Dia dimaki, ditengking bahkan ditampar dan diterajang hanya kerana kesalahan yang kecil. Berselisih faham sedikit saja, tangan dan kaki lah yang akan berbicara. Tidak cukup dengan penderaan secara fizikal, dia turut menerima azab berpanjangan apabila wujudnya di teratak itu tidak dianggap sebagai isteri, tetapi lebih mampir kepada orang gaji.
Ini mungkin sebahagian daripada neraka yang perlu diharungi akibat bersuamikan lelaki yang sakit jiwa.
Apa yang dicoretkan di atas bukanlah kisah yang disandarkan kepada sesiapa, namun kita semua tahu bahawa kisah tersebut bukan sekadar suatu rekaan. Ia benar-benar menimpa sebahagian daripada kita yang tersilap langkah di awal proses berumahtangga.
Wanita & Lamaran
Timbul persoalan, bagaimana untuk mengenalpasti calon lelaki yang datang melamar itu benar-benar seorang yang baik serta menepati ciri-ciri Al-qawiy dan Al-amin? Sudah pasti ini bukan suatu yang mudah. Salah pilih, anda mungkin salah seorang dari pelakon kisah pilu di atas. Na'uzubillah.
Dalam kesabaran menunggu diri dilamar, sedikit sebanyak kebimbangan dan kerisauan terhadap perkara menakutkan seperti itu bertandang juga di sudut hati. Bagi yang sudah memiliki teman lelaki, tunangan dan sebagainya, mungkin kurang sedikit kerisauan mereka. Tetapi bagi yang mengambil langkah untuk tidak terlibat dengan dunia percintaan sebelum berkahwin, bagaimana pula?
Sekali pandang, kelihatan mereka yang sudah mempunyai teman lelaki ini seolah lebih bernasib baik daripada mereka yang belum mempunyai sesiapa. Tetapi sebenarnya tidak.
Kenapa?
Pertama kerana , mereka yang tidak bercinta sebelum berkahwin lebih bernasib baik kerana berada dalam "zon selamat" yang dijamin oleh Syariat itu sendiri. Tidak terdedah kepada zina dan perbuatan maksiat.
Kedua ,Islam itu prinsipnya memberi saluran dan bukannya menyekat. Hendak bercinta, boleh, tetapi kena kahwin dahulu. Hendak membunuh, boleh, tunggulah musuh datang serang kampung dahulu. Begitulah seterusnya. Sama juga, hendak mengenali calon lelaki yang datang melamar , boleh, tetapi ada cara dan adabnya.
Yang penting, kita harus faham bahawa mereka yang mahu bercinta selepas berkahwin adalah lebih bernasib baik daripada yang sebaliknya.
Ta'aruf
Ta'aruf ataupun proses pengenalan adalah salah satu daripada option yang disediakan oleh Islam. Proses kenal mengenal ini cukup penting bagi pasangan yang mahu berkahwin, apatah lagi ianya melibatkan soal hidup sampai mati. Mahu hidup bersama bukan suatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi jika masing-masing tidak langsung kenal antara satu sama lain.
Tetapi proses ta'aruf ini ada disiplin dan peraturannya.
Ramai orang salah anggap dan mengambil jalan mudah dengan bercouple, kemudian menganggap tindakan bercouple itu sebagai suatu wasilah untuk ber-ta'aruf. Ini silap. Proses perkenalan ini tidak akan lengkap hanya dengan anda keluar berdua, makan bersama, bersiar-siar ke tasik atau berkongsi ayat-ayat cinta. Dalam tak sedar, proses ta'aruf versi itu hanya dimanipulasi oleh Syaitan, sehingga mereka menyangka bahawa apa yang mereka lakukan itu betul walhal telah jauh terpesong dari jalannya.
Hakikatnya, mengambil inisiatif secara sendiri-sendiri untuk kenal dengan seseorang lelaki, lebih mendedahkan seseorang wanita itu kepada bahaya. Tindakan begitu ada risikonya. Sebagai contoh, walaupun anda bercouple dengan seorang lelaki dalam tempoh yang cukup lama, tetapi anda mungkin saja belum mengenali lelaki tersebut sebenar-benarnya.
Antara anda dan dia, masih banyak perkara yang disembunyi dan dirahsiakan. Perkara-perkara itu hanya akan terdedah apabila anda dan dia ditakdirkan hidup bersama suatu ketika nanti.
Ramai wanita, apabila telah berkahwin barulah mengetahui 'warna' sebenar lelaki yang selama ini mereka puja. Lelaki yang tampaknya cukup lembut dan penyayang, rupanya adalah manusia yang paling dahsyat sifat barannya. Sebelum berkahwin segala tindak tanduknya mudah diduga, riak wajahnya mudah dibaca, namun selepas berkahwin dia menjadi manusia yang paling sukar difahami.
Lebih malang, jika selepas berkahwin barulah anda tahu dia sebenarnya mempunyai masalah jiwa. Mungkin berupa dendam, tabiat luarbiasa atau sifat ganas yang tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Luarannya tampak biasa, namun setelah hidup bersama barulah segalanya sedikit demi sedikit terbuka. Akhirnya anda terperangkap bersama seorang lelaki yang tiba-tiba menjadi asing walaupun sudah kenal sekian lama.
Lelaki yang sakit jiwa.
Orang yang sakit jiwa, bukan hanya ada di Tanjung Rambutan. Kalau sakit jiwa jenis itu, mudah saja untuk anda kenal dan menjauhkan diri. Tetapi apa yang saya maksudkan di sini adalah 'sakit jiwa' yang tiada siapa tahu melainkan orang-orang yang paling hampir dengan dirinya sahaja. Jika anda adalah wanita yang baru hadir dalam hidupnya, sudah tentu anda tidak akan tahu langsung siapa dirinya, apatah lagi jika anda secara mudah berkawan dan bermain cinta seterusnya berumahtangga dengan lelaki tersebut tanpa mahu menyelidik dengan lebih dalam. Di akhirnya, barulah anda berendam dengan air mata.
Maka, untuk anda mengenalpasti seseorang lelaki itu benar-benar baik atau tidak, gunakanlah cara yang lebih selamat dan bijak; iaitu dengan menggunakan orang tengah atau orang perantaraan.
Orang Tengah
Islam menggariskan bahawa seseorang yang hendak dilantik sebagai orang tengah itu haruslah menepati kriteria tertentu dan tidak boleh sebarangan orang. Orang tengah itu haruslah seorang yang boleh dipercayai akan sifat amanahnya, benar-benar kenal akan si lelaki dan juga merupakan mahram kepada anda.Paling baik, keluarga lelaki itu sendiri.
Apabila seseorang lelaki datang melamar, maka berta'aruflah dengan cara yang dibolehkan oleh Syarak. Kenalilah lelaki tersebut melalui keluarganya sendiri, ataupun setidaknya melalui kawan rapat kepada lelaki tersebut. Mengenali ( atau menyelidiki ) seseorang lelaki yang datang melamar melalui orang tengah sebenarnya jauh lebih selamat berbanding anda berkenalan secara terus dengan lelaki tersebut.
Seorang wanita yang bijak, sudah tentu akan berfikir panjang sebelum menerima sesuatu lamaran. Tentunya, penilaian yang dibuat bukan sekadar pada harta atau rupa paras si lelaki. Bahkan juga akan dikorek sebanyak mungkin maklumat berkenaan lelaki tersebut sebagai panduan penting untuk melakukan solat istikharah dan membuat pertimbangan.
Dengan cara ini, anda lebih mudah mengenalpasti adakah wujud ciri-ciri seorang pemimpin dalam diri lelaki tersebut ataupun tidak.
Doa
Selebihnya, jangan tinggalkan berdoa. Ini paling penting. Sebagai manusia, daya yang ada pada kita hanyalah merancang dan berusaha. Kadangkala, ada yang Allah sembunyikan jua dari kita semata-mata untuk menguji kesabaran dan keimanan kita kepadaNya.
Dalam berdoa, selitkan pengharapan yang tinggi dan keyakinan yang kuat kepada Allah. Dia lebih tahu siapa yang akan hadir dalam hidup anda nanti. Berserahlah padaNya, anda tidak akan rugi.
Sekian.

-----------------------------------------#########-----------------------------------------
--------------------------------------Mail Forwarder-------------------------------------
Formerly Known As Tai_Ci_Master.
Visit:
WWW.PENDEKARBLOGGER .COM WWW.HARUNYAHYA .COM
join : malaysianews- subscribe@ yahoogroups.com
: malaysianews+subscribe@ googlegroups.com
-Whomsoever ALLAH guides, none can lead astray and whomsoever He send astray, none can guide.
No comments:
Post a Comment