Mereka bukan berniaga secara semberono, lesen perniagaan dikeluarkan secara sah oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Ada harinya mereka untung, mungkin ada hari tertentu mereka kerugian.
Begitulah adat peniaga. Ringkasnya, setiap hari di bulan mulia ini, mereka sentiasa bekerja keras mencari rezeki secara halal.

Hampir jam 6 petang, saya terlihat kelibat pengemis duduk tenang di tengah laluan bazar Ramadhan. Sewaktu saya menghampirinya dia berkata ...
"Kemboja! Kemboja!"
Biarpun hanya menggunakan bahasa isyarat, dia mendakwa kakinya kudung akibat terkena jerangkap samar di negara asal.



Sewaktu saya mula merakamkan gambar, dia kelihatan kurang selesa. Apabila ditanya berhubung tempat tinggal dan usianya, dia gagal berkongsi informasi terbabit berikutan kekangan bahasa.
Beberapa minit kemudian, dia mula bergerak, rentetan gambarnya saya rekodkan berikutan desakan hati kecil.



Pasti ramai berasa simpati melihat pengemis terbabit ketika dia cuba menyeberangi longkang kecil. Papan gelungsur buatan tangan terpaksa diangkat terlebih dahulu sebelum dia mengesut perlahan.
Ketika itu saya yakin, dia tidak menyedari setiap pergerakannya saya rakamkan dari jarak jauh.





Sewaktu beredar dari bazar, dia sempat berhenti di hadapan deretan kedai untuk mengira hasil kutipannya sejak awal petang. Perlahan tetapi berhati-hati, dia kemudian bergerak ke arah belakang kedai.
Saya mengekorinya dari jauh sambil terus merakamkan gambar.




Islam pada dasarnya tidak menggalakkan penganutnya hidup secara meminta-minta. Bagaimanapun melihatkan kecacatan lelaki itu, ramai pengunjung bazar tanpa teragak-agak menghulurkan derma seikhlas hati kepadanya. Ramadhan, sesungguhnya bulan untuk kita bersedekah.
Ops! Terlebih dahulu, mari bersama kita perhatikan gambar di bawah secara teliti.

Menarik? Pelanduk dua serupa?
Tumpukan perhatian kepada lelaki berbaju belang kelihatan berjalan laju ketika gambarnya saya rakamkan.
Ya, kejadian pelik.
Perangai manusia kekadang lebih mengelirukan berbanding perlakuan entiti paranormal pernah saya rakamkan sebelum ini.
Saya difahamkan, dia datang mengemis di bazar terbabit menaiki teksi tetapi ketika gambar direkodkan, dia tidak menuju ke arah jalan utama atau perhentian kenderaan.
No comments:
Post a Comment