkata, pentas berkenaan sememangnya terlindung daripada rimbunan pokok dan agak sunyi memudahkan remaja melakukan maksiat.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Zulkifli Baharan berkata, kawasan pentas berkenaan di bawah penguasaan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).

"Bagi mengelakkan masalah ini, MDKP akan memasang lampu di kawasan itu di mana sebelum ini ia agak gelap.

"Selain itu, kami juga akan berbincang dengan pihak penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung masalah tersebut," katanya.

Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Pilah/Jempol, Khalid Ujang pula meminta jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan aktiviti berfaedah terutama untuk belia di sini supaya kawasan ini menjadi tumpuan ramai serta tidak lagi sunyi.

Pelbagai helah elak dicekup

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 8, 2013

GEORGETOWN - Dalam kotak, celah dinding, sebalik dinding zink malah meniarap di dalam air berlumpur menjadi antara tempat persembunyian warga asing untuk mengelak daripada diperiksa mahupun ditahan pihak berkuasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, warga asing itu juga bersiap sedia membuat laluan tikus di antara pagar zink bagi meloloskan diri sekiranya kawasan rumah kongsi mereka diserbu.

"Bermacam helah dilakukan warga asing termasuk menyorok di sebalik kotak, celah dinding dan lebih mengejutkan, ada yang sanggup meniarap dalam air berlumpur di bawah rumah kongsi mereka semata-mata mengelak daripada ditahan.

Tidak kurang juga yang membuat persediaan awal dengan membuat laluan rahsia dengan harapan, mereka boleh meloloskan diri ketika serbuan.

"Bagaimanapun, segala helah ataupun persediaan yang dibuat mereka gagal berikutan kita terlebih dahulu membuat perancangan rapi sebelum melakukan serbuan serta pemeriksaan," katanya kepada media selepas Operasi 6P di dua kawasan awal pagi semalam.

Menurutnya, Operasi 6P Bersepadu bermula jam 12 tengah malam hingga 5.30 pagi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang dengan dibantu anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara dan Rela di dua lokasi, Bayan Baru dan Tanjong Tokong.

"Dalam operasi ini, kita menahan 26 pendatang asing kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh.

"Dalam pemeriksaan pertama di kawasan rumah kongsi di Tanjong Tokong, seramai 188 lelaki dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Vietnam serta 41 wanita Indonesia diperiksa.

Hasilnya, tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia dan masing-masing seorang lelaki Bangladesh serta Pakistan ditahan manakala seorang wanita warga Indonesia turut ditahan dalam pemeriksaan itu," katanya.

Basri berkata, dalam serbuan kedua di kawasan rumah kongsi pendatang asing di Bayan Baru pula, seramai 218 lelaki dan 11 wanita diperiksa.

"Daripada pemeriksaan terbabit, seramai 16 lelaki dan dua wanita ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan.

Kesemua mereka dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan untuk dokumentasi dan ditahan mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan lanjut akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk menghantar mereka pulang ke negara masing-masing. Kita akan terus mengadakan pemeriksaan di kawasan yang menjadi tumpuan warga asing bagi mengesan mereka yang tinggal di negara ini secara haram dan mengambil kesempatan berada di negara ini melebihi tempoh," katanya.

Isteri jumpa suami tergantung

Oleh: SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

Tarikh: September 8, 2013

TELUK INTAN - Seorang penternak dijumpai isterinya mati tergantung di kediaman pasangan itu pada kira-kira jam 4.30 pagi, Khamis lalu.

Sebelum kejadian, Yeong Yong Hua, 34, dari Jalan Bidor, di sini, difahamkan berselisih faham dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa ditemui tergantung pada tali beg dalam satu daripada bilik yang terdapat di rumahnya.

Beliau berkata, ketika disoal siasat, isteri mangsa yang juga berusia 34 tahun mengakui terdapat pertengkaran di antara dia dan mangsa.

"Pergaduhan tersebut dikatakan berpunca daripada sikap mangsa yang sering pulang lewat.

"Mangsa tidak mempunyai masalah kewangan dan pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya untuk disemadikan.

Kok Liang berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kena ragut depan rumah

Oleh: MOHD TAHA YAACOB

Tarikh: September 8, 2013

TERENGGANU - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM7,000 selepas rantai lehernya diragut seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta di depan rumahnya di Kampung Amir dekat Alor Lintang, di sini, kelmarin.

Mangsa, Eshah Seman, 81, berkata, sebuah Proton Saga model baru berwarna hitam berhenti di tepi jalan berhampirannya ketika dia sedang menyapu sampah di laman depan rumah, kira-kira jam 9.05 pagi.

Menurutnya, lelaki yang memandu kereta itu kemudiannya keluar dari kenderaan tersebut sebelum menghampirinya dan bertanya mengenai meter paip air terletak berhampirannya yang masih belum dipasang.

"Kebetulan meter baru paip air rumah saya belum dipasang dan ketika itu, dua rakannya berada di dalam kereta.

"Selesai pertanyaan itu, lelaki tersebut memegang leher baju saya. Saya menjerit meminta tolong dan bertanya kepada suspek, adakah mahu mengapa-apakan saya?" katanya.

Eshah berkata, suspek kemudian menarik rantai lehernya, namun rantai itu sukar putus menyebabkan suspek bertindak lebih agresif hingga menyebabkan dia nyaris jatuh, bagaimanapun dia dapat bertahan dengan penyapu di tangannya.

Katanya, sebaik rantai tersebut putus, suspek terus melarikan diri ke arah Kampung Pinang.

"Terdapat ramai orang kira-kira 100 meter dari tempat saya diragut, tetapi mereka tidak mendengar jeritan itu," katanya.

Eshah yang mengalami kesan calar di leher kemudian ditemani anaknya membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Tiga kali kena pecah masuk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 8, 2013

SABAK BERNAM – Sebuah kedai serbaneka 24 jam di Pekan Sungai Besar, di sini, sering dijadikan sasaran dua perompak bersenjatakan pistol pada awal pagi hingga mengundang rasa takut pekerja kedai berkenaan.

Pengurusnya, Burhanuden kassim berkata, dalam tempoh empat bulan sahaja dan terbaru pada pertengahan Ogos lalu, kedai yang menjual barangan runcit itu sudah tiga kali dipecah masuk hingga mengalami kerugian ribuan ringgit.

"Kedai yang diusahakan sejak 30 tahun ini sering dijadikan sasaran perompak sejak akhir-akhir ini dan lebih teruk pekerja saya diacu pistol dan diugut supaya jangan cuba untuk melawan bagi memastikan nyawa mereka selamat," katanya.

Burhanuden berkata, berdasarkan rakaman CCTV di kedai itu menunjukkan terdapat dua lelaki mengenakan baju biru dan gelap memasuki premisnya dengan memakai topi keledar bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.

Katanya, kedua-dua suspek itu dipercayai melakukan dua rompakan terakhir di premisnya, bagaimanapun rompakan kali pertama di kedai itu dipercayai dilakukan individu lain berdasarkan bentuk tubuh berbeza yang dirakam CCTV.

"Kita dapati modus operandi yang dijalankan tetap sama iaitu mengugut sambil mengacu pistol kepada pekerja sebelum mereka merompak wang dalam laci kaunter dan merampas ratusan kad tambah nilai," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi selepas jam 12 tengah malam bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya mengambil keputusan untuk mengehadkan operasi dan tidak lagi membuka kedai ini 24 jam bagi memastikan keselamatan pekerja lebih terjamin dan mengelakkan kerugian yang lebih besar," katanya.

Burhanuden berkata, dia juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan berharap agar rondaan lebih kerap dapat dijalankan di kawasan berisiko seperti itu bagi mengelakkan kejadian sama daripada terus berulang.

"Kita berharap agar perompak ini dapat diberkas bagi memastikan keadaan kawasan sekeliling ini aman dan selamat tanpa ada gangguan daripada penjenayah," katanya.

Singkir peniaga haram

Oleh: NORAFIZA JAAFAR

Tarikh: September 8, 2013

SELAYANG - Satu notis arahan pengosongan akan dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kepada peniaga yang membuka gerai di Kolam Air Panas Selayang.

Yang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, baru-baru ini terdapat aduan termasuk ada pihak membangkitkan masalah di kolam air panas selain meminta supaya naik taraf dilakukan.

Menurutnya, kesemua peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan itu beroperasi tanpa kebenaran.

"Kita hanya membenarkan sebuah syarikat menyediakan parkir berbayar dan tidak lantik  sesiapa menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

"Ada yang mengambil kesempatan membuat penyambungan haram dan menyumbang masalah kebersihan dan merosakkan imej kawasan itu," katanya.

Katanya, pihaknya akan menumpukan kepada arahan penguatkuasaan terlebih dahulu sebelum rancangan premis rawatan tradisional.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kolam air panas tidak diselenggara dengan baik sedangkan mula dikunjungi pelancong luar.

Berbaloi tunggu empat tahun

Oleh: NURUL ZAILA MOHD TAHIR

Tarikh: September 8, 2013

KUANTAN – Setelah empat tahun menunggu, hasrat seorang pemuda, Mohd Yunus Jamal, 26, untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akhirnya tercapai dan kini diiktiraf sebagai Laskar II Maritim setalah menjalani latihan selama 10 bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas).

Pegawai muda yang berasal dari Air Hangat, Langkawi ini juga turut menerima anugerah akademik terbaik berdasarkan pencapaian diperoleh.

Mohd Yunus berkata, dia sangat berminat untuk menyertai Maritim dan tidak pernah jemu membuat permohonan walaupun tiada sebarang maklum balas.

Menurutnya, dia membuat permohonan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan tiap-tiap tahun mengemas kini permohonan.

Katanya, walaupun hampa apabila tiada maklum balas tetapi dia tetap berusaha dan menunggu sehinggalah permohonan pada tahun kelima diterima.

"Saya memang minat kapal-kapal besar dan bidang maritim sangat bersesuaian dengan diri saya.

Walaupun latihan dilalui agak mencabar tetapi ia bukan halangan kerana pengalaman lalu termasuk menyertai Rela dan pernah bertugas di Depot Tahanan Imigresen banyak membantu.

"Saya akan ditugas di Kelantan yang juga sempadan negara dan itu satu kelebihan pada saya kerana mempunyai kemahiran bertutur dalam bahasa Thailand," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, penerima anugerah keseluruhan terbaik, Ahmad Nurfarhan Abu Bakar, 23, berkata, demi bakti terhadap negara, dia sanggup berpisah dengan keluarga.

"Selepas ini saya akan dihantar bertugas di Bintulu dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk berkhidmat dengan baik.

"Hasrat saya nak sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ini, sekali gus berbakti kepada keamanan negara," katanya.

 

Gangguan air: Lokasi paip pecah dikenal pasti

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KUALA LUMPUR -  Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengenal pasti lokasi paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air di seluruh Pulau Ketam dan Sungai Lima di sini.
   
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, kontraktor yang dilantik menjumpai lokasi berkenaan di Sungai Terusan Bagan kira-kira empat kilometer dari Sungai Chandong pada 3.40 petang tadi.
   
"Pihak Syabas kini sedang giat melakukan kerja penilaian tahap kebocoran dan proses pemulihan hanya akan dapat dikenal pasti selepas itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
   
Tengah hari semalam, gangguan yang berlaku di kawasan berkenaan menjejaskan sejumlah 1,184 akaun melibatkan 5,921 pengguna berikutan paip pecah.
   
Sehubungan itu, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan di Klang serta Shah Alam dan menyediakan bantuan dari semasa ke semasa, termasuk membuka dua Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) di Jeti Pulau Ketam dan Jeti Sungai Lima.
   
Priscilla berkata pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222.
   
Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - Bernama

Noh persoal langkah MPK roboh premis niaga

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KLANG - Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar hari ini mempersoalkan sikap 'berat sebelah' Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang merobohkan premis perniagaan milik rakyat tempatan di Jalan Teratai di sini.

Beliau mempersoalkan tindakan MPK itu kerana majlis itu didapati tidak mengambil tindakan serupa terhadap beberapa kediaman di kawasan sama yang dijadikan premis kedai oleh warga asing.

Katanya, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan kerajaan negeri Selangor selama ini mendakwa ingin membela nasib rakyat apabila memerintah negeri itu.

"Saya difahamkan bila pakatan rakyat memerintah Selangor premis perniagaan yang didirikan oleh warga asing serta diragui statusnya tumbuh macam cendawan.

"Kenapa pihak berkuasa tempatan hanya tutup mata sedangkan tempat rakyat tempatan mencari rezeki dirobohkan. Kenapa amalkan double standard," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak premis yang dirobohkan itu di sini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa premis perniagaan melibatkan restoran, kedai runcit dan buah-buahan di Jalan Teratai dirobohkan MPK kerana didakwa beroperasi secara haram.

Sehubungan itu, Noh berkata, beliau akan menulis surat kepada kerajaan negeri khususnya MPK bagi meminta penjelasan selain mendesak tindakan wajar dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu.

Katanya, pihaknya juga akan menulis surat kepada Jabatan Sumber Manusia bagi dilakukan pemeriksaan keadaan asrama dan rumah pekerja sebuah syarikat pengeluar sarung getah di Taman Daya Maju, Jalan Teratai itu yang didakwa penuh sesak sehingga membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk bahawa keadaan asrama dan rumah yang didiami terlalu ramai pekerja warga asing menyebabkan kawasan persekitaran dan longkang di taman perumahan itu kotor serta berbau busuk berikutan sampah sarap dibuang merata-rata.

"Kita akan minta pihak Jabatan Sumber Manusia datang dan lihat sendiri keadaan di kawasan perumahan ini yang dijadikan asrama pekerja warga asing di mana sebuah rumah ditempatkan dengan kira-kira 40 pekerja warga asing. Keadaan ini boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk.

"Kita juga minta pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen supaya menjejaki warga asing tanpa izin yang membanjiri kawasan ini berikutan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan keluarga masing-masing," katanya.

Noh dalam pada itu meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 sebagai bantuan segera daripada pihak MTPNS bagi membolehkan penduduk kawasan perumahan itu menjalankan aktiviti pembersihan. - Bernama

 

Izzah: 'Saya bangga dengan papa'

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 8, 2013

SHAH ALAM - "Saya bangga dengan papa," demikian luah anak sulung Ketua Pembangkang,  Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah yang kali kedua menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai sekaligus berjaya mempertahakan kawasannya sejak PRU12 pada tahun 2008 tidak sekali-kali berputus asa walaupun pelbagai tohmahan dihadapinya, terutama bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya rasa...Alhamdulillah penggal kedua saya menang juga pada PRU lalu. Saya tidak fikir sangat perkara itu.

"Saya sentiasa bangga dengan papa, bukan sebab beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi rasa bangga kerana beliau menjadi tahanan politik yang berani dan keluarga kami terus bersatu," katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu wawancara eksklusif.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, apa yang berlaku dan setiap tohmahan yang diterima adalah pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Baginya perkara itu berguna dan bermakna dalam menongkah arus permainan politik.

"Perkara ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit kalau pangkat, kemegahan dan nama yang ada jika ALLAH nak ambil, ia akan hilang.
 
"Jadi pada saya, apa yang saya mampu saya terus lakukan," tambahnya.
 
Bagaimanapun, Nurul Izzah yang tidak lekang dengan senyuman itu berkata, "tidaklah saya kata tidak ada masa yang membuatkan kami mengalirkan air mata, memang kadang-kadang hingga tak tertahan.

"Kita bercakap tahun demi tahun, bukannya satu dua tahun," katanya ketika diminta mengimbau perasaan apabila menghadapi kutukan, cemuhan dan fitnah daripada pihak lain.

Wanita reformasi itu juga berkata, perkara pahit yang berlaku sepanjang kariernya yang banyak dikaitkan dengan bapanya telah memberikan kekuatan bukan sahaja kepada keluarga malah "keluarga besar" PKR.

"Saya rasa semua tohmahan dan fitnah yang kami hadapi dalam sebuah keluarga serta keluarga besar PKR membantu melatih keyakinan dan jati diri," katanya.

Ditanya adakah beliau akan berundur daripada bidang politik pada suatu ketika nanti, Nurul Izzah berkata, "saya suka apa yang saya buat, ia memenuhi idealisme saya.

"Apa pun kita laksanakan dengan niat untuk membantu.

"Jadi selagi diperlukan saya akan teruskan, selagi rakyat mahukan saya," jelasnya.

Kerajaan pusat perlu kaji perjanjian PPA, IPP

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 8, 2013

KOTA BHARU – Kerajaan pusat digesa mengkaji balik perjanjian dengan Pembelian Tenaga (PPA) dan penjana Tenaga Bebas (IPP), sebaliknya bukan hanya menaikkan harga minyak yang bakal menghimpit ekonomi rakyat.

Ketua Penerangan, Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK), Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara tersebut harus dikaji kerana penjimatan wang kerajaan sebanyak RM1.1 bilion untuk tahun ini tidak membawa apa-apa kesan positif.

Menurut Datuk Peter Chin Fah Kui pada 24 Mei 2011 yang pada masa itu merupakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, IPP menikmati sebanyak RM19 bilion subsidi istimewa dari kerajaan yang mana ia adalah "keuntungan" yang terpaksa "dilepaskan" oleh Petronas kerana terpaksa menjual gas di
bawah harga pasaran.
 
"Kuasa yang dijanakan oleh IPP memenuhi 60 peratus daripada keperluan tenaga negara manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan 40 peratus, ini tanda jelas bahawa IPP mendapat manfaat paling besar daripada RM19 bilion yang diperuntukkan.

"Jika Petronas boleh menjual gas pada harga pasaran, tentunya RM19 bilion yang mendapat keuntungan setiap tahun boleh digunakan untuk dimanfaatkan kepada 27 juta rakyat Malaysia," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas isu kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen yang berkuat kuasa sejak Isnin lalu.

Menurutnya, dalam masa yang sama harga yang dikenakan IPP ke atas TNB adalah harga lebih mahal dari harga yang dihasilkan oleh TNB.

Beliau berkata, ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tidak sepatutnya.

"Ini bukan sahaja dibangkitkan rakyat bawahan bahkan ia pernah disuarakan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TNB sendiri, Tan Sri Ani Arope di mana beliau pernah menyatakan kepada umum tidak setuju tentang perjanjian PPA.

"Saya menyeru kerajaan bertindak adil dalam uruskan keperluan rakyat. Kenaikan harga minyak 20 sen sekalipun nampak tidak seberapa di mata kerajaan tetapi tetap merupakan kos yang tinggi di mata rakyat," katanya.

Harga minyak: Rakyat cari alternatif sendiri

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 8, 2013

SHAH ALAM - Terkilan, namun terpaksa menghadapinya. Itulah luahan hati orang ramai terhadap kenaikkan harga minyak RON95 sebanyak 20 sen baru-baru ini.

Tinjuan Sinar Harian Online mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui terpaksa mencari alternatif sendiri bagi mengatasi situasi kenaikan harga minyak ini.

Menurut seorang PHD Universiti Teknologi Mara (UiTM), Afdallyana Yusuf, 32, beliau sangat terkesan dengan kenaikan harga minyak ini.

Katanya, kenaikan harga minyak telah banyak memberi impak negatif terhadap rakyat.

"Impaknya (kenaikkan harga minyak) sangat meluas sebenarnya ia bukan hanya terkesan kepada golongan bawahan namun terhadap golongan pertengahan macam saya.

"Dalam membendung situasi ini saya sekeluarga sendiri perlu berjimat cermat kerana ingin memberi kehidupan yang selesa kepada anak kami.

"Kenderaan pun saya berkongsi dengan suami, namun yang sedikit meringankan kami ialah kami suami isteri bekerja," katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah, Syaiful Izwan, 32, kenaikkan harga minyak bukan sahaja memberi kesan kepada kos sara hidup tetapi ia turut memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan.

"Perkara ini terjadi dek kerana terpaksa bekerja lebih.

"Manakala bagi berhadapan dengan situasi ini, saya terpaksa berkongsi kereta dengan rakan-rakan untuk datang ke pejabat.

"Kalau untuk melancong juga saya terpaksa letak ke tepi terlebih dahulu buat masa sekarang kerana apa yang penting perbelanjaan harian saya yang perlu saya utamakan," katanya.

Manakala menurut Zulkifli Ahmad, 59, seorang peniaga baginya, kenaikan harga minyak ini sedikit sebanyak telah memberi bebanan kepadanya.

"Sekarang saya terpaksa berjimat, harga minyak dari RM 1.90 ke RM2.10.

"Dari segi ini saya perlu berjimat dengan penggunaan minyak.

"Bagi saya, kalau pergi kerja mungkin berkongsi kereta atau gunakan kenderaan awam bagi mengelak kita (rakyat) daripada terus terbeban," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang harga barang di kedainya, beliau mengatakan setakat ini harga barang di kedainya masih terkawal.

"Setakat ini saya kekalkan harga, tetapi nanti saya terpaksa naik jugalah, hendak buat macam mana," katanya.

Menurut Siti Hafsyah Ali, 56, seorang pesara kerajaan, kenaikan 20 sen harga minyak telah banyak menjejaskan kehidupan sehariannya.

"Memang terasa, walaupun 20 sen ianya menjejaskan perjalanan saya sehingga tidak boleh melencong.

"Aktiviti hujung minggu saya terpaksa dikurangkan, kerana kalau kerap keluar duit akan cepat habis," katanya.

Turut berkongsi pandangan, peniaga ayam, Muhammad Hanafi, 32, bagi menghadapi kenaikan harga minyak ini, beliau terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian dan terpaksa menyediakan bekal makanan kepada anak-anaknya untuk ke sekolah.

"Sejak harga minyak naik, saya bekalkan anak-anak makanan ke sekolah, jadi sedikit sebanyak saya dapat menjimatkan belanja.

"Saya juga sudah mengurangkan aktiviti makan di luar ketika hujung minggu, ini bagi memastikan duit simpanan saya sentiasa mencukupi," katanya.

 

 

Nabila Huda cedera kenderaan terbalik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 8, 2013

BENTONG - Pelakon yang juga anak penyanyi terkenal Amy Search, Nabila Huda, 29, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Triton bersama anaknya, Keisha Laila, 4 tahun.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, kenderaan dinaiki dipercayai terbabas.

"Nabila dan anaknya hanya mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu," katanya.

Sementara itu, melalui portal hiburan Oh Bulan, Nabila Huda difahamkan menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama anaknya dan seorang lagi pemandu.

Menurut portal itu, ketika kemalangan berlaku, kenderaan tersebut telah terbalik.

PDNKK Kedah rampas 852 mentol lampu tiruan

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

ALOR SETAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Kedah merampas 852 mentol lampu rumah berjenama tiruan bernilai RM10,000 dalam serbuan di sebuah premis peralatan elektrik di Simpang Kuala, di sini hari ini.
   
Penolong Pengarahnya, Ariffin Muslim berkata, serbuan dilakukan pada pukul 12.10 tengah hari susulan aduan pengeluar mentol berkenaan.      
   
"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 5 atau 8 Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu mengikut Seksyen 5, jika disabitkan kesalahan, pertubuhan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak kurang RM500,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini.
   
Ariffin berkata, bagi individu pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak kurang tiga tahun, manakala bagi kesalahan kedua boleh didenda RM200,000 atau penjara tidak kurang lima tahun. - Bernama

Polis tahan 10 anggota kongsi gelap di Padang Besa

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KANGAR - Polis menahan 10 lelaki tempatan yang disyaki anggota kongsi gelap dalam operasi di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, malam semalam.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis, Superintendan Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mereka yang berumur antara 26 dan 32 tahun itu ditahan pukul 8 malam ketika memasuki negara ini dari Thailand.
   
Mereka yang berkonvoi menaiki tiga buah kenderaan ditahan oleh pasukan Ops Cantas Khas Bukit Aman dan JSJ Perlis, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
   
Menurutnya, semakan polis mendapati tujuh daripada mereka memiliki pelbagai rekod jenayah manakala ujian air kencing pula menunjukkan ada di antara 10 suspek terbabit positif dadah.  
   
Kesemua mereka beralamat di Selangor dan berdasarkan tatu pada badan masing-masing lapan ialah anggota Geng 08 dan masing-masing seorang anggota Geng 04 dan Geng Satu Hati, katanya.
   
Menurutnya pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki oleh suspek bagaimanapun tidak menemukan sebarang senjata berbahaya.
   
Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut, kata Tengku Mohd Zailan. - Bernama

Dua beranak dari Dubai maut kereta terbabas

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

TAPAH - Seorang remaja perempuan dan ibunya yang sedang mengandung enam bulan maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas di KM 335.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara dekat sini petang tadi.
   
Mira Ali, 13, meninggal dunia di tempat kejadian sementara ibunya Hajar Ahmad Al Tanajy, 34, meninggal ketika dirawat di Hospital Tapah.
   
Kedua-duanya merupakan pelancong dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
   
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kereta Perodua Alza yang mereka naiki yang datang dari arah selatan menuju utara dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
   
"Rempuhan itu dipercayai menyebabkan si ibu parah manakala remaja berkenaan tercampak ke tebing bukit," katanya.
  
Somsak berkata, ketua keluarga itu, Ali Mohamed Amer, 38, anak-anaknya Saif, 8, dan Moza, 5, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala seorang lagi anaknya Muhammad, 11, cedera ringan di kepala.
   
Pemandu kereta itu, Musleh Hamid Abdo Mohammad dari Yemen melarikan diri selepas kejadian itu dan pihak polis sedang menjejakinya, katanya.
   
Beliau berkata, keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Pulau Pinang.
   
Somsak berkata, jenazah mangsa akan diuruskan pihak kedutaan UAE.
   
Duta UAE ke Malaysia, Abdulla Mattar Khamis Al Mazrouei yang turut berada di hospital berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang.
  
Beliau berkata, pihak kedutaan akan memindahkan kesemua mangsa untuk rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur manakala jenazah akan diuruskan secepat mungkin.
   
Urusan akan mengambil sedikit masa memandangkan kesemua pasport mereka ditinggalkan di hotel penginapan di Kuala Lumpur selain pihaknya perlu menyelesaikan segala prosedur berkaitan polis dan pihak berkuasa lain sebelum penghantaran pulang jenazah dilakukan, katanya. - Bernama

Dua maut nahas van bertembung pacuan empat roda

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

LAHAD DATU - Dua lelaki maut selepas van yang mereka naiki bertembung sebuah pacuan empat roda di Kilometer 38, Jalan Bakapit-Lahad Datu hari ini.
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Mohd Apandi Mahmood, ketika dihubungi berkata, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Sidek Sabit, 46, pemandu van dan penumpang kerusi depan kenderaan berkenaan, Arthur Hazirul, 40.
   
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam van. Kedua mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu," katanya.
   
Beliau berkata, sebuah jentera bomba dengan empat anggota dikejar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.55 petang, dan tiba di lokasi pukul 4.45 petang. - Bernama

Polis Besut tahan dua lelaki miliki dadah

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

BESUT - Polis Besut memberkas dua lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun dan merampas keseluruhan 180 biji pil dadah jenis yaba serta serbuk dadah seberat 4.29 gram dalam dua serbuan petang semalam dan hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, remaja itu diberkas dalam serbuan 5.30 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Alur Lintah.
   
"Apabila anggota polis mendekatinya remaja berkenaan cuba melarikan diri sambil mencampakkan satu kotak rokok tetapi berjaya ditahan," katanya di sini hari ini.
   
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kotak rokok yang dibuang remaja berkenaan menemukan 60 biji pil berwarna kemerahan dipercayai dadah jenis yaba.
   
Menurutnya, dalam satu lagi serbuan jam 5 pagi tadi, polis memberkas seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Kampung Gerai Muda dekat Jerteh.
   
Pemeriksaan polis ke atas badan suspek menemukan satu beg kecil yang mengandungi 120 biji pil dadah jenis yaba dan satu botol kecil mengandungi serbuk putih dipercayai dadah, katanya.
   
Menurut Kamaruddin, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

17 Pati ditahan ketika cuba ke negara jiran

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) Myanmar termasuk empat wanita di sebuah stesen minyak di Salor di sini ketika cuba dibawa keluar dari negara ini oleh sindiket.

Mereka ditahan kira-kira 10 pagi tadi ketika sedang menunggu kenderaan untuk dibawa menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang di Pasir Mas.

Timbalan Penolong Pengarahnya, Norehan Harun berkata, pasukan Imigresen bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat tentang kehadiran warga Myanmar yang dipercayai baharu tiba dari Lembah Klang dan Johor Bahru dengan menjadikan Kelantan sebagai transit sebelum pulang ke negara asal mereka.

"Dipercayai kesemua mereka dibawa menaiki lima kereta sewa yang diaturkan oleh pihak tertentu dan dibawa ke stesen minyak tersebut untuk di bawa dengan dengan kenderaan lain ke negara jiran melalui pintu masuk tidak sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemeriksaan terhadap kesemua pendatang asing tersebut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tambahnya.

Kesemua pendatang asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditahan sementara di Bahagian Penguatkuasa jabatan itu di Telipot sebelum tindakan selanjutnya.

"Kita akan teruskan operasi seumpama ini pada masa akan datang bagi mengenal pasti sindiket seumpama ini  memandangkan pihak kami mengesan terdapat banyak sindiket yang licik dan bijak mengatur strategi untuk menghantar Pati pulang ke negara asal," katanya.

Sehubungan itu Noriah berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat berhubung sindiket terbabit bagi  membanteras kemasukan Pati ke negara ini sehingga ke akar umbi. - Bernama

Jurulatih, pelatih menyelam mati lemas

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KUANTAN - Keasyikan sepasang suami isteri warga Singapura menjalani latihan menyelam berakhir tragedi apabila suaminya bersama jurulatih mereka mati lemas di Pantai Air Batang, Pulau Tioman, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kejadian itu berlaku jam 12 tengah hari semalam ketika jurulatih dan pelatih berumur 49 dan 38 tahun itu melakukan latihan menyelam kira-kira 25 meter dari pantai.

"Ketika aktiviti latihan menyelam dilakukan, isteri kepada pelatih itu melihat jurulatih mereka yang juga warga Singapura dan suaminya tiba-tiba mengalami kesukaran sewaktu menyelam.

"Isteri mangsa terus naik ke permukaan laut dan menjerit meminta pertolongan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainul berkata, orang ramai yang berada di sekitar pantai mendengar jeritan itu dan bergegas memberi bantuan.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal diselamatkan walaupun bantuan pernafasan diberikan, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk dibedah siasat dan punca kematian masih disiasat. - Bernama

SPRM tahan dua individu kes pembinaan hospital

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 8, 2013

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengurus besar dan pengarah sebuah syarikat, disyaki terlibat dengan kes penyeleweng hampir RM2 juta wang pampasan berhubung dengan projek pembinaan hospital.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya menahan pengarah itu petang kelmarin dan pengurus besar tersebut pagi semalam.

Mereka dikehendaki untuk membantu siasatan atas kegagalan menyerahkan wang pampasan seperti yang diputuskan oleh mahkamah tiga tahun lalu.

Pengarah yang berusia 54 tahun itu ditahan di Ipoh, Perak, hasil kerjasama daripada Jabatan Imigresen.

"Dia memohon pas sempadan untuk keluar dari negara (ini) melalui sempadan Malaysia-Thailand. Pengurus besar yang berusia 53 tahun itu pula ditahan di Pulau Pinang.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001. Pengurus besar terbabit merupakan suspek utama dalam kes ini," katanya.

Dia menghilangkan diri sepanjang siasatan dan ditahan hasil maklumat orang ramai.

SPRM memulakan siasatan kes itu berikutan aduan bahawa syarikat mereka tidak menyerahkan wang pampasan kepada sub-kontraktor dan juru perunding.

Sembilan daripada 10 kontraktor didakwa tidak menerima wang pampasan yang diputuskan oleh mahkamah.

Hasil siasatan awal menunjukkan sebahagian besar daripada wang telah disalurkan ke tempat lain.

Tiga maut, tiga parah dua kereta bertembung

Oleh: MUHAYUDIN SALLEH

Tarikh: September 8, 2013

ROMPIN - [Dikemaskini] Tiga maut, manakala tiga lagi cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung di Kilometer 115.8 Jalan Kuantan-Johor Bahru, berhampiran Sekolah Menengah Seri Rompin, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.45 pagi itu melibatkan pertembungan kereta Toyota Vios dan Proton Persona menyebabkan Persona berkenaan melintang di tengah jalan dan terbakar.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang maut merupakan pasangan adik beradik iaitu pemandu kereta Toyota Vios, Chan Yer Lin, 49, dan penumpang belakang, Chan Gee Chin, 52, serta pemandu kereta Proton Persona, Mohd Nazri Mohamad Dom, 38.

"Manakala mangsa yang parah ialah dua lelaki berumur sekitar 50-an, penumpang belakang Toyota Vios itu dan anak saudara lelaki kepada pemandu Proton Persona terbabit," katanya.

Menurutnya, Proton Persona tersebut dalam perjalanan dari arah Rompin menuju ke Kuantan dan kereta Toyota Vios dari arah bertentangan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Persona itu telah terbabas sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios itu.

"Tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rompin, Nordin Mamat berkata, panggilan daripada orang awam yang membuat aduan mengenai kejadian tersebut diterima pada jam 8.35 pagi.

"Seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba di sana pada jam 8.47 pagi, seterusnya operasi memadam bermula pada jam 8.48 pagi.

"Kerja memadam yang dilakukan tidak mengalami sebarang kesulitan berikutan mangsa sempat dikeluarkan orang ramai sebelum kereta tersebut terbakar dan operasi memadam selesai pada jam 10.30 pagi," katanya.

Gadis bunga dicekup layan pelanggan

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 8, 2013

PUCHONG - Dengan hanya membeli satu kalungan bunga, pelanggan sebuah pusat hiburan di sini akan mendapat persembahan tarian khas daripada gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand yang diminati mereka.

Bagaimanapun, belum sempat puas menikmati layanan daripada gadis 'bergetah' ditawarkan, premis dikunjungi mereka di Pusat Bandar Puchong, dekat sini, diserbu sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, pelanggan perlu membeli kalungan bunga dengan harga RM100 dan boleh memilih mana-mana gadis GRO untuk melayan mereka.

Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang, Sobberi Ismail berkata, daripada jumlah dibayar pelanggan, separuh diambil pengusaha manakala selebihnya diberikan  kepada gadis pelayan terbabit.

Lebih ramai pelanggan yang membeli kalungan bunga, lebih banyak komisyen diperoleh GRO yang menjadikan pekerjaan itu sebagai cara mudah mendapatkan kemewahan.

Ketika serbuan,  12 gadis berpakaian seksi sedang asyik melayani 50 pelanggan lelaki tempatan yang dahagakan layanan mesra mereka.

Pemeriksaan dijalankan mendapati kesemua GRO termasuk enam pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 30-an didapati menyalah guna pas lawatan sosial ke negara ini.

"Risikan dilakukan mendapati  GRO terbabit diberikan tips separuh harga bagi setiap jualan kalungan bunga berharga RM100. Selepas pembelian kalung bunga dibuat, pelanggan boleh memilih mana-mana  pelayan disukai untuk dijadikan teman berhibur,"katanya.

Beliau berkata,  penjaga premis turut ditahan kerana perniagaan dijalankan tidak memiliki lesen sah pihak berkuasa.

Kesemua yang ditahan dalam  Ops Cantas Noda kelmarin dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.

Kebakaran: Gagal selamat diri, warga emas rentung

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

LAHAD DATU - Seorang wanita berumur 63 tahun rentung selepas rumahnya di Taman Public Villa di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Mohd Apandi Mahmood berkata mayat Ling Yang Eng ditemui di bahagian dapur dan dipercayai mangsa cuba menyelamatkan diri melalui pintu dapur.

"Semasa pasukan bomba tiba di tempat kejadian pukul 7.10 pagi, 70 peratus rumah berkenaan sudah musnah dijilat api," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya sebuah jentera bomba dengan 10 anggota terlibat dalam operasi itu selepas mendapat panggilan kecemasan pada 7.04 minit pagi dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 7.20 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada 10.30 pagi.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat. - Bernama

Lelaki maut, kaki putus dirempuh keretapi

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

KOTA BHARU - Seorang lelaki dalam lingkungan 40-an maut selepas dilanggar sebuah keretapi ekspres di Guchil 7, Kuala Krai di sini hari ini.


Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, sementara pergelangan kaki kirinya putus akibat dirempuh Keretapi Express

Senandung Timur yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Tumpat.

   
"Siasatan awal mendapati mangsa berjalan di tengah landasan dan tidak beredar walaupun wisel telah dibunyikan oleh pemandu keretapi tersebut.

   
"Usaha mengesan waris untuk pengecaman mangsa sedang dijalankan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.  – Bernama

 

Ibu, anak ditahan miliki 993 pil dadah

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

GUA MUSANG - Seorang ibu dan anak lelakinya yang berumur 15 tahun ditahan di sebuah rumah di Rancangan Pembangunan Tanah Kampung Sungai Terah di sini hari ini.

Turut ditemui dalam serbuan kira-kira 7.19 pagi itu ialah 993 pil bertanda 'WY' dalam lima paket plastik.

Polis percaya wanita berkenaan yang merupakan seorang surirumah berumur 39 tahun dan anaknya mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran 'Lani Botak', kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah.

Sindiket berkenaan giat mengedar dadah di kawasan rancangan itu. - Bernama

Pemerdagangan manusia: Ada unsur tarikan

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

MELAKA - Pemerdagangan manusia menular menjadi  'epidemik' di seluruh dunia ekoran pulangan lumayan hasil daripada kegiatan jenayah memalukan itu khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak.


Menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan manusia Jun lepas, dianggarkan 27 juta orang menjadi mangsa pemerdagangan pada bila-bila masa tetapi hanya 40,000 mangsa atau 0.001 peratus dikesan. 


Untuk mencari 'penyembuh' kepada penularan 'epidemik' ini, orang ramai perlu dididik, respons kerajaan perlu ditingkatkan dan masyarakat perlu sentiasa peka, namun Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Michelle Gyles-McDonnough berkata: "Kita perlu lakukan lebih banyak lagi daripada sekadar menangani faktor penarik dan penolak permerdagangan manusia."

 Gyles-McDonnough, yang juga Wakil Residen Program Pembangunan PBB ke  Malaysia, Singapura dan Brunei, berkata faktor penolak sosio-ekonomi seperti kemiskinan, ketidaksamaan gender, peluang kerja terhad dan kekurangan maklumat perlu ditangani.


Faktor penarik pula ialah permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh  murah menjadi pemacu jenayah kompleks ini yang memerangkap jutaan mangsa untuk bekerja dalam sektor yang membayar upah murah atau tiada upah langsung seperti pertanian, pembuatan, pembantu rumah dan industri pelacuran.

 

"Sering kali orang muda, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah ini dalam usaha mereka sendiri atau keluarga untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan dan mencari peluang untuk memajukan diri sendiri.


"Dalam kes ini, mereka diperdaya untuk menjadi buruh atau dieksploitasi secara seksual," kata diplomat kelahiran Jamaica itu kepada Bernama semasa ditemui di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Pemerdagangan Wanita dan Kanak-kanak di sini.


Persidangan lima hari anjuran Yayasan Belia Dunia itu yang berakhir semalam dihadiri 91 peserta dari 15 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Thailand dan Malaysia.  

Gyles-McDonnough berkata amalan dan nilai sosial yang telah berakar umbi turut memudahkan lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan, menjadi sasaran mudah kepada penjenayah yang berniat mengaut laba daripada harapan individu berkenaan untuk mencari kehidupan lebih baik.


Merekrut atau mengeksploitasi orang yang tidak berdaya amat mudah serta kurang berisiko dikesan, manakala kanak-kanak mudah menjadi sasaran kerana kurang matang dan tidak mampu membuat keputusan sendiri.

 

"Kanak-kanak bergantung kepada penjaga mereka yang mungkin sering mengabaikan mereka, dan berikutan mereka kurang pengalaman, dan juga mudah mempercayai sesorang, ini dipergunakan oleh penjenayah untuk mengeksploitasi mereka," kata Gyles-McDonnough.


Beliau berkata dalam kebanyakan masyarakat, wanita kurang diperkasakan berbanding lelaki dan ini dapati dilihat daripada segi ketidaksamaan gender, akses kepada kesaksamaan dalam sistem keadilan serta daripada segi memproleh hak asasi dan sosial.


Daripada segi risiko menjadi mangsa penjenayah, ini dapat dilihat daripada hakikat kekuatan fizikal, yang menjadikan wanita dan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki menerusi kekerasan atau ugutan.


"Migran merupakan satu lagi kumpulan yang mudah menjadi sasaran, yang mencari peluang di luar negara untuk memperbaiki kehidupan, termasuk migran yang baru tiba yang sering tanpa ditemani anggota keluarga terdekat, kawan atau rangkaian sokongan lain.


"Bakal migran mungkin terlalu teruja untuk mencari peluang kerja, dan sering tertekan untuk mendapatkan kerja dengan cepat. Dan juga terdapat kumpulan lain yang juga mudah menjadi sasaran seperti remaja, pelarian, orang kelainan upaya dan miskin," katanya.

 

Mengenai tindakan PBB untuk membanteras pemerdagangan manusia, Gyles-McDonnough berkata pertubuhan itu secara berterusan menggesa dan menyokong kerjasama global untuk tindakan dan juga sentiasa memberikan respons efektif di peringkat serantau, sub-rantau dan kebangsaan.


"Protokol PBB untuk menghukum, mencegah dan membanteras pemerdagangan manusia terutamanya wanita dan kanak-kanak atau Protokol TIP, merupakan kunci utama kami dalam usaha memerangi jenayah memalukan ini, mengikut kedaulatan undang-undang. 


"Ia melengkapi konvensyen PBB dalam membanteras jenayah terancang merentas sempadan dan merupakan instrumen undang-undang di peringkat global dalam mendefinisikan pemerdagangan orang dan selaras dengan Protokol TIP, 134 negara dan wilayah di seluruh dunia telah mengambil ketetapan bahawa sebarang bentuk  pemerdagangan manusia adalah satu jenayah," katanya.


Beliau juga memuji usaha Malaysia dalam memerangi kegiatan pemerdagangan orang dengan mengguna pakai Protokol TIP pada 2009, dan melaksanakan tindakan peringkat kebangsaan dengan menguatkuasakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. 


Menerusi akta itu diwujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) bagi memantau pelaksanaan akta itu dan untuk merumuskan dasar-dasar dan program-program untuk memerangi pemerdagangan manusia.


"Penubuhan badan seperti itu bukan sahaja penting tetapi juga perlu kerana penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang yang efektif amat penting untuk memerangi jenayah yang kompleks dan amat sukar ini.


"Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan di sini dan di seluruh dunia. Agensi-agensi PBB bersedia membantu usah-usaha kerajaan dalam memperkukuhkan kapasiti nasional untuk memerangi pemerdagangan orang, daripada segi mengenal pasti mangsa sehingga kepada pengumpulan bukti dan pendakwaan individu terbabit jenayah itu," katanya.  - Bernama

 

Kumpulan kongsi gelap guna ilmu hitam

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI

Tarikh: September 8, 2013

KEMAMAN - Seperti mana di negeri lain, di Terengganu juga terdapat kumpulan kongsi gelap yang menggunakan ilmu hitam bagi menjadikan mereka berani sehingga ada yang bertindak di luar batasan.
 

Pengamal perubatan Islam, Datuk Shamsuri Safie berkata, bagaimanapun kumpulan kongsi gelap di negeri ini tidak menonjol dan bergerak secara senyap dengan berselindung di sebalik nama lain iaitu  nama NGO bagi mengaburi mata orang ramai.
 

Menurut beliau, kumpulan kongsi gelap atau dipanggil gengster terbabit mengamalkan ilmu songsang bagi memenuhi kehendak mereka agar digeruni dan boleh melakukan apa sahaja.
 

Katanya yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, situasi itu diketahuinya berdasarkan kajian yang dibuat dan sesi rawatan berkala yang dilakukan di negeri ini.
 

"Pada dua bulan lalu saya rawat seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari Kerteh, Kemaman yang menjalinkan hubungan dengan seorang ahli kumpulan gengster.
 

"Walaupun ibu bapa pelajar tingkatan tiga itu pada mulanya tidak membenarkan anaknya itu berkawan dengan lelaki itu tetapi lama kelamaan ibu dan bapa gadis itu 'tunduk' sehingga lelaki itu boleh keluar masuk dalam rumahnya secara bebas dan boleh membawa gadis itu keluar rumah sesuka hati," katanya.
 

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Rawatan Perdana Pusat Rawatan Islam At-Tobibi yang diadakan di Surau As-Soliheen, Taman Desa Solehah, Mak Chili, di sini, kelmarin.
 

Shamsuri berkata, selepas diubati secara Islam gadis itu beransur pulih serta tidak lagi rapat dengan lelaki terbabit dan sekarang dia hanya fokus untuk menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi.
 

Dalam satu lagi kes yang berlaku di Selangor pada 2011 pula, seorang wanita bukan sahaja terlanjur malah hilang duit dan harta apabila terkena guna-guna sesudah bercinta dengan seorang ahli kumpulan kongsi gelap yang mengamalkan ilmu songsang.
 

Pun begitu, kata beliau, kes ahli kumpulan kongsi gelap mengamalkan ilmu hitam di negeri ini tidak ketara berbanding apa yang berlaku di Sabah, Sarawak dan Johor yang berada di kedudukan teratas manakala Terengganu berada di kedudukan ke-10.
 

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah berkenaan, Shamsuri mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan modul motivasi perubatan Islam dan berusaha menyedarkan masyarakat berhubung bahana mengamalkan ilmu hitam.
 

"Daripada pengamatan saya lihat kira-kira 98 peratus masyarakat di negeri ini boleh menerima perubatan Islam jadi saya syorkan pusat rawatan dan pengamal perubatan lain mengambil peranan dalam menyedarkan masyarakat mengenai bahayanya ilmu hitam dan sihir," katanya.

 

Info

 

Kedudukan negeri mengikut pengamalan ilmu hitah oleh ahli kumpulan kongsi gelap

 (Berdasarkan kajian yang dilakukan pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi sejak 2005)

 

1.       Sabah

 

2.       Sarawak

 

3.       Johor

 

4.       Selangor

 

5.       Negeri Sembilan

 

6.       Perak

 

7.       Kedah

 

8.       Melaka

 

9.       Kelantan

 

10.   Terengganu

 

Kebakaran: Pemuda rentung, rakan melecur

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

BELURAN - Seorang pemuda rentung manakala seorang lagi melecur dalam kebakaran sebuah rumah dan stor penyimpanan diesel di Kampung Gambaron 2 di Telupid kira-kira 7.30 malam tadi.


Mangsa yang maut dikenali sebagai Sahar Mohd Hatta, 26, manakala Rahmat Misse, 25, yang melecur kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dilaporkan stabil.


Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Ordine Gilu berkata sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.59 malam. 


Katanya anggota bomba diketuai Pegawai Operasi Bernadius Jacob hanya tiba di tempat kejadian pada 9.27 malam disebabkan lokasi kejadian terletak jauh kira-kira 99 kilometer dari Kinabatangan.


Menurutnya operasi memadam api tamat pada pukul 9.50 malam dan mayat mangsa ditemui rentung di bawah sisa rangka rumah yang musnah terbakar.

Beliau berkata punca kejadian dan anggaran kerugian sedang disiasat.  - Bernama

 

Pinjaman PTPTN tak berbayar nafi hak pelajar

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

LENGGONG - Sejumlah RM300 juta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal dilunas peminjam akan mengakibatkan sekurang-kurangnya 15,000 pelajar tidak mendapat kemudahan itu daripada tabung berkenaan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehubungan itu, sebanyak 400,000 peminjam tegar yang gagal melunaskan pinjaman dinasihat membuat bayaran bagi memastikan hak pelajar lain tidak dinafikan.

"Kini terdapat 400,000 peminjam tegar yang masih gagal membayar pinjaman yang berjumlah RM2.3 bilion. Jumlah ini besar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Parlimen Lenggong di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 2.24 juta peminjam menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN yang melibatkan peruntukan sebanyak RM50.52 bilion.

Katanya, bagi tempoh sama, perbadanan itu berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM4.32 bilion.

"Budaya membayar balik pembiayaan PTPTN semakin meningkat dalam kalangan masyarakat hasil pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan serta sokongan padu masyarakat," katanya.

Anggota Parlimen Lenggong itu juga berkata, bagi 2009, PTPTN berjaya mengutip sejumlah RM553 juta manakala bagi 2010, sebanyak RM638 juta, 2011 (RM737 juta) dan 2012 (RM800 juta).

Beliau berkata, setiap tahun PTPTN memberi pinjaman kepada lebih 200,000 peminjam dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, pada masa akan datang, perbadanan itu berhasrat memberi pinjaman kepada lebih ramai pelajar. - Bernama

Usaha gagalkan rundingan damai

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

MANILA  - FILIPINA . Kumpulan pemberontak yang menentang rundingan damai bersama kerajaan Filipina disyaki meletupkan bom yang telah menyebabkan seorang askar cedera dalam insiden menggemparkan di selatan negara itu, menurut media tempatan, semalam.

Jurucakap tentera, Dickson Hermoso berkata, mereka berjaya mematikan bom kedua di lokasi kejadian di bandar Datu Paglas di wilayah Maguindanao terbabit.

Susulan daripada kejadian itu, banyak laluan utama ditutup bagi memudahkan pihak berkuasa mencari bahan letupan yang mungkin disembunyikan oleh dalang serangan tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesyaki insiden itu didalangi kumpulan pemisah Pergerakan Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang mahu menggagalkan usaha rundingan damai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk memeterai perjanjian autonomi baru, menurut sumber AP.

Oktober lalu, MILF dan kerajaan telah menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi, sekali gus menamatkan konflik selama lebih 40 tahun di wilayah selatan negara itu yang telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Dalam rundingan terbaru yang akan disambung semula di Malaysia esok, kerajaan dan perunding kumpulan tersebut yang akan cuba untuk mencapai persetujuan berhubung pelucutan senjata serta perkongsian kuasa.

Presiden Pakistan sah berundur

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

ISLAMABAD - PAKISTAN . Presiden Asif Ali Zardari sah meletak jawatan semalam, selepas menamatkan tempoh menerajui Pakistan selama lima tahun.

Beliau mengukir sejarah apabila muncul sebagai satu-satunya presiden dari Parti Demokratik melengkapkan pemerintahan.

Media tempatan menyifatkan, tempoh tamat pemerintahan Asif Ali tepat pada masanya kerana Pakistan kini memerlukan Presiden baru yang dapat melakukan transformasi menangani masalah kemelesetan ekonomi.

Pemerhati politik berpendapat, Asif Ali dianggap berjaya mengekalkan pengaruhnya dan mempunyai pendirian kukuh dalam usaha menangani masalah militan.

"Kekuatan Asif Ali adalah kesinambungan daripada pengaruh isterinya bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto yang dibunuh dalam serangan senjata bom pada Disember 2007," katanya dipetik dari laporan AP.

Bahang pemilu Indonesia mula terasa

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

JAKARTA - INDONESIA. Iklim politik di negara ini sempena pilihan raya umum (pemilu) 2014 semakin panas.

Kebanyakan calon sudah mula mempamerkan calon Presiden masing-masing.

Bagaimanapun, rakyat Indonesia diminta kondusif menerima siapa pun pemenangnya nanti.

"Hendak jadi presiden, calon, rakyat adalah penting. Perbezaan pandangan, pilihan bukan penyebab untuk merosakkan tali persaudaraan antara satu sama lain," kata Ketua Umum Parti NasDem, Surya Paloh, dalam satu kenyataan media.

Dipetik dari Detik News, beliau juga berharap agar perbezaan pandangan mahupun pilihan dalam pemilihan nanti dapat menjadi penyatuan bangsa.

Surya juga mengingatkan supaya menjaga  kepentingan semangat patriotisme dan nasionalisme.

"Kita harus jaga roh dan maruah bangsa yang berdaulat ini," ujarnya.

Surya juga meminta agar, siapa yang terpilih menjadi Presiden 2014 kelak mesti bersedia memberi khidmat kepada masyarakat.

"Pemimpin harus mengakui kekurangannya, bersedia memberi khidmat, pengorbanan waktu dan sebagainya.

"Kalau belum boleh melakukan itu, bererti salah tempat.

"Ini yang kita bilang sudah cukup jadi pemimpin," tuturnya.

Novelis popular mati ditembak

Oleh:

Tarikh: September 7, 2013

KHOST - AFGHANISTAN. Novelis terkenal Sushmita Banerjee ditembak mati di wilayah timur Paktika, Afghanistan semalam.

Ketua polis wilayah Dawlat Khan Zadran berkata kepada AFP, novelis yang pernah menjadi tebusan Taliban era 90-an itu ditembak berhampiran Madrassa di pinggir bandar Sharan.

"Kami menemui kerongsong berhampiran mangsa. Kami tidak menolak serangan itu dilakukan oleh Taliban dan mempunyai kaitan tentang penghasilan novel beliau mengenai pengalamannya ketika menjadi tebusan Taliban," katanya.

Sushmita, 49, pernah menghasilkan novel Kabuliwala Bengali Wife berkisar tentang pengalaman dramatik beliau ketika melarikan diri dari kepungan Taliban dan pengisahan itu pernah diterjemahkan ke dalam filem Bollywood pada 2003.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment