Monday, January 31, 2011

RG09... Renungan : Muhasabah kekalahan PAS. ( Untuk ahli PAS )

PAS kalah kerana salah PAS Kawasan Labis!
Posted on Monday, January 31 @ 21:05:19 PST
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Pendapat
Oleh : Tulahan.
PRK Tenang baru berlabuh dengan catatan kemenangan BN bertambah majoriti. Kemenangan ini sebenarnya bukanlah boleh dibanggakan kerana hampir 50 % pengundi Tionghua tidak dapat keluar mengundi akibat bantuan pengangkutan ke tempat mengundi lebih bertumpu ke kawasan majoriti pengundi BN.

Walaupun begitu, majoriti BN tetap gagal melepasi 4000 undi jauh sekali 5000 undi. Positifnya, pengundi Tionghua tetap menolak BN walaupun Presiden MCA menghina Islam secara terbuka. Maksudnya, masyarakat Tionghua lebih memahami budaya Islam sejak DAP berkawan dengan PAS.


Menang tetap BN menang , PAS perlu membuat bedah siasat faktor-faktor kekalahan terutama kegagalan menambah undi di kawasan Melayu.

Walaupun ada tunding menunding tetapi penulis harap semua itu akan membawa impak positif kepada perjuangan PAS menghadapi PRU 13. Penulis tidak akan menghalakan tundingan kepada Pengarah Pilihanraya, jentera pilihanraya dan calonnya Cikgu Mala.

Penulis lebih menghalakan tundingan ini kepada PAS Kawasan Labis, bukan untuk memperkecilkan tetapi lebih kepada penambahbaikan sebagai persediaan menghadapi PRU 13. Malah , tulisan ini juga sesuai untuk semua PAS Kawasan yang ada di Malaysia yang teruja untuk bertanding dalam PRU 13.

Apabila PAS masuk bertanding untuk PRK Tenang, asas pemilihan PAS adalah kerusi itu adalah kerusi yang ditandingi PAS semasa PRU 12. Sebagaimana juga di Bagan Pinang, Galas, Kuala Terengganu, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bukit Gantang.

Tahukah kita mengapa PAS boleh menang di Permatang Pasir dan Bukit Gantang ? kerana undi orang Melayu kepada PAS disitu melebihi 40%. Apabila ditambah undi bukan Melayu , PAS menang.

Bagi kawasan majoriti Melayu di Kuala Terengganu dan Manek Urai undi yang PAS terima lebih 50% jadi PAS menang. PAS kalah di Galas kerana undi orang Melayu kepada PAS kurang 50%.

Berapakah undi orang Melayu yang diterima oleh PAS di Bagan Pinang dan Tenang ? kurang 35 % malah di Tenang kurang 25 % . Penulis terima hakikat bahawa kawasan ini kubu kuat Umno sejak merdeka tetapi apakah persediaan dan usaha yang telah dilakukan PAS Kawasan berkenaan untuk menembusi kubu kuat Umno ini.

Cawangan

Berapa cawangan PAS di Bagan Pinang ? 3, Berapa cawangan PAS di Tenang ? 6. Maaf jika angka itu salah. Sejak PRU 12, berapa cawangan yang ditambah oleh PAS Kawasan. Jika akar umbi tidak kuat bagaimana PAS boleh masuk ke kawasan kubu kuat Umno.

Bila berlaku pilihanraya, sukarnya petugas untuk berkempen kerana tiada bantuan orang tempatan. Mungkin ada tetapi takut sebab tidak ada cawangan dan tak biasa bersama dalam aktiviti PAS.

YDP PAS di mana-mana kawasan perlu jadikan usaha penambahan cawangan ini sebagai agenda dalam mesyuarat kawasan. Jangan tunggu bubar parlimen baru kelam kabut cari orang tempatan di kampung atau felda yang dikenali untuk bantu. Sepatutnya , sekaranglah masa kumpulkan orang tempatan yang sokong PAS dan usahakan penubuhan cawangan.

Pengundi baru

Berapa pengundi baru dikalangan anak ahli dan penyokong PAS yang didaftar sebagai pengundi di Bagan Pinang dan Tenang? mengecewakan, buktinya rujuk jumlah pengundi baru yang didaftarkan oleh PAS NS dan Johor.

Tidak adakah pengundi baru dikalangan anak ahli dan penyokong ? ada tetapi PAS Kawasan tak ambil berat untuk daftarkan. Bila sampai pilihanraya, tengoklah betapa ramainya anak ahli dan penyokong yang dah lebih umur 21 tahun tak boleh mengundi.

Sudah ada arahan supaya agenda penambahan pengundi baru dibincang dalam mesyuarat kawasan. Malah PAS dah pinda perlembagaan membolehkan seorang Pengarah Pilihanraya duduk dalam Jawatankuasa Harian Kawasan. Namun , sudah berjalankah usaha penambahan pengundi baru?

Kebajikan dan kemasyarakatan

PAS dah lama menjadikan usaha memasyarakatkan PAS untuk mendekati masyarakat. Semasa PRU 12, PAS telah menggunakan slogan ke arah negara berkebajikan bagi membuktikan bahawa PAS benar-benar parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Persoalannya, adakah PAS Kawasan sudah merealisasikannnya secara bersungguh-sungguh atau sekadar melepaskan batuk ditangga. Hendak tahu bersungguh atau tidak, tengok jumlah derma kebajikan yang telah diberikan kepada penduduk.

Tengok berapa kali aktiviti berbentuk kebajikan yang telah di buat kepada penduduk.Tengok berapa dana kebajikan dalam akaun. Nilailah sendiri usaha PAS Kawasan dalam bidang kebajikan.

Apabila tiba pilihanraya, baru turun nak bagi sumbangan sudah terlambat sebenarnya kerana tak termampu menandingi bantuan musuh. Malah akan ramai pengundi yang akan berkata, " bila pilihanraya baru nak bagi bantuan"

PAS Kawasan perlu menjadikan usaha kebajikan sebagai usaha dakwah dan bukan hanya bertujuan untuk pilihanraya. Oleh kerana , kebajikan hanya semasa pilihanrayalah kurang usaha menambah dana kebajikan membantu rakyat.

Rakyat perlu didampingi, dibantu dan didekati tidak kira semasa pilihanraya atau tidak. Jika PAS Kawasan sudah menjalankan usaha kebajikan sebagai rutin bukan hanya pilihanraya. PAS Kawasan tidak akan merasa hampa walaupun kalah pilihanraya kerana usaha membantu rakyat tetap diteruskan.

Jika PAS Kawasan menang pun, wakil rakyat tidaklah pening kepala membantu rakyat kerana PAS Kawasan boleh membantu. Malah , PAS Kawasan juga tidak pening kepala apabila rakyat tidak puas hati dengan wakil rakyat PAS yang tidak membantu rakyat kerana PAS Kawasan tetap ada membantu rakyat.

Penulis cuma berikan tiga perkara penting ini untuk diambil perhatian oleh mana-mana PAS Kawasan di Malaysia. Jika PAS Kawasan dah laksanakan , syukur dan tahniah. Bagi yang belum laksana buatlah kerana semua kerja ini bertujuan untuk menegakkan perjuangan Islam.

PAS mungkin bertanding di Merlimau, sebelum bertanding PAS Kawasan di sana kena tengok tiga perkara penting ini. Jika cawangan banyak, pengundi baru ramai, usaha kebajikan aktif . Percayalah PAS ada harapan besar menang, namun jika belum laksanakan jangan sekali - kali mengalah tak mahu bertanding. Bertanding tetap bertanding kerana itu kerusi PAS.

Kesempatan ini, penulis ucap tahniah kepada seluruh pimpinan dan petugas PAS yang menabur bakti di Tenang. PAS Kawasan Labis mempunyai pimpinan yang berkualiti seperti Cikgu Mala dan beberapa pimpinan lain. Cikgu Mala boleh mulakan dari sekarang usaha mendekati rakyat melalui Pusat Aduan Rakyat di Tenang. PAS Kawasan perlu bersama Cikgu Mala mengaktifkan Pusat Aduan berkenaan.

Janganlah anggap penulis ni hanya boleh berteori, hanya boleh menulis tidak di medan sebenar. Penulis sudah berada di medan sebab itulah penulis menulis berdasarkan pengalaman. Penulis dah banyak menulis berkenaan perkara di atas N3 yang lepas. Boleh baca semula paparan di bawah:

Sebulan terakhir jika PAS nak menang PRU 13PAS kena jadi kekasih baruBukan mudah nak urus cawangan
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment