Wednesday, December 11, 2013

RG2011... Sinar Global dan Hiburan di TH 121213

 

 

 

Rusuhan: 4,000 pekerja asing disoal siasat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

SINGAPURA - Polis Singapura menyoal siasat hampir 4,000 pekerja asing susulan insiden rusuhan malam Ahad lalu, menurut seorang pegawai.

Tiga lagi lelaki warga India ditahan dan akan didakwa lewat petang ini kerana terlibat dalam rusuhan itu, lapor sebuah portal.

Semalam, 24 warga India didakwa di mahkamah atas pertuduhan melakukan rusuhan.

Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan sebatan.

Seorang jurucakap polis berkata, setakat ini seramai 176 lelaki telah dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai warganegara mereka tidak diberikan.

Empat lelaki yang ditahan semalam telah dibebaskan selepas siasatan mendapati mereka tidak terlibat dalam rusuhan itu, manakala seorang daripadanya dibebaskan dengan ikat jamin.

Rusuhan di Little India pada malam Ahad lalu dipercayai berlaku selepas seorang pekerja binaan warga India maut akibat dilanggar sebuah bas persendirian.

Dalam insiden itu, kira-kira 39 anggota polis dan pertahanan awam dilaporkan cedera.

25 kenderaan - termasuk 16 kenderaan polis - rosak selepas dibakar oleh kira-kira 400 pekerja asing dari Asia Selatan yang terlibat dalam rusuhan itu.

Pemandu bas berusia 55 tahun yang melanggar pekerja binaan, Sakthivel Kumaravelu, 33, dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa menyebabkan kematian.

Kumpulan aktivis menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat sama ada keganasan pada Ahad lalu berpunca daripada rasa tidak puas hati di kalangan pekerja asing yang mendapat gaji rendah.

Rusuhan Little India: 3 lagi warga India didakwa

Oleh:

Tarikh: December 11, 2013

SINGAPURA - Tiga lagi warga India akan didakwa di mahkamah hari ini berhubung insiden rusuhan di Little India.

Menurut polis Singapura, mereka akan didakwa atas kesalahan merusuh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Dalam laman Facebook polis republik itu, ketiga-tiganya adalah antara lapan warga India yang ditangkap pada Rabu pagi berhubung rusuhan itu.

Baki lima lagi warga terbabit, seorang daripada mereka dibebaskan atas jaminan berikutan siasatan menunjukkan empat yang lain tidak terbabit dalam insiden itu. Mereka dibebaskan daripada tahanan polis.

Rusuhan meletus pada Ahad malam berikutan kemalangan maut melibatkan seorang warga India berumur 33 tahun di Little India. - Bernama

Pelan keselamatan AS berat sebelah

Oleh:

Tarikh: December 11, 2013

RAMALLAH - AMERIKA SYRAIKAT. Pelan keselamatan yang dibentangkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry didakwa akan menjadi punca utama kegagalan rundingan damai bersama Israel.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo menyatakan bahawa idea Kerry itu hanya akan menyebabkan usaha menjayakan rundingan tersebut bakal menemui jalan buntu.

"Pelan keselamatan di Lembah Jordan tersebut seperti berat sebelah kerana askar rejim Zionis dapat mengekalkan kedudukan mereka di sepanjang timur Tebing Barat," jelasnya lagi.

Sementara itu, jurucakap Presiden Mahmoud Abbas memaklumkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak akan menerima sebarang penangguhan untuk membebaskan tahanan Palestin.

Menurut Nabil Abu Rudaineh, AS dan sekutu kuatnya, Israel cuba berdolak dalik dan turut mengancam menangguhkan tarikh pembebasan baki tahanan yang telah dipersetujui, Julai lalu.  - Press TV

PBB rentasi Iraq ke Syria

Oleh:

Tarikh: December 11, 2013

GENEVA - SYRIA. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam memaklumkan bahawa mereka mungkin akan menghantar bantuan makanan dan bekalan ubat-ubatan merentasi Iraq untuk memasuki ke Syria.

Ketua Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi Pelarian (UNRWA) di Syria, Amin Awad berkata, penghantaran bantuan menerusi pengangkutan udara itu telah mendapat kebenaran kedua-dua kerajaan.

"Semua bekalan bantuan kemanusiaan menjelang musim sejuk itu akan dihantar ke Qamishli dan Hassaka melalui bandar Arbil di Iraq," jelasnya dalam laporan AFP.

Menurutnya, usaha pertama kali yang mendapat kerjasama Baghdad itu diharap dapat meringankan penderitaan kira-kira 60,000 penduduk di kawasan itu.

'Saya tidak akan letak jawatan'

Oleh:

Tarikh: December 11, 2013

BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra dengan tegas mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan meletak jawatan walaupun pembangkang  berterusan menggesa pemimpin itu supaya berbuat demikian.

"Saya mahu kumpulan Baju Kuning berhenti mendesak saya kerana saya masih mempunyai hak untuk mentadbir kerajaan sementara ini sehingga pilihan raya, 2 Februari depan.

"Hingga kini, saya sedaya upaya cuba untuk memuaskan hati semua pihak," katanya dalam satu sidang media, semalam, dalam laporan AFP.

Menurutnya lagi, beliau belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Parti Puea Thai berhubung keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Kelmarin, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu akhirnya akur dengan tuntutan pembangkang untuk mengadakan pilihan raya awal dalam usaha meredakan ketegangan di negara tersebut.

Sementara itu, pemimpin Baju Kuning Suthep Thaugsuban didakwa menolak pilihan raya awal terbabit dan berkeras mahu menubuhkan kerajaan yang akan menggantung sistem demokrasi dan menggubal semula Perlembagaan.

Suthep dengan angkuh turut memberi kata dua kepada Yingluck dan barisan Kabinet supaya meletak jawatan.

Dalam perkembangan lain,  protes Baju Kuning telah dihentikan di ibu negara dan keadaan dilaporkan kembali terkawal.

Malam berinai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

PELAKON jelita, Rozita Che Wan yang bakal menikah hari ini, telah menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta pada malam berinai yang berlangsung Dewan N'Dah Shah ALam, malam tadi.

Rozita, 40, menggayakan barang kemas itu dengan busana berwarna ungu, rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini yang turut ditemani bakal suaminya, aktor kacak, Zain Saidin, 29.

Malam berinai itu telah diadakan dua sesi di mana, sesi pertama Rozita atau Che Ta telah menggayakan barang kemas delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta.

Che Ta dan Saidin yang kelihatan  duduk di atas pelamin yang dihiasai gabungan mawar putih dan ungu itu memakai inai tajaan My Beautiful Henna.

Pada sesi kedua, sebaik selesai majlis berinai, pasangan hangat itu telah menukar pakaian dengan mengenakan busana berona putih tajaan Bianco Mimosa bersama barang kemas bernilai RM5 juta.

Barang kemas itu berupa set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar.

Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet.

Sudah-sudahlah Erma!

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

KALI ini menggunakan wang berbentuk RM1 pula.  Drama bayar saman ke atas pelakon Rabecca Nur Islam (Becca) oleh pengarah drama Dejavu Di Kinabalu nampaknya tak ada kesudahan.

Sebelum ini Erma membayar wang tuntutan Becca yang berjumlah RM11, 200 menggunakan wang syiling 5 sen dan senaskhah al-Quran.

Becca yang tidak berpuas hati dengan bayaran mengunakan syiling 5 sen telah memulangkan duit itu.

Namun Erma nampaknya tidak mahu mengalah dalam isu ini membayar kembali kepada Becca dengan menggunakan wang RM1 pula.

Becca menerusi Instagram miliknya bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Erma.

"... tidak mengapa jika cara itu dapat boleh memuaskan si hati insan bernama Fatimah Rahmad.

"Terima kasih yang tak terhingga kepada Puan Fatimah Rahmad, ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas kebaikan mahupun keburukan," tulis Becca di laman sosial miliknya.  

Untuk rekod, saman itu adalah kerana kegagalan pihak produksi melunaskan baki bayaran untuk drama Dejavu Di Kinabalu yang dibintangi Becca.

Kes itu yang dibawa ke mahkamah kemudiannya memihak kepada Becca dan Erma diarah untuk membayar baki berjumlah RM11, 200.

Cinta penuh tragis, Menjinak Ombak penuh kejutan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

MENYUSULI kejayaan 'Kampung Girl', slot drama TV3 Zehra kembali mempersembahkan sebuah drama bersiri yang penuh misteri, Menjinak Ombak bermula 6 Disember, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam.

Memaparkan kisah cinta penuh tragedi berdasarkan cinta tiga segi antara tiga jejaka yang merebut cinta seorang gadis sunti iaitu anak kepada seorang Imam yang begitu patuh pada pegangan agamanya.

Malah, setiap jejaka itu menyimpan rahsia  misteri. Oleh kerana sikap yang terlalu taksub dan tamak, ada di antara jejaka itu sanggup hidup dengan bertopengkan agama serta membuat hukuman sendiri dengan melakukan pembunuhan demi menutup pekong di dada!

Menurut Along, drama tersebut berkisar kisah hidup seorang pemuda yang terlalu taksub dengan ajaran Islam sehingga sanggup belajar ke luar negara iaitu Pakistan.

"Akibat tersalah pilih ajaran, pemuda itu melakukan perkara di luar imaginasi sehingga penonton tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku. Saya berani jamin penonton berpuas hati dengan drama ini kerana ia bukan sahaja menerapkan kisah percintaan tetapi elemen kejutan dalam jalan cerita ini.

"Mesej yang disampaikan juga berguna dijadikan panduan dan pengajaran mereka di luar sana supaya tidak tertipu dengan penampilan seseorang," katanya yang mengambil masa 45 hari untuk menyiapkan penggambaran di sekitar Banting, Kuala Lumpur dan Pulau Pangkor.

Drama bersiri 13 episod terbitan Eurofine Studios Sdn Bhd ini diarahkan oleh Along Kamaruddin, nukilan skrip Azlan Din dan dibarisi pelakon popular seperti Shukri Yahya (Firhad), Fezrul Khan (Tengku Fatah), Risteena (Syakinah), Talha Harith (Asyraf) dan ramai lagi.

Suka cabaran

Ditanya mengenai barisan muka baharu yang membintangi drama tersebut, dia menegaskan bahawa pelakon baru naik lebih mudah dibentuk berbanding pelakon lama.

"Jika kita mahu membentuk seseorang itu harus bermula dari awal dan ia menjadi salah satu sebab saya memilih pelakon baharu. Berbanding pelakon sedia ada, mereka lebih banyak karenah dan sukar untuk mengubah identiti mereka kepada perkara baharu.

"Lagipun saya sukakan cabaran, salah satunya memilih pelakon baharu sebagai teraju utama lebih mengujakan," katanya.

Bukan itu sahaja, katanya mereka juga mudah diajar dan tidak mengehadkan kredibiliti sebagai pelakon.

"Mereka mungkin sukar memberi ekspresi muka dan emosi yang kita mahukan. Tetapi mereka tidak lokek bertanya jika susah untuk melakukannya. Bagi saya ia perkara menarik dan saya suka menaikkan nama pelakon baharu supaya orang luar menghargai kesungguhan mereka," katanya.

Sabung nyawa demi kerja

Bercerita mengenai pengalaman perit yang dilalui ketika penggambaran di tengah laut berhampiran Pulau Pangkor, Perak, Along berkata kru produksi terpaksa menyabung nyawa demi kerja.

Walaupun berhadapan dengan saat getir, katanya ia adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Bayangkan kami perlu keluar seawal jam 7 pagi mengharungi ombak yang mengganas Kemudian jam 2 hingga 3 pagi baru tiba di daratan benar-benar menguji kesabaran.

"Biarpun bergelut dengan keadaan ini, kami masih meneruskan kerja supaya suasana sama seperti dalam skrip," katanya.

Tambahnya, selain terpaksa mengharungi lautan luas yang mengundang bahaya, namun dia sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Prihatin! Selebriti bantu mangsa banjir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

BANJIR yang melanda wilayah Pantai Timur dan Johor masih lagi belum pulih sepenuhnya. Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang dan Johor Timur akan berlarutan sehingga 16 Disember ini.

Daerah Kuantan juga mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu lebih 27,700 mangsa di 35 pusat pemindahan. Simpati dengan keadaan yang menimpa penduduk di negeri kelahirannya, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, antara selebriti yang turun padang bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.

Tampil menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan, Siti juga merancang untuk ke negeri lain yang dilanda banjir. Selain Siti, beberapa selebriti juga turut serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Antaranya ialah pelakon cantik, Fouziah Gous bersama suami tersayang, Zhafran Yusof. Menurut pelakon drama, Dendam Sarakit, ini, dia dan suami bakal berangkat ke Pantai Timur pada 21 Disember ini.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada yang memberi. Semoga Allah SWT memberi rezeki yang lebih besar kepada mereka.

"Sehingga kini, kami masih membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menderma. Mereka boleh memberi sumbangan itu melalui akaun bank CIMB, 12240036440524, atas nama suami saya, Md Zhafran bin Md Yusof.

"Kami memerlukan wang tunai untuk membeli barang-barang keperluan sekolah, masjid dan mereka yang berpindah masuk walaupun seringgit," katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Sebelum ini, Zhafran telah pun terlibat dalam misi bantuan banjir sejak seminggu yang lalu dan turut menghantar bantuan.

Emma Maembong rayu bantuan

Walaupun masih sibuk di lokasi penggambaran, namun ia tidak menghalang niat suci anak kelahiran Che Siti Wan Kembang ini, untuk terus menghulurkan bantuan.

Menerusi laman Instagram miliknya, Emma Maembong, sempat memuat naik gambar puluhan kotak berisi barangan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

"Terima kasih banyak-banyak bagi mereka yang sudi menghulurkan bantuan. Saya sangat terharu melihat komitmen yang diberikan, malah ada yang sanggup datang dari jauh untuk hantar bantuan ini.

"Insya-ALLAH, murah rezeki mereka ini. Bantuan yang diberikan masih berjalan, lepas satu, satu kereta yang sampai depan rumah.

"Alhamdulillah sangat terharu dan kami sekeluarga sangat seronok melihat sumbangan itu," katanya yang mengakui akaun bank, Maybank miliknya telah disekat kerana terlalu banyak transaksi.

Tambah Emma, bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, ia boleh disalurkan ke akaun bank, Maybank, atas nama kakaknya, Norhashimah Jaafar (164089757094).

"Jangan risau, satu sen pun kami adik beradik tak ambil. Ini adalah peluang untuk anda semua mendapat pahala.

"Langit bukan sentiasa cerah dan kita pun tak tahu bila hari kita pula. Takkan miskin orang yang bersedekah. Saya sangat-sangat merayu agar anda semua tampil membantu.

"Saya juga berharap agar keadaan di lokasi banjir itu akan pulih seperti sedia kala, Amin...," katanya.

Aaron, Hanez atur strategi

Pelakon kacak, Aaron Aziz juga turut melancarkan kutipan derma kilat di Melaka, menerusi kelab peminatnya, Aaronators. Pada 10 Disember (semalam), bertempat di pusat membeli belah, Giant Kota Damansara, jam 8 malam, Aaron bersama kelab peminatnya menganjurkan 'Projek Banjir Aaronators'.

"Melalui program ini, kita akan membeli keperluan asas. Satu troli untuk empat orang dan belilah mengikut kemampuan.

"Apa yang penting adalah nawaitu. Sesiapa yang terlepas peluang ini, mereka boleh menderma melalui Maybank, 1515 3911 7593, atas nama, Nur Farhana Binti Abdullah.

"Wang itu akan digunakan untuk membeli keperluan seperti ubat dan lampin pakai buang. Selain itu, kami juga turut menerima derma barang terpakai," katanya.

Sementara itu, duta kepada produk kecantikan dan pemutihan, Aurawhite, juga tidak melepaskan peluang untuk turun padang.

Menurut Hanez Suraya menerusi Twitternya, Aurawhite juga turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang. Beberapa hari lalu, Hanez bersama Aurawhite telah bertolak ke Kemaman dan Kuantan untuk menghulurkan bantuan.

Azad - Eira kerja keras demi keluarga

Oleh: WAN NASRAH ABDUL RAHIM

Tarikh: December 11, 2013

BIARPUN sudah lama berkecimpung di dalam industri seni, pasangan suami isteri Azad Jasmin dan Eira Syazira, tetap menghiasi panggung dan kaca televisyen. Tambahan pula, dengan kehadiran cahaya mata kesayangan, Amarra Sofea Rose, 11 bulan, membuatkan pasangan ini sedia bekerja keras demi periuk nasi mereka.

Bersyukur kerana mereka masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan, pasangan ini turut menceburi bidang perniagaan online, Ayra Closet, yang menjual pakaian, cermin mata serta aksesori sebagai pendapatan sampingan.

Meskipun sibuk dengan agenda masing-masing, baik Azad mahupun Eira, tetap mengutamakan keluarga dan satu-satunya cahaya mata mereka yang kini sedang membesar di depan mata.

Jelas Eira, walau sesibuk mana sekalipun, dia tetap akan memastikan suami dan anaknya terurus dengan baik serta mendapat perhatian yang secukupnya.

"Walaupun saya sibuk, namun saya tetap utamakan suami dan anak, namun, jika jadual saya terlalu padat, saya serahkan Amarra kepada Azad jika dia lapang.

"Sekarang, Amarra semakin membesar dan saya mahu dia dijaga dengan baik. Dia seorang anak yang tidak banyak kerenah. Namun, saya dan Azad sudah berbincang ingin mengambil  pembantu nanti.

"Tetapi kami akan sentiasa pastikan Amarra tak dibiarkan berdua dengan pembantu. Mesti akan ada saya atau Azad bersama kerana kami sangat risau sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Dalam pada itu, Azad memberitahu, dia sangat bahagia dengan kehidupan rumah tangganya. Memuji sikap Eira yang sentiasa memahaminya, Azad berkata, sebagai suami dia cuba memberikan kebahagiaan dan keselesaan buat isteri serta anaknya yang tersayang.

Bagi Azad, merekalah orang yang paling utama dalam hidupnya dan dia sedar berapa pentingnya dia mengatur jadual kerja dengan baik supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga.

"Eira banyak menyokong dan merupakan isteri yang sangat bertanggungjawab. Walaupun dia juga sibuk, dia tetap mengutamakan saya dan anak.

"Sejujurnya saya sangat gembira dan bahagia kerana mempunyai isteri seperti Eira. Lagi pula dia semakin cantik dan saya semakin sayang padanya," ujar Azad sambil berseloroh.

Hero Tamil Kolumpo

Meskipun bukan hero kegemaran ramai, namun Azad tetap bersyukur kerana sehingga kini bakatnya masih dipandang.

Terbaru, dia memegang watak utama menerusi filem Kolumpo arahan Bront Palare sebagai Rahul yang merupakan pendatang asing dari India.

Menerusi filem ini, dia terpaksa belajar bahasa Tamil dengan dialek yang sangat pekat dan berbeza sebutannya dengan bahasa biasa diguna pakai oleh masyarakat India di negara ini.

"Bayangkanlah, memegang watak ini adalah cabaran besar bagi saya. Sungguhpun saya tau sedikit bahasa India, tapi saya masih tidak boleh menguasainya. Bagaimanapun, saya mencuba sehinggalah saya dapat membawa watak itu," katanya yang banyak belajar bahasa Tamil melalui seorang guru bahasa dari India.

Menurut pelakon yang banyak menghidupkan watak komedi ini, dia bersyukur kerana melalui Bront Palare membuka peluangnya untuk memegang watak utama walaupun menyahut cabaran memegang watak hero Tamil.

"Bront nampak kewibawaan saya untuk memegang watak hero. Apa pun, saya sangat bertuah bekerjasama dengannya. Dia seorang yang unik. Walaupun tugas melakonkan watak itu agak berat bagi saya. Tapi saya sanggup menggalasnya," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai lakonannya menerusi filem lain, Azad mengakui dia sudah selesai penggambaran untuk 14 buah filem yang dijangka ditayangkan sekitar tahun depan.

"Saya amat gembira dengan hasil kerja keras ini. Semua ini adalah rezeki daripada ALLAH untuk isteri dan anak saya di sisi sekali gus sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Azad turut meluahkan rasa gembira kerana peminatnya semakin bertambah menerusi laman sosial miliknya. Bagi Azad, itu adalah petanda positif terhadap karier seninya dan membuatkannya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras serta memberikan yang terbaik dalam industri seni.

"Alhamdulillah, peminat banyak menyokong dan menerima kami sekeluarga. Ternyata mereka suka cara lakonan saya dan Eira. Bahkan mereka dapat menerima kami dengan baik dalam bidang seni sehingga ke hari ini.

"Saya berharap mereka tidak akan pernah berhenti untuk menyokong serta memberikan kami peluang lagi mewarnai dunia seni," katanya.

Eira lebih selektif

Berbeza dengan Azad, Eira Syazira yang lebih dekat dengan watak air mata. Lakonannya yang berkesan mampu membuatkan penonton terheret sama dengan wataknya itu.

Meskipun banyak muka-muka baharu menghiasi kaca TV, namun ia tidak menjadi penghalang buat ibu kepada seorang cahaya mata ini terus beraksi di depan lensa. 

"Saya bersyukur kerana masih lagi terima tawaran dan masih menjadi pilihan pengarah drama.

"Walaupun, saya tidak mendapat tawaran berlakon filem namun, saya banyak terima tawaran berlakon drama. Alhamdulillah, ia sekali gus tidak membuatkan saya hilang dalam dunia seni tanah air.

"Namun, saya agak selektif dan tak mahukan skrip last minit dan tiada jadual penggambaran. Ia susah, kerana saya dah berkeluarga," katanya yang bakal memulakan penggambaran dua buah drama pada Januari depan.

Rakam single pertama

Pernah mencuri perhatian dengan beberapa lagu tema untuk drama bersiri sebelum ini, Eira bakal muncul dengan single pertamanya tidak lama lagi.  Lagu berjudul 'Tersedar Aku' hasil ciptaan komposer Indonesia, iaitu Panji Sakti bakal menjalani rakaman di Bandung pada Januari 2014.

Teruja akhirnya dapat muncul dengan single sendiri, Eira berkata, Tersedar Aku, akan menjadi buah tangan yang bermakna kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Saya selalu tampil dengan OST, dan akhirnya lagu-lagu tu tak ke mana. Jadi Insya-ALLAH, dengan keluarnya single ini, ia akan menjadi siulan dan diterima peminat-peminat saya yang sering menantikan lagu daripada saya," katanya yang mengakui nyanyian juga merupakan minat utamanya.

Qi: Semua salah faham selesai

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

ADAT apabila bila berpasangan, tentu cemburu apabila melihat orang lain mesra dengan kekasih sendiri.

Apatah lagi jika melihat kekasih sendiri berpelukan dengan individu lain.

Itulah yang dialami oleh pelakon dan pengacara, Qi Razali.  

Qi bagaimanapun kemudiannya memohon maaf di atas sindirannya di laman sosial dan mengakui ia tidak balas yang beremosi.

Kata Qi, "ia cuma salah faham dan saya cepat memberi tindak balas selepas melihat gambar-gambar tersebut. Saya salah tetapi biasalah kalau sudah sayang mesti ada rasa cemburu. Perkara macam ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Terus terang saya cakap semua sudah selesai."

Pelakon Sharnaaz Ahmad sebelum ini memuatnaik gambar mesra yang merupakan babak dalam drama yang dibintanginya dengan Nelydia Senrose, kekasih Qi.

Namun gambar itu hanya dimuatnaik bagi tujuan promosi.

Biarkan begitu Sharnaaz telah memohon maaf sekiranya perbutannya itu mengundang rasa kurang senang di pihak Qi.

Gambar-gambar yang dimuatnaik di laman Instagramnya itu adalah dari babak drama "Bukan Kerana Aku Tak Cinta".

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment