Monday, January 31, 2011

RG09... Abd Shukur: Ikhwan dipelawa sertai kerajaan baru

Abd Shukur: Ikhwan dipelawa sertai kerajaan baru
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com   \

Pertubuhan Ikhwanul-Muslimin (Ikhwan) Mesir yang berpengaruh itu dipelawa untuk menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak.

Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, Muhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu, di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

"Mereka (Ikhwanul Muslimin) adalah orang baik," katanya, "mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik dan mereka adalah rakyat Mesir yang setia."

El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militant Al-Qaeeda, kumpulan militant yang lain seperti di Iran dan di tempat lain. Beliau menjawab, "sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar."

Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya untuk memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.

"Bagi saya sudah tentu Ikhwan akan dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir kerana jamaah Islam itu sangat berpengaruh, orang baik dan terpelajar," katanya lagi.

Sekiranya kerajaan baru Mesir pimpinan El-Baradei itu menyertakan sekali jamaah Ikhwan, maka ini berbeza sekali dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan baru di Tunisia selepas Presiden Zein-Al-Abidin bin Ali digulingkan oleh satu  pemberontakan di Tunisia baru-baru ini.

Kerajaan baru itu sama sekali mengenepikan Ikhwanul-Muslimin Tunisia yang juga berperngaruh.

El-Baradei mendesak Amerika supaya 'meninggalkan' Hosni Mubarak dan jangan melibatkan diri dengan krisis di Mesir sekarang. Ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut menggesa supaya Hosni Mubarak dan kabenitnya meletakkan jawatan.

Sementara itu, pihak Ikhwan belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan El-Baradei itu, yang mungkin dianggap terlalu awal.

Tetapi dipercayai Ikhwan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan seperti ini berdasarkan pengalaman pahitnyan di masa lalu, di zaman rejim Gamal Abd Naseer dan Anwar Sadat yang pada awalnya menghulurkan kerjasama, tetapi akhirnya rejim tersebut membunuh dan menahan serta menyeksa beribu-ibu ahli Ikhwan hingga kini, di zaman Hosni Mubarak.

Muhamad El-Baradei mengkritik dasar Amerika di Asia Barat, termasuk dasar Barack Obama di Mesir, yang menurutnya sama sekali bettentangan dengan aspirasi rakyat Mesir menyebabkan dasar Amerika itu gagal sama sekali.

Sementara itu, sebuah kenyataan terkini dari pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Badie menyeru umat Islam di Mesir supaya bersatu, optimis kepada perjuangan ini.

Beliau menyeru umat Islam supaya bersedia menghadapi tindakan golongan penindas dan bersedia berjuang, berkorban untuk menjamin masa depan lebih baik.

Jika raskyat takut dan bimbang, kata Dr. Mohamed Badie, akan hanya menyebabkan berterusannya rasuah, kezaliman dan kemusnahan.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin itu menekankan bahawa inilah perjuangan dan pengorbanan yang perlu dibayar di mana kebebasan bersuara tidak akan diperoleh kecuali rakyat belajar untuk berjuang, menuntut hak asasi mereka.

Sheikh Badie menyeru semua umat Islam dan bangsa Arab menyuarakan bantahan mereka terhadap merebaknya gejala rasuah, tekanan terhadap kebebasan bersuara yang selama ini dianggap oleh rejim lama Mubarak sebagai tidak penting.

Kebebasan bersuara ini, menurutnya, perlu dilindungi dan pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menafikannya.

Baginya, rasuah yang kini terus berleluasa dilakukan oleh rejim dektator di mana rakyat mesti menentangnya.

Menurut pemimpin Ikwanul Muslimin itu, dunia Arab telah berada di bawah pemerintahan dektator yang bertujuan hanya untuk mengawal sepenuhnyan segala aspek, khususnya kekayaan negara di mana menyebabkan rakyat miskin, pengangguran, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kepura-puraan.

Pemimpin pemerintah Arab pula, kata beliau lagi, memerintah secara kuku besi dan mengawal kebangkitan rakyat untuk kesejahteraan raayat.

Pemimpin Ikhwan itu system pemerintaha dektator dunia Arab menyebabkan golongan yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin, tidak ada usaha melakukan perubahan.

Sementara itu, di tengah-tengah suasana pemberontakan di Mesir ini, ada suara kebimbangan amat sangat dari rejim Israel di Tel Aviv. Dalam satu temu ramahnya dengan CNN, bekas duta Isreal di Mesir, Eli Shaked memberitahu bahawa jika Hosni Mubarak digulingkan, dikhatirinya kumpulan Islam akan berkuasa dan akan bersikap keras terhadap Israel dan dunia Barat.

Sementara itu, dijangkakan lebih sejuta orang akan menyertai lagi tunjuk perasaan di Tahrir Square (Medan Kebebasan) di Kaherah dan beberapa tempat lain di mesir dalam beberapa jam lagi untuk menuntut rejim Hosni Mubarak meletak jawatan segera.

Kumpulan yang menggelar diri mereka 'Gerakan 6 April' merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak.

Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera. "Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini," kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Aljazeera.

Chanel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan.

Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis. Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunilkasi dengan Mesir telah terputus.

Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlambat.

 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment