KUALA LUMPUR-- Penganalisis politik Abdul Razak Baginda tidak mempunyai kes prima facie untuk menjawab pertuduhan bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu yang berlaku pada 2006, menurut penghakiman bertulis yang dikeluarkan Selasa oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata nota-nota yang ditulis Abdul Razak, yang ditemui dalam beg Ketua Inspector Azilah Hadri, berserta dengan alamat penuh kediaman Abdul Razak dan nama bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda, adalah konsisten dengan seorang lelaki yang tidak bersalah yang telah meminta bantuan polis untuk melakukan rondaan di kawasan rumahnya (Abdul Razak) berikutan gangguan dan ugutan daripada Altantuya.
Dalam penghakiman setebal 70 muka surat, Hakim Mohd Zaki juga berkata malahan sekiranya Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai mempunyai "motif" berdasarkan semua surat peras ugut daripada si mati (Altantuya), ia tidak boleh dijadikan sebagai asas bagi sabitannya tanpa sebarang keterangan langsung atau keadaan bagi pembabitannya dalam apa juga cara dalam perlakuan kesalahan itu.
"Saya berpuas hati bahawa tiada prima facie untuk beliau menjawab pertuduhan terhadapnya. Dengan itu, saya mendapati tertuduh ketiga tidak bersalah dan memerintahkannya dilepas dan dibebaskan," katanya dalam penghakiman beliau yang diedarkan kepada media hari ini.
Mengenai afidavit Abdul Razak, Hakim Mohd Zaki berkata beliau tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak bersetuju dengan Abdul Razak bahawa Altantuya telah memeras ugutnya.
Dalam afidavit bertarikh 5 Jan, 2007, Abdul Razak mengaku menjalin hubungan dengan Altantuya, yang beliau jumpa pada November 2004, dan bahawa Altantuya meminta wang daripadanya dan memeras ugutnya berikutan perhubungan itu.
"Bolehkah bahagian-bahagian ini (mengenai Altantuya dan perjumpaan dengan Ketua Inspector Azilah Hadri) dalam afidavit ini diabaikan atau ditolak? Saya mendapati bahawa dengan ketiadaan keterangan untuk menyangkalnya, ditambah pula dengan hakikat bahawa tiada tanggungjawab undang-undang di pihak tertuduh ketiga untuk menyangkal mana-mana andaian statutori, saya mendapati tiada sebab untuk ia diabaikan dan ditolak.
"Saya telah meneliti seluruh kandungan afidavit berkenaan. Peguam bijaksana yang mewakili Abdul Razak telah berhujah bahawa semua bahagian bagi pembebasan itu terdapat dalam afidavit berkenaan khususnya oleh P. Balasubramaniam (penyiasat persendirian), Burmaa Oyuchimeg (sepupu Altantuya), Lans Korporal Rohaniza Roslan dan Siti Aishah Mohd Azlan (setiausaha Abdul Razak), dan keterangan lain yang jelas menidakkan dan membatalkan perbuatan bersubahat seperti dakwaan terhadap tertuduh ketiga.
"Saya tidak mempunyai alasan untuk tidak bersetuju dengan beliau. Penegasan mengenai ugutan dan peras ugut, misalnya, diperkukuhkan oleh surat-surat ugutan yang dihantar oleh si mati kepada tertuduh ketiga," katanya.
Altantuya dibunuh antara 10 malam, 19 Okt 19, 2006 dan 1 pagi hari berikutnya dalam kawasan hutan di Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam. Sementara Abdul Razak dibebaskan, dua lagi yang dituduh bersama-sama dengannya iaitu Azilah dan Korporal Sirul Azhar Umar, didapati bersalah.
Bagi Azilah dan Sirul Azhar, Hakim Mohd Zaki berkata pembelaan masing-masing lebih bersifat penafian iaitu saling menyalahkan antara satu sama lain, saling bercanggah dan bersifat ambivalen.
Beliau berkata Azilah juga tidak memanggil mana-mana saksi untuk menyokong pembelaan dan alibinya.
Dalam pembelaannya, Azilah berkata beliau tidak berada di tempat kejadian jenayah pada tarikh berkenaan dan sebaliknya mendakwa beliau berada di sekitar Wangsa Maju.
Azilah juga mendakwa beliau bukan orang terakhir berada bersama-sama Altantuya sebelum beliau menyerahkan wanita itu kepada Sirul Azhar untuk menghantar wanita itu balik ke Hotel Malaya.
Sirul Azhar, dalam kenyataan tidak bersumpah secara bertulis, berkata beliau dijadikan "kambing hitam" dan juga mendakwa beliau tidak berada di tempat kejadian jenayah pada tarikh dan masa yang dikatakan itu tetapi sebaliknya sedang minum di Devi's Corner dn Sri Hartamas dan bersahur di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Beliau juga menegaskan adalah tidak benar bahawa Azilah telah menyerahkan Altantuya kepadanya untuk menghantar wanita itu balik ke Hotel Malaya.
"Selepas mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan dan setelah mempertimbangkan dan meneliti pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh pertama dan tertuduh kedua, secara individu dan bersama, terhadap keseluruhan keterangan bagi pihak pendakwaan, saya mendapati pembelaan setiap tertuduh adalah bersifat penafian, saling menyalahkan antara satu sama lain, saling bercanggah dan bersifat ambivalen. Oleh yang demikian mereka telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," kata Hakim Mohd Zaki.
Mahkamah Rayuan menetapkan Jumaat ini untuk sebutan bagi menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan difailkan Azilah dan Sirul terhadap sabitan mereka.
Kes itu telah tertangguh selama dua tahun sementara menunggu penghakiman bertulis Hakim Mohd Zaki siap.
-- BERNAMA
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment