Wednesday, September 11, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 120913 bersamaan 6 Zulakedah 1434H

 

 

 

 

Lalai antara punca jenayah siber

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Antara punca utama jenayah siber melibatkan pemilik kad ATM, telefon bimbit, e-mel dan laman sosial adalah disebabkan sikap suka berkongsi nombor pin dan kata laluan.
    
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Keselamatan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Rafidah Mat Isa, ini berlaku berikutan kecuaian dan kurang tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat.     

"Kebanyakan kes fraud (tipu) yang berlaku adalah disebabkan kecuaian pengguna.
    
"Peraturan saja tak cukup untuk mengurangkan fraud, ia perlu pendidikan dari segi mempertingkat kesedaran," katanya pada majlis diskusi panel sempena Cybersec Asia 2013 berhubung jenayah siber di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
    
Beliau menarik perhatian bahawa walaupun pelbagai notis diletakkan umpamanya di mesin ATM mengingatkan pelanggan bank supaya berhati-hati tentang nombor pin mereka, namun ini seolah-olah tidak diambil peduli oleh ramai pengguna. - Bernama

Syiah mula berkembang di Facebook

Oleh: MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

Tarikh: September 12, 2013

ALOR SETAR – Selepas pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh tokoh-tokoh agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik mengenai kegiatan fahaman Syiah di negara ini, gerakan itu didapati semakin giat mengembangkan fahaman berkenaan kepada golongan belia menerusi laman sosial.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ia mula menular di laman sosial dengan pelbagai nama akaun sejak Ogos 2011 dan Mei 2012. Bagaimanapun, penularan itu dilihat semakin aktif sejak kebelakangan ini.

Lebih mengejutkan, akaun tersebut turut menggunakan nama ' i'm proud to be Syiah in Malaysia' sebagai tarikan kepada pengguna laman sosial.

Difahamkan, penggunaan laman sosial itu bertujuan untuk mendedahkan mengenai fahaman Syiah, kegiatan Syiah serta perbezaan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna Facebook yang beragama Islam mengambil kesempatan untuk meninggalkan komen yang berbentuk kemarahan termasuk mencerca perbuatan dan kegiatan fahaman itu di akaun Facebook berkenaan kerana bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.


AKAN MENYUSUL
 

BN korban subsidi rakyat demi penjana tenaga bebas

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membidas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bahan api petrol dan diesel sebanyak RM3.3 bilion setahun yang disalurkan kepada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia sedangkan subsidi kepada syarikat korporat khususnya penjana tenaga bebas tidak terjejas.

Beliau mendakwa kerajaan BN cuba menyembunyikan angka sebenar pemberian subsidi kepada rakyat sambil memberikan gambaran palsu untuk menutup pembayaran subsidi kepada penjana bebas terbabit.

Akan Menyusul.

Tiada kompromi syarikat tolak wanita bertudung

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung dalam proses pengambilan pekerja. 

Menegaskan demikian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan meminta wanita terbabit tampil membuat aduan secepat mungkin.

Sambil merujuk kepada perlembagaan negara, Rohani berkata, ia bukan isu agama tetapi soal keadilan dan hak sama rata antara jantina. 

"Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan) menggariskan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam," katanya.

Beliau mengulas tentang pendedahan seorang wanita Muslim, Mira Kamil, dalam Facebooknya baru-baru ini mengenai pengalamannya berdepan syarikat-syarikat di negara ini yang tidak mengambil wanita bertudung bekerja.

Bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini, Rohani berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat terbabit, termasuk menghebahkan nama syarikat kepada umum.  

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, beliau dan timbalannya, Datuk Azizah Mohd Dun kini dalam siri jelajah bertemu klien LPPKN. 

Jelajah bermula di Institut Sosial Malaysia minggu lepas disusuli dengan lawatan ke Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di sini minggu ini. - Bernama

 

 

Curang dengan rakan isteri

Oleh: Siti Zubaidah Zakaraya

Tarikh: September 12, 2013

SUNGAI PETANI - Kepulangan isteri ke kampung halaman memberi peluang si suami melakukan adegan 'mesra' bersama kekasih yang juga rakan kepada isterinya.

Malangnya, perbuatan tidak senonoh itu berjaya dihidu orang ramai yang bertindak menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa Pejabat Agama Kuala Muda, sebelum serbuan dijalankan jam 2 pagi baru-baru ini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah, Zaiferi Zainul Abidin berkata, seorang wanita berusia 20-an warganegara Indonesia ditahan bersama seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai suami kepada rakannya sendiri dalam operasi banteras maksiat itu.

Menurutnya, ketika serbuan, lelaki itu dipercayai sedang leka menghabiskan masa dengan kekasih gelapnya melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel.

"Anggota penguatkuasa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka oleh lelaki ini setelah diketuk beberapa kali.

"Kita juga menemui tilam dan beberapa bantal yang sedia diletakkan di hadapan televisyen dipercayai digunakan pasangan tersebut," katanya.

Zaiferi berkata, wanita terbabit cuba bersembunyi di sebalik pintu dengan hanya memakai pakaian dalam serta berseluar pendek manakala lelaki tersebut hanya memakai seluar paras lutut.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, isteri lelaki terbabit yang juga rakan kepada kekasihnya turut berasal dari Indonesia dipercayai sudah beberapa hari pulang ke kampung halaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988," katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah, Sheikh Radzi Abd Mutlib mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang berkongsi maklumat bagi membantu membanteras kegiatan maksiat di kawasan masing-masing.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan sebarang kegiatan mencurigakan supaya menghubungi imam, pejabat agama atau agensi berkaitan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian.

 

 

Lihat anak maut depan mata

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: September 12, 2013

PARIT BUNTAR - "Ayah, adik dekat belakang mati kena langgar!" Hanya itu mampu diungkapkan kakak kanak-kanak berusia dua tahun yang maut dirempuh kereta bapanya di kediaman mereka di Taman Kerian di sini, semalam.

Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku di hadapan mata bapa kanak-kanak malang itu.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Adam Mohd Ali difahamkan berada di belakang kereta Toyota untuk mengambil seliparnya manakala abangnya, Aiman Yasin Mohd Ali yang berusia empat tahun berada dalam kereta terbabit dan cuba menghidupkan kenderaan itu.

Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah selepas menghantar isterinya berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai dan ingin bergegas menghantar anak perempuannya ke sekolah.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia masuk ke dalam sebentar untuk mengambil barang sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

"Saya segera keluar dan melihat Aiman sedang bermain di  tempat duduk pemandu, manakala arwah berada di belakang kereta untuk memakai selipar. Saya mendekati kereta dan terkejut melihat Aiman cuba menghidupkan enjin kereta.

"Saya cuba menahan tindakannya itu, namun dia terus menghidupkan enjin dan secara tiba-tiba kereta mengundur ke belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Ali berkata, dia kemudiannya terdengar jeritan yang diselangi suara anak perempuannya mengatakan Mohd Adam meninggal dunia akibat dilanggar.

Dia segera meluru ke belakang kereta yang mengundur hingga menyentuh dinding rumah itu dan mendapati mangsa dalam keadaan melutut sambil memegang selipar, manakala bahagian kepalanya dihimpit belakang kereta.

"Saya melihat Mohd Adam kaku di belakang kereta dan apabila kereta dialihkan ke hadapan, arwah terus terduduk. Kepala arwah cedera dan saya segera memeriksa keadaannya serta mendapati arwah sudah tidak bernyawa.

"Saya tidak sangka kereta akan mengundur dan saya percaya Aiman memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain dalam kereta," katanya.

Mohd Ali berkata, melihat keadaan mangsa, anak keempatnya, Akmal Yasin pada mulanya menyangka mangsa sedang 'tidur' dan mengangkatnya ke bahagian hadapan rumah.

Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja mengetahui adik bongsunya itu sudah tidak bernyawa, kanak-kanak itu terus meluru ke arah kakaknya sambil menangis kerana dia rapat dengan arwah.

"Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.

"Kami sekeluarga pasrah dengan pemergian arwah, cuma saya sedih kejadian tragis ini berlaku di hadapan mata kami sekeluarga," katanya.

Suasana pilu turut menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa menangis teresak-esak tanpa henti sambil memeluk jenazah mangsa sehingga saat mangsa ingin dibawa polis ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya kes sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas  Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak yang turut hadir ke lokasi kejadian meminta orang ramai terutama golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati mengendalikan kenderaan di pekarangan rumah masing-masing.

"Kejadian tragis wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak kecil terutama apabila mereka berada di luar rumah," katanya.

Curi kenderaan: Polis tahan 8 lelaki, 2 wanita

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

SHAH ALAM - Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan lapan kes kehilangan kenderaan termasuk yang terbaharu di Taman Sentosa, Sabak Bernam dekat sini dengan penahanan lapan lelaki dan dua wanita baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, berikutan tangkapan suspek berusia antara 17 dan 43 tahun itu, polis menemui semula sebuah lori jenis Hicom yang dilaporkan hilang di sebuah rumah di Taman Sentosa pada 23 Ogos lepas.    

"Penahanan itu juga membawa kepada penemuan empat lori dan tiga kereta termasuk jenis BMW yang dilaporkan hilang di Kota Damansara, Jinjang
serta di Lumut dan Setiawan (Perak) selain di daerah Sabak Bernam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Beliau berkata, mereka ditahan berasingan di sekitar Sekinchan dan Sungai Besar antara 26 Ogos dan 3 September lepas hasil risikan dan maklumat orang ramai.

Katanya, dua daripada suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman bermula 27 Ogos lepas dan berakhir hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan. – Bernama

Inisiatif Rusia langkah selesai konflik Syria

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap inisiatif Rusia supaya Syria menyerahkan semua senjata kimianya di bawah penyeliaan antarabangsa menjadi langkah ke hadapan dalam menyelesaikan konflik di negara bergolak itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif Rusia itu.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menegaskan Malaysia mengutuk pemilikan dan penggunaan senjata kimia oleh mana-mana negara kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

"Justeru, Malaysia menyokong inisiatif itu dan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara yang terlibat, termasuk masyarakat antarabangsa melaksanakan cadangan tersebut dengan kadar segera dan jayanya.

"Dengan perkembangan positif ini, Malaysia berharap inisiatif itu dapat menjadi satu langkah ke hadapan kepada masyarakat antarabangsa serta pihak yang bertelagah di Syria ke arah mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis tersebut," katanya.     

Beliau juga berkata, Malaysia percaya bahawa campur tangan ketenteraan asing untuk menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan senjata kimia haruslah dielakkan kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan kemusnahan dan penderitaan lebih dahsyat kepada rakyat Syria dan menjejaskan kestabilan serantau.

Syria dilaporkan menerima cadangan Rusia agar semua senjata kimianya diletakkan di bawah kawalan antarabangsa untuk tindakan berikutnya bagi mengelak serangan udara Amerika Syarikat.

Menurut laporan, Menteri Luar Syria, Walid Al-Moallem menyatakan perkara itu pada Selasa selepas beliau mengadakan pertemuan dengan speaker Parlimen Rusia di Moscow. - Bernama

Tidak wajar putus hubungan dengan Iran

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Gesaan supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran berikutan majoriti penganut Syiah di negara itu adalah tidak wajar dan tidak berasas, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, isu Syiah merupakan isu domestik yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa di negara ini.

Beliau berkata, gesaan yang dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu tidak mencerminkan pandangan kerajaan Malaysia walau dalam apa cara sekalipun.

"Adalah menjadi dasar luar Malaysia untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara berlandaskan sikap saling menghormati untuk memupuk hubungan muhibah dan kerjasama dalam semua bidang yang berkepentingan demi manfaat bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada seminar "Mendepani Virus Syiah" di sini 8 September lepas, Wan Zahidi telah mengusulkan kerajaan menamatkan hubungan diplomatik dengan Iran dalam usaha mengekang penularan fahaman Syiah daripada tersebar meluas di negara ini.

Anifah berkata, dalam usaha untuk memperkukuh dan memperluas skop serta keakraban hubungan Malaysia dengan negara lain, adalah menjadi amalan Malaysia untuk berinteraksi dengan semua negara yang menjadi rakan kongsi untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu berkepentingan bersama.

Beliau juga berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan warganegara asing ke negara ini, namun mereka perlu menghormati undang-undang Malaysia dan peka dengan sensitiviti budaya dan agama masyarakat negara ini.

"Juga (mereka) tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara atau menyebabkan perpecahan atau menganggu keharmonian kaum dan agama, termasuk perihal yang membabitkan agama Islam di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian sosial dan budaya," katanya. - Bernama

 

RTM pandang serius silap siar logo PDRM

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menggantung dan menamatkan perkhidmatan individu yang terlibat dalam insiden penyiaran kesilapan logo Polis Diraja Malaysia melalui RTM semalam.    ( Polis Raja Di Malaysia )

Sambil berkata, RTM memandang serius kejadian itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata laporan polis untuk memulihkan imej Jabatan Penyiaran telah dibuat.

"Ralat dan permohonan maaf telah disiarkan dalam Berita Nasional 12 tengah malam. Surat rasmi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) juga telah dihantar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jawatankuasa tata tertib telah bersidang hari ini untuk meneliti tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan insiden itu.  

Kenyataan dan tindakan segera yang diambil telah dimuat naik dalam laman sosial jabatan berkenaan, tambahnya. - Bernama

Penyelia rugi RM800 terpedaya tawaran warisi harta

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

IPOH - Seorang penyelia lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi di sini kerugian sebanyak RM800 setelah diperdaya seorang wanita yang menawarkannya untuk mewarisi harta seorang lelaki warga Iraq.  ( kah kah kah )

Noor Azlin Zainal, 46, berkata, dia menerima kiriman e-mel dua bulan lepas daripada wanita berkenaan yang bertindak sebagai orang tengah untuk mencari pewaris kepada warga Iraq itu.

"Dia menawarkan 40 peratus dari jumlah USD1.3 juta (RM4.26 juta) sekiranya saya bersetuju untuk menjadi pewaris," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, hari ini.

Katanya, wanita itu meminta dia memberikan butiran peribadi dan membayar sejumlah wang kononnya untuk membayar cukai ke atas wang yang akan diwarisinya itu.

Dia kemudian memindahkan wang berjumlah RM800 melalui dua transaksi ke dalam akaun milik wanita berkenaan. 

Noor Azlin berkata, dia curiga apabila tidak mendapat apa-apa wang yang ditawarkan selepas menunggu selama kira-kira dua bulan. 

"Saya telah beberapa kali cuba menghubungi wanita itu namun gagal dan akhirnya menyedari telah ditipu dan mengambil keputusan membuat laporan polis," katanya. 

Sementara itu, ketua urusetia pusat tersebut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran melalui Internet.

"Sejak dua minggu lalu, sebanyak enam aduan diterima berhubung penipuan siber diterima oleh pihak saya," katanya.  - Bernama

Enam pekerja Myanmar parah tong gas meletup

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

MUAR - Enam pekerja warga Myanmar cedera parah apabila 15 daripada 300 tong gas di sebuah stor bangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan Perindustrian Parit Bakar Darat, di sini meletup malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 malam itu, kesemua mangsa berusia 30-an dipercayai sedang melakukan kerja pemindahan gas memasak secara haram daripada tong 14 kilogram ke tong 50 kilogram di premis yang menempatkan 300 tong gas tersebut apabila ia tiba-tiba meletup.

Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 8.52 malam, 18 anggota berserta dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Apabila tiba, api telah marak dan mula merebak ke bangunan kedua dan pihak bomba terpaksa memadam kabakaran dengan menggunakan kaedah penyejukan bagi memastikan tong gas lain tidak meletup.

"Kita juga terpaksa menutup kawasan perindustrian tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini semasa operasi pemadaman dilakukan dan akhirnya api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 10.50 malam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

K
atanya, kesemua mangsa dibawa dengan menggunakan tiga ambulans ke  Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada kebocoran gas sebelum berlaku percikan api menyebabkan berlakunya letupan dan kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM300,000.

Siasatan juga mendapati keenam-enam warga asing tersebut tinggal dalam stor berkenaan, namun pemilik premis itu gagal dikenal pasti berikutan aktiviti tersebut dijalankan secara tertutup.

Sementara itu, Pengarah HPSF Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kesemua mangsa berada dalam keadaan kritikal kerana lebih 50 peratus tubuh mereka melecur dengan teruk.

"Mereka kini ditempatkan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) HPSF. Kita tidak mempunyai sebarang butiran lanjut mengenai mereka kerana sehingga kini masih tidak menerima sebarang dokumen daripada pihak majikan," katanya kepada pemberita di sini. - Bernama

Exco: Tiada kompromi atlet terlibat khalwat

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana atlet negeri ini yang didapati terlibat dalam kes khalwat tanpa mengira kedudukannya.

Menegaskan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri akan melihat bentuk tindakan yang akan diambil terhadap atlet terbabit.

Rozi diminta mengulas mengenai atlet bola tampar lelaki dan atlet hoki wanita Terengganu ditangkap oleh pasukan pencegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan semasa sambutan Merdeka di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua atlet tersebut bukan atlet dari Sukan Malaysia (Sukma) seperti yang dilaporkan akhbar.

Katanya, atlet bola tampar terbabit merupakan bekas pemain negeri manakala atlet hoki pula hanya terbabit dalam kejohanan peringkat daerah.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyiasat lebih lanjut. - Bernama

13 penumpang cedera nahas di Lebuhraya Karak

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Seramai 13  mangsa cedera dalam nahas membabitkan dua bas, satu treler dan sebuah kereta di KM31.5, Lebuhraya Karak, dekat sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.49 petang dan tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian.

Katanya, kemalangan membabitkan empat kenderaan itu dari arah Karak menuju ke ibu negara dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu sebuah bas pelancong mengawal kenderaannya lalu merempuh sebuah bas ekspres dan kereta Toyota Vios yang kemudiannya melanggar treler di hadapannya.

"Saya percaya kemalangan berpunca disebabkan ada kenderaan yang dibawa laju dan perlahan, namun kami akan menyiasat kemalangan itu bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Azizan berkata, 13 mangsa yang terdiri daripada 11 penumpang bas dan dua daripada kereta Vios itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

"Laporan awal mendapati bas pelancong membawa 13 penumpang (dan seorang pemandu), manakala bas ekspres Temerloh-Kuala Lumpur membawa 25 orang termasuk pemandu.

"Pemandu dua bas berkenaan hanya mengalami luka ringan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Selayang dan Bentong.

Sementara itu, pemandu treler, Aris Embong , 53, berkata, ketika kejadian itu dia memandu perlahan dan berada di hadapan kereta Toyota Vios.

"Sebelum kejadian saya nampak sebuah bas bergerak laju lalu melanggar sebuah bas yang berada di hadapannya...kemudian bas kedua (yang dilangggar) itu melanggar treler yang saya bawa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. - Bernama

12 dicekup asyik berjudi di tokong

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KULAIJAYA - Polis menahan 12 lelaki semasa sedang asyik berjudi dalam serbuan di sebuah tokong, di Taman Manis, dekat Kelapa Sawit, di sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mereka ditahan pada jam 12.50 pagi oleh sepasukan anggota polis yang bertindak atas maklumat berkaitan perjudian berkenaan.

"Polis yang tiba di tempat itu mendapati sekumpulan lelaki berkenaan sedang berdiri mengelilingi meja dengan bermain judi mempertaruhkan wang.

"Mereka kemudian lari bertempiaran apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum akhirnya berjaya ditahan," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata polis turut merampas wang tunai RM17,358 dan 944 Dolar Singapura, dua dadu, beberapa peralatan judi, sebuah meja, lima kerusi dan sehelai kertas mahjong daripada mereka.

Beliau berkata, siasatan mendapati mereka dipercayai berjudi di situ sejak Jumaat lalu dalam perjudian jenis tong kow, chee kee pee, poh poh dan pai kaw.

Katanya, mereka yang berumur 36 hingga 63 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan lain, Zulkefly berkata, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Mereka ialah R.Silver Kumar atau Abas, nombor kad pengenalan 790808-01-6267 dan beralamat di nombor 142, Jalan Bintang 5, Taman Bintang, Senai manakala seorang lagi, K.Thevarajan atau Dewa, dengan nombor kad pengenalan 861220-23-5421 dan beralamat di 12454, Jalan Tekukur 7, Bandar Putra, di sini, katanya. - Bernama

Datuk mengaku salah buat pernyataan palsu

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah syarikat agensi pekerjaan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat satu pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung peletakan jawatan seorang pengarah syarikat, tiga tahun lepas.

Datuk Saad Ani, 60, dari Select Recruitment Sdn Bhd, didakwa membuat pernyataan palsu itu pada 15 April 2010 dengan menyatakan Datuk Zahidi Zainul Abidin, 52, yang juga Anggota Parlimen dan ketua Umno bahagian Padang Besar, Perlis, telah meletak jawatan sebagai pengarah syarikat itu.

Saad didakwa telah memberi kuasa kepada setiausaha syarikat Wan Zakira Wan Salleh untuk membuat pernyataan palsu tersebut dalam Borang 49.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Select Recruitment di Amal Mutiara Management Services, No. 36A, Tingkat 1, Jalan Kemuja, Off Jalan Bangsar di sini, 15 April 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie menetapkan 27 Sept ini untuk hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari SSM Zulkhairi Kamaruzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

 

 

12 penerbangan bawa bakal haji selamat tiba

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

MADINAH - Sebanyak 4,200 bakal jemaah haji Malaysia yang tiba dengan 12 pesawat telah berada di Madinah.

Naib Konsul Malaysia di Jeddah (Hal Ehwal Haji) Mohamad Zawawi Bostam. berkata mereka berada dalam keadaan sihat.

Katanya, sebuah lagi pesawat KT-13 dijadual tiba 4.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) dengan membawa 279 bakal jemaah haji.

"Kesemua mereka yang tiba sejak 7 September lepas didapati sihat dan gembira serta bersiap sedia untuk beribadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tabung Haji (TH) telah membawa bakal jemaah haji yang berada di Madinah mengikuti program ziarah Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah.

Setiap kumpulan berkenaan akan berada di Madinah selama lapan hari sebelum bertolak ke Makkah secara berperingkat mulai 15 Sept ini.

Mereka akan memulakan kerja-kerja ibadat haji mulai hari Wukuf di Arafah yang dijadualkan pada 14 Oktober.

Setakat ini, 362 petugas TH telah berada di Madinah bagi membantu sebarang masalah dan membimbing bakal jemaah haji Malaysia.

Pesawat terakhir ke Madinah iaitu KT 37 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual tiba pada 20 Sept ini seterusnya baki jemaah dari Malaysia akan terus berlepas ke Makkah mulai 22 Sept.

Sebanyak 22,320 bakal jemaah haji menerusi 65 penerbangan dari Malaysia akan menunaikan Rukun Islam kelima di tanah suci Makkah tahun ini dan jumlah itu berkurangan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya. - Bernama

 

Idris Jusoh jangan angkuh, kata Anwar

Oleh: SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Tarikh: September 11, 2013

SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Pendidikan II bahawa kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak menghantar anak mereka meneruskan pelajaran ke luar negara kerana tidak mempercayai sistem pendidikan Malaysia, dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu menerusi laman mikro Twitter miliknya berkata, "jawab dengan hujah bukan angkuh", sebagai membalas kata-kata Datuk Seri Idris Jusoh semalam.

Idris semalam hadir sebagai tetamu dalam program Dialog Bersama Pemimpin, 'Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Satu Perspektif' anjuran Sinar Harian, di sini.

"Kalau ada kata sistem tak baik dan nak hantar anak ke luar negara kita tak halang, tapi kita nak pastikan sistem kita bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berkenaan.

Walaupun menerima bantahan beberapa pihak membabitkan rancangan Putrajaya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), Idris berkata, pihaknya tetap akan meneruskan kerja baik itu.

"Beri ruang kementerian untuk laksana sebaik-baiknya dulu, nak tembak-tembaklah, tapi beri ruang dulu," katanya.

Beberapa dasar yang digariskan dalam PPPM mendapat reaksi negatif, termasuk Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan juga parti politik PR.

Dong Zong mendakwa, usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai usaha menghakis bahasa Cina.

Anwar juga sebelum ini turut mempersoalkan sama ada pelajar Malaysia telah bersedia untuk menerima Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib dalam SPM menjelang 2016 sepertimana yang digariskan dalam PPPM.

Anwar berkata, kerajaan sepatutnya melihat cara-cara untuk meningkatkan kualiti guru-guru Bahasa Inggeris, serta infrastruktur pembelajaran seperti perpustakaan, sebelum melaksanakan langkah sedemikian.

Isu Mesir: Kelantan bentang di sidang Dun khas

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KOTA BHARU - Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini membuat ketetapan mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai orang awam yang berhimpun secara aman di Mesir oleh tentera negara itu.
   
Persidangan khas Dun itu juga mendesak semua pembunuhan dan tindakan kejam ke atas orang awam dihentikan serta merta dan Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi dibebaskan serta dikembalikan kuasanya dengan serta merta.
   
Dun Kelantan turut mendesak semua pihak yang terbabit menerima sistem demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara itu.
   
Ketetapan itu dibuat melalui usul yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada persidangan khas itu yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
   
Selepas usul itu dibahaskan, ia mendapat sokongan dan diluluskan sebulat suara oleh anggota-anggota Dun. - Bernama

Sambung pengajian: Insaniah tawar ruang

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

ALOR SETAR - Mahasiswa yang dibawa pulang dari Mesir akibat pergolakan di negara itu baru-baru ini, berpeluang menyambung pengajian mereka di Kolej Universiti Insaniah (Insaniah).

Pengarah Jabatan Perhubungan Awam Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata kursus-kursus yang ditawarkan ialah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab, Al-Quran dan Perubatan.

"Pihak Insaniah membuka peluang khas kepada pelajar yang pulang dari Mesir yang tidak berhasrat untuk menyambung semula pengajian di sana memandangkan keadaan di negara itu yang masih tidak stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pelajar-pelajar yang sedang menuntut dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar Mesir, mereka boleh menyambung pengajian di Insaniah dalam program Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab dan Al Quran.

Katanya pengajian di Insaniah amat bertepatan serta selari dengan universiti di Mesir kerana kebanyakan pensyarah yang mengajar bidang pengajian Islam adalah tenaga pengajar yang diambil dari Universiti Al-Azhar.

Muhammad Azki Hafizi berkata, selain itu kurikulum yang digunakan Insaniah juga mengikut silibus universiti terkemuka itu dan bahasa pengantar program pengajian Islam di Insaniah turut menggunakan Bahasa Arab.

Menurutnya pengambilan terdekat Insaniah adalah pada Disember ini, namun syarat kemasukan tertakluk kepada syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sementara itu, katanya, bagi pelajar-pelajar bidang perubatan dari mana-mana Universiti di Mesir pula, mereka boleh menyambung pengajian di Insaniah dalam bidang Ijazah Perubatan dan Pembedahan.

"Bidang perubatan di Insaniah juga mempunyai kesinambungan dengan pelajar dari Mesir kerana pengajian di sini pelajar diwajibkan menghafaz surah-surah tertentu di samping tambahan kurikulum pengajian Islam yang lain.

"Kemasukan ke bidang ini akan dibuat pada 29 September 2013 dan kemasukan bagi bidang ini seperti bidang lain tertakluk dengan syarat KPM, MQA dan Lembaga Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelajar yang berminat boleh menemui wakil Insaniah di Kementerian Pendidikan di Putrajaya esok untuk mendapatkan maklumat serta membuat permohonan menyambung pengajian di kolej universiti itu.

"Bagi pelajar yang tidak berkesempatan hadir, mereka juga boleh menghubungi terus Jabatan Hal Ehwal Akademik Insaniah di talian 04-7320163," katanya. – Bernama

'Tikus sekarang lebih bijak!'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

HAMPIR 70 peratus penduduk di Taman Prima Selayang menyediakan perangkap dan racun tikus dalam rumah masing-masing.

Seorang penduduk, M Mahaletchumi, 26, berkata, tiga tahun lalu, operasi besar-besaran menghapuskan tikus telah dilakukan di kawasan perumahan itu namun tidak berterusan akibat kesan sampingan yang dialami kebanyakan penduduk.

Menurutnya, meskipun langkah penghapusan tikus itu dibuat namun haiwan itu masih ada.

"Kami mengalami demam dan sakit kepala disebabkan terhidu bangkai tikus.

"Sebab masalah itu, penghapusan tikus terpaksa dihentikan dan penduduk digalakkan untuk menjaga kebersihan selain menyediakan perangkap tikus sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun gam dan perangkap tikus diletakkan di dalam rumah, namun tetap tidak dapat menyelesaikan masalah apabila haiwan itu dikatakan semakin bijak melakukan aktiviti.

"Tikus nampaknya lebih bijak. Jika kita letak roti dia makan tetapi tidak di bahagian yang diletakkan gam.

"Makanan kami banyak dirosakkan oleh tikus-tikus itu tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana haiwan itu susah untuk dihapuskan," katanya.

Seorang lagi penduduk, K Velu, 54, berkata, hampir empat bulan dia menderita penyakit kulit akibat digigit tikus.

Katanya, tidak tahan dengan implikasi yang dihadapinya, dia mendapatkan rawatan seminggu selepas digigit tikus.

"Saya menghadapi demam dan gatal-gatal pada seluruh badan dan perlu bergantung kepada macam-macam ubat untuk pulih sepenuhnya.

"Kaki saya digigit tikus sewaktu sedang tidur dan darah saya dihisap haiwan tersebut," katanya.

Katanya, lambakan tikus juga disebabkan aktiviti seorang penduduk yang menjadikan satu bilik di rumahnya sebagai stor penyimpanan barangan terpakai.

"Tikus yang datang dari sampah memanjat ke rumah kami di tingkat satu membawa kepada wabak penyakit kepada kami sekeluarga.

"Kami dan penduduk lain tiada pilihan terpaksa meminta penduduk tersebut mengosongkan rumah selepas nasihat kami memintanya menghentikan aktiviti penyimpanan barangan terpakai tidak diendahkan," katanya.

Tinjauan SInar Harian ke kawasan pangsapuri kos rendah itu mendapati faktor kebanyakan penghuninya yang gemar mengumpul barang terpakai antara punca pembiakan tikus di kawasan tersebut.

Pembiakan tikus juga disebabkan aktiviti penjaja yang kurang mementingkan aspek kebersihan dengan membuang sisa terus ke longkang.

Rasuah: Lucut hak meningkat RM43j

Oleh: SAPINAH AB GHANI

Tarikh: September 11, 2013

KOTA BHARU - Jumlah lucut hak harta milik pesalah rasuah meningkat kepada RM43 juta pada tahun lalu berbanding sebanyak RM2 juta pada 2009, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan & Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar berkata, peningkatan tersebut disebabkan terdapatnya akta baharu iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memberi beberapa kuasa baru termasuk dalam melucut hak.

"Jika sebelum ini, ketika masih dikenali BPR, Akta Pencegahan Rasuah 1997 diguna pakai. Bagaimanapun selepas penubuhan SPRM, akta baru diperkenalkan iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memberi beberapa kuasa baru diwujudkan.

"Dulu orang buat (lakukan) rasuah ditangkap, didakwa, dan jika didapati bersalah, dihukum serta dimasukkan ke penjara tetapi harta yang dibuat (diperolehi) daripada kegiatan rasuah ada banyak lagi, jadi dengan akta ini, harta itu (boleh) dilucut hak," katanya ketika Majlis Serah Tugas Pengarah SPRM Kelantan di Dewan Serbaguna Kompleks SPRM Negeri Kelantan, di sini, semalam.

Majlis tersebut menyaksikan upacara serah tugas melibatkan Pengarah SPRM Kelantan yang baru, Mohamad Soib Abdullah menggantikan Nor Rasmi Shari yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Mohamad Soib sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah SPRM bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme di SPRM Putrajaya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, terdapat akta baru yang beri kuasa bahawa apa sahaja harta yang didapati daripada hasil perbuatan rasuah akan dilucutkan hak mereka, dan faktor tersebut menyebabkan jumlah hak dan harta yang dilucutkan begitu ketara.

Dalam pada itu, mengulas kewujudan Unit Integriti yang memerlukan pegawai SPRM berkhidmat di agensi kerajaan, Zakaria berkata, setakat ini seramai enam pegawainya ditempatkan di unit itu.

"Setakat ini ia melibatkan enam agensi kerajaan iaitu, Jabatan Kastam, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pelajaran, Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS)," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun ia bergantung kepada kelulusan waran perjawatan di agensi kerajaan, di mana agensi terlibat perlu membuat permohonan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dulu, sebelum memohon dengan SPRM, yang seterusnya akan mencadangkan calon sesuai untuk ditempatkan di situ.

Sementara itu, Mohamad Soib berkata, SPRM Kelantan menerima 186 maklumat mengenai rasuah sepanjang tahun ini sehingga Ogos lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai tiga individu dituduh di mahkamah dengan dua daripadanya mengaku salah, manakala seorang lagi masih dalam perbicaraan.

"Sebanyak lima tangkapan dibuat, termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba memberi sogokan kepada pegawai ketika menjalankan operasi," katanya.

Jawab UPSR guna pen marker

Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tarikh: September 11, 2013

SUNGAI PETANI - Berhadapan masalah penglihatan tidak menghalang seorang calon untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menggunakan bantuan khas yang dibenarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

K Rigneshak Kumar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Petani dikategorikan berhadapan masalah Accomadative Spasm, terpaksa menggunakan kertas bersaiz besar bagi membolehkannya menulis jawapan sambil dibantu pengawas peperiksaan yang akan membacakan soalan.

Bapanya, K Kaneshan, 51, seorang guru Bahasa Inggeris di SKSP berkata, masalah penglihatan anak kedua dari tiga beradik itu mula dikesan sejak berumur lapan tahun tetapi tidaklah begitu serius.

"Saya mula menyedari penglihatannya terganggu sejak Mei lalu apabila tidak boleh membaca tulisan bersaiz normal dan hanya boleh melihat jelas apabila saiz tulisan lebih besar," katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama meninjau perjalanan UPSR di sekolah berkenaan ialah Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat dan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Muda, Abd Razak Mat.

Kaneshan berkata, walaupun berhadapan masalah tetapi semangat Rigneshak masih tinggi untuk meneruskan pelajaran dan banyak menggunakan deria pendengaran selain bantuan program pendidikan di televisyen.

Sebagai ibu bapa, beliau tetap memberi sokongan dengan mengajar di rumah menggunakan tulisan lebih besar sambil dibantu isteri, juga guru di sebuah sekolah di sini.

Sementara itu, Mansor berkata, penggunaan kertas bersaiz besar adalah kali pertama dilakukan di Malaysia kepada calon berkeperluan khas (CBK).

Beliau berkata, Rigneshak akan menulis menggunakan marker pen di atas kertas putih besar yang disediakan dengan dibantu pengawas peperiksaan yang akan membacakan soalan kepadanya.

"Kertas yang digunakan bersaiz 109 x 79 sentimeter untuk kertas subjektif manakala 55 x 75 sentimeter bagi kertas objektif," katanya kepada media.

Menurutnya, seramai 109 daripada 36, 689 calon dari negeri ini adalah CBK termasuk kategori pekak bisu, menggunakan braile, diberi pengecualian Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan calon diberi tambahan masa.

Selain itu, 14 calon mengambil UPSR yang bermula 10 hingga 12 September ini di beberapa hospital termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

 

Fauzi: Kongsi gelap dulu tak babit orang politik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SHAH ALAM - Ketika isu kongsi gelap mahupun jenayah berat menjadi perhatian kebelakangan ini, pelbagai dakwaan muncul sehingga ada yang mengatakan penjenayah ini dilindungi oleh orang penting negara.

Bagaimanapun, dakwaan itu disanggah oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari yang menegaskan, ahli politik mahupun polis sendiri tidak pernah terbabit dalam perkara itu, apatah lagi ketika beliau mengetuai jabatan itu.

"Jika dahulu, kegiatan kongsi gelap ini tidak pula dikaitkan dengan mana-mana orang politik. Tidak macam sekarang.

"Namun, kongsi gelap ini bukan ancaman baru kepada negara," katanya kepada sebuah portal.

Fauzi turut menyokong langkah kerajaan untuk membanteras kegiatan jenayah itu yang menimbulkan kebimbangan awam, walaupun ia bukan perkara yang baru.

Berkongsi pengalamannya sebelum ini, Fauzi berkata, kumpulan kongsi gelap sebelum ini menjalankan kegiatan mereka secara bersembunyi, dan tidak secara terang-terangan seperti hari ini.

Kebiasaannya, mana-mana jenayah membabitkan kongsi gelap ini akan dibina kes untuk didakwa, yang biasanya dikaitkan dengan Kanun Keseksaan, selain dikenakan di bawah undang-undang pencegahan.

"Ketika ini, biarpun undang-undang seperti ISA, Akta Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dimansuhkan, operasi membanteras kegiatan kongsi gelap ini masih boleh dilakukan dengan undang-undang yang ada," tegas beliau.

Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak mendakwa pemansuhan akta-akta pencegahan seperti ISA, EO dan Akta Kediaman Terhad menyebabkan kegiatan kongsi gelap semakin berleluasa kebelakangan ini.

Polis kini sedang giat menjalankan Ops Cantas di seluruh negara bagi menangkap mereka yang terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

Semalam, pihak berkuasa itu berjaya mengesan kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis menyedari trend ini dan kongsi gelap menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.

"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat.

"Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan.

"Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya.

 

 

Anggota polis ditikam suspek kes pecah rumah

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

TAWAU - Seorang Sarjan polis cedera selepas ditikam dengan keris oleh seorang suspek kes pecah rumah di Felda Umas 4 di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari ini ketika anggota berkenaan bersama tiga rakan yang lain cuba menangkap suspek di hadapan sebuah kedai koperasi.

"Semasa pergelutan itu, suspek menikam mangsa beberapa kali sehingga dia mengalami kecederaan di siku, lutut, jari dan perut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun polis berjaya memberkas suspek dan merampas sebuah komputer riba serta motosikal daripadanya yang disyaki dicuri.

Dalam perkembangan lain, Awang Besar berkata polis memberkas sembilan orang pendatang tanpa izin di tiga lokasi semalam.

Mereka ditahan dalan sekatan jalan raya di Jambatan Putih, Jalan Kuhara dan Jalan Apas.

Seramai 12 individu termasuk seorang penjawat awam yang positif dadah turut ditahan dalam operasi itu, katanya. - Bernama

Suspek kes bunuh TKP Kastam dikenal pasti

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata pengecaman suspek berumur 22 hingga 30 tahun itu dibuat melalui foto dan tindakan memberkas suspek akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan menyiarkan gambar suspek kerana kes itu masih dalam siasatan.

Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, April lalu.

Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.

Dalam perkembangan lain, polis  menahan pasangan suami isteri berumur 51 dan 55 tahun pada 28 Ogos lepas kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Jalan Pahang, Setapak, di sini. 

Khairi berkata kedua-dua suspek yang merupakan peniaga itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang guru sebuah sekolah di Setapak, sehari sebelum kejadian.

"Guru tersebut mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah di bahagian badan, kaki, mulut dan kepala. Kanak-kanak itu hadir ke sekolah dengan keadaan luka yang kronik dan ibu bapanya dipanggil untuk diambil keterangan. 

"Pihak sekolah telah membuat inkuiri terhadap kanak-kanak berkenaan dan mendapati dia dipukul oleh kedua ibu bapanya," katanya sambil menambah pihak sekolah yang berasa curiga dengan kecederaan kanak-kanak itu telah membuat laporan polis.

Khairi berkata akibat trauma, kanak-kanak malang itu enggan hadir ke sekolah. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, polis menangkap dua suspek yang dipercayai anggota kongsi gelap setelah mendapati suspek mempamerkan tatu yang mempunyai elemen kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas dua hari lepas. 

"Tangkapan kedua-dua suspek di Brickfields dan Cheras ini menjadikan jumlah kes di bawah akta ini adalah sebanyak 36. Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355)," katanya. - Bernama

Sembilan pati ditahan di Tok Bali

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KOTA BHARU - Polis menahan sembilan pendatang tanpa izin (Pati) dari Kemboja yang dipercayai baru sahaja diseludup masuk melalui jalan laut di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kesemua mereka ditahan di sebuah pasar pada 11.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh.

"Kesemua lelaki itu berusia antara 20 dan 32 tahun dan ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Mereka sedang menunggu seseorang yang dipercayai ejen sindiket untuk membawa mereka ke destinasi lain.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini. Kesemua Pati itu ditahan hasil risikan Unit Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. - Bernama

Dadah: Dua wanita antara 65 penagih ditahan

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

MARAN - Polis menahan 65 penagih dadah termasuk dua wanita berusia lingkungan 20-an dalam Operasi Tapis Bersepadu (OTB) di kawasan ladang Jengka 9 dan Jengka 13 dekat sini, semalam.

Operasi yang bermula 4 pagi dan berakhir 6 petang itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan dengan bantuan lima pegawai dan 58 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Temerloh, Jerantut, Lipis, Kuantan, Unit Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang.

Menurut Yap, seorang daripada wanita terbabit dipercayai pengedar dadah yang disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 23 gram.

Katanya selain menahan kesemua mereka yang berusia di antara 21 hingga 51 tahun itu, polis turut merampas beberapa paket dibaluti plastik dipercayai jenis dadah dan picagari dipercayai digunakan dalam aktiviti penagihan dadah.

"Dua lokasi ladang sawit itu dipilih penagih yang kesemuanya penduduk tempatan untuk melepaskan gian kerana jaraknya yang agak jauh daripada pandangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata selain terbabit dengan penyalahgunaan dadah, polis percaya ada di antara suspek yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan berdekatan.

Ini ekoran penemuan enam bilah parang, pemutar skru dan beberapa alat lain yang digunakan untuk kegiatan itu bersama suspek yang ditahan.

"Kita juga merampas 50 buah motosikal yang dinaiki suspek dan dibawa ke balai untuk dilakukan pemeriksaan bagi memastikan sama ada ia adalah hak persendirian atau dicuri," katanya. - Bernama

Geng Kumpulan 04 termasuk seorang wanita ditahan

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

BUKIT MERTAJAM - Tiga geng Kumpulan 04 antara enam orang yang ditahan di sebuah rumah di Machang Bubuk di sini, awal pagi semalam.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri SAC Mazlan Kesah berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 29 tahun termasuk seorang wanita ditahan kira-kira 5.40 pagi.
   
"Bertindak hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota JSJ Kontijen Pulau Pinang dan Daerah Seberang Perai Tengah menyerbu rumah berkenaan dan menahan enam orang itu.
   
"Hasil siasatan mendapati tiga daripada mereka merupakan geng kongsi gelap Kumpulan 04," katanya kepada Bernama.
   
Beliau berkata polis turut menemui selaras senapang palsu.

Mazlan berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kesemua mereka terbabit dengan aktiviti jenayah.
   
Beberapa lagi anggota kumpulan berkenaan sedang dikesan, katanya.  - Bernama

Maut motosikal kuasa tinggi terbabas di LPT

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUANTAN - Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabas di Kilometer 39.5, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Bentong semalam.
   
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 5.45 petang itu, Muhamad Hakimy Zamri, 26, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bentong.
   
Katanya dia dipercayai gagal mengawal motosikal Kawasaki Ninja 1000cc yang dinaikinya itu lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkannya terjatuh di kaki lima jalan dan mengalami cedera parah.
   
Ketika kejadian, Muhamad Hakimy yang berasal dari Kampung Karak Setia dalam perjalanan dari Karak menuju Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
- Bernama

Curi motosikal jenayah tertinggi di Marang

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

MARANG - Kes curi motosikal merupakan penyumbang utama peningkatan indeks jenayah di daerah ini dengan hampir setiap minggu polis menerima laporan kes kecurian kenderaan itu.
   
Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata bagi mengekang jenayah itu, polis melancarkan operasi khas dari 19 Ogos hingga 5 Sept dan berjaya menumpaskan dua kumpulan yang aktif melakukan kegiatan itu.
   
Katanya lapan anggota dua kumpulan itu yang berumur 17 hingga 25 tahun diberkas dan polis berjaya menemui sembilan buah motosikal yang belum dileraikan serta komponen motosikal yang telah dileraikan.
   
Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 15 kes curi motosikal di daerah ini, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Mazlan berkata kecuaian pemilik motosikal tidak menggunakan kunci pendua atau kunci tambahan dikenal pasti antara punca memudahkan kenderaan itu dicuri
   
"Kebiasaannya kecurian motosikal ini berlaku di kawasan berhampiran rumah, kawasan masjid dan kedai," katanya dan meminta orang ramai melaporkan kepada polis jika ditawarkan peralatan motosikal dengan harga murah.  - Bernama

Ditipu 'penguasa DBKL', peniaga rugi RM20,000

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha kedai cermin di Salak Selatan Baru di sini kerugian RM20,000 selepas ditipu beberapa individu yang menyamar sebagai anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
    
Low Bee Chow, 40, membayar amaun berkenaan pada Mei tahun lepas selepas didatangi enam lelaki yang mendakwa beliau mengusahakan perniagaan di atas tapak DBKL seluas kira-kira 5,000 kaki persegi itu.
    
"Mereka kata kalau saya masih mahu menggunakan tanah itu untuk perniagaan saya, saya harus membayar RM20,000. Wang itu juga didakwa sebagai permohonan kepada DBKL untuk saya kekal menjalankan perniagaan di tapak itu," katanya yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak tahun lepas.
    
Low yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya berkata selepas membuat pembayaran itu, 'penguatkuasa' DBKL berkenaan mengeluarkan surat kebenaran dan permit menggunakan tanah yang menyerupai 'letter head' sebenar DBKL beserta nama dan tandatangan individu bernama Sharom Ujang yang berkhidmat di bahagian Jabatan Perancang & Kawalan Bangunan DBKL.
    
"Saya ingatkan masalah itu sudah selesai, tapi kehadiran satu notis pemberitahuan daripada Pejabat Tanah dan Galian ( PTG) untuk mengosongkan tapak ini pada 23 April lepas, mengejutkan saya. Saya hanya menyedari ditipu selepas pihak DBKL memaklumkan individu yang menyamar tersebut adalah bekas penguatkuasa DBKL yang telah dibuang kerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata penama Sharom Ujang juga wujud dalam organisasi DBKL, tetapi tandatangannya telah dipalsukan.
    
Sementara itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan Datuk A.Chandrakumanan yang meninjau lokasi tapak perniagaan berkenaan berkata, hasil perbincangan dan rayuan dengan pihak DBKL, mangsa diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan masalah itu.
    
Beliau berkata tempoh dua minggu itu diberikan setelah arahan pengosongan tapak tersebut berakhir hari ini.
    
"Pertama sekali saya nasihatkan Puan Low buat laporan polis dahulu dan kita akan bangkitkan isu ini kepada DBKL untuk mengambil tindakan kepada sesiapa yang menyamar sebagai anggota DBKL.
    
"Lepas itu, saya minta dia (Low) buat satu permohonan  untuk menduduki sementara (TOL) di tanah ini supaya dia dapat kelulusan untuk terus duduk di sini atau tempat ini akan dirobohkan kerana ini adalah tanah PTG," katanya.
    
Beliau berkata sekiranya pihak DBKL mendapati tanah tersebut tidak digunakan bagi sebarang pembangunan untuk sementara waktu ini, mereka mungkin boleh mempertimbangkan permohonan Low untuk terus mengusahakan perniagaannya di tapak itu. - Bernama

Dadah: Benjy, empat rakan mengaku tak salah

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang terhadap pertuduhan pindaan memiliki dadah, Jun lepas.
    
Turut mengaku tidak bersalah ialah empat rakannya iaitu Imran Radzi, 32, pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, serta Afifi Hamidi, 27.
    
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman mengekalkan jaminan RM3,800 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima tertuduh dan menetapkan 11 Okt depan untuk sebutan kes.
    
Seorang lagi rakan mereka Zain Amir Zainal Khairi, 37, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan itu, didenda RM4,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
    
Zain Amir membayar denda berkenaan.
   
Mengikut pertuduhan pindaan itu, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki beg mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.99 gram di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.
    
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952= yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.
    
Sebelum ini, kesemua mereka didakwa atas pertuduhan sama tetapi berat dadah berbeza iaitu 4.7 gram dan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene hari ini meminda pertuduhan.
    
Terdahulu, peguam P.G Cyril yang mewakili Zain Amir memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga, tidak mempunyai rekod lampau dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis
sepanjang siasatan selain pengakuan bersalahnya itu menjimatkan masa mahkamah.
    
Goh pula memohon hukuman setimpal kerana masalah dadah semakin berleluasa dan hukuman yang diberikan boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. - Bernama

Khalwat: Dua pemain bola Pahang ditahan

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUANTAN - Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan dua pemain bola sepak Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, semalam.
   
Menurut sumber, dua pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi.
   
Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.
   
Hasil pemeriksaan di bilik pertama mendapati seorang pemain Pahang yang dipercayai bermain di posisi tengah pasukan bersama seorang wanita bukan muhrim berada dalam bilik berkenaan, kata sumber itu.
   
Menurutnya pemeriksaan di sebuah bilik berdekatan pula mendapati rakannya yang dipercayai pemain pertahanan Pahang berada bersama seorang wanita sebelum mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Sumber itu berkata sebelum pintu kedua-dua bilik hotel itu dibuka, pegawai penguatkuasa Jaip mengetuk pintu bilik beberapa kali selain memperkenalkan diri sebagai pegawai penguatkuasa.
   
Menurutnya siasatan awal mendapati kedua-dua pemain yang belum berkahwin itu mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing yang berusia 20-an.
   
Kesemua mereka katanya dibawa ke Pejabat Jaip untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
- Bernama

Banjir: 25 keluarga di Gurun dipindahkan

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

GURUN - Sebanyak 111 orang daripada 25 keluarga di kampung Sungai Bongkok di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ekoran banjir yang melanda kawasan itu malam tadi.
    
Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, Staf Muda Pertahanan Awam, Muhammad Hilmi Yaakob berkata pihaknya menerima panggilan pukul 10.30 malam tadi apabila air mula naik di kampung itu berikutan hujan lebat yang berterusan sejak pukul 3 petang semalam.
    
"Sebaik menerima panggilan, anggota peninjau dihantar ke kampung itu dan operasi memindah penduduk dimulakan pukul 11 malam.
Air sedalam 0.3 meter, namun ada juga kawasan hingga paras pinggang.
    
"Selepas perbincangan dengan JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung), 25 keluarga melibatkan 111 isi rumah, termasuk seorang OKU (Orang Kelainan Upaya) berusia 50-an dipindahkan ke pusat pemindahan sementara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
    
Katanya operasi menyelamat berakhir kira-kira pukul 5 pagi, melibatkan 25 anggota serta dua pegawai JPAM Kuala Muda dan Yan, dengan kekuatan tiga logistik.
    
"Kami berharap penduduk setempat dan penduduk di kawasan lain yang berada di kawasan berisiko banjir berwaspada dengan sistem amaran tahap paras air di kawasan masing-masing.
    
"Pastikan dokumen penting disimpan di tempat selamat dan buat panggilan kepada JPAM atau pasukan keselamatan lain yang berhampiran, untuk bantuan sekiranya banjir," katanya. - BERNAMA

Nelayan maut, motosikal ditunggangi terbabas

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

BESUT - Seorang nelayan dari Setiu maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di satu selekoh di Kampung Raja di sini semalam.
    
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa dikenali sebagai Azmi Rani, 54 dari Kampung Saujana, Setiu meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 2 petang akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.
    
Kejadian itu berlaku semasa Azmi dalam perjalanan untuk membeli peralatan bot nelayannya.
   
Mayat mangsa ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat. - Bernama

Maut dibelasah hanya kerana menjeling

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki 20an maut akibat dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran sebuah gerai di kawasan Medan Selera Flat Sri Stulang, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian  kira-kira pukul 4.10 pagi itu, mangsa, Mohammad Hafiz Nizamuddin bersama tiga rakannya berusia antara 22 hingga 24 tahun dikatakan baru pulang dari tempat kerja di kawasan berhampiran dan singgah di medan selera itu untuk minum.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Asisten Komisioner Azizan Anan, berkata mangsa diserang selang beberapa minit berada di medan selera itu.

Polis difahamkan kejadian bermula apabila mangsa didakwa menjeling kumpulan terbabit sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kesemua suspek.

"Dalam pertengkaran itu, keadaan menjadi tegang apabila kumpulan terbabit menggunakan kerusi dan meja untuk menyerang mangsa dan rakannya.

"Selepas penyerang terbabit beredar, rakan-rakan mangsa mendapati keadaan mangsa agak teruk sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Azizan, ketika dirawat di HSA, di sini, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Susulan daripada maklumat yang diterima berkaitan kejadian terbabit, Azizan berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai salah seorang penyerang terbabit di sekitar bandar raya ini.

"Identiti tiga lagi penyerang juga telah dikenalpasti dan kita percaya mereka akan dapat ditahan dalam masa terdekat.

"Namun, kami tetap memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit agar tampil membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Masih teringat ciuman ibu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

PEDU - Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Jami'ul Khair, Pedu, setibanya jenazah ustazah bersama tiga anaknya yang maut dalam kemalangan di kilometer 7 Jalan Kajang-Banting, Selangor, petang kelmarin.

Dalam kemalangan itu, Rohaya Md Rabi, 35, bersama anaknya, Nur Nabila Al Huda Mohd Taufid, 9; Nur Nabila Al Hanan, 7, dan Mohd Nabil Lutfi Al Hadif, 1, maut di tempat kejadian selepas kenderaan mereka melanggar sebuah lori.

Suasana di masjid itu agak sesak dengan kedatangan saudara mara dan sahabat handai yang mahu melihat jenazah sebelum dikebumikan.

Jenazah tiba di kampungnya jam 4.30 pagi, di Kampung Tanjung Luar, dekat sini, dan dikebumikan pada jam 10.30 pagi dalam satu liang lahad.

Bapa Rohaya, Md Rabi Ariffin, 60, berkata, dia mendapat panggilan pada jam 1 petang dari menantunya, Mohd Tauffid Kassim memaklumkan bahawa anak serta tiga cucunya sudah meninggal dunia akibat kemalangan.

"Pakcik reda dengan pemergian mereka kerana ia sudah ditakdirkan ALLAH. Wajah mereka masih dalam ingatan apatah lagi baru berjumpa ketika Aidilfitri lalu

"Aidilfitri lalu mereka sekeluarga balik seminggu dan Rohaya turut menghadiahkan sebuah mesin penapis air. Dia menasihatkan pakcik supaya minum air dari mesin penapis supaya sakit lutut dapat sembuh. Pakcik tidak sangka ia merupakan hadiah terakhir dari arwah," katanya.

Sementara itu, anak sulung arwah, Nur Nabila Al Husna, 10, tidak menyangka lambaian ibunya pada pagi Selasa lalu merupakan kali terakhir kepada bapa dan adiknya yang hendak ke sekolah pada waktu pagi.

Menurutnya, pagi itu dia berasa hairan melihat ibunya melakukan kerja dapur secara tergesa-gesa dan gelisah bagi menyiapkan sarapan pagi untuk keluarga.

"Sebelum ini ibu lebih suka melakukan kerja di dapur dengan tenang dan tidak seperti pagi kelmarin. Saya masih teringat ketika mencium ibu sebelum ke sekolah dan. Saya masih terbayang wajah ibu dan tidak menyangka dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

Sorok syabu RM1.48j dalam sampan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

GEORGETOWN - Tindakan licik menyorok dadah jenis syabu bernilai RM1.48 juta dalam sampan berjaya dikesan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam serbuan di kawasan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, ahli sindiket penyeludupan dadah bertindak memecut sampan hingga ke pesisiran pantai sebelum melarikan diri  dalam kawasan hutan sebaik menyedari kehadiran anggota Unit Marin Kastam.

Hasil pemeriksaan mendapati enjin dan sampan itu diubahsuai menjadi enjin laju bagi melarikan diri jika dikejar pihak berkuasa.

Pengarah KDRM Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, serbuan dibuat berdasarkan maklumat awam dan risikan anggotanya mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pemantauan lebih tujuh jam berjaya menemui bungkusan hitam yang mengandungi tujuh ketulan bungkusan kecil syabu seberat 7.4 kilogram di dalam sampan berkenaan.

"Sebuah sampan berenjin dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota kastam mengarahkan pengemudinya berhenti.

"Bagaimanapun, amaran itu tidak diendahkan malah pengemudi sampan itu bertindak melarikan diri lebih kurang 200 meter menghala ke pesisiran pantai," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, tiga anggota Kastam cedera ringan ketika mengejar tiga lelaki di kawasan pesisiran pantai yang berbatu sebelum menghilangkan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan boleh menghubungi kastam di talian bebas tol 1-800-88-8855 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan selain mendapat ganjaran wang tunai.

Wanita Iran dihukum mati

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SHAH ALAM - Seorang suri rumah Warga Iran dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar seberat 755.8 gram syabu yang ditemui dalam korset dipakainya, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu terhadap Maryam Shabani Ali Heidar, 46, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata, berdasarkan keterangan saksi iaitu anggota polis Maryam mengelak dan merayu supaya badannya tidak diperiksa.

"Mahkamah mempercayai tertuduh sedar dia membawa dadah ke negara ini," katanya.

Maryam didakwa melakukan kesalah itu di mesin pengimbas Kastam di Balai Ketibaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada jam  11.30 pagi, 7 April 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dadah RM50 juta dirampas

Oleh: AHMAD ISMADI ISMAIL

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Taktik lima pengedar dadah warga tempatan menjadikan dua buah rumah di Cheras dan Kajang sebagai lokasi transaksi dadah berjaya dibongkar polis dalam serbuan kelmarin.

Dalam serbuan berasingan pada jam 8.30 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai RM50 Juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sepasukan anggota polis Bukit Aman menyerbu dua rumah teres di Jalan Gemilang, Cheras dan di Bandar Sungai Long, Kajang serta memberkas lima suspek termasuk seorang wanita berusia antara 26 hingga 57 tahun.

"Kami berjaya merampas dadah syabu seberat 90.12 kilogram (kg) dan menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam serbuan pertama di Cheras," katanya.

Noor Rashid berkata, pihaknya juga menahan dua lelaki dan merampas syabu seberat 119.8  kg, heroin (40.47 kg) dan pil ekstasi (26.85 kg) dalam serbuan di Kajang.

"Kami menjumpai dadah jenis syabu yang disorokkan dalam paket bungkusan teh, kami percaya kesemua dadah yang diperoleh sindiket itu diseludup dari Myanmar," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sembilan buah kereta yang digunakan ahli sindiket, dua komputer riba, barang kemas dan wang tunai sebanyak RM51,229, USD 300 dan Bath 450.

"Kami turut menemui bahagian di dalam sebuah kereta mewah yang dirampas itu yang diubah suai dengan ruang penyimpanan dadah, sebelum ia diseludup ke negara jiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, kejayaan pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah itu adalah hasil kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat.

"Kami telah menjalankan risikan sejak awal tahun ini, kami percaya sindiket berkenaan telah lama beroperasi dalam pengedaran dadah dalam dan luar negara," katanya.

Isu kalimah ALLAH: Mahkamah tangguh keputusan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

PUTRAJAYA - Isu sama ada penggunaan kalimah  ALLAH dibenarkan dalam majalah mingguan katolik The Herald masih belum diketahui apabila Mahkamah Rayuan di sini,  menangguhkan keputusannya sehingga Oktober depan.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan berhujah, komuniti Muslim di negara ini  sensitif dalam isu berkaitan agama, terutama dalam penggunaan kalimah ALLAH.

Beliau berhujah, kalimah ALLAH sangat suci bagi umat Islam dan kedudukannya sangat tinggi dan perlu dilindungi.

"Kalimah ALLAH merujuk kepada satu-satunya Tuhan yang agung dan tidak boleh disama ertikan dengan konsep tiga tuhan," katanya.

Beliau menambah kalimah ALLAH bukan satu perkataan, yang diterjemah daripada perkataan tuhan yang digambarkan dalam The Herald, sebaliknya merupakan nama yang istimewa sebagai Tuhan umat Islam.

Penggunaan kalimah ALLAH dalam majalah itu akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan Kristian kerana ia membawa makna yang berbeza bagi kedua-dua kumpulan agama itu.

"Masyarakat Kristian percaya kepada Holy Trinity manakala bagi penganut Islam, hanya ALLAH Tuhan mereka," katanya.

Beliau berkata, keputusan jemaah menteri yang melaksanakan larangan bersandarkan keselamatan awam dan ketenteraman awam adalah berasas.

"Dalam melaksanakan syarat itu, menteri telah bertindak sewajarnya dan mengambil tindakan untuk kepentingan awam dan sah mengikut undang-undang bersesuaian dengan Akta Penerbitan dan Percetakan 1984", katanya.

Dalam pada itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Majlis Agama Islam  Selangor (Mais), selaku pencelah dalam kes itu menegaskan, agama Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam adalah satu kesalahan.

Sementara itu, Peguam Porres Royan yang mewakili Gereja Roman Katolik mempertikaikan, mengapa isu itu hanya timbul selepas 14 tahun penerbitan majalah berkenaan.

Beliau juga berhujah, tiada perkataan lain yang sesuai dalam bahasa Melayu bagi merujuk penggunaan kalimah ALLAH.

Sesi pendengaran hujahan oleh peguam perayu dan defendan mengambil masa hampir lapan jam  di hadapan panel tiga hakim diketuai  Datuk Seri Mohd Apandi Ali.
Korum lain Datuk Abd Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi membatalkan rayuan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam majalah mingguan itu.

Isu air Selangor selesai sebelum akhir tahun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SHAH ALAM - Penyusunan industri air di negeri ini yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun akan diselesaikan sebelum 31 Disember ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perkara itu kata Khalid telah diputuskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu surat bertarikh 9 September lalu.

Menerusi surat itu, menterinya, Maximus Ongkili berkata, kementerian sudah mempertimbangkan semua hujah dan fakta yang dikemukakan kerajaan negeri dan yakin ia mampu diselesaikan.

"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada menteri terlibat yang secara peribadi memberi komitmen bagi memastikan pengurusan air diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.

"Kita mengulangi kesediaan untuk mengambil alih operasi air secepat mungkin memandangkan penyelesaian isu ini semakin hampir dicapai," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Menurut Khalid, surat itu juga menyatakan pihak kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama pemilik saham syarikat konsesi selewat-lewatnya minggu depan untuk berbincang mengenai proses dan tatacara penyusunan semula air yang akan dilaksanakan.

"Kita mempunyai sasaran sama untuk menyelesaikan perkara ini demi penyusunan semula industri air di negeri Selangor," katanya lagi.

Walaupun penyusunan industri ini berjaya dicapai, Khalid bagaimanapun menegaskan pemberian air percuma di negeri ini akan tetap diteruskan seperti yang terkandung dalam manifesto PR.

21 restoran tomyam di Pulau Pinang diarah tutup

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan 21 premis menjual tomyam dan makanan laut di negeri ini ditutup setelah gagal mematuhi peraturan kebersihan.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata 'Ops Tomyam' selama tujuh jam berakhir 1 pagi itu turut mendapati 70 peratus daripada pekerja premis berkenaan tidak memiliki sijil pengendali makanan.

"Setakat Ogos hanya 8,163 pengusaha makanan yang berdaftar dengan jabatan kita untuk mendapatkan sijil, sedangkan bilangan pekerja premis makanan di negeri ini melebihi jumlah itu.

"Antara kes lain yang dikesan adalah kehadiran tikus serta lipas dalam premis, bahan makanan diletakkan atas lantai serta penggunaan alatan memasak yang kotor," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 37 premis makanan diperiksa iaitu tujuh di Seberang Perai Selatan, Timur Laut (11), Seberang Perai Utara (empat), Barat Daya (11) dan empat di Seberang Perai Tengah.

Ku Nafishah berkata premis terbabit diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan mereka harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi dan dibenarkan berniaga semula.

Dalam operasi itu pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 81 kompaun berjumlah RM9,240 kepada peniaga berkenaan, katanya.

Orang ramai boleh menghubungi jabatan itu di talian 04-2017277 jika mempunyai sebarang aduan melibatkan premis makanan kotor di negeri ini. - Bernama

Ambil UPSR di hospital

Oleh: Norhafiza Musa

Tarikh: September 11, 2013

KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu seronok bergayut pada dinding sekolah ketika waktu rehat, seorang murid terpaksa menduduki UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tangan kirinya patah akibat terjatuh, kelmarin.

Mohd Alif Abd Razak, murid SK Tasik berkata, memandangkan dia seorang yang aktif bersukan, bergayut pada tiang atau dinding sudah menjadi tabiatnya kerana ia salah satu caranya bersenam dan menjaga stamina.

Namun, dia tidak menyangka boleh terjatuh ketika melakukan aksi tersebut hingga mengalami kecederaan teruk sekali gus menyebabkannya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital bersendirian tanpa ditemani rakan.

"Saya tawakkal sahaja.  Meskipun sakit tetapi saya tetap ingin menduduki peperiksaan hari ini (semalam).  Insya-ALLAH, saya berharap dapat menjawab soalan hingga habis," katanya.

Menurut ibunya, Rohani Mohamad, 45, anak bongsunya itu memang seorang yang aktif bersukan sebab itu dia tidak terkejut mendapat berita anaknya terjatuh di sekolah tetapi sebelum ini tidaklah sehingga mengalami kecederaan yang teruk.

"Saya nasihatkan dia supaya tangguh dulu peperiksaan ini tetapi dia berkeras untuk tetap mendudukinya juga.

"Saya harap dia dapat jawab dengan baik," katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.    

Seorang lagi murid yang turut menduduki UPSR di HSNZ, Wan Puteri Nur Hasyimah Wan Osmera, 12 dari Segamat, Johor.

Dia terpaksa menumpang pusat peperiksaan apabila terlibat dalam satu kemalangan di Setiu ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Segamat Johor, pada 3.30 petang pada 3 September lalu.

Menurut bapanya, Wan Osmera Wan Jusoh, 44,  kemalangan tersebut melibatkan tujuh lagi ahli keluarganya, termasuk isteri, Raja Normazlina Raja Husin, 39.

Dua anaknya termasuk Wan Puteri Nur Hasyimah dan anak sulungnya, Wan Puteri Nur Haziqah, 14, mengalami kecederaan teruk.

"Wan Puteri Nur Hasyimah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada memerlukan dia mendapat rawatan rapi. 

"Saya dan isteri hanya berserah pada ALLAH, dengan keadaan dirinya begitu, tidaklah kami mengharapkan dia (Wan Puteri Nur Hasyimah) terlalu memaksa diri," katanya.


Bagaimanapun sebagai bapa, dia tetap mendoakan agar anaknya itu dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Katanya, pada peperiksaan percubaan yang lalu, anak ketiga daripada enam beradik dari SK Segamat Baru itu mendapat keputusan 2A 3B.

401 penduduk Pahang hidap demam denggi

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

TEMERLOH - Sebanyak 401 penduduk di Pahang dikesan menghidap demam denggi dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan Kuantan mencatat daerah kes paling tinggi iaitu 239 kes atau 59.6 peratus.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail berkata, Temerloh merupakan daerah kedua tertinggi dengan 59 kes, diikuti Bera (20), Jerantut (19), Bentong, Lipis (10), Rompin (lapan), Raub dan Pekan (tujuh) dan Cameron Highlands hanya satu kes. 

Katanya sehingga kini satu kawasan wabak berlaku di Temerloh iaitu di Taman Perumahan Taman Saga dan sembilan lagi di daerah Kuantan, namun wabak di kedua-
dua kawasan itu dapat dikawal dalam masa 14 hari.

"Sebanyak 35,573 premis di daerah Temerloh telah diperiksa dengan 200 peratus daripadanya dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk Addes," katanya pada majlis perasmian Operasi mencegah Denggi Jabatan Kesihatan Pahang di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan Pengarah Kesihatan Daerah Temerloh Dr Azwa Arif.

Katanya setakat ini, 131 kompaun berjumlah RM65,000 telah dikenakan kepada penduduk daerah Temerloh, manakala 26 notis dikeluarkan bagi arahan permbersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan enam tapak pembinaan ditutup kerana menjadi tempat pembiakan Aedes.

Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat supaya sentiasa memastikan kawasan persekitaran rumah dan tempat awam sentiasa bersih bagi mengelakkan tempat pembiakan nyamuk tersebut. - Bernama

Terkejut telur bersaiz unik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

BACHOK – Seorang peniaga di sini menerima kejutan apabila mendapati telur ayam serama belaannya mempunyai saiz lebih kecil dari kebiasaan dan kejadian ini merupakan kali kedua berlaku.

Zainuddin Ismail, 42 memaklumkan, kali pertama ayam serama belaannya itu mengeluarkan telur bersaiz kecil adalah pada tahun lalu, namun dia tidak sempat menyimpan telur berkenaan untuk ditunjuk kepada sesiapa.

Menurutnya, ukuran biasa telur ayam serama adalah empat sentimeter panjang, namun telur yang dijumpai kali ini hanya memiliki ukuran panjang tidak sampai dua sentimeter.

"Saya bela ayam serama sebagai hobi dan akan menjual ayam serama jika ada yang berminat untuk membelinya. Mula-mula saya tengok telur ini pada minggu lepas semasa saya mahu memberi makan kepada ayam belaan saya.

"Keesokannya, juga ketika hendak memberi makan kepada ayam serama belaan saya, saya jumpa satu lagi telur bersaiz kecil. Saya simpan kedua-duanya kerana takut pecah. Saya pasti ia telur ayam dan bukan telur burung," katanya.

Tambahnya, pada tahun lalu, ada salah seekor ayam serama belaannya mengeluarkan telur saiz kecil tetapi ketika itu dia tidak sempat mengambil gambar kerana ia pecah beberapa hari kemudian.

Katanya, sepanjang 10 tahun membela ayam serama, ini merupakan kali pertama dia menemui telur sedemikian.

"Yang tahun lepas lebih unik kerana ada bentuk seperti tanduk. Kalau tiada bukti memang orang kata saya tipu. Kali ini saya simpan dan ambil gambar untuk kongsi dengan rakan-rakan," katanya yang membela kira-kira 10 ekor ayam serama.

Pecah rumah nenek

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

KOTA BHARU - Angkara memecah masuk ke rumah nenek sendiri, seorang penganggur dijel 10 bulan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret, Nik Habri Muhamad membuat keputusan itu terhadap Muhammad Fakhan Abdul Halim, 21, dari Kampung Pangkal Kalong, Ketereh.

Tertuduh mengaku salah memecah masuk rumah dan mengambil pelbagai jenis pinggang mangkuk dan set cawan porcelin bernilai RM5,000 miliki Suryana Mohd Zaman.

Pada prosiding semalam, tertuduh melalui peguam bela merayu supaya hukumannya diringankan berikutan kesempitan wang kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan tertuduh bersesuaian dengan seksyen yang dihadapi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci baik sebelum pulang dan mendapati terdapat kesan cungkil pada tingkat bahagian dapur. Keadaan rumah berselerak dan beberapa barang berharga lesap.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Tertuduh juga diarah menjalani hukuman penjara tambahan 10 bulan lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda.

Suami dakwa isteri tinggal bersama Datuk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

JENGKA 12 - "Saya tidak akan reda pada sesiapa sahaja yang telah menyimpan isteri saya," begitulah kata seorang peneroka tanah rancangan ini yang mendakwa isterinya tidak pulang ke rumah sejak Mei lalu dan menetap bersama seorang bergelar Datuk di Kuala Lumpur.

Peneroka terbabit, Abdul Rahman Mandak, 67, berkata, dia mendapat tahu perkara terbabit melalui jiran hadapan rumahnya baru-baru ini.

"Saya tidak tahu selama ini. Baru-baru ini jiran saya menceritakan kepada saya bahawa isteri saya kini tinggal bersama seorang bergelar Datuk di Kuala Lumpur.

"Jiran saya memberitahu dia mendapat cerita terbabit melalui anak lelaki saya. Jika benar, saya tidak reda lelaki itu menyimpan isteri saya," katanya.

Tambahnya, isterinya, Hazizah Yahya, 60, ke Kuala Lumpur bersama anak lelakinya untuk menenangkan diri setelah mengalami pergaduhan besar pada Mei lalu.

"Ia berpunca kerana isteri saya asyik tidak berpuas hati dengan tindakan saya memasang mozek di dapur dan di bilik air.

"Walaupun sudah beberapa kali saya membetulkannya, dia tetap marah sehinggalah tercetusnya pergaduhan besar," katanya.

Menurutnya, sejak daripada itu, sehingga kini dia tidak mendengar khabar berita dari isterinya. Malah anaknya juga enggan menyatakan apa-apa.

"Saya hanya menerima surat mahkamah isteri saya menuntut cerai. Tapi saya tidak mahu ceraikan dia mengenangkan dahulu kami pernah berjanji untuk sehidup semati.

"Dalam surat cerai itu, dia menuduh saya bertindak kasar ke atasnya sedangkan sepanjang kami berkahwin, saya tidak pernah memukulnya," katanya.

Tambahnya lagi, antara sebab lain mengapa dia enggan menceraikan isteri yang dikahwini sejak 1970an lagi adalah kerana mengenangkan rumah yang mereka bina bersama di tanah rancangan ini sejak awal. Malah mereka juga telah dikurniakan enam anak yang kini sudah boleh hidup berdikari.

"Saya harap dia (isteri) dapat pulang ke rumah untuk menyelesaikan masalah kami ini. Saya tidak mahu dia buat perkara yang tidak wajar bersama Datuk terbabit," katanya.

Abdul Rahman dalam pada itu turut membuat laporan polis berkaitan perkara terbabit setelah mendapati isterinya tidak pulang sejak tiga bulan lalu.

Maut rempuh treler rosak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SLIM RIVER - Hasrat seorang pemandu lori menghantar bekalan makanan ke lokasi diminta majikan berakhir tragedi apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.27 pagi itu, lori yang dipandu Shamsuri Mersuki, 37, yang berasal dari Shah Alam merempuh belakang sebuah treler rosak di lorong kiri lebuh raya.

Menurutnya, sebuah treler dipandu seorang lelaki bersama seorang pengawal keselamatan membawa muatan barang kesihatan dari arah sama dalam perjalanan dari Shah Alam ke Ipoh mengalami kerosakan enjin dan semua lampu tidak berfungsi kira-kira jam 5.22 pagi.

Katanya, pemandu terbabit kemudiannya dikatakan memegang tanda amaran pada jarak kira-kira 200 meter daripada treler sebagai langkah berhati-hati kepada pengguna lebuh raya lain.

"Namun begitu, lima minit kemudian, sebuah lori tiga tan dipandu mangsa dari arah sama melanggar belakang treler tersebut.

"Mangsa yang parah kepala dan seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan rempuhan itu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit diterima kira-kira jam 5.52 pagi dan pasukannya tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Mangsa yang tersebut dikeluarkan dengan kekuatan seorang pegawai bersama 12 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim serta Tanjung Malim.

"Mangsa tersepit pada tempat duduknya dan kami terpaksa menggunakan kenderaan tunda sebelum berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 7.19 pagi," katanya.

Polis tahan lima lelaki

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

KULIM - Polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, diketuai Inspektor Faizal Mohamad menahan lima lelaki di sebuah rumah di taman perumahan di sini kira-kira jam 3 pagi semalam.

Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bilik belakang rumah dan dipercayai sedang menghisap dadah.

Pemeriksaan polis mendapati, dua dari suspek ditahan terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta dan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum ini, suspek bersama dua rakan lain pernah melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Proton Wira Aeroback sebelum meninggalkan kenderaan itu di jalan mati setelah dikepung polis bersama ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM).

Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran manakala kereta yang dinaiki mereka dibawa ke Balai Polis Lunas.

"Polis telah membuat pemantauan terhadap suspek sejak sebulan lalu dan berjaya menahan mereka semua awal pagi kelmarin.

"Dari pemeriksaan dibuat terhadap rumah suspek, polis menemui beberapa barangan elektrik yang masih belum dijual. Selain itu, suspek mengaku menjual beberapa barangan lain di sekitar kawasan Bukit Mertajam.

Menurut beliau, semua suspek kemudiannya di bawa balik ke IPD Kulim sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing.

"Kami mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya," katanya.

Kata beliau, dua suspek terlibat dalam kegiatan pecah rumah mengaku melakukan perbuatan di Taman Kancil, Taman Desa Seni serta Taman Sejahtera dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan

Meter air dikunci, terpaksa minta air jiran

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

KUALA KANGSAR - Seorang penduduk sebuah taman perumahan di sini, kecewa kerana meter airnya dikunci walaupun dia sudah membayar bil air rumahnya yang tertunggak.

Faize Ahmad Jah, 47, berkata, dia terkilan kerana pihak berkenaan tetap memotong bekalan air di rumahnya, walaupun bil air rumahnya sudah dibayar.

Katanya, tindakan itu menyebabkan keluarganya tidak dapat menikmati bekalan air pada malam berkenaan dan terpaksa meminta air daripada jiran berhampiran.

"Bila saya hubungi pihak berkenaan, mereka kata saya perlu bayar RM30 untuk memasang semula bekalan air dan bayaran perlu dibuat di pejabat mereka.

"Saya memang sibuk pada hari itu. Selepas saya bayar bil, saya terus ke Taiping dan sampai di Kuala Kangsar lewat serta tak sempat nak bayar," katanya.

Menurutnya, dia tidak menghadapi masalah untuk membayar RM30 itu namun kecewa kerana disebabkan jumlah tersebut, bekalan air di rumahnya dipotong.

"Kalau boleh, beri peluang kepada saya untuk jelaskan RM30 itu dan jangan terus mengunci meter.

"Bukan niat saya untuk burukkan pihak berkenaan kerana mereka menjalankan tugas dengan baik. Cuma saya harap urusan pembayaran membuka kunci itu dapat dipermudahkan," katanya.

Dalam pada itu, dia juga mencadangkan supaya caj pemasangan semula meter air itu dimansuhkan, memandangkan ia mungkin membebankan mereka yang kurang berkemampuan.

"Jumlah itu mungkin tidak besar pada sesetengah individu namun, ada yang merasakan caj yang dikenakan itu tinggi," katanya.

Sinar Harian difahamkan, meter air rumah Faize dikunci kerana dia tidak membayar caj pemasangan semula meter air yang menyebabkan rumahnya terputus bekalan air.

Sementara itu, Lembaga Air Perak (LAP) ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan menyiasat perkara itu dan akan menyelesaikannya dengan segera.

Menurut pihak LAP, banyak aspek perlu dilihat dan diambil kira dalam menangani masalah tersebut antaranya seperti menyemak rekod pembayaran pengguna dan mengenal pasti faktor utama bekalan air pengguna dipotong.

'Malu kalau tetamu datang'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

BATU KIKIR - "Saya hanya mahu perkara ini diselesai." Itu antara luahan seorang penduduk Taman Mawar fasa 2, di sini apabila terpaksa berdepan dengan bau busuk dari loji kumbahan bersebelahan rumahnya.

Pesara polis, Talib Muhammad, 72, berkata, loji tersebut terletak kira-kira satu kaki sahaja dari rumah dan keadaan itu memaksanya menghidu bau busuk setiap hari.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila musim hujan kerana bau loji kumbahan itu lebih meloyakan.

"Saya sedar akan kewujudan loji sejak mula-mula saya beli rumah di sini pada 1996, namun keadaan bau busuk ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Saya sekeluarga rasa kurang senang lebih-lebih lagi ketika  musim perayaan.  Malu apabila tetamu yang datang kurang selesa ketika menikmati hidangan disediakan," katanya.

Tambahnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan dan sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil bagi menyelesaikannya.

"Saya tidak kisah bagaimana cara pihak bertanggungjawab mahu menyelesaikan bau busuk ini, asalkan ia tidak lagi mengganggu keselesaan kami.

"Sekiranya mereka mahu bina tembok penghadang pun, saya setuju,"  katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, jiran Talib, Mohd Din Sani, 64, berkata, dia turut menyokong mekanisme terbaik untuk menyelesaikan perkara tersebut yang sudah berlarutan terlalu lama.

Katanya, walaupun kedudukan rumahnya agak jauh dari loji itu, dia turut berdepan dengan bau busuk itu.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik," katanya.

Sinar Harian sudah mendapatkan respons daripada Indah Water Konsortium, namun pihak berkenaan akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

'Pergi dengan tenang'

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: September 11, 2013

IPOH - Suasana sayu diiringi hujan seolah-olah turut meratapi pemergian Mohd Amir Irfan Zulkifli, 8, ketika disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, semalam.

Anak keempat daripada lima adik beradik disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada awal Ramadan lalu sebelum ini hanya mampu terlantar di rumah akibat penyakitnya itu.

Lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan serta penduduk yang hadir jelas tidak dapat menahan kesedihan sewaktu jenazah murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun mula dikebumikan kira-kira jam 10.30 pagi.

Rakan-rakan Muhd Aqil Azhar, 13, abang kepada Allahyarham dari Maahad Tahfiz Addeniyah, Meru, di sini, turut menziarahi tanah perkuburan tersebut ketika upacara pengebumian dilaksanakan.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Surau Al-Jamaiyyah, Taman Hiburan, Hulu Kinta pada jam 9.45 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Kedua ibu bapa Allahyarham, Mastura Ali, 37, dan Zulkifli Ismail, 38, kelihatan tenang ketika jenazah anak mereka disemadikan di tanah perkuburan berkenaan.

Mastura berkata, seminggu sebelum pemergian anaknya itu, keadaan fizikal amat kritikal dan lemah.

"Anak saya juga kelihatan tidak bermaya dan perutnya mula membuncit sehingga sukar untuk membuang air kecil.

"Disebabkan itu, tiub dipasangkan bagi memudahkan dia membuang air kecil," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan semalam.

Menceritakan detik-detik terakhir bersama anaknya, Mastura yang dijangka bersalin Oktober ini berkata, petang kelmarin Mohd Amir Irfan kelihatan terlalu sakit dan dia bersama suami membawa anaknya ke sebuah hospital swasta untuk menukar tiub.

"Bagaimanapun, arwah mula sesak nafas dan doktor segera memberikan surat untuk dirujuk kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut.

"Saya sempat membacakan surah Yasin sebelum arwah dimasukkan ke zon merah hospital berkenaan. Arwah kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan dan disahkan meninggal dunia jam 8.20 malam semalam (kelmarin).

"Dia kelihatan sangat tenang ketika menghembuskan nafas terakhir seolah-olah sedang tidur," katanya yang reda dengan pemergian anaknya itu.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui, memberitahu sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk melihat arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, dia sekeluarga reda dengan ketentuan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu keluarganya sepanjang arwah masih hidup.

"Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua yang mendoakan serta sudi membantu,  memberi semangat dan sokongan kepada arwah.

"Hanya ALLAH saja yang dapat membalas budi pihak yang berkenaan," katanya yang dijangka akan berniaga semula menjual putu buluh di pasar malam.

Kesemua adik beradik Allahyarham, Siti Khadijah, 14, dan Muhd Afiq, 11, berada mengiringi jenazah berkenaan sehingga ke tanah perkuburan kecuali Muhammad berusia setahun lima bulan yang tinggal bersama ahli keluarga lain di rumah.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan penderitaan yang dialami Mohd Amir Irfan yang kemudiannya mendapat perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Allahyarham lumpuh separuh muka selepas ketumbuhan otak dibuang pada pembedahan kedua pada 18 Julai lalu.

Kanak-kanak itu dikesan menghidap kanser otak pada hari pertama puasa lalu selepas mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.

Mohd Amir Irfan turut menjalani pembedahan pertama membuang pengumpulan air di bahagian otak tetapi keadaannya tidak beransur pulih.

Facebook Adun Paroi diceroboh

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SEREMBAN – Adun Paroi, Mohd Ghazali Wahid kecewa apabila akaun Facebook beliau diceroboh individu yang dipercayai sengaja mahu menjatuhkan kariernya sebagai wakil rakyat.

Menurut Ghazali, laman Facebook yang menjadi penghubung beliau dengan orang ramai disedari diceroboh sejak tiga hari lalu apabila muncul status asing di dinding akaunnya, selain terdapat beberapa video lucah kononnya ditonton beliau.

Akibat itu, ramai pengikut beliau yang mengutuk dan ada antaranya memberi komen sinis.

"Sebaik sahaja saya masuk ke akaun Facebook, saya terkejut dengan dengan status tidak senonoh terpamer di dinding akaun saya. Akaun laman sosial ini dikawal pegawai khas saya selaku admin, dan tidak mungkin perkara sebegini boleh berlaku," katanya.

Berikutan kejadian itu, Ghazali berkata, beliau menutup serta merta akaun Facebook berkenaan bagi melakukan siasatan menyeluruh, sebelum melaporkan kepada polis.

"Saya minta maaf kepada pengikut Facebook saya. Saya minta mereka tidak salah sangka dengan perkara ini kerana ia bukan dilakukan saya sendiri," katanya.

Guru hentak kepala pelajar

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: September 11, 2013

ALOR GAJAH - Ibu bapa kepada dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini, kesal dengan tindakan seorang guru lelaki menampar dan menghentak kepala anaknya dengan buku teks, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Izzul Fahmi Zainal, 15, dan Nur Najwa Najihah Mohd Shah, 13, masing-masing pelajar tingkatan tiga dan satu, juga dihukum guru pendidikan jasmani itu hanya disebabkan tidak menegur guru berkenaan ketika bertemu di Dataran Keris di sini, 1 September lalu.

Ibu Izzul, Zurina Ibrahim, 40, berkata, sebelum kejadian, anaknya bersama tiga rakan sedang duduk atas pentas Dataran Keris sebelum dilihat guru berkenaan yang kebetulan berada di situ.

Surirumah itu mendakwa, anak keempat dari enam beradik itu bagaimanapun ditampar dan dipukul beberapa kali menggunakan tangan dan buku teks kira-kira 9.30 pagi pada sesi sekolah ganti, Sabtu lalu.

"Izzul terus tidur sebaik balik dari sekolah dan saya hanya menetahui kejadian selepas dihubungi ibu Najwa memaklumkan hal berkenaan.

"Saya terus mengejutkan Izzul dan terkejut melihat mata kanannya merah dan bengkak. Apabila ditanya, dia beritahu dipukul guru di dalam kelas yang terdapat lebih 30 pelajar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelatang, di sini, semalam.

Zurina berkata, berikutan kejadian itu, dia bimbang kesihatan terutama bahagian otak dan mata terjejas kerana selepas dua hari, anaknya masih mengadu pandangannya kabur.

Sementara itu, menurut Izzul, sebelum dipukul dia yang kebetulan melalui kelas Najwa dipanggil guru berkenaan sebelum dimarahi dan berkata sesuatu berbaur ugutan.

"Dia tanya saya 'kau pergi dataran kan? Kau nampak aku, kau buat bodoh je, siap baring-baring pula'. Saya hanya mengaku memang nampak dia sebelum dipukul dengan tangan sebanyak enam kali mengenai telinga dan kepala sebelah kanan, selain kepala dihentak dengan buku teks.

"Dia beri amaran jangan buat lagi. Dia juga kata berkata tidak takut sekiranya saya beritahu keluarga, malah akan terus pukul saya sekiranya nampak saya di dataran lagi," katanya.

Najwa pula berkata, ketika kejadian, guru itu masuk ke kelas Pendidikan Jasmani sebelum bertindak memanggilnya dan bertanya.

"Kemudian saya diarah berdiri dan duduk di kerusi beberapa kali sebelum kepala dihentak buku teks sebanyak dua kali dengan kuat. Dia turut menghambur kata-kata kesat," katanya.

Bapa Najwa, Mohd Shah Hasim, 49, pula turut melahirkan rasa marah apabila perempuannya yang kini trauma dan takut untuk ke sekolah dihukum dan dicemuh sedemikian di hadapan rakan-rakannya.

"Jika Najwa melanggar disiplin sekolah, saya faham tindakan guru itu. Tetapi Najwa dihukum selepas seminggu kejadian atas kesalahan dilakukan di luar waktu sekolah pada hujung minggu," katanya.

Atas tindakan tidak wajar guru berkenaan, ibu bapa Izzul dan Najwa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 10.30 pagi kelmarin.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Kasim Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya belum menerima laporan sama ada menerusi lisan atau bertulis daripada Pengetua sekolah berkenaan.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan sejurus laporan kejadian diterima.

Peniaga bunga kena kompaun ternak jentik-jentik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

BATU PAHAT - Gara-gara menjual bunga sambil menternak jentik-jentik, pemilik kedai di sini, dikenakan kompaun sebanyak RM500 kerana mengabaikan aspek kebersihan  kawasan sekeliling.

Kedai bunga itu, antara premis perniagaan yang terlibat dalam operasi bersepadu Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr Noorhaida Ujang berkata, pemilik kedai tersebut dikenakan tindakan setelah operasi premis itu didapati mengabaikan aspek kebersihan kawasan sekeliling.

Menurutnya, aspek kebersihan sesebuah premis perniagaan bukan sahaja perlu di tempat yang dikunjungi pelanggan tetapi merangkumi seluruh kawasan termasuk untuk pekerja dan kawasan sekitar.

"Kebersihan kawasan perniagaan bukan perkara yang boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dilaksanakan dan dijaga peniaga serta pekerja setiap hari.

"Biasanya, mereka (peniaga) hanya membersihkan kawasan tertentu dan selalu terlepas pandang tempat takungan air yang boleh menjadi  lokasi Aedes membiak dan membawa denggi," katanya.

Tegasnya, kerajaan memandang serius penyakit dibawa Aedes, dan pihak yang melakukan kesalahan berkaitan akan dikenakan tindakan.

Noorhaida berkata, pemilik premis berkenaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 25, Akta Pemusnahan Serangga Membawa Penyakit 1975 atau penjara tidak melebihi tiga  tahun jika tidak membayar kompaun ditetapkan.

Tambahnya, operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memupuk kesedaran orang ramai agar menjaga kebersihan dan memusnahkan  tempat takungan air yang boleh  membiakkan Aedes melalui jentik-jentik.

"Pengusaha premis dan pekerja juga telah dinasihatkan agar memeriksa kawasan sekitar termasuk kediaman setiap minggu untuk memastikan mereka bebas daripada ancaman gigitan Aedes yang boleh menularkan denggi," katanya.

Didenda RM2,500 miliki empat slip loteri haram

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

MARANG - Akibat memiliki empat keping kertas bernombor disyaki slip loteri haram, seorang lelaki berusia 55 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, semalam.

Juhan Hasan mengaku bersalah memiliki empat keping kertas loteri haram itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nor Adila Ab Latif.

Lelaki terbabit dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai runcit di Kampung Sentul Patah, Marang, di sini, kira-kira jam 5.40 petang, pada 4 Mac lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 1990) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh mengaku salah dan dibebaskan selepas membayar hukuman denda sebanyak RM2,500.

Buruh degil ditangkap jual air ketum

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 11, 2013

SETIU -  Seorang buruh yang tidak pernah serik menjual air ketum  ditangkap lagi buat kali keempat atas kesalahan sama dalam satu serbuan di Kampung Bahagia dekat Kampung Bintang di sini awal  pagi semalam.

Suspek berusia 47 tahun sebelum ini tiga kali pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan memiliki air ketum  namun dipercayai tetap mengulangi kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, dalam Op Tapis oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang diketuai  Inspektor Fairuz Azma Fauzi telah menyerbu sebuah rumah di kampung tersebut.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pasukan polis menyerbu rumah suspek  pada jam 5.20 pagi dan mendapati suspek  berada di ruang tamu rumah.

"Suspek telah diperiksa namun polis tidak menjumpai sebarang perkara yang menyalahi undang-undang, bagaimanapun pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah telah membawa penemuan satu bekas plastik berwarna oren.

"Pemeriksaan di dalam plastik itu mendapati terdapat sepuluh plastik berwarna cerah yang di dalamnya mengandungi air berwarna kehijauan dipercayai air ketum," katanya.

Ab Rahman berkata, polis turut menemui  satu raga yang mengandungi daun hijau seberat satu kilogram jua dipercayai daun ketum di bahagian dapur rumah selain peralatan memasak air ketum iaitu dua periuk, dapur dan tong gas.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kesemua barang kes itu dirampas.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, dalam operasi sama yang bermula 4.30 pagi dan berakhir 9 pagi turut menahan tujuh suspek lain atas kesalahan  mengambil dadah.

Mereka yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

'Sedih jam arwah dicuri'

Oleh: NOOR HAYATI MAMAT

Tarikh: September 11, 2013

KUALA TERENGGANU - "Ketika jiran hubungi memaklumkan pintu dapur belakang terbuka, saya sudah jangka rumah dipecah masuk dan ternyata sangkaan itu benar.

"Hati saya tambah sedih apabila dapati jam tangan arwah suami dan tabung anak turut hilang."

Demikian rintihan seorang ibu tunggal enam anak, Nik Azizah Nik Hussin, 48 apabila rumahnya di pecah masuk.

Menurutnya kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 9.30 pagi Jumaat lalu dan 7 pagi kelmarin ketika dia sekeluarga tiada di rumah.

Akibat kejadian dia terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM15,000.

Kata Nik Azizah, selain jam tangan dan tabung dia turut kehilangan barang kemas, komputer riba dan kamera.

"Saya keluar rumah pagi Jumaat lalu untuk ke Kuala Lumpur. Sebagai langkah berjaga-jaga, lampu di luar rumah dan bahagian ruang tamu telahpun dipasang, namun difahamkan bekalan elektrik di rumah saya terputus malam semalam (kelmarin) akibat kilat.

"Ketika bersiap untuk pulang ke rumah sekitar jam 7 pagi setelah bermalam di rumah anak di Kuantan saya mendapat panggilan daripada jiran memberitahu pintu dapur rumah terbuka," katanya.

Katanya, dia kemudian menyuruh jirannya itu menjenguk ke dalam rumah dan memaklumkan bahawa rumahnya tidak berselerak.

"Saya menarik nafas lega apabila dimaklumkan keadaan rumah tidak berselerak, saya hanya tahu keadaan sebenar apabila tiba di rumah sekitar jam 11.30 pagi semalam," katanya.

Kata Nik Azizah dia mengesyaki pencuri memasuki rumahnya melalui pintu di bahagian tengah rumah kerana terdapat kesan umpil sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.

Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ajil pada jam 12 tengah hari, kelmarin.

Hentikan stigma terhadap kanak-kanak HIV

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu menghentikan stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak penghidap HIV supaya mereka dapat turut menikmati peluang dan ruang dalam persekitaran yang lebih kondusif.  

Bekas Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF) Datin Paduka Marina Mahathir berkata masyarakat sebaliknya patut menambah pengetahuan yang tepat mengenai HIV termasuk bagaimana mencegahnya daripada merebak.

"Orang ramai patut mengambil tanggungjawab untuk mengetahui maklumat terkini mengenai HIV dan pihak kerajaan juga perlu membanyakkan lagi program kesedaran mengenai HIV.

"Ini kerana masih ramai yang tidak mengambil berat hal ini. Hakikatnya ramai kanak-kanak yang menghidap HIV perlu diberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menjadi tetamu khas program 'Bernama Today' di Saluran Astro 502 di sini hari ini.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, terdapat 94,841 kes HIV yang terkumpul sejak 1986 dengan 2,324 orang (2.4 peratus) adalah individu yang berusia 19 tahun ke bawah.

Statistik pada 2011 pula menunjukkan sebanyak 120 orang kanak-kanak dan belia berusia 19 tahun ke bawah adalah antara 3,479 penghidap kes baharu HIV pada tahun berkenaan.

Marina berkata sebagai warganegara prihatin, masyarakat perlu peka untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti HIV.

"Menentang stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV adalah sama penting dengan pencarian ubat penyembuh serta mencegah dan mengawal epidemik global ini," katanya.

Menurutnya, generasi muda digalakkan menyertai program gaya hidup sihat dan kempen kesedaran HIV supaya mereka tidak mudah diracuni stigma negatif dan terlibat dengan kegiatan yang membolehkan HIV/AIDS merebak.

Sebagai aktivis membendung penularan HIV, Marina dipilih antara 26 personaliti dalam program 'L'oreal Professional: Colour For Life Campaign'.

Program kerjasama L'oreal Professional dan MAF di pusat membeli-belah Mid Valley Centre Court pada 21 dan 22 Okt itu akan memberi peluang kepada orang ramai menggunting rambut dengan harga serendah RM20 bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak menghidap HIV. - Bernama

Hutang isi rumah di Malaysia belum membimbangkan

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Hutang isi rumah di Malaysia belum mencecah tahap membimbangkan dan masih lagi terkawal setakat ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata pinjaman tidak berbayar, yang kurang daripada dua peratus bagi sektor isi rumah, menunjukkan mereka yang meminjam layak mendapat kredit.

"Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat memantau pendedahan individu dan perniagaan hinggalah kepada konglomerat, justeru itu menerusi ini, kami melihat hutang lapuk atau pinjaman terjejas daripada sektor isi rumah, dan daripada sektor lain juga, berada dalam aliran menurun," katanya pada sidang akhbar selepas Forum Dasar Global AFI 2013, di sini, hari ini.

Zeti berkata bank pusat tidak bimbang dengan perkara itu kerana ia telah mengambil langkah berhemat yang perlu untuk mengekang aktiviti berlebihan ke sektor-sektor khusus.

"Kami percaya pada ketika ini ia terkawal. Kami melihat pertumbuhan pinjaman daripada angka berganda 12-13 peratus dan sekarang pada kadar lebih mapan sembilan peratus," katanya.

Sementara itu, menjelang mesyuarat dasar bulanannya esok, Gabenor Bangko Sentral ng Filipina , Amando Tetangco Jr, berkata ia tidak melihat sebarang keperluan untuk menukar pendekatan dasar kerana inflasi diunjur kekal dalam sasaran tiga-lima peratus tahun ini dan tahun depan. - Bernama

Bangunan Kementerian Luar Libya dibom

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

BENGHAZI - LIBYA . Satu letupan menggegarkan sebuah kawasan berhampiran bangunan Kementerian Luar Libya di bandar timur Benghazi, semalam.

Media tempatan melaporkan, letupan itu mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan kementerian, termasuk ibu pejabat bank pusat tempatan.

Difahamkan, letupan itu dilakukan berikutan genap setahun serangan maut ke atas Konsulat Amerika Syarikat di Benghazi.

"Tiada laporan kematian atau kecederaan dilakukan, namun polis tidak menolak serangan itu dilakukan kumpulan pemberontak ketika era pemimpin diktator Muammar Gaddafi pada 2011," memetik laporan Press TV.

Kebelakangan ini, gelombang serangan ganas kerap tercetus menyasarkan kakitangan tentera, hakim dan doktor.

Kanak-kanak perempuan mati pada malam pertama

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

SANAA, YAMAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada malam pertama perkahwinannya, dengan seorang lelaki lima kali umurnya.

Arwa Othman, ketua Dewan Rakyat Yaman dan aktivis hak asasi terkemuka berkata, kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Rawan , telah berkahwin dengan seorang lelaki berumur 40 tahun lewat minggu lalu di bandar Meedi di wilayah Hajjah di barat laut Yaman.

"Pada malam perkahwinan dan selepas melakukan hubungan seks, dia mengalami pendarahan dan pecah rahim yang menyebabkan punca kematiannya ," katanya kepada Reuters.

"Mereka membawanya ke klinik tetapi doktor tidak dapat menyelamatkannya," katanya lagi pada laporan Reuters.

Arwa berkata, pihak berkuasa tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap keluarga gadis itu atau suaminya.

Seorang pegawai keselamatan tempatan di bandar wilayah Haradh menafikan kejadian tersebut. Dia tidak mahu dikenali kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan akhbar.

Tetapi dua penduduk Meedi dihubungi oleh Reuters mengesahkan kejadian itu dan berkata, ketua-ketua puak tempatan telah cuba untuk menutup kejadian itu apabila berita itu tersebar.

Banyak keluarga miskin di Yaman mengahwinkan anak-anak perempuan kecil untuk menjimatkan kos membesarkan kanak-kanak dan bagi mendapat wang tambahan dari mas kahwin yang diberikan kepada gadis itu.

Satu laporan PBB yang dikeluarkan Januari lalu  mendedahkan tahap kemiskinan di negara itu , menyatakan bahawa 10.5 juta daripada 24 juta orang Yaman kekurangan bekalan makanan yang mencukupi, dan 13 juta tidak mempunyai akses kepada air bersih dan kebersihan asas.

Human Rights Watch (HRW) pada Disember 2011 menggesa kerajaan Yaman mengharamkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun.

Memetik Bangsa-Bangsa Bersatu dan data kerajaan, HRW berkata, hampir 14 peratus daripada kanak-kanak perempuan Yaman telah berkahwin sebelum umur 15 dan 52 peratus sebelum umur 18 tahun.

Hukuman rogol, bunuh pelajar perubatan, Jumaat

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

NEW DELHI, INDIA - Hukuman terhadap empat lelaki yang didakwa bersalah atas kesalahan merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan di New Delhi, Disember lalu bakal ditentukan Jumaat ini, kata hakim.

Mahkamah semalam telah memutuskan kesemua tertuduh Mukesh Singh, Vinay Sharma, Pawan Gupta dan Akshay Kumar Singh bersalah kerana merogol bergilir-gilir, berkelakuan di luar tabii, memusnahkan bukti dan membunuh mangsa yang tidak berdaya.

Pendakwa raya dan keluarga mangsa memohon agar hukuman mati dikenakan ke atas suspek.

Lelaki Nigeria maut 'dirogol' lima isteri

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

ABUJA - NIGERIA. Gara-gara cemburu, seorang ahli perniagaan di Nigeria meninggal dunia kerana 'diperkosa' lima daripada enam isterinya, Julai lalu.

Insiden itu berlaku selepas lima isterinya tidak berpuas hati kerana mangsa, Uroko Onoja mengadakan hubungan seks dengan isteri paling muda.

Kelima-lima mereka memaksa Onoja mengadakan hubungan seks secara bergilir-gilir hingga mangsa berhenti bernafas secara tiba-tiba.

Menurut DailyMail,susulan kejadian itu, dua daripada lima isterinya telah ditahan polis.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment