Panel hakim tarik diri
Oleh:
Tarikh: December 13, 2013
KAHERAH - MESIR. Perbicaraan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM), Mohamed Badie bersama 17 anggota gerakan itu bertukar kecoh selepas tiga hakim sekali lagi menarik diri daripada meneruskan prosiding itu yang berlangsung, kelmarin.
Menurut AFP, difahamkan, insiden itu berlaku selepas beberapa tertuduh termasuk Setiausaha Agung Mohammed el-Beltagy mula melaungkan slogan mengutuk pemerintahan tentera selain menyifatkan perbicaraan itu sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
Peguam bela IM, Mohammed el-Damati berkata, kesemua anak guamnya berkelakuan seperti itu kerana mereka khuatir tidak akan dibicarakan secara adil.
"Panel hakim baru yang dilantik tersebut memutuskan untuk menarik diri kerana defendan tidak mempercayai sistem kehakiman di negara itu selepas insiden rampasan kuasa 3 Julai lalu," jelasnya lagi.
Kes itu akan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan, di mana panel hakim baru bakal dilantik untuk meneruskan sesi perbicaraan terbabit.
Pada 29 Oktober lalu, perbicaraan Mohamed Badie dan 34 lagi anggota gerakan tersebut terpaksa ditangguhkan selepas tiga hakim memutuskan untuk berundur.
Badie bersama dua timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi sebelum ini didakwa menyebabkan kematian sembilan penunjuk perasaan yang menyerbu ibu pejabat gerakan itu di Kaherah pada 30 Jun lalu.
Malaysia mahu krisis Thailand selesai cara baik
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BANGKOK - Malaysia sebagai rakan Thailand mahu melihat negara itu mencapai penyelesaian baik kepada krisis politiknya dan ia terus kukuh.
Malaysia juga tidak berhasrat untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman jirannya itu, kata Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain selepas menghadiri taklimat mengenai situasi semasa di Thailand di Kementerian Luar Thai di sini hari ini.
Taklimat 15 minit itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Sementara Thailand, Surapong Tovichakchaikul yang tidak meminta negara Asean supaya memihak mana-mana pihak tetapi menyokong proses demokrasi di Thailand, kata Nazirah.
Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari tahun depan berikutan pembubaran Parlimennya pada 9 Dis lalu.
Nazirah berkata, Surapong memberitahu bahawa pentadbiran sekarang di bawah Perdana Menteri Yingluck Shinawatra adalah sah dan kekal sebagai kerajaan sementara yang akan memastikan pilihan raya yang bakal diadakan adalah sah dan adil. - Bernama
Kerajaan sementara Thailand sedia timbang pilihan
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BANGKOK - THAILAND. Kerajaan sementara Thailand bersedia mempertimbangkan segala pilihan yang terdapat dalam Perlembagaan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis politik yang sedang berlaku.
Ia juga mahu memastikan pilihan raya pada 2 Februari tahun depan bebas dan adil, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul semasa taklimat 15 minit kepada para diplomat Asean di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, berdasarkan Seksyen 181 Perlembagaan, pentadbiran sekarang kekal sebagai kerajaan sementara sehingga Kabinet baharu dibentuk.
Beliau juga berkata, pentadbiran sekarang di bawah Perdana Menteri, Yingluck adalah sah.
Pada taklimat itu, Malaysia diwakili Dutanya, Datuk Nazirah Hussain, Myanmar juga diwakili duta iaitu U Tin Win sementara negara lain diwakili para pegawai.
Surapong kemudiannya memberitahu pemberita bahawa diplomat Asean memahami situasi politik yang berlaku di Thailand dan menyokong pilihan raya Thailand yang bakal diadakan dan berharap ia berjaya.
Beliau berkata, kerjasama Thailand dengan anggota Asean tidak terjejas dengan krisis politik yang berlaku dan kerjasama akan berterusan seperti sedia ada.
Sejak Yingluck Shinawatra menjadi perdana menteri dan memerintah negara, hubungan Thailand dengan negara anggota Asean adalah lebih baik, katanya.
Sementara itu Yingluck dalam pengumumannya menerusi televisyen meminta semua ahli masyarakat dan parti politik hadir dalam perhimpunan pada 15 Disember ini di Pusat Nasional Ratu Sirikit untuk membincangkan krisis politik semasa dan mencari perubahan nasional. - Bernama
Malaysia harap sokongan Perancis
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KUALA LUMPUR - Malaysia berharap Kerajaan Perancis akan menyokong pencalonannya untuk menduduki kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016.
Perkara itu disuarakan dalam perjumpaan antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Perancis Laurent Fabius di Paris pada Rabu.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata Anifah juga menimbulkan isu pelabelan minyak sawit oleh Perancis.
"Dalam respons beliau, Fabius mengulangi komitmen untuk tidak melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit di Perancis seperti yang disuarakan Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault ketika melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Julai tahun ini," katanya.
Kenyataan itu berkata, kedua-dua menteri berkenaan juga mengulangi komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga dan pengangkutan serta pertukaran kebudayaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.
Anifah juga menyampaikan jemputan rasmi kepada Fabius untuk melawat Malaysia dan mengulangi jemputan rasmi kepada Presiden Perancis Francois Hollande untuk melawat negara ini.
Selepas Perancis, Anifah akan meneruskan lawatan kerjanya di Eropah dengan mengunjungi Monaco dan Geneva di Switzerland dari 13 hingga 16 Disember. - Bernama
Import minyak sayuran India naik 35 peratus
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
NEW DELHI – Import minyak sayuran India bagi November 2013 naik 35 peratus kepada 944,309 tan metrik daripada 700,371 tan metrik pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Pengeluar Pelarut India (SEA) yang diumumkan hari ini.
Ini terdiri daripada 927,111 tan metrik minyak makanan dan 17,198 tan metrik minyak bukan makanan, tambahnya.
Peningkatan dalam import kebanyakannya adalah berikutan penghantaran minyak bunga matahari yang lebih tinggi kerana ia lebih murah ASD$30 satu tan metrik berbanding minyak soya.
Simpanan semasa minyak makanan setakat 1 Disember, 2013 di pelbagai pelabuhan dianggarkan pada 590,000 tan metrik, di mana minyak sawit mentah (MSM) berjumlah 320,000 tan metrik, olein sawit RBD 130,000 tan metrik, minyak kacang soya 35,000 tan metrik, minyak bunga matahari mentah 100,000 tan metrik dan minyak biji canola 8,000 tan metrik.
Pada November 2013, import minyak bertapis naik 172 peratus dan dicatatkan pada 208,076 tan metrik berbanding 76,519 tan metrik pada November 2012.
Import minyak sawit mentah juga naik 20 peratus kepada 719,035 tan metrik daripada 599,715 tan metrik pada November 2012.
SEA berkata, pada November 2013, import minyak sawit naik kepada 774,207 tan metrik daripada 614,574 tan metrik pada November 2012, sementara import campuran naik kepada 152,904 tan metrik daripada 61,660 tan metrik tahun lepas.
Bagaimanapun, import minyak bukan makanan pada bulan itu susut 29 peratus kepada 17,198 tan metrik daripada 24,137 tan metrik pada tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama
Pasar tani terbakar ragut 15 nyawa
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BEIJING - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam satu kebakaran pasar tani di Shenzen, selatan China, semalam.
Jabatan bomba memaklumkan, kebakaran Pasar Tani Rongjian seluas 1,000 kaki persegi itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan dan berjaya di padam dua jam kemudian.
"Seramai 145 anggota dari 29 kereta bomba bergegas ke tempat kejadian dan usaha mencari mangsa terselamat masih giat dijalankan," menurut jabatan itu menerusi akaun twitternya. - AP
Rejim Bashar tubuh unit pembunuh
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
DAMSYIK - SYRIA. Gabungan Kebangsaan Syria (SNC) melaporkan, rejim Presiden Bashar al-Assad membunuh lebih 2,900 orang dengan menggunakan pisau.
Maenurut The Daily Star, laporan disahkan Pertubuhan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa turut mendakwa, rejim melakukan pembunuhan lebih 2,885 orang menggunakan pisau sepanjang tahun ini.
"Pembunuhan ini adalah dirancang, lebih 200 kanak-kanak dan 120 orang wanita menjadi mangsa.
"Rejim menubuhkan skuad pembunuh, khusus untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan tangan berbanding senjata api," menurut laporan itu.
Pemimpin dunia beri penghormatan terakhir
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
PRETORIA - AFRIKA SELATAN. Kira-kira 5,000 pemimpin dunia memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela di sini, semalam.
Dipetik laporan AP, keranda mendiang kemudiannya akan diterbangkan ke timur Cape, Jumaat ini untuk satu lagi upacara keagamaan sebelum disemadikan di Qunu.
Namun, upacara itu mencuri perhatian apabila Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dilihat bersalaman dengan seterunya Presiden Cuba, Raul Castro.
Mereka tersenyum ketika bersalaman dan situasi itu jarang berlaku kerana selama ini, kedua-dua pemimpin tersebut dikatakan bertelagah lebih setengah abad.
Zionis serbu kem pelarian Aida
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BETHLEHEM - PALESTIN. Tentera Zionis terus bertindak kejam apabila menyerbu kem pelarian Aida dan memecah masuk beberapa kediaman sebelum menahan lima individu, subuh kelmarin.
Beberapa risalah ugutan diedarkan di sekitar makam Rachel berhampiran kawasan kem.
"Tentera akan menahan individu yang ingkar dengan arahan. Hukuman keras akan diambil kepada pesalah," menurut risalah itu.
Media tempatan PIC melaporkan, tentera Zionis tiada hak untuk mengawal pergerakan penduduk di kem pelarian itu termasuk mengugut dengan kekerasan.
Yingluck diberi 24 jam letak jawatan
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BANGKOK - THAILAND. Kumpulan penentang kerajaan Thailand memberi masa 24 jam kepada Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra supaya meletak jawatan meskipun beliau enggan berbuat demikian.
Dipetik laporan AP, kumpulan itu juga menyatakan keazaman untuk tetap menubuhkan majlis rakyat yang akan mentadbir negara.
Kelmarin, perintah khas Raja Bhumibol Adulyadej menjadualkan pilihan raya diadakan pada 2 Februari tahun depan dan menamatkan Yingluck sebagai Perdana Menteri sementara hingga undian berlangsung.
Pemimpin penentang, Suthep Thaugsuban yang menghadapi waran tangkap kerana memberontak masih terus melakukan ucapan awam di hadapan lebih 150,000 pengikut di pentas berhampiran pejabat Yingluck.
Beliau juga dikatan mencabar pihak berkuasa untuk menahannya.
"Jika polis berani, sila tahan saya. Saya rela ditahan demi kedaulatan negara.
"Yingluck perlu meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri baru yang akan dilantik di luar prosedur Perlembagaan normal," katanya.
Beliau juga menggesa kakitangan awam bergabung dengan pengikutnya untuk mewujudkan unit sukarelawan sendiri bagi mengambil alih tugas polis.
Pattani: Empat tentera maut, 10 cedera letupan bom
Oleh:
Tarikh: December 11, 2013
PATTANI - Empat anggota tentera terkorban manakala sepuluh lagi cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terkena bom buatan sendiri seberat 50kg yang diaktifkan menggunakan telefon bimbit.
Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari tadi waktu tempatan di Kg Makkor, Mukim Plonghoil, Daerah Kapo, Pattani.
Pol. Col. Durolman Yaena, Ketua Polis Daerah Kapo berkata anggota tentera tersebut dalam perjalanan ke Kem Ingkhayuthaborihan Pattani untuk bertukar tugas dengan anggota lain.
Beliau berkata kejadian di Jalan Tungyangdaeng-Saiburi dan kira-kira 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Kg Mako itu disyaki dilakukan puak pemisah.
Kejadian itu mengejutkan guru serta murid yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. - Bernama
Johan As'ari terlibat kemalangan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
PELAKON popular, Johan As'ari sekali lagi mengalami kemalangan jalan raya pada pagi 10 Disember lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Johan menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik gambar keretanya yang rosak akibat kemalangan tersebut.
Berdasarkan status yang dikongsi Johan, kemalangan itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menuju ke lokasi penggambaran.
Namun, tidak ada sebarang kecederaan yang dilaporkan.
Johan turut memberitahu kemalangan yang berlaku bukanlah di atas kecuaiannya, sebaliknya percaya ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.
Untuk rekod, sebelum ini Johan juga pernah mengalami kemalangan dengan kereta yang sama pada tahun lalu.
'Bersenam kalau nak langsing'
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
NAMA Cristina Suzanne Stockstill barangkali bukanlah asing bagi sesetengah peminat industri seni.
Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini, figura yang pernah menggunakan nama Kris Cempaka di awal pembabitannya ini sudah membuktikan kehadirannya bukan boleh di pandang enteng.
Bukan sahaja membuktikan keberkesanan lakonannya menerusi kemenangan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kil di Anugerah Skrin 2013, baru-baru ini, Cristina atau mesra di sapa Cris juga dianugerahkan rupa paras yang cukup cantik dan tubuh yang langsing.
Apatah lagi, gadis berusia 28 tahun ini mempunyai darah Pan-Asia, yang pastinya menimbulkan rasa cemburu bagi sesetengah wanita yang mungkin mengimpikan kecantikan dan kelangsingan seperti Cris.
Bagaimanapun, dedah Cris, dia sebenarnya lebih suka dan mengagumi kulit wanita tempatan yang lebih cantik berbanding kulit wanita barat.
Ikuti rahsia penjagaan kecantikan dan kelangsingan bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways ini.
Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Kecantikan bagi saya adalah pandangan pertama seseorang itu terhadap diri kita meliputi bagaimana cara dia menegur orang, pembawaan dirinya dan bukannya diukur jenama baju yang dipakainya atau solekan yang digayakannya. Manakala kesihatan pula bukan diukur dari jenis ubat yang diambilnya, tetapi gaya hidup yang diamalkannya.
Apa yang penting, untuk hidup dalam keadaan sihat dan sentiasa nampak cantik, bergaullah dengan aura-aura yang positif.
Sebagai selebriti, stamina amat memainkan peranan yang penting, bagaimana cara anda mengekalkan stamina selepas bekerja seharian?
Pertamanya, harus mendapatkan tidur yang cukup, iaitu enam jam dan jangan tidur berlebihan kerana ia akan membuatkan anda lesu. Minum banyak air dan banyakkan bersenam pada waktu pagi.
Antara joging dan gimnasium yang mana menjadi pilihan anda? Kenapa?
Saya lebih suka berjoging di taman sambil menghirup udara yang semula jadi berbanding ke gimnasium, duduk dalam penghawa dingin dan kita menggunakan alatan untuk bersenam. Lebih elok anda bersenam tanpa alatan.
Biasanya saya akan berjoging sebelum matahari naik atau sebelum jam 10 pagi kerana suasana yang lebih nyaman dan orang pun tak ramai.
Selain berjoging, adakah anda amalkan diet untuk menjaga stamina dan kelangsingan?
Tidak. Dalam sehari, saya akan pastikan ambil nasi sekali. Alhamdulillah, mungkin kerana saya selalu bersenam jadi metabolisme badan saya agak tinggi dan makanan yang dimakan tidak sempat di simpan untuk menjadi lemak. Selain itu, minumlah banyak air.
Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?
Ya, pernah, ketika itu saya masih bersekolah, kira-kira usia 16 tahun. Berat badan saya pernah mencecah sehingga 60 kilogram (kg). Namun ketika usia saya menginjak ke 18 tahun dan mungkin kerana perubahan hormon, berat badan saya turun sedikit demi sedikit.
Bagaimana pula dengan penjagaan kecantikan? Ada amalkan sebarang petua atau tip?
Memandangkan saya ada darah 'mat saleh' jadi kulit saya senang berkedut berbanding kulit orang Asia yang lebih cantik. Jadi saya selalu memakai krim mata untuk mengelakkan kedut di bawah mata. Manakala yang lain hanya penjagaan biasa sahaja.
Adakah anda gemar meluangkan masa ke spa, salun atau membuat rawatan kuku?
Tidak kerana di rumah saya sudah ada tab mandi, jadi bila kelapangan saya akan berendam dalam tab dengan garam Himalaya. Untuk kuku pula, boleh saya katakan jarang-jarang atau bila perlu sahaja baharu saya buat rawatan kuku. Bagi saya lebih mudah jaga diri sendiri dan tidak perlu membazir untuk membuat rawatan yang kita boleh buat sendiri.
Sesetengah orang gemar bermain permainan minda seperti Saidina, Catur, untuk meredakan tekanan. Bagaimana pula cara anda meredakan tekanan?
Ketika tertekan, saya suka bermain Sudoku dan melukis. Bagi saya lukisan adalah salah satu cara yang baik untuk meredakan tekanan. Walaupun lukisan saya bukanlah seperti gaya pelukis profesional, tetapi permainan warna dalam lukisan itu mampu membuatkan saya berasa lebih tenang.
Apakah aktiviti yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?
Saya suka bermain PS3 dan melukis.
Apa perkembangan terkini anda?
Saya buat kerja sampingan sebagai grafik secara bebas. Mulai Januari ini saya akan terlibat dengan pengambaran drama bersiri 26 episod untuk RTM. Selain itu, saya juga sedang menanti tiga filem lakonan saya iaitu CEO, Tujuh dan Jiwanita ditayangkan tahun depan.
Skandal isteri orang: Adi jumpa media malam ini
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
PELAKON Adi Putra akan memberi penjelasan bersabit dakwaan beliau mempunyai skandal bersama isteri orang dalam satu sidang media malam ini.
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
"Saya akan mengadakan sidang media khas menjelaskan segala-galanya berhubung kes (skandal) tersebut," katanya dipetik portal MstarOnline.
Pada 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.
Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman sosial Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui WhatsApp sejak 29 Julai lalu.
Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Difahamkan pihak polis telah merampas telefon bimbit milik mereka untuk dihantar ke makmal bagi tindakan selanjutnya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Izreen Azminda demand?
Oleh: NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh: December 12, 2013
BUKAN setahun dia melangkah ke dalam bidang seni dan bukan sekali dia menjadi mangsa 'sepak terajang' industri.
Dalam giat mencipta nama, dia pernah terjatuh dan hampir tidak di pandang, namun bagi Izreen Azminda, dia sudah membuktikan kehadirannya dalam industri seni bukan sia-sia.
Setelah lapan tahun bergelumang dalam dunia seni, Izreen membuktikan dia layak membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Perempuan Itu Ibuku), antara naskhah terbaik yang pernah dilakukannya.
Pernah membintangi drama Juvana (2011) yang turut memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik tahun yang sama, nama Izreen semakin menjadi sebutan ramai.
Walaupun memenangi trofi itu, dia menegaskan bahawa harga untuknya berlakon seperti sedia kala.
"Ia bukan sebagai batu loncatan untuk menaikkan harga tetapi saya menganggapnya satu pengiktirafan setelah sekian lama terlibat dalam industri ini.
"Harga saya masih seperti dulu dan saya tidak berani untuk 'demand' kerana risau tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya nanti," tegasnya.
Biarpun di awal kemunculannya, dia kurang dikenali namun lakonannya yang mantap dalam drama Tentang Dhia sebagai watak antagonis sedikit sebanyak membantu kerjayanya.
Ubah sikap
Mengimbas kembali permulaan kerjaya seninya, Izreen berkata dia dicabar oleh pelakon yang diseganinya, Datuk Rosyam Noor untuk menurunkan berat badannya.
"Saya masih ingat lagi, abang Rosyam merupakan orang pertama berani mencabar saya untuk kuruskan badan.
"Dia (Rosyam) cakap jika saya berjaya tampil kurus, saya akan diambil untuk berlakon dalam drama arahannya," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dek tercabar dengan kata-kata Rosyam, dia mengambil pelbagai inisiatif bagi mengurangkan berat badannya untuk berlakon dalam drama pertamanya, Sesuci Cinta Sofea sebagai pelakon tambahan di samping Rosyam dan Rozita Che Wan.
Menerusi drama tersebut, Izreen menerima banyak tawaran berlakon dan tidak selektif memilih pelbagai watak termasuk drama Atikah Najwa 2, Mendongak Ke Langit, Gerak Khas, Gelora Di Hati
Sara dan sebagainya.
Selain popularitinya yang meningkat naik, Izreen turut mengalami perubahan drastik dari segi sikap dan perangainya.
"Alhamdulillah, lama-kelamaan ramai yang nampak bakat saya. Sekarang ini sudah banyak perubahan yang saya alami.
"Kalau dulu saya bersikap ala tomboy dan kasar, tapi sejak jadi ibu saya lebih feminin.
"Dan mungkin juga sikap lama menyebabkan ramai penerbit sukar menawarkan kerja," ujarnya.
Dalam masa yang sama, dia juga mengakui agak lambat untuk dikenali dalam industri namun pengalaman yang dilaluinya sepanjang tempoh itu dijadikan sebagai proses pembelajaran.
Perkembangan lain, Izreen bakal muncul dalam drama berantai terbitan Suhan Movie berjudul 7 Suami Nik Yah, tidak lama lagi.
Shaheizy Sam takut kecundang?
Oleh: NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh: December 12, 2013
NAMA Shaheizy Sam tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni. Anak bujang kepada pelakon veteran, Khaty Fauziah itu sudah 10 tahun bergelar pelakon filem dan drama.
Namun, namanya semakin tenggelam dan kurang menjadi perbualan media massa, sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan peminat.
Tanpa berselindung, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui popularitinya menurun sejak akhir-akhir ini.
Percaya setiap manusia diberikan rezeki berbeza, Shaheizy menerima kenyataan itu dengan hati terbuka.
"Sudah menjadi kelaziman setiap insan yang bergelar artis, kerjaya kami pasti ada pasang surutnya.
"Ia ibarat asam garam dalam kehidupan kami tapi saya menerimanya secara positif," ujarnya setelah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem (SAM) di Anugerah Skrin 2013, baru-baru ini.
Berhadapan dengan limpahan muka baru, dia bagaimanapun mempunyai matlamatnya tersendiri untuk mengekalkan momentum kerjayanya.
"Saya tidak memilih tawaran yang diterima asalkan tidak bercanggah dengan jadual kerja sedia ada.
"Jika orang lain mengehadkan tawaran kerja demi menjaga populariti tetapi saya tidak kerana ia punca rezeki utama," katanya yang pernah membintangi filem seperti Ngangkung, Adnan Sempit, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift dan Sekali lagi.
Tambahnya, seseorang tidak akan berada di puncak selamanya tapi pasti jatuh suatu hari nanti dan digantikan dengan orang baru.
Biarpun ada jalan mudah untuk mengekalkan populariti namun bagi anak muda ini, dia tidak mahu terlalu taksub dengan kerjaya yang dimiliki.
"Saya ada visi dan misi tersendiri. Kalau dahulu sebelum dikenali ramai, saya selalu tertanya-tanya kenapa bakat saya susah mendapat perhatian walaupun sudah 10 tahun dalam industri.
"Tetapi lama-kelamaan, saya faham apabila melihat industri sebagai sebuah perniagaan hiburan yang juga memerlukan strategi pemasaran. Itu yang akan cuba saya lakukan," katanya yang menjadikan Rosyam Nor sebagi idolanya kerana mampu bertahan dalam industri hiburan dalam masa yang lama.
Dalam perkembangan lain, Shahizey bakal muncul dengan tiga filem terbarunya Manisnya Cinta di Cappadocia, Cupcake dan Adnan Sempit 4 yang akan ditayangkan pada 2014.
Che Ta sah isteri Zain
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
PASANGAN selebriti Rozita Che Wan, 40, dan Zain Saidin, 29, selamat diijabkabulkan tepat jam 9 malam hanya dengan sekali lafaz sahaja berwalikan adik lelakinya, Roshidi Che Wan.
Pasangan ini dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Alwi Parman.
Majlis pernikahan yang berlangsung di Setia City Convention Center itu turut dihadiri 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan media.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta menerima mas kahwin RM9,300 berserta wang hantaran sebanyak RM23, 200 dan cincin nikah RM93,000.
Selain itu, Che Ta yang anggun dengan persalinan serba putih turut menerima sembilan dulang hantaran dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran kepada Zain.
Antara selebriti yang hadir, adik Che Ta, Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha, Mazlan Senario, dan Shasha Saidin.
Malam berinai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 11, 2013
PELAKON jelita, Rozita Che Wan yang bakal menikah hari ini, telah menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta pada malam berinai yang berlangsung Dewan N'Dah Shah ALam, malam tadi.
Rozita, 40, menggayakan barang kemas itu dengan busana berwarna ungu, rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini yang turut ditemani bakal suaminya, aktor kacak, Zain Saidin, 29.
Malam berinai itu telah diadakan dua sesi di mana, sesi pertama Rozita atau Che Ta telah menggayakan barang kemas delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta.
Che Ta dan Saidin yang kelihatan duduk di atas pelamin yang dihiasai gabungan mawar putih dan ungu itu memakai inai tajaan My Beautiful Henna.
Pada sesi kedua, sebaik selesai majlis berinai, pasangan hangat itu telah menukar pakaian dengan mengenakan busana berona putih tajaan Bianco Mimosa bersama barang kemas bernilai RM5 juta.
Barang kemas itu berupa set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar.
Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet.
Proton: Pengeluar kereta atau 'punching bag'?
Oleh: Hj Norzafry B Norhalim
Tarikh: December 12, 2013
APABILA Proton mengumumkan model terbaru Perdana, ramai yang respon dengan negatif terhadap rupa bentuk model tersebut yang mirip Honda Accord.
Seperti biasa, cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada Proton di atas pengeluaran model ini. Saya suka untuk memberi pandangan berdasarkan beberapa fakta berikut:
1- Saya kurang senang mendengar kritikan serta cemuhan terhadap Proton ini, tatkala pada masa yang sama apabila Kia mengeluarkan model seakan Audi, ramai yang memuji, juga tatkala Honda mengeluarkan model Accord 2011 yang seakan Audi, ramai juga yang memuji dan membelinya. Bahkan Mazda 6 tahun 2013 juga mirip Lexus, tiada pula yang mencemuh. Mentaliti sebegini wujud sifat dualisma, di mana berlakunya tindakan pilih kasih dalam kritikan.
2- Proton Suprima S adalah satu contoh model yang direka sendiri. Tidak meniru hasil orang lain. Namun bagaimanakah prestasi jualannya? Tidak memberangsangkan. Pengkritik tetap membandingkan Proton dengan Honda, Kia Rio dan seumpamanya. Tapi apabila model yang dikeluarkan mirip Honda, mereka mengutuk pula. Perkara ini saya membuatkan saya tidak faham.
3- Ramai pengkritik tidak memahami hakikat industri automotif yang 'super-kompetetif'. Kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2006 pernah ditutup selama empat minggu kerana tiada permintaan. Majikan lama saya, Ford Australia di Geelong baru-baru ini telah mengisytiharkan mereka akan menutup kilang mereka mulai tahun 2016 kerana mengalami kerugian yang cukup besar, di mana mereka telah mengumpul kerugian sebanyak AUD$600 juta sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ford telah bertapak di Australia selama 90 tahun, jadi bagaimanakah pula agaknya Proton yang hanya 1/3 usia berbanding Ford Australia berdepan dengan cabaran ini?
4- "Rebadging" atau penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang aib dalam industri automotif. Pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), telah melakukan strategi ini terhadap puluhan model kenderaan mereka. Cuba bandingkan Chevrolet Tahoe dengan Cadillac Escalade, dan Chevrolet Lumina dengan Holden Redline, kita akan nampak jelas bahawa perbezaannya hanya pada lambang jenama dan hiasan dalaman. Benar, jenama-jenama ini di bawah satu syarikat yang sama iaitu GM, namun dari sudut strategi, tidak ada bezanya antara kedua ini. Bahkan kritikan yang sama tidak pula diberikan kepada Perodua di atas strategi mereka "rebadging" model Myvi dan Daihatsu/Toyota, hanya kerana mereka ada kerjasama rasmi dengan Toyota. Model Perdana yang baru ada kerjasama dengan Honda bahkan Saga yang pertama dahulu pun ada kerjasama dengan Mitsubishi. Kritikan yang "pilih kasih" menyebabkan Proton menjadi ibarat "punching bag". Buat apa pun dikira salah.
5- Mungkin yang terbaik ialah tutup sahaja Proton, agar tidak ada lagi "punching bag" tempat melepas geram dan kemarahan. Mungkin yang terbaik ialah rakyat Malaysia hidup seperti negara Timur Tengah yang hanya menjadi pelanggan kepada jenama-jenama kereta terbaik dunia. Tak payah susah-susah buat kereta sendiri.
Namun saya rasa seandainya Proton ditutup, akan wujud laungan kemarahan yang baru iaitu "Mengapa Malaysia tidak ada kereta sendiri?"
Akhir kata, saya mengharapkan satu perubahan dalam mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Buat pengetahuan semua, saya sendiri tidak pernah membeli Proton, tetapi saya mengambil sikap berpada-pada dalam kritikan dengan mengetahui besarnya cabaran syarikat kecil Proton dalam persaingan industri automotif dunia. Dengan cabaran masa kini, Proton tak "bungkus" pun dah kira mujur.
Ya betul, jika anda tidak menyukai Proton atau merasakan Proton tidak sesuai dengan gaya hidup anda, tak perlulah membelinya. Tindakan anda tidak membeli Proton telah pun memberi mesej jelas "Saya tak suka Proton". Namun, yang saya kecewa ialah sikap sesetengah insan yang sudahlah tidak membeli Proton, malah melemparkan cemuhan dan kebencian yang amat kepada Proton, sehinggakan orang yang asalnya ingin membeli Proton pun tak jadi membelinya. Ini ibarat mencurah cuka ke dalam luka.
Engr. Hj Norzafry B Norhalim
Mantan Presiden Pembina
Norzafry adalah seorang jurutera muslim berjiwa besar, merupakan graduan kejuruteraan di sebuah universiti di Australia. Kini berkhidmat di salah sebuah syarikat besar di Arab Saudi. Pernah menjadi Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) bagi tahun 2011/2012.
Pengalaman selamat mangsa banjir beri makna
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KOTA BHARU - Menyelamatkan mangsa banjir dan membawa mereka ke pusat pemindahan dengan selamat memberi kepuasan kepada Aziz Ab Rahman, seorang anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran mengharungi banjir setiap tahun di Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu, Aziz, 53, berkata segala keletihan yang dihadapinya terubat apabila melihat mangsa banjir mampu untuk terus tersenyum dan bersabar menghadapi bencana alam itu.
Menyertai jabatan itu pada usia 23 tahun, Aziz menyifatkan tugasnya selama lebih 13 tahun di Kuala Krai, antara jajahan yang dilanda banjir hampir setiap tahun, adalah tugas yang penuh mencabar memandangkan ia terletak di kawasan pedalaman.
"Di sesuatu kawasan yang ditenggelami banjir, kita yang mengendalikan bot menghadapi banyak cabaran seperti arus yang deras, terlanggar tunggul kayu atau batang balak hanyut, perkampungan yang ditenggelami banjir terletak jauh dari pusat pemindahan, apa pun kita mesti sampai dan membawa penduduk terlibat ke pusat pemindahan dengan selamat," katanya kepada Bernama di sini.
Perbezaan menyelamat sekitar 1980an
Aziz yang kini merupakan Penolong Pegawai Pertahanan Awam (Bahagian Pengurusan Angkatan) JPAM Kelantan, berkata tugas menyelamat sekitar tahun 1980-an dan awal 1990-an berbeza dengan tugas menyelamat sekarang ini yang banyak dibantu dengan pelbagai kemudahan pengangkutan dan peralatan termasuk alat komunikasi yang baik.
"Dahulu (sekitar tahun 1980-an) mana ada walkie talkie dan handphone, kita berhubung masa tu menggunakan talian telefon. Operasi menyelamat bermula dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja kerana bergerak di waktu malam berbahaya," katanya yang bersyukur tidak pernah menghadapi saat cemas bot karam ketika menjalankan tugas menyelamat.
Beliau berkata, bagi penduduk yang menghadapi banjir setiap tahun, apabila memasuki bulan Oktober mereka sudah membuat persiapan untuk berpindah kerana kebiasaannya gelombang banjir akan berlaku dua tiga kali sebelum berakhirnya musim tengkujuh pada Mac.
"Dahulu sekitar 1980-an penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan membawa bersama bekalan makanan seperti beras, ikan kering, ubi, pisang dan lain-lain...cukuplah untuk mereka dua tiga hari," katanya berbeza sekarang ini apabila bekalan makanan dan keperluan harian lain sudah disediakan kerajaan di pusat pemindahan berkenaan.
Dalam melaksanakan operasi menyelamat itu, Aziz dan anggota penyelamat lain turut berhadapan dengan karenah penduduk yang enggan berpindah sehingga mereka dimarahi.
"Bagaiamana pun kami tidak mengambil peduli dengan sikap marah penduduk itu, kami terus membuat rondaan menyelamatkan penduduk lain yang mahu berpindah.
Akhirnya penduduk terbabit yang ketika itu terpaksa duduk di bumbung rumah yang hampir ditenggelami air mengikut kami ke pusat pemindahan," katanya.
Jangan tunggu saat akhir untuk berpindah
Beliau menasihati penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir agar membuat persiapan awal untuk berpindah dan jangan menunggu di saat-saat akhir.
Aziz adalah antara lebih 3,500 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digerakan untuk operasi bantuan dan menyelamat di Kelantan di musim tengkujuh sekarang ini.
JPAM juga mempunyai lebih 30,000 sukarelawan di seluruh negeri ini yang bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi bencana alam.
Jumlah mangsa banjir tertinggi bagi kejadian banjir 4 hingga 9 Dis baru-baru ini adalah di jajahan Pasir Mas dengan 3,029 orang berpindah ke pusat pemindahan banjir.
Banjir yang turut melanda Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Tumpat itu dianggap sebagai persiapan bagi pasukan penyelamat kerana banjir lazimnya akan berlaku beberapa kali lagi sebelum berakhirnya musim tengkujuh yang sedang melanda negeri pantai timur.
Tiada kelewatan dalam pengagihan bantuan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan sehingga ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan kelewatan dalam pengagihan bantuan kepada kesemua mangsa banjir berkenaan.
Kesemua mereka yang dipindahkan itu juga berpuas hati dengan peranan agensi kerajaan dalam membantu mereka berpindah dan segala kemudahan yang diberikan kepada mereka di pusat pemindahan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut meluangkan masa melawat kawasan bencana itu di beberapa tempat di negeri ini.
Kejadian banjir di negeri ini dipengaruhi oleh beberapa sungai utama iaitu Sungai Galas (menyebabkan banjir di Gua Musang), Sungai Lebir (Kuala Krai), Sungai Kelantan (Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Baharu), Sungai Golok (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).
Bercakap kepada Bernama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata jawatankuasa berkenaan di peringkat negeri dan daerah sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir.
Pengkalan hadapan
Telah disediakan sebanyak 170 pengkalan hadapan bencana banjir iaitu pusat bekalan makanan dan keperluan harian lain iaitu Tanah Merah (39), Pasir Mas (33), Kuala Krai (26), Tumpat dan Jeli masing-masing 14, Pasir Puteh (13), Gua Musang (12), Bachok (7), Kota Baharu dan Machang masing-masing enam.
Pusat pemindahan pula adalah sebanyak 729 buah seperti sekolah dan balai raya, yang mampu menempatkan lebih 150,000 orang. Bilangan pusat pemindahan paling banyak adalah di Kota Baharu (141), Pasir Mas (109), Kuala Krai (108), Tanah Merah (84), Machang (82), Pasir Puteh (60), Gua Musang (54), Jeli (40), Tumpat (32) dan Bachok (19).
Sebanyak 105 tapak pendaratan helikopter disediakan bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat iaitu Gua Musang (27), Kota Baharu (16), Pasir Mas (11), Tanah Merah (10), Jeli dan Bachok masing-masing 9, Tumpat dan Machang masing-masing 7, Kuala Krai (5) dan Pasir Puteh (4).
Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah di negeri ini, pengalaman berpindah ke pusat pemindahan adalah perkara biasa dan mereka boleh menjangkakan bila masanya kampung mereka akan dilanda banjir. Ini membolehkan mereka membuat
persiapan awal.
Dalam tinjauan banjir di Kuala Krai baru-baru ini, wartawan Bernama yang menemui penduduk terlibat rata-ratanya mengakui mereka telah membuat persiapan untuk berpindah apabila berlaku kekerapan hujan lebat pada musim tengkujuh.
Mek Yam Ahmad, 67, dari Guchil 6, berkata air mula memenuhi ruang rumahnya sedalam kira-kira 0.2 meter sejak pukul 6 petang pada 3 Dis, menyebabkan beliau dan suami serta cucunya yang berusia enam tahun berpindah ke pusat pemindahan
banjir di Dewan Pejabat Veterinar Kuala Krai.
"Saya sempat memindahkan pelbagai barangan ke tempat selamat kerana sudah menjangka banjir di kawasan ini...ini perkara biasa yang kami terpaksa tempuhi sepanjang musim tengkujuh.
"Saya berpindah selepas air mencecah paras pinggang. Ketika musim tengkujuh, saya terpaksa berpindah tiga hingga empat kali ke pusat pemindahan banjir kerana rumah terletak di kawasan rendah," katanya.
Kalangan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai juga mempunyai sampan yang diperbuat daripada kayu atau bot gentian kaca bagi memudahkan mereka menyelamatkan diri ketika musim banjir. - Bernama
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
















No comments:
Post a Comment