Pemandu lori nyaris maut
Oleh: NURUL FIRDAUS KHAIRI
Tarikh: August 23, 2013
BANTING - Seorang lelaki nyaris apabila lori muatan sawit seberat 25 tan yang dipandunya terbalik di Jambatan Banting, di sini kira-kira jam 6.45 petang kelmarin.
Pemandu terbabit, Omar Jailani, 43, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju je sebuah ladang di Sungai Buaya.
Dia yang bernasib baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan berkata, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta yang berada di hadapannya mengubah haluan secara mengejut.
"Saya terpaksa mengelak hingga lori gagal dikawal dan terbalik melintang jalan.
"Kesemua muatan sawit jatuh bertaburan atas jalan, namun saya bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Nordin berkata, kejadian itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas lebih tiga jam.
Katanya, polis terpaksa membuat lencongan menghala ke Banting bagi mengurangkan kesesakan tersebut selain meminta bantuan Bomba dan Penyelamat untuk membersihkan sawit yang bertaburan.
"Kami terpaksa membuka laluan kontra menghala ke Banting bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan masing-masing. Keadaan di situ kembali normal kira-kira jam 10.45 malam," katanya.
Cuti berakhir tragedi buat sepasang kekasih
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: August 23, 2013
KUALA LUMPUR - "Saya tak sangka akan kehilangan adik saya dalam sekelip mata," kata Yun Bao Ing, 28, kakak ipar kepada Kwan Chin Yii, 22, yang terkorban dalam nahas bas henti-henti yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 3.5 Genting Highlands, kelmarin.
Beliau berkata, adiknya merupakan penuntut jurusan Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini sedang bercuti semester.
Menurutnya, sebelum kejadian, adiknya pergi ke pusat peranginan terkenal itu untuk menemui teman lelakinya, Sia Chin Shin, 22, yang turut maut dalam kejadian.
Katanya, teman lelaki adiknya bekerja sambilan di
Beliau berkata, selepas bertemu Chin Yii, lelaki itu menemani adik saya untuk pulang.
"Tapi saya tak sangka mereka menaiki bas tersebut. Lebih mengejutkan, kedua-duanya maut dalam keadaan yang sangat tragis," katanya menahan sebak.
Bao Ing berkata, adik iparnya seorang yang baik dan kehilangannya sangat dirasai.
Difahamkan kedua-dua mangsa adalah penuntut tahun ketiga di UPM dan berkenalan di
Sehingga setakat jam 12 tengah hari semalam, keluarga Chin Yii difahamkan masih belum tiba dari Segamat, Johor untuk proses pengecaman.
'Tolong cari ibu, tolong cari ayah saya', rintih
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
Remaja lelaki warga Bangladesh berusia 14 tahun itu merupakan mangsa pertama diselamatkan Hazwan, 24, dalam tragedi yang meragut 37 nyawa dan menyebabkan 16 lagi cedera.
Hazwan merupakan individu pertama turun dengan tali bagi menyelamatkan mangsa dengan dibantu seorang rakan selepas diarahkan ke tempat kejadian pada 2.30 petang.
Dalam perjalanan ke lokasi, Hazwan membayangkan kemalangan itu hanya membabitkan bas terbalik sama seperti kemalangan dua tahun lepas namun sangkaannya jauh tersasar sebaik melihat bas itu di dalam gaung sedalam 60 meter.
"Apabila meninjau ke bawah, saya tergamam seketika kerana hanya terlihat badan bas yang tersangkut di sebuah bongkah batu besar...Sebelum terlihat mangsa, saya dapat melihat satu mayat tersangkut antara batu dalam keadaan ngeri.
"Lebih sayu apabila melihat keadaan pemandu bas yang kakinya masih tersangkut di pedal kerana tersepit manakala badannya patah dua seperti huruf 'L' manakala kepalanya penuh darah," katanya.
Memikirkan pemandu bas tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan, Hazwan bergegas ke arah remaja
"Dia macam faham dan meminta saya menyelamatkan remaja berkenaan dahulu dan saya berjanji akan menyelamatkannya selepas itu," katanya.
Selepas itu, beliau terdengar suara lelaki sayup-sayup meminta tolong yang kemudian ditemui di dalam bas di bawah timbunan tiga mayat.
Operasi menyelamat mangsa yang masih hidup tamat pada pukul 7 malam bagi memberi laluan operasi mencari mayat.
Meskipun sudah empat tahun menjadi anggota penyelamat JPAM, nahas semalam merupakan antara yang terburuk pernah dilihat dan meninggalkan kesan kepada diri Hazwan.
"Sebelum ini, saya dan rakan ada berbual, sudah lama tidak terlibat dengan tragedi besar sejak dua tahun lepas, namun tidak sangka pula tragedi dahsyat berlaku semalam," katanya. - Bernama
Sekeluarga warga
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
Kaunselornya S.M. Anisul Haque berkata tiga lagi anggota keluarga itu - ibu dan dua anak lelakinya sedang dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil walaupun patah tangan, kaki dan belakang.
Semasa dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata seorang lagi anak lelaki keluarga itu dan saudara mara mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini dan mereka merancang untuk memindahkan keluarga yang cedera ke Hospital Gleneagles di sini, sekiranya boleh.
Menurut senarai dikeluarkan polis hari ini, Rashidah Buyah, 50, dan dua anak lelakinya Rezyan, 24, dan Raawlok, 14, antara 16 orang yang cedera dalam kemalangan itu.
Bas itu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter semalam semasa menuruni jalan curam di Km3.5 Jalan Genting Highlands, meragut nyawa 37 orang termasuk pemandunya, yang merupakan nahas bas terburuk di negara ini.
S.M Anisul berkata sebaik sahaja keadaan mereka semakin stabil, keluarga itu merancang untuk membawa mereka pulang ke
Sementara itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia memaklumkan bahawa mereka masih belum mengetahui sama ada warganegaranya turut maut dalam kemalangan itu.
Kaunselor Perhubungannya Dino Nurwahyudin berkata ini kerana, proses bedah siasat mangsa masih sedang dijalankan oleh pasukan forensik Malaysia.
Beliau berkata setakat ini, tiga daripada 16 penumpang yang cedera dalam nahas itu adalah warganegaranya dan sedang dirawat di Hospital Bentong dan Hospital Selayang.
"Kami (Kedutaan Indonesia) sudah mengunjungi semua mangsa yang cedera dan salah seorang dari mereka yang dirawat di Hospital Bentong sudah boleh keluar," katanya dihubungi.
Dino berkata selepas jumlah kematian warganegaranya dikenal pasti, jika ada, pihak kedutaan akan menghubungi dan memanggil anggota keluarga untuk proses mengecam mayat.
"Sekiranya anggota keluarga mahu mangsa dikebumikan di Indonesia, pihak kedutaan akan membantu proses penghantaran jenazah," katanya. - Bernama
Bagaikan 'roller-coaster'
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Seperti dalam 'roller-coaster', itulah pengalaman yang dirasai dua beradik Nur Syamimi Ja'far, 25, dan Nur Fathiah Ja'far, 21, menceritakan detik cemas ketika bas yang mereka naiki terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter, di Genting Highlands semalam.
Menurut Syamimi, ketika itu bas dipandu laju kerana pemandu sebelum itu bertengkar dengan pemandu sebuah kereta yang membunyikan hon sewaktu bas itu berhenti seketika di tengah jalan dekat selekoh masuk ke tokong di situ.
Dia yang patah bahu kiri, berkata bas itu berhenti di tengah jalan hampir lima minit sebelum pemandu mengundurkannya dan memulakan semula perjalanan ke Kuala Lumpur.
"Pemandu ditegur oleh beberapa penumpang supaya jangan marah-marah tetapi teguran itu hanya membuat pemandu lebih marah dan terus memandu dengan laju," katanya.
Katanya tidak lama selepas itu penumpang mula menjerit ketakutan apabila pemandunya hilang kawalan dan bas terjunam ke dalam gaung.
Nur Fathiah yang cedera di paha kanan memberitahu Bernama ini bukan pertama kali dia terlibat dalam kemalangan melibatkan bas.
"Dua tahun lalu ketika dalam perjalanan dari universiti di Kedah, saya terlibat dalam kemalangan tetapi hanya mengalami kecederaan ringan. Kali ini saya terpaksa dibedah kerana terdapat serpihan kaca di dalam paha kanan saya," katanya.
Fathiah, pelajar diploma perakaunan di Universiti Utara Malaysia, berkata dia dan kakaknya pergi bercuti di Genting Highlands dengan wang hasil menjual kuih raya dan kerepek sepanjang Ramadan lalu.
Berikutan tragedi itu, mereka kini serik untuk menaiki pengangkutan awam.
Bernama turut menemu bual mangsa warga Kanada berketurunan Bangladesh yang turut menceritakan perkara sama yang berlaku.
Mangsa Rashitah Buyah, 50, kematian suaminya dalam kejadian semalam.
"Pemandu itu seakan-akan hilang pertimbangan kerana terlalu marah dan apabila ditegur oleh penumpang, dia semakin marah," katanya.
Rashitah bersama empat lagi ahli keluarganya pergi ke Genting Highlands untuk melancong bersama rakan mereka yang menetap di sini.
Anak Rashitah, Raawnok Arefin, 14, dan Rezyan Arefin, 24, masing-masing mengalami patah tulang kaki dan tangan kanan kini dirawat di Hospital Selayang. - Bernama
Nahas bas: SPAD akan ambil tindakan
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata tindakan susulan dan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian 37 orang dalam kemalangan bas di jalan Genting Highlands semalam.
Beliau berkata tindakan akan dikenakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya terdapat bukti pelanggaran akta itu.
"SPAD memandang serius tragedi kemalangan dan menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasatan khas bagi menyiasat secara terperinci punca kemalangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Syed Hamid berkata SPAD akan berkerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan langkah pencegahan supaya tragedi sedemikian dapat dielak pada masa hadapan.
Selain itu, tumpuan lebih khusus akan diberikan kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres, katanya.
Kemalangan di Km3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.
Syed Hamid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu.
Sementara itu anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye meminta mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan agar menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk menghentikan 'kematian beramai-ramai' di jalan raya di negara ini.
Beliau berkata beberapa isu asas perlu dikaji seperti sama ada pemandu bas mempunyai bebanan kerja yang lebih dan upah yang kurang atau perlu mengambil dadah untuk membuat lebih banyak perjalanan bagi memperoleh pendapatan yang lebih untuk kehidupan mereka.
"Adakah semua bas sentiasa diperiksa dan diselenggara bagi memastikan mereka selamat untuk diguna di jalan raya. Adakah pihak berkuasa berkaitan yakin bahawa pemeriksanan bas dijalankan dengan sebaiknya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
"Kita perlu belajar daripada tragedi lepas dan laksanakan cadangan yang dibuat untuk mencegah tragedi pada masa hadapan. Kita mesti memberi jaminan kepada pelancong asing bahawa sistem pengangkutan awam dan jalan raya kita selamat," katanya.
Setiausaha Agung Gerakan Datuk Mah Siew Keong dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan mesti tegas dengan pengusaha bas yang kerap melanggar undang-undang dan peraturan.
Mah juga berkata laporan siasatan awal menyatakan bahawa bas itu membawa muatan melebihi had dan sekali lagi ini menimbulkan pertanyaan terhadap aspek penguatkuasaan.
"Pengusaha bas (jika melanggar undang-undang) perlu didakwa kerana membahayakan nyawa penumpang," katanya.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw ketika ditemui di Hospital Selayang semasa melawat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, berkata beliau enggan menunding jari kepada sesiapa namun kejadian itu perlu disiasat dengan terperinci. – Bernama
Nahas bas: Udamjit Singh berubah sikap, kata rakan
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Udamjit Singh, 41, seorang daripada 37 penumpang yang maut dalam kemalangan bas di Km3.5 Jalan Genting Highlands semalam berubah sikap sejak minggu lepas daripada seorang yang ceria dan senang bersembang kepada pendiam dan suka menyendiri, kata seorang rakannya.
Hasbullah Hassan, 29, rakan sekerja mendiang di sebuah syarikat kewangan berkata Udamjit yang berasal dari Seremban itu berubah perwatakan sejak seminggu lalu.
Beliau berkata mendiang ke Genting Highlands atas urusan kerja dan memang setiap minggu pada hari Rabu Udamjit akan ke Genting Highlands.
"Seorang lagi rakan sekerja kami sepatutnya ikut, namun dia tidak pergi," kata Hasbullah.
Sementara itu Jamhari Pi, rakan kepada rakyat Indonesia Ahmad Busairi, 40, yang turut maut dalam kemalangan itu, berkata beliau tidak menyangka rakannya itu akan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.
"Kira-kira pukul 2 petang semalam dia turun ke Kuala Lumpur untuk membeli barang keperluan namun sehinga lewat malam semalam Ahmad tidak balik.
"Apabila saya dengar berita kemalangan itu, saya terus pergi ke HKL hari ini untuk mengecam identiti mangsa yang terlibat dan ternyata Ahmad adalah salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan itu," katanya.
Jamhari sedih atas pemergian Ahmad kerana beliau merupakan rakan serumahnya.
Mereka bekerja sebagai tukang cat di Genting Highlands sejak 13 tahun lepas. - Bernama
KPWKM salur bantuan untuk mangsa nahas
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Rohani Abdul Karim berkata kementeriannya akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kemalangan bas di Genting Highlands.
Rohani berkata mangsa rakyat tempatan akan menerima bantuan kewangan dan barang keperluan manakala bantuan kaunseling daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat akan ditawarkan kepada semua mangsa termasuk warga asing.
"Bantuan segera yang akan diberi kepada mangsa yang terselamat ialah RM500 setiap seorang, termasuk apa-apa keperluan segera atau tambang keluarga mangsa yang datang melawat. Ini di bawah Yayasan Kebajikan Negara," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Selayang hari ini.
Selain itu, sumbangan RM1,000 juga diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban untuk urusan pengebumian serta penempatan di Anjung Kasih untuk keluarga yang datang melawat mangsa di hospital.
Dalam kejadian pukul 2.22 petang semalam, 37 penumpang maut manakala 16 cedera parah selepas bas ulang-alik yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands. – Bernama
Nahas bas: Syarikat bas 'kunci mulut'
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini oleh syarikat bas yang mengendalikan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands mengenai kemalangan yang meragut 37 nyawa membabitkan bas mereka di Genting Highlands petang semalam.
Bernama yang cuba menghubungi pihak pengurusan syarikat itu sejak pagi gagal mendapatkan sebarang komen sehingga pukul 5.30 petang ini.
Kakitangan yang menjawab panggilan wartawan asyik memberi alasan pihak pengurusan sedang bermesyuarat manakala panggilan terakhir pada 5.35 petang dijawab dengan alasan para pegawai sudah pulang.
Bagaimanapun, kakitangan berkenaan mengakui bas yang terlibat dalam kemalangan itu adalah milik syarikat itu yang beribu pejabat di Jalan Segambut di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 petang semalam, 37 penumpang maut manakala 16 cedera parah selepas bas ulang-alik yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands.
Resorts World Genting, pemilik pusat peranginan di Genting Highlands, dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa bas terbabit adalah pengangkutan awam yang berulang alik membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke pusat peranginan itu setiap hari.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata persatuan itu dimaklumkan oleh pengurusan syarikat bas itu bahawa syarikat itu akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa relevan.
"Kami (persatuan) dalam industri bas benar-benar terkejut dan sedih dengan banyaknya nyawa yang terkorban. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada mangsa yang maut.
"PMBOA telah dimaklumkan oleh pengurusan syarikat bas itu bahawa mereka akan lakukan apa yang termampu untuk membantu keluarga mangsa yang terkorban dan yang cedera," katanya dalam kenyataan kepada Bernama. - Bernama
Pemandu bas ceria sebelum kemalangan
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Ong Cheng Hoe tidak pernah menyangka bahawa perbualan mesra dengan iparnya, pemandu bas Lim Kok Hoe, melalui telefon semalam, adalah yang terakhir antara mereka.
Dalam perbualan itu, mereka saling berjenaka dan Lim memintanya membeli sepasang kaca mata gelap.
"Kami berbual melalui telefon pada kira-kira 1 tengah hari semalam. Kata Lim dia memerlukan cermin mata baharu dan meminta saya membeli untuknya. Dia juga mengingatkan saya supaya tidak membeli yang terlalu mahal.
"Jadi, saya beli dua pasang cermin mata gelap yang serupa... RM300 sepasang. Satu untuk dia dan satu untuk saya," kata Ong ketika ditemui di luar rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Lim, 44, tidak sempat memakai cermin mata itu kerana terbunuh apabila bas yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands petang semalam.
Seramai 36 penumpang turut terbunuh dalam kemalangan yang berlaku ketika bas berkenaan menuju ke Kuala Lumpur dari pusat peranginan itu.
Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu juga menyebabkan 16 penumpang cedera, termasuk sembilan warga asing.
Ong tiba di rumah mayat HKL pada 9 pagi bersama anggota keluarganya bagi menuntut mayat Lim.
Ibu dan adik-beradik perempuan mangsa menangis sejurus tiba di situ kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Ong, yang cuba mengawal kesedihannya, berkata Lim, yang berasal dari Johor, bekerja dengan syarikat bas berkenaan belum sampai tiga bulan.
Sebelum ini, dia bekerja selama enam tahun di Singapura sebagai pemandu bas yang membuat perjalanan antara republik itu dan Johor.
"Dia pernah bersungut tentang kehidupan yang sentiasa sibuk di sana dan mengambil keputusan untuk pulang. Lagipun, dia mendapat gaji lebih tinggi di sini," katanya.
Ong menyifatkan iparnya yang menduda itu sebagai lelaki yang amat berdisiplin serta pemandu berpengalaman.
Kata Ong Lim tinggal bersama keluarganya di Pandan Indah dan selalunya menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke terminal perkhidmatan bas berkenaan di Titiwangsa.
Ong berkata keluarganya hanya mendapat tahu tentang kemalangan itu melalui berita televisyen pada kira-kira 5.30 petang semalam dan selepas itu dia segera ke Titiwangsa untuk mendapatkan khabar tentang Lim.
"Kami diberitahu syarikat berkenaan bahawa bas terbabit dipandu Lim semalam," katanya.
Sementara itu, ibu Lim, Chow Bee Hua, 70-an, berkata dia amat sedih apabila menerima berita itu.
Katanya Lim mungkin mengalami pendarahan dalaman kerana hanya terdapat sedikit luka di muka, kaki dan kepalanya.
Mayat Lim akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat untuk dikebumikan. Mangsa meninggalkan seorang anak lelaki berusia 19 tahun dan seorang anak perempuan berusia 15 tahun. - Bernama
Kumpulan pertama pelajar dari Mesir tiba
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
SEPANG - Enam rakyat Malaysia di Mesir yang merupakan kumpulan pertama dalam Ops Piramid 2 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mereka, yang tiba pukul 6.40 petang itu, disambut Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan.
Mereka ialah Balkis Mohd Shariff, 51, Said Mubarak Said Ahmad, 13, Azka Raffudin Ramli, 20, Ellyeen Nur Atiqah Mohd Salleh, 24, Nurul Adha Saabani, 20, dan Muhammad Yusof Muhammad Razif, 20.
Kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada 426 pelajar Malaysia di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui empat penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai hari ini dan esok.
Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius.
Kamalanathan pada sidang media berkata beliau berharap misi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir akan selesai selewat-lewatnya akhir bulan ini.
"Setelah mendengar pengalaman dan cerita daripada mereka (enam orang rakyat Malaysia ini) sangat menyedihkan dan menyayat hati," katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan menerusi Ketua Setiausaha Kedua Datuk Seri Dr Zaini Ujang dijadual akan mengetuai delegasi ke Mesir pada Sabtu ini untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian pengajian tinggi negara itu membabitkan urusan pembelajaran semasa pelajar Malaysia.
Nurul Adha berkata beliau menetap di kawasan perumahan yang selamat di Mesir dan memilih pulang ke tanah air selepas mendapat nasihat kerajaan Malaysia.
"Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah apabila ditahan tentera Mesir dan diperiksa secara menyeluruh kerana mereka mencari anggota pemberontak ketika itu," katanya.
Beliau berkata ada juga rakannya yang tidak mahu pulang ke tanah air kerana bimbang mereka akan ketinggalan pelajaran dan rugi masa untuk ulang kaji pelajaran.
Azka Raffudin, yang menetap di Zagazig berhampiran bandar Kaherah, berkata beliau tidak berani keluar rumah kerana perintah berkurung oleh pihak berkuasa
Mesir.
"Bagaimanapun, pengalaman mengerikan apabila saya berada dalam sebuah bas awam pada jarak sekitar 100 meter melihat dengan mata sendiri seorang rakyat Mesir ditembak di kepala dan rebah. Mangsa dibantu rakannya tetapi saya tidak tahu adakah mangsa selamat akibat tembakan itu," katanya.
Keadaan di sana sangat kelam-kabut dan sukar untuk mencari sebuah kawasan yang benar-benar selamat kerana pihak berkuasa Mesir akan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap semua orang untuk mencari kumpulan pemberontak, kata Azka. - Bernama
Lebih 300 berkumpul di Istana Kehakiman
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
PUTRAJAYA - Lebih 300 orang berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman seawal 7 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald'.
Kumpulan itu termasuk pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jalur Tiga Malaysia (Jati), Persatuan Cina Muslim Malaysia dan juga wakil paderi.
Pelbagai aksi dapat dilihat daripada mereka yang berkumpul di pekarangan itu kerana tidak dapat masuk ke dalam bilik bicara yang penuh sesak sejak pukul 8 pagi.
Bagaimanapun keadaan terkawal dengan pihak polis mengawal di kawasan itu.
Ada di antara mereka yang duduk bersila sambil berselawat, membaca al-Quran, bernasyid dan memegang sepanduk.
Ketika ditanya seorang daripada mereka berkata mereka hadir di mahkamah hari ini bagi memberi sokongan terhadap isu berkaitan agama Islam.
Turut juga kelihatan di mahkamah ialah presiden Jati Datuk Dr Hasan Ali, presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan juga wakil paderi.
Mahkamah memulakan prosiding pukul 9.40 pagi dan menangguhkan keputusannya pukul 3 petang.
Selepas mahkamah selesai memberi keputusan, kedengaran laungan takbir dari luar bilik bicara, bagaimanapun polis mahkamah menasihati mereka supaya bersurai dan berkumpul di luar mahkamah. – Bernama
Permohonan gereja ditolak
Oleh: SITI AZIELAH WAHI
Tarikh: August 23, 2013
PUTRAJAYA - Kontroversi penggunaan kalimah ALLAH dalam akhbar katolik The Herald masih belum selesai selepas Mahkamah Rayuan di sini menolak permohonan Titular Roman Catholic Archbishop untuk membatalkan rayuan kerajaan di sini, semalam.
Gereja roman katolik itu gagal dalam permohonannya batalkan rayuan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam akhbar mingguan katolik The Herald.
Berdasarkan keputusan tersebut, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan kerajaan yang telah ditetapkan pada 10 September depan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin, sebulat suara membuat keputusan tersebut.
Panel lain ialah Datuk Abd Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusof.
Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata, permohonan kerajaan untuk merayu dalam keputusan tersebut adalah satu isu besar yang perlu disemak dan diputuskan.
Abu Samah berkata, tindakan untuk membatalkan rayuan perayu (kerajaan) dalam permohonan tersebut adalah satu tindakan drastik kerana mereka telah mengemukakan permohonan untuk merayu secara betul.
"Rayuan tersebut tidak bersifat akademik, ianya masih merupakan satu isu yang perlu disemak dan diputuskan," katanya.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah 'ALLAH' adalah salah, batal dan tidak sah.
Kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada 8 Julai, Gereja katolik itu, kemudiannya memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan kerajaan.
Gereja Katolik diketuai Biskop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Februari, 2010 dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.
Antara lain mereka memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah 'ALLAH' dalam The Herald adalah tidak sah.
Akhbar mingguan yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'ALLAH' sebagai merujuk kepada 'God' dalam The Herald terbitan bahasa Melayu terutamanya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah 'ALLAH' adalah salah, batal dan tidak sah.
Sementara itu, lebih 300 individu hadir ke Istana Kehakiman di sini untuk mengikuti perkembangan kes rayuan kontroversi kalimah ALLAH yang berlangsung di Mahkamah Rayuan di sini.
Sebahagian mereka berkumpul seawal jam 6 pagi selepas menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Kehakiman.
PR: Kerajaan perlu lebih fleksible
Oleh: JAMILAH HAMZAH
Tarikh: August 22, 2013
SHAH ALAM - Pemuda PR hari ini menggesa kerajaan perlu bertindak lebih fleksibel berhubung isu pembayaran balik dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pemuda PR yang diketuai Nasruddin Hassan (Pas), Shamsul Iskandar Mat Akin (PKR) dan Teo Kok Siong (DAP) berkata keputusan Kabinet menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenarikan peminjam ingkar Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak memadai.
Ketiga-ketiga pemimpin pembangkang itu turut berkata, kerajaan seharusnya mewujudkan bantuan kewangan alternatif termasuk biasiswa dalam kuantiti lebih besar bagi memudahkan pelajar menyambung pelajaran.
"Rakyat sebenarnya menginginkan pengumuman kerajaan lebih daripada membatalkan cadangan PTPTN melaksanakan CCRIS.
"Golongan belia mahukan peminjam PTPTN diberi kelonggaran atau fleksibiliti dalam pembayaran hutang atau dikurangkan jumlah pembayaran ke tahap yang memuaskan," katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kabinet telah memutuskan untuk menolak pelaksanaan penyenaraian peminjam PTPTN ingkar dalam CCRIS.
Dalam pada itu, pemimpin pemuda pembangkang itersebut berkata, PR akan meneruskan komitmen untuk melaksanakan pendidikan percuma seperti yang diperjuangkan sebelum ini.
"Pemuda PR menegaskan, komitmen PR untuk memberikan pendidikan percuma adalah agenda utama yang akan diperjuangkan sehingga akhirnya ianya dilaksanakan.
"Dengan pendapatan dan hasil negara yang banyak, agenda ini bukan mustahil untuk dilaksanakan malah ianya mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan mahu.
Selain itu, mereka menambah, pendidikan percuma adalah impian dan aspirasi rakyat.
" PR bertekad tidak ada rakyat yang tercicir mendapat pendidikan sehingga ke tahap tertinggi dengan kemudahan percuma yang semua rakyat di negara ini boleh miliki," katanya lagi.
Pencarum aktif KWSP dapat manfaat lebih besar
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Lebih daripada enam juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mendapat manfaat daripada kadar caruman KWSP yang kekal tidak berubah sehingga umur 60 tahun, inisiatif yang akan meningkatkan simpanan persaraan mereka.
Sebelum ini, mereka hanya mendapat manfaat sumbangan enam peratus daripada majikan.
"Berkuat kuasa mulai gaji Ogos 2013, pekerja yang berumur sehingga 60 tahun akan menerima caruman KWSP 12 peratus daripada majikan (atau 13 peratus untuk pekerja yang bergaji bulanan RM5,000 dan ke bawah) manakala caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pencarum yang berumur lebih 55 tahun dan majikan mereka hanya perlu mencarum separuh daripada kadar berkanun.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib berkata perlaksanaan kadar caruman penuh sehingga umur 60 tahun ini akan membantu pencarum menambah simpanan bagi jangka panjang untuk persaraan mereka.
Beliau berkata KWSP prihatin terhadap kecukupan simpanan persaraan pencarum memandangkan rakyat Malaysia kini mempunyai jangka hayat mencecah 75 tahun.
Sehubungan itu, kemampanan simpanan adalah penting untuk pencarum mengelakkan beban kewangan kepada keluarga mereka
Ibrahim berkata KWSP telah menyemak semula Simpanan Asas ke kadar yang lebih tinggi, dengan pencarum kini perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM196,800 simpanan KWSP menjelang umur 55 (atau bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun, dari umur 55 sehingga 75).
"Kadar Simpanan Asas baharu yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 telah ditanda aras dengan pencen minimum semasa pekerja sektor awam sebanyak RM820 sebulan agar pendapatan bulanan pencarum tidak jatuh di bawah garis kemiskinan," katanya.
Berikutan semakan kadar ini, pencarum perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk mencapai amaun yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan pencarum KWSP, katanya. - Bernama
Pekerja Bangladesh bakal miliki IC khas
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
PUTRAJAYA - Seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan, bakal mempunyai kad pengenalan khas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).
"Warnanya pula akan ditentukan mengikut sektor pekerjaan bagi mengelakkan mereka bertukar-tukar kerja," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerja Luar Negara Bangladesh Khandker Mosharraf Hossain di sini hari ini.
Beliau berkata jika didapati pekerja tersebut menukar sektor, mereka boleh didenda sehingga RM12,000, pekerja yang dibawa masuk itu juga telah menjalani proses tapisan bagi memastikan mereka tidak pernah terlibat dengan jenayah.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan mengenai perumahan sementara kepada pekerja berkenaan turut dibincangkan.
"Penyediaan tempat tinggal itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja selain memastikan tidak berlaku masalah asimilasi sosial dengan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata kemasukan pekerja Bangladesh tersebut telah dipersetujui semasa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan perkhidmatan.
"Mereka akan dibawa masuk melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan untuk mengelakkan peranan orang tengah dan eksploitasi pekerja asing.
"Kita turut mengadakan perbincangan dengan negara lain supaya pendekatan sama boleh diperluaskan ke negara lain seperti Indonesia dan Myanmar pada awal tahun depan," katanya.
Sementara itu, Khandker berkata pendekatan kerajaan dengan kerajaan itu dilihat dapat mengurangkan kos daripada AS$4,000 (RM13,284) kepada AS$400 (RM1,328) untuk setiap pekerja Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.
"Sebelum ini mereka perlu bekerja selama empat hingga lima tahun untuk bayar balik kos tersebut kerana dieksploitasi orang tengah, tetapi kini mereka hanya perlu dua bulan untuk bayar balik," katanya. - Bernama
Mayat dalam kontena
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
GEORGETOWN - Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman dalam sebuah kontena di Jalan Siput Kepah, Tanjong Tokong di sini hari ini.
Mayat Thang Shing Ling, 26, ditemui terbaring dengan kecederaan parah di dada pada pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis turut menemui sebilah pisau dan sebatang besi di luar kontena dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan.
"Susulan kejadian itu kami sedang mengesan dua rakan mangsa yang tinggal bersamanya untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata berdasarkan keterangan majikan lelaki itu, Thang baru dua hari bekerja di kedai kitar semula miliknya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
Gan berkata mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama
Baharui gambar pasport guna gambar warga asing
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
MELAKA - Seorang lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Melaka kerana cuba memperbaharui pasport antarabangsa menggunakan gambar seorang lelaki warga Sri Lanka yang mempunyai rupa paras seakan dirinya.
Pengarahnya Kamalludin Ismail berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada 11 pagi semalam ketika berurusan di kaunter pejabat Imigresen Ayer Keroh di sini setelah kakitangan imigresen mendapati terdapat sedikit kelainan pada wajah dan gambar yang disertakan.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu dijanjikan bayaran sebanyak RM2,000 oleh lelaki warga Sri Lanka terbabit bagi melakukan perbuatan itu.
"Lelaki terbabit mengaku pertama kali melakukan kegiatan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya pihaknya sedang mengesan lelaki warga asing terbabit serta melakukan siasatan terperinci termasuk tujuan lelaki itu ingin menggunakan pasport berkenaan.
Dalam kes berasingan, seramai 15 wanita pelayan pelanggan (GRO) serta dua lelaki tempatan sanggup berhimpit di dalam sebuah bilik rahsia di sebuah pusat hiburan bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Melaka.
Kamalludin berkata dalam serbuan pada 9.45 malam semalam di pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, pihaknya mengesan sebuah bilik rahsia yang terletak di bawah tangga premis itu dengan pintunya berada di belakang sebuah sofa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Setelah diperiksa pihak Imigresen menemui kesemua mereka yang berhimpit di dalam bilik sebesar 6x7 kaki persegi itu," katanya.
Beliau berkata wanita yang terdiri daripada 12 warga Vietnam dan tiga warga China itu kemudian ditahan bersama dua lelaki yang dipercayai pelanggan GRO selain dua lagi lelaki yang merupakan pekerja di premis itu.
Katanya keempat-empat lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin. - Bernama
Polis Selangor tahan Geng 08
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
SHAH ALAM - Polis Selangor memberkas tiga lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Padang Jawa, Klang selepas kejadian tembakan di Subang Perdana dan Lebuhraya Koridor Guthrie dekat sini, awal pagi ini.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson serta beberapa butir peluru hidup daripada mereka.
"Ketiga-tiga suspek adalah individu dikehendaki oleh IPD Klang Selatan dan seorang darinya mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan samun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 dan 27 tahun dan berasal dari Klang dan Shah Alam itu akan ditahan reman esok, katanya.
Menceritakan detik sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek, Thaiveegan berkata sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah restoran di Subang Perdana kira-kira 2.30 pagi.
Hasil maklumat awal, polis tidak menolak kemungkinan mereka ke situ untuk melakukan samun ke atas restoran berkenaan, katanya dan menurutnya suspek memecut laju kereta sambil melepaskan dua das tembakan ke arah kereta peronda polis selepas diarahkan keluar untuk pemeriksaan.
"Kereta peronda polis terus mengejar suspek dari Subang Perdana sehingga ke Lebuhraya Koridor Guthrie dan ketika itu juga, suspek melepaskan tembakan (ke arah kereta peronda) namun tidak mengena.
"Ekoran kejadian tembakan itu, kita terpaksa meminta bantuan dari pasukan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya.
Thaiveegan berkata sebaik tiba di Seksyen 20, Shah Alam, suspek sekali lagi melepaskan dua lagi das tembakan ke arah polis sebelum memasuki kawasan Padang Jawa dan kemudiannya Taman Sentosa di Klang sebelum terbabas dan melanggar sebuah Toyota Hilux serta penghadang jalan.
"Kenderaan rosak dan tidak boleh bergerak menyebabkan ketiga-tiga suspek akhirnya keluar dari kereta dan melarikan diri.
"Namun, dengan bantuan polis dari IPD Klang, seorang daripada mereka dapat ditahan manakala suspek kedua yang menyembunyikan diri dalam longkang berhampiran diberkas sejam kemudian manakala suspek ketiga diberkas kira-kira 9.15 pagi ini dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan sama," kata Thaiveegan. - Bernama
Rasuah: Undang-undang perlu ditambahbaik
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menyarankan agar penambahbaikan undang-undang dilakukan agar syarikat tempatan dan luar negara tidak terlepas daripada dakwaan jenayah rasuah yang dilakukan kakitangan mereka.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata penambahbaikan itu disifatkan penting kerana terdapat kakitangan yang terlibat dalam kes rasuah demi manfaat syarikat mereka.
"Bagi menjadikan sesuatu syarikat itu lebih bertanggungjawab, undang-undang itu dikenali sebagai 'liabiliti korporat' yang mana penting untuk membasmi amalan rasuah secara menyeluruh di negara ini.
"Ini kerana ketiadaan undang-undang khusus berhubung liabiliti korporat boleh menyebabkan syarikat terlepas daripada pendakwaan dan hukuman, walaupun rasuah yang dilakukan oleh kakitangan mereka adalah demi manfaat syarikat," katanya ketika berucap menutup program Pengurusan Risiko Rasuah (PPR) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
Beliau berkata liabiliti korporat perlu diperluas kepada sektor swasta agar syarikat perniagaan akan lebih peka terhadap keperluan bagi memastikan entiti perniagaan bebas rasuah.
"Dengan adanya perundangan yang dicadangkan, syarikat perniagaan diharap akan lebih peka terhadap keperluan bagi memastikan entiti perniagaan mereka tidak terdedah kepada risiko pendakwaan dan hukuman," katanya.
Abu Kassim berkata setiap pekerja atau individu juga wajib melaporkan transaksi serta amalan rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa kepada SPRM agar tindakan selanjutnya boleh diambil.
Dalam pada itu, beliau berkata PPR merupakan satu kaedah bagi membantu orga
"PRR adalah satu kaedah yang boleh meminimum atau menghapuskan sama sekali risiko dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti ke arah pencapaian output pada tahap maksimum bagi mempertingkatkan lagi integriti, ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dalam pengurusan.
"Bengkel ini merupakan sebuah program bagi mengesan kelemahan yang wujud dalam sesuatu orga
Beliau juga berkata SPRM sedia membantu mana-mana badan berkanun dan korporat, agensi, institusi, syarikat dan sebagainya dalam isu tadbir urus yang baik melalui pelbagai siri latihan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). – Bernama
Pekerja terkena renjatan elektrik
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
SANDAKAN - Empat pekerja sebuah syarikat kontraktor komunikasi cedera terkena renjatan elektrik ketika memasang sebuah tiang di Jalan Pasir Putih dekat sini hari ini.
Insiden berlaku pada kira-kira 9.50 pagi selepas tiang yang ditanam empat pekerja lelaki berusia lingkungan 20-an itu terkena kabel elektrik bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berkuasa 30 kilovolt.
Mangsa kemudian dihantar ke unit kecemasan Hospital Duchess of Kent Sandakan dan dilapor dalam keadaan stabil.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Ahmad Fuad Md Kassim berkata kejadian itu menyebabkan bekalan elektrik terputus selama sejam membabitkan 3,000 pengguna di kawasan sekitar Batu Sapi, Bandar Sandakan dan Bandar Maju.
Beliau berkata kerugian awal dianggar berjumlah RM10,000 dan pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Berikutan insiden itu, semua kontraktor yang bercadang membuat kerja pembangunan berhampiran tempat pemasangan elektrik sedia ada perlu memaklumkan kepada SESB terlebih dahulu," katanya.
Ahmad Fuad juga berkata tindakan itu perlu bagi memastikan langkah awal dapat diambil oleh SESB agar kejadian seumpamanya dapat dielakkan dan keselamatan pekerja kontraktor terjamin. - Bernama
Proton Satria, Kancil ditemui semula
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
BESUT - Polis berjaya menyelesaikan lima kes kehilangan kereta termasuk yang terbaharu di Melaka Tengah dan Pengkalan Chepa, Kelantan dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Selasa dan semalam di Besut.
Pemangku Ketua Polis Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata berikutan tangkapan itu polis menemui semula kereta jenis Proton Satria yang hilang di Melaka Tengah dan kereta jenis Perodua Kancil di Pengkalan Chepa, Kelantan semasa musim perayaan baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek merupakan penduduk tempatan berumur antara 30 hingga 43 tahun, katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.
Mereka kini ditahan reman hingga Sabtu.
Noor Zainy juga memberitahu bahawa polis menahan dua lelaki berumur 32 dan 39 tahun dan merampas 100 biji pil Methamphetamine di dua tempat semalam.
Katanya sejumlah wang tunai turut dijumpai daripada seorang lelaki yang ditahan itu dan motosikal yang dimilikinya juga sebuah motosikal curi yang hilang di Pasir Akar, Hulu Besut pada 10 Ogos lalu. - Bernama
Remaja disyaki miliki 10 unit 'Flying Feather'
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
TAWAU - Polis Tawau menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selepas menemui 10 anak panah 'flying feather' (anak panah lastik), dua alat pelepas anak panah dan sebilah pisau dipercayai milik remaja itu di Kampung Titingan (Kampung Ice Box) hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata remaja yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan pukul 6.45 pagi selepas dilihat berkelakuan mencurigakan.
"Apabila anggota polis ingin memeriksanya, remaja itu cuba melarikan diri. Polis menjumpai satu kantung (beg kecil) hitam mengandungi empat anak panah flying feather di dalam poket kiri seluarnya dan satu alat pelepas anak panah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Awang Besar berkata pemeriksaan lanjut ke atas remaja itu membawa kepada penemuan enam lagi unit flying feather, satu unit pelancar anak panah dan sebilah pisau kira-kira dua meter dari tempat remaja itu ditahan.
Katanya remaja berkenaan dan semua senjata yang dirampas itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut. - Bernama
Penjaga kafe siber, pelanggan disamun
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUANTAN - Penjaga sebuah premis kafe siber di Jalan Wong Ah Jang di sini dan lapan pelanggan premis itu disamun tiga lelaki bersenjatakan parang dan sebatang besi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 10.30 malam itu, penjaga dan pelanggan premis itu bagaimanapun tidak dicederakan.
"Ketika kejadian, lapan pelanggan lelaki berusia 20 hingga 30-an yang berada di premis berkenaan, terkejut apabila tiga lelaki terbabit yang menutup muka sambil memegang dua bilah parang dan sebatang besi meluru masuk ke dalam premis.
"Seorang daripada suspek kemudiannya menghampiri penjaga lelaki premis berkenaan lalu mengacukan parang sambil mengarahkan mangsa membuka laci di kaunter wang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Kesemua suspek melarikan diri selepas turut menyamun pelanggan premis itu dan jumlah kerugian dianggarkan RM800. - Bernama
Mubarak: Sokong Ops Cantas
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
JOHOR BAHRU - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menyatakan sokongan padu tindakan tegas polis memerangi jenayah di negara ini melalui Ops Cantas yang dilancarkan awal minggu ini.
Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Mubarak turut menyokong ketegasan Kementerian Dalam Negeri dalam menangani isu-isu keselamatan, ketenteraman dan awam dan kedaulatan negara.
"Perkara tersebut merupakan antara empat usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak kali ke-13," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (Persada) di sini hari ini.
Menurutnya usul yang dibawa oleh Majlis Tertinggi Mubarak itu turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-pati politik dan rakyat supaya berganding bahu menyokong langkah-langkah tersebut.
Dalam masa yang sama Mubarak turut menggesa kerajaan supaya mewujudkan mekanisme tetap untuk memberi imbuhan, penghargaan dan apa jua bantuan kepada mangsa, balu dan anggota keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam memelihara dan mempertahankan keamanan negara.
Sementara itu Mubarak turut menjunjung kasih saranan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar malam semalam yang mahukan badan itu turut memain peranan dengan memberikan pendapat dan berbincang dengan kerajaan dalam menangani isu-isu politik yang berlaku pada masa kini termasuk isu perpaduan.
"Sebelum ini kita memang sering mengadakan pertemuan dengan NGO untuk mengetahui masalah di peringkat rakyat dan semua maklumat itu kita salurkan untuk membantu kerajaan baik daripada aspek sosial mahupun politik.
"Namun dengan adanya suntikan semangat daripada Sultan Johor, ia akan menjadikan Mubarak lebih beriltizam untuk sama-sama membantu kerajaan terutama selepas selepas pacsa PRU13 ini," katanya.
Sultan Johor dalam ucapan pada majlis makan malam bersama 1,200 perwakilan dan jemputan Mubarak malam semalam menyarankan agar badan berkenaan turut sama membantu kerajaan menangani masalah perpecahan yang berlaku di negara ini.
Menerusi pengalaman yang sedia ada sebelum ini, baginda yakin ahli-ahli Mubarak tahu tentang kesilapan dan kelemahan dalam dasar yang dibuat oleh kerajaan terdahulu sehingga menyaksikan sokongan terhadap parti pemerintah semakin merosot dalam pilihan raya umum ke-13 Mei lepas. - Bernama
Isu kalimah ALLAH perlu diselesaikan
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald' perlu diselesaikan.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah', didengar pada 10 Sept ini.
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.
Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah 'Allah' bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.
"Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.
Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.
Pada 16 Feb 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah 'ALLAH' dalam The Herald adalah tidak sah.
Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'ALLAH' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah 'ALLAH' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.
Pada 31 Dis 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik.
Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.
"Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan," katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah 'Allah'.
Porres berkata kesannya ialah kalimah 'Allah' kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.
"Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.
"Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.
Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.
Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Jan 7 2009.
Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja."Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah," kata Mubashir.
Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.
Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.
Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.
Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.
Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi. - Bernama
Program pulihkan tahanan, banduan dicontohi
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
TAIPING - Pelaksanaan program pemulihan tahanan dan banduan di negara ini semakin dicontohi beberapa negara luar sekaligus menunjukkan Jabatan Penjara kini bukan lagi berada di tahap yang lama.
Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata setiap bulan jabatan itu menerima kunjungan dari negara luar untuk meneliti amalan terbaik yang boleh dicontohi selain menghantar mereka yang berkenaan untuk menjalani latihan serta kursus pengurusan penjara di sini.
"Mutakhir, laporan oleh pasukan penilai Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) di bawah sekretariat Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) memuji pelaksanaan sistem parol di Malaysia," katanya berucap pada majlis perbarisan tamat latihan kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara siri 1/2013 di Pusat Latihan Pegawai Penjara di sini hari ini.
Beliau berkata UNCAC berpendapat usaha Malaysia mengenai parol merupakan satu langkah berkesan di samping keupayaan menyediakan pegawai parol baharu serta usaha menyatukan semula pesalah ke dalam masyarakat adalah contoh yang sangat positif.
Justeru itu, beliau mengingatkan kerjaya sebagai pengawai penjara semakin hari semakin mencabar dan menuntut pengorbanan tinggi kerana mereka berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
Zulkifli berkata dalam suasana masyarakat lebih berpengetahuan dan semakin peka mengenai hak asasi serta perundangan, anggota juga perlu lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas pengurusan banduan dan tahanan dengan mengelak perkara yang menyalahi prosedur atau peraturan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Piala Ketua Pengarah Penjara kepada pelatih terbaik keseluruhan Saiful Amirin Ibrahim, Piala Timbalan Ketua Pengarah Penjara kepada pelatih terbaik dalam akademik Muhammad Syafiq Ramli.
Selain itu Md Saiful Nizam Shafie turut meraih anugerah pelatih terbaik dalam menembak serta Mohd Hamsyari Iwan Karisnawen, pelatih terbaik latihan luar.
Kesemua mereka merupakan antara 80 orang pegawai penjara yang menjalani tiga bulan kursus mulai 13 Mei lepas dengan penerapan ilmu kepenjaraan berdasarkan modul tertentu. - Bernama
SOP JPAM perlu tiba dalam masa 30 minit
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Menyorot tragedi bas di Genting Highlands semalam, setinggi pujian harus diberikan kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjadi antara penyelamat mangsa yang terlibat.
Perwira berbaju biru ini menjadi antara 'kuasa' besar penting bagi menjalankan operasi menyelamat daripada segi kemanusiaan dan bantuan kecemasan awal terutama bagi mangsa yang masih berpeluang diselamatkan.
Bagi operasi menyelamat mangsa dan mengeluarkan mayat di lokasi tragedi yang berlaku sekitar 2.20 petang itu, JPAM telah tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas kejadian setelah menerima panggilan dari pusat komunikasinya pada pukul 2.30 petang.
Menurut Pengarah Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, Mohd Yusoff, pusat JPAM yang paling hampir dengan lokasi bencana ialah Sentul di Jalan Ipoh dan Dang Wangi di Jalan Semarak.
"Pasukan dari dua jabatan ini telah bergerak awal ke tempat kejadian disusuli dengan pasukan dari Ibu Pejabat di Jalan Semarak dan Bentong, Pahang.
"Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan waktu untuk tiba di tempat kejadian yang beradius 10 kilometer dari pusat terdekat ialah setengah jam (30 minit) atau kurang bergantung pada keadaan trafik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata dalam kejadian semalam, seramai 80 anggota JPAM telah terlibat termasuk dari Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) kira-kira 15 orang.
Katanya, kerja-kerja menyelamat turut dibantu kekuatan logistik sebanyak 14 kenderaan termasuk sebuah lori 10 tan, enam buah ambulans dan kenderaan pacuan empat roda milik JPAM.
"Jika mengikut lokasi di tempat kejadian yang membabitkan mangsa yang ramai dan keadaan gaung dalam dan curang, menyelamat mangsa menjadi misi utama tidak kira mereka selamat atau tidak.
"Sebab itulah sebuah kren daripada pengurusan Genting diperlukan untuk membantu anggota turun ke bawah bagi operasi menyelamat," katanya.
Mohd Yussof berkata selain dari anggota yang mendapat latihan khas dari negara luar seperti Singapura, Thailand dan Jepun dari Paspa, operasi semalam turut dibantu dengan kelengkapan High Angle Rescue seperti 'basket strecher'.
Turut terlibat ialah ambulans yang dilengkapi peralatan bantuan kecemasan awal seperti beg trauma untuk mangsa dibantu sementara menunggu bantuan hospital.
"Dalam kejadian semalam mangsa pertama dikeluarkan kira-kira sejam selepas kejadian dan mangsa terakhir pada jam 7.30 malam,"
"Dengan bantuan peralatan dan kecekapan anggota tiada sebarang halangan besar dihadapi untuk menyelamatkan semua mangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling berkata JPAM sememangnya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan semua situasi bencana yang berlaku di negara ini.
Katanya, JPAM setakat ini mempunyai keanggotaan yang mencukupi serta peralatan sesuai termasuk logistik bagi menghadapi situasi kecemasan termasuk memberi sebarang bantuan kemanusiaan melibatkan haiwan bahaya atau sebagainya.
"Setakat ini JPAM mempunyai 557 anggota tetap, 661,000 sukarelawan serta kira-kira 100 anggota Paspa seluruh negara.
"Kita akan sentiasa memastikan kemahiran anggota JPAM dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan latihan-latihan sesuai agar mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi bencana," katanya.
Semalam, sebuah bas awam yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Genting Highlands disifatkan kemalangan paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun.
Kemalangan tersebut menyebabkan 37 maut dan 16 cedera. - Bernama
Polis kenal pasti ahli geng 04 di Kedah
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
JITRA - Polis Kedah sedang mengenal pasti saki baki anggota kumpulan kongsi gelap 04 yang bergiat aktif di negeri ini, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.
Beliau berkata menerusi Ops Cantas sejak 18 Ogos lepas, pihaknya telah menahan 58 orang yang disyaki terlibat dalam kongsi gelap dan daripada jumlah itu terdapat mereka yang terlibat dalam kumpulan 04.
Ahmad berkata pihaknya akan meneruskan operasi itu di beberapa kawasan tumpuan kumpulan terbabit seperti Baling, Sungai Petani dan Kulim secara berterusan tanpa henti.
"Setakat ini polis telah buat pemeriksaan terhadap 335 orang dan 356 kenderaan.
"Sepanjang operasi itu kami buat pemeriksaan dengan teliti untuk mencari dan menahan ahli kongsi gelap ini serta telah membuka kertas siasatan terhadap 58 ahli kongsi gelap dan penjenayah yang melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita pada operasi polis di sini awal pagi tadi.
Ahmad berkata kebanyakan mereka yang ditahan mempunyai lebih tiga rekod pelbagai jenis jenayah. - Bernama
Syabu dirampas di terminal bas Shahab Perdana
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan dan pihak berkuasa merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM3.89 juta dalam pemeriksaan di terminal bas ekspres Shahab Perdana di sini dua hari lepas.
Pengarah Kastam Kedah Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata penganggur berusia 43 tahun itu ditahan ketika menunggu bas, dipercayai untuk menghantar dadah itu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata 20 ketulan mampat seberat 20.497 kilogram yang dibalut dengan pita pelekat berwarna coklat itu ditemui dalam beg pakaian beroda berwarna hitam yang dibawa lelaki terbabit.
"Dalam beg pakaian itu suspek hanya letak dua beg berwarna hitam lain untuk lindung dadah daripada dikesan pihak berkuasa. Kami sedang menyiasat sama ada dadah itu diseludup masuk dari Thailand ke negara ini oleh suspek itu sendiri atau melalui orang lain.
"Bapa kepada dua anak itu juga dipercayai masuk ke negara ini dari Thailand pada hari sama sebelum ke terminal bas Shahab Perdana untuk ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Kedah di sini hari ini.
Abd Aziz berkata suspek yang berasal dari Alor Setar itu direman hingga 27 Ogos ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama
4 lelaki berparang pecah masuk rumah kedai
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
KUANTAN - Seorang pemilik kedai runcit kerugian RM88,000 selepas disamun empat lelaki bertopeng bersenjatakan parang di rumah kedai miliknya di Bertam Valley dekat Cameron Highlands.
Kejadian pada pukul 4 pagi itu disedari S. Umadevi, 23, yang terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu.
"Wanita itu terkejut lalu menjerit apabila ternampak seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopeng meluru kepadanya dan mengacukan sebilah parang.
"Suspek mengarahkan mangsa diam selain bertindak mengumpulkan tiga lagi anggota keluarga mangsa di dalam sebuah bilik sebelum menggeledah rumahnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata suspek melarikan barang-barang berharga dan barang kemas bernilai kira-kira RM88,000 dengan van milik wanita itu yang kemudian ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Batu 4, Jalan Pahang-Tapah, Perak.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama
AS sekat sekolah Islam Pakistan
Oleh:
Tarikh: August 23, 2013
PESHAWAR - Amerika Syarikat (AS), bertindak mewujudkan sekatan terhadap sekolah Islam di barat laut Pakistan kononnya sebagai langkah bagi mengelakkan institusi itu dijadikan markas pergerakan al-Qaeda dan kumpulan militan lain.
Jabatan Setiausaha AS dalam satu kenyataan melaporkan, sekatan pertama dilakukan ke atas Madrasah Jamia Taleem-Ul-Quran-Wal-Hadith (Ganj Madrassa) selain menahan seorang lelaki didakwa menjadi pemimpin al-Qaeda di wilayah Sindh dan Baluchistan.
Washington mendakwa, Ganj Madrassa yang menempatkan sekurang-kurangnya 150 pelajar dari kalangan keluarga miskin itu kononnya telah dijadikan pusat untuk melatih pelajar dengan aktiviti keganasan termasuk cara menghasilkan bom tangan.
Difahamkan, sepanjang sekatan itu dikenakan kesemua aset akan dibekukan dan berada di bawah kuasa Washington selain rakyat AS dilarang menjalankan perniagaan dengan mereka.
Bagaimanapun, pengasas Ganj Madrassa, Haji Alam Sher menafikan tuduhan tidak berasas tersebut.
"Sekolah ini hanya memberi pendidikan berasaskan ajaran Islam dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertubuhan haram yang menggalakkan keganasan," katanya dipetik laporan AFP
Lagi rumah Palestin diroboh
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
BAITULMAQDIS - PALESTIN . Sepasukan askar Israel bertindak merobohkan sebilangan kediaman penduduk Palestin dan bangunan kedai dalam usaha membangunkan penempatan haram di Semenanjung Barat dan Baitulmaqdis Timur, semalam.
Jurucakap aktivis hak asasi kemanusiaan berkata, jentolak digunakan oleh askar Yahudi bagi meranapkan tiga rumah dan pokok yang ditanam penduduk Islam di kejiranan Baitulmaqdis Timur.
"Askar Israel mendakwa penempatan penduduk Islam di sini adalah terlarang dan tidak memiliki permit menduduki bangunan secara sah," katanya dipetik dari laporan PressTV.
Sementara itu, pada Jun lalu, sepasukan askar Israel bertindak menyerbu kampung Faqeh berdekatan bandar Jericho dalam Lembah Jordan dan memusnahkan sebilangan kediaman yang menempatkan lebih 50,000 penduduk Islam.
Dalam perkembangan lain, rejim Yahudi dengan berani mengumumkan akan membina 900 penempatan haram di Gilo, Baitulmaqdis Timur selain melengkapkan 1,200 kediaman yang telah diluluskan oleh mereka sendiri.
Aktivis sokong hak wanita Islam
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
STOCKHOLM - SWEDEN . Sekumpulan aktivis wanita Sweden bukan beragama Islam memuat naik foto memakai hijab untuk menunjukkan sokongan perpaduan bersama wanita Islam yang sering menjadi mangsa keganasan.
Dalam satu kenyataan akhbar tempatan melaporkan, usaha adalah sebahagian Kempen Bantahan Hijab yang dianjurkan oleh wanita tempatan termasuk sebilangan besar ahli politik serta personaliti media.
"Mereka memakai hijab pelbagai bentuk dan corak," menurut satu kenyataan yang dipetik dari Al-Jazeera.
Kerajaan Sweden juga digesa memberi jaminan kepada wanita Islam membabitkan hak beragama secara bebas.
Orang awam turut dirayu meningkatkan kesedaran terhadap diskriminasi yang menjejaskan wanita Islam seluruh negara.
Minggu lalu, seorang wanita Islam yang mengandung diserang dan hijabnya direntap oleh penyerang sewaktu memandu kereta di ibu negara.
Manila, China tenggelam
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
MANILA - FILIPINA . Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan lebih 200,000 penduduk seluruh Manila, Filipina, kehilangan tempat tinggal akibat ditenggelami banjir, semalam.
Majlis Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan mengesahkan, lima mangsa kehilangan nyawa selepas lemas di kawasan ladang dalam wilayah utara negara.
Setakat ini, separuh bandar Manila tenggelam dan paras air meningkat lebih 2 meter.
Sementara itu, di China, seramai 21 buruh binaan termasuk 130 penduduk, terbunuh apabila gagal menyelamatkan diri susulan banjir di wilayah barat laut negara.
Setakat ini, hampir 3,000 petugas ketenteraan dikerah ke kawasan terjejas dan sukar dimasuki bagi membantu mangsa, dipetik dari laporan AFP.
500 korban gas beracun
Oleh:
Tarikh: August 22, 2013
DAMSYIK - SYRIA . Dua kumpulan pembangkang Syria mendakwa, lebih 500 terbunuh apabila tentera Presiden Bashar al-Assad melepaskan gas beracun dalam satu serangan dekat Damsyik, semalam.
Kumpulan yang mengaku sebagai aktivis berkata, tentera rejim Bashar menembak roket berisi gas ke kawasan orang awam.
Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain melaporkan, serangan mencetuskan ketegangan di pinggir bandar Zamalka, Arbeen dan Ein Tarma.
Bagaimanapun, dakwaan serangan gas beracun itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Menurut pegawai, serangan itu dipercayai bertujuan mahu menakutkan kumpulan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditugaskan memeriksa isu penggunaan senjata nuklear.
"Jelas sekali, ia adalah usaha pembangkang untuk menggagalkan dan mencari kesalahan penyiasat PBB terhadap misi mereka di Syria," katanya dipetik dari laporan Al-Jazeera.
Minggu lalu, sekumpulan pakar senjata PBB tiba di Damsyik bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemberontak menggunakan senjata kimia yang membunuh penduduk serta tentera Syria.
ElBaradei jadi kambing hitam?
Oleh: MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
Tarikh: August 22, 2013
BEKAS Timbalan Presiden Sementara, Mohamed ElBaradei, 71, bakal diheret ke mahkamah susulan daripada keputusan beliau meletak jawatan sebagai bantahan terhadap tentera kerana melancarkan tindakan keganasan hingga menyebabkan pertumpahan darah pada minggu lalu.
Elbaradei berhadapan tuduhan mengkhianat kerana melepaskan jawatannya di tengah-tengah kemelut yang sedang memuncak di negara itu.
Perkara itu diumumkan selepas pihak berkuasa Mesir menahan tiga pemimpin Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyidul Am Mohammed Badie di timur Kaherah.
Difahamkan kes tersebut akan dibicarakan di Kaherah pada 19 September depan dan jika didapati bersalah ElBaradei bakal berhadapan hukuman penjara tiga tahun atau mungkin dikenakan denda.
Sebelum ini, pemimpin bersama Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) turut mendakwa tentera telah melancarkan semula revolusi yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari 2011.
Persoalannya kini, adakah akan ada lebih ramai pemimpin sementara bakal mengikut jejak langkah beliau selepas menyedari amaran ElBaradei menerusi surat peletakan jawatannya bahawa situasi kini semakin terancam akibat perpecahan dan keganasan berterusan di Mesir?
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


















No comments:
Post a Comment