Keadaan cermin kereta dipandu Chong yang dipecahkan suspek.

BALAKONG – Seorang ejen hartanah mendakwa dirinya trauma setiap kali melihat motosikal selepas kejadian dia ditumbuk beberapa lelaki di tepi jalan berdekatan persimpangan lampu isyarat Langat Jaya, minggu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan tengah hari.

Ketika menghala ke Batu 9, Cheras, Chong mendakwa kenderaannya tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal yang ditunggang laju.

Tiada pelanggaran berlaku namun penunggang terus menjerit ke arahnya dan mengarahkan dia memberhentikan kereta di tepi jalan.

Tidak sampai lima saat kereta diberhentikan, Chong mendakwa datang dua van menghalang bahagian depan dan belakang keretanya.

Menurutnya, penunggang motosikal terus menghentak cermin keretanya menggunakan topi keledar dan memaksanya turun dari kereta.

Tiga lelaki dipercayai yang menaiki van menumbuk mukanya beberapa kali menyebabkan mata kanannya mengalami kecederaan.

"Memang sampai sekarang saya rasa trauma dan masih terasa sakit di bahagian mata," katanya sambil memberitahu dia mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang menerima aduan itu percaya musibah menimpa mangsa adalah jenayah terancang dilakukan sekumpulan individu.

Katanya, memang orang ramai akan memberhentikan kereta untuk memberi bantuan sekiranya ada berlaku kemalangan di sesuatu tempat, namun dalam kes itu katanya tiada pelanggaran berlaku.

"Saya syak ini jenayah terancang, justeru saya menasihatkan pengguna jalan raya yang berdepan situasi sama supaya terus ke balai polis terdekat untuk elak insiden serupa," katanya.