Monday, December 9, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 101213 bersamaan 8 Safar 1435H

 

 

Bayi masih hidup dibuang belakang kedai

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: December 10, 2013

IPOH - Seorang juru kimpal terkejut selepas mendapati bunyi yang disangka kucing mengiau rupanya suara tangisan bayi.

Bayi perempuan cukup sifat yang baru dilahirkan itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di lorong belakang deretan rumah kedai baharu di Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia , di sini pagi semalam.

Chong Lean Fatt, 48, berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan kerja-kerja memasang jeriji besi bersama rakannya di sebuah kedai di kawasan berkenaan.

"Kira-kira jam 10 pagi, saya bersama rakan sibuk melakukan kerja sebelum mendengar suara seperti bayi menangis di luar premis.

"Saya sempat bertanya kepada rakan sekerja, sama ada dia ada mendengar suara bayi tersebut, tetapi dia jawab mungkin bunyi itu datang dari kucing atau anjing yang lalu di situ.

"Bagaimanapun, pada jam kira-kira 11 pagi, saya terdengar jeritan penyelia yang kebetulan berada di luar premis memberitahu dia menemui bayi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Lean Fatt berkata, dia dan rakannya bergegas keluar dan melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan di tepi jalan tar kira-kira 20 meter dari premis tempat mereka bekerja.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi terbabit pada jam 11.10 pagi.

Menurutnya, bayi cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dipercayai baru lahir ditinggalkan tidak berpakaian dalam keadaan tertiarap di lorong belakang premis kedai yang baru dibina.

"Bayi itu ditemui dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya serta dibawa ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut," katanya semalam.

Ahmad Termizi berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Maut sebaik turun bas

Oleh: Nurul Huda Husain - 019 939 1256 / 019 982 1480

Tarikh: December 10, 2013

KUALA NERUS - Seorang lelaki warga Indonesia maut setelah dilanggar sebuah teksi sebaik turun dari sebuah bas henti-henti di hadapan Taman Perumahan Maidam, Tok Jembal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan terus melintas sebaik turun daripada kenderaan awam itu sebelum dilanggar teksi yang datang dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa yang berusia 44 tahun maut di tempat kejadian setelah tercampak sejauh beberapa meter di bahu jalan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, mangsa yang sudah menetap lebih 30 tahun di negara ini turun dari sebuah bas di bahu kiri jalan dari arah Tok Jembal ke Gong Badak.

"Oleh kerana cuaca hujan, mangsa telah berlari melintas jalan dari kiri ke kanan dan dalam masa sama datang sebuah teksi dari arah Pak Tuyu menghala ke Tok Jembal lalu melanggar mangsa yang melintas secara tiba-tiba.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mati serta merta dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, menurut seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, ketika kejadian dia sedang berbual di telefon dengan rakannya dalam sebuah premis perniagaan yang terletak hanya beberapa meter dari tempat kejadian.

"Tiba-tiba saya dengar dentuman yang sangat kuat dari hadapan kedai sebelum  melihat seorang lelaki terbaring di bahu jalan akibat dilanggar.

"Sebelum kejadian, saya lihat mangsa baru turun dari bas dan melintas secara tiba-tiba," katanya.

 

Gerakan lancar kempen mansuh hukuman mati

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia 2013 esok, Gerakan melancarkan "Kempen 100,000 Tandatangan' untuk menggesa bagi pemansuhan hukuman mati.

Presiden parti Datuk Mah Siew Keong berkata kempen itu akan diadakan selama tiga bulan bermula hari ini untuk mengumpul tandatangan orang ramai sebelum menyerahkannya bersama-sama dengan satu memorandum, kepada Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kempen itu merupakan langkah konstruktif Gerakan berikutan sesetengah pihak berpendapat hukuman mati adalah tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan hak asasi manusia.

"Banyak penyelidikan menunjukkan hukuman mati tidak mencegah jenayah secara efektif, (dan) sebab itu kenapa kebanyakan negara telah memansuhkannya.

"Jadi, kita perlukan iltizam politik (dalam isu ini), dan Gerakan merancang memainkan peranan konstruktif dengan menganjurkan (kempen ini) untuk mendapatkan cukup tandatangan untuk mendesak perkara ini (pemansuhan). Sebab itu kenapa kami memutuskan untuk melakukan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di sini.

Bagi pihak Gerakan, Mah bagaimanapun mencadangkan hukuman mati sedia ada yang dikenakan bagi jenayah berat, termasuk penyeludupan dadah, patut digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup, sebagai alternatif untuk mencegah jenayah itu.

Beliau juga menggesa parti-parti politik, termasuk pembangkang supaya menyokong kempen itu demi negara.    

"Kita berharap ia akan berjaya untuk memastikan yang kita mampu capai sesuatu untuk negara," katanya.

Mereka yang berminat menyertai kempen itu boleh pergi ke pejabat jawatankuasa badan perhubungan Gerakan negeri di setiap negeri atau menerusi laman web rasmi parti di www.gerakan.org.my.

- Bernama

Polis tahan 12 anggota sindiket curi susu formula

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Polis Selangor berjaya menahan 12 anggota sindiket curi susu formula dan barangan kegunaan harian di empat negeri pada Rabu dan Jumaat lepas, yang dikatakan telah mengaut keuntungan lebih RM100,000.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata intipan dilakukan hasil laporan cubaan curi oleh orang awam di sebuah pasar raya di sini dan sindiket yang bergerak aktif sejak Mac lepas itu berjaya dijejaki.

Katanya polis mendapati mereka menyasarkan kedai 24 jam di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur untuk melakukan jenayah itu.

"Majoriti suspek adalah wanita. Modus operandi yang digunakan dengan menyorokkan barangan curi di dalam jubah atau baju kurung yang dipakai iaitu di celah kelangkang atau di dalam beg tangan yang dibawa.   

"Kemudian, suspek akan menjualnya di kedai-kedai yang didapati bersubahat dengan sindiket berkenaan pada harga yang jauh lebih murah, iaitu berbeza kira-kira 20 peratus daripada harga sebenar," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata serbuan pertama di sebuah kedai ubat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Rabu lepas, polis berjaya menahan 10 suspek termasuk seorang pemilik kedai dan empat pekerjanya ketika mereka sedang menjalankan urusan jual beli barangan curi itu.

Hasil siasatan lanjut ke atas 10 suspek itu, dua lagi suspek diberkas apabila polis menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, katanya.

Hasil penahanan kesemua suspek terbabit, polis merampas pelbagai jenis susu formula berjenama antaranya Enfalac, Frisolac, Similac, Dumex, Anmum dan Gain Plus selain syampu pelbagai jenama dan minuman keras yang dipercayai dicuri dari kedai berlainan.

Katanya tiga kenderaan sewa yang digunakan untuk melakukan jenayah itu turut dirampas dan semakan rekod mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan penggunaan dadah, menyimpan barang curi dan pecah masuk bangunan.

"Sembilan suspek terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki adalah warga tempatan dan tiga wanita lagi warga Indonesia.    

"Kesemua mereka berumur lingkungan 24 hingga 55 tahun itu ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Gangguan bekalan air di ibu kota Khamis ini

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan sementara bekalan air mulai 9 pagi hingga 11 malam, Khamis ini.

Menurut kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), gangguan itu adalah akibat kerja menaik taraf sistem bekalan air iaitu 'Strainer' di Kolam Imbangan Pudu Hulu Baru.

Kawasan yang terlibat ialah Taman Bukit Permai; Taman Mastika; Kampung Cheras Baru (Bukit A,B,C); Taman Lembah Maju; Taman Pandan Mewah; Taman Putra; Taman Mawar; Taman Muda; Taman Teratai; Taman  Saga; Taman Melur; Taman Mega Jaya dan Taman Seraya.

"Sebanyak 17,388 jumlah akaun yang terlibat," katanya.    

Kenyataan itu menasihati pengguna agar menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.   

Untuk  maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5522 atau SMS dengan menaip PUSPEL <jarak><aduan/pertanyaan> dan hantar ke 39222 atau layari laman web, www.syabas.com.my; www.twitter.com/puspel dan 'facebook' dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - Bernama

Musibah banjir tuntut kesabaran, semangat membantu

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUANTAN - Banjir buruk yang melanda Pahang sejak Isnin lepas benar-benar menguji kesabaran semua pihak terbabit di samping menuntut toleransi dan semangat saling membantu.

'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul', itulah yang dihadapi mangsa banjir di seluruh negeri dan mereka mengharapkan orang yang tidak ditimpa musibah ini, menghulurkan bantuan.

Peringkat awal banjir buruk yang melanda di Pahang menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan, mengakibatkan banyak pihak mempertikai kesiapsiagaan pihak berkuasa lebih-lebih lagi banjir yang melanda melumpuhkan bandar Kuantan sekurang-kurangnya dua hari sehinggakan bekalan makanan dan keperluan asas pun dilaporkan tidak mencukupi.

Agensi berkaitan yang sepatutnya sudah bersedia membantu, didakwa kononnya kelam-kabut dan 'terpinga-pinga' untuk memulakan tindakan.

Laman sosial seperti Facebook dan Twitter melimpah ruah dengan gambar dan maklumat yang membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap agensi kerajaan berkaitan, termasuk tuduhan yang nyata tidak berasas.    

Hakikatnya, bak kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, petugas operasi banjir juga terbabit dalam kejadian banjir itu, namun mereka tetap bertungkus-lumus dan bertarung nyawa mendahulukan tindakan membantu mangsa banjir lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata bekalan keperluan lewat sampai kepada mangsa ketika banjir mula melanda sahaja ,bukan disebabkan kehabisan bekalan.   

"Contohnya laporan yang diterima ada 500 orang di pusat pemindahan, kami bekalkan makanan bagi 500 orang selama tiga hari, tapi dalam masa dua jam bilangan itu bertambah secara mendadak menjadi 1,500 orang, dengan itu maknanya makanan yang dimasak untuk 500 orang sudah jadi tidak cukup.

"Kami juga menghadapi kesukaran menghantar tambahan makanan ekoran laluan yang berselerak dengan kenderaan di tepi jalan yang menghalang lori membawa bantuan masuk ke pusat pemindahan dengan pantas," katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, katanya, bekalan keperluan di pusat pemindahan sekarang bertambah baik dan cukup untuk menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Semua agensi dan jabatan berkaitan berusaha memastikan bekalan bantuan seperti makanan dan keperluan asas di pusat-pusat pemindahan tidak berkurangan.    

Seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang hanya mahu dikenali sebagai 'Wan' berkata rumahnya di Sungai Isap turut ditenggelami air melebihi dua meter.

"Saya sejak hari pertama banjir, tetap bertugas seperti biasa, membantu dalam operasi banjir ini, keadaan rumah saya pun tak tahu macam mana, sedih bila ditohmah kami tidak buat kerja," katanya.

Seorang penghuni pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, Rahim Bakar berkata masalah adakalanya berbalik kepada sikap tidak sabar dan mementingkan diri mangsa yang dipindahkan, sehingga punca bekalan keperluan asas dilihat tidak mencukupi.

"Ketika petugas operasi banjir mengagihkan keperluan asas seperti tilam dan selimut, ramai yang berebut, terdapat tujuh sekeluarga mengambil tujuh selimut, tujuh tilam dan tujuh bantal, akibatnya mereka yang beratur jauh di belakang tidak dapat satu selimut atau satu tilam pun," katanya.

Rahim, 55, bersama tiga anaknya yang menetap di Taman Inderapura yang ditengelami banjir pada hari Selasa lepas, berkata sikap mementingkan diri sendiri itu turut menyebabkan terdapat mangsa banjir yang lain terpaksa tidur beralaskan tikar.

"Pertambahan mendadak mangsa banjir di pusat pemindahan dan kekangan bekalan keperluan asas untuk sampai ke pusat pemindahan, menyebabkan petugas operasi banjir serba-salah, sepatutnya semua pihak sama-sama membantu, sama-sama berkongsi terlebih dahulu, sebelum bantuan tambahan sampai," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir Abu Bakar Kamal berkata sikap 'orang kita' yang 'tak pandang orang belakang' juga menyebabkan hal berkaitan makanan seperti ini tidak mencukupi.

"Bila makanan di pusat pemindahan dimasak sahaja, semua berebut, ambil tiga empat pinggan seorang, orang belakang (terkemudian) dapat kuah sahaja, yang ambil tiga empat pinggan bukannya habis makan pun!," katanya. 

Bak kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, musibah banjir yang melanda ini sebenarnya mahu menguji kesabaran, sikap toleransi dan saling membantu sesama kita.

Kepada yang tidak ditimpa musibah banjir, bantulah seadanya, bukannya membuat tohmahan kepada pihak yang bertungkus-lumus siang dan malam membantu mangsa banjir.

"Kepada mereka yang tidak terbabit banjir wajarlah juga mengambil mana-mana keluarga demi membantu meringankan beban mereka ketika ini, sekurang-kurangnya mereka mendapat tempat perlindungan," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata tindakan itu merupakan syariat yang dituntut agama demi membantu sesama saudara Islam ketika mereka ditimpa musibah. - Bernama

Polis: Penembak pegawai Jaip antara 15 ditahan

Oleh: HASNIZA HUSSAIN

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Polis mengesahkan seorang suspek yang menembak mati Ketua Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohd Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu adalah antara 15 individu yang ditahan sebelum ini.

Terdahulu, polis menahan 15 pengikut Ajaran Harun termasuk ketua kumpulan tersebut Harun Mat Saat, 47.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan identiti suspek tersebut.

"Dia (suspek) dah dikenal pasti dan ditahan sebelum penahanan terbaru dibuat ke atas dua pengikut Ajaran Harun di Kampung Tagasan, Semporna, Sabah pada 2 Disember lalu.

"Tunggulah..bila tiba masanya kita akan beritahu siapa dia," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia (APAC) ke 25, di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian balistik yang dibuat ke atas pistol yang dirampas sebelum ini, turut mengesahkan bahawa senjata itu adalah senjata yang digunakan sewaktu kejadian.

Katanya, kesemua yang ditahan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan sama, Khalid turut menegaskan terdapat perkara-perkara tertentu yang diajukan media, tidak boleh dijawab oleh pihaknya.

"Ada perkara yang tidak perlu ditanya seperti motif sesuatu kejadian kerana itu adalah kerja mahkamah.

"Jika kita bagi kenyataan dan ia salah, kita boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah. Perkara itu hanya boleh dirungkai oleh mahkamah semasa perbicaraan," katanya.

Pada 10 November lalu, Ahmad Raffli maut ditembak jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.

Susulan itu, polis mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut Ajaran Harun yang dikehendaki pada 15 November lalu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Polis kemudiannya, menahan Harun, isterinya, Nor Azida Mohd Zol, 30, serta pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu.

Dalam tempoh 10 hari siasatan dibuat, polis menahan 10 lagi individu dan merampas senjata yang digunakan sewaktu kejadian.

Polis kemudiannya mengedarkan gambar 10 lagi pengikut kumpulan tersebut, sebelum menahan dua daripada mereka di Sabah pada Sabtu lalu.

Bekas sarjan dipenjara setahun, denda RM10,000

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

ALOR SETAR - Seorang bekas Sarjan polis hari ini dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah didapati bersalah menerima suapan RM500 bagi menukar air kencing  positif dadah di Sungai Petani dua tahun lepas.

Hakim Ooi Sheow Yean menjatuhi hukuman itu terhadap Hashim Said, 59, setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM10,000.

Hashim yang ketika itu bertugas di bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Muda, Sungai Petani dituduh menerima rasuah untuk diri sendiri wang tunai RM500 daripada Azmi Hashim, 51, melalui seorang bernama Shahfarid sebagai dorongan untuk menukar air kencing Ammar Azmi, 19, yang positif dadah jenis meth kepada negatif.

Bekas polis itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di restoran Nasi Kandar Ayam Kampung Haji Ramli Simpang Empat, Alor Setar kira-kira pukul 10 malam 26 Jun 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Rahmatullah Baharudeen memohon mahkamah menjatuhi hukuman minimum kerana ini kesalahan pertama anak guamnya selain telah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Rahmatullah berkata semasa kejadian, anak guamnya mempunyai tempoh lima bulan sahaja lagi untuk bersara. Tertuduh digantung kerja dan tidak mendapat gaji sejak Julai 2011.

"Tertuduh mempunyai seorang isteri dan tiga anak dan dia sendiri memerlukan rawatan penyakit diabetes. Bagi mengenang jasa dia yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam polis, saya merayu hukuman paling minimum," kata Rahmatullah.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM Syarul Khuzaini Amiruddin sebaliknya memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat kerana kes itu mencalar imej polis dan tertuduh juga sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada penguat kuasa lain dalam usaha membanteras rasuah.

"Pengamal rasuah di luar sana perlu melihat badan kehakiman memandang serius kes rasuah dan pembanterasannya," katanya. - Bernama

Jurulatih, jurumudi bot, penuntut komando selamat

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang jurulatih, seorang jurumudi bot dan 11 penuntut kursus asas komando Kem Sungai Udang yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Upih, Melaka, Sabtu lepas, ditemui selamat berhampiran Jeti Tanjung Bruas, Melaka, awal hari ini.

Kenyataan Kementerian Pertahanan menyebut kesemua mangsa dan bot yang dinaiki mereka ditemui berhampiran jeti itu pada 12.50 pagi ini.

"Semua anggota selamat dan tiada peralatan yang hilang. Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sebaik sahaja mereka ditemui," menurut kenyataan itu hari ini.

Mereka adalah antara seorang pegawai, 10 jurulatih dan 35 penuntut yang menaiki tiga bot diiringi sebuah bot keselamatan dalam perjalanan pulang dari Sungai Udang ke Pulau Upih, yang jaraknya kira-kira 7 kilometer, selepas menjalani latihan mendayung kira-kira 4 petang pada Sabtu lepas.

Semasa perjalanan berdekatan Pulau Upih, berlaku ribut yang mengakibatkan ketiga-tiga bot dinaiki penuntut berada dalam kesulitan dan hampir karam.   

Susulan itu, bot keselamatan berkenaan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan ketiga-tiga bot berkenaan dengan menarik sebuah bot ke Pantai Klebang diikuti sebuah bot lagi ke Pulau Upih.

"Bot keselamatan kemudian pergi tempat kejadian untuk menyelamatkan bot ketiga, namun ia tidak dapat dikesan lagi. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Markas Tentera Darat dan tumpuan pencarian adalah di sekitar pesisiran pantai.

"Usaha mencari dan menyelamat menggunakan pesawat udara 'Beach Craft' selain usaha menyelamat oleh anggota-anggota tentera dilakukan. Malah, Pusat Mencari dan Penyelamat Maritim Johor Baharu telah mengarahkan kapal-kapal dagang yang melalui kawasan itu untuk membuat pencarian di kawasan Linggi dan Port Dickson," kata Kementerian Pertahanan.

Operasi mencari dan menyelamat turut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Kementerian Pertahanan juga menafikan laporan akhbar bahawa mangsa adalah anggota Komando sebaliknya mereka hanya penuntut, dan menganggap kenyataan itu menjejaskan kredibiliti anggota yang sedia terlatih sebagai anggota elit Komando.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mangsa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak dan laporan menunjukkan mereka berada dalam keadaan stabil.

Ketika ditanya mengenai latihan itu, beliau berkata latihan di perairan bagi penuntut yang mengikuti kursus asas komando Kem Sungai Udang akan diteruskan dengan tahap keselamatan yang dipertingkatkan. 

"Ia tetap akan diteruskan seperti biasa meskipun keadaan laut yang bergelora akibat musim tengkujuh ketika ini. Kita akan tambah baik dari segi tahap keselamatan," katanya. - Bernama

 

 

Bekalan elektrik pulih di Johor, Melaka, Kelantan

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Bekalan elektrik di Johor, Melaka dan Kelantan kembali pulih sepenuhnya dan tiada akaun pengguna yang terjejas, sehingga jam 10 pagi ini. 

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini, bagaimanapun bekalan elektrik di Pahang dan Terengganu masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya 60 pencawang elektrik di Pahang dihenti tugas melibatkan 1,890 jumlah akaun pengguna manakala 90 pencawang elektrik di Terengganu dengan 3,328 akaun pengguna.

Di Pahang, kawasan terlibat ialah Kuantan membabitkan 37 pencawang elektrik, Triang (11), Pekan (6), Temerloh (4), Maran dan Jerantut masing-masing satu.

Katanya sebanyak 26 set janakuasa dibekalkan di Kuantan manakala empat set janakuasa di Jerantut.

Sementara di Terengganu, kawasan terlibat ialah Geliga membabitkan 68 pencawang elektrik dihenti tugas, Cheneh (17), Chukai (3) dan AMBS (2).

Katanya 33 set janakuasa dibekalkan di Kemaman. 

Menurut kenyataan itu, kesemua sembilan empangan TNB di Semenanjung juga masih dalam tahap selamat dan tiada limpahan air terjadi.

Empangan itu ialah Empangan Pergau di Kelantan, Empangan Kenyir (Terengganu), empat buah empangan di Sungai Perak iaitu Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh dan tiga empangan di Cameron Highlands iaitu Empangan Sultan Abu Bakar, Empangan Jor dan Empangan Mahang. - Bernama

MB guna kuasa 'veto' tahan lori Gardenia

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur - Kemamam semalam bertindak nekad menggunakan kuasa 'veto' mengarahkan dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada rakyat yang sedang kelaparan. 

 

Pemandu lori tersebut yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya tidak membenarkan lori mereka dibuka bagi tujuan itu. 

 

Ahmad yang kasihan melihat rakyat dalam kelaparan termasuk anak-anak kecil kerana tidak dapat meneruskan perjalanan berkeras meminta pemandu lori itu agar mengagihkan roti-roti tersebut. 

 

Setelah kedua-dua pemandu lori itu enggan berbuat demikian, Ahmad kemudiannya meminta mereka untuk menghubunginya pengurus mereka di Kuala Lumpur supaya beliau boleh membeli kesemua roti itu. 

 

Setelah kata sepakat dicapai dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur, Ahmad kemudiannya membuka lori itu untuk mengagih-agihkan roti tersebut. 

 

Tindakan Ahmad itu dikongsikan mangsa banjir yang turut berada di situ dan mendapat pujian ramai di media sosial.

 

 

Anggota bomba sedia hadapi sebarang kemungkinan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

JOHOR BAHRU – Pasukan Bomba dan Penyelamat Johor sentiasa berada dalam siap siaga menghulurkan bantuan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

 Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Daud berkata, meskipun banjir di negeri ini tidak serius, namun anggotanya dalam keadaan bersedia.

Tegasnya, tugas menyelamat merupakan skop hakiki pasukan bomba dan penyelamat.

 "Seramai 1,100 anggota kita dilengkapi latihan persiapan menyelamat mangsa banjir. Kerja kita bukan sekadar mengawal kebakaran, ia merangkumi menyelamat mangsa banjir dan kemalangan jalan raya.

"Malah SOP yang kita gunakan dalam menangani bencana ini adalah yang terbaik.

 "Kita tidak mempunyai sebarang masalah sama ada logistik dan aset, malah kita bekerjasama dengan agensi lain di bawah kelolaan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Latihan Pemantapan Pasukan Bertindak Kecemasan (Emergency Response Team, ERT), di sini, kelmarin.

Ab Ghani berkata, pihaknya memiliki 16 lori, 40 bot dan 42 anggota skuba yang telah digerakkan ke lokasi banjir di seluruh daerah bagi memberi bantuan.

 Beliau turut memuji kerjasama mangsa banjir yang bertindak awal meninggalkan rumah masing-masing apabila rumah dinaiki air.

Perkeso hulur bayaran segera

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

BATU PAHAT  - Balu pengawal keselamatan yang ditemui mati di Kawasan Perindustrian Tongkang Pechah, awal Disember lalu, menerima pencen seumur hidup daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).

Dalam insiden itu, mayat Aman Harun, 67, yang ditemui rakan sekerjanya mendapat perhatian Pengurus Perkeso Batu Pahat, Jumak Abdullah dimana hasil siasatan mendapati kes yang berlaku diklasifikasikan sebagai bencana kerja yang termaktub di bawah Akta Perkeso.

Menurutnya, mangsa meninggalkan isteri, Salmiah Samad, 64, dan seorang anak angkat yang berdaftar, Norhasanah Abdul Rahman,6, menetap di Kampung Parit Karjan, Sri Medan, di sini.

Jumak berkata, Perkeso telah membuat pembayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM1,500 kepada isteri mangsa dan pembayaran berkenaan siap tidak sampai 24 jam selepas kes berkenaan disiarkan Sinar Harian.

"Selain membuat pembayaran FPM kepada waris, pihak Perkeso turut membuat bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada isteri dan anak mangsa secara berterusan setiap bulan.

"Pembayaran berkenaan yang diterima sebanyak RM976.50 sebulan itu, dibahagikan kepada isteri sebanyak RM585.90 dan bakinya sebanyak RM390 kepada anak angkatnya sehingga umur 21 tahun atau 24 tahun jika melanjutkan pengajian sehingga ijazah pertama," katanya.

Jelasnya, kejadian berkenaan adalah contoh terbaik kepada majikan supaya dapat mencarum pekerja mereka kepada Perkeso, kerana jika tidak mencarum, ia adalah satu kesalahan.

Tambahnya, Perkeso tidak akan berkompromi dengan majikan yang  tidak mencarum pekerja mereka, dan dari masa  ke semasa pihak Perkeso Batu Pahat akan terus  mengadakan operasi berkaitan.

Sementara itu, menurut Salmiah, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa suaminya yang selama ini tidak pernah menrungut dengan pekerjaan yang dilakukannya.

Penerbangan ihsan bagi selamatkan bayi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

JOHOR BAHRU - Unit Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) melakukan penerbangan ihsan bagi menyelamatkan seorang bayi berusia 24 hari yang mengalami masalah paru-paru kronik di Pulau Tioman, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, sebuah helikopter AW 137 dari  Stesen Udara Subang, Selangor, ditugaskan untuk mengambil bayi terbabit bersama ibu bapanya.

"Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya selepas diberikan informasi berhubung kejadian dari Pusat Kesihatan Pulau Tioman.

 "Difahamkan, bayi itu telah menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Tioman sebelum diterbangkan ke Johor Bahru kerana memerlukan rawatan lanjut segera," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Adon berkata, Cawangan Operasi Udara Maritim mengambil masa setengah jam untuk tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini dari Lapangan Terbang Pulau Tioman.

Menurutnya, sejurus tiba, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

"Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pegawai Perubatan daripada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai Jaya segera mengejarkan mangsa terus ke Hospital Sultan Ismail.

"Bayi terbabit perlu  dibawa segera ke hospital kerana memerlukan rawatan segera akibat masalah paru-paru kronik," katanya.

Risiko waris ditipu dalam tuntutan pampasan

Oleh: NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN

Tarikh: December 9, 2013

LEDANG - Waris  dinasihatkan agar tidak menggunakan khidmat orang tengah dalam menguruskan tuntutan pampasan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengelakkan ditipu.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed  berkata, sebaliknya mereka perlu datang terus ke pejabat Perkeso  berhampiran untuk menyelesaikan  tuntutan itu.

"Mereka tidak perlu bimbang  kurang pengetahuan untuk urusan ini (tuntutan) kerana kaunter di pejabat sedia membantu.

"Jangan bawa orang tengah kerana mereka mahu mengambil kesempatan dengan menetapkan bayaran komisen sebagai upah  di atas  pertolongan sedangkan ia hak  waris," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya   tidak mengiktiraf atau melantik mana-mana individu mewakili Perkeso untuk membantu waris dalam urusan tuntutan.

Jelasnya, memang ada kes waris ditipu orang tengah tetapi kita tidak mempunyai data aduan berkaitan  perkara ini.

"Kita minta waris datang ke pejabat Perkeso jika  tidak pasti pencarum ada membuat caruman atau tidak kerana pihak kami boleh mengakses maklumat menggunakan nombor kad pengenalan,"katanya.

Tambahnya, sebagai langkah menjaga kebajikan pekerja, Perkeso mewajibkan majikan sektor swasta  membuat caruman kepada pekerja berpendapatan di bawah RM3,000 dan akan dikenakan tindakan jika ingkar.

46 warga asing ditahan

Oleh: Mohd Firdaus Yon

Tarikh: December 9, 2013

SENAI - Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen di Ulu Sungai Johor, Bandar Tenggara, dekat sini, 6 Disember lalu.

Serbuan sekitar jam 5 pagi itu dilakukan sepasukan anggota diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Anuar Zainal disertai empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Johor, Masri Adul berkata, anggota ops terpaksa melalui jalan 'off road' sejauh 30 kilometer sebelum menempuh banjir sedalam hampir dua kaki.

Menurutnya, lokasi ini jauh ke dalam di kawasan Ulu Sebol A, bagaimanpun, serbuan dilakukan membuahkan hasil apabila 46 warga asing berusia empat hingga 49 tahun terdiri daripada enam wanita, seorang kanak-kanak dan 39 lelaki ditahan.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat segelintir Pati terbabit cuba melarikan diri ke dalam kawasan lombong, namun usaha mereka gagal," katanya, di sini, semalam.

Masri berkata, anggota ops terpaksa menggunakan lori hantu untuk memindahkan Pati terbabit dari kawasan lombong ke jalan utama.

"Semua warga asing ini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa ditetapkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Bekas pengarah nafi tipu, guna Nota Kredit palsu

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah pemasaran syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu dan menggunakan Nota Kredit palsu membabitkan pembelian lima unit rumah bernilai RM11.62 juta, dua tahun lepas.

Bagi lima pertuduhan menipu, Yee Hooi Ling, 41, didakwa menipu pengarah Syarikat BHL Construction Sdn Bhd, Zaiful Ayu Ibrahim Ibrahim, 42, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa syarikat itu telah meluluskan pemberian diskaun berjumlah RM11.62 juta kepadanya.

Diskaun itu kononnya diberikan bagi pembelian lima unit rumah berkembar tiga tingkat di USJ One Park yang bernilai RM11.62 juta sehingga mendorong Zaiful menandatangani lima keping Nota Kredit milik syarikat berkenaan.    

Wanita itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Robson, Brickfields, di sini pada 18 Julai 2011 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa  hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Yee turut didakwa terhadap lima lagi pertuduhan iaitu menggunakan lima Nota Kredit milik syarikat berkenaan bertarikh 18 Julai 2011 ketika melampirkan dokumen itu sebagai eksibit untuk menyokong tuntutan sivilnya bagi memperoleh satu perintah mahkamah mendapatkan hak milik ke atas kelima-lima unit rumah berkembar tiga tingkat itu.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini pada 9 Jan lepas mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.     Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam Sia Huan Ting yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya sering berurusan di luar negara.   

Hakim  Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Damansara pada setiap bulan.   

Mahkamah menetapkan Khamis ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Polis marin rampas 200kg ikan dibom

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas sebanyak 200 kilogram ikan pelbagai spesies bernilai kira-kira RM1,450 yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perikanan Daerah di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Madun berkata, kesemua ikan itu dirampas dalam operasi yang diketuai Pemangku Pegawai Pemerintah Semporna ASP Mohd Aris Jambul kira-kira 8 pagi di Pasar Ikan Semporna.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, kebanyakan peniaga dan pemilik ikan tersebut telah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad berkata operasi dijalankan bagi memastikan ikan yang dipasarkan bukan hasil daripada penggunaan bahan letupan.

Beliau berharap orang ramai terutamanya yang tinggal di sekitar pantai memberi kerjasama untuk mencegah aktiviti pengeboman ikan di kawasan perairan Sabah. - Bernama

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila semua 99 mangsa banjir yang ditempatkan di empat buah pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 94 orang di Rantau Panjang, Pasir Mas dan bakinya di Pengkalan Kubor, Tumpat dibenarkan pulang selepas pukul 10 pagi.

Sehubungan itu, semua pusat pemindahan sementara ditutup, menurut portal berkenaan.

Sejak banjir melanda enam jajahan di Kelantan sejak minggu lalu, lebih 2,000 orang dipindahkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir itu.

Kesemua mereka yang dipindahkan itu juga berpuas hati dengan peranan agensi kerajaan dalam membantu mereka berpindah dan segala kemudahan yang diberikan kepada mereka di pusat pemindahan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut meluangkan masa melawat kawasan bencana itu di beberapa tempat di negeri ini, Jumaat lalu.

Keadaan cuaca di Kelantan ketika ini adalah mendung dan semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengingatkan penduduk supaya berhati-hati dengan kemungkinan banjir pusingan berikutnya selepas ini. - Bernama

Banjir: JPA lancar JPA4U

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya hari ini melancarkan JPA4U dengan tugasan pertama memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata JPA4U setakat ini dianggotai kira-kira 300 penjawat awam dan mereka memberi bantuan termasuk makanan, pakaian dan barangan keperluan asas.

"Hari ini kira-kira 30 sukarelawan JPA4U menghantar bantuan tersebut yang bernilai RM5,000 hasil derma anggota JPA di Putrajaya sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini melalui gerakan awal JPA4U, bantuan makanan mula diagihkan kepada 250 buah keluarga di bandar Kemaman pada Rabu lepas.

Katanya pengumpulan dana mahupun barangan keperluan akan dilakukan secara berterusan bagi membantu mangsa banjir meneruskan kehidupan di pusat penempatan sementara.

Justeru beliau meminta semua ketua jabatan supaya menggalakkan sumbangan daripada kakitangan masing-masing.

"Sudah tentu jika banjir ini surut dan mangsa kembali ke rumah masing-masing, sumbangan seperti peralatan pesekolahan bagi anak-anak menjadi keutamaan selain keperluan lain," katanya. - Bernama

Kebakaran: 4 sekeluarga sehelai sepinggang

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

ALOR SETAR - Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Haji Salleh, Jalan Sultanah di sini, malam tadi.     

Kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah rumah yang dijadikan bengkel mengecat kenderaan sebelum api merebak ke rumah berhampiran.
    
Mangsa, Muhamad Zubir Salleh, 45, berkata dia bersama kakak, adik lelaki dan anak saudaranya yang berada di dalam rumah, sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kecil.
    
Dia kemudiannya keluar rumah dan melihat api marak di bahagian atas rumah yang dijadikan bengkel mengecat kereta itu sebelum menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan bantuan.
    
"Saya tak sempat nak selamatkan dokumen penting dan barangan berharga. Telefon bimbit dan laptop anak saudara saya semuanya musnah sebab api marak dengan cepat dan kami hanya mampu melihat api bakar rumah pusaka keluarga kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
    
Muhamad Zubir berkata faktor kedudukan rumah berusia puluhan tahun itu terlalu dekat dan struktur rumah dua tingkat diperbuat daripada kayu dan batu menyebabkan api mudah merebak dengan cepat.
    
Katanya walaupun kerugian lebih RM50,000, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.
    
"Mungkin lepas ini kami akan tinggal buat sementara waktu di rumah saudara mara terdekat sebelum memikirkan cara untuk mendapatkan tempat berteduh yang lain," jelasnya.
    
Tinjauan mendapati dua buah kereta yang berada di dalam bengkel tersebut turut terbakar dan ketika kejadian pemiliknya dikatakan ke Stadium Darul Aman untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
    
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Mohd Fauzi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.51 malam dan sampai ke tempat kejadian empat minit kemudian.
    
Katanya pasukannya berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.01 malam dengan kekuatan tiga jentera dan 19 anggota.
    
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kejadian dalam siasatan. - BERNAMA

Jenazah Tan Sri Mohamed Ngah Said selamat disemadi

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral (B), Tan Sri Mohamed Ngah Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa di sini, hari ini.
    
Jenazah Mohamed disemadikan kira-kira 10.30 pagi selepas disembahyangkan di Masjid Ibnu Sina, Jalan Ayer Keroh di sini.
    
Upacara pengebumian Allahyarham diberikan penghormatan penuh ketenteraan oleh kira-kira 100 pegawai dan anggota tentera.
    
Turut hadir Timbalan Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Seri Roslan Saad.
    
Mohamed, 75, meninggal dunia di Hospital KPJ Tawakal di sini malam tadi akibat jangkitan kuman selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lepas.
    
Allahyarham Mohamed meninggalkan isteri Puan Sri Kamariah Abdul Rahman, 72, dan enam anak berusia dari 20 hingga 49 tahun serta 10 cucu.
    
Beliau menyandang jawatan Panglima TUDM dari 29 Ogos 1983 sehingga 18 Mac 1990.
    
Sementara itu, anak keempat Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, 40, berkata arwah bapanya adalah seorang yang peramah dan bertanggungjawab.
    
"Ayah seorang yang tegas dalam kerjanya namun mudah mesra dengan anggotanya tanpa mengira pangkat," katanya kepada pemberita. - Bernama

Syiah: Zahid dedah dalam masa terdekat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Selepas menyatakan pemimpin "nombor dua Pas" pengikut ajaran Syiah pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan akan mendedahkan bukti kepada umum dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid yang dipetik sebuah portal juga berkata, beliau akan tampil dengan bukti bagi mengesahkan dakwaannya itu walaupun bakal berhadapan tindakan undang-undang.

Walau tidak menamakan Mohamad Sabu sebagai "orang nombor dua" Pas yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah, namun umum mengetahui, Mohamad Sabu yang memenangi semula jawatan timbalan presiden Pas digelar sebagai orang nombor dua parti.  

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu dalam reaksi awalnya terhadap kenyataan Ahmad Zahid juga mengatakan akan merujuk kepada peguamnya berhubung kenyataan itu.

Namun, Ahmad Zahid hari ini nekad tidak akan berganjak dengan kenyataan berhubung pemimpin nombor dua Pas adalah pengikut Syiah.

"Dalam Islam, kita tidak boleh mempunyai mazhab lain kerana ia akan menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam.

"Saya melihat perkara ini dari sudut keselamatan. Saya tidak mahu apa yang berlaku (perang saudara) di negara lain juga berlaku di Malaysia," katanya.

Mat Sabu yang dipetik Harakahdaily sebelum ini menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid itu sebagai tuduhan berniat jahat.

"Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu... Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.
 

13 anggota tentera ditemui selamat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

MELAKA - Semua 13 anggota tentera yang sedang menjalani latihan dan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki dipukul ribut kelmarin, ditemui selamat. 

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, mereka ditemui orang awam dalam keadaan selamat di Pantai Kundur, Pantai Puteri, di sini kira-kira jam 1.19 pagi tadi.

Kesemua 13 anggota tentera ini hilang ketika menjalani latihan mendayung di Pulau Nangka, malam kelmarin. 

Difahamkan, ketika kejadian bot dinaiki mereka bersama empat bot lain dalam perjalanan dari persisir sungai Udang ke pulau berkenaan.

Gurauan ular bawa padah, bayi 5 bulan maut

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: December 9, 2013

MERLIMAU - Seorang bayi perempuan lima bulan maut selepas terperosok di bawah kereta dipandu neneknya ketika hendak meletakkan kenderaan di garaj sebuah restoran di Kilometer 30 Jalan Melaka-Muar, di sini, kelmarin.

Ketika kejadian, bayi berkenaan, Norisah Wae-Useng berada di dalam kereta sorong bayi sebelum dilanggar kereta jenis Proton Wira dipandu neneknya, Roda Komeng, 28, yang turut dinaiki ibunya, Nuri Deris, 19, kira-kira jam 5.30 petang.

Difahamkan, bayi berkenaan berada di garaj yang terletak di belakang restoran milik Roda sekeluarga bersama seorang ahli keluarga yang sedang membuat persiapan sebelum membuka premis berkenaan pada jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila Roda hendak  meletakkan kenderaan dipandunya ke dalam garaj selepas pulang membuang sampah di kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun, Roda tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu melanggar kereta sorong bersama bayi berkenaan sebelum merempuh dinding bilik air.

"Rempuhan mengakibatkan kereta sorong bersama bayi itu terperosok di bawah kereta dan Roda hanya menyedari keadaan cucunya selepas dimaklumkan ahli keluarga yang berada di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Nur berkata, bayi yang cedera parah di bahagian kepala dibawa ke Poliklinik Merlimau sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.45 petang.

"Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, pekerja restoran itu, Zamri Nik Muda, 23, berkata, ketika Roda hendak menghentikan kereta seorang penghantar tong gas berusia 30-an cuba bergurau sambil menjerit memaklumkan terdapat ular di dalam kereta terbabit.

"Roda yang terkejut tertekan pedal minyak dan melanggar kereta sorong cucunya itu dan merempuh dinding bilik air," katanya.

Katanya, Norisah dibawa ke Malaysia dari Pattani, Thailand oleh Roda kira-kira dua minggu lalu kerana Nuri dan suaminya Wae-Useng Sulong, 27, bekerja di restoran tersebut.

Difahamkan mayat bayi itu dikebumikan di Pattani, Thailand.

Kes bunuh pegawai Ambank disebut 24 Januari

Oleh: TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Januari depan sebagai sebutan bagi pengurusan kes yang melibatkan insiden bunuh kakitangan Ambank Subang Jaya, Oktober lalu.

Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu ketika kes disebut dihadapannya, di sini hari ini.

Hanie Dzatul Akhmar turut memerintahkan semua dokumen yang berkaitan disertakan.

Laode Ardi Rasila, 35, dituduh membunuh Norazita Abu Talib antara jam 6.00 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral,Subang Jaya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Laode turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N.Parimalaah  manakala S.Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia sebagai peguam mewakili tertuduh.

Laode tiba jam 8.45 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.

Pekerja kilang ditemui mati dibunuh

Oleh:

Tarikh: December 9, 2013

PETALING JAYA - Seorang pekerja kilang ditemui mati di dalam biliknya dipercayai dibunuh di pangsapuri Goodyear Court 2, USJ 6/1, Subang Jaya, dekat sini, semalam.
    
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, kakak mangsa, 59, hanya menyedari kematian adiknya Rumaizah Burham, 54, di dalam rumah setelah mendapati pintu bilik utama berkunci.
 
Menurut kakak mangsa yang enggan dikenali, kebiasaanya pintu bilik utama itu tidak berkunci.
    
"Namun mengesyaki sesuatu yang tidak kena, kakak mangsa menyuruh anak lelakinya memecahkan pintu itu dan mendapati mangsa terbaring dengan muka ditutup dengan bantal serta cedera di bahagian muka.
    
"Hasil siasatan, polis mendapati keadaan rumah dan bilik mangsa berselerak serta pintu jeriji besi dan pintu utama tidak dirosakkan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
    
Yahaya berkata mangsa cedera di bahagian muka, dahi dan hidung dipercayai akibat dipukul dengan benda tumpul.
    
Menurutnya, penjenayah terbabit dipercayai melakukan pecah rumah dengan menyangka mangsa telah pergi bekerja dan kemungkinan suspek mengenali mangsa.
    
"Setakat ini, beberapa saksi termasuk jiran dan sekuriti telah disoal siasat," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Saman: Pas serah kepada Mat Sabu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Pas menegaskan dakwaan terhadap Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu adalah serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah serangan terbuka dan bersifat peribadi.

Menurutnya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu wajar mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid.

"Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu. Kita tak akan masuk campur. Wajar Mat Sabu bertindak dan ambil tindakan terhadap menteri itu," katanya semalam.

Dalam pada itu, Mustafa juga berkata, Pas di peringkat pusat tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai ajaran Syiah yang diamalkan oleh pemimpin parti termasuk Mohamad Sabu.

"Kita di peringkat Pusat memang tak pernah terima apa-apa laporan setakat ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, apabila ditanya adakah selepas mendengar dakwaan terbuka Ahmad Zahid, Pas akan membuat siasatan terhadap pemimpin nombor dua parti itu, Mustafa berkata: "Kita tak akan buat demikian, sebab tak ada laporan. Kita serahkan kepada Mat Sabu," katanya.

Pemuda Pas Perak turut bantu mangsa banjir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

IPOH -  Pemuda Pas Perak mula menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang sejak kelmarin.

Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, beberapa kumpulan digerakkan ke kawasan bencana dengan membawa pelbagai barangan keperluan untuk mangsa banjir.

Beliau berkata, sebanyak dua lori barangan berjaya dikumpulkan dari lapan pusat pengumpulan di seluruh Perak.

"Untuk kumpulan pertama seramai 20 petugas sudah pergi semalam (kelmarin) dengan membawa barang-barang dikumpulkan.

"Kita akan bawa lagi beberapa barang bantuan melalui kumpulan berikutnya bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selain bantuan barangan keperluan, Pemuda Pas Perak melalui Unit Amalnya juga turut membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Katanya, Unit Amal juga mempunyai dua bot yang sekiranya diperlukan akan dibawa ke sana bagi tujuan menyelamat dan penghantaran barang-barang.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya memberi tumpuan banjir di Pahang walaupun terdapat negeri-negeri lain yang dilanda banjir.

Namun katanya, jika diperlukan oleh negeri-negeri lain, Pemuda Pas Perak sedia berkhidmat membantu mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Tidak wajar politik isu banjir

Oleh: RIDAUDDIN DAUD

Tarikh: December 9, 2013

SUNGAI SIPUT - "Janganlah politikkan isu rakyat (isu banjir). Banyak lagi isu lain kita boleh berpolitik. Bila timbul isu rakyat, kita perlu fokus dan bantu mereka sebaik mungkin."

Demikian luah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar ketika ditanya pandangan beliau berkenaan usul banjir yang dibawa ke Parlimen baru-baru ini.

Beliau ternyata kecewa dengan tindakan beberapa wakil rakyat yang seolah-olah menyindir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh apabila beliau membawa usul tergempar banjir di Parlimen baru-baru ini.

Jeyakumar berkata, tindakan wakil rakyat yang menyindir Fuziah adalah tidak wajar dan memperlihatkan mereka tidak fokus terhadap isu dibawa Ahli Parlimen Kuantan itu.

"Saya ada dalam dewan pada masa itu. Apabila Fuziah membawa usul tergempar banjir ke dewan, ada beberapa Ahli Parlimen menyindir beliau dan berkata kenapa Fuziah tidak berada di sana sebaliknya membawa isu itu ke Parlimen.

"Kalau pun Fuziah ke sana (Kuantan), beliau tidak mampu membantu banyak. Jadi, usul dibawa untuk meminta campur tangan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

"Isu banjir adalah isu rakyat. Kita tidak harus mempolitikkan isu ini dan sepatutnya memberi bantuan sebaik mungkin kepada mangsa bencana," katanya kepada media selepas melancarkan Tabung Bencana Banjir peringkat Parlimen Sungai Siput, di sini, semalam.

Jeyakumar memuji sikap penduduk Sungai Siput yang dilihat prihatin dengan nasib menimpa rakyat di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Menurutnya, sumbangan diterima agak baik dan hampir semua pihak ditemuinya tidak kedekut untuk memberikan sumbangan.

"Saya bangga dengan keprihatinan penduduk Sungai Siput yang mengambil bahagian dalam menyalurkan sumbangan kepada tabung yang kita lancarkan.

"Kita akan hantar wang ini ke kawasan terjejas dengan segera dan mungkin kita akan berhubung secara terus dengan pemimpin di sana bagi menyampaikan bantuan ini," katanya.

Mangsa berkelakuan aneh sebelum temui ajal

Oleh: SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

Tarikh: December 9, 2013

PERAK - Mayat seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun yang sebelum ini dikhuatiri lemas di Parit 1 Sungai Sumun, di sini, ditemui tersangkut pada pokok mempelam, kira-kira jam 3.20 petang semalam.

Mangsa, Mohd Haikal Fathurasidin, 11, anak sulung daripada dua beradik dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dalam parit ketika mahu memasang  jaring bersama seorang rakannya, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, rakannya yang dikenali sebagai Sham pulang ke rumah dan tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai insiden itu.

Bapa mangsa, Fathurasidin Mohamed Rafez, 39, berkata, dia yang baru pulang dari bekerja pada kira-kira jam 3 petang tidak sedap hati apabila mendapati Mohd Haikal tiada di rumah.

"Saya terus ke rumah rakannya dan bertanyakan mengenai Mohd Haikal, namun dia seperti takut-takut.

"Selepas didesak beberapa kali, baru dia beritahu perkara sebenar yang anak saya terjatuh dalam parit ketika mahu pasang jaring," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI), petang semalam.

Fathurasidin berkata, dia bersama beberapa penduduk bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai selipar serta kemeja anaknya di tebing parit.

"Kami terus cari Mohd Haikal di sekitar tempat dia dikatakan tergelincir, tapi malangnya dia tidak dijumpai sebelum laporan polis dibuat," katanya.

Berselera makan

Fathurasidin berkata, Mohd Haikal begitu berselera dan makan terlalu kerap sejak beberapa hari lalu.

Malah, menurutnya, Mohd Haikal turut meminta untuk tidur bersebelahan ibunya, Salmiah Ghazali, 30, malam kelmarin.

"Kebiasaannya, isteri akan suruh Mohd Haikal tidur berasingan, namun malam kelmarin, dia benarkan arwah tidur bersebelahannya.

"Pada hari kejadian juga, arwah tidak bersarapan dan dia ada minta izin untuk jumpa rakannya. Kami benarkan dan dia terus keluar sementara saya pergi bekerja," katanya yang reda dengan pemergian anaknya itu dan menganggapnya takdir ALLAH SWT.

Hanyut sejauh 3km

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Perak Selatan, Dr Abd Samad Hashim berkata, satu pasukan mencari ditubuhkan sejurus menerima maklumat kejadian itu lewat petang kelmarin.

"Seramai 30 anggota bomba dan penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan badan amal terbabit dalam gerakan mencari mangsa di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, kita terpaksa menangguhkan operasi kira-kira jam 1 pagi semalam (kelmarin) sebelum meneruskan semula jam 8 pagi tadi (semalam)," katanya.

Difahamkan operasi ditamatkan sejurus mayat mangsa ditemui tiga kilometer (km) dari tempat dia terjatuh kira-kira iaitu pada 3.20 petang semalam, .

Mayat mangsa dibawa ke HTI untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan

Minta sedekah di pasar, pulang naik motosikal

Oleh: SHAIFUL AZHAR MOHD ALI

Tarikh: December 9, 2013

KULIM - Pengerusi Persatuan Pengguna Kulim, Mohd Zailan Hashim meminta orang ramai supaya jangan tertipu dengan kemiskinan dialami pengemis di beberapa lokasi terutama di pasar malam.

Menurutnya, dia telah mengesan seorang lelaki berusia 50-an yang tinggal di sebuah kampung di sini menjadikan kerjaya mengemis untuk memperoleh wang.

Katanya, pembabitan lelaki ini terbongkar apabila kebanyakan penduduk di kampung bercerita mengenai aktiviti dilakukannya.

"Selepas mendapat maklumat, saya ke Pasar Awam Kulim untuk menyaksikan penipuan yang dilakukan individu terlibat. Kami kemudiannya mengekori pengemis itu sebaik sahaja selesai menjalankan tugasnya.

"Dia berjalan ke belakang bangunan yang berdekatan dan balik ke rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5. Selain pasar awam, saya turut menemui lelaki ini di pasar malam," katanya.

Menurutnya, pengemis tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas kebaikan penduduk Kulim yang sedia memberikan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

"Saya meminta agensi kerajaan terlibat supaya memantau masalah ini dari terus merebak kepada golongan muda.

"Cuba kita bayangkan setiap pagi seorang pengemis mampu memperoleh RM30 setiap hari, maka pendapatannya lebih kurang RM900 sebulan dan ini meletakkan dia pada golongan bukan berpendapatan rendah atau miskin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pekida Labu Besar, Ahmad Nordin Ismail berkata, masyarakat Kulim sedia membantu siapa sahaja dalam kesusahan terutama pengemis yang selalu mengunjungi kedai makan pada waktu tengah hari.
Menurutnya, sesiapa sahaja akan berasa terpanggil apabila ternampak seorang pengemis berdiri dalam keadaan lapar.

"Bagaimanapun, sekiranya mereka ini benar-benar hidup merempat, kita boleh memberikan bantuan dengan mengadu masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka dapat ditempatkan di rumah perlindungan.

"Setiap kali mendapat nasi bungkus daripada orang ramai, mereka akan diberi makan nasi lauk ayam dan air sirap. Apa yang mereka makan lebih mewah dari makanan yang mampu dibeli seorang buruh," katanya.

Pegawai JKM Daerah Kulim, Md Nor Mohamad berkata, pengemis yang melakukan aktiviti mereka di khalayak ramai boleh ditahan melalui peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, pengemis boleh ditahan mengikut Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977, dan mereka boleh ditahan selama sebulan.

"Sekiranya JKM mendapati individu terlibat memang seorang pengemis dan tidak mempunyai saudara mara dan berusia melebihi 60 tahun, JKM akan menempatkan mereka di Rumah Seri Kenangan di Bedong, Kedah.

"Bagi mereka yang menipu atau melakukan aktiviti ini sebagai satu kerjaya, JKM boleh menahan mereka di bawah Seksyen 3(4). Sekiranya individu itu berusia di bawah 60 tahun, mereka akan ditahan selama tiga tahun di mana-mana Rumah Seri Kenangan," katanya.

Menurutnya, JKM akan menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan pengemis di Kulim dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya dapat memaklumkan kepada pejabat JKM Daerah Kulim dengan seberapa segera.

Padah miliki pistol tiruan

Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tarikh: December 9, 2013

SUNGAI PETANI - Polis menahan dua lelaki dalam operasi berasingan dipercayai menggunakan pistol tiruan untuk menjalankan kegiatan jenayah sekitar daerah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pada 6 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki dalam Ops Cantas di Taman Suria, Gurun bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Camry.

Menurutnya, suspek 24 tahun berasal dari Pendang, Kedah dan dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah sekitar daerah ini.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta terbabit mendapati terdapat sepucuk pistol dipercayai tiruan, selain dua bilah parang dan satu gergaji besi," katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Perkhidmatan Cemerlang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, semalam.

Menurut Khalil, kenderaan yang digunakan suspek bersangkut paut dengan kecurian yang dilaporkan di Simpang Ampat, Taiping, November lalu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta terbabit turut menemui enam paket plastik dipercayai dadah jenis syabu," katanya.

Menurut Khalil, polis turut menemui satu komputer riba, dua jam tangan, satu telefon bimbit, Ipad, dua walkie talkie, satu T baton, dua keping nombor plat kenderaan, empat kunci kereta, kalendar, peralatan pecah rumah dan tong pemadam api.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di Amanjaya, polis menahan seorang lelaki 20-an yang memiliki pistol dipercayai tiruan dalam serbuan yang dilakukan baru-baru ini.

Khalil berkata, pemeriksaan ke atas lori yang diletakkan berhampiran sebuah pasaraya di Amanjaya menemui sepucuk pistol dipercayai tiruan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam dua kes berasingan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan dan polis percaya individu ini menggunakan pistol tiruan untuk melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah ini atau bertujuan menakut-nakutkan orang ramai bagi tujuan itu.

"Kita masih memburu ahli kumpulan atau geng sama yang terbabit dalam kes sama," katanya.

Menurut beliau, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan polis.

Dalam perkembangan berbeza, Khalil berkata, seramai 56 individu termasuk orang awam, pegawai dan anggota menerima sijil penghargaan atas perkhidmatan cemerlang pada 2012.

"Ini adalah pengiktirafan atas prestasi yang ditonjolkan dalam membantu polis mencegah jenayah," katanya.

Pusat hemodialisis ditutup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

GEORGETOWN - Akibat gagal memperbaharui lesen, sebuah pusat hemodialisis swasta di Sungai Tiram diarahkan tutup selepas diserbu pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, pusat berkenaan didapati tidak mematuhi arahan pada notis yang dikeluarkan sebelum ini.

Difahamkan, lesen pusat berkenaan tamat pada 28 September lalu dan tiga notis pemberitahuan termasuk arahan pemberhentian operasi dikeluarkan sejak enam bulan lalu namun tiada sebarang maklum balas daripada pemiliknya.

Ketika serbuan, semua pekerja dan pesakit di dalam pusat itu tercengang apabila mengetahui kehadiran pegawai KKM dan seorang pekerjanya pula dilihat sedang menangis teresak-esak.
Menurut sumber, ketika serbuan empat pesakit sedang menerima rawatan termasuk seorang yang sedang menunggu giliran.

Beliau berkata, intipan yang dijalankan sejak dua minggu lalu mendapati pusat berkenaan yang menjalani rawatan gantian ginjal itu masih menjalankan operasi secara haram dengan menggunakan pintu premis bahagian belakang.

"Mereka guna pintu belakang elak dikesan," katanya.

Kenaikan 35 hingga 100 peratus bebankan peniaga

Oleh: AMRAN ALI

Tarikh: December 9, 2013

BANDARAYA MELAKA - Dewan Pemuda Pas Melaka membantah kadar kenaikan baharu lesen perniagaan yang diputuskan oleh kerajaan negeri, baru-baru ini.

Sambil merasakan ia amat membebankan rakyat, Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Jauhar Md Dawi berkata, kadar kenaikan di antara 35 hingga 100 peratus itu sungguh tidak wajar.

"Tinjauan kami di beberapa premis sekitar Jalan Hang Tuah mendapati kenaikan bayaran lesen perniagaan di antara 35 sehingga 100 peratus membangkitkan keluhan dan kekecewaan warga peniaga.

"Ia sudah pasti memberikan tekanan kepada peniaga yang bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barang secara mendadak," katanya selepas melakukan tinjauan itu di sini, semalam.

Beliau berkata, kenaikan tersebut sebagai tidak munasabah bahkan akan memberi kesan terhadap masyarakat.

"Dewan Pemuda Pas negeri mengingatkan kepada kerajaan negeri supaya melaksanakan amanah dan mandat daripada rakyat dengan baik serta dapat memberikan maslahat kepada rakyat.

"Jika perkara ini tidak diendahkan, Dewan Pemuda akan meneruskan usaha-usaha pembongkaran ketirisan dan penindasan kerajaan negeri terhadap rakyat.

"Ingatlah pemimpin adalah khadam kepada rakyat, laksanakanlah amanah ini dengan sempurna dan dapat membawa kebaikan bersama," katanya.

Bayi dua bulan terselamat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

REMBAU – Seorang bayi berusia dua bulan terselamat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu datuknya terbabas ke kanan jalan selepas mengelak anjing di kilometer 38, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, bayi berkenaan, Kisya Irdina Abu Suffin yang menangis selepas kejadian dikejarkan ke Hospital Tampin oleh orang awam.

Menurut salah seorang mangsa, Nabila Syahira Mohd Ali, 17, ketika kejadian dia bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke rumah saudara mereka di Chembong, Rembau.

"Ketika itu, saya terlelap seketika sebelum terdengar mak, Mariani Mohd Yassin, 50, menjerit 'abang' ke arah ayah saya, Mohd Ali Md Kasim, 52. Sedar-sedar sahaja kami sudah terbabas ke kanan jalan dan separuh kereta di dalam longkang.

"Mujur semasa kejadian, mak memegang erat anak buah saya yang baharu berusia dua bulan. Saya bersama kakak, Fatin Nadhirah Mohd Ali, 21, duduk di belakang," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Ishak Jamaludin, 23, ketika kejadian, dia sedang mengisi minyak kereta pelanggan dan terdengar bunyi dentuman sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Persona terseret di dalam longkang.
"Saya dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran terus berkejar ke kereta berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.

"Jika diikutkan memang di kawasan ini sudah banyak berlaku kemalangan, namun ini baharu pertama kali membabitkan tembok keluar kawasan pam minyak Petronas Kota dirempuh," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan dan terheret kira-kira empat meter di dalam longkang.  Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Guru silat ditemui lemas di tasik ketika bercuti

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: December 9, 2013

MELAKA - Seolah-olah mengetahui dia akan pergi meninggalkan keluarga selama-lamanya, seorang peneroka membahagi-bahagikan harta kepada isteri dan anak-anak sebulan yang lalu.

Dia yang juga guru silat sempat mengemas barang dan membersihkan kawasan tanaman di sebelah rumahnya di Felda Chini 3, Pekan, Pahang sebelum meminta anak-anak membawanya ke Pulau Besar, di sini, untuk bertemu seorang rakan.

Bagaimanapun, Mahmuddin Sarjah, 58, ditemui mati dipercayai lemas kira-kira jam 11.10 pagi oleh anggota bomba di sebuah tasik di kawasan pulau berkenaan berhampiran chalet penginapan dia dan enam ahli keluarganya yang lain sejak kelmarin.

Menurut anak Mahmuddin, Fadil 34, mereka sekeluarga yang mendaftar masuk ke chalet berkenaan jam 8 malam, Sabtu lalu merancang untuk bersarapan bersama jam 8 pagi, semalam.

"Ayah yang sudah siap sedang menunggu kami di tangga luar chalet adik perempuan saya, Maharom, 29, bagaimanapun selepas adik keluar, dia melihat ayah sudah tiada di situ.

"Tidak berapa lama kemudian datang seorang lelaki dipercayai kakitangan chalet memaklumkan seorang lelaki lemas di tasik yang jaraknya kira-kira 18 minit berjalan kaki," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Fadil berkata, dia turut bergegas ke lokasi setelah dimaklumkan adiknya dan melihat sepasang selipar dan jam milik ayah berada di kawasan berhampiran.

"Terdapat seorang saksi yang menegur ayah bertanyakan ke mana hendak pergi sebelum ayah menjawab mahu ke tasik dan lelaki berkenaan melihat ayah menanggalkan selipar dan jam lalu terus masuk ke tasik," katanya.

Menurut Fadil, dia bersama Maharom, ibu tiri, Aminah Lebai Bagus, 60, dan seorang rakan serta isteri rakannya pergi ke pulau berkenaan selepas ayahnya menyatakan hasrat mahu bertemu seorang rakan.

"Ketika sampai di sini, dia ada cakap, dia sudah berjumpa rakannya dan mahu duduk seminggu di pulau itu.

"Tetapi saya tidak bersetuju dan menyuruhnya mengikut kami pulang ke Pahang hari ini (semalam)," katanya.

Aminah berkata, suami yang dinikahinya lima tahun lalu itu menunjukkan banyak perubahan termasuk mengajak balik ke kampung di Sijangkang, Selangor.

"Malam tadi (kelmarin) juga dia tidak dapat tidur kerana gelisah. Dia juga asyik mengikat joran yang dibawa bersama dari Pahang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.40 pagi sebelum bergerak bersama-sama 17 anggota polis, polis marin, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, kami menghubungi pasukan polis Marin, bomba dan APMM dari Kuala Linggi bagi membantu kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang dipercayai lemas di tasik berhampiran kawasan chalet dan banglo di Pulau Besar," katanya.

Katanya, mangsa bersama sepasukan penyelamat dibawa ke darat menaiki bot polis marin dan APMM sebelum dihantar ke Hospital Melaka. Kes diklasifikasikan mati mengejut.

Lima buah motosikal terbakar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

SHAH ALAM - Penghuni Blok 48, Flat PKNS di Jalan Plumbum gempar apabila lima buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir di situ terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mengakibatkan sebuah motosikal jenis skuter musnah terbakar, manakala sebuah motosikal Yamaha LC, Honda EX5, Honda Air Blade dan Honda Icon rosak.

Menurut salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising di bawah blok.

"Saya bingkas bangun, apabila turun dari rumah didapati sebuah motosikal yang diletakkan di parkir itu telah hangus terbakar, mujurlah motosikal milik saya yang berada di kawasan parkir yang sama tidak terjejas," katanya.

Jelasnya, kejadian kebakaran itu pertama kali berlaku di flat berkenaan  dan  tidak pasti sama ada kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.20 pagi.

"Seramai 12 anggota Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba ke lokasi dan api dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian," katanya.

Beliau berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Detik cemas bersalin dalam kereta

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

TAMPIN – Seorang suri rumah menghadapi detik cemas apabila melahirkan anak di dalam kereta di perkarangan Hospital Tampin, di sini, semalam.

Nurul Huda Abdullah Nanang, 30, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.65 Kilogram kira-kira jam 8.30 pagi.

Menceritakan detik cemas itu, Nurul Huda yang tinggal di Rumah Rakyat Kuala Ina, dekat sini, berkata, dia tidak menyangka akan melahirkan anak di dalam kereta sebelum sempat memasuki bilik bersalin hospital.

"Saya dijangka bersalin pada 13 Disember tetapi sejak malam tadi saya berasa sakit perut, namun tidak menyangka itu petanda mahu bersalin.

"Kira-kira jam 6.30 pagi tadi saya berasa sakit lagi di bahagian perut dan meminta suami, Zamri Abdul Rahman, 33, menghantar ke hospital," katanya kepada pemberita di Hospital Tampin, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke hospital, secara tiba-tiba air ketuban pecah dan berlaku kontraksi bersalin.

"Sebaik tiba di perkarangan hospital, saya merasakan kepala bayi sudah mahu keluar dan meminta suami segera memanggil jururawat serta doktor.

"Ketika suami meminta bantuan jururawat, separuh badan anak saya sudah keluar dan saya segera menarik anak keluar dari bukaan rahim," katanya.

Nurul Huda berkata, sejurus menarik anak keluar, kelihatan tali pusat terbelit di bahagian leher bayinya itu.

"Saya segera membetulkan tali pusat bagi mengelak anak lemas sebelum mendakapnya di dada.

"Hati saya berasa lega sebaik mendengar tangisannya dan segera mengucup dahinya," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian berlaku amat pantas dan suaminya turut terperanjat melihat bayi berada dalam dakapannya.

"Suami dan jururawat segera membantu saya memotong tali pusat anak sebelum membawa saya ke dalam hospital untuk rawatan lanjut.

"Alhamdulillah selepas pemeriksaan doktor mengesahkan saya dan anak selamat walaupun bersalin secara sendirian," katanya.

Empat individu cedera

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

REMBAU – Empat individu cedera selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pengadang jalan di kilometer 24.2, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tampin oleh orang awam.

Saksi kejadian, Nor Khairiyah Mohd Yusof, 47, berkata, ketika kejadian, dia sedang berborak bersama ahli keluarga di kawsan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan terus meninjau ke arah jalan.

Menurutnya, ketika itu, mereka sekeluarga sememangnya sudah mengagak berlakunya kemalangan berikutan sejak mendiami lokasi berkenaan 20 tahun lalu, kemalangan sering berlaku.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini, kesemua mangsa belum membuat laporan polis susulan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Perompak jirat Cina dicekup

Oleh: AMRULLAH ABDUL KARIM

Tarikh: December 9, 2013

KUALA KUBU BHARU - Polis menangkap 10 lelaki berusia lingkungan 14 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes empat jirat Cina yang digali di tanah perkuburan Rasa dan Kerling.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zulkifli Bedin berkata, kesemua suspek ditangkap sekitar Rasa dan Kuala Kubu Bharu pada petang dan malam kelmarin.

"Tangkapan pertama dibuat jam 7 petang di Desa Rening, Rasa, kemudian kita menangkap perancang utama kes ini di Dataran Kuala Kubu Bharu jam 10 malam.

"Sekitar jam 11.50 malam hari yang sama kita menangkap beberapa orang lagi di kawasan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu menjadikan 10 suspek kesemuanya yang berusia antara 14 hingga 26 tahun," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, kesemua suspek direman bermula semalam namun beliau tidak mengesahkan tempoh reman yang dikenakan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek melakukan perkara tersebut bersama, namun dipercayai pada hari berlainan.

Menurutnya, kejadian pertama dilaporkan berlaku 30 November lalu berdasarkan laporan polis dibuat salah seorang pengadu dan kes itu berlaku di Kerling.

Katanya, dua lagi laporan polis dibuat pada 6 Disember lalu membabitkan empat jirat di tanah perkuburan Cina Rasa.

"Tindakan suspek ini terpengaruh oleh laman internet di mana mereka mendapat maklumat mengatakan terdapat barangan kemas, barang berharga atau barang kesayangan yang ditanam dalam jirat tersebut.

"Namun daripada pengakuan suspek mereka tidak dapat apa-apa hasil daripada perbuatan itu," katanya.

Menurutnya, ada di antara suspek  adalah pelajar di sebuah sekolah menengah dalam daerah ini.

Zulkifli berkata, dengan tertangkapnya 10 suspek berkenaan beliau percaya kes tersebut dapat diselesaikan.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan lima jirat Cina digali di dua tanah perkuburan Cina di Rasa dan Kerling di mana dua daripada jirat tersebut masih terbuka dan dibiarkan terdedah.

Kejadian tersebut mengejutkan penduduk kampung dan kesal dengan tindakan penjenayah kerana kesemua jirat digali sehingga ke dasar tanah malah terdapat keranda yang telah dipecahkan.

Bengang jalan awam ditutup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

BANGI - Penduduk Seksyen 1, 2 dan 3 di sini terus mempersoalkan tindakan meletak halangan pagar keselamatan di jalan pintas yang menghubungkan mereka dengan klinik, kedai dan kemudahan lain di kawasan Seksyen 3 Tambahan.

Difahamkan, pagar keselamatan berkenaan dibina oleh penduduk di kawasan Bangi Mutiara sejak dua tahun lalu.

Penduduk juga meluahkan rasa tidak puas hari apabila turut dihalau pengawal keselamatan warga asing apabila meminta kebenaran untuk melalui jalan itu.

Setelah isu berkenaan dibangkitkan beberapa bulan lalu, barulah penduduk kemudian dibenarkan menggunakan jalan awam itu, namun ia masih dihalang oleh palang keselamatan setiap masa.

Tak dapat kelulusan MPKj

Wakil penduduk, Kamariah Mohd Yusof, 63, berkata, dia sudah merujuk kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang kemudian memaklumkan Jalan 1/3 adalah jalan awam dan boleh digunakan sesiapa sahaja.

Dalam surat bertarikh 4 September lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyatakan penutupan jalan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada MPKj.

PBT itu sudah mengeluarkan arahan supaya pihak berkenaan membuka kembali jalan dan membenarkan laluan kepada kenderaan awam serta-merta.

Bagaimanapun, dua minggu lalu, katanya, dia terkejut melihat papan tanda dinaikkan MPKj berdekatan jalan masuk yang ditutup memberitahu persatuan penduduk taman berkenaan sudah membuat permohonan kebenaran pembinaan pagar keselamatan di tiga lokasi.

Dalam papan pemberitahuan itu menyatakan sekiranya ada bantahan ia perlu dibuat kepada MPKj sebelum 14 Disember ini.

"Persoalannya kini, jika permohonan masih belum lulus, kenapa MPKj tidak arah pihak itu roboh dahulu pagar keselamatan sehingga kebenaran diberi?

"Pihak itu beri alasan kes curi berleluasa menjadi punca mereka terpaksa pasang halangan keselamatan di kawasan perumahan itu. Tetapi adakah kami yang tinggal di perumahan bawah tidak berdepan kes jenayah? Rumah saya sendiri pernah dirompak, pisau diacu di leher dan barang berharga dilarikan, tetapi saya tidak pula menutup mana-mana jalan awam untuk kepentingan sendiri," katanya.

Laluan mudah untuk warga emas

Seorang lagi penduduk, Mimi Nora Mansor, 64, berkata, jalan berkenaan sudah digunakan sejak lima tahun lalu dan penting kepada warga emas sepertinya yang memandu untuk ke kedai dan klinik.

Jelasnya, kawasan berkenaan majoritinya dihuni pesara yang sudah tentu lebih mudah bagi mereka menggunakan jalan dalam perumahan berbanding jalan utama yang sibuk untuk ke lokasi berdekatan.

"Memang ada jalan lain tetapi kena pusing jauh, bila waktu kemuncak sesak pula, letihlah untuk kami yang sudah berumur berdepan kesesakan hanya untuk perjalanan yang dekat," katanya.

Tambahnya, pihaknya kini sedang mengumpul tandatangan dan akan membuat petisyen bantahan kepada pihak MPKj.

Seorang lagi penduduk, Ramlah Khalid, 66, berkata, pihak berkenaan memang tiada hak menutup jalan awam.

Menurutnya, jika bimbang mengenai keselamatan, pihak itu sepatutnya meletakkan pengawal keselamatan di lorong-lorong unit banglo, bukan menutup jalan awam.

"Perlu sama-sama bertolak ansur, mereka bebas keluar masuk menggunakan jalan di perumahan kami, tapi kami tak boleh gunakan laluan berdekatan perumahan mereka sedangkan jalan itu milik awam," katanya.

Tambahnya, dia sedikit pun tidak marah jika kelab golf membina pondok kawalan keselamatan kerana itu tanah persendirian tetapi janganlah mana-mana pihak menutup jalan awam kerana ia dibina untuk kegunaan bersama.

Tanah runtuh, pokok tumbang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

KUANTAN – Tidak sampai seminggu kejadian tanah runtuh di Lorong IM2/44, kini persimpangan Jalan 1M2/3 pula mengalami kejadian yang sama, malah lebih buruk lagi apabila sebatang pokok turut tumbang.

Penduduk, Kamariah Hassa, 50, berkata, keadaan jalan utama sepanjang jambatan Sungai Talam di sini membimbangkan penduduk setempat apabila kejadian tanah runtuh kerap berlaku.

Menurutnya, cuaca hujan  ketika ini telah menyebabkan struktur tanah mendap dan yang boleh mengakibatkan lebih banyak lagi kejadian tanah runtuh.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali jalan ini mendap dan pihak berkuasa hanya mengambil inisiatif menurap jalan dengan meletakkan batu kasar sahaja.

"Tetapi masalah tidak selesai apabila ia mendap semula dan akhirnya kejadian tanah runtuh ini berlaku.

"Mujur tiada kenderaan yang melalui jalan ini ketika kejadian kerana laluan ini boleh runtuh bila-bila masa sahaja berikutan keadaan tanah yang mendap," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap agar pihak berkuasa mengambil langkah yang lebih drastik bagi mengatasi masalah ini kerana laluan IM2/3 ini merupakan antara laluan utama penduduk dan juga pelajar sekolah.

Bagi Faridah Ibrahim, 46, kejadian tanah runtuh di depan rumahnya di Lorong IM2/44 ini memberi kesan kepada keluarganya.

"Selepas kejadian tanah runtuh itu, kami sekeluarga tidak boleh tidur lena. Bimbang jika kejadian ini berlaku lagi yang boleh menyebabkan rumah kami menyembah bumi.

"Melihat keadaan tanah yang curam ini menjadikan saya dan jiran-jiran berasa tidak selamat. Lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang hujan setiap hari.

"Saya harap agar jalan dan juga tebing Sungai Talam ini dapat ditambak semula dengan tanah untuk jaminan struktur yang lebih tahan," katanya.

Faridah berkata, aliran deras Sungai Talam ini boleh menyebabkan tebing sungai di kawasan itu runtuh sedikit demi sedikit.

"Jangan tunggu keadaan menjadi lebih teruk untuk bertindak kerana kami (penduduk) yang akan menjadi mangsa terlebih dahulu.

"Fikirkan cara yang sesuai untuk kami berasa selamat di sini agar tiada musibah yang tidak dingini berlaku," katanya.

Risau air naik kembali, cuaca tidak menentu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

KUALA LIPIS - "Walaupun air sudah kembali surut namun makcik sekeluarga tetap bimbang dan kami membuat keputusan untuk tinggal sementara di pusat pemindahan hingga keadaan benar-benar pulih.

Demikian kata seorang mangsa banjir, Kamariah Ismail, 51, ketika pulang sebentar ke rumah untuk meninjau keadaan kediamannya dan mengambil beberapa barang penting.

Kamariah berkata, kawasan sekitar rumahnya yang agak rendah dan mudah ditenggelami air membuatkan dia sekeluarga merasa lebih selamat untuk tinggal di pusat pemindahan berbanding di rumah sendiri.

"Cuaca sekarang tidak menentu. Walaupun air sudah surut namun itu tidak bermakna makcik boleh pulang dan tinggal di rumah.

"Bila-bila masa sahaja air boleh naik semula dan makcik bersama suami, Zaid Zainal Abidin, 52, serta anak Khairul Anuar,13, tidak mahu menanggung risiko bahaya sekiranya air naik secara mendadak terutama pada waktu malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lentang di sini, kelmarin.

Menceritakan detik-detik cemas yang dialaminya, Kamariah berkata, pada Rabu lalu ketika ingin menunaikan solat sunat tahajud dia melihat air banjir sudah memasuki kawasan hadapan rumahnya.

"Melihat keadaan itu, makcik segera memanggil suami serta anak untuk mengemas barang-barang rumah termasuk peti ais dan televisyen untuk diletakkan di tempat tinggi.

"Setelah memastikan semua barangan sudah berada di tempat yang selamat, kami sekeluarga bergegas keluar dari rumah untuk mendapatkan perlindungan di balai raya Kampung Lentang," katanya.

Siasat dakwaan barangan keperluan tidak cukup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 9, 2013

KUANTAN - Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail akan meminta pegawainya menyiasat dakwaan bahawa barang keperluan harian di pusat pemindahan banjir tidak diagihkan dengan betul.

Menurutnya, jika dakwaan itu benar, bekalan yang disimpan akan diuruskan pihaknya sendiri kepada mangsa yang memerlukan.

"Sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi untuk keperluan mangsa-mangsa di pusat pemindahan, kita akan meminta penambahan stok bekalan daripada kerajaan negeri," katanya di sini, semalam.

Beliau berharap, pihak yang diberi tanggungjawab untuk mengagihkan bekalan itu, menjalankan amanah yang diberi dengan telus.

Tambah beliau, bekalan yang ada untuk mangsa banjir mencukupi untuk menampung keperluan mereka, namun jika stok didapati berkurang, ia akan ditambah segera.

Sebelum ini ada pihak mendakwa  bekalan makanan dan barang-barang keperluan harian di pusat pemindahan banjir tidak diagihkan dengan telus oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh negeri berkurangan kepada 40,399 pada sebelah semalam semalam berbanding 40,819 orang pada jam 10 pagi semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga jam 6 petang kesemua mangsa daripada 11,872 keluarga itu ditempatkan di 149 pusat pemindahan dari 162 penempatan di sembilan daerah yang terjejas banjir.

"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 34,090 orang di 42 pusat pemindahan," katanya semalam.

Di Pekan, masih terdapat 3,385 mangsa di 31 pusat pemindahan, Temerloh (1,007 orang di 22 pusat pemindahan), Maran (921 di 19 pusat), Jerantut (505 di 11 pusat), Raub (213 di 10 pusat), Bera (193 di tujuh pusat), Lipis (49 di empat pusat) dan Rompin (36 di tiga pusat).

Dalam pada itu, hanya satu laluan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas air naik kira-kira satu meter di Km16 Jalan Temerloh-Bera, manakala Jalan Ubai- Cherok Paloh dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil.

Jamin bekalan ubat cukup

Oleh: NORHAFIZA MUSA

Tarikh: December 9, 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di hospital dan klinik terutama di daerah terjejas banjir  mencukupi.

Pengarahnya, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan ubat-ubatan dan jika perlu akan mendapatkannya di hospital dan klinik yang tidak terlibat banjir.

Menurutnya, sehingga kini lebih 1,000 mangsa banjir telah mendapat rawatan perubatan dan kesihatan di hospital atau pusat perubatan statik yang ditempatkan di pusat pemindahan terutama di Kemaman.

"JKNT telah menubuhkan 45 pasukan perubatan dan 51 pasukan kesihatan melibatkan kira-kira 400 pegawai perubatan, kesihatan dan kakitangan yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir untuk memudahkan bantuan perubatan diberikan kepada mangsa banjir.

"Di Kemaman ada sembilan pusat pemindahan dan pasukan perubatan dan kesihatan statik telah memulakan operasinya sejak 4 Disember lalu.  Pusat pemindahan yang melebihi 1,000 mangsa, JKNT menempatkan satu pasukan perubatan secara tetap yang akan bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima sumbangan bernilai kira-kira RM10,000 daripada Mydin Group di pasar raya tersebut untuk kakitangan hospital daerah Kemaman yang turut menjadi mangsa banjir.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Perubatan), Dr Mohamad Omar dan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Dr Mohd Jusoh.

Dr Anwa berkata, pihak jabatan belum memohon untuk mendapatkan pasukan perubatan dan kesihatan dari luar kerana masih berupaya menggunakan anggota dalam negeri, namun jabatan kesihatan negeri lain difahamkan bersiap sedia untuk membantu sekiranya perlu.

Katanya, buat masa ini belum ada penyakit bahaya yang dikesan seperti taun dan demam kepialu, tetapi kebanyakan mangsa banjir menerima rawatan penyakit ringan seperti sakit mata, batuk, demam, selesema dan gatal.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mangsa banjir supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, begitu juga dengan pusat pemindahan terutama di tempat memasak dan bahan yang digunakan, selain sampah dilupuskan dengan sempurna.

"Orang ramai yang ingin menyumbangkan makanan juga diminta berhati-hati dengan tempoh tamat barangan," katanya.

Sementara itu Dr Anwa berkata, seramai 137 orang termasuk 83 kakitangan Hospital Daerah Kemaman bersama keluarga masing-masing berpindah ke Dewan Seminar dan kuarters hospital setelah rumah mereka dinaiki air.

"Ia bagi memudahkan mereka bertugas walaupun (mereka) menjadi mangsa banjir tetapi tetap dapat menjalankan tugas seperti biasa," katanya.

Didapati bersalah rogol kekasih berusia 14 tahun

Oleh: ADILA SHARINNI WAHID

Tarikh: December 9, 2013

KOTA BHARU - Angkara melampiaskan nafsu buasnya terhadap kekasih yang baru berusia 14 tahun, seorang jurukimpal dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh yang berusia 31 tahun itu menukar pengakuannya.

Shah Shahry Harun dari Kampung Bukit Yong, Pasir Puteh, sepatutnya dibicarakan selepas menafikan tuduhan itu, namun menukar pengakuannya kepada bersalah, semalam.

Dia didakwa merogol remaja terbabit di sebuah rumah tanpa nombor di kampung sama pada jam 8 malam, 11 April lalu.

Ketika kejadian, mangsa berusia 14 tahun lima bulan. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan, merayu mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan dikenakan kerana mengaku salah, selain perlu menganggung ibu bapa yang tua.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf memohon hukuman setimpal dikenakan bersesuaian dengan jenayah serius dilakukan.

"Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sendiri, lebih-lebih lagi mangsa dalam kes ini baru sahaja berusia 14 tahun dan masih di bawah umur," katanya.

Sembilan cedera bas jatuh cerun

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI

Tarikh: December 9, 2013

KEMAMAN - "Saya rasa seperti mati hidup semula," kata Noh Daud, 54, yang cedera apabila bas dipandunya membawa 28 penumpang jatuh dan terbalik ke dalam cerun sedalam tiga meter dalam kejadian jam 3 pagi, semalam.

Kejadian di Kilometer 140.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal itu menyebabkan lapan penumpang turut cedera ringan.

Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Johor Bahru, Johor.

Noh berkata, bas yang dipandunya hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta yang cuba memotong sebuah lori dari arah bertentangan.

"Jarak kereta itu dengan bas saya sangat dekat jadi saya cuba elak dan akhirnya bas saya hilang kawalan lalu terhumban ke dalam cerun di tepi jalan sebelum terbalik.

"Saya keluar ikut pintu pemandu sementara penumpang keluar menerusi (pintu) kecemasan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Kemaman di Chukai.

Nahas berkenaan mengakibatkan Noh luka di dahi dan paha, sementara lapan penumpang yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment