Thursday, October 9, 2014

RG2014... Potongan drastik subsidi kebimbangan utama menjelang Bajet 2015

 

Potongan drastik subsidi kebimbangan utama menjelang Bajet 2015

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK DAN MOHD FARHAN DARWIS

Published: 10 October 2014

Ketika rakyat Malaysia secara kolektifnya merintih pemotongan subsidi minyak baru-baru ini, kumpulan yang berpendapatan rendah mempunyai ketakutan lebih besar – pemotongan subsidi barangan lain dalam Bajet 2015 akan meningkatkan lagi kos kehidupan di luar kemampuan mereka.

Selepas terkesan dengan kenaikan harga petrol dan diesel minggu lepas, kumpulan yang berpendapatan rendah kini bimbang Putrajaya akan memotong subsidi untuk barang keperluan lain dan berharap terdapat satu mekanisme baru untuk mengawal kenaikan kos kehidupan.

"Kita harapkan lepas bajet ini harga barang tidak naik. Kami peniaga kecil-kecilan harapkan itu sahaja," kata kata Zaki, seorang penjual kuih di Sungai Buloh.

"Kenaikan harga minyak semua orang marah. Tetapi kita hendak buat macam mana. Saya harap itulah, jangan harga barang naik supaya periuk nasi kami tidak kacau," katanya yang berumur 40 tahun dan tidak mahu memberikan nama penuh.

Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan 20 sen ekoran keputusan kerajaan menurunkan subsidi minyak dan diesel untuk mengurangkan defisit.

Dengan pengumuman itu, harga petrol naik kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 sekarang, dan diesel RM2.20 daripada RM2.

Peguam Michelle Yesudas, 27, berharap kerajaan tidak mengurangkan subsidi barang-barang keperluan seperti minyak, gula, garam dan beras kerana ia membebankan golongan bawahan.

"Kerajaan juga harus memastikan pemaju membuat lebih banyak rumah kos rendah agar pemilikan rumah dapat dirasai semua," katanya kepada The Malaysian Insider.

Golongan pekerja mengatakan mereka kini sudah sukar memenuhi keperluan asas keluarga, kos perniagaan dan pengangkutan awam yang tidak efisyen, menyebabkan mereka memerlukan kenderaan peribadi.

Penyelia kilang M Surendran berkata, pendapatannya setiap bulanan tidak mencukupi apabila kos sara hidup semakin meningkat dengan keluarga yang semakin membesar.

Surendran, 49,  berkata kerajaan seharusnya lebih peka kepada kesukaran yang dihadapi pekerja bergaji rendah dengan memperkenalkan elaun yang tertentu bagi melawan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Apa yang kerajaan bagi pun tidak cukup. Sepatutnya perkenalkan elaun pengangkutan. Saya ulang-alik ke tempat kerja hari-hari bergantung pada gaji sahaja.

"Duit BR1M hanya sekali. Anak saya ada tiga dan semua masih belajar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan insentif baru bagi membolehkan pekerja kolar biru dapat hidup dengan lebih selesa.

"Sekarang gaji murah. Kalau barang naik, gaji tinggi sikit tidak mengapa. Sekarang masih dengan gaji lama," katanya.

Sementara itu, peniaga kecil mengatakan mereka tidak mampu mendapatkan keuntungan selesa kerana terpaksa berdepan dengan kawalan harga untuk barangan yang mereka jual dan pemborong tempat mereka membeli.

Peniaga masakan panas, Ramli Ali pula berkata walaupun terkesan dengan kenaikan harga barang, namun harga yang dijual di kedainya tidak boleh dinaikkan kerana dipantau pihak kerajaan tempatan.

Katanya, dengan keuntungan yang semakin sedikit, kos gaji pekerja juga terpaksa ditanggung selain kos lain yang terpaksa ditanggung sebagai peniaga.

"Dengan kenaikan harga minyak, kita terpaksa tanggung kos barang yang turut naik tetapi harga kami tetap sama.

"Harga terpaksa kekal sebab harga di bawah kawalan Perbadanan Putrajaya. Kalau naik pun kena buat laporan. Tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya yang kini mengusahakan sebuah kiosk berhampiran Pejabat Perdana Menteri.

Penjual burger di Shah Alam, Azhari Musiran berkata kerajaan perlu serius mengawal kenaikan harga di kalangan pemborong yang menyebabkan kenaikan harga barang secara tidak langsung.

Katanya, selaku peniaga yang perlu mengambil hati pelanggan, menaikkan harga adalah pilihan terakhir bagi memastikan hasil jualan tidak terjejas.

"Apa yang saya nampak, kuasa memang ada pada kerajaan tetapi pemborong ada kuasa makan lebih. Kita hendak kawal ekonomi pun susah.

"Kami peniaga serba salah, nanti pengguna bising. Kalau tidak naik tidak untung. Kita bukan hendak untung besar pun," katanya kepada The Malaysian Insider.

Berlainan pula bagi Khoo Gee Hong, 60, yang mahu kerajaan meningkatkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada warga emas yang selama ini banyak menabur bakti kepada negara.

Menurut Khoo, kenaikan bantuan wang kerajaan itu penting memandangkan warga emas kian dimamah usia dari sehari ke sehari dan untuk melengkapkan keperluan mereka.

"BR1M warga emas perlu ditingkatkan dan tidak boleh seperti sekarang. Beri sahaja. Tidak perlu minta selagi kami masih ada," katanya yang merupakan bekas pengurus tapak binaan bagi sebuah syarikat swasta.

Khoo sedar selepas kerajaan mengurangkan subsidi bahan bakar tempoh hari, kenaikan harga barangan memang tidak dapat dielakkan namun menggesa kerajaan mengawal fenomena itu.

Katanya, Bajet 2015 perlu dijadikan medan kepada kerajaan untuk memperkukuh jaringan pengangkutan awam agar ia menjadi lebih efisyen.

"Barang keperluan harian jangan terlalu dinaikkan terlalu tinggi. Jika naik biar sederhana.

"Kita lihat pengangkutan tidak pernah elok. Jika tiada kereta sekarang, memang susah. Tidak macam dulu. Sekarang jika mahu naik bas pun susah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Borhanizam Awang Ngah, 26, pula berpandangan Bajet 2015 perlu diperkemaskan lagi dari segi persaraan kakitangan swasta agar masa tua mereka akan terjamin.

"Wujudkan satu organisasi yang dapat membantu menambahkan pulangan untuk persaraan sekurang-kurangnya RM1juta ketika bersara.

"Kerajaan perlu mewajibkan kakitangan swasta mengambil insurans nyawa dan kad perubatan bagi memastikan tiada lagi golongan miskin yang meminta bantuan," katanya yang berkhidmat sebagai penasihat kewangan di firma swasta. – 10 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/potongan-drastik-subsidi-kebimbangan-utama-menjelang-bajet-2015#sthash.fDLwjbDV.dpuf

__._,_.___

Posted by: Pendekar Bloggerz <pendekarbloggerz@gmail.com>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
&quot; Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/&quot;

&quot; Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net&quot;

&quot; Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam&quot;

&quot; Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/&quot;

&quot; Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.com&quot;

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment