Thursday, September 12, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH Friday the 130913 bersamaan 7 Zulkaedah 1434H

 

 

 

 

Ramai warga Indonesia jadi pemandu di Makkah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

JAKARTA, INDONESIA - Warganegara Indonesia dilaporkan menjadi pemandu kenderaan haji teramai di Makkah, Arab Saudi.

Sehubungan itu, jemaah haji Indonesia dikatakan tidak perlu khuatir sekiranya mengalami kesulitan semasa menggunakan kenderaan awam semasa musim haji.

Ketua petugas haji di Daerah Kerja (Daker) Makkah, Arsyad Abdullah berkata, pemandu yang ditugaskan untuk melayani jemaah Indonesia secara umumnya terdiri daripada mukimin Makkah.

Mukimin adalah warga Indonesia yang telah lama bermastautin di Arab Saudi.

"Pekerjaan mereka memang sebagai pemandu. Latar belakang mereka juga pelbagai, ada yang berasal dari Sunda, Jawa, Madura dan juga Sulawesi," katanya yang dipetik laporan Metrotvnews.com.

Tambah beliau, pemandu-pemandu terbabit dilatih melalui syarikat kenderaan awam tempatan untuk memenuhi keperluan jemaah haji Indonesia dari penginapan jemaah menuju Masjidil Haram.

Menurut Arsyad, umumnya sudah memahami situasi serta lalu lintas di Makkah.

"Secara umum, ada tiga kategori perkhidmatan pengangkutan bagi jemaah haji Indonesia.

"Pertama adalah perkhidmatan pengangkutan antara bandar Jeddah-Madinah-Makkah, kedua, perkhidmatan pengangkutan Masyair (hari kemuncak haji yang bermula dengan wukuf di Padang Arafah) untuk perjalanan ke Arafah-Muzdalifah-Mina dan pengangkutan untuk bersembahyang di Makkah," katanya.

Gempa sederhana landa Laut Banda Indonesia

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia pada 5.03 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku di 434km tenggara Ambon, Indonesia dan 1,721km tenggara Semporna, Sabah, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami. - Bernama

Pelajar bersalin dalam bilik asrama

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 13, 2013

SETIU - Guru dan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini gempar apabila seorang pelajar dipercayai bersalin di dalam bilik asrama sekolah berkenaan, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kehadiran bayi lelaki itu disedari penyelia asrama kira-kira jam 8 pagi di dalam sebuah bilik asrama perempuan sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika melakukan pemeriksaan di dalam sebuah bilik, penyelia itu terkejut apabila mendapati seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun terbaring lesu bersama bayi yang masih bertali pusat.

"Penyelia itu segera memaklumkan kejadian berkenaan kepada pengurusan sekolah, sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

"Ketika ditemui, bayi lelaki dalam keadaan sempurna itu masih bernyawa, tetapi mengalami kecacatan otak dan keadaannya ketika itu agak lemah sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan tiba di HSNZ kira-kira jam 1.15 petang untuk rawatan lanjut," katanya.

Ab Rahman berkata lagi, bagaimanapun bayi malang itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.40 petang kerana kecacatan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan akibat dera pada bayi itu sebelum mayatnya diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, ibu bayi itu masih dirawat di Hospital Setiu dan pihaknya akan mengambil keterangannya sebaik pulih bagi membantu siasatan.

"Ibu bapa pelajar terbabit sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini. Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit," katanya.

Difahamkan, pelajar terbabit amat sedih dengan berita kematian anaknya selepas polis memaklumkan bayinya tidak dapat diselamatkan dan dia mengandung dipercayai hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Guan Eng terima ugutan bunuh

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 13, 2013

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi laman Twitter daripada orang tidak dikenali, awal pagi semalam.

Menurutnya, beliau tidak mengenali individu yang menggunakan akaun twitter MoonYue18 yang menulis '#DynastyLim#CEC#DAPig#@cmlimguaneng cheater! u mati minggu depan' kepadanya.


AKAN MENYUSUL

Kes khalwat: PBNP serah kepada JAIP

Oleh:

Tarikh: September 13, 2013

KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menyiasat dua pemain pasukan Tok Gajah itu yang ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di sini, Kelmarin.
   
Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, mereka tidak boleh mengambil tindakan ke atas dua pemain berkenaan memandangkan kes itu masih berada dalam siasatan JAIP.
   
"Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang merupakan Presiden PBNP akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini selepas siasatan JAIP nanti...jadi saya tidak boleh memberikan apa-apa komen kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan," katanya.
   
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis makan malam bagi meraikan pasukan yang bertanding pada Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.
   
Media kelmarin melaporkan dua pemain Pahang ditahan oleh pegawai penguatkuasa JAIP kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini.
   
Dua pemain berkenaan berusia dlam lingkutan 20-an ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi Rabu. - Bernama

Jentolak makan tuan

Oleh: SYAMILAH ZULKIFLI

Tarikh: September 13, 2013

SEREMBAN – "Pagi tadi pertama kali mangsa melambai tangan ke arah saya dan tidak sangka satu jam kemudian dia ditemui mati digilis jentolak," kata Uda, 48, seorang pekerja di tapak projek jalan raya di Hutan Ulu Temiang, di sini, yang terkejut sebaik sahaja diberitahu penemuan mayat rakan sekerjanya  yang ditemui mati digilis jentolak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Yong Kim Ming, 74, ditemui dalam keadaan menyayat hati. Badannya dipercayai digilis jentolak dipandunya sendiri sebelum dihempap kenderaan tersebut.

Uda berkata, dia tidak nampak kejadian yang berlaku tetapi semasa sampai ke tempat kejadian, dia melihat rakan-rakan lain berkumpul di tepi jentolak dibawa mangsa.

"Ketika itu saya bekerja di kawasan lain tidak jauh dari situ dan dengar suasana kecoh menyebabkan saya bergegas ke lokasi kejadian. Saya terkejut melihat keadaan mangsa yang badannya berada di bawah jentolak," katanya.

Menurutnya, mangsa kurang dikenalinya dan baru bekerja di situ enam bulan lalu.

Manakala penyelia tapak pembinaan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Koh berkata, dia sudah membuat pemeriksaan di setiap lokasi, namun terkejut selepas mendapati kenderaan berat dibawa mangsa tidak bergerak.

"Enjinnya hidup, tapi tidak bergerak. Saya terkejut apabila nampak mangsa tersepit di bawah jentolaknya sendiri dan tidak lagi bernyawa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N Sundram berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan kecemasan jam 10.59 pagi.

"Sebuah jentera berserta enam pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian setelah mendapat maklumat seorang mangsa dihempap jentolak.

"Bagaimanapun kami berhadapan dengan masalah untuk membawa masuk jentera ke lokasi berikutan keadaan jalan yang agak curam dan terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda," katanya.

Sundram berkata, pihaknya mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan mengangkat kenderaan berat itu menggunakan tali.

Dalam pada itu, menurut sumber, mangsa yang dipercayai bekerja di tapak pembinaan itu, turun dari kenderaan berat terbabit bagi melihat masalah jentera dipandunya
sebelum tiba-tiba jentera itu bergerak dan menggilisnya.

 

Dua kanak-kanak mati lemas dalam kolam

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

BUKIT MERTAJAM - Dua kanak-kanak berusia 10 tahun lemas ketika mandi bersama dua lagi rakan mereka di kolam tadahan air yang dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, di sini hari ini. 

Jurucakap bomba berkata, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Faris Izham Hisham dan rakannya Mohd Shamin Abd Karim, ditemui lemas di dasar kolam sedalam lebih 12 meter itu.

Beliau berkata, kanak-kanak itu bersama-sama dua lagi rakan yang tinggal di Apartment Permata, Bandar Perda kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, pergi ke kolam air itu untuk mandi.

"Kita terima panggilan pada jam 1.31 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. Sepasukan anggota bomba unit skuba cuba menyelamat dua kanak-kanak itu bagaimanapun gagal. Mayat ditemui pada pukul 1.45 petang," katanya kepada  pemberita di sini hari ini.

Seorang Anggota Majlis MPSP, Rizal Hamid berkata, beliau melihat dua kanak-kanak berlari dari arah kolam takungan itu sambil menjerit meminta tolong. 

"Ketika itu saya sedang menunggu untuk bermesyuarat di MPSP yang dijangkakan pada jam 2 petang dan tiba-tiba dua kanak-kanak terbabit datang menuju ke arah saya dan memaklumkan dua rakan mereka lemas. Saya segera telefon polis dan bomba memaklumkan kejadian itu," katanya.

Rizal kemudian memanggil beberapa rakannya dan segera ke kolam itu sebelum menjumpai dua pasang selipar dan baju berdekatan kawasan berkenaan.

"Beberapa minit kemudian pihak bomba dan polis sampai untuk melancarkan gerakan mencari dan mayat dua kanak-kanak itu berjaya dinaikkan 15 minit kemudian sebelum dihantar untuk proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam selepas itu," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Faris Izham, Roshiha Abd Malek, 44, yang merupakan ibu tunggal tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui anak tunggalnya meninggal dunia dalam kejadian itu.

Roshiha yang ditemui di Hospital Bukit Mertajam dilihat gagal mengawal perasaannya apabila beberapa kali pengsan hingga terpaksa ditenangkan anggota keluarganya.

"Mereka merupakan rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Bandar Perda tetapi tidak bersekolah kerana cuti sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang sedang berlangsung," kata Roshiha.

Jenazah dua murid itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tengah selepas solat Asar. - Bernama

 

 

PTPTN: 40 peratus ingkar lunas pinjaman

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Seramai 454,036 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih gagal membuat sebarang bayaran balik pinjaman wang pendidikan tersebut, kata pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Shamsul, walaupun kerajaan telah mengambil langkah bagi menggalakkan peminjam membayar balik termasuk pemberian diskaun yang menarik sejak Ogos 2012, namun masih ada segelintir peminjam degil dan enggan berbuat demikian.

"Hanya 57,210 yang mengambil peluang ini... saya berharap angka ini akan bertambah menjelang 30 September ini," katanya ketika diwawancara Sinar Harian Online di pejabatnya, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, mungkin ramai yang tidak tahu terdapatnya jalinan kerjasama antara pihak PTPTN dan KWSP di mana peminjam yang sudah bekerja boleh terus membuat potongan bayaran melalui gaji mereka setiap bulan.

"Mungkin masih ramai yang belum cakna, mengenai perihal ini.

"Jadi saya berharap melalui pendedahan ini, akan muncul lebih ramai peminjam PTPTN yang sudah bekerjaya untuk membuat bayaran balik," katanya.

Dalam nada sama, beliau menegaskan PTPTN sentiasa mendengar rintihan peminjam PTPTN, sebab itulah beliau menjelaskan bahawa PTPTN sentiasa bersedia untuk menyelesaikan setiap permasalahan peminjam PTPTN.

"PTPTN sentiasa mendengar rintihan masalah peminjam.

"Sebab itulah PTPTN telah mewujudkan 17 cawangan PTPTN, bagi meyelesaikan masalah peminjam.

"Jadi saya berharap, jika peminjam menghadapi sebarang masalah boleh terus datang ke pejabat PTPTN, insya-ALLAH kita akan cuba selesaikan," tegasnya.

Cuba serang polis, lelaki Amerika Latin ditembak

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

SEREMBAN - Seorang lelaki Amerika Latin cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dalam kejadian di Jalan Taman Permai, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu Bakar berkata, kejadian berlaku pukul 12 tengah hari ketika lelaki berusia 30-an itu dan tiga rakannya dikejar anggota polis selepas mereka cuba mengelak pemeriksaan pasukan keselamatan berkenaan.

Kira-kira 40 minit sebelum kejadian, suspek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan perumahan di Rasah Kemayan. 

"Anggota polis yang menaiki kereta peronda menghampiri MPV itu untuk membuat pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju menuju ke arah bandar Seremban, memaksa pihak polis mengejar mereka sehingga ke Jalan Taman Permai," katanya ketika dihubungi.

Menurut Zainal, kenderaan suspek yang memasuki laluan bertentangan kemudian terbabas ke tepi jalan dan semua suspek keluar dari MPV itu serta cuba melarikan diri ke arah kawasan pembinaan berhampiran.

Bagaimanapun seorang daripada mereka berpatah balik dan cuba menyerang anggota polis yang mengejar, menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai pinggang suspek.

"Lelaki itu yang cedera cuba melarikan diri namun polis berjaya menahannya bersama rakan wanitanya sementara dua lagi rakan lelaki mereka berjaya melarikan diri," katanya.

Katanya lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil.

Polis sedang mengenal pasti identiti semua suspek dan punca sebenar mereka melarikan diri daripada pemeriksaan serta menyiasat sama ada mereka pernah terbabit dalam kes jenayah, katanya. - Bernama

Lelaki pukul wajah pemimpin dengan selipar ditahan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana bertindak memukul poster wajah pemimpin negara dengan selipar di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki itu ditangkap oleh sepasukan anggota yang ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat daripada pusat kawalan pada kira-kira 11.25 pagi.

Katanya, ketika ditangkap lelaki itu sedang memegang gambar seorang pemimpin negara dan memukulnya dengan selipar. 

Suspek, yang bertongkat dengan kaki kirinya bersimen, dikatakan datang berseorangan ke tempat kejadian pada kira-kira 10.30 pagi.    

Lelaki yang dikatakan mempunyai tiga anak itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentul untuk siasatan.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Ku berkata, lelaki itu mendakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati rumahnya di Sungai Besi, mengalami masalah paip tandas tidak dipasang, pendawaian elektrik yang tidak sempurna dan dia tidak menerima sebarang bantuan kesihatan walaupun menghidap penyakit kencing manis. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.  

Sementara itu, Ketua Pengawal Keselamatan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Sahit Urit memberitahu pemberita bahawa sebelum itu beliau telah menasihati lelaki tersebut supaya tidak melakukan kekecohan dan keluar dari situ tetapi tidak dihiraukannya. - Bernama

2 Oktober sebutan kes pukul isteri

Oleh: GOKINA MORGANAN

Tarikh: September 12, 2013

BUKIT MERTAJAM - Tarikh sebutan semula kes seorang penjawat awam didakwa memukul isterinya di dalam lif pada Ogos lalu ditetapkan 22 Oktober ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini.

IMajistret Nur Zafirah Mohamed Ali memutuskannya bagi menetapkan tarikh bicara selepas peguam bela menyerahkan dokumen berkaitan prosidng kes.

Mengikut  pertuduhan, Muhammad Affandi Ismail, 36, dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di sini, kira-kira jam  4 petang, 12 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, Muhammad Affandi boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Penjawat awam itu diwakili Suhaila Saad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Nama isteri lelaki itu dirahsiakan kerana wanita itu berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah.

Tahanan warga Iran larikan diri dari mahkamah

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

PETALING JAYA - Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menjejaki seorang tahanan lelaki warga Iran yang melarikan diri ketika hadir di mahkamah di sini bagi sebutan kesnya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata Rafat Manesh Gavhei Mahmood, 48, ditahan pada 20 Feb lepas kerana kesalahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, dipercayai melarikan diri pukul 10.30 pagi ketika berada di sekitar sel tahanan mahkamah tersebut dengan tangannya tidak bergari.

"Kejadian berlaku selepas lelaki berkenaan selesai mendengar sebutan kesnya mengenai perpindahan kes tersebut dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

"Kita difahamkan, lelaki itu melarikan diri ketika dia dan beberapa tahanan lain dalam proses untuk dibawa balik ke Penjara Sungai Buloh," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Arjunaidi berkata lelaki itu yang mempunyai dua alatam iaitu USJ 5, Subang Jaya dan Regalia Residency Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, ditahan di USJ 8, atas kesalahan dadah.

Beliau berkata susulan kejadian itu, seorang koperal polis yang ditugaskan mengendalikan tahanan, ditahan untuk membantu siasatan sejurus menerima rawatan di hospital.

Katanya koperal berumur 50-an itu cedera di tangan selepas bergelut dengan lelaki Iran itu ketika melarikan diri.

"Kita tidak menolak kejadian itu mempunyai kaitan dengan kecuaian anggota polis yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika mengendalikam tahanan di mahkamah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 233/224 Kanun Keseksaan kerana cuai membiarkan seseorang lari dari kurungan.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci daripada semua sudut termasuk kemungkinan wujud penglibatan 'orang dalam' dalam kejadian itu. - Bernama

Pendaki Gunung Tebu terkandas selamat dibawa turun

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

BESUT - Lima belas pekerja kilang elektronik dari Pulau Pinang serta seorang jurupandu arah tempatan yang terkandas hampir 19 jam di Gunung Tebu, di sini selamat dibawa turun oleh pasukan penyelamat hari ini.

Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun itu berjaya dibawa turun kira-kira pukul 2.35 petang ini oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Renjer Hutan.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, kesemua mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki warganegara Malaysia dan lapan wanita warganegara asing itu selamat namun dalam keadaan letih dan lapar.

Menurut jurupandu arah, Abdullah Zakaria, 28, mereka mula terkandas di sekitar kawasan gunung itu kira-kira pukul 5 petang semalam selepas mengambil masa lima jam perjalanan dari kaki Gunung Tebu.

Katanya ketika mendaki pada ketinggian 4,950 meter dari kaki bukit itu, kumpulan pendaki berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan ekoran cuaca yang gelap berserta hujan dan permukaan licin selain ada di kalangan mereka mengalami kekejangan otot.

"Kami mula mendaki kira-kira pukul 10.30 pagi semalam namun ketika sampai di pertengahan pendakian, saya terpaksa hentikan perjalanan para pendaki itu selama sejam kerana hari mulai hujan selain ada yang mengalami kecederaan.

"Memburukkan lagi keadaan, dua peserta wanita kumpulan itu turut diserang histeria dan memaksa saya menghubungi beberapa rakan serta pasukan penyelamat untuk meminta bantuan membawa mereka turun," katanya yang menggambarkan keadaan para pendaki berkenaan sukar diredakan.

Menurut Abdullah, sepanjang bekerja sebagai jurupandu arah selama lapan tahun di Gunung Tebu, ini kali pertama beliau mengalami situasi sedemikian.

Sementara itu seorang pendaki berasal dari Perlis, Tharin Suwanmani, 30, berkata ini merupakan pengalaman pertamanya bersama rakan sekerja dalam aktiviti mendaki gunung dan pengalaman pahit mereka setelah terkandas di dalam hutan gunung.

"Walaupun saya tidak sampai ke puncak gunung tersebut, tidak mengapalah... janji kami semua selamat dibawa turun. Saya memang tidak sangka akan berlaku kejadian ini, namun saya tidak serik untuk mendaki lagi," katanya. - Bernama

2 warga Pakistan dihukum gantung edar 80.7kg dadah

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

SHAH ALAM - Dua peniaga lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman gantung sampai mati hari ini setelah didapati bersalah mengedar 71.9 kg heroin dan 8.8 kg morfin di Seri Kembangan, Selangor, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Asmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Imran Khan Jan Gulshah, 30, dan Muhammad Shahbaz, 33, gagal membuktikan dadah itu bukan di bawah jagaan atau milik mereka dan pembelaan gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah terhadap pertuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhammad dilihat pitam sejurus selepas mendengar keputusan Hakim Asmadi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kedai di Jalan PUJ3/11, Taman Puncak Jalil di Seri Kembangan pada 4.30 petang, 6 April 2011.

Dadah itu ditemui sepasukan polis yang menyerbu premis itu dan seorang daripada tertuduh cuba melarikan diri melalui tingkap tetapi gagal sebelum mereka diberkas.

Pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan 255 kotak, 14 daripadanya mengandungi 155 bungkusan yang ketika itu disyaki dadah.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani manakala pembelaan diwakili peguam Karpal Singh. - Bernama

Suspek kes curi gigit jari polis untuk lolos diri

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

TAWAU - Seorang anggota polis di sini cedera pada jari kelingking tangan kirinya selepas digigit seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes mencuri satu unit kabinet besi di Batu 2, Jalan Apas di sini.

Kejadian berlaku pukul 8 malam Isnin lepas ketika anggota polis itu bergelut dengan suspek berusia 21 tahun berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah kepada pemberita hari ini.

"Semasa membuat rondaan di situ, dua orang anggota kami terserempak dengan tiga lelaki sedang mengangkat almari besi di kawasan kelapa sawit. Anggota kami terus menahan mereka dan membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun ketiga-tiga lelaki itu bertindak agresif lalu berlaku pergelutan. Seorang daripada lelaki itu menggigit jari kelingking anggota kami untuk melepaskan diri," katanya.

Awang Besar berkata suspek yang menggigit jari anggota polis itu berjaya ditahan namun dua rakan subahatnya dapat meloloskan diri selepas mereka menendang dan memukul anggota polis berkenaan.

Anggota polis yang cedera pada jari itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tawau, katanya. - Bernama

Polis tumpas sindiket curi motosikal di Miri

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

MIRI - Polis menumpaskan sindiket curi motosikal yang aktif di sekitar bandaraya ini sejak bulan lepas, berikutan penahanan dua lelaki di Permyjaya di sini, Selesa lepas.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kok Keong berkata, lelaki berusia 28 dan 41 tahun itu ditahan dalam operasi pada kira-kira 3.30 petang setelah polis mencurigai motosikal yang dimiliki mereka.

Katanya, hasil siasatan dipercayai kedua-dua lelaki terbabit menganggotai sindiket curi motosikal yang menggunakan mondus operandi meleraikan komponen motosikal sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pekerja ladang sawit berhampiran.

"Dua suspek tersebut masih ditahan untuk soal siasat, ada kemungkinan suspek mempunyai rakan-rakan lain yang turut bekerjasama dalam kegiatan mencuri motosikal," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengenai Ops Cantas khas, beliau berkata, polis Miri menahan empat lelaki berumur antara 20 dan 36 tahun di pelbagai lokasi di sekitar Miri sejak 6 Sept lepas.

Polis turut merampas pelbagai senjata termasuk 'nunchaku', sejenis alat bela diri yang dipopularkan aktor seni mempertahankan diri, Bruce Lee, katanya. - Bernama

Pecah rumah: 3 lelaki dicari bantu siasatan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KEPALA BATAS - Polis Pulau Pinang mencari tiga lelaki yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan beberapa kes pecah rumah di sekitar negeri itu sejak beberapa bulan lepas.

Mereka ialah Muhamad Hafiz Saidi, 32, dari Pokok Tambang, Tasek Gelugor; Kong Teik Chye, 31, beralamat terakhir di Jalan Harbour Place, Seaview Tower, Butterworth; dan Nazrul Abd Wahab, 28, dari Kampung Kuala Tawar, Kulim, Kedah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah, selain kes pecah rumah, ketiga-tiga lelaki itu juga dapat membantu polis menyelesaikan siasatan kes curi kereta dan samun.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar menghubungi balai polis berdekatan bagi bantu siasatan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas kes lain, Mazlan berkata polis yakin dapat menyelesaikan kes seorang pengusaha restoran cedera parah ditembak dalam kejadian di Simpang Ampat, 4 Sept lepas.

"Kita ada maklumat baharu berkaitan kejadian," katanya menambah empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian itu pengusaha restoran berusia 40-an tersebut ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa memberhentikan keretanya di Kawasan  Perniagaan Taman Merak di sini pada pukul 3.13 petang.

Mengulas satu lagi kes, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai  mempunyai kaitan dengan kelopak pistol automatik dan peluru di dalam sebuah kereta di Jalan  Kendi, Pusat Perniagaan Taman Indah, Simpang Ampat, di sini 6 Sept lepas.

Katanya polis akan mengedarkan gambar mereka bagi meminta orang ramai membantu mengesan mereka. - Bernama

Polis rampas enam jentera berat RM2.3 juta

Oleh: GOKINA MORGANAN

Tarikh: September 12, 2013

KEPALA BATAS - Satu sindiket mencuri jentera berat di tapak pembinaan berjaya ditumpaskan dalam 'Ops Lejang'.

Polis turut menahan seorang lelaki yang mempunyai kemahiran membaiki jentera berat, dipercayai perancang utama sindiket berkenaan,

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan  oleh sepasukan anggota polis diketuai Asisten Supritendan Mohd Yusof Ibrahim di sebuah stor di Penaga kira-kira jam 3 petang, 6 Ogos lalu.

Beliau berkata, bertindak maklumat awam dan risikan, polis menemui enam jentera berat termasuk sebuah mesin korek, sebuah mesin pemampat dan sebuah traktor bernilai RM2.3 juta.

"Dua daripada jentera berat itu dilaporkan dicuri di Johor dan empat lagi dicuri di daerah ini.

"Polis turut merampas pelbagai anak kunci jentera berat yagn dipercayai digunakan oleh sindiket untuk mencuri jentera di tapak pembinaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan stor berkenaan sebagai tempat menyembunyikan semua jentera yang dicuri sebelum menjual kepada pembeli.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti ahli kumpulan sindiket berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dan pemilik stor terbabit.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan bagi dua kes dilaporkan di Johor Bahru.

"Suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan terhadap jentera berat yang dimiliki yang berdepan hukuman denda RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

 

Sungai Pahang tercemar akibat perlombongan

 

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

RAUB - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pencemaran Sungai Pahang dan beberapa sungai di negeri ini berpunca daripada kegiatan perlombongan persendirian di beberapa daerah.

Katanya, walaupun kerajaan negeri Pahang telah mengeluarkan lesen kepada pemilik tanah yang mempunyai lombong, malangnya kegiatan perlombongan persendirian itu tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Air lombong terbabit mengalir masuk ke sungai termasuk Sungai Pahang dan mengakibatkan air sungai terbabit tercemar.

"Selain mengancam hidupan di dalam air, ia turut mengancam kesihatan penduduk yang mendapatkan bekalan air daripada sungai berkenaan," katanya ketika mengulas pencemaran loji air Kampung Batu Embun, Jerantut dan loji Jengka 8, Jengka.

Terdahulu,  beliau mengadakan perjumpaan bersama pemimpin Umno Bahagian Raub
 di sini, semalam.

Sehubungan itu, Adnan mengarahkan kegiatan perlombongan sedemikian dihentikan segera walaupun pelombong memiliki lesen bagi memastikan air sungai tidak tercemar.

"Saya mahu Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi yang ada kaitan dengan perlombongan terbabit supaya menyiasat segera kegiatan ini dan jika ia menyalahi peraturan dan syarat, tindakan tegas mengikut undang-undang hendaklah diambil bagi menjaga kepentingan awam dan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata, bekalan air di kedua-dua kawasan terbabit diberhentikan sementara pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) membersihkan loji itu.

Beliau memberi jaminan bekalan air kepada penduduk di dua kawasan itu akan disambung kembali secepat mungkin. - Bernama

 

2 kereta rosak ditimpa konkrit

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

BUKIT MERTAJAM - Dinding penahan tanah (retaining wall) Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Perkampungan Berapit runtuh sekali gus merosakkan dua kenderaan yang di parkir berhampiran kawasan itu kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Perkampungan Berapit, Ang Tun Kiat berkata, runtuhan tersebut berlaku akibat hujan lebat kebelakangan ini malah mengakibatkan struktur tanah di kawasan terbabit semakin mendap.

"Mujurlah tidak ada sesiapa di dalam kelas ketika kejadian tersebut berlaku pada jam 5 petang.

"Tanah yang lembut dan mendap menyebabkan rekahan di dinding semakin ketara sekali gus merosakkan dua kereta yang di parkir di tepi jalan," katanya.

Difahamkan, Pengarah Pelajaran Pulau Pinan,g Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin turut melawat lokasi kejadian bagi memantau kerosakan sekolah tersebut.

Adun Berapit, Ong Kok Fooi berkata, dinding terbabit perlu dinaik taraf memandangkan terdapat banyak rekahan ketara di permukaannya.

"Kali terakhir penahan dinding ini dibina pada 10 tahun lalu apabila dinding sebelumnya runtuh akibat hakisan.

"Kita tidak mahu keselamatan murid-murid terancam kerana sekarang memang musim hujan dan kemalangan boleh berlaku bila-bila masa. Justeru itu, saya harap tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Pemilik kereta Toyota Unser dan Suzuki Jimny, Ng Yang Ghim, 51, berkata, dia langsung tidak menyedari akan kejadian tersebut sehingga terdengar bunyi runtuhan yang kuat.

"Saya yang sedang berada di dalam rumah berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Memang terkejut apabila mendapati runtuhan sisa konkrit menghempap kereta-kereta saya yang di parkir di situ setiap hari. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat," katanya.

Remaja ditahan bersama dadah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

PADANG SERAI - Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah di sebuah premis perniagaan, di sini, ketika Ops Tapis dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, jumlah rampasan melibatkan dadah jenis syabu seberat 39.87 gram dan pil ekstasi sebanyak 750 biji.

Menurutnya, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diketuai ASP Raja Hafiz Raja Razak membuat pemantauan terhadap premis terlibat sebelum membuat serbuan.

"Ketika serbuan, pintu premis berkunci bagaimanapun setelah diketuk beberapa kali, seorang lelaki keluar dan membuka pintu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui satu paket lut sinar dipercayai dadah dalam satu beg kecil yang tersangkut pada pinggang suspek. Manakala enam lagi paket lut sinar dipercayai dadah turut ditemui," katanya.

Ghuzlan berkata, pemeriksaan ke ruang pejabat menemui satu kotak di bawah kabinet yang mengandungi 22 paket lut sinar dan setiap satu paket mengandungi 10 biji dipercayai pil ekstasi.

"Curiga dengan penemuan itu, kita terus membuat pemeriksaan rapi dan menemui satu tin berisi lima paket lut sinar dipercayai dadah jenis syabu.

"Malah suspek turut diminta menunjukkan tempat penyimpanan barang terlarang lain, hasilnya satu kotak tersangkut di dinding ruang pejabat mengandungi satu plastik lut sinar berisi 500 pil dipercayai ekstasi ditemui," katanya.

Katanya, turut dirampas beg pakaian mengandungi dua parang, satu pisau, satu buku lima dan pistol memanah.

"Tiga alat perhubungan yang di temui di atas meja juga dirampas.

"Suspek kemudiannya di bawa ke IPD Kulim untuk menjalani ujian air kencing dan kami mendapati dia positif dadah," katanya.

Beliau berkata, kes idisiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1), Akta Dadah Merbahaya 1952. Sabit kesalahan suspek boleh dihukum gantung mandatori,.

Nyaris rugi lebih RM100,000

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: September 12, 2013

IPOH - Akibat sifat ingin tahu dan sanggup mengambil risiko, seorang penyelia hampir kerugian AS$37,050 (RM121,322.08) kerana terjebak dalam skim penipuan internet yang didakwa berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, mangsa, Noor Azlin Zainal, 46, dari Ipoh, bernasib baik kerana hanya kerugian sebanyak RM800 iaitu bayaran bagi mengaktifkan semula akaun bank milik seorang warga Iraq yang didakwa tidak aktif sejak 2002.

Mengikut keterangannya, dia dihubungi menerusi emel kira-kira dua bulan lalu oleh seorang wanita bernama Nur Marina Muhammad yang mendakwa bekerja sebagai seorang juru audit di sebuah bank terkemuka di New York.

Menurutnya, di dalam emel tersebut dinyatakan bahawa terdapat seorang lelaki warganegara Iraq bernama Ali Al-Mubaraq yang ketiadaan waris untuk mewarisi wang berjumlah AS$1.3 juta (RM4,256,915) sejak 11 tahun lalu.

Katanya, juru audit itu menawarkan nisbah 50/40/10 kepada sesiapa yang menawarkan diri untuk menjadi pewaris kepada warga Iraq berkenaan.

"Berikutan itu, saya memberanikan diri untuk melihat kebenaran emel tersebut. Saya memberikan butiran peribadi dan keesokannya saya menerima dua dokumen dari wanita berkenaan melalui emel.

"Semua urusan dikendalikan wanita itu sehinggalah saya diminta untuk membayar cukai berjumlah AS$37,050," katanya yang ditawarkan 40 peratus daripada jumlah wang ditawarkan.

Noor Azlin mendakwa, selain emel, wanita berkenaan turut menghubunginya menerusi panggilan telefon beberapa kali.

Katanya, selepas berasa sangsi apabila diminta untuk membayar wang cukai tersebut, dia mengambil keputusan untuk meminta bantuan Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah bagi mendapatkan khidmat nasihat.

"Apabila saya cuba mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut, saya dimaklumkan urusan itu adalah satu penipuan.

"Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam tengah hari tadi (semalam) bagi memastikan pengenalan diri saya tidak disalah guna serta membersihkan nama dalam urusan tersebut," katanya.

Sementara itu, Mohd Rawi menasihatkan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran menarik yang dikemukakan terutamanya berbentuk wang melalui emel mahupun laman sosial seperti Facebook.

"Sepanjang dua minggu ini, sebanyak enam kes penipuan seperti ini kami terima. Mungkin mangsa terpedaya kerana jumlah wang  ditawarkan mencecah jutaan ringgit.

"Justeru, kami akan membuat aduan kepada pihakberkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan ini," katanya.

 

Nyaris jadi mangsa penipuan panggilan telefon

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

KUANTAN – Seorang suri rumah dekat sini, lega apabila terselamat daripada menjadi mangsa penipuan yang menggunakan modus operandi menerusi panggilan telefon untuk memeras duit orang ramai, 28 Ogos lalu.

Mangsa Yap Em Moi, 60, berkata, dia hampir kehilangan wang sebanyak RM7,000 hasil perbualan dengan pemanggil yang mengakui dirinya seorang pegawai bank dalam tempoh tidak sampai 30 minit.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, apabila saya terima panggilan daripada seorang lelaki Cina yang membuat panggilan terus kepada telefon bimbit saya.

"Agak pelik dan terkejut apabila pegawai bank tersebut mengarahkan saya membuat pembayaran kad kredit dengan kadar segera bagi mengelakkan bebanan hutangnya semakin bertambah," katanya.

Dia berkata demikian dalam satu sidang media di pusat khidmat Dun Semambu, dekat sini, semalam.

Menurutnya, pegawai bank palsu itu turut mendedahkan nombor akaun bank yang dikatakan miliknya, kad pengenalan dan beberapa informasi lain sehingga membuatkan dia mula mempercayai bahawa berkemungkinan ia panggilan yang betul daripada sebuah bank.

"Namun apabila dia menyatakan permohonan itu dilakukan di Mid Valley, Kuala Lumpur, saya yakin panggilan itu adalah cubaan menipu memandangkan saya tidak pernah mengunjungi pasar raya tersebut.

"Sebelum ini memang saya ada akaun di bank berkenaan melalui pembayaran kereta tetapi saya sudah menyelesaikannya kira-kira dua tahun lalu," katanya.

Katanya, kemudian dia segera mengambil tindakan dengan membuat aduan di pusat khidmat masyarakat di bahagian Dun Semambu dan meminta mereka melakukan semakan.

"Mereka bantu saya menelefon dan buat semakan di bank berkenaan dan mendapati tidak ada permohonan kad kredit dibuat.

"Suri rumah perlu lebih berwaspada selepas ini dan tidak terpedaya dengan sebarang panggilan telefon walaupun ia daripada seorang yang mengaku dirinya pegawai bank," katanya.

 

Berlabuh tanpa kebenaran

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

SENAI -  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) daerah Johor Bahru menahan sebuah kapal asing disyaki melakukan kesalahan bersauh di kawasan larangan dan gagal melaporkan ketibaan kapal di perairan negara, kelmarin.

Ketua Penguatkuasa daerah, Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata dalam kejadian pukul 11.05 pagi itu, kapal berkenaan dikesan berlabuh kira-kira 4.8 batu nautika  tenggara Tanjung Piai, Pontian.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mendapati kapal berkenaan yang didaftarkan di Tarawa, Kiribati gagal memaklumkan ketibaan kapal.

"Siasatan mendapati terdapat 10 anak kapal terdiri daripada sembilan warganegara Indonesia dan seorang warga Sri Lanka berumur antara 22 hingga 43 tahun berada di atas kapal tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

"Kapten dan ketua jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, pemilik kapal boleh didakwa mengikut seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana bersauh di kawasan larangan bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan negara.

 

Helah si kaki judi

Oleh: SHAHIZATUL FARHA S ROSLI

Tarikh: September 12, 2013

KULAIJAYA -  Taktik sekumpulan kaki judi berselindung di sebalik tokong terbongkar apabila 12 lelaki ditahan polis ketika sedang leka berjudi di Taman Manis, Kelapa Sawit di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, hasil serbuan itu pihak polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM17,358 dan mata wang Singapura berjumlah S$944.

"Bertindak atas maklumat perjudian yang diterima, serbuan dijalankan pada jam 12.50 malam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah.

"Ketika sampai ke lokasi kita dapati sekumpulan lelaki sedang berdiri mengelilingi sebuah meja dan disyaki sedang mempertaruhkan wang tunai masing-masing untuk perjudian.

"Kumpulan berkenaan bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran polis dan kita berjaya menangkap seramai 12 lelaki," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya di sini, semalam.

Katanya, pihak polis turut merampas peralatan perjudian yang digunakan kumpulan itu termasuk dua biji dadu dan sehelai kertas mahjung manakala kesemua individu ditahan berusia antara 36 hingga 63 tahun.

Zulkefly berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan menjalankan perjudian jenis 'tong kow', 'chee kee pee', 'poh poh' dan 'pai kaw' selain mengesyaki mereka menjalankan aktiviti itu sejak tiga hari sebelum serbuan.

"Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sampai RM5,000 atau penjara hingga enam bulan," katanya.

Tong gas meletup, 4 melecur disambar api

Oleh: NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN

Tarikh: September 12, 2013

MUAR – Empat pekerja warga Myanmar melecur pada bahagian anggota badan akibat disambar api selepas tong gas di tempat mereka bekerja meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di sebuah kilang di Parit Bakar Darat di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.52 malam itu berlaku ketika enam pekerja kilang berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pemindahan gas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada percikan api ke gas berkenaan lalu meletup sebelum api menyambar ke arah empat daripada enam pekerja terbabit sehingga melecur.

Menurutnya, sebanyak 15 daripada kira-kira 300 tong gas stor berkenaan dipercayai meletup mengakibatkan kerosakan teruk di dua bangunan kilang tersebut.

"Enam pekerja terbabit bertindak melarikan diri ke kebun berhampiran tempat kejadian, sebelum dua daripada mereka yang terselamat menghubungi pihak polis dan bomba," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihak bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 18 anggota tiba di lokasi pada jam 9.12 malam, dan berjaya memadam keseluruhan kebakaran dua jam kemudiannya.

"Pihak polis turut membantu mencari enam pekerja berkenaan di dalam kebun itu dan mendapati empat daripada mereka mengalami kecederaan, lalu di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

"Siasatan awal mendapati kerugian dianggarkan RM300,000 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa berusia antara 20an hingga 30an mengalami kecederaan melecur lebih 50 peratus pada bahagian anggota badan.

"Keadaan mereka kritikal dan ditempatkan  dalam unit rawatan rapi (ICU).

"Kita masih tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar mereka kerana tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa," katanya.

Pemandu upahan warga Yaman ditahan polis

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

TAPAH - Polis Tapah berjaya mengesan pemandu warga Yaman yang dilaporkan hilang selepas insiden kemalangan maut membabitkan keluarga warga Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Kilometer 335.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Ahad lalu.

Lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu upahan keluarga mangsa itu berjaya ditemui di Kedutaan Yaman di Kuala Lumpur selepas tindakan proaktif dijalankan polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya meminta pihak Kedutaan Yaman mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung kemalangan mengorbankan dua nyawa termasuk seorang ibu hamil enam bulan itu.

Menurutnya, pada Selasa lalu, pihaknya menerima panggilan dari IPD Cheras mengatakan Kedutaan Yaman  mengesan lelaki tersebut dan berada di balai polis itu.

"Berdasarkan maklumat itu, kita berjaya membawa pulang lelaki terbabit dan dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang Ahad lalu, seorang ibu bersama anak perempuannya maut selepas kereta dinaiki mereka bersama empat ahli keluarga lain yang dalam percutian dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hilang kawalan sebelum terbabas.

Restoran tomyam kena serbu

 

 

 

 

Oleh: SITI NADIAH AHMAD ZAMLUS

Tarikh: September 12, 2013

GEORGETOWN - Sebuah restoran masakan tomyam yang terkenal di sini diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam.

Restoran berhampiran dengan sebuah pusat beli belah berdekatan pesisir pantai itu menjadi tumpuan kebanyakan pelanggan berikutan pemandangan yang cantik namun sayangnya ketika pemeriksaan kebersihan mendapati restoran tersebut kotor.

Penguatkuasa JKNPP bersama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut mendapati tikus dan lipas juga berkeliaran di sekitar restoran.

Sebelum ini juga ada sumber memberitahu terjumpa telur lalat di dalam sup daging yang dihidangkan kepada pelanggan.

Operasi selama tujuh jam

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi yang dinamakan Ops Tomyam itu mula dijalankan semalam bermula jam 6 petang hingga 1 pagi.

Menurutnya, penguat kuasa JKNPP terlebih dahulu membuat risikan sebelum menyerbu kesemua 40 premis kedai dan restoran masakan tomyam di negeri ini.

"Kami dapati premis makanan ini tidak mematuhi elemen penting kebersihan termasuk dengan adanya makhluk perosak seperti tikus malah peralatan makanan juga tidak bersih.

"Kebanyakan pengendali makanan atau pembantu kedai tidak mendapat suntikan kepialu dan tidak menghadiri latihan pengendali makanan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Ops Tomyam di Komtar.

Dalam operasi berkenaan, 40 premis diperiksa termasuk 21 di Barat Daya dan Timur Laut, tujuh di Seberang Perai Selatan (SPS) dan masing-masing empat premis di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

Kelapan-lapan premis di SPU dan SPT diarah tutup dan 10 premis di Timur Laut serta Barat Daya juga mengalami nasib yang sama.

Kesemuanya ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, sekiranya bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lanjut tempoh penutupan jika belum bersih

Ku Nafishah berkata, kesemua pemilik premis makanan yang diarah tutup perlu melakukan kerja pembersihan dan premis berkenaan akan diperiksa semula sebelum dibenarkan untuk dibuka kembali.

Namun JKNPP tidak akan teragak-agak untuk melanjutkan tempoh penutupan sekiranya pemilik premis masih gagal memastikan premis makanan mereka telah bersih.

"Operasi pada sebelah malam ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang terutamanya di kedai-kedai makan yang beroperasi pada waktu malam," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna memilih premis makanan yang bersih sebelum menikmati makanan.

Ia bagi mengelakkan terkena keracunan makanan, dan pengguna juga boleh memilih pengendali makanan yang mengamalkan ciri kebersihan seperti memakai apron dan penutup kepala.

 

Takut anak diambil hantu

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 12, 2013

BAYAN BARU - Seorang suri rumah kerugian RM10,200 selepas mendakwa dipukau tiga wanita warga China di sebuah pasar di sini minggu lalu. H'ng Sew Bee @ H'ng Saw Bee, 59, ketika itu berjalan seorang diri ke pasar Lip Sin di sini untuk membeli barang keperluan sebelum didatangi seorang wanita yang meminta pertolongan untuk menunjukkan kuil yang menempatkan sami.

Pada pagi hari kejadian dan seperti biasa beliau menunggang motosikal dari rumahnya yang terletak di Krystal Villa. Ketika berbual dengan rakannya, beliau didatangi seorang wanita dalam keadaan bermasalah.

"Wanita itu meminta saya menunjukkan kuil yang menempatkan sami yang bagus untuk mengubati penyakitnya. Ketika sedang leka mendengar masalah wanita itu, ada seorang wanita lain yang juga warga China menyapa kami dengan berkata, dia tahu di mana sami itu berada.

"Saya kemudian mengikuti dua wanita itu ke kuil berdekatan pasar berkenaan namun rakan saya tidak ikut. Ketika sampai di kuil berkenaan, ada seorang lagi wanita yang mendakwa cucu kepada sami yang tinggal di kuil berkenaan. Tetapi saya tidak nampak sami di kuil itu," katanya kepada media di pusat khidmat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin semalam.

Menurutnya, ketika wanita pertama menceritakan masalahnya kepada 'cucu sami' berkenaan, wanita yang menyamar itu meyakinkan mereka bahawa penyakit itu dapat disembuhkan.

"Selepas wanita yang menyamar cucu sami itu mengubati penyakit wanita berkenaan, dia kemudian memberitahu saya bahawa anak perempuan tunggal saya bakal diambil hantu jika tidak mengubatinya dengan segera.

"Kerana takut perkara itu berlaku, saya seolah-olah terpengaruh dan terpukau dengan setiap arahan yang diberikan wanita berkenaan," katanya.

Beliau diminta pulang  dan membawa semua wang serta barang kemas yang dibungkus dengan surat khabar.

"Wanita itu memberi alasan, selain menghalang anaknya diambil hantu, wang serta barang kemas berkenaan akan berganda jika dijampi," katanya.

Menurutnya, beliau dengan rela hati pulang dan melakukan apa yang disuruh wanita berkenaan dan bergegas ke kuil berkenaan untuk memberikan apa yang diminta.

"Pada ketika itu, saya seolah-olah tidak boleh berbuat apa, hanya mengikut apa yang disuruh oleh wanita berkenaan.

"Ketika menyerahkan semua barang yang diminta, saya dibawa salah seorang wanita berkenaan untuk membasuh tangan dengan air suci kononnya bagi mengelakkan keluarga kami diganggu anasir jahat. Saya hanya mengikut arahan itu," katanya.

Selepas mencuci tangan, wanita yang menyamar sebagai cucu kepada sami itu menyerahkan semula bungkusan kepadanya yang kononnya sudah dijampi dan hanya boleh membukanya selepas 21 hari.

"Pada ketika itu, saya rasa tidak sedap hati namun hanya mengiakan suruhannya. Sampai di rumah, saya meramas bungkusan surat khabar berkenaan dan mendapatinya kosong," katanya.

Menyedari dirinya tertipu, Sew Bee membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong.

Sementara itu, Tze Tzin meminta polis mengambil tindakan serius terhadap sindiket berkenaan kerana didapati aktif di negeri ini sejak beberapa bulan yang lalu dan menyasarkan suri rumah sebagai mangsa.

Azizan teringin makan ketupat

 

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak teringin menjamah ketupat  ketika Aidilfitri lalu selepas dibenarkan mengambil makanan pejal yang lembut.

Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, walaupun makanan itu tidak dibenarkan kerana masih dalam rawatan rapi di Hospital Pulau Pinang (HPP), namun keluarga tidak sampai hati untuk menolak hajatnya itu.

"Azizan mahu makan ketupat tetapi kasihan pula jika ditolak permintaan itu. Saya pun memberi sepotong ketupat untuk dimakan, Azizan nampak gembira dan puas hati. Selepas itu, ahli keluarga turut beri kuih raya yang lembut untuk dimakan," katanya ketika mengimbas suasana Aidilfitri  lalu, yang disambut bersama ahli keluarga di HPP.

Menurutnya, kelonggaran diberi agar Azizan gembira meraikan Aidilfitri, kerana kebiasaannya beliau hanya makan bubur nasi atau sup.

"Selera makan Azizan ketika itu amat baik. Apabila pulang ke Kedah, selera makan agak kurang dan pendiam. Berbeza ketika di HPP, Azizan aktif dan sering ajak berbual," katanya.

Faekah berkata, daripada riak wajahnya menggambarkan seolah-olah Azizan sedang memikirkan sesuatu, namun apabila ditanya, hanya membisu.

"Beliau lebih banyak berehat dan kurang bercakap. Kelihatan seperti banyak berfikir tetapi tidak pula minta sesuatu atau teringin  makanan tradisional Kedah," katanya.

Faekah juga memaklumkan kesihatan Azizan stabil dan baik walaupun ada ketika beliau dilihat seperti lemah dan tidak bermaya.

"Saya ingin perjelaskan keadaan Azizan sangat positif, kerana ada tanggapan pihak luar yang dakwa Azizan semakin kritikal sejak dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Sebenarnya, dalam keadaan biasa, beliau segar dan ceria, sebaliknya selepas proses dialisis atau diberi ubat, keadaan sedikit lesu," katanya.

Beliau berkata, jika ada pelawat yang menziarahi selepas Azizan menerima rawatan, keadaannya sedikit keletihan menyebabkan kurang bercakap dan mahu tidur.

"Ini proses biasa yang dialami setiap hari. Saya harap jangan ada pihak buat andaian negatif atas keuzuran beliau," katanya.   

Faekah berkata, walaupun Azizan kelihatan kurang bermaya, namun ingatannya sangat baik dan dapat mengenali setiap pelawat yang datang.

Azizan, 69, yang juga Adun Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya pada 9 Mei lalu di HPP, setelah dipindahkan dari Kedah Medical Centre (7 Mei) akibat komplikasi diabetik.

Azizan menerima rawatan lebih tiga bulan di HPP sebelum dipindahkan ke HSB pada 13 Ogos lalu.

Pengurus kena ragut kali kedua

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

MALIM – Seorang pengurus syarikat, 54, kerugian hampir RM10,000 selepas menjadi mangsa ragut di Jalan Berkat, Taman Malim Jaya, semalam.

Pada kejadian jam 1.30 petang, mangsa sedang berjalan menuju kedai kopi berhampiran selepas terserempak dengan rakan lamanya.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia didatangi sebuah motosikal jenis Yamaha SS berwarna biru dari arah belakang sebelum beg bimbit diragut.

Akibat kejadian itu, tangan kanan mangsa mengalami kesan calar selain kehilangan Mykad, wang tunai RM1,200, rantai emas, cincin berlian, Samsung tab note, lesen memandu dan kad bank.

Difahamkan, mangsa yang sebelum ini pernah diragut bertindak menyimpan rantai dan cincin dalam beg bimbitnya kerana tidak mahu kejadian berulang kali kedua.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bachang, Lim Jak Wong berkata, kamera litar tertutup di sebuah stesen minyak berhadapan kawasan kejadian merakam aksi ragut berkenaan.

"Terima kasih dengan bantuan pengusaha stesen minyak ini kita melihat rakaman dan mendapati dua penyamun datang dari arah depan mangsa.

"Suspek patah balik  membuat 'u-turn' di simpang jalan dan meragut beg mangsa. Kejadian hanya dalam tiga saat," katanya yang melihat keadaan mangsa di Balai Polis Malim, semalam.

Katanya, peragut yang memakai baju batik berlengan panjang adalah pembonceng motosikal dan berbadan besar.

Terdahulu, kejadian disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah.

 

Padah bawa senjata awal pagi

 

Oleh: Nik Amirulmu'Min Nik Min

Tarikh: September 12, 2013

KUANTAN - Seorang pemandu lori dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas kesalahan memiliki tujuh senjata berbahaya ketika ditahan polis di hadapan sebuah tokong di Jalan Mat Kilau di sini, awal pagi, 8 September lalu.

Tertuduh, Leong Chee Heng, 48 berasal dari Taman Dagang, Kuala Lumpur dalam rayuannya menafikan senjata terbabit termasuk empat pisau, sebilah parang  dan empat bilah keris bersarung itu digunakan bagi tujuan jenayah.

Menurutnya senjata itu sebahagian koleksi peribadinya dan dibawa awal pagi itu untuk disimpan di rumah baru.

"Sebelum ini senjata tersebut disimpan di rumah saya di Jabor dekat sini. Selepas berpindah saya membawanya untuk disimpan di rumah baru," jelasnya.

Majistret Jesseca Daimis bagaimanapun tidak dapat menerima alasan tertuduh itu memandangkan ketika ditahan, tertuduh berada di tempat awam bersama senjata terbabit pada waktu yang tidak sepatutnya.

"Kamu juga turut memiliki tiga rekod jenayah lampau bagi kes samun sejak 1990 hingga 1997 selain kesalahan memiliki dadah pada 2002.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 ini, hukuman penjara adalah wajib sehingga dua tahun atau sebatan," katanya.

Mengambil kira faktor kesalahan dan rayuan tertuduh itu, Jesseca memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama dua bulan bermula tarikh jatuh hukum semalam.

Tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan sebagai pemandu lori masih bujang dan kini menyara ibu serta dua adiknya.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan T Murugesu, tertuduh ditahan polis untuk pemeriksaan setelah berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan tokong terbabit kira-kira jam 2 pagi sambil menggalas sebuah beg.

Hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa membawa kepada penemuan senjata terbabit.

Tertuduh ditahan untuk siasatan kerana kesalahan memiliki senjata bahaya tanpa kebenaran dan maksud yang sah sebelum dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan sama.

'Tolong jangan ganggu kami lagi'

 

Oleh: ASWANY OMAR

Tarikh: September 12, 2013

KUANTAN - Seorang wanita pada mulanya menganggap dia boleh menarik nafas lega selepas mendengar lafaz cerai daripada suaminya pada 1 Februari lalu selepas dua tahun menanti saat itu.

Bagaimanapun, deritanya tidak berakhir apabila bekas suaminya yang berusia 38 tahun masih mengganggu dia dan dua anaknya yang masih trauma selepas melihat sendiri penderaan dilakukan bapa mereka sebelum ini.

Wanita yang mahu dikenali Ina, 37, berkata, dia tidak mahu memisahkan hubungan bapa dan anak, tetapi kecewa kerana suaminya masih tidak mematuhi perintah mahkamah untuk hak lawatan dan nafkah anak-anak.

"Saya cuma mahu dia meminta kebenaran untuk berjumpa anak-anak kerana bimbang keselamatan mereka di sekolah atau di tempat awam," katanya.

Menurutnya, selepas lebih dua tahun menderita dipukul suami, dia tidak berdiam diri dan berusaha keras melepaskan tekanan dan ketakutan anak-anak dengan mendapatkan peguam dan perintah mahkamah syariah.

"Ketika itu tiada siapa mampu membantu. Jawatan suami sebagai seorang pegawai awam menjadikannya lebih taksub mendera dan menipu kerana semua individu penting yang saya temui tidak membantu.

"Malang nasib saya kerana dituduh gila dan sanggup memukul diri sendiri. Beberapa laporan polis yang dibuat juga tidak menjamin keselamatan saya," katanya yang mengharapkan bahagia selepas penceraian.

Ina berkata, dia tidak pernah berputus asa dan memohon Perintah Interim dan Perintah Tegahan di Mahkamah Syariah akibat tindakan kasar suami yang mencederakannya.

Sebagai mangsa dera, Ina mengakui tidak pernah menyesal bercerai malah dia lebih kuat membesarkan dua anak perempuan berusia lapan dan 12 tahun.

"Saya tidak kisah berstatus janda kerana paling utama cara hidup saya berada pada landasan yang betul," katanya.

Ina berkata, dia cuma memohon bekas suami tidak membuat perkara yang menakutkan anak-anak dan berubah sikap sebelum menutup mata.

Pemandu bot miliki dadah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

BESUT - Seorang pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian, bakal berdepan hukuman mati sekiranya didapati bersalah memiliki sejumlah dadah selepas dia ditangkap di pulau berkenaan, semalam.

Suspek berusia 38 tahun itu ditangkap dalam operasi dilakukan sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Shamsuddin Abas bermula jam 3 hingga 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, polis memeriksa bilik di sebuah chalet di pulau berkenaan dan menahan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan empat botol dan 22 tiub straw mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

"Polis turut merampas 44 biji pil daripada suspek dipercayai dadah jenis methamphertamine (pil kuda). Keseluruhan dadah dirampas daripada suspek itu bernilai kira-kira RM3,000," katanya.

Beliau berkata, suspek yang masih bujang, ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati dan Seksyen 12 (2) akta sama.

Katanya, polis turut menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 26 hingga 38 tahun kerana didapati positif dadah dalam operasi sama.

"Mereka terdiri daripada pemandu bot pelancong, tukang masak di chalet, buruh kontrak dan berniaga sendiri," katanya.

SPAD: Pengusaha bas tidak boleh lepas tangan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Pengusaha bas tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab terhadap setiap kemalangan membabitkan pemandu mereka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. 

Beliau berkata, tugas SPAD adalah mengeluarkan prosedur antaranya mengenai kriteria pemandu bas dan menjadi tanggungjawab pengusaha syarikat bas untuk menentukan prosedur itu diikuti.

"Bila kemalangan berlaku banyak yang bertanyakan kepada SPAD. SPAD tidak boleh menjaga pemandu bas, apa yang SPAD boleh buat ialah melahirkan prosedur menentukan pemandu yang layak, mempunyai pengalaman mencukupi dan yang sihat masa memandu.

"Tetapi paling penting yang kita akan bagi tumpuan ialah tentukan pengusaha yang sebenarnya golongan berdepan dengan keadaan itu, mereka perlu mengambil tindakan tegas kepada penentuan pemandu-pemandu yang tidak mencukupi syarat untuk memandu, itu kemungkinan akan mengelakkan atau mengurangkan kecelakaan daripada berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah mengenai kesedaran hak penumpang teksi di sekitar pusat beli-belah Pavillion dengan kerjasama Persatuan Pelancongan BBKLCC di sini, hari ini.

D
itanya mengenai kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk dua bas di KM31.5, Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur petang semalam, Syed Hamid berkata, SPAD akan menghantar notis tunjuk sebab kepada pengusaha bas meminta mereka memberikan jawapan kepada beberapa persoalan mengenai kemalangan itu.

Seorang wanita Singapura yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia awal hari ini, manakala 12 orang cedera dalam kejadian itu. 

"Notis itu kita akan hantar secepat mungkin selepas kita dapat maklumat asas mengenai kemalangan itu," katanya.

Beliau berkata, perkara yang sama juga dilaksanakan dalam kemalangan bas di  Genting Highlands baru-baru ini mengakibatkan 37 penumpang maut.

"Macam yang di Genting Highlands... kita panggil pengusaha untuk tunjuk sebab. Pengusaha tak boleh lepas tangan... akhirnya sama ada pemandu selamat, pemandu sihat, itu adalah tanggunjawab pengusaha.

"Kami akan bertindak tegas terhadap  pengusaha, tetapi kami tidak mahu membuat kesimpulan sebelum mendapat keputusan siasatan. Kalau tak kita tak adil kita buat keputusan siapa yang bersalah sebelum tahu fakta dan keterangan," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid mengingatkan pemandu teksi untuk tidak mengambil kesempatan terhadap penumpang terutamanya pelancong asing supaya imej dan matlamat negara meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing pada Tahun Melawat Malaysia 2014 tidak tercalar. 

"Kita dapat banyak komplen mengenai teksi kita di sini, terutama yang tak
 guna meter. Jangan ketuk untuk dapat untung jangka pendek... 2014 kita sasarkan jumlah lebih besar kedatangan pelancong, jadi biarlah kita tentukan supaya pelancong ingat kenangan manis di sini," katanya.

Dalam operasi bersepadu SPAD bersama-sama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan di sekitar Bukit Bintang baru-baru ini, 35 pemandu teksi didapati tidak menggunakan meter manakala enam lagi ditahan kerana mengenakan caj berlebihan. 

Ditanya mengenai status draf rancangan induk pengangkutan awam darat negara, Syed Hamid berkata, draf itu masih dalam proses mengumpul maklum balas orang ramai dan dijangka dibentang ke Kabinet hujung tahun ini. 

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan aplikasi perkhidmatan telefon pintar Android dan iPhone 'MySPAD' yang membolehkan orang awam mendapat maklumat mengenai pengangkutan awam termasuk memberi aduan dan maklum balas.  - Bernama

Agong gesa tangani fahaman Syiah: Mufti Kedah

 

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

JITRA - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu semua pihak menggembleng tenaga untuk menangani penyebaran fahaman syiah di negara ini.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkan perkara itu semasa beliau menghadap Seri Paduka yang juga Sultan Kedah di Istana Anak Bukit dekat sini semalam. 

Katanya Seri Paduka melahirkan kebimbangan terhadap penularan fahaman syiah yang semakin serius di negara ini termasuk di Kedah walaupun penyebaran fahaman itu dilarang di negara ini.

Tuanku Abdul Halim turut menitahkan supaya hukuman berat dikenakan terhadap mereka yang dikesan menyebarkan fahaman itu yang cuba menghakis pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini, katanya.

Syeikh Mohamad Baderuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di seminar menangani isu Syiah di Malaysia peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Zon Utara, di sini hari ini.

Syeikh Mohamad Baderuddin berkata golongan muda antara mereka yang mudah tertarik terhadap fahaman syiah kerana difahamkan ditawarkan wang ringgit dan lawatan ke luar negara.

"Baru-baru ini ada maklumat yang diterima, ada remaja yang telah menunjukkan kepada rakannya kesenangan selepas dia ikut syiah. Remaja ini tak ada kereta sebelum ini dan bila dia masuk syiah dia dah ada kereta dan kesenangan.

"Umpan-umpan macam ini boleh menawan hati remaja untuk ikut syiah ini. Mereka juga tertawan dengan tarikan nikah mutaah yang memudahkan pasangan untuk berkahwin selain dibawa membuat lawatan ke negara yang dipimpin syiah. Semua ni nak tarik ramai orang masuk syiah," katanya. - Bernama

 

Tanam labu dapat RM15K

Oleh: NOOR HAYATI MAMAT

Tarikh: September 12, 2013

KUALA BERANG - Berbudi pada tanah pasti ada hasilnya. Itulah dibuktikan peserta Projek Pertanian Kelompok Sayur Kampung Kuala Por di sini yang mengusahakan pelbagai tanaman sejak 20 tahun lalu sebagai sumber pendapatan.

Terbaru, peserta terbabit sekali lagi memperoleh habuan apabila tanaman labu diusahakan mereka awal Jun lalu, mengeluarkan hasil kira-kira 24 tan dengan pendapatan kasar dianggarkan sekitar RM15,000.

Ketua peserta, Jaafar Abdullah, 59, berkata, tanaman labu kira-kira 3.2 hektar itu diusahakan 16 peserta dan enam daripada mereka di bawah Projek Organisasi Komuniti sekali gus menerima bantuan bulanan daripada JKM.

Menurutnya, keluasan sebenar kawasan itu adalah kira-kira 9.7 hektar dengan mengusahakan pelbagai tanaman jangka pendek termasuk timun dan cili.

"Asalnya, kawasan ini merupakan tanah terbiar milik persendirian. Selain menjana pendapatan, projek ini juga dapat membersihkan kawasan. Kebanyakan peserta juga mengusahakan projek atas tanah disewa.

"Projek ini mendapat kerjasama dan dipantau Pejabat Pertanian Daerah Hulu Terengganu, manakala pasaran pula diurus sepenuhnya Pejabat Fama Daerah Hulu Terengganu. Projek ini terbukti membantu menjana pendapatan peserta yang ada antaranya turut mencari rezeki sebagai pekebun getah," katanya, kelmarin.

Jaafar yang juga Pengerusi JKKK Kuala Por berkata, pihaknya bukan sahaja berhasrat meneruskan untuk pusingan kedua, tetapi juga memperluaskan lagi tanaman labu tersebut.

Malah katanya, pada awal tahun hadapan, tanaman labu itu dijangka diperluaskan lagi kepada kira-kira 4.8 hektar untuk menggalakkan belia terlibat dengan sektor pertanian.

"Dijangka antara enam hingga 10 belia akan terlibat dengan projek ini. Buat masa ini, kita mengenal pasti beberapa individu berminat. Jika tiada halangan, projek ini dapat memberikan dimensi baru kepada belia di sini," katanya.

Sementara itu, peserta di bawah JKM,  Yusof Mat Zin, 58, berkata, biarpun tiada pengalaman mengusahakan tanaman labu, dia terus bersetuju untuk menjadi peserta apabila dimaklumkan mengenai projek tersebut.

"Berkebun memang tidak asing bagi pakcik, tetapi biasanya hanya tanam cili atau timun. Bagaimanapun, pakcik ingin mencuba kerana yakin dengan tunjuk ajar pelbagai pihak dan jabatan terlibat.

"Selain hasil menoreh getah, pakcik turut mendapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM. Melalui projek tanaman labu seluas kira-kira 0.2 hektar ini, dapat juga tambah pendapatan pakcik," katanya.

Ibarat pisang goreng panas

 

Oleh: MOHD AZLIM ZAINURY

Tarikh: September 12, 2013

MARANG – Motosikal laris macam pisang goreng panas kerana bukan saja habis dijual di kedai menjual motosikal, tetapi turut lesap kerana dilarikan pencuri apabila diletakkan sama ada di pekarangan surau dan masjid ataupun di hadapan rumah.

Dalam dua kejadian terbaru Isnin lalu, seorang kakitangan Risda Marang rugi RM6,000 apabila motosikal jenis Yamaha Nouvos berwarna putih miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Paya, lesap dipercayai dicuri.

Mangsa yang berumur 27 tahun itu hanya mengetahui motosikal itu hilang selepas dimaklumkan bapanya kira-kira jam 6 pagi, lalu mencari di kawasan berdekatan, namun gagal menemui semula motosikal tersebut.

Mangsa juga mendakwa motosikalnya itu sudah rosak dan pencuri terbabit dipercayai melarikan motosikal itu dalam keadaan hujan lebat antara jam 4 hingga 6 pagi.    

Dalam pada itu, nasib sama turut dialami seorang kerani dari Pejabat Agama Marang apabila motosikal jenis Kriss Modenas yang diletakkannya di hadapan Surau Muhajirin di Kampung Gong Tepah, di sini, turut hilang juga dipercayai dicuri.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa berumur 50 tahun menyedari kenderaan dua roda tersebut hilang selepas selesai sembahyang Subuh dan mendakwa terdengar bunyi bising dari arah luar surau, namun tidak menyangka motosikalnya dicuri.

Susulan kejadian itu, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Marang.

Polis turut mengambil keterangan kedua-dua mangsa dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.


Kes curi motosikal penyumbang utama

Walaupun kecurian motosikal dikatakan menjadi penyumbang utama indeks jenayah daerah ini, namun kadar penyelesaian kes juga dikatakan meningkat dan terbaru, polis daerah berjaya melumpuhkan dua kumpulan curi motosikal selepas lapan suspek ditahan.

Semua suspek berumur antara 17 hingga 25 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini bermula 19 Ogos hingga 5 September lalu.

Dengan penahanan itu, sebanyak 15 kes curi motosikal berjaya diselesaikan, malah polis Marang turut menemui semula sebanyak sembilan motosikal, lima casis motosikal, dua enjin motosikal dan 11 kulit enjin motosikal serta komponen lain.


Polis buru tiga lelaki

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis daerah berkata, pihaknya sedang memburu tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 28 tahun yang turut mencuri komponen motosikal.

Sehubungan itu, pihaknya berharap orang ramai khususnya di Marang, dapat membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya ketiga-tiga suspek dikehendaki tersebut.

Menurutnya, mereka ialah Mohd Faizi Rasid atau dikenali sebagai 'Kucing', 21, dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai dan Mohamad Faris Yahya atau 'Faris', 22, dari Batu 7 1/2 Kampung Wakaf Che Ali, Bukit Payung, di sini.

"Seorang lagi suspek ialah Saiful Azizul Che Ali atau dikenali sebagai 'Kecik Abang', 28, berasal dari Kampung Gong Merawang, di sini. Ketiga-tiga suspek turut mempunyai rekod berkaitan pecah rumah," katanya di IPD Marang, di sini.

Ahmad Mazlan berkata, orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berhubung suspek berkenaan, boleh segera menghubungi IPD Marang di talian 09-6182222 atau Balai Polis Bukit Payong di talian 09-6191222.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Marang, Asisten Superintendan Mohd Adli Mat Daud di talian 013 4398633," katanya.
 

Sikap masyarakat punca sukar dibanteras

Tindakan proaktif pihak polis itu turut membuktikan kes kecurian motosikal berlaku bukan disebabkan kurangnya penguatkuasaan, sebaliknya lebih kepada sikap masyarakat sendiri yang mengambil mudah dengan meletakkan motosikal di tempat tidak sepatutnya.

Bukti jelas dapat dilihat di sekitar Bandar Marang dan Bukit Payung apabila penyediaan tempat meletakkan motosikal berkunci disediakan Majlis Daerah Marang, tidak mendapat sambutan, malah kemudahan itu terbiar tanpa dimanfaatkan.

Tinjauan  juga mendapati pemilik motosikal lebih rela meletakkan kenderaan mereka di tempat tersorok, tidak memasang kunci tambahan ketika meletakkannya di surau atau masjid serta membiarkan kunci berada pada motosikal ketika meletakkan motosikal di luar rumah.

Malah, lebih menyedihkan apabila ada pemilik motosikal yang tidak mematikan enjin motosikal mereka ketika memasuki premis perniagaan untuk mendapatkan barang keperluan di sekitar lokasi tumpuan ramai di daerah ini.

Lupus harta curi

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 12, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja mengaku tidak bersalah menghapuskan lapan kain sarung dicurinya daripada seorang warga emas di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Remaja berusia 18 tahun dan berasal dari Kampung Padang Terik, Bukit Parit, Marang itu mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Dia mengaku tidak bersalah bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas, dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu lapan kain sarung milik Gayah Mohd, 74, antara jam 9 pagi hingga 11.59 pagi pada 5 September lalu di Kampung Padang Terik, Marang.

Dengan itu, dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff, manakala remaja berkenaan tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Noradila menetapkan 17 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pencuri kempunan jam RM8,000

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 12, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki bukan sahaja tidak sempat menikmati habuan hasil mencuri seutas jam tangan berharga RM8,000, malah lebih malang apabila dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan sebagai pembalasan perbuatannya itu.

Hukuman itu dijatuhkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas Mohd Shamsul Halmi Ramlee, 27, dari Kampung Rhu Renggeh, Marang, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mohd Shamsul Halmi mengaku bersalah memecah masuk rumah milik Lim Leng Khoon, 45, dengan mencuri seutas jam tangan jenama Vitor Inox kira-kira jam 1.30 tengah hari 7 September lalu di Taman Aquarius, Kampung Rhu Renggeh, Marang.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff, manakala Mohd Shamsul Halmi tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang tinggal bersama seorang lagi rakannya, keluar dari rumah untuk ke tempat kerja kira-kira jam 9 pagi pada hari kejadian dengan memastikan keadaan rumah sudah berkunci.

Bagaimanapun pada jam 2.30 petang, mangsa menerima panggilan telefon daripada rakannya memaklumkan rumah mereka dipecah masuk seorang lelaki tidak dikenali.

Sejurus tiba di rumah, mangsa mendapati atap rumahnya dipecahkan dan setelah pemeriksaan dilakukan, mangsa ternampak Mohd Shamsul Halmi yang ketika itu cuba melarikan diri dengan melompat dari atap rumahnya.

Mangsa dibantu rakannya berjaya menahan Mohd Shamsul Halmi, malahan hasil pemeriksaan turut menjumpai seutas jam tangan milik mangsa di dalam poket seluar Mohd Shamsul Halmi sebelum mangsa menyerahkannya kepada polis.

Premis makanan diberi amaran

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

MACHANG - Pelbagai kesalahan dikesan Pejabat Kesihatan Machang dalam Operasi Pemeriksaan dan Pemantauan Bersih dan Suci terhadap lima premis makanan di daerah ini, di sini, semalam.

Pegawai Kesihatan Machang, Dr Che Ghani Che Soh berkata, semua premis terbabit diberi amaran dan jika masih gagal mematuhi syarat tersebut, premis akan diarah tutup untuk tempoh masa tidak lebih daripada 14 hari mengikut Akta Makanan 1983.

Katanya, antara kesalahan dilakukan ialah tidak mendapatkan suntikan Typhim, tidak menghadiri kursus latihan pengendali makanan, tidak memakai apron dan memakai barang  kemas semasa mengendalikan makanan.

"Pemeriksaan ini akan dilakukan secara berkala dan menyeluruh membabitkan semua premis makanan di daerah ini, justeru peniaga dinasihatkan mengambil langkah proaktif bagi memastikan mereka tidak menyalahi undang-undang ditetapkan sehingga  dikenakan tindakan.

"Premis makanan yang tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti kehadiran tikus, peralatan dan  amalan pengendalian makanan yang tidak bersih akan diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pemilik premis makanan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya kepada Sinar Harian.

Operasi tersebut turut melibatkan Majlis Daerah Machang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam pada itu, Che Ghani berkata, di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan akan dikenakan kompaun jika tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan dalam pemeriksaan susulan.

Katanya, pada peringkat permulaan, pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peraturan diberikan amaran lisan.

Menurutnya, ia  bertujuan meningkatkan  kepekaan peniaga terhadap kebersihan yang memainkan peranan penting menjayakan gaya hidup sihat masyarakat hari ini.

"Peniaga jangan ambil mudah  peraturan yang dikenakan dan pastikan semua pengendali makanan mematuhi undang-undang, selain pastikan persekitaran kedai yang bersih.

"Kita akan periksa semua kedai makan dan premis makanan di daerah ini. Saya minta kerjasama semua pemilik patuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas diambil," katanya.

Suspek utama kes curi dikesan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

PASIR MAS  - Polis giat mengesan suspek utama yang terlibat dalam kes curi di sebuah kedai emas di Plaza Serangkai Mas, Jalan Besar di sini,  selepas rakannya berjaya dicekup dalam satu serbuan di Kampung Machang Gochoh, Meranti jam 3 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, suspek utama yang berasal dari Kampung Gong Chengal Tanah Lot Kemasek, Kemaman, Terengganu itu masih bebas, manakala rakannya merupakan pemandu kereta Proton Wira berjaya diberkas.

"Selepas mendapat maklumat berhubung kejadian itu, anggota unit peronda telah berjaya mengesan kereta yang digunakan suspek di Simpang Empat Lampu Isyarat Stesen Minyak Petronas, Rantau Panjang.

"Menyedari kehadiran unit peronda, suspek telah memecut laju keretanya dan menghala ke arah Jalan Lama Rantau Panjang-Pasir Mas.

"Unit peronda berkenaan kemudian mengejar kereta suspek sehingga mereka terbabas di kawasan bendang sawah Kampung Banggol Che Musa, Meranti," katanya menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) di sini.

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan kemudian melarikan diri ke dalam semak berhampiran kawasan tersebut sebaik sahaja melihat kehadiran anggota polis.

Haliludin berkata, tidak lama kemudian bertindak atas maklumat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Daerah telah berjaya menangkap pemandu kereta berkenaan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Machang Gochoh.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

"Usaha mengesan suspek masih giat dilakukan dan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Derita sakit misteri, bayi tinggal kulit, tulang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

RANTAU PANJANG – Seorang bayi sembilan bulan, di Kampung Tersang menderita penyakit misteri, tiga bulan selepas dilahirkan.

Ibunya, Marlina Ab Rahman, 33, berkata, anak bongsunya, Lia Nur Zahirah Osman dilahirkan normal, 1 Januari lalu namun berubah selepas menghidap batuk, muntah dan cirit-birit.

Ketika mendapat pemeriksaan lanjut di Hospital Pasir Mas, Marlina berkata, doktor mengesahkan darah anaknya dijangkiti kuman seterusnya merebak ke bahagian paru-paru.

"Selepas itu, susuk tubuh Lia semakin mengecil malah berat badannya menurun daripada 2.8 kilogram (kg) kepada 2.5 kg.

"Kini tubuhnya semakin cengkung malah hanya tinggal kulit dan tulang," katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini anak sulung dan anak ketiganya juga maut akibat penyakit yang sama.

Disebabkan sibuk menguruskan anak bongsu, Marlina tidak mempunyai masa untuk ke pejabat Jabatan Kebajikan dekat Pasir Mas.

Lebih merisaukan katanya, anak keduanya, Mohd Khairul Ikhwan Osman, 11, merupakan pesakit autisme sejak lahir.

Menurutnya, jika dihubungi oleh guru, suaminya, Osman Kamar, 35, terpaksa ke sekolah untuk membersihkan kotoran setiap kali buang air besar.

Dalam masa sehari katanya, Khairul menggunakan tiga lampin pakai buang termasuklah ketika berada di sekolah.

Disebabkan perkara itu, suaminya diberhentikan kerja kerana sering meminta cuti daripada majikan.

"Ia menyebabkan pendapatan keluarga semakin berkurangan, maka saya memohon agar bantuan dipanjangkan, demi keperluan kami sekeluarga.

"Buat masa ini, keperluan kami dibantu oleh orang tua malah terpaksa menumpang di rumah bersama 10 lagi adik-beradik yang lain," katanya.


(Pada mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh lakukannya di 03081020133685 (Bank Islam) Marlina Ab Rahman. No hp: 0139358641)

Nyaris maut terkena bom tangan

 

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

BACHOK - Pengalaman bertembung dengan sekumpulan komunis yang berperahu merentasi sungai sewaktu berkhidmat sebagai askar Melayu sebelum merdeka dahulu pasti tidak akan dapat dilupakan seorang warga emas dekat sini.

Abdullah Kari, 82, dari Jelawat pernah berkhidmat sebagai askar dari 1 Ogos 1950 hingga 31 Mei 1960 iaitu sebelum hingga selepas merdeka.

Beliau pernah dianugerahkan pingat oleh kerajaan British sebelum tamat perkhidmatan dan pingat Jasa Malaysia pada 2012.

Bapa kepada enam anak ini berkata, pengalaman paling bernilai dalam hidupnya ialah apabila dia terselamat dalam pertempuran bersama komunis di tepi sungai sempadan Pahang dan Lenggong, Perak.

Menurutnya, ketika itu pasukannya yang diketuai seorang pegawai Inggeris membuat operasi berhampiran sebatang sungai.

"Masa tu malam. Kami dengar bunyi ada orang lalu di sungai, tapi tak nampak. Ketua bagi arahan untuk tembak. Seorang rakan di belakang pakcik keluarkan bom tangan (grenade) nak lempar ke arah musuh.

"Malangnya, ia terlepas dan jatuh di belakang pakcik. Alhamdulillah, ia jatuh dalam lumpur, terus meletup dan mendap dalam tanah. Kalau tak, tak tahu apa nasib pakcik masa tu," katanya.

Abdullah berkata, tempoh berada di hutan tidak menentu iaitu seminggu hingga 10 hari dan dalam setiap operasi, mereka akan membawa makanan mencukupi.

Namun, ada sekali pasukannya terputus bekalan makanan kerana komunikasi wireless (tanpa wayar) gagal berfungsi. Mereka terpaksa memasak ikan sungai bersama pucuk paku.

"Sehari selepas itu baru helikopter datang turunkan makanan. Itu pertama kali kami terputus bekalan makanan," katanya.

Abdullah berkata, sepanjang berkhidmat pasukannya bernasib baik kerana tidak pernah diserang hendap oleh musuh.

Namun, dikatakan pernah terjadi kes tertembak anggota sendiri berikutan salah sangka pergerakan musuh.

Menurut Abdullah, ibu pejabatnya ketika itu, A Company terletak di Taiping, Perak.

Katanya, ketika itu gajinya hanya RM65 untuk 15 hari dan diberikan dua kali sebulan berbanding askar sekarang yang lebih banyak manfaat, gaji mahal dan ada pencen.

"Dulu selepas 10 tahun berkhidmat, anggota yang berhenti diletakkan di bawah askar simpanan selama lima tahun.

"Tenaga kami hanya digunakan bila diperlukan kalau ada kepentingan. Sepanjang tempoh itu, pakcik hanya dapat gaji RM5 sebulan, tak ada pencen pun," katanya.

Dalam usia emas sepertinya, Abdullah kini menumpukan perhatian terhadap isterinya, Aminah Yusuf, 74, yang mengalami masalah kesihatan.

Beliau kini tinggal di Kuala Lumpur bersama anaknya dan hanya pulang sekali sekala ke Jelawat.

Kunci air gagal beroperasi

 

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 12, 2013

TANJONG KARANG - Indah khabar dari rupa. Mungkin inilah perumpamaan sesuai dikaitkan dengan projek kunci air terbaru dekat Jeti Parit Tiga, Sungai Burong yang bernilai hampir RM500,000 apabila gagal beroperasi tidak sampai tiga bulan projek siap.

Lebih mendukacitakan, kegagalannya beroperasi memberi impak buruk kepada golongan nelayan di kawasan tersebut sehingga didakwa mengganggu periuk nasi. Luahan nelayan berhubung perkara itu rata-rata menyatakan rasa kesal kerana pandangan dan cadangan mereka berhubung projek kunci air berkenaan supaya dapat berfungsi lebih baik termasuk tidak menutup saluran air asal seolah-olah mencurah air ke daun keladi.

Luahan mereka akhirnya menjadi rungutan berlarutan lantaran terpaksa menanggung kerugian kerosakan enjin kipas (sampan) yang bernilai ratusan ringgit setiap kali sampan tersangkut dalam timbunan pasir kesan dari ketiadaan benteng yang dibina seterusnya menenggelamkan pintu keluar-masuk kunci air tersebut.

Lebih beri tekanan, mereka mendakwa timbunan pasir menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga memaksa nelayan menolak sampan ke jeti. Kepayahan semakin berganda apabila waktu mencari ikan terpaksa diawalkan hampir dua jam semata-mata tidak mahu sampan terkandas di tengah sungai.

Ekoran keadaan itu, pendapatan harian yang dahulunya boleh capai RM50 kini kurang menjadi RM20, mereka mendakwa penurunan pendapatan tersebut memberi tekanan lebih-lebih lagi kini terpaksa berdepan kenaikan harga barang runcit.

Sebagai mencari penyelesaian dan tidak hanya berpeluk tubuh, mereka mengambil inisiatif sendiri membina benteng pasir bagi menghalang pasir terus memasuki kawasan sungai. Namun, usaha tersebut hanya bertahan untuk tempoh tiga hari dan kembali berhadapan keadaan serupa.


Masih tunggu keputusan konkrit

Menyoroti kepayahan yang dihadapi, Sinar Harian  meninjau pula harga jualan ikan di kawasan pengumpulan hasil laut dekat Jeti Parit Tiga, Sungai Burong. yang sekali gus membongkar tekanan dihadapi nelayan apabila terpaksa menjual hasil tangkapan pada harga lebih rendah kepada peraih dan penduduk setempat.

Seorang nelayan, Saiful Bahrin Ab Khair, 43, berkata, mereka tiada pilihan dan terpaksa menjual pada harga di takuk lama meskipun berdepan pelbagai masalah teknikal seperti pukat rosak, kipas enjin haus dan sampan rosak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Selangor, Omar Ab Rahman berkata, masalah dihadapi nelayan di Jeti Parit Tiga berkenaan telah dilanjutkan kepada agensi berkaitan termasuk IADA (Pengurusan Projek Kawasan Pembangunan Bersepadu) Barat Laut Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor.

"Kita masih menunggu keputusan konkrit daripada agensi terbabit bagi memulihkan projek kunci air terlibat supaya berfungsi seperti yang dikehendaki penduduk setempat," katanya.


Cadang bina benteng sementara

Pengarah IADA Barat Laut Selangor, Eliyas Saad ketika ditemui melawat kawasan projek menjelaskan, struktur binaan kunci air tersebut tidak mempunyai masalah dan boleh berfungsi dengan baik namun disebabkan fenomena alam menyebabkan pintu kunci air itu tertimbus.

"Ketika air pasang, ombak membawa naik pasir ke kawasan kunci air berikutan ketiadaan benteng. Keadaan itu lama-kelamaan menyebabkan pintu kunci air tertimbus sehingga gagal berfungsi sepenuhnya. Pihak IADA Barat Laut Selangor akan mempertimbangkan cadangan nelayan yang mahu pembinaan benteng sementara disegerakan. Perbincangan dengan JPS Daerah Kuala Selangor turut diadakan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

"Saya mohon kerjasama nelayan  supaya bersabar sementara penyelesaian konkrit dicapai kerana kami  sedia maklum kesusahan yang ditanggung nelayan selama ini," katanya.

Penagih dalang curi kereta

Oleh: HASNIZA HUSSAIN

Tarikh: September 12, 2013

SHAH ALAM - Polis menumpaskan sindiket curi kereta dan lori bernilai kira-kira RM1 juta, dengan tertangkapnya 10 suspek termasuk seorang pembeli dalam beberapa serbuan yang dibuat di Sekinchan dan Sungai Besar, Sabak Bernam sejak 26 Ogos lalu.

Penahanan ke atas semua suspek yang juga penagih dadah tegar itu dilakukan susulan siasatan ke atas satu aduan dibuat oleh seorang lelaki berusia 51 tahun berhubung kehilangan lori miliknya bernilai kira-kira RM30,000 yang diletakkan bawah pokok tepi rumahnya di Sabak Bernam pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, semua suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 43 tahun itu ditahan dalam tempoh sembilan hari siasatan dibuat.

Beliau berkata, bersama tangkapan suspek, pihaknya merampas lima lori jenis Hicom, Isuzu dan Daihatsu Delta yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur, Sabak Bernam, Kota Damansara dan Sitiawan, Perak.

Menurutnya, turut dirampas dua kereta jenis Proton Wira dan Iswara Aeroback serta sebuah kereta BMW yang memakai nombor pendaftaran palsu serta dilaporkan hilang di Lumut, Perak pada 26 Ogos lalu.

"Dalam pemeriksaan sama, kita turut merampas sejumlah dadah syabu dan heroin yang dipercayai digunakan suspek sebagai rangsangan untuk melakukan kegiatan curi, peralatan untuk mengubah nombor chassis pada enjin kereta dicuri serta segugus kunci lori,

"Siasatan lanjut menunjukkan kumpulan sindiket ini aktif melakukan kegiatan haram itu sejak awal tahun lalu," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Mohd Shukri berkata, kebanyakan pembeli terbabit terdiri daripada golongan peniaga serta petani di kawasan Sabak Bernam.

"Taktik yang digunakan suspek adalah mencuri kenderaan yang dikehendaki pembeli mereka, sebelum nombor chassis kereta itu ditukar dengan menggunakan alat khas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang didapati positif dadah syabu itu, kini direman untuk siasatan lanjut sehingga minggu depan.

Jalan Macalister berlubang dua meter dalam

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

GEORGETOWN - Lubang sedalam dua meter terbentuk di tengah-tengah Jalan Macalister di hadapan bangunan Menara Umno di sini, tapak  kejadian penebat kilat di atas bangunan itu runtuh dan menimbus seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, pada 13 Jun lalu.

Lubang itu dipercayai selebar kira-kira 0.5 meter dan sedalam dua meter yang dikesan orang ramai yang melalui jalan itu pada kira-kira 1.15 petang tadi.

Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng berkata, beliau yang menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian bersama-sama seorang pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Kewujudan lubang ini mungkin berpunca daripada hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dan menghakis tanah di bawahnya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Bagaimanapun, pegawai MPPP itu berkata, ia mungkin berpunca daripada kebocoran kecil pada paip bawah tanah yang menyebabkan pasir menyerap air hujan.

"Kita tidak dapat menentukan punca sebenar dan kita akan meminta syarikat Indah Water Konsortium untuk memeriksanya," katanya dan menurutnya beliau tidak pasti berapa lama masa diperlukan untuk lubang itu dibaiki. - Bernama

Gangguan bekalan air di Gombak Utara esok

Oleh:

Tarikh: September 11, 2013

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Gombak Utara dekat sini mungkin mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah, esok berikutan kerja membaiki kebocoran paip Empangan Sungai Batu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini akibat kerja-kerja itu, Loji Rawatan Air Sungai Batu yang mempunyai kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 133 juta liter sehari, terpaksa dihentikan operasiselama lima jam.    Gangguan itu dijangka bermula dari 9 pagi hingga 9 pagi keesokannya di Selayang, Batu Caves dan Kepong. 

Justeru, SPAN menasihatkan pengguna di kawasan berkenaan supaya berhemah menggunakan air dan menyimpan air secukupnya.

Pengguna yang memerlukan bekalan air bagi tujuan kecemasan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) Syarikat Bekalan Air Selangor di talian bebas tol 1-800-88-5252. - Bernama

Kemelut Insaniah: Cubaan cemar maruah Pas

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: September 11, 2013

ALOR SETAR - Isu penyelewengan, salah guna kuasa dan kemelut anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (Insaniah), Insaniah Holding Sdn Bhd (IHSB) yang didedahkan pada sidang Dun lalu dianggap fitnah yang dilemparkan kerajaan negeri terhadap pembangkang.

Adun Pengkalan Kundur, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pendedahan yang dibuat kerajaan negeri itu dilihat semata-mata untuk mencemarkan maruah kerajaan terdahulu semasa pemerintahan Pas.

Beliau berkata, pendedahan itu tidak disokong oleh sebarang fakta atau bukti yang lengkap sekali gus disusuli dengan tindakan.

"Sebab itu kita cadangkan supaya diadakan 'kertas putih' kerana banyak pendedahan salah tadbir dan penyelewengan dalam Insaniah dan IHSB.

"Tindakan menolak cadangan itu adalah sangat tidak adil kepada kerajaan negeri sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Phahrolrazi yang juga veteran Pas Kedah menyifatkan pendedahan itu hanyalah permainan politik melainkan kerajaan negeri bersedia mengambil tindakan.

"Ini adalah satu dakwaan dan kerajaan negeri perlu ada butiran lengkap mengenainya.

"Jika tidak, ia hanyalah sekadar ingin menutup kelemahan mereka (kerajaan negeri) sendiri dalam menangani isu Insaniah," katanya.

Menurutnya, pembangunan Insaniah merupakan projek besar kerajaan negeri yang menelan kos besar.

Justeru itu, sebarang pendedahan mengenai ketidaktelitian dalam membuat perancangan, salah guna kuasa atau rasuah perlu dikemukakan dengan jelas.

"Pendedahan yang tiada bukti jelas itu adalah satu tuduhan, kerajaan negeri perlu bersedia dan biar mahkamah yang akan memutuskan," katanya yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.

Sinar Harian semalam melaporkan, kerajaan negeri tidak berhasrat mengeluarkan kertas putih berhubung kemelut berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pendekatan kerajaan negeri ialah untuk menyelesaikan terlebih dahulu segala yang dibangkitkan sebelum membuat tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan audit forensik yang dibuat jelas membuktikan wujud masalah dan menyifatkan kerajaan negeri sudah cukup faham situasi sebenar sebelum memikirkan tindakan susulan.

Benarkah bil air di Selangor sudah naik?

Oleh: Shahbudin Husin

Tarikh: September 12, 2013

TERDAPAT rungutan daripada penduduk yang tinggal di beberapa kawasan di Selangor sekarang ini berikutan bil air yang diterima setiap bulan sudah meningkat berbanding sebelumnya.

Yang peliknya, peningkatan itu hanya dialami beberapa bulan ini saja iaitu selepas  pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Seperti yang diketahui, kerajaan negeri PR di Selangor telah memperkenalkan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu atau lebih kurang RM11.00 kepada penduduk negeri itu sejak 2008 lagi sebagai memenuhi janji pilihan raya yang dibuatnya sehingga membuatkan PR berjaya menumbangkan BN.

Dengan pemberian percuma itu, sebuah keluarga yang mempunyai seorang atau dua anak dan menggunakan air secara yang sewajarnya, mereka biasanya  menikmati air percuma sepenuhnya dan tidak perlu membayar walau sesen pun kerana penggunaannya tidak akan melebihi 20 meter padu itu.

Bagi keluarga yang lebih besar dari itu pula, mereka selalunya hanya perlu membayar antara RM5 hingga RM10 saja sebagai bayaran bil air setelah ditolak subsidi 20 meter padu atau RM11.00 yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Sepanjang lima tahun lalu, ramai penduduk Selangor yang gembira dengan kemudahan air percuma ini kerana ia sekurang-kurangnya meringankan beban bil utiliti yang perlu dibayar setiap bulan, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau tinggal di kampung-kampung.

Ini sekali gus menjadikan kehidupan banyak keluarga di Selangor menjadi lebih selesa berbanding penduduk di  negeri lain yang terpaksa membayar bil air tanpa sebarang subsidi daripada kerajaan.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya lalu, ramai yang terkejut apabila tiba-tiba mendapati bil mereka sudah meningkat dan penggunaan air juga bertambah sedangkan keluarga tidak bertambah dan amalan penggunaan juga masih seperti biasa saja.

Jika selama ini penggunan air mereka sentiasa dibawah 20 meter padu tetapi kini sudah melebihi kadar itu. Ramai yang mengadu bil air masing-masing kini sudah meningkat dan mereka perlu membayar antara RM8.00 hingga RM15.00 setiap bulan.

Jika dicampur dengan subsidi kerajaan negeri sebanyak 20 meter padu atau RM11.00, peningkatan yang berlaku ini hampir sekali ganda.

Keadaannya kini seolah-olah meter air di Selangor bergerak lebih laju dari sebelumnya. Apa sudah jadi sebenarnya?

Ramai pengguna melahirkan kemusykilan mengenai perkara ini kerana setahu mereka kerajaan negeri yang diterajui oleh PR masih menguat-kuasakan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduknya walaupun hubungan antara kerajaan negeri dengan Syabas sentiasa tegang dan bermasalah.

Soalnya adakah kerajaan negeri sedar perkara ini dan apakah kenaikan ini bukan berpunca daripada adanya perbuatan sabotaj atau kong kali kong Syabas terhadap kerajaan negeri?

Atau mungkinkan subsidi kerajaan negeri sudah dikurangkan walaupun menang lebih cemerlang dalam pilihan raya 2013 lalu?

Walaupun jumlah RM8.00 hingga RM15.00 itu tidaklah sebesar mana, penduduk Selangor hanya ingin mengetahui keadaan sebenar mengenai  perkara ini dan apakah punca-punca yang menyebabkan bil air berbeza antara sebelum pilihan raya dengan selepas pilihan raya.

Moga Syabas dan kerajaan negeri memberi jawapan mengenai hal ini.

 

Shahbudin Husin, pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju serta AJK Pemuda Umno Negeri WP. Telah menghasilkan empat buah buku poliitik iaitu Najib Perdana Menteri Terakhir, Kesilapan-Kesilapan Najib, Asalkan Bukan Najib dan yang terbaru pada Jun 2013 iaitu Najib Gagal.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Masa terbaik laksanakan GST

Oleh: Nur Jazlan

Tarikh: September 12, 2013

Adakah Bajet 2014 yang akan dibentangkan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan Oktober ini, menyaksikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Atau adakah kerajaan BN yang baru mendapat mandat rakyat dalam PRU13, Mei lalu, akan terus  menangguhkan pelaksanaan GST ini, bagi terus memberi ruang kepada rakyat bersedia ke arah sistem cukai baru atau tunduk dengan segala putar belit pembangkang mengenai pelaksanaan sistem cukai baru ini.

 

Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya sejak awal lagi menyokong penuh pelaksanaan GST ini, sejak ura-ura mengenai pelaksanaannya pada 2005. 

 

Sudah pasti kerajaan akan melaksanakan sistem cukai baru ini, mengikut acuan "Malaysia" dalam usaha memberikan pendapatan lebih kepada kerajaan serta memastikan kutipan cukai lebih adil terhadap semua golongan rakyat.

 

Walaupun GST ini, terbukti berkesan serta dilaksanakan di hampir semua negara di dunia, tetapi di Malaysia, ia terus dipolitikkan pembangkang yang berterusan 'mencuci' fikiran rakyat bahawa sistem cukai ini, akan membebankan mereka.

 

Hakikatnya, ahli-ahli politik daripada PR yang kononnya, mempunyai ramai golongan profesional mengetahui bahawa sistem cukai negara perlu distruktur semula.  

 

Ia  berikutan peralihan ekonomi negara daripada berteraskan perindustrian kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan dan kepenggunaan.

 

Untuk pengetahuan umum, jika kerajaan memilih melaksanakan sistem GST ini, ia adalah satu tindakan berani memandangkan kebanyakan kerajaan negara lain yang melaksanakan sistem cukai ini, kalah dalam pilihan raya umum negara berkenaan.

 

Tetapi yang memelikkan saya pula ialah kerajaan baru yang dipilih daripada pembangkang tidak menghapuskan GST ini, dan membuktikan bahawa sistem cukai berkenaan mempunyai banyak kelebihan.

 

Sebenarnya, dalam memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, empat faktor utama yang menjadi penentu ialah penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih. 

 

Perbelanjaan kerajaan banyak bergantung kepada jumlah hasil cukai yang berjaya dikutip. Hasil cukai merupakan penyumbang utama kepada jumlah hasil kerajaan. Jika hasil cukai meningkat, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai projek untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

 

Berdasarkan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2010, nisbah hasil cukai kepada KDNK adalah 19.5 peratus dan jika dibandingkan dengan 34 negara maju, nisbah yang dicatat Malaysia adalah terlalu rendah kerana nisbah paling rendah di kalangan negara maju adalah sekitar 26 peratus.

 

Disebabkan nisbah hasil cukai yang rendah ini, kerajaan mengalami kekurangan hasil cukai bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan apabila jumlah hasil kerajaan tidak mencukupi, kedudukan kewangan kerajaan akan mengalami defisit.

 

Atas sebab itu, bagi menampung defisit ini, kerajaan perlu membuat pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan dalam jangka masa panjang ia tidak sihat terhadap pembangunan ekonomi negara.

 

Sebenarnya, sistem percukaian Malaysia mempunyai asas yang sempit kerana kebergantungan yang keterlaluan kepada cukai pendapatan (individu dan korporat).

 

Sekiranya keuntungan syarikat berkurangan, jumlah kutipan cukai pendapatan juga berkurangan dan keadaan ini memberikan tekanan kepada hasil kerajaan.

 

Situasi itu diburukkan lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang liat membayar cukai kerana daripada kira-kira 10 juta tenaga kerja di Malaysia yang seharusnya membayar cukai, hanya kira-kira 1.7 juta menjelaskan cukai pendapatan mereka.

 

Rakyat hanya menyedari cukai pendapatan yang dibayar terus kepada kerajaan tanpa disedari bahawa kita juga membayar cukai yang dimasukkan terus dalam harga barangan dan perkhidmatan seperti pembelian kereta, pakaian, makanan dan lain-lain barangan dan perkhidmatan yang melibatkan pengguna.

 

Pelaksanaan GST akan membolehkan kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan (individu dan korporat) dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bagi menarik pelaburan asing. Kadar cukai korporat di Malaysia kini adalah 25%, iaitu lebih tinggi berbanding dengan Singapura, 17% dan Hong Kong, 16.5%.

 

Sebenarnya, dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, YAB Datuk Seri Najib Razak sudah memberikan  gambaran bahawa kerajaan akan melaksanakan struktur percukaian baru dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya saing.

 

Penstrukturan sistem cukai negara yang baru sudah tentu tidak hanya membabitkan pelaksanaan GST sebaliknya, sudah pasti kerajaan akan mengambil kira untuk menurunkan kadar cukai pendapatan terutama sekali cukai korporat yang dilihat amat tinggi serta tidak kompetitif berbanding dengan negara jiran.

 

Kita perlu sedar bahawa pelaksanaan GST tidak akan mengakibatkan kenaikan harga mendadak. Ia kerana GST akan menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan, saksama, efisien serta telus sekaligus mengelakkan berlaku cukai terselindung dan cukai bertindih.

 

Kaedah GST mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan kini. 

 

Pelaksanaan GST akan meningkatkan jumlah kutipan hasil Kerajaan dan seterusnya membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan. 

Pada masa ini, kebergantungan kepada sumber hasil berasaskan petroleum seperti cukai pendapatan petroleum, duti eksport, dividen dan lain-lain adalah tinggi iaitu kira-kira 40% daripada jumlah hasil Kerajaan.

 

Masalahnya, di Malaysia, persepsi lebih diterima daripada fakta, dan atas sebab itu, rakyat termakan dengan putar belit pembangkang bahawa kegagalan kerajaan menguruskan cukai yang dikutip daripada Petronas dengan telus serta berlaku banyak pembaziran dalam projek kerajaan, adalah sebab utama mengapa GST tidak boleh dilaksanakan.

 

Bagi pembangkang, jika duit daripada Petronas diurustadbir dengan baik, ia akan terus dapat menampung perbelanjaan kerajaan sedangkan pada hakikatnya, konsep itu sama sekali salah.

 

Kebergantungan terhadap Petronas sebenarnya, merupakan keadaan yang kurang sihat kerana Malaysia tidak boleh bergantung selamanya kepada sumber pendapatan berasaskan petroleum memandangkan bahan tersebut lama kelamaan akan susut.

 

Semua pakar ekonomi dan percukaian negara bersepakat bahawa GST adalah struktur cukai terbaik bagi terus membolehkan kerajaan membangunkan negara dengan lebih berkesan, dan walaupun banyak artikel atau ulasan positif diberikan terhadap sistem ini, ia tetap gagal mengubah persepsi rakyat bahawa GST akan membebankan mereka.

 

Melalui pelaksanaan GST ini, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dapat mengutip cukai dengan lebih efisien serta berkesan.

 

Ia disebabkan dalam pelaksanaan GST, terdapat satu sistem dinamakan 'set off' dimana setiap lapisan pengeluaran produk atau perkhidmatan yang dikenakan cukai akan ditolak semula oleh lapisan yang berikutnya.

 

Jadi, jika GST yang ditetapkan adalah 4 peratus, kadar cukai yang dibayar pengguna akhir iaitu rakyat adalah 4 peratus, bukan kadar cukai itu akan berganda atau bertambah seperti yang diputar belitkan pembangkang.

 

Tanggapan bahawa GST akan memberikan bebanan kepada pengguna juga tidak tepat memandangkan pengguna sudah dikenakan cukai SST antara 5 dan 10 peratus melainkan jika kadar GST lebih tinggi daripada cukai sedia ada.

 

Pada masa sekarang, rakyat tanpa mengira kelas pendapatan sebenarnya, membayar SST atas perbelanjaan harian mereka, namum cukai ini, terutama sekali cukai jualan tidak

 

kelihatan dalam invois atau resit kerana ia terlindung dalam harga barangan. Selain itu, kerajaan juga sudah pasti tidak mengenakan GST atau 0 peratus GST atas barang asasi seperti beras, gula, tepung, dan minyak masa serta perkhidmatan seperti elektrik, air, pendidikan dan kesihatan bagi melindungi kepentingan golongan berpendapatan rendah dan menengah.

 

Pengenalan GST ini, juga sudah pasti akan menjadikan sistem cukai negara lebih telus, mampan dan tidak ruang untuk dimanupulasi sekaligus mengelakkan berlaku kenaikan harga barang secara mendadak.

 

Melaluinya semua lapisan barangan atau perkhidmatan berkenaan daripada mula ia dikeluarkan sehinggalah sampai kepada pengguna akan dikenakan cukai GST.  Ia sekaligus dapat mengelak berlaku double taxation atau multiple tax pyramid.

 

Pelaksanaan GST ini juga membolehkan kerajaan mengesan barangan yang dijual atau diimport di Malaysia, sudah dijelaskan cukai atau tidak, memandangkan semua pengeluar, pemborong atau peniaga perlu berdaftar dengan kerajaan melalui penggunaan teknologi maklumat (IT) yang efektif.

 

Pada masa sama, agensi rating antarabangsa seperti Standard and Poor's (S&P) serta Fitch akan memberikan rating positif kepada keadaan ekonomi negara sekaligus menarik pelabur antarabangsa melabur di Malaysia berikutan iklim ekonomi negara yang sihat melalui pengenalan GST.

 

Alasan yang menyatakan bahawa kerajaan akan sentiasa menaikkan kadar GST juga kurang tepat kerana berdasarkan pengalaman lalu, kadar cukai jualan yang diperkenalkan pada 1972 hanya dinaikkan sekali sahaja pada 1983.  

 

Kadar cukai perkhidmatan pula tidak pernah dinaikkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1975.

 

Bagaimanapun, kerajaan perlu mengakui bahawa sejak GST mula hendak dilaksanakan pada 2005, kempen atau pelan komunikasi untuk menerangkan sistem cukai ini, kurang dilaksanakan.

 

Ia menyebabkan GST ini, menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan sedangkan, jika sistem GST ini, diterang dengan lebih meluas melalui pelbagai kempen, seminar atau rancangan berbentuk perbincangan, sudah pasti rakyat menyedari kebaikan terhadap pelaksanaan GST ini.

 

Saya yakin bahawa rakyat akan dapat menerima pelaksanaan GST ini, dengan hati serta fikiran terbuka dan tidak mempunyai sangkaan buruk bahawa usaha ini, akan membebankan mereka.

 

Tambahan pula, tahun 2020 hanya tujuh tahun dari sekarang dan jika GST ini, masih gagal dilaksanakan, Malaysia boleh melupakan hasrat untuk diiktiraf sebagai sebuah negara maju.


Datuk Nur Jazlan
Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Akauntan Bertauliah

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

 

 

 

Pecah rumah: 3 lelaki dicari bantu siasatan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KEPALA BATAS - Polis Pulau Pinang mencari tiga lelaki yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan beberapa kes pecah rumah di sekitar negeri itu sejak beberapa bulan lepas.

Mereka ialah Muhamad Hafiz Saidi, 32, dari Pokok Tambang, Tasek Gelugor; Kong Teik Chye, 31, beralamat terakhir di Jalan Harbour Place, Seaview Tower, Butterworth; dan Nazrul Abd Wahab, 28, dari Kampung Kuala Tawar, Kulim, Kedah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah, selain kes pecah rumah, ketiga-tiga lelaki itu juga dapat membantu polis menyelesaikan siasatan kes curi kereta dan samun.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar menghubungi balai polis berdekatan bagi bantu siasatan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas kes lain, Mazlan berkata polis yakin dapat menyelesaikan kes seorang pengusaha restoran cedera parah ditembak dalam kejadian di Simpang Ampat, 4 Sept lepas.

"Kita ada maklumat baharu berkaitan kejadian," katanya menambah empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian itu pengusaha restoran berusia 40-an tersebut ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa memberhentikan keretanya di Kawasan  Perniagaan Taman Merak di sini pada pukul 3.13 petang.

Mengulas satu lagi kes, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai  mempunyai kaitan dengan kelopak pistol automatik dan peluru di dalam sebuah kereta di Jalan  Kendi, Pusat Perniagaan Taman Indah, Simpang Ampat, di sini 6 Sept lepas.

Katanya polis akan mengedarkan gambar mereka bagi meminta orang ramai membantu mengesan mereka. - Bernama

Nahas: Warga Singapura meninggal dunia di HKL

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Wanita Singapura yang terbabit dalam nahas empat buah kenderaan di Lebuhraya Karak semalam, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal hari ini.

Jurucakap HKL berkata, Tham Choy Chan, 53, meninggal dunia pada pukul 12.15 pagi ketika dirawat di zon kecemasan HKL akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala.

Mayat mangsa dijangka dituntut oleh keluarganya hari ini juga, katanya kepada pemberita, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan perkara berkenaan, memberitahu Bernama mangsa ialah penumpang bas ekspres Genting Highlands-Singapura.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata dua mangsa yang dirawat di hospital berkenaan iaitu Vasanda Kalianan,
58, dan Liew Kim Khin, 75, sudah dibenar pulang.  
  
Seorang lagi mangsa Chin Chin Lai, 61, pula bertindak keluar dari hospital tanpa pengetahuan kami, katanya kepada Bernama hari ini.

Bernama difahamkan lapan lagi pesakit yang cedera ringan yang masih dirawat di  hospital itu dijangka dibenar pulang dalam masa terdekat.

Sebanyak 13 orang dilapor cedera dalam kejadian pukul 3.49 petang yang  membabitkan dua bas ekspres iaitu Genting Highlands-Singapura dan Temerloh-Kuala Lumpur, sebuah treler serta sebuah kereta di Km 31.5 lebuh raya itu. – Bernama

Laju punca 2 buah bas bertembung

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR – Sebuah bas ekspress dari arah Genting Highland ke Singapura merempuh belakang sebuah bas dari arah bertentangan menyebabkan kemalangan di Kilometer 31.5 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur petang semalam.

Sinar Harian difahamkan, kedua-dua bas dipercayai dipandu laju menyebabkan nahas berkenaan yang turut membabitkan dua kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila bas ekspress dari arah Temerloh ke Kuala Lumpur merempuh belakang sebuah lori yang dipandu perlahan di depannya.

Menurutnya, rempuhan kuat menyebabkan lori terbabit kemudian berlanggar sebuah kereta jenis Honda yang berada di depannya.

Sebuah bas ekspress dari arah Genting ke Singapura yang dipercayai dipandu laju dan mengekor rapat kemudian merempuh belakang bas Temerloh menyebabkan hampir kesemua penumpang di dalamnya mengalami kecederaan.

Abdul Rahim berkata, ketika kejadian keadaan tayar dua bas berkenaan dan cuaca dalam keadaan baik.

"Jalan berkenaan menuruni bukit dan berselekoh, polis percaya kedua-dua bas dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan lain.

"Semua pemandu dan penumpang akan diambil keterangan bagi membantu siasatan,"katanya.

Kes disiasat di bawah Sekyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

2 pelajar rakan sekelas maut kemalangan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

LANGKAWI - Dua pelajar yang merupakan rakan sekelas maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta yang membuat pusingan 'U' di simpang Kelibang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.55 itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri Langkawi itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Langkawi Supt Harith Kam Abdullah berkata akibat pertembungan itu, kedua-dua pelajar itu Muhammad Fauzan Mohd Fuad, 17, dan Muhammad Farris Azizi Mohd Hasrin, 17, tercampak ke atas jalan.

Katanya pemandu kereta terbabit seorang wanita berumur 30-an tidak cedera.

Kedua-dua pelajar itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini. - Bernama

Boustead tarik balik saman MP Bayan Baru

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

GEORGETOWN - Boustead Holdings Berhad menarik balik saman fitnahnya terhadap Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin selepas Sim hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi berhubung kenyataannya mengenai projek tebus guna tanah oleh syarikat itu.

"Plaintif (Boustead) bersetuju menerima penyelesaian penuh dan muktamad penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf oleh defendan (Sim)," kata peguam yang mewakil Boustead, Fahri Assat.

Beliau berkata Boustead dan Sim bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu secara baik. Boustead turut diwakili peguam Izzat Othman manakala Sim diwakili peguam Ranjit Singh.

Membacakan permohonan maaf itu di hadapan Hakim Datuk Varghese George Varughese, Sim berkata semua kenyataan yang dibuat terhadap syarikat korporat berkenaan adalah tidak tepat.

"Dengan itu, saya tanpa bersyarat ingin menarik balik semua kenyataan saya dan saya memohon maaf kepada Boustead bagi sebarang salah tafsir yang timbul daripada komen saya itu," katanya.

Sim juga mengakui bahawa kenyataan yang dibuatnya pada ketika beliau menjadi Anggota  Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak merupakan pandangan peribadinya.

Varghese memuji tindakan kedua-dua pihak yang  berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

Pada 7 Oktober 2011, Boustead memfailkan saman fitnah terhadap Sim memohon ganti rugi RM1 juta dan kos berhubung kenyataan Sim yang dibuat pada 2 Oktober tahun sama yang didakwa memfitnah syarikat itu.

Syarikat itu juga memohon defendan supaya membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan secara terbuka dalam semua akhbar tempatan dan memberi akujanji secara bertulis supaya tidak mengulangi kenyataan itu sama ada secara lisan atau bertulis kepada umum.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Syarikat itu dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa Sim pada 2 Oktober 2011 telah membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Boustead bahawa ia sebuah gergasi korporat yang berkait rapat dengan Umno,  mendahulukan keuntungan daripada kepentingan rakyat awam di Malaysia' dan telah memaksa kerajaan negeri Pulau Pinang membayar pampasan dalam bentuk tanah-tanah yang luas untuk menampung kerugian plaintif.

Syarikat itu mendakwa kenyataan Sim itu telah mengakibatkan kerugian seterusnya menjejaskan maruah serta nama baik Boustead dalam bidang perniagaan.

Selain itu, kenyataan berunsur fitnah itu juga menggambarkan plaintif sebagai sebuah syarikat  konglomerat yang tidak peka tentang tanggungjawab korporat kepada masyarakat dan tidak prihatin  terhadap kepentingan rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Integriti Boustead juga telah dipersoalkan melalui kenyataan Sim yang menggambarkan seolah-olah usaha syarikat gergasi itu dalam perniagaan adalah atas dasar hubungan baik dengan Umno.- Bernama

Pemandu bas pukul, ugut bekas teman wanita dihukum

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KUALA LUMPUR - Gara-gara memukul dan mengugut bekas teman wanita, seorang pemandu bas hari ini dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap G.Kumar, 34, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada Sabtu lepas, dan jika gagal membayar denda
boleh dipenjara sebulan.

Kumar membayar denda itu.

Tertuduh yang berasal dari Sungai Siput, Perak didakwa memukul S.Nesamalar, 29, dengan tangannya di sebuah rumah di Laman Rimbunan Pangsapuri Seroja, Kepong di sini pada 9 pagi 17 Julai lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kumar juga didakwa mengugut Nesamalar dengan mengatakan "Saya datang sini memang planning nak tengok darah you" dengan niat menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa, lalu bertindak kasar dengan menarik tangan mangsa sehingga dia mengalami kecederaan dan mengugutnya.

Ketika kejadian, teman lelaki mangsa turut berada di dalam rumah tersebut bertindak menghubungi polis.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam dan kecederaan yang dialami mangsa.

Peguam Rohani Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya. - Bernama

Warga Indonesia diberkas bersama 3.1kg syabu

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

JOHOR BAHRU - Polis Johor percaya penangkapan seorang lelaki warga Indonesia bersama 3.1 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM621,000 di Senai dua hari lepas, dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata sindiket itu dipercayai menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai pintu masuk dadah ke negara ini.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah hotel pada pukul 6 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Johor. Dia didapati tiba dengan penerbangan dari India, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya dadah itu disorokkan di dalam ruang khas di dalam bagasi suspek dan bekalan berkenaan boleh menampung 15,540 penagih.

Ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun negatif, katanya dan menambah lelaki itu juga tidak mempunyai rekod jenayah.

Lelaki tersebut direman sehingga Selasa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas kes lain, Ismail berkata polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan lapan kes samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan empat lelaki dan dua wanita, tiga hari lepas.

Menurutnya kumpulan itu menyamun sebuah kedai runcit di Taman Perling, di sini kira-kira pukul 6 petang sebelum ditahan polis yang menerima laporan kejadian berkenaan.

"Polis merampas sejumlah barangan daripada mereka termasuk lapan parang, 13 telefon bimbit, lima peket plastik lut sinar mengandungi syabu, satu alat penimbang, wang tunai RM400, dua gerudi, satu komputer riba, tiga jam tangan, satu kamera litar tertutup dan 63 kotak besar rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk," katanya.

Katanya dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan kesemua suspek yang berumur 16 hingga 27 tahun itu direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama

2 suspek ragut eksekutif AirAsia tak mengaku salah

Oleh: TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

Tarikh: September 12, 2013

AMPANG - Seorang pemandu bas sekolah dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menyamun seorang  eksekutif syarikat penerbangan Air Asia  sebelum mangsa meninggal dunia terlanggar bas dalam kejadian Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Faiz Amirol Mohamad, 22, dan Azizee Ishak, 25, didakwa merompak Shahrinawati Abu Bakar, 30, di depan Kondominium Palm Villa City Garden, Taman Nirwana, di dalam daerah Polis Ampang Jaya di sini pada jam 2.45 pagi, 29 Ogos 2013.

Mangsa bagaimanapun maut akibat dilanggar oleh individu yang ingin membantunya.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

"Ia juga melibatkan kepentingan awam dan akibat kejadian ini mangsa meninggal dunia," kata Nadiah.

 
AKAN MENYUSUL

Koperal dipenjara 100 bulan cabul kanak-kanak

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 12, 2013

GEORGETOWN - Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal dijatuhkan hukuman penjara 100 bulan oleh mahkamah sesyen di sini, hari ini kerana didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak perempuan dua tahun lalu.

Hukuman itu diarahkan berjalan bermula hari ini oleh hakim, Zainol Rashid Hussain.

Tertuduh yang berusia 55 tahun didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia 6 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan kerana usianya sudah melebihi 50 tahun.

Zon industri Kaesong dibuka semula minggu depan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

SEOUL - KOREA . Korea Utara dan Selatan akhirnya bersepakat membuka semula zon perindustrian bersama Kaesong minggu depan selepas ditutup lebih enam bulan.

Menteri Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, kedua pihak menetapkan 16 September untuk memulakan semula operasi di kompleks itu selepas mengadakan beberapa sesi rundingan.

"Syarikat Korea Selatan di Kaesong yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Korea Utara itu akan dibenarkan untuk meneruskan operasi selepas diputuskan dalam rundingan Isnin lalu," katanya dipetik dari laporan AFP.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat sembilan jam pusingan kedua rundingan jawatankuasa antara Korea Selatan dan Utara yang sebelum ini gagal mencapai kata putus.

2 ditahan suspek pembunuhan novelis India

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KABUL - AFGHANISTAN . Polis menahan dua militan dipercayai terbabit dalam pembunuhan novelis terkenal Sushmita Banerjee di wilayah timur Paktika, Afghanistan, semalam.

Jurucakap Gabenor wilayah,  Mokhlis Afghan berkata, tangkapan dilakukan selepas mereka mengaku melakukan pembunuhan terhadap penulis berusia 49 tahun itu.

"Mereka mengaku membunuh mangsa sebagai membalas dendam selepas novelis terbabit menghasilkan buku tentang kekejaman Taliban," katanya dipetik dari AP.

Menurutnya, novel bertajuk Kabuliwala Bengali Wife berkisar pengalaman dramatik penulis ketika melarikan diri dari kepungan Taliban itu, dianggap sebagai satu penghinaan.
Sushmita, 49, ditemui maut berhampiran Madrassa di pinggir bandar Sharan dengan kesan tembak di perut dan leher, minggu lalu.

Polis Indonesia maut ditembak

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

JAKARTA - INDONESIA . Seorang lelaki bermotosikal menembak mati anggota polis ketika dalam konvoi di pusat bandar Jakarta, semalam.

Jurucakap Polis Jakarta Rikwanto berkata, kejadian itu adalah keempat melibatkan anggotanya ditembak mati ketika bertugas sejak bulan lalu.

"Empat lelaki bermotosikal menembak  anggota polis yang sedang mengiringi enam trak membawa keperluan lif dalam kesesakan lalu lintas," katanya dipetik dari laporan Kompas\.

Menurutnya, polis itu maut di tempat kejadian selepas ditembak tiga kali.

Ogos lalu, tiga anggota polis ditembak mati dalam dua serangan berasingan di Tangerang, pinggir barat Jakarta.

Pegawai kanan Mesir dibebaskan

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

KAHERAH - MESIR . Pendakwa Mesir mengarahkan ketua kakitangan Pejabat Pentadbiran Mesir dibebaskan daripada tuduhan menghasut penunjuk perasaan hingga mencetus keganasan di luar Istana Presiden, Disember lalu.

Sumber Pejabat Kehakiman berkata, Rifaa al-Tahtawi, yang ditahan bulan lepas, dibebaskan selepas kekurangan bukti.

"Pendakwa membebaskan Rifaa selepas mengambil kira beliau sebagai saksi kejadian dalam usaha menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, 3 Julai lalu," katanya dipetik dari laporan AP.

Sementara itu, ratusan rakyat Mesir meneruskan protes menuntut pembebasan Mursi, yang digulingkan itu dan ahli-ahli Ikwanul Muslimin.

Mereka berarak di sekitar jalan utama sambil membawa sepanduk Rabia dan mengutuk rampasan kuasa di negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, dua serangan bom tercetus di Semenanjung Sinai yang merupakan pintu masuk militan asing ke Mesir.

Pegawai keselamatan berkata, serangan itu disasarkan ke arah tentera Mesir yang mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Rafah-Israel.

"Letupan itu disasarkan ke ibu pejabat perisikan tentera Imam Ali di sempadan Rafah-Israel dan turut memecahkan tingkap bangunan lain dekat kawasan tersebut," katanya.
Beberapa minit kemudian, satu lagi letupan meranapkan pusat pemeriksaan tentera dekat kawasan terbabit.

Pelajar Universiti Abu Dis diserang

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

BAITULMUQADDIS - Sekumpulan pelajar universiti Abu Dis terpaksa mempertahankan diri selepas diserang 25 tentera Israel ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Aktivis Hak Asasi Manusia Palestin berkata, serangan itu mencederakan 10 pelajar selepas terkena peluru getah dan 15 yang lain dirawat kerana masalah pernafasan.

"Pelajar hanya mampu mempertahankan diri dengan membaling batu. Pengawal universiti berjaya mengosongkan kawasan keseluruhan universiti itu selepas sejam serangan berlaku, "katanya.

Jurucakap universiti, Emad Abu Kishek berkata, serangan itu sengaja dilakukan ketika proses kemasukan pelajar semester baru.

"Kejadian serupa turut berlaku bagi sesi kemasukan 2012-2013 lalu," katanya dipetik dari laporan PIC.

Minggu lalu, tentera Israel melancarkan serangan serupa sehingga mencederakan 78 pelajar dan kini rejim Zionis menjadikan pelajar universiti sebagai sasaran baru mereka.

Rusia nafi foto tulen

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Rusia melaporkan kumpulan Hak asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan, video dan foto didakwa mangsa serangan senjata kimia di Ghouta, pinggir Damsyik adalah palsu.
     
Kementerian Luar Rusia berkata, pakar antarabangsa mengesahkan kepalsuan gambar itu ketika mesyuarat PBB di Geneva 9 September lalu.

"Amerika Syarikat (AS) menggunakan rakaman dan gambar itu bertujuan melobi sekutunya dalam rancangan melancarkan perang di Syria dan tindakan tersebut menyalahi undang-undang antarabangsa," kata jurucakap kementerian.

Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama menangguhkan pengundian Kongres bagi mencapai keputusan sama ada mahu melancarkan perang ke atas Syria atau tidak.

Penangguhan itu dilakukan berikutan bantahan besar-besaran ribuan rakyat AS.

Obama berkata, masih terlalu awal untuk melancarkan serangan dan menuduh rejim Presiden Bashar Al-Assad menggunakan senjata kimia.

"Walaupun terdapat bukti kematian berpunca daripada serangan senjata kimia, namun penyiasat antarabangsa belum mengesahkan sama ada ia dilakukan oleh tentera rejim atau kumpulan Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang disokong militan," katanya dipetik dari laporan Al Jazeera.

Bagaimanapun, kumpulan pembangkang asing berkata, AS perlu melancarkan perang dan menolak cadangan Rusia untuk rundingan keamanan.

Bangunan Kementerian Luar Libya dibom

Oleh:

Tarikh: September 12, 2013

BENGHAZI - LIBYA . Satu letupan menggegarkan sebuah kawasan berhampiran bangunan Kementerian Luar Libya di bandar timur Benghazi, semalam.

Media tempatan melaporkan, letupan itu mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan kementerian, termasuk ibu pejabat bank pusat tempatan.

Difahamkan, letupan itu dilakukan berikutan genap setahun serangan maut ke atas Konsulat Amerika Syarikat di Benghazi.

"Tiada laporan kematian atau kecederaan dilakukan, namun polis tidak menolak serangan itu dilakukan kumpulan pemberontak ketika era pemimpin diktator Muammar Gaddafi pada 2011," memetik laporan Press TV.

Kebelakangan ini, gelombang serangan ganas kerap tercetus menyasarkan kakitangan tentera, hakim dan doktor.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment