Monday, December 9, 2013

RG2011... Sinar Global dan Hiburan di TH 101213

 

 

Rusuhan: Jawatankuasa siasatan ditubuh

Oleh: Lydia

Tarikh: December 10, 2013

SINGAPURA - Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan (COI) berhubung insiden rusuhan di kawasan Little India di sini pada Ahad malam.

Beliau berkata COI akan melihat kepada faktor-faktor yang mencetuskan rusuhan itu serta menyemak semula langkah-langkah semasa untuk mengurus kawasan-kawasan yang menjadi kunjungan pekerja asing untuk berkumpul.

"Rusuhan ini adalah insiden terpencil yang timbul daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh kumpulan yang bertindak balas atas kejadian kemalangan maut.

"Sebahagian besar pekerja asing di Singapura patuh kepada undang-undang dan menyumbang kepada ekonomi kita. Mereka bekerja keras untuk menyara hidup dan membantu keluarga mereka di negara mereka.

"Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini merosakkan pandangan kami terhadap komuniti pekerja asing di sini," kata Lee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga warga India, Sakthivel Kumaravelu, yang terbunuh dalam kemalangan yang mencetuskan rusuhan itu.

Perdana Menteri itu juga meminta rakyat Singapura supaya tenang dan meneruskan urusan harian masing-masing.

Sementara itu, Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, S. Iswaran memberitahu pemberita di Little India semalam bahawa larangan penjualan dan pengambilan minuman keras akan dikuatkuasakan hujung minggu ini di Jalan Race Course, iaitu tempat tercetus rusuhan itu.

Beliau berkata butiran mengenai larangan itu akan dikeluarkan oleh pihak polis.

Ditanya sama ada alkohol menjadi faktor yang mencetuskan rusuhan itu, Iswaran berkata: "Ia adalah terlalu awal untuk menyatakan secara muktamad punca rusuhan selepas kemalangan maut tetapi ia adalah 'munasabah' bahawa pengambilan alkohol merupakan faktor penyumbang."

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.

Sejurus selepas itu, rusuhan berlaku melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera. - Bernama

Polis nasihat netizen tidak sebar berita rusuhan

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

SINGAPURA - Polis menasihatkan netizen atau pengguna internet agar tidak menyebarkan maklumat tidak berasas berhubung rusuhan pada Ahad malam di daerah Little India di sini kerana ia tidak membantu siasatan polis.

Maklumat itu juga mungkin akan membangkitkan kebimbangan kepada orang awam, perasaan takut dan panik dalam masyarakat, kata polis ketika menjelaskan khabar angin yang disebarkan dalam talian itu.   

Polis berkata pegawainya tidak melepaskan sebarang tembakan sepanjang insiden itu.

Ini juga menghalang insiden itu daripada merebak, kata mereka, dan menambah rusuhan itu dapat diselesaikan dan terkawal dalam masa sejam.    

Pada Ahad malam, rusuhan tercetus di Little India berikutan kemalangan maut membabitkan seorang warga India berusia 33 tahun.

Dalam insiden itu, yang pertama dalam sejarah Singapura sejak kemerdekaan, 27 warga asing dari Asia Selatan ditahan untuk membantu siasatan.

Sepuluh pegawai polis cedera dan lima kenderaan polis, sebuah ambulans serta beberapa kenderaan persendirian rosak. - Bernama

 

 

Rusuhan di Singapura: 10 cedera, 27 ditahan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SINGAPURA - Sekurang-kurangnya 10 anggota polis dan penjawat awam cedera selepas lima kenderaan pasukan itu dan sebuah ambulans dibakar di kawasan Little India republik itu, malam tadi.
 
Rusuhan jam 9.30 malam itu, berlaku selepas kemalangan jalan raya, membabitkan seorang pekerja warga Bangladesh yang terbunuh selepas dilanggar bas dalam kejadian di persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire.

Rusuhan membabitkan kira-kira 400 perusuh terdiri daripada warga asing dalam kejadian.
 
Susulan kejadian itu, sekumpulan pekerja asing bertindak balas dengan merusuh dan merosakkan harta awam termasuk membakar ambulans dan kereta polis yang dikejarkan ke lokasi.
 
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di kawasan kejadian berikutan tindakan perusuh membakar kenderaan terbabit. Beberapa kereta polis turut diterbalikkan.
 
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean, berkata rusuhan itu menyebabkan kerosakan harta benda awam yang serius.
 
"Namun, situasi kini sudah terkawal. Polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang terbabit dengan rusuhan," katanya.
 
Sementara itu, jurucakap polis berkata, lokasi tumpuan rusuhan itu sudah dikepung dan orang awam diarah menjauhi kawasan itu.

Polis bertindak mengepung tempat kejadian di Jalan Race Course dan Hampshire di Little India itu dalam usaha mengawal keadaan.
 
Premis perniagaan sepanjang Jalan Buffalo diarah tutup dengan pasukan bomba dikerah memadam semua kebakaran yang dicetuskan perusuh.

ANTARA News melaporkan, 27 orang setakat ini ditahan ekoran rusuhan pada malam minggu itu.

Pelan penempatan semula Badwi dibantah

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

RAMALLAH - PALESTIN. Ratusan penduduk Palestin, mengadakan protes membantah pelan penempatan semula Israel yang memaksa kira-kira 70,000 ribu Badwi berpindah dari selatan gurun Negev.

Menurut laporan Press TV, kumpulan penunjuk perasaan itu berhimpun di bandar Jaffa dan Haifa bagi menentang rancangan Prawer yang akan turut memusnahkan lebih 30 perkampungan Badwi Palestin di kawasan terbabit.

Protes sama diadakan minggu lalu bertukar ganas selepas rejim Zionis bertindak menggunakan kekerasan dan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.

Difahamkan, rancangan Prawer bersifat diskriminasi itu dibuat selepas Israel meluluskan rancangan pembangunan ekonomi pada September 2011.

Penghormatan terakhir kepada Mandela

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

PRETORIA - AFRIKA SELATAN. Jasad ikon dunia, Nelson Mandela akan diarak ke seluruh ibu negara selama tiga hari berturut-turut, menurut jurucakap kerajaan Afrika Selatan, kelmarin.

Neo Momodu memaklumkan kepada media AFP, perarakan itu bertujuan memberi penghormatan terakhir kepada Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun, Khamis lalu.

Selain itu, upacara memperingati jasa pejuang dasar antiaparteid itu akan diadakan esok di Stadium FNB, Soweto, iaitu venue Piala Dunia 2010 dan turut menyaksikan kemunculan terakhir beliau dikhalayak umum.

Mandela akan disemadikan di kampung halamannya di Qunu, Ahad ini.

Timbalan Presiden Sudan letak jawatan

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KHARTOUM - SUDAN. Presiden Sudan Omar al-Bashir, kelmarin mengumumkan peletakan jawatan Timbalan Presiden pertama beliau.

Menurutnya, keputusan Ali Taha itu bukan disebabkan konflik antara mereka, sebaliknya beliau mahu memberi peluang kepada golongan muda mengambil alih jawatannya.

Susulan daripada itu, satu mesyuarat bersama pemimpin Parti Kongres Kebangsaan diadakan untuk meluluskan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan lima menteri baru dari generasi muda.

Beliau turut melantik Leftenan Jeneral Bakri Hassan Saleh sebagai pengganti Ali.

Difahamkan, rejim Omar menerima kritikan hebat sejak kerajaan mengurangkan subsidi minyak hingga mencetuskan protes ganas di seluruh negara pada September lalu. - Al-Jazeera

21 penunjuk perasaan wanita dibebas

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KAHERAH - MESIR. Mahkamah Rayuan Mesir, kelmarin mengarahkan 21 wanita termasuk tujuh remaja bawah umur yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dibebaskan.

Selain itu, mahkamah bersetuju mengurangkan hukuman penjara setahun tertangguh terhadap mereka yang didakwa bersalah kerana terlibat dalam protes di Iskandariah, awal Oktober lalu.

Menurut media tempatan Al-Jazeera, kesemua remaja perempuan di bawah umur 18 tahun itu dibicarakan secara berasingan diletakkan di bawah tempoh percubaan selama tiga bulan.

Difahamkan, keputusan dibuat selepas peguam Ahmed al-Hamrawy mendakwa, bukti tidak mencukupi untuk mensabitkan mereka.

Dalam perbicaraan berasingan, mahkamah turut menggugurkan dakwaan ke atas 155 penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi yang dituduh melakukan tindakan keganasan dan merosakkan harta benda awam ketika menyertai protes pada 6 Oktober lalu.

Tindakan tegas kepada perusuh di Little India

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan rusuhan di Little India pada Ahad malam sebagai 'kejadian yang amat serius' dan berkata kerajaan akan menjejaki pelakunya serta mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap mereka.
 
"Apa jua kejadian yang mungkin mencetuskan rusuhan itu, tiada sebab untuk mereka melakukan keganasan, kemusnahan dan perlakuan jenayah sedemikian rupa," katanya mengenai rusuhan itu dalam laman Facebooknya awal Isnin.
    
Beliau berkata beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah.
    
"Keadaan kini terkawal dan siasatan sedang dijalankan," katanya sambil menggesa rakyat Singapura supaya bertenang.
    
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat, gambar atau video tentang kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis.
   

Bah di wilayah selatan Thailand

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

 NARATHIWAT - THAILAND. Sebanyak 12 wilayah selatan Thailand dilanda banjir susulan hujan lebat melanda wilayah berkenaan sejak 21 November lalu.

Ketua Pengarah Pencegahan Bencana dan Mitigasi Chatchai Promlert, berkata, banjir mulai surut di Satun, Yala, Pattani, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Ranong dan Surat Thani.

"Sehingga hari ini (semalam), lima wilayah masih ditenggelami air iaitu Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Songkhla dan Narathiwat," katanya kepada Bangkok Post.

Menurutnya, banjir menjejaskan lebih 100,000 orang di 29 daerah

Sejumlah besar penduduk dipindahkan dan berada di penempatan sementara.

19 orang dikuarantin wabak H7N9

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

HONG KONG - Sekurang-kurangnya 19 orang di kuarantin selepas seorang daripada rakan mereka maut akibat selesema burung H7N9.

Pegawai perubatan tempatan melaporkan, kesemua individu itu merupakan rakan rapat mangsa yang meninggal dunia lima hari lalu.

"Kami terpaksa lakukan prosedur ini bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan," katanya kepada AP.

Menurutnya, penularan wabak H7N9 mula membimbangkan selepas dua kematian dilaporkan sepanjang bulan lalu.

Minggu lalu, seorang lelaki berusia 80 tahun dari Shenzhen maut akibat wabak terbabit.

Gunung Marapi di tahap amaran

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

BUKIT TINGGI - INDONESIA. Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan, Gunung Marapi terletak antara Tanah Datar dan Agam, Sumatera Barat, meletus jam 10.10 pagi, semalam, waktu tempatan.

Pegawai PVMBG Warseno berkata, letusan itu memuntahkan lahar, abu dan asap setinggi 350 meter ke udara.

"Kami masih kekalkan tahap waspada peringkat ke dua. Penempatan dalam lingkungan 3 kilometer sekitar kawasan itu dikategorikan sebagai tidak selamat," katanya menurut laporan Antara.

Pada 3 Ogos 2011, gunung itu pernah memuntahkan lahar hingga meliputi kawasan Agam, Padang Panjang, Padang, Pariaman dan Tanah Datar.

Gunung Marapi terletak berhampiran Gunung Singgalang dan Gunung Tandikek merupakan destinasi pelancongan popular di Sumatera Barat.

Korea Selatan perluas zon pertahanan

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

SEOUL - KOREA SELATAN. Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengisytiharkan perluasan Zon Pertahanan Udara (ADIZ) baru yang turut menyenaraikan himpunan pulau bertindih.

Pengumuman baru itu sekali gus meningkatkan ketegangan dengan China dan negara serantau.

Jurucakap kementerian Kim Min-Seok berkata, zon baru berkuat kuasa 15 Disember ini, meliputi perairan Ieodo terletak di luar pantai selatan yang mana China mengelarnya sebagai Suyan.

"Kami akan memaklumkan kepada negara-negara berkaitan bagi menangkis konfrontasi tentera untuk mengelakkan kemalangan udara," katanya kepada AP.

Bulan lalu, China mengisytiharkan ADIZ di timur laut negara itu dengan mengenakan syarat di mana, pesawat dari negara luar perlu memaklumkan secara rasmi dengan kerajaan tempatan terlebih dahulu.

Seorang maut rusuhan di Little India Singapura

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

SINGAPURA - Suatu rusuhan berlaku di persimpangan jalan Race Course dan Hempshire Road di daerah Litle India Singapura pada Ahad malam. 

Menurut polis, satu kemalangan maut berlaku pada pukul 9.23 malam melibatkan sebuah bas dan seseorang di persimpangan kedua-dua jalan itu.

Tidak lama selepas itu rusuhan tercetus melibatkan sekumpulan kira-kira 400 orang yang merosakkan lima kenderaan polis dan sebuah ambulans.

Beberapa buah kenderaan persendirian turut dirosakkan sementara 10 orang pegawai polis cedera.

Polis menggerakkan anggotanya daripada Pasukan Operasi Khas dan Kontinjen Gurkha ke tempat kejadian dan berjaya mengawal keadaan.

Orang ramai di kawasan itu dinasihatkan supaya tidak keluar rumah sementara polis meneruskan operasi mengawal keadaan.

Orang ramai di luar kawasan itu juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan.

Mereka juga diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean berkata: "Ini kejadian serius yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan terhadap harta awam.

"Keadaan kini terkawal. Polis sedang berusaha mengesan dan memberkas mereka yang terlibat dalam rusuhan itu," katanya. - Bernama

Kerajaan Thailand tawar dialog

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Thailand bersedia menawarkan dialog terbuka dan pilihan di bawah Perlembagaan dan undang-undang bagi menyelesaikan krisis politik yang kian berlanjutan sejak dua minggu lalu.

Perdana Menterinya Yingluck Shinawatra bagaimanapun berkata, permintaan peserta tunjuk perasaan menggesa kerajaan membebaskan sebahagian rakan mereka yang mengepung bangunan kerajaan dua minggu lalu tidak boleh dipenuhi mengikut Perlembagaan.

Tawaran dialog dan pilihan dilakukan selepas kumpulan anti kerajaan terdiri daripada penyokong Baju Kuning meminta campur tangan Diraja untuk menubuhkan majlis rakyat bagi mentadbir negara sekali gus melaksanakan pembaharuan politik melalui pilihan raya.

Yingluck berkata, kerajaan akan terus menangani keadaan itu secara aman dengan prinsip demokrasi demi menjaga kedaulatan undang-undang.

"Kami percaya, selagi kerajaan mengekalkan cara aman dan menggunakan penguatkuasaan undang-undang, keadaan akan kembali normal. Krisis ini boleh selesai tidak lama lagi," katanya kepada AFP.

Menurutnya, beliau bersedia meletak jawatan dan membubarkan Parlimen serta mengadakan pilihan raya, tetapi semua pihak perlu bersetuju dengan prinsip bahawa semua pihak perlu menyertai pilihan raya secara aman dan ia dipilih secara telus oleh orang ramai.

"Kami tidak mempunyai masalah untuk lakukan perkara itu. Tetapi dengan keadaan sekarang kami dapati, penunjuk perasaan tidak mahu membuat pilihan yang kami tawarkan. Mereka mahu saya sebagai Perdana Menteri mengembalikan kuasa Perdana Menteri kepada rakyat. Perkara itu tidak dapat dilakukan di bawah Perlembagaan," katanya.

Yingluck bubar Parlimen Thailand, umum PRU

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya di negara ini bagi menenangkan krisis politik di negara itu yang semakin parah.

 

Yingluck membuat pengumuman itu di depan beribu penunjuk perasaan antikerajaan yang akan berarak melalui Bangkok bagi "protes terakhir" menentang kerajaan itu.

 

Beliau berkata, pilihan raya baru akan diadakan mengikut demokrasi, tanpa menetapkan tarikhnya.

 

Pengumuman itu juga dibuat ekoran peletakan jawatan oleh parti pembangkang utama di negara itu pada Ahad bagi membantah kerajaan yang tidak sah dan tidak mampu lagi untuk bekerja.

 

Siti Nurhaliza turut bantu mangsa banjir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

PENYANYI tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut turun padang bagi meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Bantuan yang dibawa itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Nurjiwa dan SimplySiti, antaranya barangan makanan dan keperluan peribadi golongan wanita serta lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan bayi.

"Macam hari ini ramai dah pulang ke rumah, dan mungkin ada ruang dan peluang saya ingat nak singgah satu atau dua tempat lagi.

"(Kemudian) saya ingat kalau lepas ini masih ada lagi mangsa (banjir) di negeri lain saya dan suami mungkin akan pergi (menjenguk), Insya-Allah bergantung kepada keadaan banjir," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan, di sini hari ini.

Setakat 9 pagi ini seramai 33,952 mangsa banjir masih berada di 141 pusat pemindahan di sembilan buah daerah yang terjejas akibat banjir di Pahang.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 27,700 orang di 35 pusat pemindahan. - Bernama

Filem kurang sambutan, Afdlin rancang berundur?

Oleh: AQMAR MUSTAZA

Tarikh: December 9, 2013

SEJAK dua tahun kebelakangan ini, masalah sambutan penonton terhadap industri perfileman tempatan mula menjadi perhatian serius para karyawan tanah air. Biarpun 2011 memperlihatkan fenomena penonton ke panggung sehingga beberapa buah filem berjaya mencatat kutipan RM7 hingga 10 juta sepanjang tempoh tayangan, namun perkara tersebut tidak berlanjutan untuk tahun seterusnya.

Senario penonton kurang ke panggung membuatkan beberapa penerbit terpaksa mengangkat tangan dan beralih ke bidang penerbitan seperti drama dan teater kerana tidak sanggup untuk menampung kerugian. Ia sekali gus mengulangi mimpi-mimpi ngeri sesetengah penerbit yang terpaksa gulung tikar sebelum tahun 2011 kerana sambutan yang cukup dingin.

Bahkan nama-nama besar dalam industri penerbitan dan pengarahan seperti Hans Isaac, Eirma Fatima, Aziz M Osman pernah meluahkan kekecewaan dengan sambutan penonton terhadap filem arahan atau terbitan mereka sehingga mereka mengambil jalan selamat untuk bertukar angin.

Masalah itu juga turut dirasai oleh penerbit, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki yang pernah merasakan industri pengarahan bagaikan tiada lagi masa depan buatnya. Dek kerana sambutan filem yang ada turun dan naiknya, dia pernah terfikir untuk berhenti dari menghasilkan filem.

"Oleh kerana masalah sambutan penonton yang tidak konsistenlah membuatkan saya menyimpan filem Papadom 2 selama dua tahun dan teragak-agak untuk menghasilkan filem ini.

"Malah saya akui sehingga kini saya masih tidak berani untuk mengarah filem dan Papadom 2 adalah filem terakhir yang saya arahkan setakat ini," jelasnya kepada media baru-baru ini.

Ditebak adakah dia merajuk dengan dunia perfileman kerana masalah itu dan terfikir untuk bersara, Afdlin berkata: "Tindakan itu bukan bererti saya merajuk atau ingin bersara daripada dunia pengarahan cuma industri perfileman.

"Saya tidak berani untuk mengambil risiko dengan mengarahkan filem buat masa ini tetapi jika ada karya yang baik mungkin saya akan lakukan," ujarnya.

Tambahnya lagi, industri perfileman adalah ibarat cintanya, justeru tidak mungkin untuk Afdlin berundur dalam masa terdekat ini.
 
"Bagi saya buat filem dua tahun sekali pun tak apa, asalkan bila ia ditayangkan orang ingat tentang jalan cerita dan ia memberikan kesan kepada penonton seperti maklum balas yang saya terima dari filem Papadom.

"Lagipun saya suka menulis skrip dan ia ibarat penceritaan saya kepada semua. Jadi bila saya buat filem, saya ibarat 'story teller' dan penonton adalah pendengarnya," katanya.

Tumpu perniagaan

Biarpun jarang-jarang menghasilkan filem, Afdlin berkata, karier seninya masih berjalan seperti biasa dan dia masih menerima undangan lakonan dan sebagainya. "Saya masih berlakon filem di bawah arahan orang lain dan bakal muncul dengan filem Kami Histeria tidak lama lagi.

"Selain itu, bila ada kelapangan, kumpulan Boboi masih menerima undangan untuk membuat persembahan dan sebagainya. Pendek kata, jadual saya masih lagi terisi dengan pelbagai aktiviti," katanya.

Dalam pada sibuk dengan karier seni, Afdlin berkata, dia juga sedang sibuk menguruskan perniagaan Pelikat Pants (Seluar Pelikat) yang baru sahaja dipasarkan di Malaysia. Selain itu, perniagaan kek coklat Boboi juga mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

"Alhamdulillah, tahun lalu saja sebanyak 34, 000 bekas kek coklat telah berjaya dijual dan tahun ini juga sambutan tidak kurang hebatnya. Sejujurnya saya sangat teruja dengan cabang baru ini dan banyak juga memberi tumpuan terhadap dua perniagaan ini," katanya.

Misi Afdlin

Tidak hanya sekadar sibuk dengan karier dan perniagaan, Afdlin berkata, dia juga tidak lupa untuk terus menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara Islam seperti di Gaza yang terus-terusan di bedil Israel.

Afdlin berkata, misi kemanusiaan itu diharapkan dapat menjadi sebahagian daripada hidupnya dan bukannya dilakukan kala masa senggang sahaja.

"Alhamdulillah, sehingga kini masih ada perancangan untuk menghantar misi kemanusiaan dan Insya Allah misi ini tidak akan dilakukan ketika masa lapang sahaja dan ia akan terus menjadi sebahagian perkara yang perlu dilakukan dalam hidup," ujarnya.

Jelas Afdlin, biarpun sudah berkeluarga, ia bukan satu alasan untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang lebih memerlukan.

"Dalam Islam sendiri ada mengatakan, selagi kita bantu orang, Allah akan bantu kita. Rezeki kita juga akan menjadi semakin murah," ujarnya.

Filem tanda ingatan

Dalam pada itu, berkongsi mengenai penghasilan Papadom 2, Afdlin mendedahkan, dia banyak kali mengalirkan air mata semasa penghasilan filem ini dan juga selepas menontonnya. Jelas Afdlin, filem sekuel itu cukup menyentuh hatinya kerana jalan cerita yang dipaparkan begitu dekat dengan dirinya sebagai seorang bapa.

"Saya seorang ayah yang kuat bekerja. Beberapa kali saya menangis sewaktu penggambaran kerana hati saya tersentuh. Malah dalam tempoh menyiapkan filem ini, saya sudah menonton beratus-ratus dan setiap kali menontonnya, saya akan menangis.

"Saya buat filem ini pun sebagai pengajaran dan nak mengingatkan diri saya sendiri yang dalam dunia ini tiada apa yang penting selain daripada keluarga kita. Malah banyak maklum balas yang saya terima di kalangan penonton yang pernah menonton Papadom dulu, ada yang kata alangkah seronoknya kalau dapat ayah seperti Saadom.

"Tapi ada juga yang kata, susahnya kalau dapat ayah macam tu. Kebanyakan maklum balas tu positif menjadi perbualan ramai dan filem ini memang untuk tontonan seisi keluarga," katanya.

Papadom 2 membawa kesinambungan Saadom yang terkejut dan mula menyusun strategi apabila mengetahui anaknya Miasara merancang mahu berkahwin.

Saadom dan rakan baiknya pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu Miasara sekali gus memastikan anaknya tidak membuat pilihan yang salah.

Siapakah teman lelaki Miasara? Apakah hasrat Miasara dan teman lelakinya direstui oleh Saadom? Dan bagaimana pula dengan hubungan Saadom dan profesor Balqis? Ikuti kisah seorang bapa prihatin dan anaknya di dalam Papadom 2 di pawagam mulai 12 Disember 2013.

Selain Afdlin, 'Papadom 2' turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Vanidah Imran, Chelsia Ng, Noorkhiriah, Pete Teo, Adham Malekh serta penampilan barisan baharu seperti Khir Rahman, Hans Isaac, Riezman Khuzaimi, Dira Abu Zahar, Johan Raja Lawak, Ozlynwaty dan ramai lagi.

Artis terkaya 2013!

Oleh: NOR ATIEYAH YUSOFF

Tarikh: December 8, 2013

SIAPAKAH artis terkaya dunia tahun 2013? Berdasarkan majalah bisnes dunia, Forbes menyatakan bahawa artis yang memperoleh pendapatan tertinggi tahun ini adalah penyanyi terkenal, Madonna.

Perkara tersebut berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima melalui konsert, jualan lagu atau filem box office. Jom lihat senarai 10 artis terkaya.

1)  Madonna

Pendapatan Madonna yang mencapai AS$125 juta setahun! Sumber utama pendapatannya itu datang daripada konsert MDNA Tour yang menjelajah satu dunia. Dalam masa yang sama, dia juga mempromosikan albumnya yang ke-12. Satu taktik promosi bijak dan berkesan. Apatah lagi, hasil jualan dan konsert jelajahnya menghasilkan RM1,115 juta. Meskipun usianya menjangkau 55 tahun namun penyanyi lagu Celebration itu masih lagi aktif menyanyi dan berlakon. Tidak hairanlah, ibu kepada empat cahaya mata itu terkenal seluruh dunia.

2 ) Lady Gaga

Siapa yang tidak mengenali penyanyi yang gemar berpakaian pelik setiap kali muncul di khalayak ramai, Lady Gaga. Biarpun pernah terlibat dengan penggunaan dadah namun pelantun Applause itu sangat berbakat dan unik. Walaupun masih muda, Gaga berjaya menawan dunia dengan muziknya yang kontroversi seperti Alejandro sehingga memperolehi RM594 juta pada tahun ini. Tidak disangka, dropout dari Universiti New York berjaya dalam hidupnya sekali gus berada di takhta kedua, artis paling kaya dunia.

3)  Robert Downey Jr

Ikon filem Iron Man, Robert Downey Jr memperolehi pendapatannya melalui lakonan hebat dalam beberapa filem seperti Tropic Thunder dan Sherlock Holmes. Aktor berusia 48 tahun itu menghasilkan pendapatan sebanyak RM248 juta. Kekayaannya itu diperoleh melalui hasil lakonannya dalam beberapa filem box ofiicenya.

4)  Toby Keith

Nama Keith mungkin  tidak sepopular Madonna, Bonjovi mahupun Lady Gaga. Tetapi bagaimana penyanyi berusia 52 tahun itu mampu berada antara mereka teratas? Jawapannya, melalui lima tahun terakhir hasil jualan CD albumnya, ratusan konsert dan 18 buah restoren miliknya. Dia berjaya mengumpul RM215 juta di Amerika Syarikat.

5)  Channing Tatum

Jejaka kelahiran Alabama, Amerika Syarikat bukan sahaja dikenali sebagai aktor berbakat tetapi mempunyai minda cerdas sebagai ahli perniagaan. Kerjaya seninya berjalan dengan lancar sehingga diberi kepercayaan untuk menjadi tunjang utama filem seperti Step Up, G.I. Joe: The Rise of Cobra, Dear John, The Vow, 21 Jump Street dan Magic Mike. Selain itu, dia bijak mengatur masa depannya supaya tidak bergantung dengan lakonan sahaja. Dia bersama produser, Steven Soderbegh membiayai sendiri filem Magic Mike sehingga berjaya membawa pulangan yang agak tinggi. Dia memperoleh pendapatan sebanyak RM198 juta.

6)  Justin Bieber

Artis kelahiran Youtube, Justin Bieber memulakan kerjaya nyanyian dalam usia yang sangat muda. Lagu Baby berjaya menaikkan nama sehingga bergelar jutawan sebelum umur menginjak 20 tahun. Pendapatan yang dimilikinya mencapai RM191 juta sepanjang kerjaya seninya. Malah remaja kelahiran Kanada itu juga mempunyai peminat paling ramai sehingga akaun Twitternya mencapai 20 juta pengikut.

7)  Taylor Swift

Walaupun dirinya sering dilanda musibah dalam percintaan namun penyanyi cantik ini tidak terjejas dengan kontroversi tersebut. Kegagalan yang dilaluinya itu dianggap sebagai pembakar semangat sehingga kesemua lagu dalam album keempatnya, Red merupakan hasil ciptaannya. Album tersebut dijual sebanyak 1.2 juta salinan pada Oktober 2012. Hasil jualan albumnya itu, Swift menerima RM182 juta pendapatan tahun ini.

8)  Hugh Jackman

Menerusi siri filem X-Men yang bermula 2000, Jackman mula terkenal dengan watak Logan atau Wolverine. Membintangi tujuh siri filem tersebut sepanjang 14 tahun penglibatannya, dia menerima pendapatan RM182 juta. Bukan itu sahaja, filem box office seperti Van Helsing, Real Steel dan Les Misérables.

9)  Beyonce

Biarpun meninggalkan dunia hiburan selama setahun, Beyonce sanggup bercuti demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap si kecil, Ivy Blue, 1. Selepas berehat, dia kembali memeriahkan arena seni dengan konsert jelajahnya, Mrs. Carter World Tour. Hasil daripada konsert tersebut, isteri kepada rapper, Jay-Z itu memperoleh pendapatan sebanyak RM175 juta.

10)  Kenny Chesney

Mungkin ramai tidak mengenali penyanyi berusia 45 tahun yang berasal dari Tennessee, Amerika Syarikat. Namun Kenny Chesney bukan calang-calang penyanyi kerana hasil daripada Flip Flop Summer Tour (2007) merupakan pendapatan tertinggi bagi konsert jelajahnya. Malah dia mampu bersaing dengan beberapa nama besar Jay-Z, Katty Perry, atau Rihanna. Tahun ini dia menerima RM175 pendapatan hasil jualan tiket konsertnya sahaja.

Nabila Huda tayang kekasih baharu?

Oleh: AKMALIAH RAZAK

Tarikh: December 8, 2013

BARANG yang lepas, jangan dikenang... Itulah ungkapan yang tepat menggambarkan personaliti aktres ceria bernama, Nabila Huda.

Walaupun hubungan cintanya bersama pelakon, Nas-T, kecundang di tengah jalan, namun ia bukanlah penghalang untuk Nabila, sepi tanpa cinta.

Beberapa bulan lalu, pelakon filem biopik, Saloma ini dikatakan telah dimiliki jejaka dari Singapura.

Malah, sejak akhir-akhir ini beberapa status Nabila yang lebih mesra disapa Abil ini dilihat berbunga-bunga persis sedang dilamun cinta.

Menerusi laman Instagramnya, Abil turut memuat naik sekeping foto dirinya bersama lelaki yang menyuapkan kek sempena hari lahirnya pada 2 Disember lalu.

Menurut sumber terdekat, jejaka itu bernama, Izwan, dan juga pemain bola sepak amatur untuk pasukan fcjmuda yang memakai jersi nombor 10.

Hubungan cinta ini dipercayai mula terjalin enam bulan lalu dan status Abil yang ditulis, 'Happy half year anniversary baby', menguatkan lagi teka-teki ini.

Pun begitu, sehingga kini, Abil masih mengunci mulut dari terus bercerita secara umum mengenai cinta hati barunya itu.

'Erma Fatima tak profesional?'

Oleh: AKMALIAH RAZAK

Tarikh: December 8, 2013

"HORMATI keputusan mahkamah dan gunakan cara profesional!," itulah antara kata-kata aktres cantik, Rabecca Nur Al-Islam, mengenai tindakan pengarah terkenal, Erma Fatima, mengenai cara bayaran saman tersebut.

Menurut Rabecca, peguamnya bertindak menolak dan memulangkan semula syiling berbentuk 5 sen itu kepada peguam Erma atas alasan undang-undang.

"Ya, peguam saya ada menerima duit syiling itu daripada peguam Erma. Namun, saya tidak melihat sendiri duit dan al-Quran itu dan hanya melihat menerusi gambar yang dihantar peguam saya sahaja.

"Peguam saya menolak bayaran berkenaan kerana saya difahamkan, wang syiling hanya boleh digunakan sekiranya bayaran itu bernilai RM30 ke bawah.

"Sekiranya melebihi nilai itu, ia perlu dibayar dalam bentuk wang kertas atau cek," katanya ketika dihubungi Zass.

Tambah Rabecca, peguamnya telah menghubungi peguam Erma untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

"Sebagai peguam, dia perlu menasihati anak guamnya agar menggunakan cara yang betul dan tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

"Tak mungkin peguam dia tak tahu mengenai perkara ini. Malah, saya dimaklumkan bahawa ia adalah permintaan Erma sendiri untuk membayar dalam bentuk wang syiling," jelasnya.

Walaupun kes ini telah selesai di mahkamah, namun ia mengundang kontroversi apabila pengarah dan pemilik syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, itu membayar wang tuntutan dengan wang syiling 5 sen sebanyak RM11,200.

Selain syiling 5 sen, Erma turut menghadiahi senaskhah al-Quran buat Rabecca berserta satu nota.

 Cari publisiti murahan

Selain Rabecca, pengurus pelakon filem, Keramat, ini juga turut menyelar tindakan Erma yang dianggap masih tidak berpuas hati.

Menurut Moammar Gadaffi, sepatutnya, Erma lebih profesional dalam menangani situasi ini dan menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.

"Dia (Erma) seperti tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan masih berdendam dengan Rabecca.

"Sebagai orang lama dalam industri, dia tidak perlu memanjangkan kes ini untuk mendapat publisiti murahan.

"Setelah berbincang dengan Rabecca, kami memilih untuk menyerahkan perkara ini kepada peguam. Lagipun, tak guna untuk bertikam lidah," katanya yang turut menyarankan Erma agar membawa kes itu ke mahkamah rayuan sekiranya tidak berpuas
hati dengan keputusan terdahulu.

Tambah Gadaffi, insiden itu langsung tidak menjejaskan karier Rabecca dan masih ada produksi yang mahu bekerjasama dengan aktres itu.

"Baru-baru ini, syarikat produksi, MIG, ada menghubungi Rabecca untuk memberikan tawaran kerja.

"Malah, sebelum ini Rabecca pernah terlibat dengan produksi lain seperti Skop Production Sdn Bhd.

"Tuduhan Erma seperti Rabecca tidak berdisiplin adalah tidak berasa kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi dalam produksi lain. Lagipun, Rabecca bukanlah setahun dua dalam industri," katanya yang akan lebih berhati-hati dalam meneliti kontrak
Rabecca selepas ini.

Sementara itu, Erma bertindak untuk terus mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi ini.

Pun begitu, menerusi akaun laman sosial, Instagram, miliknya, Erma bersetuju untuk memberikan tuntutan itu dalam bentuk wang kertas seperti yang diminta.

Johan gembira Lana berubah lebih baik

Oleh: WAN NASRAH ABDUL RAHIM

Tarikh: December 8, 2013

BUKAN mudah bertapak dalam dunia seni, apabila segala tindak tanduk yang dilakukan pasti menjadi perhatian masyarakat.

Begitulah juga yang berlaku terhadap aktor yang sedang meningkat naik, Johan As'ari, 27, apabila hanya mengambil masa tiga hari membuat keputusan untuk memperisterikan aktres seksi, Lana Nordin, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 34.

Meskipun terpaksa menerima bermacam tohmahan dan cakap-cakap orang, ia bagaimanapun tidak menggugat keputusan pelakon Juvana ini untuk menjadikan Lana sebagai suri hatinya.  

"Saya harap orang tidak mempertikaikan lagi mengapa saya membuat keputusan untuk memilih Lana.

"Bagi saya, ia adalah proses kematangan saya dalam membuat keputusan. Saya sudah pun melakukan istikharah, dan selagi ia baik dan tidak salah, mengapa harus ada lagi pertikaian?

"Saya harap, masyarakat dapat menerimanya memandangkan sebelum ini saya bukanlah berkasih dengan sesiapa," katanya yang pernah dikaitkan dengan Nabila Huda dan Shila Amzah.  

Dalam pada itu, Johan berkata, dia sangat gembira dengan perubahan Lana dan turut bersyukur kerana buah hatinya itu sanggup  memperbaiki diri ke arah lebih baik.

"Alhamdulillah, Lana senang terima teguran. Dia sendiri berusaha untuk berubah. Pakaiannya kini lebih sopan dan dah tak pakai pewarna kuku. Saya juga ada menasihatinya untuk tidak lagi memakai skirt pendek dan dia dah berjanji tak akan
memakainya. Kita semua sepatutnya bersyukur dengan perubahan dia," katanya.

Mengulas mengenai pernikahannya, Johan yang enggan mendedahkan tarikh pernikahannya berkata, hubungan mereka masih baharu dan masih mengenali hati budi masing-masing.

"Kalau ikutkan, saya tidak mahu terburu-buru. Namun, sekiranya jodoh dalam jangka masa terdekat, saya akan terimanya, memandangkan saya juga sudah bersedia," kata Johan yang mahu terburu-buru membuat keputusan berkahwin.


Kesal dengan Shila

Meskipun gembira dengan cinta barunya itu, Johan bagaimana masih meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Shila Amzah agak dingin selepas dia membuat pengakuan untuk melamar Lana.

Jelas Johan, dia terkilan di atas tindakan Shila yang menyingkirkannya dari laman sosial dan menyifatkan perbuatan itu sebagai perkara yang tidak matang.

"Semua gambar-gambar saya di Twiter, Instagramnya telah dibuang. Ia seolah-olah menggambarkan dia tidak lagi mahu menerima saya dalam hidupnya.

"Pada saya ia tidak sepatutnya berlaku kerana sejak dari awal lagi saya sudah menganggapnya sebagai adik," katanya.

Mengulas mengenai hubungan 'teman tapi mesra' yang dipamerkan mereka sebelum ini, sehingga ada yang menganggap mereka sebagai pasangan kekasih, Johan berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang agenda dalam hubungan yang terbina itu.

"Kami tak pernah bercinta. Sebelum ini, saya banyak menyokongnya dalam kerjaya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, dia hanyalah sahabat dan juga merangkap adik saya.

"Apa pun yang terjadi, saya akan berharap hubungan ini akan terjalin sampai bila-bila. Dan saya juga akan sentiasa mendoakan kejayaannya," katanya.

Tolak adegan ranjang

Selain kisah cintanya yang menjadi perhatian, pelakon kelahiran Pulau Pinang ini, turut mencetuskan kontroversi menerusi adegan ranjangnya bersama pelakon baharu,  Aishah Ilias dalam filem terbarunya, 'Paku'.

"Saya akui agak bimbang dengan babak itu. Bukan takut dihentam, cuma saya takut adegan tersebut akan disalah erti. Saya juga bimbang kerana di Malaysia apabila sentuh mengenai babak panas, ia pasti akan menjadi isu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai babak itu, Johan berkata, aksi panas itu sebenarnya turut digarap dengan teknik kamera.

"Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana saya tidak mahu perkara ini menjadi fitnah. Lagipun saya perlu menjaga hati semua orang dan yang penting, saya perlu jaga sentimen masyarakat," ujar Johan.

Johan berkata, dia juga sudah serik melakonkan babak seperti itu dan nekad tidak lagi menerima tawaran seperti itu.

"Saya akan lebih selektif selepas ini dan " katanya.

Filem terbitan Nusantara Seni Karya itu bakal menemui penonton pada 12 Disember ini.

 

Lana berubah demi Johan?
 
Sementara itu, Lana yang sebelum ini mendapat jolokan 'Pamela Anderson Malaysia' ini dikatakan sedang melakukan perubahan bukan kerana Johan ataupun orang lain, tetapi untuk diri sendiri.

Menurut wanita kelahiran Sarawak ini, dia turut menjelaskan buah hatinya itu tidak pernah memaksanya untuk berubah, namun dia tidak nafikan pelakon kacak itu telah banyak menyokong dan menegurnya melalui cara berpakaian.

"Pada hari pertama perkenalan, dia tegur cara pemakaian saya kerana setiap kali saya menghadiri sebarang majlis, orang pasti akan lihat pemakaian saya.

"Jadi, dia meletakkan syarat kepada saya agar tidak lagi memakai skirt. Saya hormat perkara itu dan tak pakai lagi. Dia juga tak pernah paksa saya pakai tudung. Dan saya rasa tiada masalah dengan perkara ini dan perkara yang baik seperti itu,
membolehkan saya berlatih dari sekarang," ujar Lana.

Pelakon Gol dan Gincu ini juga berkata, andai suatu hari nanti terbuka pintu hatinya untuk berhijab, dia akan melakukannya kerana ALLAH SWT dan bukan untuk memikat hati sesiapa.

"Kenyataan berhijab itu, bukanlah datang dari saya, namun yang pasti saya akan pakai. lebih baik saya buat kerana saya nak buat sebab saya bukanlah seorang yang hipokrit," katanya.

Realiti Kolumpo, Moral yang semakin terhakis

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 7, 2013

DEWASA ini, jarang benar dapat kita melihat mengenai kisah penyatuan kaum dalam sesebuah naskhah filem. Berbeza dengan karya-karya dari Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allayarhamah Yasmin Ahmad yang banyak menerapkan cerita-cerita mengenai penyatuan masyarakat dalam filem penghasilannya.

Namun, bagi anda yang merindui filem-filem seumpama itu, anda tidak patut melepaskan peluang menonton filem yang memperlihatkan gandingan pertama Bront Palarae, Sheikh Munasar dan Rozi Izma menerusi filem Kolumpo.

Melihat sendiri tajuk filem ini sudah cukup memberi gambaran mengenai kisah-kisah masyarakat di pusat bandar Kuala Lumpur itu sendiri. Dengan sebutan dan ejaan bahasa pasarnya, tiga pengarah ini membawa penonton melayari tiga kisah yang berbeza, namun sebenarnya saling berkaitan antara satu sama lain.

Paling penting, momen-momen yang ditunjukkan dalam filem ini adalah senario biasa yang dapat kita lihat hari ini. Menariknya, ujar Bront, projek filem ini terhasil dari perbincangan di meja belajar sehingga ke kedai kopi.

"Pada asalnya kami mahu menghasilkan sebuah filem pendek, namun selepas melihat skrip dari setiap seorang, kami perasaan ada persamaan dari segi jalan cerita.

"Kami sepakat untuk menggabungkan tiga filem pendek ini menjadi satu, lalu terhasillah Kolumpo," katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem tersebut di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Filem Kolumpo menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Sharifah Amani, Ruminah Sidek, Mano Maniam, Azad Jasmin, Radhi Khalid, Soffi Jikan, Nell Ng, Amirul Ariff dan Sherry Alhadad.

Tiga pengarah, tiga kisah

Kolumpo membawa penonton melayari kisah tiga kaum dan mengangkat bahasa ibunda masing-masing menerusi tiga kisah yang berbeza, namun tetap meninggalkan kesan sama rata kepada semuanya masyarakat.

Ia dimulakan dengan kisah Rahul, seorang pendatang dari India baharu tiba di bandar dan mengetahui syarikat yang menawarkan pekerjaan kepadanya telah pun muflis. Dia telah dibantu oleh seorang pemilik restoran dan memulakan kehidupan di ibu kota sebagai pekerja tanpa izin.

Di Setapak, Gienna adalah seorang wanita berbangsa Cina dalam lingkungan umur 30-an. Dia sering  mengelak panggilan telefon daripada ibunya. Pada satu hari dia telah membantu seorang wanita tua nyanyuk untuk mencari rumahnya.

Di Ampang, Haffid, seorang pemuda bertemu dengan seorang gadis di stesen LRT selepas mereka ketinggalan tren terakhir. Haffid yang tidak pernah bercinta menganggap kejadian yang berlaku adalah takdir dan harapan untuk bertemu cinta pertamanya.

Tiga kisah berbeza dalam sebuah filem mencipta satu kelainan yang mengejutkan dan hubungan antara manusia yang memberikan kehidupan di bandar.

Garapan kemas

Paling penting, dengan menampilkan pelakon yang cukup berbakat besar dalam bidang lakonan membuatkan Kolumpo ibarat sebuah makanan yang cukup segala rempah dan rasanya. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan, antara kisah yang dipaparkan sememangnya berlaku dalam realiti masyarakat hari ini.

Ia menunjukkan moral sesetengah masyarakat yang semakin terhakis dan perlu diberi perhatian dengan segera. Dengan mengambil latar belakang Kuala Lumpur itu sendiri, pada pendapat penulis, pengarah telah berjaya menyampaikan segala isi tersirat yang diharapkan dapat difahami dan di ambil iktibar oleh penonton.

Justeru, bagi anda yang ingin merasai sendiri emosi Kolumpo, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment