Sunday, January 30, 2011

RG09... Israel cari kawan baru

Israel cari kawan baru



Oleh Aluf Benn – Haaretz (beritaislamglobal.blogspot.com – Original English version here)

Terhakisnya kuasa kerajaan Presiden Mesir Hosni Mubarak meninggalkan Israel, secara strategiknya, dalam keadaan tertekan. Tanpa Mubarak, bermakna tiada lagi sahabat yang tinggal di Timur Tengah; tahun lepas, Israel kehilangan Turki.

Mulai sekarang, ianya akan menjadi sukar buat Israel memberikan kepercayaan mereka kepada kerajaan Mesir yang terumbang-ambing akibat perselisihan dalaman. Semakin terpencilnya Israel di rantau itu, ditambah pula dengan kerajaan AS yang semakin lemah, akan memaksa mereka mencari dan memujuk sekutu baru yang dilihat berpotensi.

Selama ini, polisi luar IsraeI bergantung kepada rakan sekutunya di rantau itu yang menyumbangkan maklumat strategik semenjak tahun 1950 lagi. Rakan pertamanya adalah Peranchis, yang pada masa itu menguasai Afrika dan menyediakan senjata canggih dan keupayaan nuklear kepada Israel.

Selepas peperangan dengan Mesir pada 1956, David Ben-Gurion cuba mewujudkan kerjasama dengan negara-negara bukan Arab di rantau tersebut, termasuklah Iran, Turki dan Ethiopia. Shah Iran merupakan rakan sekutu utama Israel, yang membekalkan minyak dan wang sebagai tukaran daripada pembelian senjata. Angkatan tentera dan agensi perisikan negara-negara berkenaan bekerjasama menghadapi pemerintahan Presiden Mesir Gamal Abdel Nasser, yang dilihat sebagai ancaman utama kepada Israel dan kerajaan-kerajaan Arab yang pro-Barat.



Sekutu Israel seterusnya didahului dengan Raja Hussein dari Jordan dan Raja Hassan dari Maghribi. Kerjasama ini berlangsung secara rahsia, begitu juga hubungan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Kristian Lubnan. Lewat 1970an menyaksikan kejatuhan Shah Iran, dan lahir penggantinya iaitu negara republik Islam yang anti-Israel.

Pada waktu yang sama, Mesir dan Israel menamatkan konflik antara mereka dengan menandatangani perjanjian damai. Mesir meletakkan dirinya sebaris dengan Arab Saudi, sebagai ketua kem pro-Amerika.

Mubarak mewarisi perjanjian damai itu selepas pembunuhan Presiden Anwar Sadat. Mubarak bersikap dingin dalam hubungan awamnya dengan Israel, menolak untuk melawat negara itu kecuali ketika pengkebumian Yitzhak Rabin, yang mana ini melambatkan keserasian antara kedua-dua negara tersebut.

Hubungan antara Angkatan Pertahanan Israel dan tentera Mesir berjalan di peringkat rendah, tanpa latihan ketenteraan bersama. Golongan awam Mesir memusuhi Israel secara terbuka dan penggunaan istilah-istilah anti-semitik sudah menjadi lumrah. Hubungan sivil antara kedua-dua negara berkenaan berlangsung melalui pekerja-pekerja kerajaan serta ahli-ahli perniagaan.

Sekalipun begitu, "perdamaian yang dingin" dengan Mesir ini merupakan kerjasama strategik Israel paling penting di Timur Tengah. Keselamatan yang wujud hasil kerjasama itu memberi peluang kepada Israel untuk menumpukan aspek ketenteraan di perbatasan sebelah utara dan kawasan penempatan di sekitarnya. Bermula pada tahun 1985, perdamaian dengan Mesir membolehkan Israel memotong peruntukan pertahanan, yang sekaligus membantu membangunkan ekonomi.

Mubarak dilantik sebagai presiden ketika Israel diterajui oleh Menachim Begin, dan sejak itu beliau telah bekerjasama dengan lapan orang pemimpin Israel yang berbeza. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Yitzhak Rabin dan Benjamin Netanyahu. Dalam tempoh dua tahun yang lepas, sekalipun berlaku kegagalan dalam rundingan damai antara Israel dan Palestin dan memburukkan lagi hubungan antara Netanyahu dan dunia Arab, Mubarak telah bertindak menjadi tuan rumah kepada perdana menteri itu di Kaherah dan Sharm el-Sheikh.

Persahabatan antara Mubarak dan Netanyahu adalah diasaskan oleh kebimbangan antara kedua-duanya berhubung dengan pengukuhan dan peningkatan kuasa Islamis Iran, di samping kelemahan dan sikap menjauhkan diri kerajaan AS di bawah pimpinan Barack Obama.


Ketika ini, tatkala Mubarak bertungkus-lumus menyelamatkan kerajaannya, Israel hanya mempunyai dua rakan sekutu strategik di rantau berkenaan: Jordan dan Pihak Berkuasa Palestin. Kedua-dua rakan sekutu ini berjanji untuk menguatkan perbatasan Timur Israel dan juga berusaha menamatkan serangan ganas dan memperlahankan gerakan Hamas.

Tetapi hubungan Israel dengan dua rakan sekutu ini mempunyai komplikasi. Latihan keselamatan bersama berlangsung secara sederhana dan hubungan antara pemimpin tidak begitu baik. Raja Abdullah dari Jordan enggan bertemu Netanyahu, sementara Presiden Palestin Mahmoud Abbas sedang melancarkan gerakan diplomatik menentang kerajaan sayap-kiri Israel. Susah hendak dinyatakan bagaimana Jordan dan Pihak Berkuasa Palestin dapat mengisi peranan yang dimainkan Mesir untuk Israel.

Dalam situasi ini, Israel terpaksa berusaha mencari rakan-rakan sekutu yang baru. Calon-calon paling sesuai termasuklah Syria, yang sedang menggiatkan usaha untuk mengambil kesempatan atas kelemahan Mesir bagi menempatkan dirinya dalam kelompok negara-negara utama di rantau itu.


Imej-imej dari Kaherah dan Tunisia pastinya menggerunkan Presiden Syria Bashar Assad dan kroni-kroninya, sekalipun berjaya mencapai kejayaan mewujudkan kerajaan baru Lubnan yang disokong Hezbollah. Ketika mana dunia Arab ditenggelami gelombang protes anti-kerajaan, kini hanya tinggal Assad dan Netanyahu yang boleh dipertanggungjawabkan melindungi orde lama Timur Tengah.
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment