Tuesday, December 10, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 111213 besamaan 8 Safar 1435H

 

 

Pasport: Tidak perlu bawa gambar lagi

Oleh: ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Tarikh: December 11, 2013

PUTRAJAYA - Bermula 1 Mac 2014, rakyat Malaysia yang ingin memohon pasport antarabangsa, penyambungan pasport dan gantian pasport tidak perlu lagi membawa gambar ke pejabat Imigresen.

Ini kerana Jabatan Imigresen menyediakan khidmat rakaman gambar secara percuma bagi memudahkan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan itu ditawarkan menerusi peruntukan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penambahan senjata api kepada Jabatan Imigresen bagi memantapkan lagi penguatkuasaan.

"Keperluan ini berdasarkan penambahan anggota dan pegawai. Kita hanya akan beri berdasarkan jawatan mereka dan kita akan tentukan integriti mereka supaya tidak berlaku penyalahgunaan.

"Kementerian akan pastikan bahawa senjata itu mestilah diberikan kepada mereka yang telah mendapat latihan terlebih dahulu." katanya selepas merasmikan majlis Hari Imigresen 2013 di jabatan itu di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga telah melonggarkan sekatan visa bagi pelancong India dan China sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut beliau, pelancong India dan China akan diberikan visa semasa ketibaan (VOA) tetapi hanya untuk mereka yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga.

"Buat masa ini, pemegang pasport India dan China perlu memohon visa untuk berkunjung ke Malaysia. Namun kita tidak akan berkompromi jika ada yang datang untuk menimbulkan masalah sosial atau tidak pulang (ke negara asal mereka)," katanya.

Malaysia memansuhkan kemudahan VOA kepada pelancong dari lapan negara termasuk China dan India pada 2010 kerana banyak berlaku penyalahgunaan.

Dilaporkan ribuan pelancong telah menyalahgunakan VOA yang diperkenalkan pada 2006 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2007 kerana berada di negara ini melebihi tempoh.

Ditanya mengenai langkah menjejaki pelancong yang tinggal melebihi tempoh, Ahmad Zahid berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan.

 

 

Lelaki kantoi menyamar polis

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: December 11, 2013

IPOH - Perbuatan dua lelaki terlibat aktiviti pemerasan memperdaya seorang pekerja warga Bangladesh dengan menyamar sebagai anggota polis bukan sahaja tidak menjadi, malah mereka diberkas sekumpulan Rakan Cop yang sedang meronda di sekitar Menglembu kelmarin.

Seorang Rakan Cop, Ah Wah, 27, berkata, sebelum ini mereka menerima beberapa aduan mengenai kegiatan dua lelaki yang menyasarkan pekerja warga asing untuk mendapatkan habuan.

Menurutnya, ketika  kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seramai 50 orang melibatkan Rakan Cop, Rela dan Komuniti Buntong dibantu dengan polis terbabit dalam rondaan tersebut.

"Kami mendapat aduan daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang meminta bantuan selepas permit kerjanya ti Taman Perindustrian Chandan Raya di sini, dilarikan dua lelaki terbabit.

"Lelaki Bangladesh itu menyerahkan permit kerja selepas dua lelaki terbabit mendakwa mereka adalah anggota polis dan ingin melakukan pemeriksaan ke atasnya.

"Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila suspek meminta wang daripadanya. Dia menjerit meminta tolong hingga menyebabkan kedua-dua lelaki bertempiaran lari menyelamatkan diri," katanya.

Ah Wah berkata, mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menangkap kedua-dua lelaki terbabit di dua lokasi berasingan.

"Seorang daripada mereka lari masuk ke dalam longkang sebelum ditemui sedang bersembunyi di dalam kilang besi di Bandar Baru Menglembu manakala rakannya ditemui di premis makanan di Falim.

"Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu dibawa ke Balai Polis Menglembu untuk tindakan lanjut," katanya.

Keadaan bayi dibuang belakang kedai kini stabil

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 11, 2013

SUNGAI SIPUT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memfailkan perintah mahkamah bagi membolehkan seorang bayi perempuan yang dijumpai di Taman Lapangan Setia, di Ipoh diletakkan di bawah penjagaan sementara di sebuah rumah kebajikan di Kuala Kangsar.

Exco kerajaan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, JKM juga akan berusaha untuk mendaftarkan bayi tersebut dalam masa terdekat.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya akan mengambil langkah awal mendapatkan terbitan iklan di akhbar bagi mengesan waris kepada bayi berkenaan.

"Pagi tadi (semalam) saya ada melawat bayi tersebut dan keadaan bayi tersebut sihat dan selamat. Begitu pun, ada sedikit kesan lebam di badannya, jari pun seakan melecur," katanya kepada media, semalam.

Bayi seberat 2.4 kilogram yang masih lagi belum diketahui identitinya itu kini berada dalam keadaan sihat dan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Pada perkembangan sama, Rusnah turut menyelar tindakan individu yang membuang bayi sedangkan tempat perlindungan bayi ada disediakan di kawasan berhampiran tempat bayi tersebut dijumpai.

"Kalau tiada orang mendengar tangisan bayi tersebut, mungkin bayi itu sudah pun meninggal dunia. Nasib baik ada orang yang jumpa bayi itu. Kalau bayi itu diletakkan di tempat yang dikhaskan untuk bayi seperti itu, sudah pasti bayi itu akan selamat," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat ditinggalkan tidak berpakaian dalam keadaan tertiarap di lorong belakang sebuah kedai.

Bayi tersebut ditemui seorang juru kimpal yang kebetulan sedang melakukan kerja-kerja memasang jeriji besi bersama rakannya di sebuah kedai di situ.

Mahkamah Rayuan benar saman fitnah Khalid Samad

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah Anggota Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad terhadap Datuk Hamidah Osman berhubung penyiaran gambar beliau memakai jubah paderi dalam laman blog Ketua Penerangan Wanita Umno itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Abdul Khalid.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Hamidah membayar RM50,000 sebagai kos kepada Abdul Khalid. 

Mohamad Ariff juga memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi. 

Dalam penghakimannya, beliau berkata perkataan dan gambar dalam artikel itu terbukti satu fitnah. 

Panel itu turut dianggotai Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Abdul Khalid memfailkan saman terhadap Hamidah pada 2011 berhubung penyiaran artikel dan gambar 'superimpose' beliau di laman blog defendan pada Jan 2010. 

Penyataan tuntutan Abdul Khalid mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.    

Beliau menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlah, relif dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. 

Hamidah, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, dalam pembelaannya berkata Abdul Khalid, sebagai seorang jurutera, tidak layak mengulas isu berkaitan penggunaan kalimah Allah.   

Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Abdul Khalid. Beliau diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala Hamidah oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham. - Bernama

Mara akan perluas program Ulul Albab MRSM

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

MELAKA - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mewujudkan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor tahun depan menjadikannya MRSM keempat menawarkan program itu.

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata penambahan program berkenaan diluluskan kira-kira dua minggu lepas bertujuan meningkatkan kecemerlangan pendidikan khususnya berkaitan agama Islam.

Pada masa ini program Ulul Albab yang mengintegrasi pendidikan sains tulen dan aliran agama termasuk tahfiz al-Quran itu ditawar oleh MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan dan MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang,
katanya.

"Permintaan amat menggalakkan (bagi program Ulul Albab) dan kita dapati tahap disiplin pelajar juga amat memberangsangkan kesan daripada program ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Mara Daerah Seluruh Malaysia di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari sejak semalam itu dihadiri 106 peserta dari seluruh negara bertujuan merangka program-program baharu yang lebih komprehensif seiring dengan keperluan masyarakat.

Annuar berkata pihaknya menerima hampir 7,000 permohonan setiap tahun namun hanya kira-kira 400 tempat disediakan bagi program Ulul Albab di ketiga-tiga MRSM itu.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 400 pelajar bergelar hafiz al-Quran melalui program itu.

Program berkenaan akan diperluas ke negeri-negeri lain secara berperingkat dan keutamaan kemasukan ke MRSM berkenaan akan diberi kepada pelajar miskin dan luar bandar, katanya.

Bagaimanapun katanya peluasan program itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk sama ada mengadakannya di MRSM sedia ada atau membina MRSM baharu. - Bernama

Rusuhan di Singapura: Pintu masuk sentiasa dikawal

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa Malaysia sentiasa dalam kesiagaan mengawal semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada individu yang dikehendaki dalam kejadian rusuhan di Singapura Ahad lepas melarikan diri atau bersembunyi ke negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata pihak berkuasa Malaysia dan Singapura juga sentiasa bertukar maklumat dalam isu keselamatan termasuk menyekat dan menahan sesiapa pun yang dikehendaki kedua-dua
negara berjiran itu.

"Baru-baru ini juga kita telah mencapai persetujuan dengan Singapura dan Indonesia supaya negara-negara yang berjiran ini memberi amaran dan maklumat awal supaya berjaga-jaga dan untuk mengesan mana-mana penjenayah yang melarikan diri ke negara lain," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Wan Junaidi bagaimanapun berkata sehingga kini beliau masih belum menerima maklumat sama ada terdapat individu yang terbabit rusuhan itu telah melarikan diri ke Malaysia.

Dalam insiden Ahad malam itu di Singapura, warga India Sakthivel Kumaravelu, 33, terbunuh selepas dilanggar sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire, mencetuskan rusuhan melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan
sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera di kawasan Little India.

Ditanya mengenai laporan media bahawa seorang rakyat Malaysia ditahan dan dibebaskan berhubung insiden itu, Wan Junaidi berkata ia adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa republik itu.

"Jika ada rakyat kita buat salah, itu terpulang pada Singapura untuk mengambil tindakan. Begitu juga pada rakyat mereka. Kita tetap mengambil tindakan jika mereka menjadi pesalah trafik atau penjenayah," katanya. - Bernama

Mayat lelaki dibalut selimut putih ditemui

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

BUKIT MERTAJAM - Misteri bau busuk di kawasan berdekatan Kuari Weng Lee, Berapit di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki yang telah kembung hari ini.    
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata mayat lelaki berbogel dan dibalut selimut putih itu ditemui pada 10.35 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
    
Katanya berdasarkan keadaan mayat itu, lelaki berkenaan dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di tepi semak kawasan itu.
    
Beliau berkata, orang awam yang tidak tahan dengan bau busuk telah membuka bungkusan itu dan terkejut mendapati mayat seorang lelaki dengan keadaan kaki dan tangannya terikat.
    
"Mereka kemudian memaklumkan penemuan itu kepada polis dan siasatan  awal mendapati mangsa telah mati sejak beberapa hari lepas dipercayai  dibunuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
    
Azman berkata polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan mayat itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.
    
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan, katanya. - Bernama

Banjir Pahang, Johor, Terengganu kian reda

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Pahang, Johor dan Terengganu semakin reda petang ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan.   

Di KUANTAN, hampir separuh mangsa banjir yang direkodkan di Pahang pagi tadi telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan jumlah berkurangan kepada 7,582 orang petang ini, berbanding 12,579 orang.

Menurut Jucucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 4 petang ini, terdapat 1,791 keluarga yang ditempatkan di 110 pusat pemindahan dari 96 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.

"Pekan menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,243 orang di 36 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mangsa banjir di Kuantan yang berjumlah seramai 6,454 orang pagi tadi telah berkurangan kepada 2,061 orang yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan manakala Temerloh (884 orang di 19 pusat pemindahan), Maran (699 di 15 pusat), Jerantut (329 di sembilan pusat), Bera (317 di tujuh pusat), Rompin (33 di dua pusat) dan Lipis (16 di satu pusat).

Sementara itu, satu jalan utama di Km14 Jalan Temerloh-Triang masih ditutup kepada semua kenderaan.

Di JOHOR BAHARU, mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Segamat semakin berkurangan dengan seramai 266 orang daripada 63 keluarga berada di enam pusat pemindahan petang ini berbanding 273 orang daripada 64 keluarga pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor ketika dihubungi berkata sehingga pukul 4 petang, seramai 28 orang masih berada di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (66 orang), Balai Raya Pogoh 2 (45 orang), Sekolah Agama Kampung Kuala Paya (26 orang), Balai Raya Kampung Tandong (85) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16).

"Hujan renyai di kesemua kawasan terjejas itu dan keadaan 'banjir termenung' menyebabkan kesemua mangsa belum boleh pulang ke rumah masing-masing," menurut jurucakap itu.

Di KUALA TERENGGANU, banjir gelombang kedua melanda daerah Hulu Terengganu hari ini menyebabkan 317 mangsa daripada 77 keluarga dipindahkan setakat 3 petang ini.

Mereka ditempatkan di tujuh pusat penempatan iaitu Balairaya Kampung Tapah, Surau Tok Lawit, Balairaya/Masjid Kampung Sekayu, Kampung Baong, Kampung Landas (rumah keluarga), Balairaya Kampung Cheting dan Surau Kampung Gerdong.    

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa mula dipindahkan kira-kira 9 pagi hingga 2 petang ini setelah kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Beliau berkata pada umumnya banjir di Terengganu semakin beransur baik iaitu seramai 12,460 mangsa masih berada di 41 pusat pemindahan petang ini berbanding 14,609 pada sebelah pagi.

Di Kemaman, mangsa yang dibenarkan pulang hari ini seramai 2,149 daripada 13,335 mangsa dicatatkan sebelah pagi tadi dengan melibatkan 37 pusat penempatan.

Di Dungun masih terdapat 1,249 mangsa banjir yang ditempatkan di tiga lokasi pusat pemindahan berbanding 1,251 pada sebelah pagi tadi manakala di Marang hanya berbaki 10 orang di satu lokasi pusat penempatan daripada 23 mangsa pada pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran peringkat jingga di seluruh Terengganu dan Kelantan kecuali daerah Gua Musang. - Bernama

 

 

Bekas pengerusi NFCorp dipanggil semula

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tipu ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula Mohamad Salleh mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 20 Feb tahun depan untuk mendengar keterangan beliau.    

Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan pihaknya akan menyoal balas saksi ke-42 itu berhubung peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang namanya disebut dalam kelima-lima pertuduhan terhadap Shamsubahrin.

Pada 26 Nov lepas, Rozilah meminda lima pertuduhan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan nama Dr Mahathir apabila memutuskan Shamsubahrin perlu membela diri terhadap pertuduhan menipu itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Shamsubahrin didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh serta menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 Nov 2011 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.    

Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat serta diberi kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan Petaling Jaya antara 25 Nov dan 5 Dis 2011.

Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.   

Dia juga diperintah membela diri terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama

Khir mohon maaf, kes saman fitnah Teresa selesai

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah RM30 juta yang difailkan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selesai selepas Dr Mohamad Khir mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini.
    
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu selepas Dr Mohamad Khir, yang diwakili peguam M.Athimulan, membacakan permohonan maaf itu.
    
Dr Mohamad Khir ketika membacakan permohonan maaf itu berkata:"Saya, Mohamad Khir, defendan pertama dalam kes saman ini, tanpa pengakuan liabiti, memohon maaf kepada Teresa kerana menyiarkan penerbitan dalam blog saya www.drkhir.com pada 9 Julai 2008 seperti yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan. Saya kesal menyiarkan artikel itu dan bersetuju untuk membayar kos".
    
Terdahulu, peguam S.N. Nair, yang mewakili Kok memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk tidak meneruskan samannya terhadap Dr Mohamad Khir.
    
Mahkamah juga membenarkan saman itu tidak diteruskan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baharu.
    
Pada 23 Disember 2008, Kok memfailkan saman terhadap Dr Mohamad Khir dan Utusan Melayu (M) Berhad berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara di sini, yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 September 2008.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad Khir telah memetik sebuah blog dan membuat tuduhan salah terhadapnya manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor".
    
Kok mendakwa tuduhan kedua-dua defendan adalah tidak berasas, berniat jahat dan membawa maksud bahawa plaintif bersifat perkauman, seorang ahli politik yang anti-Islam dan tidak bertoleransi.
    
Bagaimanapun, kes saman terhadap Utusan Melayu selesai apabila Kok menarik balik saman itu pada 27 November lepas. - Bernama

Langgar lari: Polis minta pemandu lori tampil

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

SANDAKAN - Polis hari ini meminta seorang pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang wanita warga emas pada Ahad lepas supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang di Batu 13 Jalan Labuk di sini ketika wanita berusia 81 tahun itu sedang melintas jalan lalu dilanggar lori yang dalam perjalanan ke bandar Sandakan.

Mangsa yang cedera parah di seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian.   

Rowell berkata lori yang tidak diketahui nombor pendaftarannya itu segera meninggalkan tempat kejadian manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau menasihati saksi kejadian segera tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zabir di talian 089-242254 bagi membantu siasatan. - Bernama

Syiah: Jakim tunggu KDN dedah bukti dulu

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - [VIDEO] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya akan mengambil tindakan terhadap pemimpin nombor dua Pas selepas pendedahan bukti dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jabatan itu sedang bekerjasama dengan KDN untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin seperti yang didakwa.

Menurut Jamil, tindakan yang akan diambil kelak, bukan hanya tertumpu kepada "orang nombor dua" Pas itu tetapi kepada semua yang mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita akan berbincang bersama dengan KDN, kita nak tengok bagaimana pendedahan, sebab di Malaysia adalah muzakarah fatwa, mengharamkan Syiah kerana ia terkeluar daripada pegangan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita akan berbincang kita akan dapat maklumat, sebab pendakwaan perlukan bukti yang kukuh," katanya pada sidang media selepas perasmian  sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013, di PWTC, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu mendakwa, pemimpin nombor dua Pas terlibat dengan ajaran Syiah.

Beliau juga menegaskan akan mendedahkan bukti bersabit dakwaannya itu.

Jamil yang diminta mengulas lanjut berkata, tindakan tetap akan dikenakan ke atas pihak yang terlibat tanpa mengira sama ada mereka ahli politik atau sebagainya.

"Saya sebut begini, nombor satu nombor dua, nombor tiga, atau nombor empat tak kira, dalam Syiah ini dia merentasi kepada semua parti-parti, ia tak terikat kepada parti.

"Siapa yang terlibat dengan Syiah, asalkan dia orang Malaysia, Islam di Malaysia dan terikat dengan Syiah...ia akan diambil tindakan di mahkamah syariah di bawah kuasa negeri seperti jadual 9 perlembagaan negeri," katanya lagi.
 

Banjir: Laluan Paka-Kertih ditutup

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KEMAMAN - Laluan utama dari Paka ke Kertih di sini ditutup selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal hari ini.

Penolong Setiausaha Keselamatan (Penerangan) Majlis Keselamatan Negara Ahmad Redza Arshad berkata jalan utama itu terpaksa ditutup selepas ditenggelami air kira-kira satu meter.

"Hujan lebat sejak 2 pagi di sekitar Dungun menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Air dari Bukit Bauk mengalir laju ke jalan, menyebabkan laluan di Durian Mentangau dilimpahi air dan tidak boleh dilalui semua kenderaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata beberapa kawasan di Marang dan Hulu Terengganu turut dinaiki air sedalam setengah meter, dengan penduduk diminta berjaga-jaga.

"Setakat ini masih di paras amaran, malah tidak ada penduduk yang dipindahkan," katanya.

Sementara itu, usaha Bernama untuk membuat liputan bantuan Felda kepada mangsa banjir bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih di Felda Seberang Tayor dekat sini terbantut selepas jalan Chukai-Air Putih yang menghala ke situ dinaiki air.

Tinjauan juga mendapati Jalan Sungai Pinang ke Kampung Sungai Pinang berdekatan bandar Kemaman turut dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat. - Bernama

Siling Hospital Serdang runtuh untuk kali ke-6

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - Kualiti pembinaan Hospital Serdang terus menjadi persoalan apabila insiden siling runtuh kerap kali berulang, termasuk yang terbaru semalam. 

 

Runtuhan yang berlaku semalam menjadikan ia insiden keenam yang dicatatkan berlaku di hospital itu, selepas kali terkakhir dilaporkan pada 4 Disember lalu. 

 

Menurut Utusan Malaysia, insiden semalam berlaku di kuarters yang menempatkan kakitangan hospital berkenaan. 

 

Runtuhan siling dalam tandas sebuah rumah kakitangan di Blok D itu hampir mencederakan isteri dan empat anak kakitangan hospital tersebut.

 

Menurut laporan itu lagi, kerosakan di kuarters itu bukan hanya melibatkan siling tetapi bahagian lain turut bermasalah seperti lantai menggelembung dan kerosakan paip air. 

 

Akibatnya ramai kakitangan tertekan dengan masalah itu dan dipercayai berpindah sama ada ke kuarters lain atau menyewa di luar. 

 

Berikut info kejadian siling runtuh di Hospital Serdang:-

 

30 Januari 2011 - Runtuhan di lobi utama hospital, tiada kecederaan dilaporkan.

 

30 Januari 2012 - Sebilangan orang awam nyaris dihempap runtuhan siling berukuran 10 meter di lobi utama hospital apabila kedian sama berulang. 

 

13 Ogos 2012 - Sekali lagi runtuhan berlaku dan menyebabkan tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan cedera.

 

30 September 2013 - Kakitangan dan pesakit di wad bersalin (PAC) Hospital Serdang cemas apila beberapa keping siling runtuh sekitar 4.30 pagi. 

 

14 November 2013 - Beberapa keping siling berukuran 3 X 3 meter jatuh ke Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

 

4 Disember 2013 - Hampir 10 keping siling runtuh di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Serdang berhampiran kaunter jururawat. 

 

9 Disember 2013 - Kuarters kakitangan Hospital Serdang pula mengalami insiden runtuhan siling.

 

Rusuhan: 5 polis bantuan Malaysia cedera

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Lima anggota polis bantuan warga Malaysia yang memiliki status penduduk tetap di Singapura, cedera ringan semasa membantu polis Singapura menangani rusuhan yang berlaku di Little India, Singapura pada Ahad.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, perkara itu dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Polis Singapura kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

"Lima rakyat Malaysia itu yang bekerja di tiga firma keselamatan utama diambil bertugas oleh kerajaan Singapura untuk membantu polis Singapura dalam operasi berkenaan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kata Polis Singapura, seorang rakyat Malaysia turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan terbabit dalam rusuhan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan konsular yang perlu kepada rakyat Malaysia yang terjejas dengan diselaraskan bersama pihak berkuasa Singapura.

Insiden itu adalah urusan dalaman Singapura dan Wisma Putra sering mengingatkan rakyat Malaysia yang berkunjung, bekerja atau tinggal di luar negara supaya menghormati undang-undang negara tuan rumah, sama seperti Malaysia mengharapkan warga asing yang tinggal di negara ini supaya mematuhi undang-undang di sini, menurut kenyataan itu.

Pada Ahad malam, rusuhan tercetus di Little India, susulan kemalangan maut membabitkan seorang warga India berusia 33 tahun.

Dalam insiden itu, yang pertama dalam sejarah Singapura sejak merdeka, 27 warga asing dari Asia Selatan ditahan bagi membantu siasatan.

Sepuluh anggota polis cedera manakala lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa kenderaan persendirian pula rosak. - Bernama

Anak bekas KPN meninggal dunia

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM -  Anak kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar, Ahmad Jamal Omar, 40, meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang, awal pagi tadi.

Difahamkan Allahyarham yang mengalami kecederaan di kepala ditemui kira-kira jam 6.30 pagi, di Seksyen 11, di sini.

Jenazah sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Kes culik dipindah ke mahkamah tinggi

Oleh: TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - Mahkamah Majestret  pagi tadi membenarkan kes empat lelaki yang menghadapi tuduhan menculik penganggur, Ng Mun Tatt bagi mendapatkan wang tebusan RM3,000 di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Julai lalu dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Majistret Nurul Syahida Zainal membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sunip.

Mohamad Asri Mohamad Jamil, 22, Mohd. Mazli Sazeli, 26, Zulkarnain Abdul Rahman, 29, dan Agus Hariyanto Mahmod Hosen, 27 menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka bakal menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa bersama dua lagi yang masih bebas dengan niat bersama telah menahan Mun Tatt, 21, dengan maksud untuk mendapatkan wang tebusan RM3,000.

Juruteknik,Mohamad Asri, jurulatih tomoi, Mohd. Mazli, penyelenggara bangunan Zulkarnain, dan peniaga Agus Hariyanto yang berniaga didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Muneer, No. 1 Jalan Merdu 25/119 Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 15 Julai lalu.

Mereka ditahan pada 16 Julai lalu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ampang dan Kampung Medan, Petaling Jaya, sehari selepas kejadian tersebut.

Ketika kejadian Mun Tatt sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Taman Sri Muda sebelum diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta Toyota Alphard.

Gempa bumi sederhana landa Volcano Islands, Jepun

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda Volcano Islands di Jepun pada 9.27 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa itu berpusat di 1,406km tenggara Hamamatsu di Jepun dan 3,302km timur laut Sandakan di Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, menurut kenyataan jabatan itu. - Bernama

Amaran kedua angin kencang di Pahang, Johor

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang dan Johor Timur akan berlarutan sehingga 16 Disember ini.

Memuatnaik amaran itu menerusi portal rasminya, Jabatan Meteorologi berkata, ia adalah amaran kategori kedua kepada orang awam.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," tulis petikan itu.

Sementara itu, amaran ribut petir menyeluruh diramalkan meliputi kawasan perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak (Bintulu & Miri), WP Labuan & Sabah (Pantai Barat) dijangka berterusan sehingga tengahari ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

'Hidup atau mati'

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: December 10, 2013

MELAKA - Hidup atau mati. Itulah apa yang dirasai hampir semua mangsa bot hanyut di perairan Selat Melaka, Sabtu lalu selepas bot tersebut dilanda ribut, dipukul ombak sebelum terbalik.

Malah, bagaikan memperoleh peluang hidup kali kedua, apabila bot jenis Assault dinaiki 13 tentera selamat kembali ke pantai kira-kira 1.20 pagi semalam selepas hampir 28 jam mereka bertarung nyawa berhadapan detik cemas di tengah lautan.

Pengalaman itu pastinya akan menjadi ingatan yang sukar dilupakan 11 pelatih Kursus Asas Komando dan dua jurulatih daripada Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) ketika menjalani latihan mendayung ke Pulau Nangka berhampiran Pulau Besar.

Pada malam kejadian, empat buah bot jenis Assault dan Titan dinaiki 35 pelatih, 10 jurulatih dan seorang pegawai dilanda ribut berhampiran Pulau Upeh dan hampir karam kira-kira 9.30 malam.

Namun, dua bot berjaya ditarik ke Pulau Upeh sementara bot dinaiki 13 mangsa gagal dikesan menyebabkan usaha mencari dan menyelamat dilakukan.

Seorang  pelatih berusia 19 tahun yang berasal dari Pedas, Negeri Sembilan berkata, dia hanya mampu berpaut pada bot sambil bibirnya tidak berhenti membaca surah al-Fatihah.

"Hanya ALLAH yang tahu ketakutan yang dialami kami selepas bot terbalik. Tapi kami tabahkan hati dan cuba merapat dalam satu kumpulan demi mengelak daripada hanyut dan lemas.

"Dalam keadaan gelap kami terbalikkan semula bot sebelum cuba membuat layar, namun gagal apabila bot pula semakin dihanyutkan menuju ke tengah laut," katanya ketika ditemui di Hospital Tentera Darat, Kem Terendak di sini, semalam.

Pelatih komando itu berkata, mereka dihanyutkan sehingga memasuki perairan antarabangsa dan perasaan takut kembali menjelma apabila berada terlalu lama dalam air.

Sementara itu, seorang lagi mangsa berusia 19 tahun dari Alor Setar, Kedah berkata, jurulatih cuba membaiki enjin bot pada malam kejadian dan keesokan harinya, tapi masih gagal.

"Jadi, kami berusaha dengan pelbagai cara termasuk mendayung menggunakan bekas makanan dan sebatang pendayung buatan.

"Nasib menyebelahi kami apabila usaha menghidupkan enjin kali ketiga berjaya dan kami terus rapat ke darat," katanya.
  

Pelayan restoran nyaris maut bilik sewa terbakar

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KOTA KINABALU - Seorang pelayan restoran nyaris maut selepas bilik sewanya di tingkat tiga sebuah blok kedai tiga tingkat di Pekan Putatan dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira 10.50 pagi ini.
 
Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Jen Jik, 23, berkata ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur selepas bekerja sehingga lewat pagi dan tidak menyedari kebakaran di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu.
    
"Saya cuma tersedar apabila ada orang mengetuk pintu bilik dan minta saya segera keluar," kata wanita itu yang kelihatan masih terkejut, ketika ditemui di tempat kejadian.
    
Jen berkata dia meredah asap untuk keluar dari bilik sebelum api merebak dengan cepat dan membakar keseluruhan bilik sewanya.
 
Seorang pelajar, Nordina Basaruddin, 15, pula berkata dia berada di sebuah kedai berhampiran ketika melihat asap keluar dari satu daripada unit kedai di blok bangunan tiga tingkat itu.
    
Katanya semua orang yang berada di dalam restoran serta kedai kain dan tilam di tingkat paling bawah bangunan itu kemudian bergegas keluar meninggalkan premis berkenaan.
   
Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Hamsa Isnurdini berkata lapan unit rumah kedai menempatkan restoran, kedai kain dan tilam serta stor karpet dan farmasi musnah dalam kebakaran itu.
    
Hamsa berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 10.55 pagi sebelum menggegaskan lima jentera dari balai bomba Penampang dan Kota Kinabalu serta bantuan pasukan bomba tentera dengan kekuatan 45 anggota.
    
Katanya pihaknya dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke unit kedai bersebelahan sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.30 tengah hari.
 
Hamsa berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba. - Bernama

Banjir kali ini 'bagai tsunami kecil'

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KEMAMAN - 'Bagai tsunami kecil', itu anggapan penduduk Kemaman yang teruk dilanda banjir kali ini, ketika menghadapi saat air banjir yang naik begitu cepat dan mengalir deras melanda kediaman mereka beberapa hari lalu.

Penduduk di Kampung Air Putih dan Kampung Telandas, kawasan paling teruk terjejas banjir, masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka, terutama ketika hujan lebat turun mencurah.

Rohana Bakar, 52, dari Kampung Air Putih menyifatkan kejadian banjir tahun ini amat dahsyat kerana arus deras meranapkan beberapa buah rumah dan kedai di kampungnya.

"Saya lihat sendiri air banjir yang mengalir deras melanda Kampung Air Putih ini, tidak ubah seperti tsunami yang pernah melanda negara suatu masa lalu, cuma kecil sedikit.

"Sebahagian dinding warung milik saya antara yang hilang dibawa arus deras," katanya ketika ditemui Bernama di warungnya yang hampir roboh di sini.

Rohana berkata ketika meredah air banjir perasaan takut masih menyelubunginya setelah melihat kereta serta beberapa peralatan lain terapung dihanyutkan air yang hampir menenggelamkan kampung mereka ketika bencana berlaku.

Beliau sudah lebih 23 tahun berniaga di kawasan itu dan ketika berusaha menyelamatkan diri bersama cucu lelakinya yang berusia 11 bulan, mereka nyaris lemas dibawa arus namun berjaya diselamatkan anggota keluarga yang lain.

"Masa itu pukul 1 pagi, makcik dan keluarga mula pindah ke pejabat pos berhampiran rumah. Disebabkan air naik cepat dan arus deras, makcik guna tali dibawa ahli keluarga dan tersadung jatuh ke dalam arus," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir Syukri Ahmad, 40, berkata rumahnya musnah dihanyutkan arus deras banjir.

Tetapi beliau lebih risaukan keselamatan isterinya yang mengandung lima bulan dan tiga anaknya yang berumur 3 hingga 11 tahun, dan sebab itu beliau segera memindahkan mereka ke kawasan selamat ketika air dilihat naik mendadak.

"Lepas hantar isteri dan anak, saya pulang sendiri mahu mengemas barang. Masa sampai ke rumah, air sudah kira-kira setengah meter naik dan saya hanya kemas mana yang patut seperti dokumen penting sebelum bergegas meninggalkan kediaman ketika air naik ke paras dada.

"Namun keesokan harinya ketika mahu meninjau keadaan rumah, rakan-rakan saya kata rumah pusaka yang saya duduki itu musnah dihanyutkan air dan saya betul-betul terkejut," kata Syukri.

Beliau berkata kampung itu sering dilanda banjir namun tidaklah pernah seteruk kali ini sehingga beberapa buah rumah penduduk kampung lesap dibawa arus.

Sementara itu, Norhayati Jusoh, 38, berkata beliau terpaksa memecah masuk Pejabat Pos dan tinggal di tingkat atas bangunan itu kerana tidak sempat untuk pergi ke pusat pemindahan banjir yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya. 

"Semua barang rosak dan wang tunai lebih RM10,000 hasil perniagaan jualan langsung turut hilang," katanya.

Menurutnya, suasana di pejabat pos itu sangat menakutkan ketika itu, namun mereka terpaksa bertahan semalaman, sebelum air surut keesokannya. - Bernama

Pekerja tanggung ganti rugi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SENAI – Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah seorang remaja yang dituntut membayar ganti rugi kepada pembeli kamera digital selepas majikan yang menawarkan pekerjaan dalam talian kepadanya melarikan diri.

Lam Kok Hoong, 18, berkata, dia sebelum itu mencari pekerjaan di dalam sebuah laman forum dan dihubungi seorang lelaki yang menawarkan pekerjaan kepadanya dengan gaji RM2,600 sebulan.

Dia yang bersetuju dengan tawaran kerja berkenaan kemudiannya diminta membuka empat akaun bank dan menyerahkan buku akaun termasuk kad pengeluaran automatik kepada lelaki berkenaan.

Katanya, demi menambah sumber pendapatan, dia telah membenarkan lelaki berkenaan menggunakan akaun laman sosial sebagai promosi menjual kamera digital manakala transaksi pembayaran oleh pembeli dibuat melalui akaun bank yang dibuka.

Bagaimanapun katanya, dia mula mengesyaki ditipu apabila terdapat sekumpulan pembeli meminta ganti rugi darinya selepas kamera yang dipesan tidak dihantar kepada mereka sedangkan pembayaran telah dilakukan.

Kok Hoong berkata, selepas kejadian itu dia cuba menghubungi lelaki berkenaan namun tidak berjaya sebaliknya terpaksa membayar ganti rugi RM3,000 kepada seorang pembeli yang sering mengganggunya.

Pencuri tersilap pilih lori

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

BAGAN SERAI - Gara-gara tersilap memilih lori, sekumpulan pencuri berputih mata kerana terpaksa meninggalkan dua lori dicuri di tepi jalan berikutan kedua-duanya kehabisan minyak.

Dalam kejadian jam 3 pagi kelmarin, pemilik sebuah kenderaan, Heng Yong Foo, 49, dimaklumkan seorang peniaga lain bahawa lori jenis Daihatsu miliknya hilang dari tempat letak kenderaan di premis perniagaan Sungai Gedong, di sini.

Yong Foo berkata, setelah dimaklumkan, dia segera mencari lori itu di sekitar kawasan premisnya, namun gagal.

"Ketika sibuk mencari lori, saya ternampak sebuah kenderaan milik sebuah syarikat menjual barangan elektrik di Parit Buntar diletakkan tidak jauh dari premis niaga saya dalam keadaan mencurigakan.

"Saya segera menghubungi Pasukan Keselamatan Sukarelawan Bagan Serai bagi melaporkan kejadian itu serta membuat laporan di Balai Polis Semanggol pada yang sama," katanya ketika ditemui di Sungai Gedong, di sini.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, anggota polis memulakan  siasatan manakala anggota pasukan keselamatan membantu mengesan lorinya.

Dia turut dimaklumkan oleh anggota polis bertugas bahawa lori milik sebuah syarikat barangan elektrik itu telah dicuri dan ditinggalkan berhampiran premisnya setelah kehabisan minyak.

"Polis turut memberitahu lori miliknya kemungkinan dicuri penjenayah berkenaan untuk meneruskan usaha melarikan diri setelah kenderaan awal yang dicuri kehabisan minyak.

"Pada jam 6.30 petang semalam (kelmarin) Ketua Pasukan Keselamatan Sukarelawan Bagan Serai, Ooi Bing Soon memaklumkan lori saya dijumpai berhampiran sebuah hotel di Jalan Siakap, di sini," katanya.

Yong Fong berkata, dia segera ke lokasi kejadian dan bersyukur lorinya ditinggalkan dalam keadaan asal.

"Polis juga datang untuk membuat siasatan dan mendapati lori saya ditinggalkan pencuri disebabkan kehabisan minyak.

"Saya rasa pencuri itu bernasib malang kerana tersilap pilih lori. Saya berharap polis memantau jenayah jalanan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini," katanya.

Basikal dirempuh van, warga emas maut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

PERAK - Seorang warga emas yang baru pulang selepas menunaikan solat subuh di surau maut apabila basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 4, Jalan Terusan, Tanjung Piandang, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa, Mat Desa Salleh, 71, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat tercampak sejauh lima meter dari lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa dirempuh sebuah van yang datang dari arah Tanjung Piandang menghala ke Sungai Kota di sini.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Saksi kejadian, Zainal Abidin, 62, berkata, dia baru selesai menunaikan solat subuh di rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.

Katanya, dia segera keluar dari rumah dan mendapati seorang warga emas terbaring tidak bermaya akibat dilanggar sebuah van.

"Saya cuba membantu mangsa yang juga kenalan saya, namun mangsa didapati sudah meninggal dunia," katanya.

Tuduhan melulu jejas periuk nasi peniaga

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

IPOH – Pengguna laman sosial diminta hati-hati dalam mengeluarkan dakwaan tidak benar sehingga boleh menjejaskan periuk nasi peniaga makanan terlibat.

Pengerusi Dewan Perniagaan India Muslim Perak, Mohamed Burhan Mohd Alahudin berkata, kes sebegitu bukan sahaja menjejaskan peniaga malah memberi persepsi negatif pelancong luar terhadap budaya dan makanan tradisi negara.

"Kes yang terjadi baru-baru ini bukan hanya memberi kesan kepada ahli dewan terlibat tetapi keseluruhan peniaga India Muslim termasuk di Kuala Lumpur," katanya pada Seminar Pengurusan Kesihatan Restoran yang disertai 67 pengusaha restoran seluruh negeri semalam.

Seminar berkenaan disertai tiga panel iaitu Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri, Tajuddin Hamzah; Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Daerah Kinta, Mohd Zambri Mohd Zin dan Penguasa Kesihatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), M Raman.

Pada masa sama, Mohamed Burhan berkata, pihaknya tidak menyokong tindakan ahli-ahlinya yang memandang ringan terhadap kebersihan dan kualiti makanan.  

Katanya, seminar itu membuka mata pengusaha terhadap aspek-aspek kebersihan persekitaran dan keselamatan yang perlu dititik beratkan mengikut perundangan Jabatan Kesihatan.

Pondan warga Thailand, Laos kena cekup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

IPOH - Sekumpulan pondan warga asing bertempiaran lari sambil menjerit-jerit bagi mengelakkan ditahan anggota Jabatan Imigresen Perak dalam operasi khas yang dijalankan di Jalan Yang Kalsom, malam kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TTPI) Perak, Fara Natasha Ghafar berkata, bagi memastikan operasi tersebut berjaya, sekumpulan pegawainya menyamar sebagai pelanggan bagi memastikan pondan warga asing yang menawarkan khidmat seks itu dapat ditahan dengan mudah.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan selepas mendapat aduan daripada orang awam.

"Lazimnya, pelacur pondan itu akan menunggu pelanggan di kaki lima kedai sebelum menawarkan khidmat seks di bilik sewa yang disediakan di kawasan berhampiran," katanya semalam.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan pondan terbabit turut bertindak agresif bergelut dengan anggota bertugas.

Katanya, bagaimanapun selepas dikejar sejauh 50 meter, mereka berjaya diberkas.

"Dalam operasi tersebut, kami menahan sembilan pelacur pondan warga Thailand dan dua pelacur warga Laos lengkap berpakaian wanita.

"Hasil siasatan awal mendapati, mereka melanggar syarat pas lawatan sosial diberikan," katanya.

Fara Natasha berkata, golongan pelacur pondan terbabit akan mengumpul wang sebanyak mungkin untuk dibawa pulang ke negara asal sebelum tamat tempoh sah berada di negara ini dan mereka dipercayai akan masuk semula ke negara ini untuk menjalankan kegiatan sama.

Usaha kurang populasi lalat

Oleh: ISMANIZA AHMAD

Tarikh: December 10, 2013

IPOH – Kerajaan negeri dicadangkan supaya mewartakan atau mewajibkan petani menggunakan baja organik iaitu najis ayam atau ternakan lain yang dirawat dan terbukti mengurangkan populasi lalat sama ada di ladang atau kebun.

Adun Trong, Dr Zabri Abdul Wahid berkata, punca utama masalah lalat di seluruh Perak adalah ternakan ayam melibatkan seramai 616 pengusaha beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, ia menghasilkan pendapatan RM1.2 bilion setahun untuk kerajaan negeri. Katanya, bagaimanapun, hanya 20 peratus pengusaha menggunakan sistem tertutup manakala bakinya masih menjalankan penternakan secara terbuka.

"Kebanjiran lalat  di seluruh negeri dari Changkat Jering ke Trong, Pengkalan Baharu, Manjung, Lumut termasuk Pengkalan Hulu, Gerik dan Lenggong disebabkan lalat terbang bersama ayam matang untuk dijual," katanya.

Beliau berkata, najis ayam yang dijadikan baja organik tanpa dirawat adalah tempat sesuai untuk lalat membiak kerana keadaannya lembap dan busuk.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perak itu berkata, jika petani tidak menggunakan baja terawat, ia akan menyebabkan jumlah lalat berganda.

Katanya, dengan sedikit usaha daripada pengusaha ternakan, mereka boleh merawat sendiri baja itu menggunakan bahan yang mempunyai bakteria berguna untuk menyahbau dan mengurangkan bau busuk najis.

"Antara produk dari Mardi yang diguna pakai untuk tujuan itu adalah Gen Kimo yang  boleh disemburkan dalam reban atau dicampurkan dengan makanan ternakan.

"Ia terbukti. Ada ladang kambing di Slim River yang menggunakan bahan ini tidak mengeluarkan bau kurang menyenangkan," katanya.

Sementara itu, atas keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengenai masalah lalat yang membelenggu rakyat di negeri ini, satu jawatankuasa khas ditubuhkan ketika Sidang Dun baru-baru ini untuk mencari jalan penyelesaiannya

Semuanya mahal!

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SUNGAI NIBONG - Semuanya mahal di Pesta Pulau Pinang! Itulah yang dirungutkan beberapa pengunjung di Tapak Pesta Sungai Nibong itu.

Pengunjung, Radziah Mustapa berkata, dia hairan berikutan harga makanan dan permainan dalam pesta tersebut semakin mahal.

Menurutnya, sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku memandangkan pengunjung sudah pun membayar harga tiket masuk.

"Saya dan anak membeli makanan ringan bergoreng seperti nuget, sosej dan kebab, namun agak terkejut kerana harga makanan di sini dua kali ganda lebih mahal dari luar.

"Contohnya harga nuget RM2 sementara kebab RM3 dan sosej RM3. Jika saiz atau jumlah makanan tersebut lebih banyak dari luar tidak mengapa, namun menyakitkan hati apabila keadaan lebih teruk dari itu,," katanya.

Bukan saja makanan, harga bayaran untuk permainan dalam tapak pesta juga langsung tidak munasabah.

 Zikri Zahari dari Sungai Ara berkata, kesemua pengunjung perlu terlebih dahulu menukar tunai mereka kepada token sekiranya mahu bermain alat permainan yang disediakan dalam pesta tersebut.

Namun mengejutkan apabila harga yang dikenakan untuk satu token bernilai RM2 bukannya RM1 seperti biasa.

Menurutnya, bayaran token paling mahal ialah sebanyak RM10 bersamaan dengan lima token untuk satu-satu permainan.

"Anak saya mahu masuk ke rumah hantu yang disediakan dan kami bayar RM10 iaitu lima token, tapi ia langsung tidak berbaloi kerana tidak kena dengan harga, begitu juga dengan beberapa jenis permainan lain yang mengenakan harga sebanyak RM8 hingga paling murah RM2.

"Kalau boleh kerajaan negeri mahupun penganjur kena bertimbang rasa dengan pengunjung, rata-rata yang datang adalah orang Pulau Pinang sendiri, bagilah harga yang lebih murah dan bagus kepada kami," katanya.

Sementara itu, beberapa barangan lain seperti baju dan pelbagai jualan lain dijual dengan harga berpatutan.

Buat maksiat dalam semak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

KULIM - Pengunjung Taman Tasik Kulim meminta kerjasama pihak berkenaan untuk membuat penyelenggaraan di kawasan berkenaan.

Pengusaha bas, Mohd Fauzi Abdul Rahman mendakwa, rumput yang panjang kini dijadikan tempat golongan remaja melepak terutama pada waktu malam.

Katanya, kebanyakan mereka yang sering berada di kawasan itu adalah pasangan kekasih.

"Rumput memang panjang di tepi Tasik Kulim. Ini membuatkan kita tidak nampak sesiapa di belakang rimbunan rumput itu. Masalah ini disuarakan beberapa pengunjung yang datang ke tasik ini untuk memancing dan berjoging.

"Apa dapat saya lihat sejak cuti sekolah, taman ini dipenuhi dengan pasangan kekasih dan meminta pihak terlibat kerap membuat pemantauan" katanya.

Selain masalah rumput panjang, beberapa pondok rehat yang terdapat di taman tasik itu turut dijadikan tempat berkumpul remaja bawah umur.

Juruteknik, Shamsul Anuar berkata, Taman Tasik Kulim merupakan daya tarikan pengunjung yang datang ke kawasan itu untuk bersantai bersama keluarga.

Kehadiran pasangan yang duduk di belakang rumput panjang dan pondok rehat akan mencemarkan pemandangan di sekitar kawasan.

"Kebanyakan keluarga akan membawa anak kecil untuk beriadah di taman permainan yang disediakan. "Saya minta phak berkenaan memotong rumput yang panjang supaya dapat menghindari perlakuan sumbang remaja," katanya.

Warga emas sanggup menipu raih simpati

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

ALOR SETAR - Siang cantik, malam berbaju lusuh, begitulah gambaran seorang wanita warga emas yang dikatakan meminta sedekah pada waktu malam namun kehidupan  seperti masyarakat lain tatkala siang di Alor Setar, dekat sini.

Orang awam yang hanya ingin dikenali sebagai Samsiah berkata, kehadiran beberapa peminta sedekah tempatan dan warga asing yang duduk di laluan orang ramai di Pasar Malam Taman Nuri, dekat sini adalah perkara biasa.

"Pemandangan sedemikian seolah-olah perkara biasa bagi penduduk setempat namun kehadiran seorang warga emas yang duduk berhampiran gerai sayur-sayuran dan ikan menarik perhatian.

"Ia kerana dia tidak sama seperti yang lain walaupun kelihatan sihat tubuh badannya malah tidak menjual sebarang produk kepada orang ramai berkunjung ke pasar malam itu, namun kerana wajah sedih dan lusuh begitu menyedihkan," katanya.

Katanya, ada yang bersimpati menghulurkan wang namun terkejut apabila wanita warga emas ini didakwa memakai baju cantik pada keesokan harinya.

"Saya ternampak warga emas terbabit berpakaian cantik sambil membawa beg tangan membeli di Pasar Tani Kampung Berjaya, dekat sini, beberapa kali. Ingatkan orang lain, namun apabila diamati dia sememangnya wanita sama," katanya.

Menurutnya, dia kecewa kerana masih ada yang sanggup berpura-pura sedemikian bagi meraih simpati orang ramai sedangkan bukan sahaja cukup lengkap sifatnya malah berupaya bekerja.

Samsiah berkata, dia simpati terhadap nasib dialami peminta sedekah malah tidak pernah kesal memberi wang dengan harapan membantu mereka.
"Pihak tidak bertanggungjawab perlu hentikan perbuatan sebegini," katanya.

Flat gelap undang bahaya

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

BUTTERWORTH - Penduduk flat A1 di Seberang Jaya bimbang akan keselamatan mereka berikutan kawasan flat yang gelap menyebabkan berlakunya kes pecah rumah dan samun.

Penduduk, S Nagajothy, 35, berkata, ketiadaan lampu koridor menyebabkan persekitaran flat gelap walaupun siang hari.

"Saya tidak berani membiarkan pintu terbuka kerana ramai orang yang tidak dikenali gemar melalui kawasan flat ini.

"Kebanyakan penduduk mengambil inisiatif dengan menggunakan rantai mangga untuk memastikan rumah selamat semasa mereka bekerja," katanya yang telah tinggal di situ lebih 10 tahun lalu.

Salah seorang penduduk, S Sarasbathy, 48 mendakwa, rumahnya pernah dipecah masuk dua tahun lalu menyebabkan barang kemasnya lesap dilarikan pencuri.

"Selain persekitaran yang gelap dan sunyi, kebanyakan penduduk tidak berani meletakkan motosikal di kawasan parkir yang disediakan kerana bimbang hilang dicuri.

"Masalah ini telah lama membelenggu penduduk berikutan ketiadaan persatuan penduduk atau badan pengurusan bersama yang menguruskan flat ini," katanya yang bekerja sebagai pembantu restoran.

Dia berharap agar kawalan keselamatan penduduk dapat ditingkatkan menerusi kepolisan komuniti mahupun pasukan peronda sukarela.

"Ini berikutan persekitaran yang gelap menyebabkan penduduk terdedah kepada bahaya.

"Diharapkan pasukan peronda dapat membuat rondaan secara berkala untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya.

Bekas sarjan didakwa terima suapan RM500

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: December 10, 2013

ALOR SETAR - Seorang bekas anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh mahkamah sesyen di sini, semalam, selepas disabitkan kesalahan menerima rasuah RM500 bagi menukar status air kencing positif dadah di Sungai Petani, dua tahun lalu.

Hakim, Ooi Sheow Yean menjatuhi hukuman itu ke atas Hashim Said, 59, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes.

Tertuduh turut diperintah penjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM10,000 terbabit.

Sheow Yean dalam penghakimannya berkata, rakan jenayahnya dalam keterangan menyatakan hujah yang bercanggah dengan saksi lain mengenai wang itu sama ada diletakkan di atas meja atau tempat lain.

Menurutnya, tiada percanggahan material mengenai penyataan wang RM50 yang memang wujud dan ia adalah satu fakta.

"Tertuduh mengambil baki wang RM450 untuk diri sendiri dan RM50 diberikan kepada saksi pendakwaan iaitu SP9.

"Setelah menimbang kesemua keterangan yang ada, mahkamah dapati tertuduh bersalah," katanya.

Mengikut pertuduhan, Hashim yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, dituduh menerima rasuah untuk diri sendiri wang tunai RM500 daripada Azmi Hashim, 51, melalui Shahfarid Subri, sebagai dorongan untuk menukar air kencing Ammar Azmi, 19, yang positif dadah kepada negatif.

Hashim dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Simpang Alor Setar kira-kira jam 10 malam pada 26 Jun 2011.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam, Rahmatullah Baharudeen, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana ia merupakan kesalahan pertama dan tertuduh sudah insaf serta berjanji tidak mengulanginya.

Katanya, ketika kejadian, tertuduh mempunyai tempoh lima bulan untuk bersara dan sejak itu dia digantung kerja dan tidak mendapat gaji.

"Tertuduh mempunyai seorang isteri dan tiga anak selain dia memerlukan rawatan berterusan kerana penyakit kencing manis. Bagi mengenang jasanya yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan polis, saya merayu hukuman paling minimum," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syarul Khuzairi Amiruddin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kes terbabit sudah mencemarkan imej polis.

"Tertuduh sepatutnya menjadi contoh dan tauladan kepada penguatkuasa lain dalam usaha membanteras rasuah.

"Pengamal rasuah di luar sana perlu melihat bahawa badan kehakiman memandang serius kes rasuah dan pembanterasannya. Saya memohon hukuman berat terhadap tertuduh," katanya.

Bantu banjir: Tiada istilah keluarga diraja

Oleh: ASWANY OMAR

Tarikh: December 10, 2013

KUANTAN - Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sanggup menahan kesejukan merintangi air bersama mangsa banjir lain ke pusat pemindahan selain menyingsing lengan menyediakan hidangan untuk mangsa terlibat.

Baginda menghabiskan masa lebih tiga jam bergotong-royong memasak kepada ribuan mangsa banjir di Stadium Sukpa, Wisma Belia Indera Mahkota, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, SMK Sungai Isap Murni dan Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar.

Bagaimanapun, baginda sedih kerana ada yang tidak bersyukur dengan penerimaan rezeki yang diberikan selain kurangnya disiplin walaupun dari golongan dewasa.

"Saya dapati ada yang tidak mengucapkan terima kasih dengan apa yang mereka nikmati manakala orang dewasa pula tidak menunjukkan disiplin yang baik.

"Mereka sepatutnya beratur dan bukannya tergesa-gesa, menolak antara satu sama lain untuk mendapatkan makanan yang dihidangkan seolah-olah tidak boleh berpeluang untuk menikmati hidangan," katanya.

Justeru, baginda mahu polis atau tentera mengawal tingkah laku mereka dengan mendahulukan warga emas dan kanak-kanak kerana percaya golongan belia tidak kelaparan seperti negara lain yang turut ditimpa bencana.

"Mangsa juga harus pandai mengucapkan 'terima kasih' kepada mereka yang membantu dan kerajaan yang menyediakan pusat pemindahan dan semua keperluan sepanjang mereka berada di pusat pemindahan berkenaan," katanya.

Sebagai keluarga diraja yang mementingkan kesihatan rakyat, Tunku Azizah turut menekankan aspek menjaga kebersihan di lokasi mereka ditempatkan.

Lemas selamatkan rakan

Oleh: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

Tarikh: December 10, 2013

NILAI - Niat baik seorang remaja hendak menyelamatkan rakannya yang hampir lemas di sebuah kolam di Batu 9, Jalan Pantai - Jelebu, dekat sini tidak kesampaian apabila dia pula menemui ajal.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, mangsa, Ahmad Zainuddin Mohd Rosli, 17, sedang mandi bersama dua lagi rakan, Yusnor Zariq Iskandar Mohd Yusof, 13, dan Mohd Firdaus Rosli, 17.

"Siasatan awal kita mendapati, lebih kurang 10 minit ketiga-tiga remaja itu mandi di kolam berkenaan, salah seorang daripada mereka iaitu Yusnor Zariq didapati mula panik berikutan tidak dapat memijak dasar kolam.

"Pada masa itu, mangsa yang telah berenang ke tebing bersama Mohd Firdaus mengambil keputusan pantas untuk terjun semula ke dalam kolam bagi menyelamatkan rakannya. Walaupun mangsa berjaya melakukannya, tetapi dia pula dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam sepenuhnya tidak lama kemudian," katanya.

Menurutnya, mangsa hanya berjaya dikeluarkan dari kolam terbabit dengan bantuan beberapa pekerja di kawasan berdekatan serta bantuan pernafasan (CPR).

"Bagaimanapun, ambulans yang tiba lebih kurang 2.45 petang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Nasir Sanif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kereta rempuh pagar Dewan MPS

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SEREMBAN – Sebuah kereta merempuh pagar pekarangan Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an itu dipercayai terbabas sebelum merempuh pagar berkenaan.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam dewan berkenaan yang sedang berlangsung majlis perkahwinan.

"Ketika tetamu sedang menikmati jamuan, kami semua terdengar bunyi kuat dan segera keluar untuk melihat apa berlaku. Sejurus keluar dewan, kelihatan sebuah kereta merempuh pagar sehingga roboh," katanya di lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta tersebut turut merempuh dua motosikal yang diletakkan berhampiran pintu masuk.

"Pemandu kereta berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Tak sanggup hidu bau busuk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

PETALING JAYA - Sejak beberapa bulan lalu, penduduk di Flat Desa Ria terpaksa berdepan bau busuk berikutan sistem saliran najis yang tidak berfungsi dengan sempurna.

Menurut salah seorang penduduk, Zakaria Sidek, 52, air kumbahan yang tersumbat tersebut akan keluar dari bahagian belakang rumah dan menimbulkan pencemaran.

"Kami sudah tidak sanggup berdepan masalah ini. Air tersumbat akan mengalir keluar melalui saliran yang terdapat di bahagian belakang rumah penduduk. Keadaan perlu diatasi dengan kadar segera," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Zakaria, sebelum ini pihak berkenaan ada menjalankan penyelenggaraan namun sejak tiga bulan lalu, kerja-kerja menyelenggara tidak lagi dilakukan.

Katanya, keadaan akan menjadi lebih rumit terutamanya pada waktu petang memandangkan terdapat banyak penggunaan air pada waktu tersebut.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk lain, Nadhan Raj, 42, keadaan sistem saliran yang terganggu juga dikhuatiri mengundang pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, beberapa kes demam denggi pernah dicatatkan di kawasan berkenaan dan permasalahan tersebut dipercayai berlaku ekoran sistem saliran yang terganggu.

"Pihak berkenaan patut mengambil tindakan segera memandangkan beberapa aduan telah dibuat.

"Kerja penyelenggaraan di sini amat kurang dan saya berharap masalah ini akan mendapat perhatian sewajarnya memandangkan ia melibatkan kesejahteraan penduduk," katanya

Kenderaan dicuri, dipecah

Oleh: ASYRAF MUHAMMAD

Tarikh: December 10, 2013

PETALING JAYA - Masalah kes kecurian motosikal dan pecah kenderaan di Flat Desa Ria menimbulkan kegusaran penduduk setempat memandangkan kegiatan berkenaan dilihat semakin aktif sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, pada tahun lalu, sebanyak 15 kes pecah kereta telah berlaku di kawasan berkenaan dan situasi itu dilihat berlarutan sehingga hari ini.

Menurut salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Raj, 31, selain kes pecah kenderaan, kegiatan kecurian motosikal turut berada pada tahap membimbangkan memandangkan sebanyak lapan kes dilaporkan berlaku pada tahun ini.

"Keadaan ini sememangnya membimbangkan penduduk di sini memandangkan masalah ini seolah-olah berterusan tanpa ada penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Raj, walaupun penduduk telah memasang kunci pendua pada kenderaan, kegiatan pecah kenderaan dan curi motosikal dilihat masih berleluasa di kawasan ini.

Raj berkata, penjenayah terbabit dipercayai melakukan kegiatan berkenaan pada waktu malam bagi menggelakkan dari dihidu oleh pihak berkuasa.

"Polis sering juga masuk ke kawasan ini bagi menjalankan pemantauan namun penjenayah ini lebih licik dan berjaya menggelak dari dikesan pihak berkuasa," katanya.

Tambah Raj, pada bulan ini sahaja, dianggarkan sebanyak 20 laporan polis telah dibuat berhubung kes pecah kenderaan dan curi motosikal di kawasan ini.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk lain, Mohammad Nor, pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini dilihat tidak memainkan peranan dalam menjaga keselamatan penduduk disini.

Menurut Mohammad Nor, KRT di sini dilihat hanya aktif selama tiga bulan selepas kes pecah kereta yang berlaku pada tahun lalu.

"Selepaas itu, KRT tidak lagi memantau dan ini membuka ruang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan dan melakukan kegiatan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ahli KRT Flat Desa Ria, Dhana Segaran berkata, pihaknya tidak begitu aktif dalam menjalankan pemantauan selepas pengerusi persatuan berkenaan meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu.

Menurut Dhana, pihaknya akan menjalankan perbincangan dalam masa terdekat bagi melantik pengerusi baru dalam usaha untuk membanteras kegiatan jenayah di kawasan ini.

"Kita akan mengadakan perbincangan selepas ini bagi membolehkan KRT bergerak semula dalam usaha bagi memastikan keselamatan penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, pihak KRT akan menyelesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin dan penduduk diharap dapat bersabar buat sementara waktu.

Terpaksa pecah pusat judi online

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SERI KEMBANGAN – Kekebalan empat premis pusat siber di Taman Universiti dekat sini menawarkan aktiviti perjudian menggunakan pintu besi automatik berjaya ditembusi Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu serbuan, malam kelmarin.

Difahamkan, premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu hanya membenarkan pelanggan tetap memasukinya.

Hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak pernah mempunyai lesen perniagaan dan pernah lebih tiga kali diserbu sebelum ini.

Pengusaha dilihat masih berdegil dan meneruskan aktiviti tanpa bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, anggotanya terpaksa memecah masuk premis berikutan ia dikunci dari dalam.

Menurutnya, pihaknya percaya premis menggunakan pintu besi automatik bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa.

"Ketika serbuan, ramai pengunjung dan sebahagian besarnya berbangsa Melayu asyik bermain judi online dan terkejut melihat kehadiran anggota penguatkuasa," katanya.

Beliau berkata, pengunjung diperiksa dan pihaknya merampas 87 set peralatan komputer berunsur perjudian.

Kesemua premis disita dan dikenakan tindakan bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen MPSJ.

Pusat karaoke diserbu lagi

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: December 10, 2013

PUCHONG – Pengunjung pusat hiburan yang asyik menari dan melayan dendangan lagu Disco Techno terkejut apabila premis berkenaan diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin.

Premis yang turut menawarkan aktiviti karaoke dalam bilik kecil didakwa pernah empat kali diserbu termasuk oleh pihak polis sebelum ini.

Bagaimanapun, pengusaha sekali lagi didapati mencabar undang-undang menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen perniagaan sah daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Bertindak atas aduan penduduk setempat yang rimas dengan gangguan bunyi bising, sepasukan 22 anggota Jabatan Penguatkuasaan MPSJ menyerbu premis jam 11 malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, ketika serbuan beberapa pelanggan berada dalam bilik kecil disediakan khas untuk aktiviti karaoke manakala sebahagian lagi berada di luar mendengar alunan muzik disko.

Menurutnya, pengusaha bertindak melampau mengganggu ketenteraman penduduk dengan membiarkan bunyi bising muzik didengari sehingga ke kawasan perumahan berdekatan.

Premis terbabit dakwanya baru beroperasi empat bulan lalu namun sudah banyak kali diserbu, terakhir pada bulan lalu.

"Majlis menyita dua set peralatan hiburan yang digunakan dan penutupan premis dikenakan bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001).

Pengusaha didapati menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dari MPSJ dan berdepan denda maksimum sebanyak RM 25,000.

Katanya, pemantauan secara berterusan akan terus dijalankan terhadap pusat hiburan berkenaan selagi premis terbabit tidak mempunyai lesen sah dari MPSJ.

Wanita dibunuh dalam bilik, barang hilang

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: December 10, 2013

SUBANG JAYA – Tanda tanya seorang kakak apabila mendapati dua pintu bilik tidur berkunci dari dalam terjawab dengan penemuan mayat adik perempuannya di bilik tidur utama sebuah rumah di pangsapuri Court2, USJ6/1 di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, sejak menghuni rumah tingkat empat berkenaan bersama adiknya tujuh tahun lalu, kedua-dua pintu bilik itu tidak pernah dikunci.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kakak mangsa yang berusia 57 tahun memberitahu kali terakhir melihat adiknya kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin sebelum keluar ke tempat kerja di pasar raya berdekatan.

Menurutnya, sebaik pulang dari tempat kerja kira-kira jam 4.30 petang kakak mangsa mendakwa terkejut melihat barang, peralatan rumah dalam keadaan bersepah dan kedua-dua pintu bilik berkunci dari dalam.

Kakak mangsa yang menyangka adiknya sudah keluar bekerja kemudiannya menghubungi menantunya untuk memecahkan pintu bilik kerana ia gagal dibuka.

Sebaik pintu dibuka, mangsa yang masih bujang didapati terbaring dalam keadaan terlentang dengan sebiji bantal menutupi mukanya.

Hasil siasatan katanya, mangsa yang dikenali sebagai Rumaizah Borhan, 54, dipercayai sudah meninggal beberapa jam sebelum mayat ditemui kakaknya.

Pemeriksaan mendapati mangsa yang memakai baju T dan kain dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian dahi, hidung dan bibir selain ditekup dengan bantal.

"Barang berharga milik mangsa termasuk barang kemas, telefon bimbit dan jam didapati hilang. Mangsa dipercayai mengenali dan mengecam suspek berikutan tiada kesan umpil di pintu rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa sudah menghuni pangsapuri itu lebih 20 tahun lalu dan percaya hanya seorang suspek melakukan jenayah itu kepada mangsa. Tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, keterangan beberapa individu sudah diambil termasuk jiran dan pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Banjir: Najib umum Khazanah sumbang RM10 juta

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

NUSAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyumbang RM10 juta untuk bantuan dan usaha pemulihan akibat banjir.

Najib yang merupakan Pengerusi Khazanah berkata, sumbangan berkenaan juga bertujuan membantu mereka yang menghadapi musibah akibat bencana alam itu.

"Khazanah terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan dan sebagai satu pengumuman, Khazanah bersetuju untuk memberikan sumbangan RM10 juta untuk usaha menolong dan memulih mereka yang terlibat," katanya semasa berucap merasmikan
pembukaan Hotel Traders Puteri Harbour dan Legoland Resort Malaysia, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang diiringi Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Mohamed Nor Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, mempengerusikan mesyuarat ke-69 Lembaga Pengarah Khazanah Nasional di Hotel Traders.

Najib turut melahirkan keyakinan Khazanah akan terus maju dalam pelbagai pembangunan yang diusahakan dan pelbagai tarikan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Khazanah menerusi satu kenyataan berkata RM10 juta berkenaan sebagai memperluas usaha bantuan, pemulihan dan persiapan di negeri-negeri yang dilanda banjir.

"Sumbangan itu memfokuskan bantuan banjir, pemulihan serta persediaan menghadapi gelombang baharu dalam masa terdekat dan kedua ia digunakan untuk menyokong inisiatif bagi memastikan persiapan yang mantap untuk jangka sederhana dan panjang".

Menurut kenyataan itu, sumbangan tersebut adalah kesinambungan kepada usaha berterusan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan syarikat pelaburan Khazanah.

Khazanah akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Mercy Malaysia untuk tujuan berkenaan, menurut kenyataan itu. - Bernama

GST bantu kerajaan terima pendapatan tetap

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh membantu mengurangkan hutang negara kerana ia akan menjadi pendapatan tetap dalam bentuk perolehan antara RM20 dan RM30 bilion setahun.

Menurut Senator Datuk Chin Su Phin, perbelanjaan kerajaan semakin meningkat setiap tahun, dengan ratusan bilion dan pendapatan daripada hasil lain seperti minyak, tidak menentu.

"Saya percaya GST memberi nilai tambah memandangkan ia diperoleh secara berterusan...ia bukan perkara baharu kerana rancangan untuk melaksanakannya sudah dibincangkan sejak tujuh tahun lepas, dan ada pihak (pembangkang) yang mengelirukan rakyat dengan isu ini," katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 hari ini.

Menurut analisis majalah Forbes, jumlah isi rumah yang berhutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia ialah 83 peratus dan ia merupakan rekod yang sangat membimbangkan, dan dengan kehadiran GST, rakyat Malaysia akan
mengurangkan tabiat mereka untuk berbelanja, katanya.

Beliau berharap GST tidak dikenakan ke atas barang keperluan asas termasuk keperluan kanak-kanak, tetapi ke atas barangan yang disediakan di tempat mewah.

Chin juga meminta kerajaan merendahkan cukai GST daripada enam peratus kepada tiga peratus sahaja seperti kebanyakan negara yang baru memperkenal GST.

GST dan pengurangan subsidi yang tidak popular ini bukan dibuat secara sesuka hati dan beliau yakin kerajaan sudah pasti telah mengkaji impak sosial ekonomi ke atas rakyat untuk memastikan hanya golongan sasaran tertentu benar-benar dibantu.

GST akan membantu memacu Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020, namun Chin mahu juga kerajaan melihat ancaman rasuah yang terbukti menjadi antara faktor utama meruntuhkan ekonomi Greece sehingga negara itu menjadi bankrap.

"Kos pembangunan Greece meningkat enam kali ganda berbanding negara Eropah lain disebabkan bayaran-bayaran istimewa yang dikenakan untuk sesuatu projek... ini disokong dengan Indeks Persepsi Rasuah 2012, dengan Greece antara 27 negara
yang paling kuat rasuah," katanya. - Bernama

Mat Sabu tak gentar dilabel anut Syiah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan dirinya dengan fahaman Syiah.

Malah kata Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu.

Ujarnya, sejak beliau menyertai parti Islam itu pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi," katanya kepada sebuah portal.

Tambah Mat Sabu, peguam yang dilantiknya kini sedang menunggu tindakan lanjut Ahmad Zahid.

"Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia," katanya.

Ahmad Zahid semalam berkata akan mendedahkan bukti dalam waktu terdekat bagi mengesahkan dakwaannya bahawa "orang nombor dua" Pas terbabit dengan fahaman Syiah.

Bukti itu akan didedahkan pada sidang media khas yang akan diketuai oleh Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.

Terdahulu, Ahmad Zahid pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno mendakwa "orang nombor dua" Pas terbabit dengan Syiah, kenyataan yang dianggap merujuk kepada Mat Sabu.

Dua dekad Highland Towers: Adakah kita masih alpa?

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

Tragis, pilu dan seram. Itu yang jelas terbayang di fikiran sesiapa sahaja apabila mengenang kembali tragedi Highland Towers. Menyingkap sejarah hitam terburuk melanda negara pada 11 Disember 1993, bangunan setinggi 12 tingkat yang dahulunya tersergam indah di Taman Hillview, Hulu Kelang tumbang sekelip mata sekali gus meragut 48 nyawa berada di dalamnya.

Kejadian itu mengejutkan banyak pihak apabila bangunan berkenaan hanya runtuh selepas 15 tahun ia siap dibina. Kini, Highland Towers hanya tinggal nama selain dua blok yang masih
berdiri sepi tanpa penghuni.

Esok genap 20 tahun tragedi ngeri itu berlaku. Persoalannya, adakah kejadian ini benar-benar membuka mata semua pihak atau sekadar dibiar tertulis sebagai sejarah pertama dalam pembinaan negara dan mungkin sejarah dunia

Apakah selepas tragedi itu, semua pihak benar-benar mengambil pengajaran daripadanya atau masih menutup sebelah mata bagi memberi laluan pembangunan kediaman dan komersial menghiasi cerun-cerun yang memberi pemandangan indah kepada penghuninya.

Di kala kesedihan terus menyelubungi keluarga dan waris mangsa yang masih tinggal, sedarkah kita sebenarnya pembangunan di kawasan lereng bukit dan cerun masih rancak dijalankan di kawasan sekeliling?

Apa yang pasti, tragedi 20 tahun lalu bagaikan satu peringatan daripada ALLAH bahawa bukit dan gunung adalah pasak bumi dan tidak boleh dimusnahkan sesuka hati.

Tidak banyak diharapkan namun mesej kepada insiden menyayat hati yang pernah berlaku ini memberi petunjuk bahawa projek-projek sedemikian harus 'dibekukan' terus supaya tragedi buruk tidak berulang.

Syiah: Pas nak tengok bukti dahulu

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang menyatakan pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Beliau berkata jika benar seperti yang dikatakan menteri tersebut, Pas akan mengambil bertindak termasuk meminta pemimpin terlibat mengangkat sumpah.

"Zahid kemukakanlah dulu bukti, kalau Zahid ada.

"Saya tak mahu Mat Sabu sumpah dahulu, kita nak tengok bukti dulu.

"Saya pun nak tengok (bukti), lepas itu baru kita boleh ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan nama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kembali dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu, Mohamad atau Mat Sabu telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid sekaligus mengakui beliau adalah pengikut dan pengamal ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terbaru, Ahmad Zahid berjanji akan mendedahkan bukti mengenai pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Dalam pada itu, Harun juga berkata, dalam perlembagaan Pas ahlinya adalah mesti daripada pengikut Sunni.

"Saya tak tahu, saya tak terima apa-apa laporan mengenai Syiah dalam parti.

"Lagipun perlembagaan kita telah tetapkan ahli Pas mesti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.

'Dakwaan sengaja buruk imej Pas'

Oleh: NINA FARZUIN MD SHAROM & MUHAMAD ADZHAR TAJUDDIN

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM – Pemimpin Pas menyifatkan tuduhan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada pemimpin daripada parti itu yang mengamalkan ajaran Syiah adalah usaha untuk memburuk-burukkan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Zahid itu juga hanya bertujuan untuk menarik sokongan perwakilan parti itu bagi mengukuhkan kedudukan dirinya.

Beliau yang menafikan ada pemimpin Pas yang mengamalkan ajaran Syiah berkata, kecenderungan seseorang itu menyokong perjuangan Islam di Iran tidak semestinya seseorang itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Dalam soal ini, kita menafikan ada kepimpinan Pas yang terlibat dengan Syiah termasuklah individu yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid iaitu Mohamad Sabu (Timbalan Presiden Pas) sendiri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahmad Zahid  pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai semua bukti mengenai pembabitan pemimpin tertinggi parti itu dalam gerakan Syiah di Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, KDN telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas mempunyai mekanisme untuk mengesahkan bahawa semua pemimpin parti itu  tidak terlibat dengan ajaran Syiah, sebaliknya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

"Mat Sabu telah membuat pengesahan bahawa dirinya seorang Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Jadi kecenderungan itu (menyokong gerakan Islam di Iran) tidak bermaksud Mat Sabu mengamalkan Syiah," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan selanjutnya terhadap menteri itu hanya akan dilakukan oleh Mat Sabu sendiri memandangkan ia lebih bersifat peribadi.

"Bagi Pas sendiri, kita menafikan dakwaan itu dan memandangnya sebagai satu perkara yang serius dan keterlaluan. Dalam konteks peribadi itu, Mat Sabu sendiri telah berbincang dengan pihak peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tuduhan Ahmad Zahid itu itu merupakan satu tindakan biadab dan bertujuan memecahbelahkan orang Melayu.

"Mereka kata Melayu kena bersatu tetapi tuduhan sebegini bukan sahaja membuktikan sebaliknya malah dilihat mahu mengganggu kestabilan hubungan sesama umat Islam di Malaysia," katanya.

Ketika ditanya tentang keperluan Mohamad Sabu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid, Mahfuz menjelaskan, perkara tersebut masih lagi dalam pertimbangan pemimpin nombor dua Pas itu.

"Saya sudah baca penafian yang dibuat oleh Mat Sabu dan beliau sendiri telah menyerahkan kepada peguamnya sama ada mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menasihatkan Ahmad Zahid supaya lebih berhati-hati dalam ucapannya selepas ini memandangkan beliau merupakan seorang menteri kanan dan berpengalaman luas dalam landskap politik tanah air.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat berkata, Ahmad Zahid sepatutnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana Mat Sabu sendiri telah menafikan pembabitannya dengan fahaman tersebut sebelum ini.

"Mat Sabu telah mengatakan 'tidak' pada Syiah ketika Majlis Syura yang dijalankan Pas baru-baru ini. Jadi saya rasa tidak ada kewajaran untuk Zahid menyerang Mat Sabu tanpa usul periksa," katanya.

Katanya lagi, tindakan Zahid mengarahkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) supaya menahan Mat Sabu atas dakwaan itu juga dilihat jelas bercanggah dengan peranan yang seharusnya dimainkan oleh agensi kerajaan itu.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan kenyataan Mat Sabu sehingga petang semalam bagaimanapun gagal.

 

Pas sudah pantau, tak ada ahli terlibat Syiah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 10, 2013

SHAH ALAM - [KEMASKINI] Pas mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendedahkan bukti keterlibatan pemimpin parti itu yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah.  

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bakal mendedahkan bukti didakwa hanya sekadar mainan mahu mendapatkan sokongan politik.

"Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini."Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini" katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang akan mendedahkan beberapa bukti pemimpin Pas terlibat dalam fahaman Syiah dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

"Jika beliau berjaya membuktikan ada pemimpin Pas yang mengikut fahaman Syiah, Pas tetap mempertikaikannya.

"Kami hanya akan mengambil tindakan apabila kami sendiri melihat serta mengkaji bukti tersebut," katanya.

Jelasnya, Pas tidak akan sewenang-wenangnya mempercayai bukti-bukti yang dibawa.

"Saya juga sudah sebut jika bukti itu datang daripada Umno maka kita tidak akan percaya," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan KDN yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas yang terlibat dalam fahaman Syiah, Nik Abduh menegaskan, ia adalah tindakan kerajaan dan Pas tiada kuasa untuk menghalangnya.

"Pas ada keputusan sendiri dan kerajaan ada kuasa mereka dan boleh buat apa sahaja. Selagi mana pemimpin Pas bersih, kita akan cuba pertahankan pemimpin kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan perlu menuruti prosedur dalam memberikan bukti berhubung keterlibatan pemimpin Pas dalam fahaman Syiah.

"Jika (ia) tidak benar, ini bermakna Umno perlu bersedia menghadapi saman daripada Pas.

"Isu syiah merupakan isu politik antarabangsa yang telah dimainkan Umno dan akhirnya Pas menjadi mangsa keadaan. Jika Umno ada bukti, sila tunjukkan, kami tidak gentar," katanya.

Guan Eng biadab, harus mohon maaf

Oleh:

Tarikh: December 10, 2013

GEORGETOWN - Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang Datuk Jahara Abdul Hamid menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang melabelnya "racist grandmother" atau nenek rasis sebagai biadab dan tidak sopan.

Beliau yang sangat kecewa dengan label itu mahu Ketua Menteri memohon maaf dengan serta-merta dalam persidangan Dun.

"Guan Eng tidak sepatutnya merendah kaum wanita dan perkataan itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang Ketua Menteri.

"Itu adalah satu penghinaan kepada semua wanita di dunia ini dan saya mahu Guan Eng memohon maaf," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Guan Eng telah melabel Jahara sebagai seorang nenek rasis kerana membawa isu perobohan gerai-gerai makanan tidak berlesen yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil dalam persidangan Dun semalam.

Sementara itu, Jahara berkata kerajaan negeri pimpinan DAP telah bersikap "berat sebelah" dengan perbezaan layanan dalam  meroboh gerai-gerai makanan tanpa lesen di negeri ini. 

Katanya, terdapat empat restoran "makanan laut" yang besar telah beroperasi di tanah milik kerajaan negeri di Jalan Bagan Ajam yang berada tepi pantai namun tiada tindakan perobohan dilakukan.

"Restoran seafood berkenaan dibina dengan konkrit tetapi hanya diberi kompaun setahun sekali sebaliknya seorang makcik yang berniaga di depan rumahnya di Persiaran Gurney, gerainya telah diroboh tanpa diberi sebarang notis minggu lepas," katanya.

Beliau berkata keempat-empat restoran makan laut itu dibina di satu bangunan kekal tetapi mereka hanya dikenakan kompaun.

"Ini satu tindakan yang tidak telus dan kurang adil dan saya berharap Guan Eng dapat memberikan penjelasan yang munasabah,"  katanya. - Bernama

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment