Universiti Albukhary bakal ditutup ekoran isu pengurusan, rasa tidak puas hati pelajar
OLEH LOOI SUE-CHERN
April 12, 2014
Tiada siapa yang mengetahui kemelut yang melanda Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah sehingga menyebabkan penutupan dan perpindahan pelajarnya. – Gambar AiU. Universiti milik penuh hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Kedah ditutup hujung minggu ini ekoran rasa tidak puas hati pelajarnya dan isu pihak pengurusan – dengan pelajarnya akan mula dipindahkan ke universiti lain minggu depan.
Pegawai Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di Alor Setar, Kedah berkata kepada The Malaysian Insider, 600 pelajar sesi pertama akan mula dipindahkan ke universiti lain mulai esok.
"Di peringkat awal, kami dinasihatkan untuk penstrukturan semula namun kini dinasihatkan kementerian (pendidikan) untuk tutup.
"Mungkin penutupan sementara atau selamanya. Jika kami diarahkan rombakan semula, itu yang akan kami lakukan. Tapi kami masih menunggu arahan selanjutnya daripada kementerian," katanya.
AiU – university yang dilengkapi penginapan dan kemudahan komprehensif di atas tanah berkeluasan 18 hektar terletak di Alor Star – dibina pada 2010 sebagai waqaf yang dibiayai Yayasan Albukhary milik Syed Mokhtar (gambar).
Universiti antarabangsa itu mempunyai pelajar dari lebih 50 negara dengan 75% daripadanya adalah penuntut asing. Setiap pelajarnya menerima biasiswa daripada yayasan itu.
Universiti berkenaan menawarkan bidang pengajian ijazah jurusan Perbankan dan Pembiayaan, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Sains Komputer. Semua programnya diluluskan kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Kakitangan dan pelajar di universiti itu menghadapi ketidaktentuan beberapa bulan lepas berikutan spekulasi operasinya akan dihentikan disebabkan masalah kewangan dan akan dijual.
Februari lalu, dilaporkan kakitangan akademik dimaklumkan kampus akan ditutup dan mereka perlu mencari pekerjaan lain.
Malah, universiti itu juga menututp tawaran kepada pelajar baharu dengan laman webnya tertera "ditutup untuk penyelenggaraan." Para pelajar juga dimaklumkan mereka akan dipindahkan ke universiti swasta dan awam.
Spekulasi berhubung universiti menghadapi masalah kewangan, dan hampir muflis, pegawai berkenaan bagaimanapun menafikan perkara itu.
"Kami tidak mempunyai masalah kewangan," katanya, dan menambah yayasan berkenaan kini membelanjakan lebih banyak dana bagi pembiayaan perpindahan dan yuran pengajian yang lebih tinggi di universiti dan kolej lain.
Fokus utama institusi pendidikan itu menurutnya adalah keutamaan penuntut.
Pelajar juga menurutnya membuat rungutan berkenaan program dan pengasas universiti (Syed Mokhtar) yang mahukan para pelajar tamat pengajian dengan ijazah yang baik bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan.
"Pelajar tidak begitu gembira. Namun bukan itu punca utama kami memindahkan mereka dan menutup universiti.
"Kami berharap mereka akan menamatkan pengajian daripada universiti dengan standard yang tinggi," katanya.
Berkenaan rungutan pelajar yang ingin menamatkan pengajian di AiU sebelum institusi itu ditutup, beliau berkata, penuntut berkenaan tidak akan mendapat manfaat daripada universiti yang tidak lagi beroperasi.
"Bukan kami mahu cuci tangan dan melepaskan diri daripada tanggungjawab. Kami cuba yang terbaik bagi membantu pelajar.
"Kakitangan pentadbiran dan akademik turut kehilangan pekerjaan apabila universiti ditutup," katanya.
"Risiko kehilangan pekerjaan tetap ada dalam sektor swasta. Kami kakitangan pengajar, membantu mengedarkan resume mereka," katanya.
Beliau turut berkata, tuduhan berkenaan pelajar dipaksa menandatangani perjanjian baru untuk biasiswa adalah demi kebaikan pengajian pelajar.
"Ada klausa yang mengatakan pelajar perlu meningkatkan keputusan mereka setiap semester. Menjelang semester akhir, mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya 2.5 gred purata keseluruhan.
"Perjanjian sebelum ini hanya mengatakan mereka perlu mendapat melebihi 2.0. Kami tidak mahu biasiswa disalahguna.
"Mereka masih menerima biasiswa. Kami mahu mereka belajar untuk mendapatkan gred terbaik. Sebahagian daripada 60% penuntut kami bagus. Mereka mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi," katanya.
Seorang profesor institusi itu menggelarkannya sebagai "serabut" dan menimbulkan keadaan tidak pasti di kalangan pelajarnya.
"Tidak ada hitam putih untuk menjelaskan perkara itu. Tiada alasan yang diberikan," katanya.
Beliau berkata kepada The Malaysian Insider, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta mengatakan pelajar seharusnya diberikan kalendar setahun untuk menyiapkan diri sekiranya mereka diminta berpindah disebabkan universiti ditutup.
"Di sini mereka diberi tempoh dua atau tiga bulan. Mereka risau. Mereka tidak tahu apa nak buat.
"Sekarang mereka memindahkan kredit sesuka hati, dan berkemungkinan terpaksa memanjangkan tempoh pengajian.
"Mereka juga diminta menandatangani perjanjian baru bagi biasiswa. Mereka tidak faham bahasa perundangan dan kini ada klausa mengatakan mereka perlu membayar semula biasiswa jika melanggar mana-mana syarat.
"Inikah institusi pendidikan amal jariah? Mereka datang daripada keluarga susah dan berharap beroleh ijazah," katanya.
Seorang pelajar yang enggan mendedahkan identitinya berkata, 90% pelajar sangat tertekan kerana mereka perlu menukar universiti.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar tidak pasti dengan perjanjian baru itu, namun sebahagian 230 orang daripada mereka menandatangani perjanjian baru pada Khamis.
Mereka antara kumpulan awal yang akan dipindahkan esok (Ahad) ke Universiti Asia Pasifik di Kuala Lumpur, katanya.
"Kami tidak pasti universiti mana kami akan pergi, namun jika diberi pilihan saya enggan berpindah," katanya.
Beliau berkata terdapat banyak rasa tidak puas hati antara mereka sejak mengetahui penutupan universiti berkenaan tiga bulan lalu.
"Mereka juga kata perjanjian biasiswa kami terdahulu terbatal dan perlu menandatangani perjanjian baharu.
"Perjanjian baharu itu ditulis dengan bahasa yang sukar tanpa kepala surat atau logo, dan pelajar diberitahu yayasan boleh menukar perjanjian dan menuntut pembayaran.
"Kami hanya berada di bawah belas ihsan mereka," katanya.
Menurut pelajar terbabit, setiap seorang daripada mereka menerima RM66,000 daripada yayasan bagi tujuan pelajaran, elaun dan dana membeli keperluan seperti komputer dan buku.
Sementara itu, ahli Parlimen PAS dari Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, penting untuk mengetahui apa yang berlaku.
"Tiada pihak mengetahui apa yang berlaku. Saya bertanyakan di Dewan Rakyat tapi tiada jawapan.
"Penting untuk kita tahu kerana ia amal jariah yang membantu pelajar miskin dan membawa nama Albukhary," katanya.
Yayasan Albukhary diasaskan pada 1996 atas prinsip taqwa dan ihsan.
Yayasan itu mula mendapat perhatian apabila membantu orang Islam dan komuniti terpinggir akibat kemiskinan, perang dan bencana alam termasuk mempromosi kebudayaan Islam dan biasiswa bagi orang Islam dan bukan Islam. – 12 April, 2014.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment