Pemilik kenderaan disaman ingkar peraturan
Oleh: HIDAYAH HAIROM
Tarikh: December 13, 2013
KUALA LUMPUR - Sikap degil pemilik kenderaan berhenti di bahu jalan mengundang padah apabila mereka dikenakan tindakan saman termasuk kereta ditunda dalam Ops Halang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Operasi bersepadu dengan kerjasama jabatan pengangkutan jalan (JPJ), polis trafik, dan jabatan alam sekitar (JAS) itu dilakukan di enam lokasi panas di ibu kota dan sebanyak 79 tindakan diambil termasuk terhadap pemandu kenderaan perdagangan.
Lokasi operasi meliputi Jalan SH Lee, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tun Razak (depan Kedutaan Indonesia), Jalan Ampang dan Jalan P.Ramlee (depan KLCC).
Penguasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hisham Izhar berkata, tindakan dikenakan meliputi bas, teksi dan kenderaan persendirian yang menimbulkan halangan apabila meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.
Tindakan turut dikenakan kepada pemilik kereta persendirian yang menceroboh laluan khas bas dan teksi.
"Sebanyak 49 kenderaan persendirian di kompaun di bawah kaedah 12 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 berjumlah RM150.
"Lima kenderaan persendirian ditunda kerana meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.
"Sementara, bagi kenderaan perdagangan, enam teksi disaman, 19 bas di kompaun termasuk lapan di bawah tindakan JAS," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Ops Halang.
Operasi kali ke-26 itu katanya, menumpukan kawasan lalu lintas yang sering terganggu akibat tindakan kenderaan memberhentikan kereta di garisan kuning.
"Umpamanya di Jalan Ampang, berhadapan KLCC, kita selalu terima aduan kenderaan berhenti di tepi jalan. Anggota kita sentiasa memantau kawasan-kawasan ini dari masa ke semasa," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 3,359 tindakan daripada pelbagai agensi termasuk DBKL, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Trafik, JPJ, dan JAS, telah dilaksanakan menerusi Ops Halang sejak Januari.
Sebak terima bantuan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
ROMPIN – Seorang warga emas yang merupakan penduduk di Simpang Sepayang, di sini, berasa sebak dan terharu selepas dikunjungi oleh sukarelawan Bridged Satria Muda, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan bersama dengan Pemuda UMNO Bahagian Rompin yang datang menyampaikan sumbangan bantuan banjir.
Dia yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi sudah tidak dapat berjalan dengan normal dan hanya terlantar sahaja di rumah serta di pusat pemindahan sementara baru-baru ini.
Penduduk Simpang Sepayang, Ahmad Mid, 82, berkata, sangat menghargai sumbangan yang diberikan selepas rumahnya dinaiki air baru-baru ini.
"Pakcik tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi, cuma mampu ucap terima kasih sahaja kepada yang datang dan menghulurkan bantuan.
"Keadaan pakcik sekarang yang hanya terlantar di atas tilam ini memang rasa sebak apabila dikunjungi terutama dalam jumlah yang ramai begini," katanya.
Turut bersama dalam kunjungan tersebut Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan Negeri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rompin.
Berkongsi kisah banjir yang dilalui Ahmad baru-baru ini, dia tidak menyangka rumahnya akan dinaiki air dengan begitu cepat.
Katanya, nasib ada penduduk kampung yang membantu memindahkannya kerana dia tidak mampu untuk berjalan.
"Kita perlu bersabar menghadapi musibah dan membuka ruang untuk menerima sumbangan yang dihulurkan oleh mana-mana pihak. Saya hanya mampu ucapkan ribuan terima kasih kepada yang menghulurkan bantuan," katanya.
Bayi 17 hari selamat
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
CHENOR - Seorang bayi berusia 17 hari antara 236 mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor sejak Jumaat lalu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu, Ainur Lidia Nasuha Sabri baharu dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada 25 November lalu.
Bapa bayi, Sabri Mohamed, 39, berkata, ini kali pertama mereka berpindah akibat banjir selepas kediaman mereka di Rumah Sejahtera di Kampung Telok Melati dinaiki air.
Menurutnya, air mula memasuki rumah pada jam 8 pagi dan semakin tinggi menjelang petang sehingga memaksa kami enam beranak berpindah.
"Tahun lalu tidak seteruk kali ini yang berpunca daripada peningkatan luar biasa paras air Sungai Pahang," katanya ketika menerima lawatan Tunku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di pusat pemindahan di dewan sekolah itu.
Ibu yang masih berpantang bersalin itu, Siti Aminah Baharuddin, 28, berkata, sepanjang tempoh berada di dewan berkenaan, dia dan anak bongsu itu tidak mempunyai masalah kesihatan.
Menurutnya, kakitangan klinik kesihatan berdekatan sentiasa melakukan pemantau sebanyak tiga kali sehari dan memeriksa tahap kesihatan mereka.
"Kami juga ada menerima bantuan baju dan lampin pakai buang malah ramai golongan ibu di sini yang membantu," katanya.
Aktor karya terakhir Subari Ahmad
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
RAUB - Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Disember lalu, sasterawan dan penyair disegani bukan hanya di daerah dan negeri ini, malah seluruh negara, Subari Ahmad sempat menyiapkan karya terakhirnya bertajuk Aktor.
Isterinya, Selamah Abdul Aziz berkata, walaupun pada saat akhir sebelum arwah meninggal, dia masih lagi menghabiskan masanya untuk menulis.
"Sebelum itu arwah pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sakit jantung. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menulis.
"Pada 1 Disember lalu arwah mengalami masalah sesak nafas dan doktor memberitahu arwah tidak sempat diselamatkan. Pemergian arwah sesuatu mengejutkan, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.
Tambahnya, mereka sekeluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak yang hadir membantu menyelesaikan urusan pengebumian jenazah.
"Arwah bergiat aktif dalam Gabungan Persatuan Penulis Naeional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menyandang jawatan Setiausaha Agong Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) selain merupakan penasihat umum WRS, Pengerusi Koperasi Warga Sejahtera Raub Berhad dan pesara Timbalan Pengarah Kemas Pahang.
"Terima kasih diucapkan atas pertolongan dan kunjungan yang telah diberikan sehingga arwah selamat dikebumikan di Kampung Pasu, Ulu Gali," katanya.
Terpaksa tidur dalam van buruk
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
DUNGUN – Seorang nelayan bersama isteri sarat mengandung dan enam anaknya terpaksa meredah air sedalam satu meter bagi menyelamatkan diri selepas bangsal usang didiami mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat, di sini, pagi kelmarin.
Nelayan pantai, Azudin Mat Hassan, 42, tergesa-gesa mencari bantuan apabila bangsal usang didirikannya di tepi parit di sebuah perkampungan berhampiran Jalan Sura Lapangan Terbang itu, tiba-tiba dinaiki air.
Difahamkan, ketika itu isteri, Rabiatul Adawiyah, 32, yang mengandung lapan bulan bersama enam anaknya, Fatin Shahirah, 15; Fatin Noraini, 13; Nurul Shahida, 12; Nurul Alia, 10; Nurul Shuhada, 8 dan Mohd Danish, 5, dalam kesejukan ketika menunggu Azudin keluar mendapatkan bantuan bot untuk memindahkan mereka.
Kesulitan dihadapi Azudin diketahui Sinar Harian selepas dihubungi seorang rakannya yang meminta bantuan.
Permohonan rumah ditolak
Azudin berkata, kejadian tersebut bukan pertama kali, sebaliknya mereka sekeluarga terpaksa berdepan detik cemas seumpama itu setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, walaupun menyedari keselamatan keluarganya terancam setiap kali musim tengkujuh, namun dia tiada pilihan selain terus menjadikan bangsal yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu terpakai itu sebagai tempat berteduh.
"Saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah, namun ditolak dengan alasan kami sudah mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Sedangkan hakikatnya, hanya pondok buruk didirikan di tepi parit.
"Saya sedih melihat isteri dan anak-anak dalam kesejukan kerana rumah kami dibasahi hujan. Namun orang miskin macam saya ni bila mengadu, siapa nak dengar? Apatah lagi hendak membantu," katanya dengan nada hiba.
Azudin kini menanggung keluarganya dengan menangkap ikan di laut menggunakan bot gentian kaca dipinjamkan seorang rakannya.
Difahamkan, dia turut mendapat bantuan melalui koperasi nelayan berupa barang binaan untuk membaiki bangsal usangnya terutama bagi menggantikan atap bocor.
Azudin berkata, jika kesempitan seperti kehabisan beras dan keperluan makanan, rakannya itulah yang sering menghulurkan bantuan atas dasar simpati kerana tidak sanggup melihat anak-anaknya kelaparan.
Bagaimanapun katanya, beban ditanggungnya untuk membeli alatan persekolahan anaknya agak berkurangan sejak dia menerima bantuan JKM berjumlah RM450 sebulan dan sekarang, dia hanya memerlukan rumah lebih selesa untuk dijadikan tempat berlindung.
Terpaksa tidur dalam van sempit
Turut berkongsi kesedihan, anaknya, Nurul Shahida berkata, setiap kali air naik dan hampir menenggelamkan rumah, dia bersama ibu dan adik-adiknya terpaksa meredah hujan lebat untuk menumpang tidur dalam sebuah van buruk yang tersadai di tepi jalan, tidak jauh dari situ.
Menurutnya, walaupun tidak selesa, dia terpaksa menerima hakikat bapanya tidak mampu menyediakan rumah sempurna buat mereka sekeluarga, apatah lagi permohonan bapanya untuk mendapatkan bantuan rumah dinafikan pihak berwajib.
"Saya sedih sebab terpaksa tidur dalam keadaan sejuk dalam van sempit. Ayah sudah mohon bantuan rumah, cuma tak dapat. Jadi, kami terpaksalah tinggal di rumah buruk ini," katanya.
Shahida yang bakal masuk tingkatan satu berkata, kemiskinan hidup menyebabkan dia terpaksa menjual kuih bagi menyara persekolahannya.
Katanya, setiap hari dia dan adiknya (Nurul Alia) terpaksa mengayuh basikal ulang-alik hampir 10 kilometer untuk menjual kuih dibuat ibunya di bandar Dungun.
"Selepas waktu sekolah, saya kena jual kuih untuk membantu ibu yang tidak bekerja kerana ayah hanya bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan tidak menentu.
"Sebelum ini, bangsal usang kami diami ini tidak mempunyai bekalan elektrik. Namun, kini berjaya disalurkan dengan bantuan rakan ayah yang simpati melihat kami tidur berbekalkan lilin," katanya.
Harap timbang semula permohonan
Bagi Rabiatul Adawiyah pula, dia reda dengan nasib menimpa keluarganya, namun menaruh harapan tinggi agar pihak berwajib dapat mempertimbangkan semula permohonan suaminya untuk mendapatkan bantuan rumah.
Leher dicekik, tangan diikat
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
MARANG - Pasangan warga emas berhadapan detik cemas apabila rumah mereka yang juga dijadikan sebagai kedai runcit di TMB 10, Kampung Teluk Bayas, di sini, dipecah masuk tiga lelaki bertopeng antara jam 2.30 hingga 3 pagi, semalam.
Mangsa, Wong Nyan Lee, 77, berkata, tiga penyamun berkenaan masuk ke kediamannya melalui pintu belakang yang diumpil, ketika dia dan isteri Soo Guat Maw, 69, sedang tidur di dalam bilik.
Tiga penyamun masing-masing membawa senjata tajam dipercayai pisau itu kemudian memasuki bilik mangsa lalu salah seorang daripada mereka mencekik leher dan menutup mulut Nyan Lee sebelum mengikat tangan pasangan tersebut.
Nyan Lee berkata, dalam keadaan tegang itu, penyamun terbabit mengugut akan mencederakan mereka berdua jika berbuat bising.
"Selepas itu mereka geledah bilik tidur kami, kemudian beralih pula ke bahagian tempat menjual barang dan mencuri wang tunai kira-kira RM6,000 dalam laci wang simpanan, mengambil rokok, jam dan pelbagai barangan lain.
"Mereka juga sempat memotong kabel telefon sebelum keluar dari rumah dan menghilangkan diri selepas itu," katanya yang berjaya melepaskan ikatan dawai di tangannya dan tangan isteri selepas tiga penyamun terbabit beredar.
Dipercayai kumpulan penyamun itu turut memecah masuk sebuah lagi rumah di Kampung Jerung Surau, kira-kira jam 5.30 pagi, iaitu tidak jauh dari rumah pasangan warga emas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya.Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Balai Polis Marang di talian 09-6182222 atau balai polis berdekatan.
Terpaksa curi wang ibu
Oleh: RUBIAH OMAR
Tarikh: December 13, 2013
KUALA TERENGGANU - Mendakwa dirinya akan dibelasah oleh dua rakan sekiranya tidak memberikan wang seperti diminta, seorang pemuda terpaksa mengambil jalan pintas dengan mencuri wang milik ibunya, dalam satu kejadian di Kampung Bharu, Manir, di sini.
Walaupun perbuatan itu dipercayai berulang kali dilakukan sebelum ini, namun ia hanya terbongkar Selasa lalu selepas si ibu yang berusia 47 tahun bertanyakan perihal wang RM50 yang diserahkan kepada anak lelakinya sehari sebelum itu.
Menurut sumber, kira-kira jam 6.30 petang, mangsa tergerak hati untuk bertanyakan berhubung status wang RM50 yang diserahkan kepada anaknya, 20-an, sehari sebelum itu.
"Dalam nada ketakutan, anaknya menjelaskan wang tersebut telah diserahkan kepada dua rakannya kerana jika tidak berbuat demikian, dia mendakwa akan dipukul oleh kedua-dua suspek.
"Selain itu, anaknya turut mendedahkan yang dia selalu mencuri wang milik mangsa dan terbaru pada 1 Disember lalu, dia mengaku telah mengambil wang RM1,000 yang disimpan di dalam bilik tanpa pengetahuan untuk diserahkan kepada suspek," katanya.
Sumber berkata, terkejut dengan pengakuan ikhlas anak lelakinya, mangsa nekad membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anaknya yang dipercayai menjadi mangsa buli serta diri dan keluarganya kerana ugutan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, semalam, mengesahkan ada menerima lapo-ran mengenai kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan.
Wanita menangis teresak-esak
Oleh: RUBIAH OMAR
Tarikh: December 13, 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal hanya mampu menangis teresak-esak di kandang mahkamah apabila diminta membuat rayuan sebelum hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 dijatuhkan selepas mengaku bersalah mencuri coklat milik Pasaraya Giant, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Selain itu, Noor Shila Mamat, 28, dari Jalan Kamaruddin, Kampung Banggol, di sini, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Kesemua keputusan itu dibuat selepas Noor Shila mengaku bersalah telah mencuri lima keping coklat Cadbury Cashewnut 175 gram; lima keping coklat Cadbury Almond 175 gram; lima keping coklat Cadbury Mired Nuts 175gram dan lima keping coklat Cadbury Dairy Milk H/Nut Praline 175 gram.
Dia mengaku bersalah mencuri coklat yang bernilai keseluruhan RM150 bersama dengan seorang lagi yang telah dituduh di Pasaraya Giant, Jalan Sultan Mohamad, di sini, pada 6 Febuari 2010 di antara jam lebih kurang 5.35 petang hingga 5.45 petang.
Dengan itu, Noor Shila mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Noor Shila tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 6 petang, seorang pengawal keselamatan bertugas yang sedang melakukan rondaan telah menerima maklumat daripada salah seorang pekerja memaklumkan terdapat seorang wanita berbaju hijau dan bertudung kuning bersama seorang lelaki telah memasukkan barang ke dalam beg tanpa membuat pembayaran terlebih dahulu.
Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pengawal keselamatan itu dengan ditemani salah seorang rakan sejawat terus ke lokasi dimaklumkan sebelum mendapati wanita dimaksudkan telah melalui kaunter tanpa membuat sebarang pembayaran.
Wanita itu ditahan di luar kawasan kaunter pembayaran dan hasil pemeriksaan berjaya menjumpai kesemua jenis coklat yang dicuri, sebelum diserahkan kepada polis.
Ugut kemudian rogol
Oleh: HASNIZA HUSSAIN
Tarikh: December 13, 2013
SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan selepas disyaki merogol seorang wanita warga Indonesia di sebuah hotel bajet di sekitar Kajang, malam Selasa lalu.
Menurut sumber, sebelum penahanan tersebut dibuat kelmarin, anggota polis itu bersama seorang lagi rakannya dikatakan membuat pemeriksaan di rumah mangsa di Bandar Baru Bangi, di sini.
Ketika premis diserbu, selain mangsa terdapat tiga lagi rakannya, masing-masing seorang lelaki dan dua wanita yang turut tinggal di premis tersebut.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, difahamkan hanya rakan lelaki mangsa mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala mangsa dan dua rakan wanitanya gagal mengemukakan dokumen yang diminta.
"Disebabkan itu, anggota terbabit menahan mangsa dan dua rakannya, sebelum membawa mereka ke balai polis berdekatan.
"Anggota polis berusia 27 tahun itu kemudiannya membawa mangsa ke sebuah hotel bajet dan mengugut mangsa untuk mengadakan hubungan seks dengannya jika mahu dibebaskan," katanya.
Sumber berkenaan berkata, mangsa berusia 29 tahun itu menolak beberapa kali, namun setelah dipaksa dan diugut akan dipenjarakan, dia terpaksa menuruti kemahuan suspek.
Beliau berkata, selepas kejadian, anggota terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah, sebelum mangsa membuat laporan di Ampang kelmarin.
"Anggota itu yang sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata, kemudiannya ditahan sebaik polis menerima laporan pada hari yang sama.Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.
Menurut sumber, anggota polis berkenaan sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2006.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam, enggan mengulas lanjut.
"Semuanya dalam siasatan," katanya.
Baja najis babi bertaburan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
KUALA SELANGOR - Tidak tahu dari mana datangnya, tetapi timbunan guni berisi baja dipercayai najis babi bertaburan di jalan Kuala Selangor menghala ke Bukit Rotan dan Ijok sehingga menimbulkan bau meloyakan.
Bukan satu, tetapi puluhan guni yang hancur masih bertaburan di atas jalan menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan laluan bertentangan gara-gara mahu mengelak daripada terkena guni terbabit.
Lebih dikesalkan, laluan berbau busuk itu menimbulkan masalah kepada pengguna terutamanya penunggang motosikal dan basikal yang melalui kawasan itu dan bau busuk turut menjejaskan peniaga makanan berhampiran.
Penunggang motosikal, L Selvam, 56, berkata, dia yang melalui jalan dari Bukit Rotan untuk ke Ijok untuk mengambil anak di Perhentian Bas Ijok tidak terlepas menjadi mangsa apabila terlanggar salah satu timbunan guni itu.
Menurutnya, dia tidak sempat mengelak dari melanggar timbunan guni itu menyebabkan bau busuk melekat pada pakaian dan tayar motosikalnya.
"Saya ingatkan bantal peluk jatuh bertaburan tetapi apabila dekat, bau busuk menusuk hidung. Saya terpaksa batalkan niat mahu berhenti memungut guni itu untuk diletakkan di tepi jalan kerana tak tahan baunya yang busuk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagi Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Hussien Idris berkata, dia turut mengalami nasib sama ketika melalui jalan itu untuk ke rumahnya di Assam Jawa dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (Latar) melalui susur keluar Ijok.
Menurutnya, meskipun laluan tidak terkena timbunan guni baja itu, namun bau yang cukup meloyakan menyebabkan pemandu terpaksa masuk ke laluan bertentangan bagi mengelak melanggar guni itu.
"Timbunan najis itu perlu dialihkan segera kerana najisnya melekat pada tayar kereta dan menimbulkan masalah kepada pengguna beragama Islam. Sewajarnya masalah ini tidak berulang lagi," katanya.
Sementara itu, Jurutera Daerah Kuala Selangor, Ir Zamsari Mohamad berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk membersihkan laluan yang terjejas akibat tumpahan baja yang mungkin disimpan di dalam lori yang melebihi muatan.
"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menyiasat punca perkara ini dan bagi sesiapa yang melihat insiden itu diharapkan dapat membuat laporan di balai polis berhampiran bagi memudahkan tindakan diambil.
"Mungkin kenderaan yang membawa muatan baja itu melebihi dari simpanan yang sepatutnya menyebabkan perkara itu berlaku dan sewajarnya pemilik kenderaan tidak membawa muatan melebihi had
yang ditetapkan kerana mengundang masalah kepada pengguna jalan raya," katanya
Isu Syiah: Bukti KDN tak kukuh
Oleh: SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Tarikh: December 13, 2013
SHAH ALAM - Pas mendakwa 10 bukti didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengaitkan orang nombor duanya dengan fahaman Syiah, tidak kukuh.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia berdasarkan pendedahan KDN yang hanya merujuk kepada sumber-sumber tertentu dan bukannya bukti sahih.
"Rakyat boleh menilai sendiri pendedahan tersebut. Bukti KDN tidak kukuh kerana mereka hanya buat rujukan dengan sumber.
"Saya percaya KDN berbuat begini hanya kerana mereka dicabar dedahkan bukti. Bagi kita, ini bukan isu besar tapi mengarut," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas pendedahan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang akhbar semalam mengenai 10 bukti yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas dengan fahaman Syiah.
Terima mantera melalui SMS
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 13, 2013
BALING - Seorang isteri mendakwa suaminya terjebak dalam ajaran sesat sejak setahun lalu sehingga meninggalkannya bersama seorang anak.
Nursalina Ibrahim (bukan nama sebenar), 22, mendakwa suaminya meninggalkannya sejak lima bulan lalu tanpa sebarang nafkah.
Menurutnya, suaminya itu dipercayai menetap kondominium mewah di Ampang, Selangor dan sering mengajaknya untuk tinggal bersama.
"Tapi, saya tolak sebab dia ajak saya ikut ajaran yang tak betul, dia terlalu mengagungkan ketuanya sehingga mendakwa ketuanya itu adalah orang terkaya di dunia ini," katanya.
Katanya, suaminya juga sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang langsung tidak masuk akal antaranya mendakwa dirinya pembesar tuanku termasuk ingin menyaman kerajaan sehingga berbilion ringgit.
"Dia kata, dia bersama kumpulannya ada bukti kukuh untuk menyaman kerajaan di negara ini," katanya.
Katanya, dia terpaksa bekerja di restoran makanan bagi menyara kehidupannya bersama anaknya berikutan suaminya tidak lagi memberikan nafkah sejak lima bulan lalu.
"Saya terpaksa, kalau tidak bagaimana saya nak uruskan kehidupan, suami pula ajak ikut jejak dia, percaya perkara yang karut," katanya.
Nursalina berkahwin dengan suaminya pada 2010 berikutan tertarik dengan penampilan suaminya yang kemas dan sering bercakap mengenai soal agama.
"Tapi, bila dah kahwin, apa pun dia buat, saya tak tahu, dia banyak percaya perkara karut termasuk mempercayai amalan tarik wang.
"Kemudian, selepas dia kenal dengan ajaran baru ini, dia terus percaya dan taksub sehingga meninggalkan saya," katanya.
Katanya, dia turut menerima SMS ringkas mantera yang digunakan oleh suaminya sehingga mengakibatkannya suaminya itu terlalu taksub dengan ajaran itu.
"Saya risau, sekiranya ada yang terjebak dalam ajaran ini. Disebabkan itu, saya berharap agar pihak berwajib memantau mengenai masalah ini, saya sedia memberikan sebarang kerjasama," katanya.
Akui kagumi Komeini, nafi amal Syiah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyerahkan kuasa kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengaitkan dirinya dengan pengamal Syiah.
Biarpun KDN hari ini mendedahkan 10 bukti mengenai perkara itu, pemimpin nombor dua Pas itu tetap menafikannya.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menafikan beliau adalah pengikut Syiah.
Bagaimanapun, beliau mengakui mengagumi pemimpin Iran, Khomeini 'kerana kepimpinan dan perjuangannya mampu membawa umat Islam lebih berdikari'.
Sebelum itu, Mat Sabu berkata, dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau pengikut Syiah tidak seharusnya dikeluarkan kerana ia bukan sahaja membabitkan dirinya malah boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara yang mengamalkan ajaran Syiah.
"Ini satu kenyataan paling tidak cermat dan boleh keruhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sekali gus menyusahkan kerajaan kerana pertikaian akidah umat Islam sedunia," katanya.
Mat Sabu menegaskan dakwaan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bersama Pas dalam merangka perhimpunan membantah kenaikan harga barang.
"Usikan Zahid tidak jejaskan perjuangan saya menentang kenaikan harga barang," katanya.
Lelaki ditemui mati cedera di kepala
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
SHAH ALAM - Seorang lelaki tempatan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di Pangsapuri Sri Angkasa, Jalan Kanchung Darat 28/7, Seksyen 28, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa berumur lewat 20-an itu dipercayai dibunuh dan mati lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang mengembung.
"Polis menerima laporan daripada jiran mangsa kira-kira 1 tengah hari tadi berikutan tidak tahan bau busuk dari rumah berkenaan. Mangsa ditemui terbaring dengan hanya berseluar di dapur rumah itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa disyaki mati akibat kecederaan di bahagian belakang kepalanya. Keadaan rumah didapati berselerak namun tiada kesan pecah masuk semasa pemeriksaan dilakukan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tinggal bersama tiga wanita dipercayai kakak, ibu dan seorang lagi yang tidak dapat dikenal pasti sama ada isteri atau teman wanitanya, namun ketiga-tiganya tiada di rumah ketika mayat dijumpai.
Zahedi berkata, polis cuba menghubungi keluarga mangsa untuk siasatan lanjut.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.
Pemilik rumah berkenaan, Sarjit Kaur, 40, ketika ditemui berkata, jiran menghubungi beliau supaya memeriksa rumahnya kerana bau busuk itu.
"Semasa saya tiba, pintu rumah tak kunci, jeriji sahaja yang berkunci. Semasa pintu dibuka, saya nampak dia terbaring dengan darah yang sudah kering. Saya terus hubungi polis," katanya.
Sarjit berkata, mangsa menyewa rumahnya itu sejak setahun lepas dan kali terakhir berhubung kira-kira sebulan lalu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kutipan sewa rumah.
Beliau menyifatkan mangsa sebagai seorang yang kuat agama dan rapat dengan keluarganya selain sentiasa membayar sewa tepat pada masanya. - Bernama
Kencing tikus dinafi penyebab kematian pegawai
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka hari ini menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa pegawai awam wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah meninggal dunia di sini pada Selasa lepas akibat jangkitan kencing tikus atau Leptospirosis.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Ismail Ali berkata, orang ramai tidak sepatutnya percaya dengan apa-apa maklumat yang bukan daripada sumber rasmi Kementerian Kesihatan.
Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum bertindak menyebarkan maklumat yang mereka perolehi.
"Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan tentang sebab kematian pegawai tersebut dan orang ramai tidak sepatutnya percaya dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial atau medium lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr S Jeyaindran mengesahkan pegawai itu meninggal dunia kerana komplikasi daripada penyakit Tiroid. - Bernama
Keberkesanan PLKN perlu dikaji dari masa ke semasa
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
TANJUNG MALIM - Kajian secara menyeluruh terhadap keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memberi panduan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengenai aspek tertentu yang harus diperbaiki, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri.
Beliau berkata kajian itu mampu melihat sejauh mana PLKN mampu membina jati diri pelatih, membentuk sifat sukarelawan pelatih atau mampu membentuk generasi yang patriotik dan bersatu padu dalam masyarakat berbilang kaum.
"Kajian ini diharapkan bukan sahaja melibatkan bekas pelatih, tetapi juga ibu bapa, masyarakat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan bekas pelatih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Siri Manual Kenegaraan PLKN di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Kajian secara komprehensif itu boleh menjadi tanda aras untuk proses memperkasakan PLKN, katanya.
Abd Rahim berkata sebelum ini kajian terhadap keberkesanan PLKN dilakukan pada 2009 bersama Universiti Kebangsaan Malaysia melibatkan 62,000 sampel yang dalam kajian tersebut mendapati bahawa tahap kepuasan dan keberkesanan program itu berada pada taraf cemerlang.
Beliau berkata pelbagai pihak mencadangkan agar modul latihan program ditambah baik supaya ia mencapai matlamat yang dikehendaki.
"Ada juga anggota parlimen dari pihak tertentu mencadangkan agar kita (JLKN) mencontohi modul khidmat negara seperti negara Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, namun kita perlu melihat sama ada perkara tersebut (modul) sesuai di negara ini atau tidak," katanya.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan supaya JLKN mengadakan Program Khidmat Bakti yang sama dengan inspirasi Program Khidmat Siswa yang sering dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti.
"Untuk menjayakan program itu, JKLN boleh mendapat khidmat, idea dan kepakaran serta berkongsi pengalaman bersama UPSI. Sebagai contoh merancang aktiviti agar pelatih boleh tinggal sehari dua bersama keluarga angkat yang dengan itu pelatih akan bersama-sama menjalankan aktiviti masyarakat seperti gotong-royong atau mengikut keluarga angkat mempelajari budaya setempat," katanya.
Beliau menyeru agar pihak pengurusan UPSI dan JLKN membincangkan beberapa agenda yang boleh difikirkan demi melahirkan generasi masa depan yang lebih inovatif, berdaya saing dalam masa yang sama mempunyai semangat patriotik. - Bernama
Jasa pejuang Lahad Datu terus dihargai
Oleh: MOHD ISKANDAR OTHMAN
Tarikh: December 12, 2013
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyalurkan sumbangan RM30,000 kepada setiap balu dan ahli keluarga 10 anggota keselamatan yang terkorban dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, walaupun sumbangan itu tidak dapat mengembalikan wira negara atau menggantikan perasaan hiba ahli keluarga, pengiktirafan rakyat Malaysia dapat meyakinkan dan menyemai perasaan bangga ahli keluarga atas pengorbanan tinggi pejuang negara.
"Meskipun mereka yang terkorban bukan dari Pulau Pinang namun ia bukan alasan kerajaan negeri untuk menolak untuk berdiri teguh dan menyokong semangat juang mereka mempertahankan kedaulatan negara," katanya ketika berucap pada majlis penghormatan dan sumbangan kepada wira negara.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukri Ahmad
Dalam majlis itu, Guan Eng turut menyampaikan RM240,000 untuk lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dan RM60,000 untuk dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Cek disampaikan kepada Ahmad Zahid mewakili PDRM manakala Mohd Shukri bagi ATM.
Sementara itu Ahmad Zahid dalam ucapanya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi sumbangan kepada anggota keselamatan terbabit.
Beliau berkata,walaupun berbeza fahaman politik namun apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri amat dihargai oleh kerajaan pusat.
MB terharu Gardenia tak mahu terima bayaran
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
SHAH ALAM - Dek kerana tindakannya menahan dua buah lori Gardenia dan meminta pemandu lori mengagihkan roti tersebut kepada mangsa banjir yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menerima pujian ramai.
Namun hari ini, Ahmad pula merasa terharu apabila pihak Gardenia enggan menerima bayaran harga roti yang seperti yang dijanjikannya sewaktu kejadian itu.
Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu.
"Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia, saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut.
"Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois, pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia," kata Ahmad.
Beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada orang ramai.
Lori terbabit yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya enggan membenarkan lori mereka dibuka.
Ahmad kemudiannya berbincang dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur dan bersetuju untuk membayar harga kesemua roti yang diagihkan itu kepada mangsa yang terperangkap itu.
Fokus bidang teknologi tinggi, saran PM
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan syarikat Jepun di Malaysia pada masa akan datang perlu lebih tertumpu kepada bidang yang dapat meningkatkan rantaian nilai serta berfokuskan teknologi tinggi.
Bercakap pada sidang media bersama rakan sejawatannya, Shinzo Abe, selepas mesyuarat dua hala selama 45 minit di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Jepun (Sori Kantei) di sini.
Najib berkata beliau menyuarakan perkara itu kepada Abe, dengan mengambil kira transformasi yang berlaku di Malaysia pada masa ini serta hakikat bahawa Malaysia kini dianggap sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi.
"Saya menyebut bidang seperti teknologi hijau dan teknologi boleh baharu, pelupusan sisa serta kerjasama dalam PKS (perusahaan kecil dan sederhana)," kata Najib.
Najib tiba di sini pagi ini dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena sidang kemuncak ulang tahun ke-40 hubungan dialog Asean-Jepun.
Perdana Menteri berkata syarikat-syarikat Jepun boleh memanfaatkan kekuatan mereka jika memberi tumpuan dan membuat pelaburan dalam bidang teknologi tinggi.
Malaysia hantar angkasawan kedua 2016
Oleh: NOR RAIDAH AWANG
Tarikh: December 12, 2013
MALAYSIA bercadang menghantar angkasawan kedua negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjelang tahun 2016 selepas misi pertama berjaya dilaksanakan oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007 lalu.
Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd Zamri Shah Mastor berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat bagi penyelidikan yang akan dilakukan oleh angkasawan kedua negara di ISS.
Menurutnya, penghantaran angkasawan kedua juga perlu dilihat dari beberapa aspek seperti kajian cuaca dan juga ekonomi negara.
Mohd Zamri berkata, kos menghantar angkasawan ke ISS memerlukan dana yang besar, dan boleh mencecah RM100 juta.
"Cadangan penghantaran angkasawan kedua negara sebelum ini telah pun diluluskan oleh Kabinet, tapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi negara pada tahun 2016 nanti," katanya.
Terdahulu, Mohd Zamri menjadi ahli panel pada Program Bengkel Astrofotografi bersama media anjuran Yayasan Angkasan Malaysia di Paya Indah Wetland.
Turut hadir dalam program tersebut, Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed dan Yang Dipertua, Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Sebelum ini, pada tahun 2007 buat julung kalinya Malaysia telah menghantar angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar dengan kerjasama Rusia.
Hasilnya, pelbagai penyelidikan dapat dilaksanakan antaranya membabitkan sel kanser dan leukemia.
Mohd Zamri berkata, buat masa ini, pihaknya merancang meneruskan kerjasama dengan Rusia dan dalam masa sama sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan China.
Katanya, kerajaan juga sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM271.9 juta untuk program pembangunan satelit RazakSAT-2 yang merupakan satelit penderiaan jauh bagi memantau permukaan bumi.
"Manakala pada 2018 pula kita akan lancarkan RazakSAT-3 dan kedua-dua satelit ini mempunyai jangka hayat selama tujuh tahun," katanya. YAM rangka kerjasama Ketua Pegawai Eksekutif YAM Rajini Ramlan berkata, bagi meneruskan misi ini , Yayasan Angkasawan Malaysia dan Angkasa turut bekerjasama pelbagai pihak dan juga media bagi memastikan penghantaran angkasawan kedua negara mencapai objektif diharapkan.
Katanya, YAM juga menganjurkan bengkel astronomi bersama media bagi mempertingkat pemahaman mereka berkaitan sains dan teknologi angkasa lepas.
"Cara ini juga mempertingkat kesedaran awam berkaitan dengan ilmu angkasa lepas yang dilihat mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah bumi.
"Program angkasa lepas perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya sekadar penghantaran angkasawan ke ISS sahaja," katanya.
Sementara itu, Mejar Dr Faiz Khaleed bersedia memberikan yang terbaik sekiranya terpilih dihantar ke ISS.
Menurutnya, latihan yang disertai selama setahun sebelum ini berjaya melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu agar dapat memberikan komitmen yang tinggi apabila berada di ISS kelak.
"Persiapan untuk ke ISS perlu diukur dalam beberapa aspek dinilai iaitu dari segi mental fizikal, akademik, kesihatan dan sebagainya.
"Saya sudah bersedia dan tidak menolak jika dihantar menyertai latihan tambahan, jadi sekarang terpulang kepada kerajaan untuk menyatakan persetujuan bagi melaksanakan misi tersebut," katanya.
Faiz berkata, dengan keazaman yang tinggi beliau mampu untuk lakukan terbaik.
Mengulas mengenai kepentingan teknologi sains kepada pelajar, beliau berkata, ia adalah usaha yang baik dan sewajarnya diperluaskan dengan menarik lebih ramai penyertaan golongan muda bagi mengetahui apa itu angkasawan kepada pelajar sekolah serta universiti.
"Adalah usaha penting bagi memastikan kesedaran awam terhadap kepentingan sains angkasa dan pembentukan modal insan berasaskan sains, teknologi, inovasi dan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara terancang, meluas, berkesan, dan berterusan," katanya.
Teruja melihat cerapan cahaya
Wakil media yang menyertai bengkel teruja apabila dapat merasai pengalaman menarik yang tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar.
"Kami berpeluang melihat cerapan cahaya yang melintasi Malaysia setiap dua minit pada jam 5 pagi.
"Di samping itu juga, kami dapat melihat sendiri penggerakan ISS dan satelit melintasi Malaysia pada waktu tersebut," kata seorang wartawan akhbar tempatan.
Katanya, selain dapat melihat keindahan alam semula bengkel ini juga memberi satu keinginan kepada kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan di angkasa lepas.
"Dengan menggunakan teleskop kelihatan juga Planet Musytari," katanya.
Banjir: Keadaan di Pahang, Terengganu makin pulih
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir yang melanda Pahang dan Terengganu menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan.
Di KUANTAN, setakat 4 petang ini, seramai 5,539 orang masih berada di pusat pemindahan banjir di Pahang berbanding 5,607 yang direkodkan pagi tadi.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa banjir daripada 1,389 keluarga ditempatkan di 65 pusat pemindahan dari 61 penempatan di enam daerah yang terjejas banjir.
Pekan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,686 orang di 37 pusat pemindahan, disusuli Kuantan (827 orang di lima pusat pemindahan), Maran (735 di 13 pusat), Bera (196 di lima pusat), Temerloh (82 di empat pusat) dan Rompin (13 di satu pusat).
Sementara itu di TERENGGANU, hanya 1,341 orang daripada 311 keluarga masih berada di pusat-pusat pemindahan petang ini berbanding 3,387 orang (710 keluarga) pagi tadi.
Di Dungun, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan cuma 473 orang (116 keluarga), 846 orang (187 keluarga) di Kemaman, manakala 22 orang (8 keluarga) di Marang.
Sementara banjir di daerah Hulu Terengganu dilaporkan pulih petang ini.
Sehingga kini, sebanyak 18 pusat pemindahan masih beroperasi iaitu lapan di Dungun, Kemaman (11) dan satu di Marang.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di sungai-sungai utama di Terengganu kebanyakannya berada pada paras biasa petang ini. - Bernama
Naib Ketua Muslimat Pas P.Pinang tuntut fasakh
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini menetapkan 20 Januari depan untuk Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang, Rahmah Md Isa memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas suaminya.
Hakim Syarie Faiyzan Ahmad menetapkan tarikh itu terhadap permohonan fasakh Rahmah daripada suaminya Zarkasyi Abdullah, 45.
Rahmah, 52, membuat permohonan fasakh terhadap suaminya yang berketurunan Acheh dari Indonesia pada Ogos lepas dan mendakwa suaminya itu tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah serta menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Rahmah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang diwakili peguam Sarina Md Zain manakala Zarkasyi diwakili peguam Shazril Khairy Mustafa.
Sementara itu, Zarkasyi yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, mereka berkahwin sejak 1993 dikurniakan lima anak yang berusia antara sembilan hingga 20 tahun. - Bernama
JPJ sedia batal saman lori bawa bantuan banjir
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
TUMPAT - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bertindak kejam apabila menyaman lori yang dikatakan membawa barangan bantuan banjir seperti yang disebar dalam media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa mendapati lori berkenaan membawa muatan berlebihan tanpa dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir.
"Pemandunya langsung tidak memaklumkan yang ia membawa muatan misi kemanusiaan banjir. Sepatutnya pemandu itu memaklumkan keadaan sebenar terlebih dahulu dan bukannya bertindak mensensasikan keadaan itu di laman sosial," katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Tumpat hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bersedia membatalkan saman itu bagi menamatkan kontroversi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dinasihat memaklumkan perjalanan mereka kepada JPJ selain menggantung bendera penaja bagi mengelak sebarang masalah.
Pada 7 Disember lepas, JPJ didakwa menyaman pemandu sebuah lori yang membawa muatan barangan bantuan banjir seperti pakaian, selimut, beras, gula, susu dan tepung di Tol Gombak, Selangor yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan.
Pemandu kenderaan itu didakwa disaman RM150 manakala syarikat lori berkenaan RM450 kerana membawa muatan lebih.
Terdahulu, Ismail berkata program MyLesen yang bakal diperkenal April depan akan memudahkan rakyat, khususnya belia bermasalah, untuk mendapatkan lesen motosikal.
Beliau berkata ini termasuk membenarkan calon yang gagal beberapa kali dalam ujian berkomputer mengambilnya semula secara bertulis.
"Kadar mereka yang gagal dalam ujian berkomputer adalah sangat tinggi kerana ramai yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ini membantutkan usaha mereka untuk memiliki lesen motosikal," katanya.
MyLesen menyasarkan kelompok usia 16 hingga 45 tahun, terutama pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendapatkan lesen motosikal yang sah.
Ismail juga berkata dengan kadar bayaran RM198 seorang, golongan sasaran diharap mengambil kesempatan mendapatkan lesen apabila program itu diperkenal. - Bernama
10 bukti orang no2 Pas terlibat Syiah
Oleh: NIZAM ZAIN
Tarikh: December 12, 2013
PUTRAJAYA - [Dikemaskini] Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terlibat dengan ajaran Syiah berdasarkan beberapa bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa daripada percakapan lisan, penulisan dan video di Internet.
Perkara itu didedahkan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi sambil membentangkan 10 bukti yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas itu.
Tambah beliau, Mohamad pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.
"Bukti itu boleh dilihat melalui tulisannya bertajuk 'Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini' dalam ruangan Fikrah terbitan lidah rasmi Pas, Harakah terbitan 5 hingga 15 Julai 2008," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dakwa beliau lagi, Mohamad secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.
Sementara itu, Abdul Rahim turut mendedahkan, Tuan Guru Abd Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, Kedah mengesahkan Mohamad merupakan salah seorang penganut Syiah apabila kerap kali melihat pemimpin Pas itu menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.
Sementara itu, tambah Abdul Rahim lagi, antara perbuatan Mohamad yang mencerminkan amalan ajaran Syiah adalah beliau juga dikatakan pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan pengikut Syiah dalam satu ceramah Pas di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.
"Berdasarkan temuramah antara pegawai KDN, Ustaz Zamihan Mat Zin dengan Dr Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, Dr Hanafi mengesahkan Mohamad melafazkan selawat tersebut," katanya.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi KDN, Mohamad didapati telah beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011.
"Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah berfahaman Syiah di Gunung Semanggol, Perak," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya KDN dan agensi-agensi kerajaan sentiasa memantau dan peka terhadap ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang kian menular di negara ini.
"Keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada dalam dan luar negara, tidak sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.
"Fahaman Syiah boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah," katanya lagi.
Kilang proses minyak masak musnah terbakar
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BUKIT KAYU HITAM - Sebuah kilang memproses minyak masak di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini musnah dalam kebakaran malam semalam.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 malam, ketika kilang itu tidak beroperasi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu HItam, M. Pathamanadhan, lima jentera dengan 40 anggota dan pegawai digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.
"Bomba menghadapi kesukaran untuk memadam api dengan keadaan kilang yang besar. Api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5 pagi," katanya ketika dihubungi.
Katanya nilai kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Bernama difahamkan kilang itu yang memproses dan membungkus minyak masak untuk dieksport ke Thailand pernah terbakar pada 29 September lalu dan mengakibatkan kerugian RM50,000. - Bernama
Banjir: Loji kumbahan rosak, kerugian RM500,000
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
SEREMBAN - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menganggarkan kerugian akibat kerosakan loji kumbahan ketika banjir di beberapa negeri baru-baru ini ialah sekitar RM500,000.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 51 loji mengalami kerosakan iaitu 40 di Pahang dan 11 di Terengganu, manakala di Johor pula dua loji terbabit banjir namun tidak mengalami masalah.
"Di Pahang, 13 loji yang rosak sudah dibaiki manakala di Terengganu belum lagi dibaiki kerana hujan masih turun," katanya kepada pemberita selepas melakukan meninjau projek rangkaian paip pembetungan yang baharu disiapkan di sini hari ini.
Katanya proses membaik pulih loji rawatan yang rosak akan mengambil masa dua minggu.
"Kebanyakan kerosakan loji kumbahan ini melibatkan pam dan juga peralatan mekanikal," katanya.
Mengenai bekalan elektrik yang terjejas akibat banjir, beliau berkata setakat ini bekalan ke 17 pencawang di Pahang terpaksa diputuskan atas faktor keselamatan.
Tindakan itu melibatkan 859 pengguna di Maran, Jengka, Lipis dan Pekan, katanya.
"Berdasarkan keadaan cuaca mendung dan hujan, tempoh untuk memulihkan bekalan elektrik ini mengambil masa selama empat hari lagi," katanya.
Menurut Mahdzir, bekalan elektrik di Terengganu, Kelantan dan Johor sudah hampir pulih sepenuhnya.
Katanya Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan kira-kira RM3.9 juta bagi kerja-kerja membaik pulih dan pembekalan generator mudah alih.
"Selain itu TNB juga membuat sumbangan berjumlah RM60,000 kepada mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Johor," katanya. - Bernama
Helikopter mendarat cemas, lapan terselamat
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KUCHING - Dua juruterbang dan enam pekerja pelantar minyak terselamat selepas helikopter yang dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas di tengah laut berikutan cuaca buruk berdekatan pesisir pantai Bintulu, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superitendan Mohd Said Ibrahim berkata ketika kejadian helikopter jenis Sikorsky S-76 yang disewa sebuah syarikat petroleum sedang meninjau lokasi penggalian minyak dan gas di kawasan perairan terbabit.
"Helikopter dipandu dua rakyat tempatan itu sedang melakukan tinjau lokasi untuk menggali minyak dan gas. Bagaimanapun akibat cuaca buruk pendaratan cemas terpaksa dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama, dari sini hari ini.
Mohd Said berkata kesemua mangsa bernasib baik diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan berada di kawasan berkenaan sebelum dibawa ke hospital berhampiran.
Semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius, dan kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Miri, katanya. - Bernama
Jambatan Kedua P.Pinang dibuka akhir Februari
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
GEORGETOWN - Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka dibuka kepada umum pada akhir Februari depan setelah kerja-kerja sistem tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan pengujian tahap keselamatan fizikal jambatan itu siap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, sistem tol Plus itu perlu dinaik taraf terlebih dahulu kerana pengguna dikehendaki membayar tol semasa keluar dari lebuh raya dan sebelum memasuki jambatan berkenaan.
"Kita masih lagi melakukan penambahbaikan dan akan membuka jambatan ini apabila sistem terbukti berjalan dengan baik selain disahkan selamat diguna oleh orang ramai," katanya kepada pemberita selepas melawat jambatan itu di sini hari ini.
Beliau berkata pembinaan fizikal jambatan itu telah mencapai tahap 99.9 peratus dan plaza tol jambatan berkenaan adalah yang terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran.
Kerajaan masih belum memutuskan kadar tol yang akan dikenakan, katanya.
Jambatan sepanjang 24 kilometer iaitu 17 km di atas laut dan tujuh km di atas darat, direka dengan mengutamakan kelestarian alam.
Projek kerajaan persekutuan dengan kos RM4.5 bilion itu adalah jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan dijangka dapat mengurangkan 25 peratus kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.
Menjawab isu berlainan, Fadillah berkata semua 29 lebuh raya di negara ini mempunyai tempoh konsensi yang berbeza dengan tempoh kadar tol disemak semula antara tiga dan lima tahun, bergantung kepada perjanjian konsesi. - Bernama
Amaran Zahid kepada syarikat miliki lesen senjata
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
GEORGETOWN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memberi amaran tegas kepada kesemua 125 syarikat kawalan keselamatan di negara ini yang memiliki lesen persenjataan supaya tidak membekalkan senjata mereka kepada kumpulan kongsi gelap.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa syarikat kawalan keselamatan yang membekalkan senjata mereka kepada kumpulan tertentu.
Katanya, pemantau terhadap syarikat kawalan keselamatan tersebut dilakukan dan amaran tegas telah dikeluarkan.
"Mereka yang terlibat telah dikenal pasti dan saya yakin mereka yang membekalkan senjata mereka kepada kumpulan kongsi gelap akan dikenakan tindakan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini, hari ini.
Katanya, hasil pemantauan awal mendapati ada syarikat kawalan keselamatan yang menyewakan syarikat mereka kepada pihak lain tanpa menukar hak milik ekuiti dengan operasi serta pengurusan syarikat dijalankan pihak ketiga.
Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan lesen syarikat kawalan keselamatan akan ditarik balik sekiranya tindakan amaran tidak dipandang serius.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata seramai 1.1 juta individu telah diperiksa sepanjang pelaksanaan Ops Cantas sejak 17 Ogos sehingga semalam dan operasi itu tidak menyasarkan kaum tertentu.
Katanya, jumlah tangkapan keseluruhan dalam operasi tersebut telah mencecah 39,000 individu, membabitkan pelbagai kesalahan.
"Daripada 39,000 yang ditahan, 55 peratus adalah Melayu, 30 peratus India dan selebihnya Cina dan lain-lain," katanya.
Menurutnya, seramai 10,000 individu didapati mempunyai rekod kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
Terdahulu Ahmad Zahid menghadiri majlis penghormatan dan sumbangan kerajaan negeri Pulau Pinang kepada wira-wira negara di Padang Kota di sini.
Pada majlis itu, KDN menerima sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada 10 waris wira-wira yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh pengganas di Lahad Datu.
Ahmad Zahid berkata, sebagai Menteri KDN beliau menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana walaupun berbeza fahaman politik namun mereka sanggup hulurkan sumbangan.
"Selain itu, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membendung kegiatan jenayah di negeri itu," katanya. - Bernama
Keputusan PMR diumum 19 Disember
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 akan diumumkan pada 19 Disember ini, demikian menurut Kementerian Pendidikan.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari yang sama.
"Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi 19 Disember hingga 11.59 malam, 25 Disember," menurut kenyataan itu.
Seramai 462,940 calon menduduki peperiksaan PMR di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun ini. - Bernama
Nyaris maut ditembak 2 lelaki
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
BUTTERWORTH - Seorang pemilik restoran nyaris maut setelah ditembak beberapa das oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Taman Inderawasih, di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian pukul 8.50 malam itu mangsa yang berusia 52 tahun, baru pulang dari restorannya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
"Ketika kejadian, mangsa yang sedang memandu kereta jenis Honda CRV ingin membelok masuk ke simpang rumahnya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
"Tembakan itu tidak mengenai mangsa kerana beliau sempat memecut keretanya untuk berpatah semula ke restorannya, sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian, lewat malam tadi.
Mazlah berkata penunggang dan pembonceng motosikal yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu, bertindak melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.
"Mangsa tidak sempat melihat wajah dua lelaki terbabit kerana kejadian itu berlaku dengan pantas " katanya.
Mazlan berkata hasil pemeriksaan, polis menemui tiga kesan tembakan di pintu sebelah kiri penumpang hadapan kereta terbabit dan turut menjumpai kelongsong peluru jenis 9mm Luger.
"Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan pistol semi automatik dan setakat ini, motif kejadian masih disiasat.
"Rumah mangsa ada dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun kedudukannya tidak menghala ke tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama
Sultan Pahang kurnia panji kepada 3 skuadron TUDM
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
PETALING JAYA - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mengurniakan panji-panji diraja kepada tiga skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu istiadat di Pangkalan Udara Subang, di sini.
Panji-panji tersebut dikurniakan kepada No. 11, No. 12 dan No. 15 Skuadron sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan skuadron tentera udara dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan memelihara keamanan negara.
Dalam istiadat itu, Sultan Ahmad Shah yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM, bertitah penganugerahan panji-panji tersebut merupakan satu penghormatan tertinggi negara kepada pasukan yang telah membuktikan kecekapan dan kejayaan cemerlang dalam melaksana misi memelihara keamanan tanah air.
"Segala jasa dan pengorbanan seluruh perwira dan perajurit dari No. 11 Skuadron, No. 12 Skuadron dan No. 15 Skuadron amat disanjung tinggi. Beta berharap agar skuadron-skuadron ini akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih cemerlang di masa hadapan," titah baginda.
Dalam titahnya baginda turut melahirkan penghargaan atas kejayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari lepas.
"Kejayaan tersebut juga merupakan satu kejayaan operasi yang bermakna kepada No. 15 Skuadron yang terlibat secara langsung dalam memberi bantuan serangan udara kepada pasukan darat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah mengakhiri titahnya dengan mengingatkan agar panji-panji terbabit dipertahan sehingga ke titisan darah terakhir.
"Tiada perbuatan yang lebih hina kepada sesuatu pasukan tentera dari membiarkan panji-panji jatuh ke tangan musuh," titah baginda.
Turut hadir di istiadat itu ialah Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Datuk Rodzali Daud.
No. 11 Skuadron ditubuhkan di Pangkalan Udara Butterworth pada 1969 dan kini berperanan memperkasa pertahanan udara dengan pesawat berteknologi tinggi SU-30MKM yang beroperasi di Pangkalan Udara Gong Kedak.
No. 12 Skuadron pula ditubuhkan pada 1975 dengan fungsi skuadron pemintas dan kini turut bertanggungjawab meninjau dan mengawas ruang udara serta maritim Malaysia.
No. 15 Skuadron ditubuhkan pada 1983 dan dilengkapi dengan pesawat pejuang MB 339A dan BAE Hawk yang terbabit dalam pelbagai operasi termasuk bersama Tentera Laut Diraja Malaysia. - Bernama
Pembersihan banjir elak wabak penyakit menular
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kerja-kerja pembersihan selepas banjir perlu diberi perhatian serius bagi mengelak kemungkinan penularan wabak penyakit.
"Kita tidak mahu sampah bertimbun-timbun hari demi hari yang mugkin akan membawa wabak-wabak penyakit.
"Saya harap ini tidak akan berlaku, selain itu juga saya harap semua penduduk yang terlibat secara langsung harus memberi kerjasama bagi memulihkan keadaan," titahnya kepada pemberita ketika meninjau kerja-kerja pembersihan yang digembleng bersama oleh pihak berkuasa, sukarelawan dan penduduk di Taman Chenderawasih di sini hari ini.
Terdahulu, baginda mendengar taklimat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Zulkifli Yaacob.
Tengku Abdullah turut memberi jaminan pihak berkuasa akan membantu memulihkan semula keadaan di tempat yang terjejas akibat banjir dan mengalu-alukan pertolongan sukarelawan meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya yang melancarkan pasukan sukarelawan JPA4U Isnin lepas, turut membantu membersihkan kawasan kediaman yang terjejas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, setakat ini, JPA4U dianggotai kira-kira 300 penjawat awam dan mereka memberi bantuan termasuk makanan, pakaian serta barangan keperluan asas.
"Kita sekarang baru ada 300 orang dan kita akan tambah lebih banyak lagi sukarelawan kerana pada masa ini, ramai di JPA orang muda yang dikenali sebagai generasi X dan Y.
"Jadi, generasi ini kita akan jadikan mereka satu pasukan dan kalau boleh kita galakkan pegawai perkhidmatan awam JPA (menjadi) sebagai model untuk membantu semua urusan yang berkaitan dengan kerja sukarelawan," katanya.
Beliau juga berkata, usaha itu merupakan satu daripada tindakan JPA bagi merakyatkan perkhidmatan awam, yang juga merupakan sebahagian daripada 1M4U. - Bernama
Banjir: Penternak ikan sangkar diberi bantuan
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
TEMERLOH - Jabatan Perikanan Pahang sedia mempertimbang bantuan kepada penternak ikan dalam sangkar dan kolam selepas sangkar ikan mereka musnah dan hanyut semasa banjir.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussin berkata bagaimanapun penternak terbabit perlu membuat laporan polis dan memaklumkan Jabatan Perikanan terlebih dahulu.
"Kita akan mengkaji dan menimbangkan bentuk bantuan yang akan diberi bagi membolehkan mereka meneruskan projek ternakan ikan masing-masing.
"Bagaimanapun kita akan tunggu laporan dan akan membuat kajian serta siasatan segera sebelum bantuan diberi kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini.
Adnan berkata beberapa aduan sudahpun diterima berkaitan sangkar ikan hanyut dan musnah akibat banjir, namun masih ramai lagi yang belum membuat laporan.
Dalam pada itu beliau berkata lebih 258,000 pelbagai jenis benih anak ikan sudah dilepaskan di beberapa sungai di negeri ini dalam tempoh enam bulan lepas.
"Ia bertujuan membiakkan ikan sungai jenis berharga seperti patin, baung, lampam dan lain-lain untuk tangkapan nelayan sungai dan usaha itu akan diteruskan memandangkan ikan sungai semakin mendapat permintaan sekarang," katanya. - Bernama
Sijil halal: P.Pinang perlu lebih proaktif
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
GEORGETOWN - Wakil rakyat BN mahu kerajaan negeri Pulau Pinang lebih proaktif memikirkan kaedah terbaik menguatkuasakan sijil halal di premis makanan seperti restoran dan hotel bagi mengelakkan kekeliruan pelanggan khususnya orang Islam.
Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) juga mencadangkan agar kerajaan negeri menyenaraikan premis makanan yang mempunyai sijil halal dalam risalah yang boleh diletakkan di kawasan tumpuan orang ramai dan masjid.
"Kerajaan negeri juga boleh menghebahkan perkara ini menerusi khutbah Jumaat," katanya yang bangun mencelah ketika Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2014 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang di sini hari ini.
Mohd Zain Ahmad (BN-Penaga) pula mahu pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan premis yang mendapat sijil halal mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.
"Kita tidak mahu ada premis yang mendapat sijil halal tetapi kemudiannya tidak melaksanakan peraturan yang ditetapkan, kalau boleh pemantauan perlu digerakkan secara tersusun," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Malik memberikan persetujuan untuk menyediakan jawapan bertulis kepada Datuk Mahmud Zakaria (BN-Sungai Acheh) berhubung perubahan yang berlaku ketika pemilihan anggota jawatankuasa (AJK)
masjid di negeri ini.
"Saya akan adakan mesyuarat dan sediakan jawapan secara bertulis untuk nyatakan alasan berlaku perubahan, saya juga bagi kepastian, pada pemilihan akan datang ia akan lebih telus," katanya.
Pada Selasa lepas beberapa wakil rakyat BN menyuarakan rasa kesal kegagalan pimpinan DAP menyelesaikan isu pelantikan AJK masjid yang masih berlarutan berikutan banyak campur tangan. - Bernama
Penyewa premis hutang lebih RM1 juta dengan MBAS
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
ALOR SETAR - Bermula bulan ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan operasi sita terhadap pemilik tapak dan gerainya dalam usaha mengutip semula hutang sewa berjumlah lebih RM1 juta.
Ketua Unit Sewaan dan Parkir, Bahagian Pengurusan Harta MBAS, Shaari Abdullah berkata, hutang itu yang tertunggak sejak awal tahun ini membabitkan 1,200 penyewa.
Langkah ini terpaksa diambil kerana ada penyewa yang langsung tidak pernah membuat bayaran sekalipun peringatan dan notis sudah diserah kepada mereka, katanya kepada pemberita selepas operasi sita di Medan Selera Taman PKNK, di sini, malam semalam.
Katanya MBAS mengenakan kadar sewa bulanan yang rendah iaitu RM200 bagi gerai dan RM50 untuk penyewa tapak.
Dalam operasi sita itu MBAS merampas barangan bernilai RM11,100 yang hanya akan dikembalikan setelah penyewa terbabit melunaskan tunggakan mereka, katanya. - Bernama
Pesara diminta curah pengalaman
Oleh:
Tarikh: December 12, 2013
KANGAR - Para pesara yang berpengalaman dalam apa sahaja bidang kerjaya diminta mencurahkan pengalaman kepada mereka yang masih berkhidmat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Azlan Man berkata, persaraan seseorang sama ada dalam perkhidmatan awam, badan berkanun atau swasta tidak bermakna peranan mereka sudah berakhir sebaliknya mencurahkan pengalaman yang dimiliki kepada kakitangan yang sedang berkhidmat.
"Curahan pengalaman yang diberikan secara tidak langsung kepada mereka yang masih berkhidmat diyakini mampu memberi impak yang cukup berguna kepada seseorang kakitangan dalam perkhidmatan tertentu bagi menambah nilai kualiti kerja mereka yang akhirnya akan dikecapi rakyat," katanya semasa merasmikan majlis penghargaan bagi sembilan pesara dan 19 pegawai kanan kerajaan yang bertukar tugas ke negeri lain, anjuran kerajaan negeri di Kuala Perlis dekat sini malam tadi.
Di antara mereka yang menerima penghargaan pada majlis itu ialah bekas menteri besar Datuk Seri Dr Md. Isa Sabu, bekas speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Yazid Mat, bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Mansor Jusoh dan bekas anggota Parlimen Kangar Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad.
Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan dan jasa yang dicurahkan bagi menabur bakti dan jasa sepanjang berkhidmat di negeri ini.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri mengharapkan peranan yang sama dapat diteruskan oleh mereka yang dihantar bertugas di negeri ini bagi menggantikan tempat mereka yang berpindah atau bersara bagimencapai matlamat menjadikan Perlis Negeri Maju pada 2015.
Turut hadir pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai dan para Exco Kerajaan Negeri. - Bernama
Padah curi tangga aluminium
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
BALING - Tindakan seorang lelaki mencuri sebuah tangga membawa padah setelah didenda RM2,000 mahkamah majistret di sini, semalam.
Zakaria Hashim, 36, dari Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang, dituduh melakukan kesalahan itu pada 27 November lalu di dKampung Berangan, Parit Panjang.
Menurut pertuduhan, Zakaria sengaja melupuskan harta yang disedarinya sebagai harta curi iaitu berupa tangga aluminium kepunyaan Jamaludin Abdullah.
Tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Mohd Hadi Hakimi.
Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang lelaki turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling setelah dituduh mencuri besi tumpat padi traktor.
Mohd Faisol Zulkifli, 22, dari Kampung Kaki Bukit, Jalan Kroh melakukan kesalahan pada 6 Disember lalu di hadapan kedai besi buruk di Kampung Teluk Pendiat.
Menurut pertuduhan, Mohd Faisol dengan sengaja melupuskan harta yang disedarinya sebagai harta curi kepunyaan Alias Morat.
Mohd Faisol mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepada kepadanya.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sebulan termasuk denda RM2,000. Sekiranya gagal menjelaskan denda, dikenakan penjara selama empat bulan.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir.
Penyelia pecah amanah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
BALING - Seorang kakitangan sebuah pasar raya dihadapkan ke mahkamah majistret setelah dituduh pecah amanah wang syarikat, semalam.
Hew Yan Wen, 27, dari Taman Mas, Charuk Bemban dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Finance Pasaraya Billion Batu 42, Mukim Pulai pada 6 Mac 2013.
Menurut pertuduhan, Yan Wen yang bertugas sebagai penyelia melakukan kesalahan pecah amanah jenayah wang syarikat sebanyak RM63,433.52 untuk kepentingan diri sendiri.
Bagaimanapun, Yan Wen menerusi peguamnya, Chan Song Ming memohon sebutan semula untuk proses dokumentasi.
Majistret, Mohd Hadi Hakimi Harun kemudiannya menetapkan 21 Januari 2014 untuk sebutan semula kes.
Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih dari 14 tahun, termasuk sebat dan denda.
Tertuduh mula menjalankan tugas di pasar raya itu sejak 2005 dan menamatkan tugasnya pada tahun ini.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir.
Mangsa kebakaran dibantu
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KULIM - Empat kanak-kanak dan seorang nenek berusia 50-an nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Petaling dekat sini, terbakar kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Setiausaha Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu, Roslan Abd Ghani berkata, dari maklumat diterima, kebakaran bermula dari bilik tengah sebelum merebak ke bahagian dapur.
Menurutnya, bagi mengurangkan beban ditanggung mangsa, pihaknya menyampaikan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga terlibat.
"Ketika kejadian, pemilik rumah tidak berada di rumah kerana keluar bekerja. Hanya empat kanak-kanak serta ibu pemilik rumah sahaja berada di dalam rumah. Aduan kebakaran dibuat oleh ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang membuat rondaan di kawasan ini.
"Walaupun 50 peratus rumah ini terbakar, bagaimanapun masih ada barangan yang berjaya diselamatkan. Semua ini hasil bantuan jiran dan ahli PPKM yang datang untuk memberikan bantuan," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, mangsa membuat laporan polis dan akan membuat tuntutan insurans terhadap kebakaran yang berlaku.
"Bagaimanapun sehingga kini punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bertanggungjawab," katanya.
Waspada individu menyamar polis
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KULIM - Orang ramai diminta berhati-hati dengan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai anggota polis.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, pihaknya berjaya menemui sebuah motosikal dikunci dengan gari di bahagian tayar di tepi jalan Sungai Ular semalam.
Menurutnya, orang awam tidak seharusnya memiliki gari bagi sebarang tujuan kerana setiap tangkapan dibuat oleh orang awam harus diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Sebelum ini PPKM menahan dua individu yang menyamar sebagai anggota polis di sekitar Tasek dan perhentian bas Kulim. Modus operandi yang dilakukan oleh suspek adalah dengan memperkenalkan diri sebagai polis dan memeras ugut orang awam dengan meminta wang dan telefon bimbit dari mereka. Individu ini akan menunjukkan gari yang ada pada diri mereka untuk menakutkan orang awam.
"Mereka yang melakukan kesalahan akan cemas dan terpedaya dengan helah dilakukan oleh suspek. Selain itu, PPKM dan polis pernah menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan di jalan Kilang Lama.
"Dari pemeriksaan dijalankan, polis menemui beberapa barangan polis dalam keretanya termasuk satu buku nota. Setelah siasatan dijalankan mendapati lelaki itu menyamar sebagai anggota polis," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, orang awam seharusnya melaporkan kepada polis sekiranya diugut oleh orang tertentu yang mengaku diri mereka sebagai anggota polis.
"Ini adalah untuk memastikan individu terbabit dapat ditahan dan siasatan dapat dijalankan.
"Memberikan maklumat kepada polis tentang perlakuan jenayah mampu membantu polis menangani perlakuan jenayah selain menahan suspek terlibat," katanya.
Kerusi bayi pun mahu dicuri
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
TANJUNG TOKONG - Seorang ahli perniagaan kerugian RM3,000 apabila cermin keretanya dipecah sekali gus kehilangan kerusi bayinya.
Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Sim memberitahu kejadian berlaku apabila dia meletakkan keretanya pada jam 10 pagi di tempat awam bersebelahan dengan pusat beli belah Straits Quay, di sini.
Menurutnya, bagaimanapun pada jam 3 petang ketika mahu mengambil keretanya semula dia terperanjat kerana cermin di bahagian tempat duduk penumpang pecah.
"Saya tidak menyimpan apa-apa barang berharga dalam kereta, cuma yang ada hanyalah kerusi bayi.
"Nilainya mencecah RM1,500 dan saya juga kehilangan dua pasang kasut yang bernilai RM500," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dia tidak menjangka keretanya yang terletak di tempat awam dan terbuka itu boleh dipecahkan penjenayah.
"Saya letak kenderaan di bahagian luar kerana tempat letak kereta sudah penuh dan pada hari hujung minggu di sini, memang ramai orang kerana ada program pelancongan.
"Mana tahu akan adanya kejadian ragut pula dan saya minta supaya kepada pengunjung lain untuk berjaga-jaga," katanya.
Bagaimanapun dia enggan membuat laporan polis dan hanya memohon supaya pihak pengurusan Straits Quay menyediakan tempat letak kereta yang lebih banyak buat pengunjung.
Sementara itu, penduduk berhampiran, Rosli Ibrahim berkata, dia menasihatkan supaya orang yang meletakkan kenderaan agak jauh dari pusat membeli belah itu berhati -hati kerana sudah menjadi sasaran.
"Mereka sudah target awal-awal kerana percaya yang datang ialah orang yang berkemampuan," katanya.
Mangsa banjir tanggung rugi RM7j
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KEMAMAN – Kerugian besar berjumlah lebih RM6.7 juta terpaksa ditanggung penduduk Kampung Air Putih apabila hampir keseluruhan 135 buah rumah di kampung itu ditenggelami banjir melepasi paras bumbung selain tiga buah rumah daripadanya musnah 100 peratus kerana hanyut dibawa arus.
Timbalan Pengerusi JKKK, Yusof Ahmad berkata, banjir luar biasa ibarat limpahan gelombang tsunami itu menyebabkan kesemua harta benda penduduk musnah.
Lebih menyedihkan, kira-kira 40 buah kereta penduduk kampung juga ditenggelami dan dihanyutkan arus banjir hingga rosak teruk menyebabkan penduduk terpaksa berputih mata.
"Kesemua penduduk mengalami kerugian yang sangat besar kerana segala harta benda di dalam rumah tidak sempat diselamatkan. Setiap rumah dianggarkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000.
"Banjir ini sangat dahsyat kerana ketika kami pulang ke rumah selepas banjir surut, rumah kami ditenggelami lumpur sedalam kira-kira 0.3 meter," katanya yang berkongsi kisah sedih itu bersama rombongan Misi Kemanusiaan Sinar Harian yang menziarah ke perkampungan itu sambil menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas, kelmarin.
Program misi kemanusiaan itu turut mendapat kerjasama Kedai Kasut You Sdn Bhd, Milo Terengganu, Maggi Kuantan dan Bernas Era.
Tanah tapak rumah mendap
Dalam pada itu, Yusof juga terpaksa berhadapan dengan musibah berganda kerana berlaku mendapan tanah di tapak rumahnya kesan banjir besar itu hingga rumahnya berisiko roboh bila-bila masa sahaja.
Mendapan itu mengakibatkan tiang bawah rumah papannya tergantung berikutan mendapan tanah membentuk lubang besar sedalam kira-kira dua meter.
"Banjir di kampung ini bermula pada Selasa (3 Disember) dan apabila air mula surut pada Sabtu lalu saya pulang ke rumah. Tapi saya terpaku lepas lihat ada lubang besar bawah rumah tak ubah seperti lubang lombong bijih timah.
"Dalam keadaan tiang bawah rumah tergantung dan tidak jejak tanah, kami sekeluarga tidak boleh masuk ke bahagian ruang tamu dan bilik tidur rumah kerana rumah boleh runtuh bila-bila masa sahaja," katanya yang menanggung kerugian mencecah RM100,000.
Katanya, sejak dilahirkan sehingga usianya mencecah 64 tahun sekarang, banjir luar biasa seperti yang berlaku kali ini tidak pernah melanda kampung itu.
"Air naik dengan cepat. Dalam tempoh dua jam sahaja air sudah paras lutut. Sejak banjir melanda hingga sekarang, saya sekeluarga menumpang di Klinik Kesihatan Kampung Air Putih kerana anak bekerja di situ. Ada beberapa keluarga lagi turut tumpang berteduh di situ kerana kami sudah hilang tempat berteduh," katanya.
Upah warga Bangladesh bersihkan rumah
Sementara itu, peniaga kedai runcit, Zaleha Salim, 57, berkata, keadaan dalam kedai dan rumahnya yang ditenggelami lumpur separas betis menyebabkan dia terpaksa mengupah tiga orang buruh asing warga Bangladesh untuk menyodok keluar lumpur berkenaan.
Lemas ketika mandi di tali air
Oleh: MOHD AZLIM ZAINURY
Tarikh: December 12, 2013
MARANG – Hasrat seorang pelajar untuk menghadiri sesi temu duga kemasukan ke Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin di Ladang selepas mendapat 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas.
Muhammad Asyraaf Zulkifli, 12, yang beralamat di Jalan Khatib Abas, Kampung Undang lemas ketika mandi manda bersama rakan-rakannya di sebuah tali air di Kampung Alor Parit yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya di sini, malam kelmarin.
Mayatnya ditemui kira-kira jam 9.40 malam selepas kerja-kerja mencari dijalankan sepasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Wakaf Tapai, Marang, pasukan polis serta Jabatan Pertahanan Awam.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Penguasa Bomba, Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat remaja terbabit ditemui selepas 20 minit anggota skuba melakukan operasi mencari dan menyelamat.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang, namun mayat mangsa hanya ditemui apabila sepasukan anggota skuba dari balai ini dihantar ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa kira-kira jam 9.20 malam (kelmarin).
"Mereka ambil masa kira-kira 20 minit sebelum menemui mangsa kira-kira jam 9.40 malam di dasar tali air itu, berdekatan tempat mangsa lemas," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Parit di sini, malam kelmarin.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Undang semalam.
Berbasikal dalam hujan ke kawasan tali air
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi bilik mayat di HSNZ apabila bapa mangsa, Zulkifli Mohd Ravi@Mohd Ruddin, 41, dan saudara serta guru Pendidikan Agama Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Undang, Samsuddin Zakaria, 56, berkumpul menuntut jenazah.
Zulkifli berkata, sebelum kejadian anak ketiga dari enam beradik bersekolah di SK Undang itu sempat meminta wang daripada isterinya, Rohana Mat Amin, sebanyak RM1 sebelum berbasikal keluar dari rumah untuk ke kedai runcit berdekatan.
"Namun, saya tak sangka selepas itu dia sanggup berbasikal dalam hujan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer dari rumah kami semata-mata untuk mandi manda bersama rakan-rakannya di kawasan tali air itu.
"Malah, arwah tak pernah ke sana sebelum ini mahu pun mandi di kawasan tali air tersebut dan selalunya hanya bermain di kawasan sekitar rumah sahaja," kata kakitangan Jabatan Perhutanan itu kepada Sinar Harian.
Zulkifli berkata, sebelum kejadian Muhammad Asyraaf juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dari segi perwatakan dan sebagainya.
Arwah pelajar pintar
Guru pendidikan agama, Samsuddin Zakaria, 56, yang juga berada di bilik mayat HSNZ berkata, Muhammad Asyraaf merupakan seorang pelajar pintar dan berdisiplin, malah ringan tulang kerana sering membantu guru-guru di sekolahnya.
"Apa paling menyedihkan saya adalah arwah sepatutnya menghadiri temu duga kemasukan ke Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin di Ladang, Kuala Terengganu pada hari Khamis (hari ini) namun, hasratnya itu tidak kesampaian.
"Muhammad Asyraaf mendapat 3A 2B dalam UPSR pada tahun ini dan keputusan peperiksaan itu telah melayakkannya untuk menghadiri temu duga itu," katanya yang memberitahu anaknya juga berkawan baik dengan arwah.
Surirumah tergamak curi cincin kawan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KUALA TERENGGANU - Kawan makan kawan. Itulah yang boleh diumpamakan terhadap perbuatan seorang suri rumah yang tergamak mencuri dua bentuk cincin emas bernilai RM930 milik rakannya sendiri, kira-kira tiga tahun lalu.
Akibat perbuatan itu, Natasha Haron, 23, dari Lorong Kenangan Kuala Ibai, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tidak cukup dengan itu, dia yang kini sedang hamil tiga bulan turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang dikenakan itu.
Kesemua keputusan itu dibuat oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas dia yang sedang hamil anak kedua itu mengaku bersalah mencuri dua bentuk cincin emas bernilai RM930 milik Wan Safawati Wan Ambak, 25, di sebuah rumah di Kampung Lembah Kuala Ibai, di sini.
Natasha mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu antara jam 2 petang dan 4 petang, pada 1 Mei hingga 31 Mei 2010.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Natasha tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari kehilangan sebentuk cincin emas yang disimpan dalam bekas di atas almari solek dibiliknya kira-kira jam 4 petang, pada 31 Mei 2010.
Sebelum itu, sebentuk cincin emas milik adiknya yang berusia 20 tahun turut hilang dan mangsa, seorang peniaga mengesyaki kehilangan itu ada kaitan dengan Natasha yang juga rakan kepada adiknya.
Pada 1 Julai 2010 kira-kira jam 5 petang, mangsa pergi ke sebuah kedai emas di Pasar Payang, di sini, kerana sebelum ini, adiknya pernah ke kedai berkenaan bersama Natasha untuk membeli cincin.
Ketika itu, mangsa mendapati terdapat satu resit yang mencatatkan nama Natasha ada menjual dua bentuk cincin di kedai berkenaan sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Belakang treler rempuh gerai
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KUALA LANGAT - Penduduk kampung yang sedang melakukan rondaan malam terkejut menjumpai sebuah belakang treler yang terbabas merempuh sebuah gerai menjual nasi lemak di hadapan Sekolah Kebangsaan Olak Lempit, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 1 pagi itu, penduduk melihat kelibat pemandu treler terus memandu pergi meninggalkan bahagian belakang kenderaan berat berkenaan itu di situ.
Seorang penduduk, Farizul Yunus berkata, dia yang pulang dari tempat kerja terkejut melihat keadaan belakang treler sudah tersadai di tepi parit.
Menurutnya, keadaan itu menjadi tanda tanya kebanyakan penduduk apabila kepala treler dilihat tiada di lokasi dan hanya bahagian belakang yang meluncur terbabas ke parit sebelah kiri jalan.
"Saya bimbang sikap sambil lewa pengusaha lori terhadap tahap keselamatan kenderaan berat itu mengancam nyawa pengguna jalan raya dan penduduk.
"Bayangkan, jika ia berlaku pada waktu pagi, mungkin penjual nasi lemak turut tercedera akibat sikap tidak prihatin pengusaha lori yang tidak mementingkan aspek keselamatan," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Manja Abdul Latif berkata, dia bimbang jika sikap pemandu yang tidak mementingkan aspek keselamatan terus mengganggu mata pencarian penduduk.
Katanya, disebabkan kelalaian pemandu, penduduk menjadi mangsa sehingga gerai berniaga penduduk turut musnah.
"Pihak yang bertanggungjawab diharapkan dapat memantau aktiviti pengusaha kenderaan berat supaya tidak memandu dalam keadaan laju tidak kira waktu.
"Tidak dinafikan kawasan yang gelap turut mengundang kepada kemalangan namun apabila tiadanya sikap mematuhi peraturan jalan raya ia perlu diberi perhatian," katanya.
Anak sebak ibu mati sendirian
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
SABAK BERNAM – "Tak sangka itu adalah lambaian dan senyuman terakhir arwah ibu kepada saya, sebelum dia dijemput Ilahi," kata, Mohd Zahar Hassan, 53, anak kedua mangsa warga emas yang ditemui mati terlentang di ruang tamu rumahnya di Kampung Hala Cara Baru, Parit 16, di sini, kelmarin.
Mohd Zahar berkata, ibunya, Saayah Bakri, 70, sempat melambaikan tangan kepadanya dan anak perempuannya, Nurul Fatiha, 10, sewaktu tiba di rumah selepas membawa arwah menjalani pemeriksaan tekanan darah tinggi di Klinik Sungai Besar 2 Disember lalu.
Menurutnya, dia kemudian menghantar Nurul Fatiha balik ke rumahnya di Simpang Lima Sungai Besar sebelum bergerak ke Shah Alam untuk mengambil adiknya, Mohd Fauzi, 41, untuk ke rumah kakak mereka di Felda Keratong 10, Rompin Pahang.
"Saya tak sangka arwah ibu pergi dalam sekelip mata, sedangkan pada hari itu (2 Disember lalu) saya sempat membawanya pergi ke klinik dan keluar makan sebelum menghantarnya pulang ke rumah," ceritanya sebak.
Mohd Zahar berkata, dia juga mempelawa Allahyarham ibunya ke rumah kakak sulungnya, Masnah, 54, tetapi ditolak Saayah atas alasan sibuk kerana ingin menanam cili di hadapan rumah.
"Arwah beritahu dia cadang nak datang ke rumah kakak sewaktu kenduri di rumah kakak bulan enam (Jun) depan, tetapi malangnya, hajatnya tak kesampaian," katanya sambil memberitahu dia hanya mengetahui kematian ibunya selepas seorang anak saudaranya menghubunginya dan memaklumkan Saayah gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
"Sebaik tiba di rumah arwah, saya mula rasa tak sedap hati apabila terhidu bau di luar rumah. Apabila mengintai di tingkap, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati mayat ibu sudah rebah di ruang tamu rumah," katanya.
Sementara itu, anak bongsu arwah, Mohd Fauzi yang tinggal di Seksyen 19 Shah Alam berkata, kali terakhir dia menghubungi arwah ibunya itu sebelum berangkat ke Pahang.
"Sempat juga saya bertanya khabar arwah pada masa itu, tak sangka itu adalah perbualan terakhir saya bersamanya sebelum dimaklumkan dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya, di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, Saayah Bakri, 70, ditemui anak lelakinya itu selepas diberitahu salah seorang jiran yang memaklumkan mangsa gagal dihubungi.
Beliau berkata, anak mangsa terus ke rumah ibunya itu sebelum terkejut apabila mendapati wanita itu sudah meninggal dunia sebaik menjenguk menerusi tingkap di ruang tamu rumah berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi yang dihidapinya dan mendapati tiada kes jenayah berlaku memandangkan tiada kecurian dilaporkan berlaku di rumah berkenaan.
Noor Mushar berkata, polis percaya mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga tujuh hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang reput.
Mak Engku ada 16 rekod jenayah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
KUALA SELANGOR - Seorang warga emas menyamar dengan gelaran Mak Engku menjadi wanita pertama di negara ini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi semalam.
Dia yang berusia 60 tahun itu difahamkan, ditahan setelah terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki, Syairul Helmi Azhar, 24, gara-gara cicak tokek yang didakwa bernilai jutaan ringgit.
Suspek yang tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Selangor menaiki kereta polis kira-kira jam 10.50 pagi kelihatan tenang diiringi pegawai polis.
Perintah reman 14 hari dikeluarkan Majistret Kuala Selangor, Shah Wira Abdul Halim bermula semalam dan suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor sehingga 24 Disember ini bagi dilakukan siasatan lanjut.
Wanita itu difahamkan mempunyai 16 rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan membabitkan urusan perniagaan di Perak dan Pahang.
Berdasarkan laporan polis, suspek bersama tiga lagi rakan jenayahnya dengan bersenjatakan sepucuk pistol buatan sendiri cuba membunuh mangsa kira-kira jam 8 pagi di Batu 7 3/4, Jalan Kampung Perepat Kapar pada 19 Ogos lalu.
Tindakan cubaan membunuh itu dikatakan berikutan masalah perniagaan antara suspek dan mangsa. Seterusnya menjadi salah satu alasan untuk menahannya dengan kesalahan atau perbuatan yang dikategorikan di Para 1 (ii) Bahagian 1 Jadual Pertama seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Manakala pada hujung Ogos lalu, tindakan suspek yang turut mengupah ahli kumpulannya untuk membunuh mangsa yang seterusnya dilaporkan mati di Bestari Jaya turut dikategorikan di bawah Para 1 (ii) Bahagian 1 Jadual Pertama seperti yang ditafsirkan di bawah seksyen yang sama.
Sebelum ini, dua lelaki tempatan Rosmady Rosman, 38, berasal daripada Kuang Selangor dan Azman Ismail, 38, daripada Parit Mahang, Jeram telah dihadapkan ke mahkamah majistret ini bagi menghadapi pertuduhan kes pembunuhan serupa.
Kedua-dua lelaki itu didakwa membunuh Syairul Helmi di hadapan rumah Lot 4225 Jalan Rizab Zazuli, Kampung Bukit Hijau, Jeram kira-kira jam 7 pagi, pada 30 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Penemuan mayat Syairul Helmi di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong di Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya itu turut mendorong penahanan 16 lelaki di sekitar Selangor dan hilir Perak sejak 1 September lalu.
Kantoi simpan dadah dalam tin susu
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 12, 2013
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan kerana disyaki memiliki dadah dalam Ops Cantas Khas Narkotik, di sini, kelmarin.
Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, ketika serbuan di pondok pengawal di KM 152.25 landasan kereta api Ipoh - Kuala Kangsar itu, anggotanya tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang ketika memeriksa badan suspek.
"Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut, anggota polis menemui satu tin susu mengandungi bahan dipercayai dadah dan ganja di meja kayu yang berada dalam pondok pengawal terbabit.
"Kita jumpa 21 paket besar plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah heroin dengan berat kasar 77.88 gram.
"Kita turut menemui tujuh paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat disyaki ganja dengan berat kasar 66.26 gram," katanya.
Azman berkata, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan selama 10 tahun atas kesalahan dilakukannya.
Beliau berkata, ujian saringan awal urin ke atas suspek mendapati dia positif dadah. Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.








































No comments:
Post a Comment