On 09/01/2014, in pandangan, by myilham.com
” Saya bingung..”
Luah seorang gadis kepada kakaknya.
” Kenapa?”
” Saya diminta berkahwin oleh keluarga. Tetapi saya sendiri tak tahu apa yang saya rasa..”
Tenat benar nadanya. Keliru dan celaru jelas terzahir di wajahnya.
Lalu si kakak mula bertanya itu dan ini, selain menasihat. Namun wajahnya tetap begitu, mengelamun jauh seakan kakaknya itu tidak wujud di depan mata. Memikirkan suatu perkara. Tapi dia sendiri tidak tahu entah apa yang difikirkannya.
SUATU KEPUTUSAN
Topik cinta ini memang topik yang tak akan habis dibicara sampai kiamat. Kalau bukan anda yang membaca, orang lain pula, iaitu generasi selepas anda.
Semua orang ada fitrah ciptaan Tuhannya. Hendak diambil mudah tidak boleh, hendak diberatkan sangat juga tidak boleh.
Lalu saya suka menulis sebagai penunjuk jalan, pemberi nasihat dan pencetus semangat.
Apa yang dihadapi oleh si gadis dalam situasi di atas saya percaya banyak juga dihadapi oleh orang lain.
Soal dilamar, disuruh berkahwin dan diminta membuat keputusan.
Terima ke tidak? Nak kahwin ke tak nak? Ada perasaan kat dia ke tak? Ada rasa cinta ke tak?
Ya, semuanya soalan yang susah dijawab.
Nak kata tak terima, dia ikutkan sahaja pilihan orang tua.
Nak kata tak nak berkahwin, siapa yang tak nak bina keluarga.
Nak kata tentang ada perasaan ke tak, apa lagi perasaan bernama cinta..yang itu memang sangat sulit diberi jawapannya.
Puas dikorek dalam hati cari jawapan, tidak juga ditemui sampai sekarang. Lalu bagaimana bila terus menerus diasak keadaan agar memberi keputusan?
CERITA ANDA
Situasi ini biasanya cuma berlaku kepada orang-orang yang baru pertama kali mahu mengenal cinta. Mungkin, selama remaja dia tidak pernah membuka hati memikirkan soal tersebut. Jika tidak dilamar atau disuruh kahwin, mungkin sampai waktu itu dia belum mahu berbicara soal cinta.
Cinta itu, diletak nombor berapa dalam hidupnya pun dia tidak tahu.
Tetapi Allah menakdirkan segalanya. Datang lamaran, disuruh kahwin dan diminta membuat keputusan pula.
Lalu datanglah pelbagai perasaan berkecamuk di jiwa.
Antara paling besar menggangu adalah soal cinta. Mampukah aku mencintai seseorang yang tidak pernah aku punya perasaan terhadapnya..?
Inilah soalnya tentang cinta. Keputusan anda dalam soal cinta adalah permulaan kepada sebuah cerita.
Cerita antara anda dan si dia, seorang insan yang Allah hadirkan teristimewa buat diri anda.
TIADA PERASAAN
Kadang-kadang, kita terlalu banyak dengan novel dan drama. Cinta dan perasaan, kita gambarkan perlu sama macam apa yang kita tonton.
Maksudnya, kena ada perasaan cinta macam watak-watak dalam cerita tersebut.
Kalau si gadis yang dilamar itu digambarkan tersenyum sorang-sorang sebab teringat lelaki gentleman yang melamarnya, maka anda fikir anda juga mesti begitu. Bila anda tidak begitu, anda jadi resah gelisah. Ah..aku ni sebenarnya ada perasaan ke tak kat dia?
Begitulah dilemanya.
Sebenarnya yang perlu anda yakini adalah kredibiliti lelaki yang melamar anda.
Apa yang disebut dalam hadith Nabi s.a.w ; “ Apabila datang melamarmu seorang lelaki yang engkau redha akan agama dan akhlaknya..” saya sebutkan sebagai kredibiliti.
Kredibiliti dia dari sudut nilai beragama.
Dari sudut akhlak.
Peribadi dan perwatakannya.
Juga sudut pandangnya untuk sebuah kehidupan.
Serta keseriusan dirinya untuk memperisterikan anda.
Ini yang perlu anda yakini dan percaya.
Jadi, soal perasaan tidak penting..?
Tidak. Perasaan penting, tanpa perasaan, anda akan jadi robot bernyawa. Anda bukan robot, anda manusia yang punya deria, punya jiwa.
Tapi perasaan yang bagaimana?
Apakah yang anda tunggu adalah sejenis perasaan yang hadirnya perasaan tersebut membuatkan tidur anda bermimpikan dia, makan anda terbayang wajahnya dan kehidupan anda sehari-hari hanya memikirkan tentang dia?
Atau perasaan itu adalah sebuah perasaan yang sangat halus, wujud di dalam hati rasa tenang kerana diberi peluang mengenali seorang lelaki yang diyakini peribadi dan agamanya, bersungguh-sungguh pula mahu memperisterikan anda serta tidak melakukan apa-apa yang boleh menghilangkan keyakinan anda kepada kredibilitnya.
Perasaan itu, kadangkala adalah sebuah ilham.
Dari ilham itu, timbul sejenis kekuatan.
Kekuatan untuk meneropong masa depan.
Kekuatan untuk membuat persiapan.
Kekuatan untuk mula serius memikirkan amanah dan tanggungjawab dalam kehidupan.
Seterusnya, akan hadir kekuatan untuk membuat keputusan!
Ini cerita cinta anda.
Untuk apa dirisaukan hadiah Allah bernama CINTA, sedang kita yakin Allah akan anugerahkan tatkala tiba masanya?
Hak Allah kita tunaikan sebaiknya, hak manusia juga kita beri semoleknya, maka apa lagi yang perlu kita rungsingkan untuk bertemu dengan sebuah bahagia.
TAPI,
Ada perkara yang perlu anda rungsing.
Jika yang melamar anda atau yang disuruh kahwin dengan anda itu entah datang dari mana.
Perwatakannya tidak meyakinkan, air mukanya tidak menenangkan, kata-katanya pula kasar tidak menyenangkan.
Sudut pandangnya tentang sebuah kehidupan juga goyang. Jika berkahwin, dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuan. Hendak sampai akhirat atau terhenti setakat kehidupan dunia sahaja, dia sendiri kabur dan kelam.
Ya.
Itu anda kena rungsing.
Tetapi jika soalnya cuma bimbang sebab belum ada perasaan atau rasa cinta, maka usahalah untuk membina keduanya dari benih yang benar , hanya semata-mata kerana-Nya.
Yakinlah, syaitan sentiasa akan cuba menggagalkan sebarang usaha mendirikan rumahtangga.
Yakinlah, anda beruntung kerana berpeluang memulakan rasa cinta dengan CINTA kepada-Nya yang pertama.
Yakinlah, orang yang baik itu Allah berikan kepada orang yang baik juga.
Yakin dan teruslah yakin.
Dan paling utama, mohonlah Allah untuk bantu anda membuat keputusan terbaik tentang cinta ; kerana sesungguhnya ia adalah permulaan kepada sebuah cerita.
Moga di penghujung cerita itu, kita sama-sama akan bertemu Syurga-Nya. InsyaAllah.
Sekian.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

No comments:
Post a Comment