Thursday, June 5, 2014

RG2011... Fw: Warga Pulau Tioman, Tiada Jalan Keluar Dari Kemiskinan

 



Warga "Pulau Tioman, Tiada Jalan Keluar" Dari Kemiskinan

telokbakong.blogspot
pahangdaily.blogspot.
 

Bila memperkatakan mengenai Pulau Tioman, perkara yang terlintas dalam fikiran pastinya sebuah destinasi percutian yang cukup indah dan damai.
Isu kemiskinan, pendidikan dan pendapatan penduduk yang begitu rendah mungkin tidak akan terlintas di fikiran sesiapapun apabila membayangkan pulau ini.
Hakikatnya, inilah yang terpaksa dilalui oleh masyarakat di sini, yang masih dibelenggu kemiskinan hingga sesetengahnya bertungkus lumus untuk meningkatkan lagi pendapatan yang rata-rata RM500 sebulan. 

Umum melihat, Pulau Tioman telahpun melalui fasa pembangunan lebih 20 tahun lepas. Hari ini, tersergam resort-resort mewah dan calet yang memenuhi setiap tujuh kampung yang terdapat di pulau ini bagi memenuhi keperluan pelancong.
Kemajuan hasil daripada industri pelancongan yang dilihat pada mata kasar kononnya memberi manfaat kepada penduduk kampung di sini yang berjumlah lebih 3,000 orang. Hingga ia dikatakan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada hampir 90 peratus penduduk yang majoritinya Melayu.
Namun, bancian pendapatan isi rumah yang dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun lepas menunjukkan bahawa 45 peratus penduduk di Pulau Tioman terdiri daripada kumpulan miskin tegar dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.

Manakala 25 peratus berpendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan. Hanya mereka yang terlibat sebagai pengusaha sahaja yang memperoleh pendapatan lebih RM1,000, contohnya, pengusaha bot dan calet.
Peluang ekonomi
Pada tahun 1970an ketika Pulau Tioman baru dikenali dan dikunjungi pelancong tempatan, penduduk setempat antara yang mula-mula melihat potensi ekonomi dalam pelancongan dengan membangunkan calet di kampung mereka.
Potensinya sebagai destinasi pelancongan telah menarik sekumpulan usahawan bumiputera dari luar Pulau Tioman dengan mengambil alih 20 peratus daripada perniagaan calet kepunyaan pengusaha tempatan.
Dari situ, bermula fasa pembangunan pelancongan di Pulau Tioman yang menarik kedatangan pelabur luar untuk membina resort dan calet di sini.
Kini terdapat kira-kira 86 buah resort dan calet dibina dengan jumlah keseluruhan bilik 2,200.

Orang luar terutama warganegara Singapura, memiliki banyak resort berkenaan.
Kebanyakan resort yang berdekatan dengan rumah penduduk seperti di Kampung Genting, Kampung Paya dan Kampung Mukut diusahakan secara bersama Antara penduduk dengan pengusaha luar.
Majoriti penduduk di sini bekerja dengan makan gaji di resort berkenaan selain ada juga yang melibatkan diri dengan perniagaan pelancongan seperti pengusaha bot dan calet, menjual makanan dan membuka kedai cenderahati.
Jika di Kampung Paya, sepanjang pantai adalah lokasi tumpuan perniagaan, di Kampung Tekek pula yang lebih maju, terdapat Bazar Mara yang menghimpunkan pelbagai perniagaan untuk kemudahan penduduk Pulau Tioman dan pelancong.
Kurang modal
Penduduk pulau ini mengetahui akan peluang-peluang perniagaan yang terbentang luas di hadapan mereka, namun apakan daya mereka hanya mampu melihat sahaja ia disambar oleh pihak luar. Ini berikutan penduduk tempatan berhadapan dengan masalah kekurangan modal.
Kesukaran mendapatkan bantuan seperti pinjaman bank atau bantuan daripada kerajaan menyebabkan ramai penduduk hanya bergantung kepada rezeki yang ada sama ada bekerja sendiri atau di resort.
Seorang penduduk di Kampung Tekek yang ingin dikenali sebagai Shamsul berkata, walaupun penduduk nampak banyak peluang dan potensi seperti restoran makanan laut dan perkhidmatan seperti penyewaan alatan sukan lasak, sewa motosikal dan basikal kepada pelancong tetapi semua itu terpaksa dilupakan kerana masing-masing tidak berkemampuan dari segi modal.

"Apabila kami nak usahakan, tidak ada modal, tak dibimbing dan dibantu, jadi peluang itu diambil oleh orang luar yang punya modal. 
"Ambil contoh perkhidmatan sewa motosikal dan basikal. Banyak yang bertanya kenapa sewa basikal dan motosikal tidak banyak di sini…, kami nampak potensi tu tapi nak membawanya (motosikal dan basikal) ke sini satu hal. Kemudian jika berlaku kerosakan di mana kami nak baikinya… nak hantar ke Mersing, kos pengangkutan sangat tinggi," katanya yang telah menetap lebih 30 tahun di sini.
Kerana itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika menginap di resort dan calet di kampung-kampung di sini, kebanyakan peniaga seperti kedai runcit yang bermodal agak besar dikuasai orang luar dengan menyewa tapak atau tanah penduduk tempatan. 
Penduduk tempatan pula hanya mampu berniaga kecil-kecilan seperti gerai makan, menjual jagung rebus dan gerai burger.
Satu lagi kajian mengenai Pulau Tioman oleh Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa hampir 60 peratus tanah di Pulau Tioman telah dijual dan bertukar milik kepada pelabur luar.
Kurang pendidikan
Kajian UKM itu juga mendapati kebanyakan penduduk terutama belia lebih berminat merebut peluang dalam sektor pelancongan dengan 90 peratus memilih menjadikannya sebagai kerjaya masa hadapan. Ia disebabkan taraf pendidikan yang secara umumnya agak rendah dalam kalangan penduduk.

Kebanyakan ibu bapa kurang menitikberatkan soal pendidikan anak mereka kerana tahap kesedaran tentang pentingnya pendidikan yang rendah. 
Ini ditambah dengan kemudahan persekolahan yang terhad dengan hanya mempunyai sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah rendah sehingga Tingkatan 3 di Kampung Tekek.
Sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas, mereka perlu ke tanah besar seperti di Mersing, yang paling hampir.
Masalah tambang bot dan feri yang agak mahal, menyebabkan ibu bapa tidak menggalakkan anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kebanyakan mereka hanya menamatkan pelajaran sehingga Tingkatan 3 sahaja. 
Ibu bapa lebih selesa anak bekerja dalam sektor pelancongan seperti di resort ataupun membantu kerja harian yang dilakukan selama ini. Tambahan pula, untuk bekerja dalam sektor perhotelan, hanya memerlukan kelulusan minimum sahaja.
Kini, telah mula timbul kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan apabila pengusaha resort enggan mengambil pekerja tempatan dengan alasan tiada kelulusan seperti diploma.
Nordeen Ahmad, yang bekerja di sebuah resort di Kampung Paya berkata, ia hanya alasan pihak pengusaha bagi menggantikan khidmat pekerja tempatan dengan pekerja warga asing.
"Pekerja asing seperti Indonesia dan Myanmar ada diploma ke?. Itu hanya alasan untuk memberhentikan pekerja tempatan kerana mereka perlu bayar gaji minimum RM900 seperti yang diputuskan oleh kerajaan.
"Sedangkan jika menggajikan pekerja asing mereka boleh bayar dengan bayaran lebih murah," katanya.
Sukarnya mendapat bantuan
Nordeen, yang berasal dari Kampung Genting, berkata penduduk kampung di Pulau Tioman bagai tiada tempat untuk bergantung. Tidak ada yang betul-betul ingin membantu mengeluarkan mereka daripada masalah ekonomi dan kemiskinan.
Adakalanya bantuan yang diterima tidak sampai ke tangan penduduk yang berhak. Contohnya bantuan ketika banjir yang dihadapi penduduk setiap tahun.
"Sepatutnya, bantuan banjir diberi sebelum musim tengkujuh sampai kerana ia berlalu setiap tahun. Tetapi malangnya ia tidak sampai ke tangan penduduk dan hanya diterima selepas habis musim banjir.
"Ketika itu, penduduk dah boleh bekerja dan tidak perlukan bantuan seperti itu lagi. Ini yang dihadapi saban tahun," katanya.
Selain itu, bantuan-bantuan yang boleh membangunkan ekonomi penduduk kampong juga tidak dapat dinikmati oleh kesemua mereka yang layak seperti bantuan enjin bot subsidi. Ia memberi tekanan yang hebat kepada penduduk di Pulau Tioman yang mahu merebut peluang keluar daripada belenggu kemiskinan, katanya. #sumber

__._,_.___

Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment