Mayat dalam bilik ditemui
Oleh: MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
Tarikh: December 12, 2013
SEKINCHAN - Seorang pemilik bengkel kimpalan ditemui mati dalam keadaan mulut berbuih di dalam sebuah bilik di bengkel tersebut, di sini petang semalam.
Mangsa, Ng Soon Yip, 36, ditemui mati kira-kira jam 3.30 petang oleh bapanya yang kebetulan masuk ke bengkel itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua kaki menghadap pintu bilik berkenaan.
"Mangsa dipercayai mati seorang diri apabila kesemua pekerjanya bercuti sempena cuti umum di Selangor," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis dan pihaknya menolak sebarang kes jenayah berhubung kematian tersebut.
"Hasil pemeriksaan polis dalam bengkel itu turut menemui dokumen pengenalan diri dan wang tunai masih berada dalam seluar poket mangsa, selain tidak menemui sebarang senjata," katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat kira-kira jam 8.15 malam selepas pemeriksaan Unit Forensik Shah Alam.
Latihan senjata perlu untuk penguat kuasa agama
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
PUTRAJAYA - Semua pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam perlu diberikan latihan kepolisan dan pengendalian senjata api sebagai langkah mempertahankan diri daripada sebarang ancaman.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata adalah wajar mereka dibenar menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri walaupun tugas menjaga senjata api itu berat.
Beliau berkata demi keselamatan para penguat kuasa agama, perkara itu harus diperhalusi semua pihak berkaitan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri mempertimbang perkara itu kerana tugas penguat kuasa agama turut berhadapan dengan risiko.
"Namun, (ini bergantung kepada) kemampuan dan kesediaan negeri (Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri) untuk melaksanakannya kerana ia berada di bawah bidang kuasa negeri," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kejadian bunuh Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, pada November lepas.
Susulan kejadian itu, Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan supaya anggota penguat kuasa jabatan agama perlu dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi. - Bernama
Tonto ah long dicekup
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
ALOR GAJAH - Seorang remaja dipercayai tonto ah long dicekup penguatkuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) apabila gagal melarikan diri ketika menggantung iklan pinjaman wang haram di Machap Baru, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.40 pagi itu, remaja berusia 20-an itu bersama beberapa lelaki dicekup ketika anggota Skuad Khas MPAG sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Yang Dipertua, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, anggota skuad diketuai Pengarah Penguatkuasa MPAG, Radzyma Mahat kemudian terserempak dengan lima lelaki yang sedang menggantung iklan.
"Anggota Skuad Khas menyerbu lokasi kumpulan berkenaan sehingga menyebabkan mereka panik dan bertempiaran lari.
"Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka gagal melepaskan diri walaupun bertindak agresif," katanya.
Abu Bakar berkata, lelaki itu disoal siasat sebelum dikenakan kompaun atas kesalahan menggantung poster tanpa mendapat kebenaran MPAG mengikut Undang-Undang Kecil Iklan MPAG 2010 di bawah kesalahan Iklan Dipamerkan Tanpa Lesen.
"Pesalah juga boleh dikenakan kompaun RM250 dan penalti tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.
"Manakala semua nombor telefon yang dipamerkan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disiasat dan disenarai hitam," katanya.
Ubat tidak berdaftar dirampas
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
SEREMBAN – Pasukan Penguatkuasaan Farmasi negeri ini mengadakan operasi khas membanteras ubat tidak berdaftar sekitar Jalan Utam Sigh, dekat sini semalam.
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.30 petang itu diketuai Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Siti Fatimah Idris bersama 13 anggota penguatkuasa termasuk beberapa pegawai dari Melaka.
Siti Fatimah berkata, serbuan dilakukan hasil daripada aduan orang awam, selain tinjauan sendiri pasukan penguatkuasaan negeri ini.
Pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis ubat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antaranya ubat perangsang seks dan beberapa ubat tahan sakit.
"Kita yakin ubat yang dijual di kaki lima sebegini tidak mempunyai lesen serta tidak berdaftar dengan KKM, dan dikhuatiri mengandungi bahan racun berjadual.
"Setiap ubat yang dijual dirampas untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 (memiliki produk yang tidak berdaftar)," katanya.
Kontroversi Kampung Hakka belum selesai
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
NILAI – Isu Kampung Hakka, Mantin, di sini masih belum berakhir apabila berlaku kekecohan di kampung tersebut, pagi semalam.
Situasi tegang berlaku apabila penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran beberapa pekerja dari syarikat pemaju yang bertindak mendirikan pagar berzink di sekitar salah sebuah rumah penduduk kampung tersebut kira-kira 9.30 pagi semalam.
Ketua Kampung, Chong Tza Yaw berkata, kira-kira 50 penduduk kampung menghalang pekerja syarikat pemaju itu daripada mendirikan pagar berzink tersebut.
"Selepas penduduk menghalang, para pekerja keluar dari kawasan kampung. Namun, pada waktu tengah hari, pekerja itu datang semula untuk menyambung kerja-kerja pemasangan pagar zink," katanya.
Sementara itu, Adun Lobak yang juga peguam kepada penduduk, Siow Kim Leong berkata, pemaju tiada sebarang hak untuk merobohkan atau mendirikan pagar kerana penduduk sudah mendapat perintah penggantungan pelaksanaan atau stay order dari mahkamah.
"Pemaju tidak boleh buat apa-apa di tapak kampung ini termasuk mendirikan pagar. Saya anggap tindakan pemaju ini satu penghinaan kepada mahkamah," katanya.
Kerja-kerja pemasangan pagar zink itu bagaimanapun dihentikan kira-kira 2.30 petang semalam selepas perbincangan peguam dengan pihak pemaju.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Nasir Senit menafikan dakwaan salah seorang aktivis ditahan polis.
"Tiada sebarang pergaduhan berlaku di Kampung Hakka dan kita tidak menahan seorang pun baik aktivis mahupun penduduk," katanya.
Difahamkan, koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), R Gandhi yang cuba menghalang pekerja daripada meneruskan kerja-kerja mendirikan pagar berzink itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mantin untuk siasatan, sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin kira-kira 4 petang, semalam.
Sumbat kambing dalam kereta
Oleh: NOR AINNA HAMZAH
Tarikh: December 12, 2013
REMBAU – Dua pencuri hanya sempat menyumbat tiga ekor kambing ke dalam keretanya, sebelum melarikan diri sebaik terdengar jeritan pekerja sebuah ladang kambing di Kampung Ampang Batu Seperi, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, pekerja kandang berkenaan, Toyib Asmin, 31, terjaga dari tidur setelah mendengar bunyi deruman kereta dan bergegas keluar meninjau keadaan sebelum terkejut mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga BLM di kawasan semak berhampiran kandang berkenaan.
Dalam keadaan cemas, dia menjerit sekuat hati sambil menyuluh lampu picit dan ternampak kelibat dua lelaki, salah seorang daripadanya tidak berbaju.
"Pencuri itu cepat-cepat menjerit 'blah, blah' (beredar) kepada rakannya. Saya hanya sempat mengecam jenis serta warna kereta berkenaan sahaja.
"Selepas itu, saya segera menghubungi majikan saya dan ketika memeriksa kandang berkenaan, kami mendapati terdapat seekor lagi kambing sudah diikat serta ditampal pita lekat di mulutnya dan tidak sempat dilarikan," katanya ketika ditemui pemberita di kandang berkenaan, semalam.
Sementara itu, pemilik kandang, Mazlan Mohamad, 44, berkata, dia sudah mengusahakan ternakan kambing sejak lebih lima tahun di situ dan ternakannya kini mencecah 70 ekor.
Susulan kejadian itu, katanya, dia kerugian lebih RM2,500 memandangkan kesemua kambing yang dicuri sudah berusia dua tahun dan sememangnya boleh dijual dengan harga sekitar RM700 ke RM800.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian.
Mengaku ugut bunuh isteri
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KOTA BAHARU - Nasib seorang pendawai elektrik yang mengaku salah ugut bunuh isterinya, 5 Disember lalu, bergantung pada keterangan impak mangsa, 31 Disember ini.
Tertuduh, Yushalizan Mohd Kamel, 37, didakwa mengugut bunuh Wan Zainab Wan Jusoh, 36, di sebuah rumah di Kampung Telok Baru di sini, pada jam 6 petang, tarikh berkenaan.
Pada prosiding semalam, dia pada mulanya mengaku tidak bersalah dan memberi alasan mustahil hendak membunuh mangsa kerana wanita itu adalah isterinya.
"Saya gaduh biasa sahaja tuan. Saya tidak kejar pun dan saya juga tidak akan bunuh dia," katanya kepada Majistret, Nik Habri Muhamad.
Namun, tertuduh kemudian menukar pengakuan itu, menyebabkan Nik Habri menetapkan 31 Disember untuk tarikh sebutan semula.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri tidak menawarkan jaminan, namun Nik Habri membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat jamin dibuat isterinya sendiri.
Dadah RM1.5 juta dalam kereta
Oleh: ADILA SHARINNI WAHID
Tarikh: December 12, 2013
KOTA BHARU - Taktik licik sekumpulan ahli sindiket menyembunyikan dadah bernilai RM1.5 juta dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz terbongkar dengan penahanan empat daripada mereka, 5 Disember lalu.
Sejumlah 60,000 pil atau dadah jenis metamphetamine dijumpai di tempat letak kaki bahagian penumpang belakang kereta di hadapan sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, manakala 200 pil lagi dijumpai disorokkan dalam timbunan tayar sebuah premis perniagaan di Jalan Cherang, Kampung Bayam, Lundang, di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Deputi Superintendan Mit Emong berkata, serbuan dilakukan pada Ops Cantas Khas Narkotik, jam 2.05 petang.
Susulan itu katanya, ahli sindiket terdiri daripada empat lelaki berusia antara 23 dan 29 tahun ditahan.
Kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tiga daripadanya positif dadah.
"Mereka adalah sebahagian daripada 30 ahli salah satu sindiket terbesar yang aktif mengedar dadah di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.
"Ketika serbuan, mereka sedang leka menjalankan urus niaga jual beli dadah dan menjadikan lokasi kedai tayar tersebut sebagai port berkumpul," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, semalam.
Selain itu, pihak berkuasa turut menyita lima kenderaan milik suspek jenis Honda Civic, Naza Ria, Toyota Hilux dan sebuah kereta mewah, Mercedez Benz.
"Kejayaan ini adalah susulan penahanan tujuh bersaudara bersama 62,414 pil kuda bernilai RM1.56 juta di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, 2 Disember lalu. Siasatan awal mendapati empat suspek ini mempunyai kaitan dengan keluarga tersebut.
"Mereka kini ditahan reman tujuh hari dan akan disambung lagi bagi membantu siasatan polis. Saki baki ahli sindiket akan terus diburu termasuk ketua kumpulannya yang sudah dikenal pasti," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Pekerja salon didakwa kelar tangan remaja
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KOTA BHARU - Dua wanita pekerja sebuah salon mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini, semalam, atas tuduhan mengelar tangan seorang remaja di Pengkalan Chepa di sini, minggu lalu.
Nur Azzlaila Suzzana Ab Halim, 20, dan rakannya, pesalah juvana berusia 15 tahun, dituduh mengelar tangan Che Nurul Amirah Che Hassan, 17, dengan sebilah pisau lipat menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Kejadian berlaku di sebuah lorong antara dua blok bangunan dua tingkat di kawasan kilang, antara jam 2.30 dan 3 pagi, 6 Disember lalu.
Pada prosiding itu, kedua-dua tertuduh bagaimanapun menafikannya dan melantik peguam bela bagi prosiding perbicaraan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tiga tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon kes ditangguhkan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Majistret, Nik Habri Muhamad pula membenarkan Nur Azzlaila diikat jamin RM3,000 sementara remaja itu dibenarkan sejumlah RM1,500 masing-masing dengan seorang penjamin. Mereka kemudian menjelaskan jaminan.
Kes berkenaan akan bersambung pada 9 Januari depan.
Permohonan kedua Anwar ketepi Shafee ditangguh
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan kepada 19 Dis untuk mendengar permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa utama dalam rayuan pihak pembela terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan meliwat.
Hakim Aziah Ali, yang mempengerusikan panel tiga anggota, hari ini menetapkan tarikh itu setelah meluluskan permohonan peguam Tommy Thomas, yang mewakili Anwar, agar pihaknya diberi lebih banyak masa untuk menjawab afidavit Muhammad Shafee yang diterimanya pagi ini.
Sementara itu, pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, yang dijadual berlangsung hari ini, juga ditangguhkan apabila peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar dalam kes itu, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Sabtu lepas (7 Dis) kerana jangkitan paru-paru.
Aziah juga menetapkan 19 Dis sebagai tarikh pengurusan kes berhubung rayuan pendakwa.
Mahkamah juga meminta Anwar hadir di mahkamah pada pendengaran akan datang.
Anwar tidak hadir pada pendengaran hari ini kerana menghadiri seminar di Washington, Amerika.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Pada 6 Dis, Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada pasukan pendakwa. Kali ini, beliau menggunakan maklumat yang terkandung di dalam perisytiharan berkanun bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim sebagai asas untuk memfailkan permohonan baharu bagi mengetepikan Muhammad Shafee.
Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun ini dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan juga ditolak.
Permohonan pertama Anwar untuk mengetepikan Muhammed Shafee adalah berdasarkan kesahan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana beliau (Muhammad Shafee) dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.
Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pendakwa mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan Anwar itu. - Bernama
Isu tambang LRT, monorel dapat perhatian pembaca
OLEH: NIZAM ZAIN
Tarikh: December 11, 2013
SHAH ALAM - Kurang 24 jam berita mengenai kenaikan tambang pengangkutan jenis LRT dan monorel yang dimuat naik Sinar Harian Online hari ini mendapat sambutan hangat pembaca.
Setakat jam 8 malam tadi, berita yang sama dipaparkan dalam akaun media sosial Facebook Sinar Harian mencatatkan lebih 1,300 komen, manakala 242 yang lain berkongsi artikel tersebut.
Oleh kerana isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain belum reda seperti harga minyak, gula dan tarif elektrik, namun pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menarik pelbagai reaksi pembaca dan rakyat.
Secara keseluruhan, kebanyakan komen tersebut membantah kenaikan tersebut, tidak kurang pula secara menyindir menyokong tindakan kerajaan itu.
Menurut pemilik akaun 'Epit De Silver Top', rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata sedangkan pasaran dunia menentukan turun naik sesuatu barangan dan perkhidmatan.
"Alhamdulillah...semua naik...kita kena ikut pasaran dunia," katanya.
Pemilik akaun 'Pehe Rilek' pula senada kenyataan tersebut sambil menasihatkan rakyat menyokong usaha pembangunan negara tanpa kerap kali mempersoalkannya.
"Kita sebagai rakyat perlu sokong untuk pembangunan ekonomi negara...jangan tanya apa negara bagi kepada kita tetapi tengok apa sumbangan kita kepada negara," katanya.
Tidak kurang beberapa komen yang secara jelas menyelar dan menyalahkan kerajaan.
Antaranya, "TS Syed... sedang kaji cara-cara nak tambahkan susah orang... setiap kementerian sedang kaji apa yang boleh dinaikkan," kata pemilik akaun FB 'Amie SevenThree'.
Bagi Rodie Md Yusuf pula berkata,"kerajaan berjaya menambah perbelanjaan rakyat... pilih lagi kerajaan sedemikian, orang offer murah pun tak nak... terima saja laaa."
Sementara itu, Ajid Anak Merdeka pula berkata,"Umno memang tidak layak memerintah Malaysia, makin lama makin derita rakyatmu... padan muka yang menyokong Umno."
Selain itu, Amirull Jaafar berkata,"ada menteri kata hari itu kenaikan harga minyak tidak akan membebankan dan tidak akan menyebabkan barang lain naik.
"Sampai bila agaknya kita hendak terus ditipu oleh pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat ini," katanya.
Desakan rakyat boleh turunkan kos sara hidup
OLEH: NIZAM ZAIN
Tarikh: December 11, 2013
SHAH ALAM – Keberkesanan sesuatu kempen kesedaran itu tidak akan berjaya sekiranya rakyat tidak memberi sambutan yang sewajarnya khususnya isu yang melibatkan kepentingan masyarakat umum termasuklah kenaikan kos sara hidup di negara ini.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata kepedulian dan kerjasama rakyat itu penting dalam menjayakan kempen kesedaran itu bagi memastikan nasib rakyat terbela akibat tindakan kerajaan Barisan Nasional yang menaikkan beberapa keperluan rakyat akibat penghapusan subsidi selepas PRU13 lalu.
"Berjaya atau tidak kempen Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bergantung pada sambutan daripada rakyat, kalau rakyat rasa perlu menyokong saya yakin kempen ini beri kesan.
"Jika rakyat tidak peduli, saya percaya kempen ini sukar berjaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan gabungan NGO dan mahasiswa yang melancarkan gerakan mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat hari ini di pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara yang antara lain membantah kenaikan harga barangan dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Gerakan itu juga mendapat sokongan daripada parti politik yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang membebankan rakyat selepas PRU13 lalu.
Menurut Suhaizan, kempen itu meletakkan lima agenda iaitu menghapuskan subsidi kepada industri, memecahkan monopoli terutamanya pembekal gula, menangguhkan pelaksanaan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol, menamatkan korupsi yang berleluasa.
Tambah beliau, pemberian subsidi kepada rakyat boleh diteruskan jika pengurusan kewangan negara dilakukan dengan lebih cekap dan mengatasi kelemahan seperti mana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
"Kalau kewangan negara diurus dengan baik, kita akan dapat mengelakkan ketirisan dengan itu duit kita akan lebih terjamin dan lebih banyak lagi dan boleh menampung subsidi kepada rakyat," katanya lagi.
Selain beliau, turut hadir Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Teo Kok Seong yang juga selaku Adun Bahau dan beberapa pemimpin aktivis mahasiswa.
Cuepacs: Berani buat berani tanggung
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
JOHOR BAHRU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengulangi penegasan tidak akan membela penjawat awam yang melanggar undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi.
"Berani buat berani tanggung kerana Cuepacs tidak akan mempertahankan mana-mana penjawat awam yang didapati membocorkan rahsia kerajaan, terlibat dalam jenayah mahupun rasuah.
"Cuepacs hanya membela dan menuntut keadilan terhadap penjawat awam yang ditindas dan dianiaya dalam tugas mereka," kata Presidennya Datuk Omar Osman kepada pemberita, di sini hari ini.
Omar yang ditemui selepas taklimat penambahbaikan skim perkhidmatan dan isu semasa bersama penjawat awam, diminta mengulas mengenai isu kebocoran kandungan dan penyebaran Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berhubung cadangan mengubah hari cuti mingguan sebelum ini.
Awal November lepas, berita tentang pertukaran hari hujung minggu negeri Johor daripada Ahad kepada Jumaat berkuat kuasa Januari depan tersebar di laman sosial tanpa pengumuman rasmi oleh kerajaan negeri.
Lebih memeranjatkan gambar dokumen sulit mengenai perkara itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 turut dimuat naik dalam laman sosial bagi menyokong berita berkenaan.
Mengulas mengenai pemilihan anggota Majlis Tertinggi Cuepacs sesi 2014/2016 yang akan berlangsung minggu depan, Omar berharap semua yang bertanding akan bersikap harmoni.
Semua yang bertanding juga perlu memikirkan tanggungjawab yang menanti mereka dalam meneraju Cuepacs kerana kesatuan ini menjadi tulang belakang kepada 1.4 juta penjawat awam, katanya. - Bernama
Polis tahan 4 lelaki, rampas 60,000 pil kuda
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
KOTA BHARU - Polis Kelantan percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dan Terengganu berikutan penangkapan empat lelaki serta merampas lebih 60,000 biji pil kuda dengan anggaran nilai pasaran RM1.5 juta.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Deputi Superintendan Mit A/L Emong berkata empat lelaki itu ditahan di sebuah kedai tayar dan sport rim di Jalan Cherang, Kampung Bayam, di sini pada 5 Dis lepas bersama 200 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda dalam timbunan tayar di kedai berkenaan.
Hasil siasatan terhadap empat suspek berumur antara 23 dan 29 tahun itu, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah Honda Jazz yang diparkir di hadapan sebuah rumah sewa di Jalan Sultan Yahya Petra, Kampung Lundang, di sini dan menemui 30 bungkusan yang dibalut menggunakan surat khabar.
Setelah diperiksa, bungkusan itu didapati berisi 60,000 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda dengan anggaran nilai pasaran RM1.5 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Polis, katanya, turut menyita lima buah kenderaan pelbagai jenis yang bernilai kira-kira RM200,000.
Mit berkata bekalan dadah itu dipercayai dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata polis percaya empat suspek tersebut daripada kumpulan sama yang ditahan pada 2 Dis lepas melibatkan lima lelaki dan dua perempuan.
Kumpulan itu, katanya, dipercayai dianggotai kira-kira 30 orang dan polis telah mengenal pasti baki anggota kumpulan terbabit.
Beliau berkata setakat ini 11 anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita, telah ditahan dan membabitkan nilai rampasan kira-kira RM3 juta. - Bernama
Mangsa banjir hilang rumah boleh mohon PPRT
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah boleh membuat permohonan untuk memiliki rumah secara percuma di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM40,000.
"Ini khusus untuk sesiapa yang rumah mereka dihanyutkan air, roboh sama sekali atau mengalami kerosakan yang terlalu besar hingga tidak boleh dibaiki.
"Pihak bertanggungjawab akan mengumpul data mereka yang terlibat sebelum perkara itu dilaksanakan," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) mencadangkan kerajaan negeri Terengganu mengecualikan bayaran bil utiliti dan sewaan bangunan kedai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada mana-mana penduduk yang terjejas teruk akibat banjir.
"Perkara ini wajar dipandang serius kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung mangsa banjir.
"Jika bil utiliti seperti bayaran kadar air, elektrik dan sewaan bangunan kedai dapat dikecualikan selama sebulan, sudah tentu mampu melegakan mereka," katanya.
Iskandar juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menangguhkan cadangan menaikkan kadar yuran taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sebanyak RM50 daripada jumlah asal.
"Jumlah itu cukup membebankan, kerana pada masa sama keluarga yang terlibat perlu memikirkan keperluan lain seperti bayaran yuran asrama, bayaran kemasukan alam persekolahan dan membeli barang kelengkapan sekolah," katanya.
Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri juga menekankan kepada praktikal sesuatu ilmu yang diajar tanpa terlalu bergantung kepada kefahaman teoritikal semata-mata, khususnya dalam mata pelajaran pendidikan Islam.
"Usaha itu, penting bagi membantu pelajar supaya benar-benar memahami kewajipan seorang muslim seperti solat, puasa dan zakat," katanya. - Bernama
Murid tahun enam lemas mandi di parit
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
MARANG - Seorang pelajar tahun enam ditemui lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya di sebuah Parit di Kampung Undang di sini, semalam.
Mayat Muhammad Asyraaf Zulkifli, 12 ditemui pada pukul 9.45 malam oleh pasukan Bomba dan Penyelamat yang melakukan operasi mencari mangsa pada petang semalam.
Menurut bapa mangsa Zulkifli Mohd Rabi, 41, anaknya keluar dari rumah kira-kira pukul 2.30 petang namun tidak memaklumkan untuk ke mana.
Katanya sebelum keluar, anak ke tiga daripada enam beradik itu sempat meminta wang RM1 daripada ibunya untuk membeli gula-gula namun sehingga petang anaknya tidak pulang ke rumah.
"Kami hanya mengetahui anak lemas kira-kira pukul 6.05 petang selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung dan ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan urusan kerja di Jerteh, Besut.
"Sebaik menerima berita itu, saya bergegas ke tempat kejadian dan menemui selipar dan duit baki sebanyak 70 sen berhampiran tempat kejadian dan saya yakin selipar itu milik anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan penduduk kampung bahawa anaknya bersama empat rakannya ke parit berkenaan yang jaraknya kira-kira 1km dari rumah untuk mandi.
Ketika itu air agak deras namun rakannya sempat berpaut pada pokok di tepi parit berkenaan manakala anaknya yang tidak tahu berenang tenggelam di dasar parit.
Mayat pelajar Sekolah Kebangsaan Undang itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Undang pukul 11 pagi tadi. - Bernama
Jangan laku perbuatan cetus syak wasangka
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
KLANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah menyeru rakyat pelbagai kaum dan agama memainkan peranan mengekalkan kemajuan di negeri ini dengan tidak melakukan apa jua perbuatan yang boleh mencetuskan syak wasangka antara satu sama lain.
Baginda bertitah setiap rakyat Selangor perlu menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini.
"Beta berkenan agar kemajuan di negeri Selangor ini dapat berterusan hingga generasi akan datang.
"Oleh itu, setiap rakyat Selangor mestilah memainkan peranannya untuk mengekalkan kemajuan ini dengan tidak menimbulkan apa-apa syak wasangka di antara satu sama lain," titah baginda pada majlis jamuan teh bersama rakyat sempena Hari Keputeraan baginda ke-68 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah di sini hari ini.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan para cendekiawan supaya memahami mengenai perkara-perkara sensitif serta tidak membuat pernyataan-pernyataan yang boleh mengguris hati rakyat Selangor sehingga mengeruhkan keharmonian.
Baginda turut menyeru rakyat Selangor meneroka peluang-peluang yang boleh menjadikan Selangor menjadi maju dan terunggul di Malaysia.
"Janganlah biarkan kemajuan Selangor ini menjadi lembab dan tidak berubah. Negeri Selangor tidak boleh maju jika rakyatnya yang berbilang kaum tidak bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan," titah baginda.
Sultan Selangor juga mahu rakyat negeri itu bersama-sama membantu dan bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah. - Bernama
Polis tumpas sindiket curi jentera berat
OLEH:
Tarikh: December 11, 2013
TEMERLOH - Polis Pahang menumpas sindiket mencuri jentera berat berikutan tertangkapnya 11 anggota kumpulan itu yang turut didalangi seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata menerusi Ops Cantas Lejang, Unit Tindakan Khas Polis Pahang menahan semua anggota kumpulan terbabit dalam tempoh dua minggu lepas.
"Mereka yang ditahan itu berusia 30 tahun hingga 55 tahun, termasuk seorang wanita yang juga anggota JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang ditahan awal pagi tadi di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata Ops Cantas Lejang itu diadakan sejak 23 Nov lepas, hasil maklumat awam dan kerjasama bersepadu anggota Polis Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan polis Temerloh.
"Hasil beberapa serbuan di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, polis menemui 26 buah jentera berat antaranya 23 buah Back Hoe Jenis Case, dua buah Back Hoe Jenis JCB dan sebuah Excavator yang kesemuanya bernilai RM2.6 juta," katanya.
Jentera terbabit sebahagian besarnya dilaporkan dicuri di negeri ini terutamanya di Temerloh sebelum dijual di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur selepas nombor casis enjinnya dipadam.
Shariffudin berkata kumpulan itu dipercayai aktif mencuri jentera berat sejak awal tahun ini. Mereka juga dipercayai terbabit dengan tiga kes samun di daerah Kajang, Selangor. - Bernama
Najib lancar Proton Perdana wajah baharu
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.
Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.
Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.
Sebanyak 200 unit pertama Proton Perdana baharu akan diserahkan kepada kerajaan setiap bulan. - Bernama
Banduan boleh lanjut pelajaran ke peringkat PhD
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KUALA LUMPUR - Banduan yang menjalani hukuman di penjara akan diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (Phd) tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Penjara sedang berbincang dengan insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk melihat kursus yang bersesuaian untuk banduan melanjutkan pelajaran.
"Kita telah meminta pihak universiti menyatakan kursus yang bersesuaian dengan masa banduan untuk terus mendapat pendidikan. Inilah peluang mereka untuk menjadi insan yang berguna dan berpendidikan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator S.Bagiam Ayan Perumal yang bertanya sama ada kementerian membuat pemantauan terhadap pesalah juvana dan banduan yang ingin melanjutkan pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Wan Junaidi berkata statistik Jabatan Penjara menunjukkan 409 banduan sedang menjalani kursus di pusat latihan vokasional dan 20 lagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jenis ijazah sarjana muda di sebuah IPTS.
Dalam pada itu, beliau berkata sehingga Ogos tahun ini, seramai 1,548 orang terlibat dalam jenayah juvana, 29,382 dalam jenayah belia dan 57 orang dalam gengsterisme juvana.
Mereka ditahan dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan pada 17 Ogos lepas bertujuan membuat pengesanan, pemantauan dan pencegahan aktiviti kumpulan kongsi gelap dan gengster. - Bernama
30 pasangan pilih daftar kahwin tarikh 11.12.13
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KUALA LUMPUR - Tanggal 11 Dis 2013 atau 11.12.13 hari ini menjadi pilihan kebanyakan pasangan di negara ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
Malah, ada antara mereka membuat tempahan tarikh itu sejak 15 Jun lepas.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan (JPNWPKL) Kuala Lumpur Norehan Abdullah memberitahu sidang media di sini, 30 pasangan memilih untuk mendaftarkan perkahwinan mereka pada tarikh istimewa itu.
Enam daripada 30 pasangan itu adalah dari Putrajaya dan Selangor.
Tinjauan Bernama di pejabat JPNWPKL Jalan Duta sesak dengan pasangan berkenaan yang siap berpakaian pengantin mengikut budaya mereka dan diiringi anggota keluarga masing-masing sejak 8 pagi lagi.
Mekanik kereta S.Navindren, 30, dan pasangannya S.Kasthury, 30, berkata beliau memilih tarikh itu kerana ia satu tarikh yang unik.
"Kami memang menunggu tarikh yang unik seperti ini untuk mendaftarkan perkahwinan kami," katanya.
Bagi K.Krisha, 26, beliau dan pasangan memilih tarikh ini kerana nombornya yang cantik dan senang diingati.
"Tarikh macam ini hanya datang 100 tahun sekali, sebab itu saya mahu berkahwin pada hari ini," katanya.
Ahli perniagaan Chua Kwee Lim, 35, pula berkata tujuan beliau memilih hari ini kerana mahukan tarikh yang istimewa untuk satu acara yang istimewa bagi dirinya dan pasangannya Yap Mong Theng, 23, yang juga pegawai bank.
Pendaftaran perkahwinan pasangan itu dilakukan Pembantu Pendaftaran Kanan JPNWPKL Ramani Iyapillai.
Selain di JPNWPKL, banyak juga pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat JPN di sekitar Kuala Lumpur termasuk dua pasangan di JPN Wangsa Maju, JPN UTC Pudu (11 pasangan) dan JPN Taman Maluri (enam pasangan).
Sebelum ini, tarikh 10.10.10 (10 Okt 2010), 11.11.11 (11 Nov 2011) dan 12.12.12 (12 Dis 2012) menjadi pilihan pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga. - Bernama
KSN ketuai 102 penerima darjah kebesaran Selangor
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KLANG - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengetuai senarai 102 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Ke-68, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Dr Ali menerima Darjah Kelas Pertama, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.
Turut menerima S.P.M.S. ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Senireka Sdn Bhd Datuk Ar Nik Mohamed Nik Mahmood.
Dua menantu lelaki Sultan Selangor iaitu Pengarah, Penerbit dan Penulis Filem Pendek 'Adrenalin', Colin Salem Parbury dan Pengarah Urusan Light Cibles Malaysia, Aubry Rahim Mennesson masing-masing dianugerah Darjah Kelas Pertama, Darjah Kebesaran Datuk Setia- Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia.
Turut menerima S.S.I.S ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran berkenaan pada satu majlis yang diadakan di Balairong Seri Istana Alam Shah Klang.
Seramai 11 orang menerima Darjah Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Panglima Angkatan Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Datuk Abu Bakar Md Said; Panglima 3 Briged Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Mohd Nazir Mami; Panglima Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Abdul Aziz Md Sani; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir; Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Dr Soh Chee Seng; Pegawai Daerah Sepang Haris Kasim; Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Berhad, Datuk Abdul Wahab Maskan.
Dua pengamal media yang turut mendapat D.P.M.S ialah Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Penerbit Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Seramai 13 orang menerima Darjah Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang juga membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Asisten Ketua Staf Logistik, Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Abdul Khalid Hamzah; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM Laksamana Pertama Sabri Zali; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof Dr Mohd Yazid Abd Manap; Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Jawiah Dakir; penulis buku Prof Dr Cheah Jin Seng; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohd Naim Daruwish; Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mahmud Karim.
Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Ali Ahmad; Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Selangor S. Anthonysamy; Timbalan Presiden Bola Sepak Selangor Mazlan Harun; Anggota Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor Norazharuddin Abu Talib; Doktor pakar pergigian Dr Geoffrey S.A. Chung dan Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Mohammad Faiz Mohammad Azmi.
Seramai 13 orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) iaitu Pengarah Kanan Kejuruteraan TLDM Laksamana Pertama Ir Hairutdin Ayob; Kolonel Inspektorat Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia Kolonel Zulkifli Zainal Abidin; Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Kolonel Khairuddin Husain.
Pengarah Operasi Khas TLDM Kapten Anuar Alias; Pengarah Pusat Hidografi dan Oseanografi Pusat Hidrografi Nasional Pangkalan TLDM Pulau Indah Kapten Zaharuddin Mohd Maideen; Komander Pangkalan Udara Kuching TUDM Kolonel Jumali Selamat; Ketua Staf Tim Pemerhati Antarabangsa Mindanao TUDM, Kolonel Muhamad Shafiq Jahudi.
Pengerusi Puspanita Jabatan Audit Negara, Puan Sri Hajah Hindon Yusoff; Penasihat Undang-undang UPM Prof Madya Dr Rozanah Ab Rahman; Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Timbalan Naib Canselor UPM, Hashim Md Shari dan Pengarah Bahagian Meteorologi Radar Jabatan Meteorologi Malaysia, A. Kamiluddin Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab turut menerima S.M.S.
Sementara itu, dua pengamal media adalah antara 15 penerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) iaitu Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Penerbit Eksekutif Kanan TV3, Azmi Atan.
Selain itu, editor meja berita Star Publications (M) Bhd, Loong Meng Yee adalah antara 18 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
Seramai 19 orang termasuk Imam Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Al-Fadhil Ustaz Abdulkarim Maaseng menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C). - Bernama
Polis tahan 4 lelaki, rampas 60,000 pil kuda
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KOTA BHARU - Polis Kelantan percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dan Terengganu berikutan penangkapan empat lelaki serta merampas lebih 60,000 biji pil kuda dengan anggaran nilai pasaran RM1.5 juta.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Deputi Superintendan Mit A/L Emong berkata empat lelaki itu ditahan di sebuah kedai tayar dan sport rim di Jalan Cherang, Kampung Bayam, di sini pada 5 Dis lepas bersama 200 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda dalam timbunan tayar di kedai berkenaan.
Hasil siasatan terhadap empat suspek berumur antara 23 dan 29 tahun itu, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah Honda Jazz yang diparkir di hadapan sebuah rumah sewa di Jalan Sultan Yahya Petra, Kampung Lundang, di sini dan menemui 30 bungkusan yang dibalut menggunakan surat khabar.
Setelah diperiksa, bungkusan itu didapati berisi 60,000 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda dengan anggaran nilai pasaran RM1.5 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Polis, katanya, turut menyita lima buah kenderaan pelbagai jenis yang bernilai kira-kira RM200,000.
Mit berkata bekalan dadah itu dipercayai dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata polis percaya empat suspek tersebut daripada kumpulan sama yang ditahan pada 2 Dis lepas melibatkan lima lelaki dan dua perempuan.
Kumpulan itu, katanya, dipercayai dianggotai kira-kira 30 orang dan polis telah mengenal pasti baki anggota kumpulan terbabit.
Beliau berkata setakat ini 11 anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita, telah ditahan dan membabitkan nilai rampasan kira-kira RM3 juta. - Bernama
Meninggal dunia akibat tiroid, bukan H1N1
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KUALA LUMPUR - Pegawai awam wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disahkan meninggal dunia kerana komplikasi daripada penyakit Tiroid dan bukannya dijangkiti Influenza A.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr S. Jeyaindran berkata, perkara itu disahkan selepas semakan dan kajian semula dibuat oleh pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap rekod perubatan hospital swasta yang merawat mangsa berusia 48 tahun itu.
Beliau berkata mangsa sebelum itu sakit dan demam sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menjalani rawatan.
Ketika dirawat di hospital itu, dalam proses kajian darah yang dibuat, 'title' H1N1 ditemui pada pesakit berkenaan positif, oleh itu pesakit terbabit disyaki mengalami jangkitan H1N1.
"Bagaimanapun, KKM telah menghantar pakar bagi mengkaji dan menyemak semula laporan perubatan mangsa dan selepas meneliti rekod berkenaan sehingga hari ini, pakar mengesahkan mangsa mati akibat Tiroid dan bukan disebabkan H1N1," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Jeyaindran berkata disebabkan wabak H1N1 pernah berlaku di negara ini, potensi untuk rakyat terdedah kepada virus itu adalah tinggi.
"Bagaimanapun dari semasa ke semasa, sekiranya wabak itu menjadi agresif, barulah ia mungkin menyebabkan kematian," jelasnya.
Pegawai awam wanita berusia 48 tahun itu meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi semalam di hospital swasta itu setelah menghadiri majlis 'Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN' di Melaka, Khamis lepas. - Bernama
70 sukarelawan Perak sertai misi bantuan banjir
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
IPOH - Seramai 70 sukarelawan dari Perak hari ini menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir di Pahang dan Terengganu anjuran Pergerakan Pemuda Umno negeri.
Ketua pergerakan itu Hairul Anwar Mohamed Noor berkata misi bantuan yang mengambil masa selama dua hari itu akan mula bergerak ke Temerloh dan Pekan di Pahang seterusnya ke Dungun, Terengganu.
Sukarelawan yang terlibat adalah dari Jabatan Belia dan Sukan negeri, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Belia 4B Perak, Umno Bahagian Tambun, Sukarelawan Anak Jati Perak (Sajak) serta Pusat Perubatan Universiti Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran misi itu di sini hari ini.
"Misi ini membabitkan 10 kenderaan pacuan empat roda (4x4), tiga lori dan empat buah van untuk membawa bantuan berupa keperluan harian seperti beras, gula, susu, selimut dan tilam," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.
Katanya sebanyak RM5,000 berjaya dikumpul hasil kutipan derma daripada orang ramai sejak tiga hari lalu dan nilai barangan yang disumbangkan dianggarkan RM10,000.
Beliau berkata dalam misi itu sukarelawan juga akan membantu mangsa banjir membersihkan rumah yang dikotori lumpur dan air banjir.
"Saya harap misi murni sebegini akan diteruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain supaya kita dapat meringankan beban dan kesusahan yang dialami oleh mangsa banjir selain berkongsi penderitaan yang dialami mereka," katanya. - Bernama
Rogol: Pengurus restoran diperintah bela diri
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengurus restoran membela diri atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad berkata mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Riduan Masmud, 40.
Beliau menetapkan 16 dan 17 Dis untuk kes pembelaan. Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 19 saksi dari 1 Julai hingga 14 Nov.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun ini.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 20 Mei, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan tidak diwakili.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - Bernama
Sukarelawan HUSM bantu mangsa banjir
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menghantar 18 sukarelawan terdiri daripada doktor, paramedik dan jururawat bagi membantu mangsa banjir di Kemaman, Terengganu.
Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, misi kedua selama empat hari itu dilaksanakan HUSM susulan penghantaran sepasukan 12 sukarelawan ke Kemaman Sabtu lepas.
"Pasukan ini turut disertai lima doktor yang akan memantau kesihatan fizikal dan mental mangsa pasca banjir bagi menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini," katanya pada majlis pelepasan anggota sukarelawan di hospital itu di sini, hari ini.
Selain itu, Mafauzy berkata HUSM turut mengarahkan 150 pelajar perubatan dan pergigiannya supaya bersiap sedia sepanjang musim tengkujuh ini dan mereka akan digerakkan ke kawasan banjir, terutama di Kelantan.
Sementara itu, seorang anggota sukarelawan, Dr Shahzuwaty Saad, 32, pelajar tahun ketiga pasca ijazah perubatan yang menyambung pengajian di hospital berkenaan, berkata misi tersebut adalah yang pertama kali disertainya.
"Saya rasa teruja juga kerana banjir tahun ini boleh disifatkan sebagai bencana dan jumlah mangsa mencecah puluhan ribu orang, justeru khidmat sukarelawan yang ramai diperlukan bagi membantu mereka," katanya. - Bernama
Bicara kes menyamar kerabat Kedah 10 Februari
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
GEORGETOWN - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang lelaki yang menyamar kerabat Raja Kedah.
Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan tarikh itu selepas tertuduh, Roshidi Fadzil, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Roshidi, 47, dari Taman Bunga Raya, Melaka, dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini pada 23 Oktober tahun lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Roshidi juga didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Okt 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - Bernama
Umur 5 tahun, berat 57 kilogram
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
KUANTAN - Meski usianya baru lima tahun, namun berat badan seorang budak lelaki meningkat mendadak hingga mencecah 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan yang kuat menyebabkan kedua ibu bapanya bimbangkan keadaan kesihatannya.
Akibat berat badan berlebihan, Mohammad Danish Asyraaf Mohd Darus menghadapi masalah pernafasan hingga menjejaskan kecergasannya serta terpaksa tidur dalam keadaan duduk, lapor Harian Metro.
Berat badan Mohammad Danish Asyraaf melebihi berat bapanya, Mohd Darus Ismail yang hanya 53 kilogram dan lebih separuh daripada berat ibunya, Normah Ahmad yang mempunyai berat 80 kilogram.
Normah, 36, berkata, berat badan anak kedua daripada tiga beradik itu pada tahun lalu cuma 15 kilogram, namun meningkat mendadak mencecah 57 kilogram.
Menurutnya, anaknya itu dilahirkan normal dengan berat 3.2 kilogram, tetapi disahkan menghadapi masalah pernafasan sejak lahir.
"Kami tidak tahu kenapa selera makannya berubah hingga berat badannya meningkat mendadak dan dia tidak dapat mengawal pemakanannya walaupun doktor menasihatkan kami berbuat demikian.
"Dia akan menangis dan memberontak jika kami menegahnya daripada makan terlalu banyak membuatkan kami buntu dan terpaksa mengikut kehendaknya," katanya yang tinggal di Sungai Karang di sini.
Katanya, Mohammad Danish Asyraaf yang pemalu mudah memberontak selain tidak aktif bergerak kerana masalah kesihatan dihidapinya selain turut dijangkiti cacar air sejak setahun lalu.
"Pada masa ini, kami tidak dapat mengawal pemakanannya kerana dia belum boleh berfikir baik atau buruk, tetapi mungkin berbuat demikian apabila usianya semakin meningkat kerana sudah boleh memahami sendiri.
"Kami tidak memberinya sebarang ubat-ubatan untuk mengawal tabiat pemakanannya kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin lebih memudaratkan kesihatannya nanti," katanya.
Semalam, Yang Dipertua Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS) Wan Azlan Wan Salleh mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kerusi malas kepada kanak-kanak itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kes kanak-kanak seperti Mohammad Danish Asyraaf jarang berlaku dan menyarankan kanak-kanak itu dirujuk kepada doktor untuk rawatan sewajarnya.
"Paling penting kanak-kanak itu perlu dirujuk doktor untuk mengenal pasti punca sebenar keadaannya sama ada disebabkan masalah diet atau faktor kesihatan lain sebelum rawatan seterusnya dilakukan," katanya.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Terengganu pagi ini terus meningkat manakala di Pahang berkurangan berbanding malam tadi.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 15,677 orang daripada 3,733 keluarga berbanding 14,643 orang daripada 3,480 keluarga sebelumnya.
Di Dungun, angka mangsa banjir meningkat hampir 600 orang iaitu 3,288 orang (807 keluarga) berbanding 2,789 orang (701 keluarga) malam tadi manakala jumlah di Kemaman turut meningkat kepada 1,351 orang (384 keluarga) daripada 790 orang (245 keluarga) pada tempoh yang sama.
Di Marang pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 42 orang (10 keluarga) berbanding 21 orang (empat keluarga) manakala di Setiu jumlah mangsa banjir menurun kepada 134 (46 keluarga) berbanding 149 orang (43 keluarga) malam tadi.
Sebanyak 88 pusat pemindahan masih beroperasi iaitu 22 di Dungun, 27 di Hulu Terengganu, 30 di Kemaman, lima di Marang dan empat di Setiu.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air di sungai utama di Terengganu kebanyakannya berada di bawah paras berjaga-jaga pagi ini.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 5,754 orang berbanding 6,048 orang yang direkodkan malam tadi, kata Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Setakat 8 pagi ini, masih terdapat 1,432 keluarga yang ditempatkan di 82 pusat pemindahan dari 78 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.
"Pekan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,241 orang di 37 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Di Kuantan, masih terdapat 924 orang yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, Maran (660 orang di 12 pusat pemindahan), Temerloh (518 di 14 pusat), Bera (305 di tujuh pusat), Jerantut (57 di tiga pusat), Rompin (33 di dua pusat) dan Lipis (16 di satu pusat). - Bernama
Kakitangan PDRM maut dijangkiti H1N1
Oleh: AHMAD ISMADI ISMAIL
Tarikh: December 11, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disahkan maut manakala beberapa individu lain yang dipercayai dijangkiti influenza A masih dikuarantin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kakitangan awam berkenaan dipercayai dijangkiti ketika mengikuti majlis Perjumpaan Kakitangan Awam PDRM Dengan KPN di Melaka pada 4 Disember lalu.
"Ketika perjumpaan itu, kira-kira 300 kakitangan awam PDRM dari seluruh negara hadir. Kesemua individu berkenaan termasuk saya diarahkan menjalani rawatan lanjut."
"Manakala mereka yang dipercayai dijangkiti pula dikuarantin untuk rawatan lanjut di hospital di Melaka dan Alor Setar," katanya.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah seorang kakitangan awam dari Alor Setar, Kedah.
"Difahamkan kesemua individu yang menaiki sebuah bas dari Alor Setar itu telah dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Beliau berkata, insiden itu tidak menjejaskan tugasan harian kakitangan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kedah dan Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan Salmiah Omar, 48, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah meninggal dunia pada 5 Disember lalu dipercayai akibat H1N1.
"Dia sebenarnya sudah sakit sebelum datang ke Melaka untuk menghadiri perhimpunan pegawai awam bersama Ketua Polis Negara di Hotel Mahkota yang berlangsung pada 4 Disember lalu.
"Pada hari sama dia jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Mahkota, Banda Hilir dan meninggal dunia pada 5 Disember lalu," katanya.
Ganti suami mengajar al-Quran
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
TANAH MERAH - Isteri seorang guru al-Quran di Kampung Kuala Paku, dekat sini, terpaksa mengambil alih tugas mengajar kitab suci itu selepas suaminya jatuh sakit sejak enam tahun lalu.
Siti Aminah Ismail, 60, berkata, dia perlu meneruskan tugas mengajar al-Quran kepada penduduk kampung itu bagi menampung perbelanjaan suaminya, Hamzah Ahmad, 89.
Bagi kos sara hidup dan belanja seharian pula katanya, dia dan suami sekadar mengharapkan wang pemberian anak yang sudah bekerja.
"Saya sambung mengajar al-Quran sebab dengan duit upah sikit sebanyak, dapat beli keperluan suami terutama lampin kerana dia hanya terlantar sejak sakit.
"Duit pemberian anak tak boleh nak harapkan sangat sebab mereka pun hanya kerja kilang," katanya yang ada lima anak berusia 24 tahun hingga 33 tahun.
Siti Aminah berkata, sejak tidak mampu berjalan dan terlantar akibat sakit tua, segala keperluan suaminya perlu dibantu seperti untuk makan dan mandi.
"Kalau ada pihak sudi bantu, saya perlu bantuan untuk tampung keperluan suami kerana untuk lampin sahaja, dia guna sekurang-kurangnya 10 keping sehari," katanya.
Sementara itu, nasib Hamzah mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan yang tampil menghulurkan sumbangan kerusi roda, di sini, semalam.
Sumbangan disampaikan Penolong Pengarah Kemas, Anuar Mat Zain yang berkunjung ke rumah Hamzah bersama Adun Gual Ipoh, juga Timbalan Ketua Umno bahagian, Mohd Bakri Mustapha.
Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid dan Pegawai Kemas daerah, Mohd Hafiz Mohd Rafee.
Anuar berkata, kerusi roda itu disumbangkan di bawah Program Titik Sentuhan Rakyat (PTSR) Kemas yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan bergantung keperluan setempat.
"Selain kerusi roda, kita juga ada bantuan lain di bawah PTSR seperti bakul makanan, kenduri rakyat, sumbangan gotong-royong dan baiki rumah kecil-kecilan," katanya.
Terserempak haiwan pelik
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
TUMPAT – Seorang tukang rumah yang menahan pukat berdekatan tali air di Kampung Mak Nelalang terkejut apabila terserempak dengan haiwan pelik seperti udang galah namun ianya juga menyerupai ketam dan ekornya kelihatan seperti kala jengking.
Haiwan pelik berwarna jingga itu ditemui oleh Yeh Ismail, 52, ketika kampungnya di sini dilanda banjir pada 6 Disember lalu.
Yeh berkata, pada mulanya dia menyangka ketam kerana ternampak sepit ketika haiwan itu merayap di atas rumput yang ditenggelami banjir separas betis.
"Ketika itu saya ke tali air Mak Nelalang untuk mengangkat pukat yang ditahan berdekatan dengan kawasan pokok nipah.
"Pada mulanya saya menyangka ketam dan terdetik di dalam hati mujur ketam ini tidak melekat di pukat kalau tidak habis hancur pukat ini.
"Namun jangkaan saya itu meleset selepas saya mengamatinya betul-betul kerana ia menyerupai udang galah tetapi ada sepit ketam ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gorek.
Menurutnya, dia memberanikan diri memegang haiwan itu dan membawa pulang ke rumah dan dipeliharanya di dalam bekas yang diisi air.
"Saya rasa haiwan ini boleh hidup dua alam, atas darat pun dia boleh hidup di dalam air pun boleh hidup dan rupanya yang unik ini menarik perhatian ramai orang," katanya yang mempunyai lapan anak.
Bagi Yeh, ini pertama kali dalam hidupnya melihat haiwan pelik ini dan tidak memaklumkan kepada jabatan perikanan untuk mengetahui spesies haiwan ini.
Menurutnya, dia akan menjual haiwan itu jika ada berminat untuk membelinya kerana khuatir jika dipeliharanya haiwan ini akan mati.
Difahamkan, haiwan ini nama sainstifiknya adalah thalassina anomala, ianya hidup di atas darat dekat dengan paya.
Spesis ini banyak ditemui di Sabah dan Sarawak. Bagi orang Sabah, dikenali sebagai bengkeIa dan di Johor dikenali sebagai udang kara darat.
Terima kasih sukarelawan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
ROMPIN - Musibah banjir yang melanda Rompin baru-baru ini banyak memberi kesan kepada mangsa yang mengalami kerugian disebabkan barang-barang yang rosak ditenggelami air, rumah yang kotor dan beban kewangan untuk membaik pulih bagi yang kurang berkemampuan.
Beban mangsa banjir ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan bantuan daripada pelbagai pihak selain bantuan kerajaan seperti sumbangan kewangan atau barang keperluan secara individu atau berkumpulan dan juga sumbangan dalam bentuk tenaga yang bergelar sukarelawan.
Pada 5 Disember lalu, sukarelawan Unit Amal Pas Kawasan Segamat telah turun seramai sembilan orang dalam misi membantu mangsa banjir membersihkan rumah dan juga menyerahkan sumbangan mereka yang di perolehi daripada pelbagai pihak yang menderma.
Selama dua hari berada di Rompin, beberapa buah rumah telah dibersihkan di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan perumahan nelayan yang kedua kawasan perumahan tersebut adalah di Sungai Puteri di mana kawasan ini mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi iaitu lebih daripada 1000 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri.
Yang Dipertua (YDP) Pas Segamat, Firdaus Masod, 40, berkata, beliau sendiri pernah menjadi mangsa banjir dan faham akan apa yang dirasai oleh mangsa banjir.
Namun begitu, menurutnya, melihat keadaan banjir di Rompin masih tidak seteruk banjir yang pernah melanda Segamat sebelum ini dan di Kuantan baru-baru ini.
"Saya puji masyarakat di sini yang bagus kerana memberi kerjasama terhadap sukarelawan Pas yang mahu membantu meringankan beban mereka.
"Sebelum ini kami pernah cuba untuk membantu sesetengah pihak tapi mereka menolak disebabkan perbezaan fahaman politik. Keadaan di sini pula berbeza, walaupun berlainan fahaman politik tetapi tetap menerima kehadiran kami," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, selepas ini sukarelawan Pas seluruh Johor akan ke Kuantan pula untuk membantu mangsa banjir di sana yang jumlah mangsanya lebih ramai.
"Mangsa banjir pulang dari pusat pemindahan dalam keadaan penat dan fikiran bercelaru, jadi mereka ini memang perlukan bantuan. Ini juga sebagai ucapan terima kasih kepada rakyat Pahang yang selalu turun membantu jika Segamat mengalami musibah yang sama," katanya.
Penduduk PAKR Sungai Puteri, Yahya Abdullah, 60, berkata, kegiatan sukarelawan sebegini memang banyak manfaatnya kepada rakyat yang sedang dalam kesusahan.
"Kegiatan sukarelawan sebegini sepatutnya terus diberi galakan dan diperbesarkan lagi agar lebih ramai yang ikut serta dan sudah pasti ia memberi kesan positif kepada masyarakat.
"Sewaktu rumah pakcik dinaiki air, anggota Unit Amal juga yang membantu membawa anak dan cucu saya menaiki bot fiber mereka kerana air sudah dalam. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas bantuan tersebut yang tidak mengira sesiapa pun," katanya.
Dalam pada itu, bersama dengan Unit Amal juga terdapat sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah seramai lapan orang.
Pensyarah Uniten, Zulkifli Ahmad, tidak ramai pelajar yang dapat ikut serta kerana masing-masing mempunyai sesi kuliah.
"Selepas kuliah baru ini, saya berbincang dengan beberapa orang pelajar untuk pergi membantu mangsa banjir dan mereka setuju dengan cadangan itu.
"Pada mulanya ramai, tetapi disebabkan bertindih dengan waktu kuliah masing-masing, jadinya yang berkelapangan sahaja dapat ikut serta. Sebelum ini ada tetapkan tarikh dan waktu lain, tetapi bimbang sudah terlambat kerana air surut awal tidak seperti yang dijangka," katanya.
Menurutnya, aktiviti begini baik untuk sesiapa sahaja dan bukan terhad kepada mahasiswa kerana akan dapat berkongsi kesusahan dengan mangsa banjir seterusnya memberi keinsafan kepada diri.
Presiden Persatuan Pengajian Islam Uniten, Mohammad Zairi Mohd Ali, 21, berkata, memang sudah lama untuk menyertai aktiviti sukarelawan sebegini selain untuk menimba pengalaman.
"Saya memang sudah lama merancang untuk menyertai projek amal sebegini dengan rakan-rakan untuk menimba pengalaman dan dalam masa yang sama mengerat hubungan silaturahim dengan masyarakat.
"Aktiviti begini memberi pendedahan tentang kepentingan membantu orang yang yang dalam kesusahan selain meningkatkan nama universiti," katanya yang gembira dapat membantu mangsa banjir .
Selain itu, anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga tidak mahu tertinggal di belakang dalam membantu mangsa banjir dari hari mula bencana hingga ke hari pusat pemindahan sementara diarahkan supaya ditutup.
Pengerusi KRT Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar, 50, berkata, setiap tahun anggota KRT Tanjung Gemok memang melibatkan diri dengan aktif dalam membantu mangsa banjir daripada mula berpindah hingga keadaan banjir pulih.
Warga emas mati terlentang
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
SABAK BERNAM – Luluh hati seorang anak apabila melihat mayat ibunya ditemui mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya di Kampung Bala Cara Baru, Parit 16, Sungai Panjang, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, Saayah Bakri, 70, ditemui anak lelakinya itu selepas diberitahu seorang jiran yang memaklumkan mangsa gagal dihubungi.
Menurutnya, anaknya yang tinggal berhampiran rumah mangsa terus ke rumah ibunya itu sebelum terkejut apabila mendapati ibunya sudah meninggal dunia sebaik membuka tingkap ruang tamu rumah berkenaan.
"Kali terakhir mangsa ditemani anaknya itu ke Klinik Sungai Besar untuk pemeriksaan darah tinggi pada 2 Disember lalu sebelum anaknya itu pergi ke Pahang dan kembali semula pada hari ini (semalam)," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi yang dihidapinya dan mendapati tiada kes jenayah berlaku memandangkan tiada kecurian dilaporkan berlaku di rumah berkenaan.
"Hasil pemeriksaan menemui dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM112 selain televisyen dalam keadaan baik," katanya.
Beliau berkata, polis percaya mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga tujuh hari lalu berdasarkan keadaan mayat mangsa yang reput.
Ekspresi bakat di 'lorong belakang'
Oleh: SITI AISAH HABIRIN
Tarikh: December 11, 2013
SEKSYEN 2, Shah Alam merupakan lokasi yang tidak asing lagi bagi penduduk sekitar terutamanya penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang jaraknya kurang 1 kilometer dari pintu masuk utama pusat pengajian itu.
Deretan rumah kedai menjual pelbagai kelengkapan alat tulis dan Medan Selera Prima Seksyen 2 yang sudah semestinya menjadi tumpuan lebih-lebih lagi penuntut UiTM untuk menjamu selera atau mencari kelengkapan bagi menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah.
Mungkin tidak semua tahu di sebalik dua deretan rumah kedai terdapat lorong belakang yang disediakan khas kepada penggiat seni menzahirkan bakat mereka.
Dalam usaha memperkasakan lagi aktiviti seni dan budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan Laman Seni Shah Alam di situ bertujuan untuk menyediakan platform kepada orang ramai khususnya golongan pelajar untuk menyerlahkan kreativiti melalui aktiviti pameran serta seni lukisan mural.
Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, di Laman Seni itu golongan karyawan boleh mengadakan persembahan secara santai seperti aktiviti deklamasi sajak, puisi dan persembahan pentas.
"Kewujudan lorong ini membuka ruang kepada para pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai.
"Selain daripada itu juga, Laman Seni ini akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) untuk menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni dan kreativiti sekali gus dapat memperkembangkan lagi bakat mereka yang cenderung untuk menceburi aktiviti seni dan budaya," katanya.
Shahrin berkata, projek ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar antara pihak MBSA dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan wang tunai bagi menjayakan projek ini.
Menurutnya, inisiatif mengindahkan lorong belakang ini dilaksanakan dengan kerjasama penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM bagi menceriakan suasana dengan lukisan mural pelbagai corak serta motif.
Katanya, MBSA juga telah menaik taraf lorong belakang tersebut dengan menurap jalan dengan menggunakan kaedah "pebble wash" bagi memudahkan aktiviti dilaksanakan di lorong tersebut.
"MBSA juga telah menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung bagi kemudahan dan keselamatan motosikal yang diletakkan di kawasan tersebut," katanya.
Jelasnya, projek Laman Seni Shah Alam ini merupakan inisiatif berterusan pihak MBSA untuk menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada komuniti khususnya golongan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk mengekspresikan kreativiti dan bakat yang sedia ada.
Ini katanya, selaras dengan matlamat MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai pusat bagi aktiviti seni dan budaya di Malaysia khususnya di Selangor.
Perasmian Laman Seni Shah Alam telah disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan yang turut dihadiri wakil Bank Muamalat dan penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM.
Kes tibi makin meningkat
Oleh: SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
Tarikh: December 11, 2013
JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,930 kes tuberkulosis (tibi) termasuk 129 kematian dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini yang direkodkan sehingga November lalu dan ia dijangka terus meningkat melebihi 2,000 kes sehingga akhir tahun.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakob berkata, penyakit itu mula menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun lalu dan didapati semakin mudah menular dalam komuniti yang dilihat berpunca dari gaya hidup .
"Sebelum ini angka yang direkodkan bagi penyakit ini adalah kurang dari 2,000 kes setahun namun sejak kebelakangan ini kes yang dilaporkan semakin meningkat.
"Penyakit ini antara wabak merbahaya di Johor dan kita harap masyarakat yang mempunyai tanda-tanda jangkitan penyakit ini agar segera menjalani saringan kesihatan supaya penyakit dapat dikesan lebih awal.
"Jika penyakit ini lambat dirawat dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan kepada lebih ramai orang," katanya di Majlis Sambutan Hari Tibi, Diabetes dan Aids Peringkat Negeri di Kolej Bersekutu Sains Bersekutu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat di sini, semalam.
Katanya, 10 peratus daripada kes yang dilapor merupakan kes berulang membabitkan pesakit yang dirawat semula manakala 51 peratus daripada keseluruhan kes adalah melibatkan jangkitan paru-paru yang lebih mudah dijangkiti.
Katanya, stigma masyarakat yang sering menganggap penyakit tibi sebagai penyakit kelas bawahan juga menyebabkan ramai antara mereka enggan menjalani saringan kesihatan dan lewat mendapatkan rawatan.
"Sebelum ini penyakit ini sering dikaitkan dengan warga asing tetapi dalam situasi hari ini hanya 10 peratus daripada kes yang dilapor berpunca dari warga asing.
"Sebaliknya penyakit ini turut berpunca dari komuniti setempat malah kira-kira 20 peratus daripada pesakit diabetes turut berisiko dijangkiti tibi disebabkan sistem antibodi badan yang lemah," katanya.
Dalam pada itu Khairi berkata, corak jangkitan penyakit HIV mula berubah sejak kebelakangan ini dan kebanyakan kes yang dilapor berpunca dari golongan heteroseksual berbanding penagih dadah.
"Jika dulu 85 peratus kes HIV yang dilapor berpunca dari jarum suntikan penagih dadah tetapi sekarang hanya 35 peratus kes disebabkan oleh suntikan.
"Manakala kira-kira 42 peratus membabitkan golongan heteroseksual yang mengamalkan hubungan seks tidak sihat sementara 20 peratus jangkitan HIV disebabkan hubungan sejenis antara lelaki dan lelaki," katanya.
9 warga Vietnam ditahan terlibat pecah kilang
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
MUAR - Sembilan warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan ditahan dipercayai terbabit 13 kes pecah masuk kilang dan samun sepanjang tahun ini dalam tiga tangkapan berasingan, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dua lelaki ditahan dalam tangkapan pertama pada Ops Cantas Trafik di Jalan Abdullah.
Namun, tiga mereka berjaya meloloskan diri semasa memberhentikan kereta pada jarak 20 meter dari lokasi operasi.
Menurutnya, dua yang ditahan adalah pemandu kereta berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dan seorang lelaki warga Vietnam berusia 26 tahun, kira-kira jam 1.30 pagi.
"Pelbagai peralatan pecah rumah dan samun dijumpai dalam kereta itu, antaranya empat parang panjang, dua parang sederhana, sebilah pisau kecil, tiga pemutar skru, satu kuku kambing dan dua batang besi yang disimpan dalam sebuah beg sandang.
"Kita juga jumpa satu topeng muka, sepasang sarung tangan, empat pita pelekat, kabel nylon dan sehelai jaket berwarna hitam yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Beliau berkata, empat jam kemudian, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Jorak, Bukit Pasir, dan menahan lima lelaki warga Vietnam berusia antara 21 hingga 31 tahun.
Jelasnya, susulan tangkapan kedua, pihaknya berjaya menjejaki tiga lagi lelaki warga Vietnam lingkungan usia 24 hingga 28 tahun dan mereka tahan dalam serbuan sebuah rumah di Jalan Ali, kira-kira jam 8.20 pagi hari yang sama.
"Kita merampas sebuah komputer riba dan sebuah tablet jenama Acer. Kita percaya barang-barang ini milik mangsa yang disamun," katanya.
Rakyat tempatan jadi dalang
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
MUAR - Tindakan sekumpulan lapan penjenayah dari Endau, Mersing, melakukan pecah rumah di Bukit Kepong, di sini, memakan diri apabila mereka ditahan menerusi beberapa tangkapan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kegiatan tersebut didalangi seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang menjadi orang perantara menghantar empat daripada tujuh suspek warga Indonesia ke rumah mangsa.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, empat warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah warga emas lelaki berusia 64 tahun yang disedari mangsa ketika bangun untuk ke tandas.
"Empat suspek berkenaan menutup muka dengan baju dan bersenjatakan kayu, parang serta besi pengangkut buah sawit.
"Suspek mengacukan besi pengangkut buah sawit ke arah mangsa dan turut mengarahkan isteri dan anak perempuan mangsa masuk ke dalam bilik dan tangan mereka diikat menggunakan dawai penyangkut baju," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Jelasnya, dua daripada suspek mengawasi mangsa, manakala dua lagi suspek mengeledah rumah berkenaan dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.
Azman berkata, warga emas terbabit berjaya meleraikan ikatan itu, kemudian membuat laporan di Balai Polis Lenga.
"Tangkapan pertama dilakukan dua jam selepas kejadian dengan menahan lelaki warga tempatan yang sedang menaiki sebuah kereta di hadapan Tokong Jalan Bukit Kepong dan mengaku membawa warga Indonesia terbabit.
"Susulan tangkapan itu, kita menahan empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 36 hingga 47 tahun di sebuah kebun kelapa sawit di Felcra Bukit Kepong, jam 7.30 pagi hari yang sama," katanya.
Jelas beliau, dua lagi warga Indonesia berusia 33 dan 38 tahun ditahan dalam tangkapan ketiga di Pusat Timbang Sawit Kampung Kechil, Bukit Kepong, kira-kira jam 6 petang, juga pada hari yang sama.
Katanya, hasil maklumat yang diperoleh daripada semua suspek membolehkan pihaknya memberkas seorang lagi suspek warga Indonesia berusia 30an di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Bumi Hijau, Johor Jaya, Johor Bahru, iaitu kira-kira satu jam selepas tangkapan ketiga.
"Dengan tertangkap semua suspek, kita menemui 15 barang yang dipercayai milik mangsa dalam kejadian di Bukit Kepong.
"Rampasan yang dianggarkan bernilai RM15,000 itu membabitkan barangan seperti sepasang anting-anting, enam bentuk cincin, satu gelang tangan, empat rantai leher, dua rantai kaki, satu jam tangan dan empat telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.
Tambahnya, suspek warga tempatan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masih dalam pengawasan pihak polis yang direman dari semalam hingga 16 Disember.
"Semua suspek didapati bebas dadah tetapi tujuh warga Indonesia ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini(semalam).
"Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenalpasti kemungkinan ada saki baki ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan parang," katanya.
Bomoh mengaku salah cederakan pesakit
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang bomoh mengaku bersalah mencederakan pesakitnya ketika mangsa menjalani rawatan selepas mendakwa terdapat iblis di badan wanita terbabit.
Yassin Lateh, 46, dari Kampung Lapan Kotak, Kampung Raja, Besut, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam, dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, seorang warga Thailand, Missanchalika di ruang tamu di sebuah rumah di Kampung Lapan Kotak, Kampung Raja, Besut, kira-kira jam 11.30 malam, 13 November lalu.
Dengan itu, Yassin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Yassin tidak diwakili peguam.
Rozianti menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman yang akan disebut di Mahkamah Majistret Besut.
Mahkamah juga membenarkan Yassin diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, mangsa pergi ke rumah Yassin bersama ibu mentua dan adik iparnya untuk mendapatkan rawatan tradisional kerana mengalami masalah sakit kepala.
Ketika menjalani rawatan, Yassin memaklumkan ada iblis di dalam badan mangsa dan perlu dibuang sebelum Yassin bertindak memarahi lalu menampar mangsa menyebabkan wanita itu terbaring.
Walaupun mangsa merayu Yassin agar memberhentikan rawatan itu, Yassin tetap meneruskan rawatan dengan memukul mangsa menyebabkan dia bengkak dan sakit di muka; mata dan kepala.
Candi 11 bukan tempat ibadat
Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
Tarikh: December 11, 2013
SUNGAI PETANI - Candi 11 yang menarik perhatian banyak pihak tindakan meroboh oleh pemaju adalah tamadun yang dipercayai bertapak di Lembah Bujang seawal kurun ke-5 hingga 8 Masehi dan bukanlah tempat penyembahan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, candi itu sebaliknya hanyalah binaan yang dibuat semula pada 1974 dan boleh dibina semula di tempat lain.
"Tapak Candi 11 bukan tempat penyembahan atau ibadat semata-mata tetapi lebih kepada tamadun. Pihak berkenaan tidak perlu mendesak sangat dalam isu ini kerana kerajaan negeri juga kecewa walaupun ia kes terpencil.
"Saya tidak anggap isu ini sebagai kecil namun bukanlah gambaran pemusnahan candi yang seharusnya dipulihara," kata Mukhriz yang menjawab pertanyaan pemberita berikutan desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tapak warisan itu diwartakan segera," katanya ketika hadir menyaksikan Memorandum Persefahaman antara Persekutuan
Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dengan Aimst University di Park Avenue Hotel, semalam.
Katanya, kerajaan negeri sememangnya berhasrat mewartakan semua tapak warisan malah telah beberapa kali berusaha mendapat pengiktirafan Unesco untuk mewartakan Lembah Bujang sebagai tapak warisan antarabangsa.
Mukhriz berkata, beliau akan membuat cadangan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membangunkan kawasan tamadun yang bersejarah agar menjadi pusat tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Katanya, kedudukan candi yang berselerak meliputi kawasan lebih 1,000 hektar wajar dipindahkan dan ditempatkan dalam satu kawasan kerana usaha ini banyak dilaksanakan di tempat lain namun memerlukan dana yang besar.
"Kerajaan negeri tidak mempunyai dana untuk tujuan ini. Kita mempunyai komitmen lain untuk membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Beliau berkata, bagi membangunkan ia sebagai satu tarikan pelancongan yang bertaraf antarabangsa, kadang kala ia melibatkan pemindahan bahan binaan tersebut ke satu lokasi yang terlindung.
"Ia banyak dilakukan di tempat-tempat lain dan bukan sesuatu yang pelik dibuat pada masa ini," katanya.
Mukhriz mengakui, kerajaan negeri berhadapan faktor kekurangan dana memandangkan kerja-kerja ekskavasi selalunya mengambil tempoh masa yang panjang, melibatkan keluasan, berlainan tempat dan sebagainya yang perlu diterokai.
"Ada bukti (bahan artifak) berselindung, kita tak dapat nak korek semua tempat, saya harap ada peralatan yang canggih untuk kita imbas, mungkin menggunakan satelit, untuk kenal pasti di mana tempat-tempat yang potensi dijumpai artifak atau pecahan binaan yang mempunyai nilai sejarah," katanya.
Dari aspek kepakaran, katanya sudah wujud dalam kalangan pakar tempatan di pihak Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara yang mempunyai kepakaran peringkat dunia, tetapi peralatan dan teknologi itu boleh dapatkan dari luar.
Bertukar jadi rumah ibadat
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
PULAU JEREJAK - Sungguh menyedihkan apabila melihat bangunan tinggalan sejarah di sini kini menjadi rumah ibadat dipercayai tidak diiktiraf.
Setiausaha Persatuan Muka Buku Pulau Pinang, Farhan Abdul Wafi berkata, pihaknya berjaya sampai ke kawasan pulau berkenaan atas maklumat beberapa individu bukan beragama Islam.
Menurutnya, pihaknya terkejut apabila mendapati bangunan pejabat pegawai kusta yang dibina pada 1930 kini menjadi lokasi penyembahan.
"Bagi kami tidak sepatutnya tempat bersejarah ditukar sebegitu rupa sekali, kenapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendiamkan diri? Adakah patut tempat bersejarah sebegitu dibiarkan sahaja?
"Bukan tidak boleh bina rumah ibadat, namun perlulah di kawasan yang sesuai dan mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri mahupun Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)," katanya kepada Sinar Harian.
Farhan berkata, ahli Persatuan Muka Buku Pulau Pinang turut meninjau beberapa lokasi tepi pantai negeri ini bagi memantau pembinaan rumah ibadat tanpa lesen.
Katanya, paling mengejutkan adalah kejadian di Pantai Jerejak kerana ia kawasan bersejarah.
"Difahamkan, pejabat pegawai kusta terletak berhampiran pantai kerana di bahagian dalam pulau terdapat penjara yang mana pernah menempatkan banduan-banduan yang pernah menghidap sakit kusta.
"Kami juga mendapati adanya pembinaan paip air ke kawasan rumah ibadat itu sepanjang beberapa kilometer. Persoalannya, siapa yang sebenarnya bertanggungjawab?. Apa yang membimbangkan ialah adakah ia sengaja didiamkan kerana untuk pergi ke tempat ibadat ini seseorang dipercayai perlu membayar sebanyak RM35," katanya.
Pada 1910, Pulau Jerejak dijadikan sebuah pusat kuarantin kesihatan untuk pendatang dan pada penghujung 1930-an, sebuah hospital kusta dibina di bahagian timur pulau terbabit.
Selepas Perang Dunia Kedua, terdapat kenaikan bilangan mangsa batuk kering dan disebabkan itu, sebuah penempatan dibina untuk mangsa-mangsa penyakit terbabit di Pulau Jerejak.
Pada 12 Jun 1969, Pusat Pemulihan Jerejak diasaskan sebagai sebuah penjara keselamatan tertinggi dan oleh itu Pulau Jerejak mendapat nama samaran iaitu Alcatraz Malaysia, dan kemudiannya ia ditutup pada Ogos 1993.
Terpaksa berkurung dalam rumah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
NIBONG TEBAL - Kira-kira 50 penduduk Kampung Kuyung sudah tidak mampu bertahan berikutan terpaksa hidup dalam persekitaran yang tidak selesa dengan kewujudan kilang pembuatan polistirena dan bekas telur berhampiran yang beroperasi lebih 10 tahun lalu.
Penduduk mendakwa kilang yang jaraknya hanya kira-kira 300 meter dari kawasan perkampungan dipercayai menyebabkan mereka terpaksa menanggung derita akibat habuk dan asap.
Tinjauan mendapati, kilang terbabit bukan sahaja mengeluarkan asap tebal malah pembakaran sekam padi dan sawit turut menyebabkan habuk berterbangan dan menjejaskan kesihatan penduduk.
Penduduk, Sulaiman Seriff, 48, berkata, masalah ini sudah lama berlarutan namun bertambah buruk sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pembakaran sekam padi dan sawit yang digunakan sebagai alternatif sumber kuasa menyebabkan habuk dan asap yang keluar mengotorkan tingkap dan lantai rumah.
"Debu hitam turut menyebabkan baju-baju yang disidai di ampaian menjadi kotor dalam tempoh singkat.
"Makanan terpaksa sentiasa ditutup dan kadangkala kami merasakan yang penduduk di sini terpaksa berkurung di dalam rumah kerana habuk berterbangan mengganggu rutin harian," katanya kepada Sinar Harian.
Penduduk turut mendakwa debu berterbangan turut menyebabkan kanak-kanak mengalami penyakit kulit dan gatal-gatal.
Difahamkan, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) pernah mengadakan tinjauan di kawasan berkenaan bagi mengambil sampel air untuk kajian.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Tiga, Sharif Yaacob, 63, berkata, masalah itu sudah diusulkan kepada pemilik kilang sejak dua tahun lalu namun tiada jalan penyelesaian.
Katanya, setiap kali penduduk bersemuka melalui perjumpaan, pihak kilang hanya berjanji akan menyelesaikan masalah ini namun tidak ada tindakan yang diambil untuk menanganinya dan penduduk sudah muak kerana berhadapan dengan masalah sama setiap hari.
"Masalahnya, penduduk yang kulitnya sensitif bukan sahaja mengalami gatal-gatal malah debu turut menyesakkan pernafasan.
"Saya harap JAS turun padang dan membantu memantau aktiviti kilang ini untuk memastikan sama ada ia beroperasi mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.
Penganggur disyaki ugut, dera
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
IPOH - Seorang penganggur mengugut seorang lelaki di hadapan wad kecemasan sebuah hospital di Batu Gajah selepas tidak berpuas hati dengan warga emas itu.
Dalam kejadian jam 4.20 petang Sabtu lalu itu, suspek berusia 37 tahun yang juga teman lelaki anak perempuan warga emas terbabit bertikam lidah dan mengatakan mahu melanggar lelaki terbabit dengan lori.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, bimbangkan keselamatannya, lelaki itusegera membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah.
Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada tindakan warga emas terbabit dan Pegawai Kebajikan Masyarakat membawa tiga anak kekasihnya ke hospital yang disyaki didera kerana mereka didapati mempunyai kesan luka pada badan.
"Sebelum itu, pihak kebajikan menerima aduan berhubung tiga kanak-kanak disyaki didera dan telah mengambil hak penjagaan sementara sehingga siasatan selesai.
"Sebelum ini, pegawai terbabit turut membuat laporan di Balai Polis Pusing mengenai kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, anak perempuan warga emas terbabit juga pernah membuat laporan polis pada 4 Disember lalu kerana mendakwa dipukul suspek sama di Taman Batu Gajah Perdana namun kemudian menarik semula laporan berkenaan.
"Wanita terbabit memberitahu dia menarik balik laporannya kerana suspek mengugut akan memberi anaknya minum racun jika laporan polis dibuat," katanya
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan Ahad lalu dan dituduh di Mahkamah Sesyen Parit semalam.
Suspek dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dan Seksyen 506 akta sama iaitu ugutan jenayah namun tiada pengakuan dibuat lelaki terbabit.
Shaharon berkata, suspek dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Gembira anak peroleh sijil lahir
Oleh: RAZIF ROSLI
Tarikh: December 11, 2013
BATU GAJAH – Hampir 12 tahun, seorang ibu empat anak, Che Mah Othman, 36, hidup dalam keresahan gara-gara keempat-empat anaknya yang berusia antara lima hingga 13 tahun tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Lebih merumitkan, Che Mah hilang tempat bergantung apabila mendakwa ditinggalkan suaminya sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun semua kebimbangannya itu berakhir selepas Pertubuhan Amal Kita Kinta dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi ruang untuk mereka sekeluarga mendapatkan sijil kelahiran.
Yang Dipertua Pertubuhan Amal Kita Kinta, Mohammad Riza Ahmad Hambadley berkata, hasil bantuan keluarga terdekat Che Mah dan Perkim, permohonan daftar lewat kelahiran ke JPN Batu Gajah dilakukan pada 25 Oktober lalu.
Menurutnya, hasil bantuan dan penyiasatan menyeluruh dilakukan JPN, permohonan tersebut diluluskan dan semalam, serahan kad pengenalan dan sijil kelahiran dilakukan kepada anak-anak Che Mah.
"Kami akan rujuk anak-anak Che Mah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula memandangkan kesemua anaknya tidak bersekolah, malah ada yang sudah berumur 13 tahun," katanya semalam.
Dalam pada itu Che Mah yang ditemui berkata, dia terharu dan gembira selepas penantian sejak sekian lama untuk anak-anaknya memperoleh sijil kelahiran sudah berakhir.
"Anak saya tidak bersekolah dan saya buntu memikirkan masalah ini dan mohon bantuan daripada Perkim dan Pertubuhan Amal Kita Kinta.
"Kehidupan keluarganya akan berubah dan terima kasih kepada semua pihak kerana membantu menyelesaikan perkara ini," katanya yang kini menetap sementara di premis pertubuhan berkenaan yang memberi bantuan dalam aspek kebajikan termasuk makan dan minum.
Sementara itu, Pengarah JPN Perak, Mohd Zahari Hassan berkata, pihaknya menasihati orang ramai untuk tampil ke pejabat JPN jika mempunyai masalah.
"Kita akan ikut prosedur sedia ada dan melalui saluran betul, jabatan akan salurkan bantuan segera untuk menyelesaikan masalah berkaitan.
"Malah motto JPN iaitu 'Rakyat di Hati JPN' sentiasa diperkasa menerusi program kami seperti Mydaftar, Kaunter Khidmat Nasihat, Pameran JPN dan Unit Bergerak Kad Pengenalan untuk memberi perkhidmatan terus kepada masyarakat," katanya.
Pekerja kilang maut nahas
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
IPOH - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 14 Jalan Ipoh Lumut (arah Lumut) di simpang tiga Taman Batu Gajah Perdana dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Ng Cheow Fa, 50, dari Kampung baru Bali, Tronoh maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badannya.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke pembahagi jalan. Pemandu kereta yang berusia 40 tahun dan bertugas sebagai penyelia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.
Shaharon berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
Merajuk gaji tidak dibayar
Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tarikh: December 11, 2013
PARIT BUNTAR - Disebabkan merajuk gaji bulanannya tidak dibayar hampir setahun, seorang kakitangan berstatus kontrak sebuah sekolah, di sini didakwa menghilangkan diri sejak seminggu lalu.
Sebelum didapati hilang, Mat Taib Mustaffa, 63, yang bekerja sebagai pembantu pejabat sekolah sejak lebih 10 tahun lalu, memaklumkan ahli keluarga ingin keluar sebentar ke pekan Parit Buntar pada jam 10 pagi, 1 Disember lalu.
Isteri mangsa, Zaharah Yusof, 51, berkata, suaminya memaklumkan kepadanya untuk pergi bersiar-siar sebentar di Pekan Parit Buntar bersama seorang rakan sekerja.
Menurutnya, mangsa kemudiannya menelefonnya sejam kemudian bagi memaklumkan akan segera pulang ke rumahnya di Kampung Parit Tok Ngah di sini.
"Bagaimanapun, suami saya masih tidak pulang ke rumah sehingga anak sulung saya, Mohd Ansar, 24, cuba menelefon mangsa bagi mengetahui lokasinya berada.
"Setelah beberapa kali mencuba, suami saya berjaya dihubungi dan dia tetap memberitahu akan kembali pulang ke rumah selepas selesai bertemu rakan-rakannya," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ziarah Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain di rumahnya di Kampung Parit Tok Ngah, semalam.
Turus serta, Ahli Lembaga Pengurusan SABK terbabit, Nordin Ahmad.
Zaharah berkata, setelah menunggu, suaminya masih tidak pulang ke rumah dan dia memutuskan untuk bertanyakan kepada rakan sekerja suaminya yang dikatakan keluar bersama lelaki itu.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan suaminya hanya meminta rakan sekerja itu menghantarnya ke Hentian Raya Parit Buntar.
"Rakan suami saya juga beritahu suami saya kata ingin ke rumah adiknya di Taiping, Perak.
"Saya segera menyuruh anak-anak saya mengesan ayah mereka di rumah bapa saudara mereka, namun dimaklumkan suami tidak datang ke situ," katanya.
Bimbang dengan keselamatan suaminya, Zaharah segera membuat laporan di Balai Polis Tanjung Piandang pada keesokan harinya.
Wanita itu berkata, penduduk kampung membantunya mengesan suaminya di sekitar daerah Kerian dan Taiping, selain mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin.
"Kami sekeluarga bimbang kerana suami hilang lebih seminggu. Sebelum ini dia pernah meluahkan kekesalannya kerana tidak menerima gaji bulanan sejak Januari lalu.
"Malah, dia juga enggan pergi bekerja sejak seminggu lalu setelah dimaklumkan kontrak perkhidmatannya mungkin ditamatkan pada akhir tahun ini," katanya.
Zaharah merayu Mat Taib segera kembali ke pangkuan keluarga dan menolak kemungkinan kehilangan mangsa disebabkan berdepan masalah kewangan atau diburu oleh ceti haram.
Tunggakan cecah RM16,800
Sementara itu, Ahli Lembaga Jemaah Pengurusan sekolah terbabit, Nordin Ahmad berkata, masalah tunggakan gaji yang berlarutan hampir setahun mungkin faktor utama Mat Taib menghilangkan diri.
Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan dengan kakitangannya mendapati, tunggakan gaji warga emas itu berjumlah RM16,800 setelah dia diambil berkhidmat sebagai pembantu pejabat secara kontrak selama setahun dan menerima pakej gaji sebanyak RM1,400 sebulan.
"Pada tahun lalu, mangsa turut mengalami tunggakan gaji bulanan, namun tempoh tunggakan tidak lama dan paling lama pun hanya empat bulan.
"Namun, saya difahamkan kakitangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaa (SABK), gaji mangsa tertunggak menjangkau setahun setelah dia menghadapi masalah dalam penyambungan kontrak perkhidmatan.
"Lebih mengejutkan, punca masalah tidak dikenal pasti setelah ia diputuskan Kementerian Pendidikan dan saya melihat situasi ini amat pelik kerana ia hanya terjadi pada mangsa," katanya.
Nordin turut difahamkan mangsa merupakan seorang pekerja komited dan beliau hairan dengan kegagalan pihak berkenaan menyelesaikan status pembayaran gaji Mat Taib dengan segera.
"Isu ini wajar dipandang serius kerana masalah mangsa mungkin turut dihadapi pekerja kerajaan berstatus kontrak yang lain.
"Sekiranya isu sebegini dianggap remeh, saya bimbang lebih ramai kakitangan kerajaan sanggup melakukan kerja tidak sepatutnya akibat tertekan dengan masalah kewangan," katanya.
Bela kakitangan kontrak
Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain merayu kerjasama polis dan penduduk setempat untuk membantu menjejaki Mat Taib bagi membolehkannya segera pulang ke pangkuan keluarga.
Menurutnya, pihak kementerian juga wajar mencari jalan menyelesaikan berhubung masalah tunggakan gaji dihadapi Mat Taib demi membela hak warga emas itu.
"Dengan masalah kenaikan harga barang dan tarif elektrik , saya terkejut kerana isu tunggakan pembayaran gaji masih berlaku dalam kalangan kakitangan kontrak.
"Saya berharap kerajaan lebih prihatin dengan kebajikan kakitangan awam, terutama pekerja berstatus sambilan dan kontrak kerana mereka bergantung kepada gaji diterima untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Bagi membantu meringankan beban Zaharah sekeluarga, Abu Bakar menghulurkan sumbangan kepada mereka.
Abu Bakar berkata, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat atau menemui mangsa diminta segera menghubungi anak sulung Mat Taib, Mohd Ansar di talian 0111-5478702.
Terlepas hukuman gantung
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
AYER KEROH - Seorang peniaga roti canai terlepas hukuman mati di tali gantung apabila dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas kesalahan memiliki 902.38 gram kanabis.
Hukuman diputuskan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil terhadap Mohammad Shah Hashim, 48, yang membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan pilihan, Mohammad Shah didapati memiliki 165.97 gram dan 736.41 gram kanabis di sebuah rumah di Jalan Paya Rumput kira-kira 9 malam pada 30 Oktober 2012.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang lima tahun dan minima 10 sebatan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri menahan tertuduh yang sedang menebar roti canai di hadapan rumahnya.
Tambang LRT, monorel pula naik?
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
SHAH ALAM - Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.
Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.
"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail.
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.
"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api.
"Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan pasaran saham pengangkutan awam," katanya.
Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.
Boleh dijel jika sebar Syiah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
SHAH ALAM – Individu yang didapati menyebarkan sesuatu ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dikenakan hukuman di bawah Enakmen Jenayah Syariah.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, hukuman itu berdasarkan kesalahan menghina pihak berkuasa agama apabila melakukan sesuatu berlawanan dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Menurutnya, sekiranya ajaran itu telah difatwakan sebagai ajaran sesat atau haram untuk disebarkan, maka jika bersalah individu itu akan dikenakan hukuman tersebut.
"Berhubung isu Syiah, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan tidak menyebut Syiah sebagai ajaran sesat, tetapi ia sesuatu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Orang Islam dilarang untuk menyebarkannya. Sekiranya dilakukan, barulah tahanan untuk enakmen tersebut akan dijalankan iaitu denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu beliau berkata, apabila dibaca sekali imbas fatwa tersebut, seolah-olah jika sesuatu ajaran diamalkan sendiri tidak menjadi kesalahan, bagaimanapun apabila disebarkan kepada orang lain itu menjadi satu kesalahan.
"Sama kesnya dengan Syiah, apabila ada fatwa mengatakan ia tidak boleh disebarkan maka perlulah diikuti.
"Sekiranya untuk diamalkan sendiri, saya rasa ianya tidak salah mengikut fatwa tersebut.
"Namun segalanya di bawah undang-undang," katanya.
Sinar Harian jadi rujukan Adun
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
GEORGETOWN - Sinar Harian menjadi rujukan dan bahan sokongan Adun BN dari Bertam, Shariful Azhar Othman ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2014 di Dun, semalam.
Sambil menyifatkannya sebagai akhbar untuk semua rakyat, beliau tertarik menggunakan Sinar Harian kerana mempunyai banyak bahan bercorak tempatan dan laporan yang lebih mendalam.
"Saya nampak akhbar ini lebih memaparkan berita tempatan dan ia memang sesuai dibaca untuk semua lapisan masyarakat.
"Jadi lebih elok saya menggunakannya sebagai rujukan ketika berbahas. Banyak juga isu masyarakat dan alam sekitar yang diketengahkan Sinar Harian selama ini," katanya ketika ditemui selepas sesi sidang pagi ditangguhkan.
Menurutnya, sesuai dengan konsepnya yang telus dan tulus, Sinar Harian diterima oleh semua pihak dan penggunaannya sebagai bahan rujukan pasti tidak menimbulkan pertikaian.
"Sebelum ini pun, saya lihat banyak juga Adun yang menggunakan Sinar Harian sebagai bahan rujukan ketika perbahasan. Tidak ada sesiapa pun yang mempertikaikan kesahihannya.
"Jadi saya rasa wajar guna akhbar ini kerana ia sudah diterima semua pihak," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Sinar Harian terus mendedahkan isu-isu masyarakat untuk kebaikan bersama.
Ketika perbahasan, Shariful Azhar didapati memetik laporan Sinar Harian ketika membangkitkan isu pencemaran Sungai Pinang, penggondolan
Bukit Relau, penebangan pokok gaharu secara haram, pembinaan beberapa projek di Bukit Bendera, pencemaran pantai Batu Feringghi dan operasi kebersihan jabatan kesihatan negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain.
Speaker puji cara bahas Adun Bertam
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
GEORGETOWN - Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang memuji cara perbahasan yang ditampilkan Adun Bertam, Shariful Azhar Othman dalam Sidang Dun Pulau Pinang, semalam.
Beliau berkata, setakat ini ia adalah perbahasan yang terbaik yang mempunyai teguran, cadangan dan memberi laluan kepada Adun lain untuk bangun mencelah dan menambahbaik isu yang dibangkitkan.
"Perbahasan yang amat bagus," katanya sebaik sahaja Adun itu menamatkan perbahasan sebelum sidang sesi pagi berhenti rehat.
RSN Rayer (DAP-Sri Delima) ketika bangun mencelah berkata, rakannya itu adalah yang terbaik dengan mengemukakan pelbagai isu dan cadangan bernas.
"Saya berharap YB dapat sampaikan beberapa masalah rakyat kepada Kerajaan Persekutuan kerana nak minta Ketua Pembangkang (Datuk Jahara Hamid) tidak boleh sebab dia selalu marah saya.
"Saya minta YB sampaikan agar kerajaan dapat pertimbangkan semula isu kenaikan harga minyak, gula, tarif elektrik dan cukai jualan dan barangan (GST)," katanya.
Sebelum itu, Shariful dalam perbahasannya bertemakan 'Semangat Amat Sayangkan Pulau Pinang' mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana terus menyediakan peruntukan untuk melaksanakan prlbagai projek pembangunan di Pulau Pinang.
"Jambatan Kedua yang dibina dengan kos lebih RM4 bilion akan dibuka tidak lama lagi memberi limpahan kepada kawasan Batu Kawan dengan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjaya dijual kepada pelbagai pihak untuk pelbagai jenis pembangunan.
"Ini bermakna Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan negeri ini dalam aspek pembangunan," katanya.
Guan Eng minta maaf dengan Jahara?
Oleh: MOHD ISKANDAR OTHMAN
Tarikh: December 10, 2013
GEORGETOWN - Selepas menggelar ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid sebagai nenek rasis kerana membangkitkan isu Pulau Mazhu dan isu perobohan gerai makanan tidak berlesen yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil dalam sidang Dun semalam, akhirnya Ketua Menteri Lim Guan Eng tampil memohon maaf.
Dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng berkata, jika Jahara terasa hati kerana digelar seorang nenek yang rasis kerana ia berkait dengan gendernya, beliau hanya akan memanggilnya seorang rasis.
"Saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan 'nenek'.
"Namun beliau tetap seorang yang rasis kerana memainkan api kebencian terhadap kaum dan agama melalui pembohongan konon saya meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak menjadi Pulau Mazhu (seorang dewa Cina) kerana saya meluluskan tokong Mazhu..
"Pembohongan ini memainkan sentimen agama sedangkan Pulau Mazhu ini tidak wujud pun," katanya.
Menurutnya, satu lagi pembohongan yang dilakukan ketua pembangkang itu ialah apabila bertanya kenapa tiada tindakan diambil ke atas empat gerai tanpa lesen milik pengusaha Cina di Pantai Bersih di Butterworth.
"Beliau sengaja tidak menyebut bahawa tiada tindakan diambil terhadap lebih empat pengusaha gerai Melayu tanpa lesen dalam kawasan yang sama dan ia jelas sekali tidak wujud 'double standard' seperti yang didakwa.
"Kerajaan negeri tidak akan berdiam diri terhadap penipuan yang bertujuan menimbulkan kebencian antara masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," katanya.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.














































No comments:
Post a Comment