Rusuhan Little India: Beberapa lagi ditangkap
Oleh:
Tarikh: December 10, 2013
SINGAPURA - Pemangku Perdana Menteri Teo Chee Hean berkata polis telah menangkap beberapa orang lagi yang terbabit dalam rusuhan malam hari Ahad lepas di Little India.
Katanya, siasatan akan diteruskan supaya mereka yang telah melanggar undang-undang dikendalikan dengan tegas dan adil sejajar undang-undang.
"Bagi menentukan keadaan terus tenteram, kami telah mengharamkan alkohol. Polis telah menambah kehadiran mereka di kawasan kediaman pekerja asing dan di tempat mereka sering berkumpul agar kehidupan dapat berjalan seperti biasa yang mungkin dan setiap orang merasa selamat," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada petang hari Selasa.
Teo, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional dan Menteri Dalam Negeri, berkata Jawatankuasa Penyiasat (COI) akan dibentuk menjelang hujung minggu ini.
"Kami akan sediakan nama dan terma rujukan dan ini akan membolehkan perhatian lebih mendalam terhadap insiden ini dan juga untuk menyemak prosedur semasa bagi pekerja asing berhimpun dan melihat sama ada perlu dilakukan penambahbaikan," katanya. - Bernama
24 warga India didakwa terlibat rusuhan
Oleh:
Tarikh: December 10, 2013
SINGAPURA - Dua puluh empat orang didakwa di mahkamah hari ini kerana pembabitan mereka dalam rusuhan di Little India di Race Course Road pada malam hari Ahad.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar berkata: "MFA (Kementerian Luar) bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi memudahkan bantuan konsular dan sokongan untuk warga mereka, termasuk perwakilan peguam.
Dalam pada itu, polis dalam posting Facebooknya berkata: "Setakat Selasa 3:20 pagi, siasatan lanjut menunjukkan bahawa dua lagi lelaki, seorang warga India dan seorang PR (pemastautin tetap) Singapura, tidak terlibat dalam rusuhan di Little India pada 8 Disember, 2013.
Ini menjadikan jumlah orang yang didakwa kerana insiden itu kepada 24.
Kesemua mereka adalah warga India.
Empat orang yang tidak terbabit dalam insiden itu telahpun dibebaskan dari tahanan Polis.
Rusuhan meletus pada Ahad malam berikutan kemalangan maut melibatkan seorang warga India berusia 33-tahun di Little India, sebuah kawasan terkenal sebagai tempat pekerja asing dari benua kecil India berkumpul pada hujung minggu.
Insiden itu adalah yang pertama dalam sejarah Singapura sejak rusuhan kaum 1969 yang berlarutan selama tujuh hari mengakibatkan empat terbunuh dan 80 cedera.
Dalam insiden Ahad, sepuluh pegawai polis cedera termasuk lima anggota polis bantuan yang merupakan warga Malaysia dengan status pemastautin tetap di Singapura mengalami kecederaan kecil ketika membantu polis Singapura menangani rusuhan itu.
Lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa buah kereta persendirian turut musnah. - Bernama
FBI intip webcam
Oleh:
Tarikh: December 10, 2013
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pengguna webcam kini berisiko di intip Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
The Washington Post melaporkan, teknik pengintipan terkini menggunakan teknologi G-men mampu mengaktifkan kamera dan menghantar imej terus kepada penyiasat tanpa mencetuskan cahaya isyarat pada kamera.
"Ia direka untuk membantu ejen mengesan lokasi dan pergerakan pengguna. Segala fail, gambar dan emel pengguna boleh dimuat turun oleh FBI," menurut laporan itu.
Keupayaan aplikasi baru ini terhasil ketika polis melakukan siasatan terhadap seorang lelaki dikenali sebagai Mo, yang mengancam meletupkan sebuah bangunan Julai tahun lalu.
Ketika ini, Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat didakwa masih melakukan skandal pengintipan panggilan telefon dari seluruh dunia.
Polis Mesir anjur bantahan
Oleh:
Tarikh: December 10, 2013
KAHERAH - MESIR. Selepas saban hari Mesir bergelut dengan protes rakyat, kini tiba giliran polis melakukan tindakan sama.
Kelmarin, ratusan polis melakukan demonstrasi di Kelab Polis menuntut kenaikan gaji selepas mendakwa beban kerja makin bertambah.
Sumber polis berkata, sejak kerajaan membenarkan anggota polis menahan mana-mana individu yang berkumpul melebihi 10 orang di tempat awam, polis diberi hak untuk mengambil tindakan ke atas mereka.
"Mereka menggesa pegawai atasan mencadangkan bayaran gaji setimpal, sesuai dengan tugasan baru itu " katanya kepada Press TV.
Dalam perkembangan lain, polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong Presiden Mohamed Mursi di Universiti Al-Azhar dan Universiti Mansoura Kaherah.
Ratusan pelajar cedera dan puluhan ditahan selepas dituduh mencabar Perlembagaan baru.
Patung Lenin dipecahkan
Oleh:
Tarikh: December 10, 2013
KIEV - UKRAINE. Sebuah patung pengasas Soviet, Vladimir Lenin di ibu negara Ukraine dipecahkan semalam oleh penunjuk perasaan anti kerajaan.
Media melaporkan, mereka menyerang patung itu menggunakan tukul sebagai simbolik protes terhadap Presiden Viktor Yanukovich serta rancangannya dalam mengeratkan hubungan dengan Rusia.
Gerakan menolak pengaruh dari Moscow itu hadir selepas pemimpin pembangkang memberitahu ribuan penunjuk perasaan di Dataran Kiev supaya memberi tekanan kepada Yanukovich.
Difahamkan menurut laporan Reuters, penunjuk perasaan berang dengan keputusan kerajaan mengadakan perjanjian dengan Kesatuan Eropah dalam mengeratkan kerjasama ekonomi dengan Moscow.
Keputusan Yanukovich itu menimbulkan tunjuk perasaan terbesar sejak Revolusi Oren pada 2004
Rusuhan: Jawatankuasa siasatan ditubuh
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 10, 2013
SINGAPURA - Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan (COI) berhubung insiden rusuhan di kawasan Little India di sini pada Ahad malam.
Beliau berkata COI akan melihat kepada faktor-faktor yang mencetuskan rusuhan itu serta menyemak semula langkah-langkah semasa untuk mengurus kawasan-kawasan yang menjadi kunjungan pekerja asing untuk berkumpul.
"Rusuhan ini adalah insiden terpencil yang timbul daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh kumpulan yang bertindak balas atas kejadian kemalangan maut.
"Sebahagian besar pekerja asing di Singapura patuh kepada undang-undang dan menyumbang kepada ekonomi kita. Mereka bekerja keras untuk menyara hidup dan membantu keluarga mereka di negara mereka.
"Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini merosakkan pandangan kami terhadap komuniti pekerja asing di sini," kata Lee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga warga India, Sakthivel Kumaravelu, yang terbunuh dalam kemalangan yang mencetuskan rusuhan itu.
Perdana Menteri itu juga meminta rakyat Singapura supaya tenang dan meneruskan urusan harian masing-masing.
Sementara itu, Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, S. Iswaran memberitahu pemberita di Little India semalam bahawa larangan penjualan dan pengambilan minuman keras akan dikuatkuasakan hujung minggu ini di Jalan Race Course, iaitu tempat tercetus rusuhan itu.
Beliau berkata butiran mengenai larangan itu akan dikeluarkan oleh pihak polis.
Ditanya sama ada alkohol menjadi faktor yang mencetuskan rusuhan itu, Iswaran berkata: "Ia adalah terlalu awal untuk menyatakan secara muktamad punca rusuhan selepas kemalangan maut tetapi ia adalah 'munasabah' bahawa pengambilan alkohol merupakan faktor penyumbang."
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.
Sejurus selepas itu, rusuhan berlaku melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera. - Bernama
Qi: Semua salah faham selesai
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 10, 2013
ADAT apabila bila berpasangan, tentu cemburu apabila melihat orang lain mesra dengan kekasih sendiri.
Apatah lagi jika melihat kekasih sendiri berpelukan dengan individu lain.
Itulah yang dialami oleh pelakon dan pengacara, Qi Razali.
Qi bagaimanapun kemudiannya memohon maaf di atas sindirannya di laman sosial dan mengakui ia tidak balas yang beremosi.
Kata Qi, "ia cuma salah faham dan saya cepat memberi tindak balas selepas melihat gambar-gambar tersebut. Saya salah tetapi biasalah kalau sudah sayang mesti ada rasa cemburu. Perkara macam ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Terus terang saya cakap semua sudah selesai."
Pelakon Sharnaaz Ahmad sebelum ini memuatnaik gambar mesra yang merupakan babak dalam drama yang dibintanginya dengan Nelydia Senrose, kekasih Qi.
Namun gambar itu hanya dimuatnaik bagi tujuan promosi.
Biarkan begitu Sharnaaz telah memohon maaf sekiranya perbutannya itu mengundang rasa kurang senang di pihak Qi.
Gambar-gambar yang dimuatnaik di laman Instagramnya itu adalah dari babak drama "Bukan Kerana Aku Tak Cinta".
Usia 60 tahun tak halang Wan Maimunah nikah lagi
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 10, 2013
MENCECAH usia 60 tahun, selepas sekian lama hidup menjanda, pelakon Wan Maimunah Wan Abdul Aziz bakal bernikah lagi.
Pelakon yang terkenal dengan watak-watak sedih dalam drama itu sendiri mengesahkan bahawa dirinya akan kembali mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Johor, berusia tujuh tahun lebih muda daripada beliau.
""Kami mula berkenalan kira-kira dua bulan lalu sebelum bersetuju untuk berkahwin tidak berapa lama selepas perkenalan itu. Saya tidak pernah menjangka akan kembali bergelar isteri apatah lagi pada usia seperti ini, namun kita tidak dapat melawan ketentuan takdir ALLAH," katanya dipetik dari sebuah portal.
""Dalam waktu yang sama, saya turut bersyukur dan terharu kerana masih ada individu yang bersedia menjadi tempat berlindung dan menumpang kasih dan sayang," tambahnya lagi.
Wan Maimunah bakal bernikah pada 13 Disember ini di sebuah hotel di Johor Bahru, selepas Maghrib.
Sementara majlis resepsi ringkas akan diadakan di Pasir Gudang pada keesokan harinya.
Menurut Wan Maimunah, semenjak berita dia bakal berkahwin diketahui umum, tidak kurang ramai pihak yang menghubunginya dan melemparkan kata-kata negatif berhubung perancangannya itu.
""Sesungguhnya saya amat sedih apabila ada suara-suara yang melemparkan kata-kata kurang manis seperti saya sudah tua namun masih gatal dan sebagainya.
""Sejujurnya saya bersetuju dengan perkahwinan ini bukan disebabkan hawa nafsu atau harta dunia. Tetapi saya mencari teman hidup, sekurang-kurangnya saya mempunyai peneman hidup yang dapat berkongsi waktu susah dan senang. Walau apa tohmahan masyarakat sekeliling, saya berharap mereka di luar sana dan peminat akan mendoakan kebahagiaan saya," ujarnya.
Wan Maimunah pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Puaka Tebing Biru, Anak Mami The Movie, Jimi Asmara dan Wanita Bertudung Hitam.
Pelakon berasal dari Johor Bharu ini merupakan pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk 5 tahun berturut-turut pada edisi 1992 - 1996/1997.
Dia menceburi bidang lakonan sejak 1972 dan merupakan pelakon serba boleh yang mampu membawakan apa sahaja watak yang ditawarkan padanya. Selain watak komedi, Wan Maimunah juga lebih terkenal dengan watak air mata yang paling melekat di mata peminatnya.
Propaganza kembali
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 10, 2013
SETELAH mendapat sambutan hangat daripada penonton, rancangan yang padat menyajikan berita dunia hiburan serta gosip terkini artis di Malaysia ini, Propaganza kembali untuk musim yang ketiga.
Bersiaran jam 12 tengah hari, Propaganza juga memperkenalkan seorang lagi hos lelaki, Johan Raja Lawak yang menggantikan tempat pengacara terdahulu, Reza Mohamed.
Penerbit rancangan berkenaan, Wan Atiya Wan Ibrahim berkata, dengan mengambil Johan dan mengubah segmen yang ada, rating rancangan itu semakin meningkat.
"Apa yang pasti pemilihan pasangan baharu iaitu Johan memiliki beberapa kriteria penting dalam menarik perhatian ramai dan sesuai dengan rancangan berkenaan yang bercorak hiburan di hujung minggu," katanya.
Menurut Wan Atiya, terdapat beberapa tarikan terbaru yang dilakukan dalam musim ke-3 Propaganza kali ini.
"Menariknya bagi musim baharu ini, kedua-dua pengacara melakukan aktiviti-aktiviti menarik sesuai untuk hiburan para penonton dengan paparan keunikan di Klang Valley.
"Menariknya juga pada setiap episod akan ada segmen 'up close and personal' dengan beberapa orang selebriti popular tanah air," katanya Wan Atiya berkata, ada segmen yang ditukar nama iaitu segmen Apa Cer memaparkan artis lama yang kita ingin tahu perkembangannya.
"Manakala, segmen kegemaran ramai iaitu Stailista masih dikekalkan yang akan dikelolakan oleh Detektif Stailista, Ayie Ali untuk menyiasat fesyen selebriti tanah air, sama ada Stailista atau Opss," katanya.
Propaganza lebih gamat!
Sementara itu, Marsha yang masih kekal sebagai pengacara Propaganza berkata, dia terharu apabila masih mendapat kepercayaan untuk mengemudi rancangan ini bersama Johan.
"Biarpun bertindak sebagai pengacara program hiburan dan gosip, saya sangat suka melakukan tugas ini.
"Malah di samping Johan pula, saya rasa lebih meriah dan rancangan itu tidak kaku. Saya akan tergelak setiap kali Johan buka mulut," katanya yang turut berbangga rating program itu meningkat.
Dalam pada itu, Johan yang turut ditemui pada set penggambaran Propaganza turut mengakui dia bukan kaki gosip. Namun, disebabkan rezekinya ada dan dia terima dengan hati terbuka.
Katanya, walaupun dia mengacarakan rancangan gosip itu tidak semestinya mendorong dirinya agar terjebak menjadi pengantara dan bercerita keburukan orang lain kepada masyarakat.
"Saya sebenarnya bukan jenis yang suka bergosip. Jadi bila mengacara Propaganza, saya lepaskan cerita berbentuk gosip begini kepada Marsha.
"Saya tak nak bercerita tentang keburukan orang. Nanti orang akan bercerita tentang keburukan kita pula," katanya yang hanya menceriakan suasana dalam pengacaraan tersebut.
Nikah esok, Che Ta akui berdebar
Oleh: Aqmar mustaza
Tarikh: December 10, 2013
TARIKH 11 Disember (esok), akan menjadi saksi penyatuan dua hati antara dua selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan. Pasangan yang sudah empat tahun menjalinkan hubungan cinta ini dijangka diijabkabulkan di Gazebo Setia City Convention Centre, Setia Alam sekitar jam 7.30 malam.
Biarpun perkahwinan bersama Zain ini merupakan perkahwinan keduanya, Rozita atau mesra di sapa Che Ta mengakui debaran perkahwinan kedua ini lebih terasa.
Katanya, semua persiapan tela dilakukan dan dia hanya menanti majlis berinai yang akan diadakan di Ndah Mahligai Shah Alam pada jam 8 malam ini.
"Sejujurnya saya sangat berdebar, berbanding perkahwinan sebelum ini. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar esok (hari ini).
"Alhamdulillah hari ini (semalam), saya hanya berehat-rehat di Ascott Kuala Lumpur yang menaja lokasi penginapan (complimentary) buat saya selama 7 hari 6 malam.
"Memang rasa teruja sebaik mendaftar masuk tadi, apabila setiap sudut bilik dihiaskan dengan bunga kegemaran saya iaitu lily dan turut ada gambar saya dan Zain," katanya kepada Zass.
Che Ta berkata, ke semua ahli keluarganya sudah berada di Kuala Lumpur dan mereka akan berkumpul di Ascott pagi esok sebelum ke majlis berinai.
Tak ambil hati
Sementara itu, dalam kemeriahan dan debaran perkahwinan Che Ta dan Zain, majlis pasangan ini turut di cemuh dan ada sesetengah pihak menganggap kedua-dua selebriti ini cuba menunjuk-nunjuk persiapan perkahwinan mereka yang mendapat tajaan sebanyak RM13 juta.
Bagaimanapun ujar Che Ta, dia dan Zain tidak mengambil hati dengan kata-kata orang lain dan menganggap ia adalah rezeki mereka.
"Soal tajaan itu, pada saya, masing-masing ada pandang. Tapi pada saya, saya sangat berterima kasih pada penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan kami dari baju, katering, lokasi, spa dan sebagainya.
"Saya tidak ambil hati dengan apa yang orang hendak katakan," katanya yang akan kembali bekerja selepas pulang dari bulan madu, " katanya.
Siti Nurhaliza ubat kesedihan
Oleh: NURUL ZAILA MOHD TAHIR
Tarikh: December 10, 2013
KUANTAN – Kunjungan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Gudang Rasau di sini, semalam sedikit sebanyak mengubat kesedihan mangsa banjir yang sudah berkampung selama lapan hari di situ.
Kehadiran selebriti kesayangan ramai itu ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan beberapa lagi ahli keluarga bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.
Bantuan yang dibawa itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Nurjiwa dan SimplySiti, antaranya barangan makanan dan keperluan peribadi golongan wanita serta lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan bayi.
Siti ketika ditemui berkata, beliau amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa banjir dan berusaha membantu mengikut kemampuan terutama pemberian keperluan asas dan makanan.
"Kita bagi dalam bentuk barangan asas seperti lampin pakai buang dan makanan yang boleh dimakan segera ketika berada di pusat pemindahan.
"Lawatan dan sumbangan dibuat di beberapa pusat pemindahan di Kuantan memandangkan di sini paling terjejas. Alhamdulillah, rumah keluarga Siti di Lipis tidak terkena banjir dan kebetulan pula mereka berada di Kuala Lumpur sekarang.
"Kami bersimpati dan berharap semoga bencana ini segera berlalu," katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan, di sini.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Aminah Sulaiman, 83 begitu teruja kerana tidak sangka musibah menimpa turut mendapat perhatian artis terkenal yang juga pujaannya.
"Memang habis rumah tenggelam dan barang-barang juga banyak rosak kerana banjir tetapi sejak seminggu lalu kami berteduh di sini.
"Tiba-tiba Siti datang memang seronok dan teruja kerana bukan senang untuk bertemu dengannya," katanya.
Bila harimau ingatkan kambing bahaya serigala
Oleh: Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh: December 10, 2013
SAYA terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah. Katanya, ciri utama Syiah ialah menipu.
Saya sekadar ingin memberikan respon ringkas sahaja. Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.
Tidakkah menipu namanya apabila menguar-uarkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut?
Tidakkah menipu namanya apabila bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak berusaha mendaulatkan hukum ALLAH SWT?
Sedangkan ALLAH SWT yang disembah di dalam masjid itu ialah ALLAH yang sama yang berkuasa di luar masjid? Atau mereka menyembah tuhan yang berlainan di dalam dan di luar masjid?
Hakikatnya, nasionalis sekular lebih hebat menipu berbanding Syiah.
Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad. Ciri-ciri akidah mereka telah ditulis dan diterangkan oleh para ulama Sunnah di dalam banyak penulisan.
Tinggal lagi, menjadi peranan para ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah. Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala.
Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa.
Alasan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah. Saya sokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini.
Namun dengan meletakkan alasan agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang. Benarlah tanpa lampu suluhan akidah yang benar, meraba-rabalah dalam kegelapan sekalipun mata tidak buta.
Manusia hanya boleh bersatu dengan Islam. Bukan seruan kebangsaan yang boleh menyatukan manusia.
Usahlah disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu bergantung.
Sedarkah bahawa dahan yang didakwa kuat itu sedang mereput dimakan anai-anai? Di zaman Rasulullah SAW, bangsa Habsyah dan bangsa Parsi boleh tunduk di bawah naungan Islam dan bukannya seruan kebangsaan. Rasulullah SAW seorang yang berbangsa Arab tidak pernah sesekali menyeru kepada semangat kebangsaan.
Bahkan sekalipun bangsa Arab seringkali mendakwa diri mereka sebagai bangsa yang mulia, ia tidak sekali-kali diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. Inilah yang memikat bangsa lain untuk tunduk kepada Islam.
Jika nasionalis sekular itu benar-benar mahu masyarakat bersatu, campakkanlah ke laut ideologi kebangsaan yang tidak membawa apa-apa manfaat itu.
Palsunya seruan yang dilaungkan sehingga bangsa pun tidak pernah dijaga. Kelantan menjadi bukti nyata. Negeri Melayu dipinggirkan dari pembangunan semata-mata kerana kerasukan politik sang harimau yang berpura-pura baik.
Justeru, janganlah mendabik dada diri sangat sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah.
Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan.
Jika benar ingin membasmi Syiah, lakukan sahaja tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik. Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat.
Saya tidak menamakan sesiapa di dalam tulisan ini. Alhamdulillah jika ia boleh difahami dengan baik.
Sekian, wassalam.
Yang benar,
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Vitamin C dos tinggi bentuk batu karang?
Oleh: Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)
Tarikh: December 9, 2013
SUATU ketika dahulu, penulis pernah bercadang untuk mengeluarkan produk dalam bentuk suplemen bertujuan membantu mencegah serta merawat arteri jantung tersumbat. Satu daripada bahan yang penulis akan masukkan ke dalam formula suplemen tersebut ialah vitamin C di mana dosnya adalah jauh lebih tinggi daripada biasa dicadangkan golongan doktor.
Seorang sahabat memperkenalkan kepada seorang doktor pengamal perubatan moden yang memang berminat untuk mengeluarkan produk suplemen. Namun ketika berbincang dengannya beliau terus menunjukkan rasa tidak puas hati kerana formula olahan penulis mengandungi paras vitamin C yang tinggi berbanding paras biasa yang beliau preskripsi kepada pesakitnya.
Dalam formula tersebut, penulis ada menyatakan paras vitamin C ialah 500 miligram (mg) untuk setiap kali makan.
Jika konsumer mengambil vitamin C bagi tiga kali sehari seperti dicadangkan ia berjumlah 1,500 mg sehari.
Doktor tersebut berkata bukan beliau sahaja tidak bersetuju dengan idea kandungan vitamin C dos tinggi tersebut namun ia berkemungkinan besar sukar untuk mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan.
Itulah usaha terakhir penulis dalam usaha cuba mendapatkan pelabur untuk projek pengeluaran suplemen mengandungi vitamin C dos tinggi. Sejak hari itu penulis memfokuskan usaha menyampaikan kearifan (ilmu) kepada orang ramai mengenai vitamin C dos tinggi banyak manfaatnya kepada kesihatan dan tidak mendatangkan kemudaratan.
Penulis sendiri biasa mengambil sehingga 3,000 mg sehari bagi memulihara kesihatan secara keseluruhan. Pada keadaan tertentu penulis mencadangkan penghidap flu di mana simptomnya lebih teruk daripada demam selesema agar mengambil antara 5,000 dan 7,000 mg sehari.
Selain berfungsi sebagai antioksidan, bahan pembentukan kolagen dan membantu pelbagai proses metabolisme, vitamin C sebenarnya bersifat antivirus dan antibakteria!
Rawat flu
Bagi mereka yang mengambil suplemen antivirus dan perangsang sistem imun seperti echinacea atau neem mereka boleh mengurangkan dos pengambilan harian vitamin C di atas kepada separuh.
Beberapa suplemen yang berfungsi secara sinergi dengan vitamin C dos tinggi ketika seseorang mengalami flu ialah herba antivirus, suplemen Zink dan minyak hati ikan kod. Herba antivirus yang sesuai bagi membantu memendekkan tempoh flu ialah echinacea, neem, thyme, oregano, cengkih dan kayu manis.
Ramai doktor tidak setuju dengan pengambilan vitamin C dos tinggi kerana mereka percaya ia boleh menyebabkan pembentukan batu karang.
Sesungguhnya cadangan pengambilan vitamin C dos tinggi bukan sahaja dilakukan pakar perubatan alternatif yang arif, malah dipraktikkan doktor yang mempunyai latarbelakangkan ilmu perubatan moden.
Dr Ronald Hunninghake merupakan pakar yang menyuntik vitamin C kepada pesakit terutama yang menghidap kanser.
Dos minimum suntikan vitamin C menurut protokol Riordan IVC (intravenous vitamin C) ialah 15 gram. Riordan ialah nama keluarga bagi Dr Hugh Riordan iaitu seorang doktor di mana Dr Hunninghake mempelajari kaedah penggunaan vitamin C dos tinggi kepada pesakit kanser.
Pembaca harus ambil perhatian, artikel ini hanya menyampaikan maklumat mengenai penggunaan vitamin C dos tinggi. Ia memang bertentangan dengan amalan doktor konvensional.
Pembaca harus faham, sebarang jenis suntikan sama ada ubat atau suplemen hanya boleh dilakukan doktor perubatan moden bertauliah di mana pesakit perlu menjalani pemeriksaan paras kandungan sejenis protein bagi memastikan sama ada pesakit selamat disuntik atau tidak. Orang awam hanya boleh mengambil vitamin C dos tinggi secara oral (ditelan bersama air masak/mineral).
Adakah pengambil vitamin C dos tinggi menyebabkan pembentukan batu karang? Pembentukan batu karanglah yang menyebabkan doktor bimbang apabila mendengar jika ada orang yang mengambil vitamin C dos tinggi. Pembaca yang ingin mengetahui mengenai fungsi dan kesan vitamin C sila lawati Linus Pauling Institute, Oregon State University di laman web http://lpi.oregonstate.edu/infocenter/vitamins/vitaminC/.
Kesimpulan daripada institut ini adalah "Vitamin C suplemen meningkatkan paras oksalat, bagaimanapun kaitan antara peningkatan oksalat dalam air kencing dengan peningkatan risiko batu karang masih tidak diketahui."
Keputusan pelbagai kajian yang mengaitkan pengambilan vitamin C dan risiko batu karang adalah bercampur. Maksudnya terdapat kajian yang menunjukkan kaitan positif dan ada juga kajian yang menunjukkan kaitan sebaliknya (negatif).
Khasiat cuka epal
Sebuah kajian epidemiologi (sesetengah pakar tidak menerima pakai kajian jenis ini kerana ia tidak sejitu kajian intervensi sepertimana kajian double blind) iaitu kaji selidik terhadap sekumpulan lelaki dan sekumpulan wanita yang telah mengambil vitamin C dos tinggi dan rendah.
Sebuah kajian melibatkan 45,251 orang lelaki mengambil vitamin C selama 6 tahun manakala sebuah kajian lain melibatkan 85,557 orang wanita yang mengambil vitamin C selama 14 tahun. Golongan penyelidik mendapati mereka yang mengambil vitamin C lebih dari 1,500 miligram sehari tidak meningkatkan risiko batu karang.
Kedua-dua kajian dilakukan Curhan GC dibantu beberapa penyelidik lain dan masing-masing dilaporkan dalam Journal of Urology (Jun 1996) dan Journal of American Spociety of Nephrology (April 1999).
Berdasarkan keputusan kajian yang mengaitkan pengambilan vitamin C dan risiko batu karang yang bercampur, maka Insitut Linus Pauling termasuk ramai saintis dan pakar perubatan moden mencadangkan agar orang ramai yang mudah mengalami pembentukan batu karang berasaskan oksalat agar menjauhi suplemen vitamin C.
Dr Hunninghake iaitu doktor yang biasa menyuntik vitamin C kepada pesakit kanser dipetik berkata, "Ia (vitamin C) adalah selamat.
Idea yang menyatakan vitamin C menyebabkan batu karang tidak dapat dibuktikan... terdapat beberapa kajian oleh ahli-ahli urologi yang mendapati vitamin C dos tinggi tidak menimbulkan masalah."
Asid oksalik iaitu metabolit (produk yang terhasil apabila vitamin C menjalani metabolisme) vitamin C memang akan meningkat apabila seseorang mengambil vitamin C. Namun pembentukan batu karang berasaskan asid oksalik dan kalsium bergantung kepada pelbagai faktor.
Stres dan makanan tinggi protein dikatakan antara faktor yang mudah menyebabkan pembentukan batu karang. Sebarang penyakit atau keadaan yang menghalang penyerapan lemak oleh trek gastro usus juga dikatakan meningkatkan risiko batu karang jenis kalsium oksalat.
Jika anda mengalami batu karang atau mengambil vitamin C dos tinggi tetapi bimbang akan mengalami baru karang maka amalkanlah pengambilan cuka epal. Satu sudu besar diambil bersama setengah cawan air setiap pagi. Boleh juga diambil 1 - 2 dos sepanjang hari.
Mudah bukan?
Sebahagian besar pengamal perubatan moden dan pakar pemakanan konvensional tidak memberitahu anda tip ini kerana mereka tidak mempelajarinya.
Jamu selera sate besar
Oleh: ROSHLAWATY RAIEH, Foto oleh ROSLI TALIB
Tarikh: December 9, 2013
BIARPUN baru beroperasi pertengahan Februari lalu, namun sambutan terhadap Satay AK24 begitu menggalakkan. Bayangkan, untuk satu malam sahaja, Satay AK24 ini mampu terjual sebanyak 1000 cucuk. Benar-benar laris macam pisang goreng panas.
Pengarah Urusan Satay AK24, Izzati Izni Abdul Rahman, 30, akui rasa teruja dengan sambutan yang diterima apatah lagi kini sate tersebut sudah mempunyai pelanggan tetap.
Izzati atau lebih mesra di sapa sebagai Zzett berkata, terdapat beberapa jenis sate yang dijual di kios yang terletak di Restoran Bisik-Bisik, Seksyen 7, Shah Alam.
Sate ayam dan sate daging dijual dengan harga 80 sen secucuk, manakala sate kambing berharga RM1 secucuk. Ada seperkara lagi yang menarik mengenai Satay AK24 iaitu sate besar (ayam) yang dijual pada harga RM1.30 secucuk. Ia merupakan menu pilihan ramai untuk dinikmatinya dan dibawa pulang.
Beritahu Zzett, sate besar yang dijual di kiosnya memang jarang untuk ditemui di mana-mana kedai. Jadi, pada pelanggan yang datang ke situ, memang rugi jika tidak menjamu selera dengan sate besar sebagai pilihan utama.
"Sate besar ini, jika anda hanya makan dua cucuk sahaja, memang sudah kenyang. Apa tidaknya, beratnya sahaja sudah 50 gram untuk satu cucuk berbanding 20 gram bagi saiz biasa. Memang puas hatilah," kata Zzett sambil tersenyum.
Sementara itu, tidak lengkap kiranya hidangan sepinggan sate tanpa kuah kacang. Hadir dengan rasa yang sangat enak dan menyelerakan, kuah kacang Satay AK24 pastinya memberi kepuasan berganda buat anda.
Lontong daun pisang, merupakan satu lagi kelainan yang disajikan Satay AK24. Jika kedai lain menawarkan nasi himpit yang dimakan bersama sate dan kuah kacang, namun tidak bagi kios ini.
"Kita tidak mahu sama dengan orang lain. Sebab itu kita buat lontong daun pisang sebagai pengganti nasi himpit. Setakat ini, sudah ramai pelanggan memberi pujian," ujarnya.
Teknik bakar sate
Menjadi kebiasaan bagi setiap peniaga dalam memastikan sate yang dijual mendapat sambutan. Begitu jugalah dengan Zzett. Selain menyediakan sate yang sedap, teknik pembakaran juga amat dititikberatkan.
"Kami membakar sate bukan menggunakan api arang kayu sebaliknya menggunakan alat pemanggang bagi menjadikan sate masak sekata dan tidak mempunyai kesan arang.
"Pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama kerana tempoh memasak sate hanyalah sekejap," ujarnya.
Tambah Zzett, perniagaan yang diusahakan bersama suami, Fahmi Abdullah ada kalanya tidak menang tangan kerana permintaan yang tinggi sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu. Bagaimanapun, pelanggan tidak pernah merungut dan mereka menanti penuh sabar. Ditanya maksud AK24, Zzett berkata, A membawa makna Aura dan K bermaksud Kekayaan.
Gemar makan sate
"Satay Aura Kekayaan dan nombor 24 adalah nombor yang kami sukai.
"Kami letak nama ini sebagai simbolik kami inginkan kekayaan dan kejayaan dalam bidang yang diceburi ini," kata Zzett yang berhasrat membuka sebuah kilang sate kelak.
Beritahu Zzett, sejak kecil dia suka makan sate. Bila sudah dewasa, makin menjadi-jadi pula seleranya. Suami juga turut gemar makan sate.
"Dek hari-hari makan sate, timbul idea untuk buka perniagaan ini. Kebetulan mertua pakar dalam bab hidangan sate dan kuah kacang serta lontong.
"Dengan mereka saya belajar semua ini. Segala rahsia dapat saya tahu. Kiranya kejayaan sekarang ini adalah hasil tunjuk ajar dari mertua. Terima kasih segala-galanya," akhiri Zzett.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment