Sunday, February 17, 2013

RG2011... Buku Bahasa Arab Mudah Mengembara Di Timur Tengah

 

1.1  Pentingnya Bahasa Arab

 

Pertama sekali ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para pembaca kerana telah memilih buku ini sebagai panduan untuk anda mempelajari asas perbualan bahasa Arab. Tahukah anda bahawa bahasa Arab merupakan bahasa yang kelima paling banyak digunakan berbanding dengan 6912 bahasa yang terdapat di seluruh dunia? Bahkan bahasa Arab merupakan kunci kepada segala ilmu termasuklah ilmu kalam Allah S.W.T. Fakta ini sahaja cukup jelas menyatakan betapa pentingnya bahasa Arab dalam kehidupan kita.

 

Pernahkah anda melihat sesetengah orang yang begitu menghayati bacaan ayat suci al-Quran sehingga menitiskan air mata dan kadang-kadang tersenyum bahagia ketika menyelak helaian demi helaian kitab suci itu? Mereka tidak akan mampu berbuat sedemikian sekiranya mereka tidak mempelajari bahasa al-Quran. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memajukan diri kita dengan mengenali bahasa syurga ini.

 

Beberapa bulan yang lalu, ibu telah membawa saya melancong ke Palestin dan Jordan. Di sana, saya kerap melihat situasi pelancong-pelancong dari Malaysia yang tidak mempunyai asas sedikit pun dalam bahasa Arab terpaksa berkomunikasi dalam bahasa isyarat dengan masyarakat Arab terutamanya apabila menghadapi masalah dengan pihak hotel ataupun ketika menawar harga barangan. Hasilnya mereka berasa susah dan terpaksa akur dengan harga barang yang mahal dan tidak berpatutan. Dari situlah saya mula merasakan betapa pentingnya untuk saya menghasilkan buku ini agar kita sama-sama mengetahui asas-asas bahasa Arab supaya kita mendapat keistimewaan sebagai pelancong dan dapat membawa diri ketika berada di sana kelak. Sebenarnya, masyarakat Arab sangat menghargai sesiapa yang mampu berbahasa Arab lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Cukup dengan beberapa perkataan bahasa Arab yang kita ucapkan, mereka pasti akan berminat dan menumpukan perhatian kepada kita berbanding dengan pelanggan lain.

 

Saya pernah bersembang dengan seorang chef di hotel tempat saya menginap ketika menziarahi Masjidil Aqsa, Palestin pada bulan April baru-baru ini dengan menegurnya dalam bahasa Arab ‘kaifa haluka ya sayyidi?’ yang bermaksud, ‘apa khabar wahai tuan?’. Lantas dia begitu terkejut dan terus bertanyakan latar belakang saya. Kami semakin rancak bersembang seolah-olah kami telah lama kenal! Walaupun saya tidak begitu fasih bertutur bahasa Arab seperti mereka, namun mereka faham dan menghormati usaha saya untuk cuba bertutur menggunakan bahasa mereka. Sambil bersembang dengannya, saya banyak mempelajari perkataan yang sering digunakan oleh masyarakat Arab sewaktu berbual selain mendapat beberapa resipi baharu masakan Arab.

 

Daripada beberapa orang rakan Arab yang saya kenali, saya dapat membuat kesimpulan bahawa masyarakat Arab sangat menghormati orang luar yang berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab dengan mereka walaupun tidak tepat dari segi tatabahasa. Malah, mereka akan memudahkan perkataan yang disebut untuk memudahkan pemahaman kita. Kini, saya masih berhubung dengan chef hotel tersebut. Dia merupakan seorang rakyat Palestin yang menetap di bandar Jerusalem bernama Jawdat Rayyan. Saya juga berkenalan dengan beberapa orang pelajar biomedik dari Universiti al-Quds di Jerusalem dan masih berhubung dengan mereka menerusi laman sosial Facebook. Seronok dapat menambah pengetahuan tentang bahasa Arab dan budaya masyarakat Arab. Mereka sangat mesra, gemar berkongsi ilmu yang ada walaupun tanpa diminta. Itulah budaya mulia masyarakat Arab terutamanya terhadap golongan yang seagama dengan mereka.

 

Namun begitu, penulisan buku ini bukan hanya terhad kepada golongan yang akan melancong ke Negara Arab dan Timur Tengah tetapi juga kepada mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji. Oleh itu, saya mengetengahkan satu kaedah yang paling mudah untuk pembaca berkomunikasi dalam bahasa Arab serta menarik minat pembaca untuk mempraktikkan bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Kaedah ini mungkin tidak begitu menitikberatkan kesempurnaan dari segi tatabahasa bahasa Arab kerana tujuan utamanya adalah untuk komunikasi. Dalam erti kata lain, saya mahu kaedah ini dapat memudahkan pembaca mempraktikkan bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kata ganti nama bagi ‘dia’ dalam bahasa Arab berbeza mengikut jantina dan bilangan orang, iaitu (Hua) bermaksud dia (seorang lelaki); (Hiya) bermaksud dia (seorang perempuan); (Huma) bermaksud dia (dua orang tidak kira jantina); (Hum) bermaksud mereka (banyak lelaki); (Hunna) bermaksud mereka (banyak perempuan). Namun begitu, masyarakat Arab sangat jarang menggunakan kalimah (Hunna) dalam kehidupan mereka. Oleh itu, bagi tujuan berkomunikasi anda perlu mengutamakan mesej yang ingin disampaikan tanpa terlalu teliti menyempurnakan tatabahasa dalam binaan ayat sehingga mengganggu kelancaran perbualan anda dengan masyarakat Arab.

 

1.2 Kenapa Perlu Praktis?

 

Bahasa sesuatu yang mudah hilang jika tidak digunakan dalam kehidupan. Banyak orang yang mempelajari bahasa Arab akan merasakan bahawa bahasa tersebut agak sukar. Hakikatnya mereka tidak berusaha untuk memulakan perbualan mereka dalam bahasa Arab. Ada juga yang memberikan alasan bahawa masyarakat Arab Mesir seumpamanya menggunakan gaya bahasa kampung yang sukar untuk difahami, sedangkan banyak lagi negara Arab lain yang menggunakan dan memahami bahasa Arab Fushah seperti yang kita pelajari di sekolah. Pernah saya bersembang dengan pemandu bas pelancong ketika berada di Mesir dua tahun dahulu yang bernama Soleh. Pada mulanya sukar untuk saya memahami bahasanya. Namun, dia cuba memperlahankan sebutan dan menyebut satu per satu perkataan dengan lebih jelas. Saya berasa sangat gembira dan bertuah kerana dapat bersembang dengannya lebih-lebih lagi sewaktu saya melancong di Mesir waktu itu telah berlaku krisis politik di negara mereka. Saya bukan sahaja memperoleh maklumat tentang keadaan di negara tersebut, gaya hidup dan budaya masyarakat Arab, malah saya telah mendapat seorang kawan baharu yang sangat mesra dan banyak mengajar saya tentang kehidupan.

 

“Al-‘il-mu bi-la ‘a-mal, kassya-ja-ro-ti bi-la tha-mar.”

Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah.

 

Begitulah kata-kata pujangga Arab yang begitu popular untuk menggambarkan betapa pentingnya suatu ilmu itu untuk diamalkan. Ilmu bahasa ibarat ilmu memasak. Tidak cukup sekadar membaca resipi dalam buku mahupun melalui Internet tanpa ke dapur dan memasak dengan sendiri. Begitu juga dengan bahasa Arab, perlu digunakan dalam kehidupan seharian walaupun sedikit. Cukuplah sekadar mempraktikkan dua ataupun tiga ayat dalam bahasa Arab semudah (Kaifa Haaluka/Haaluki) yang bermaksud ‘Apa khabar’ dengan rakan ataupun ahli keluarga sendiri. Anda pasti berasa seronok kerana mendapat satu lagi kemajuan terhadap diri anda. Lebih-lebih lagi terdapat beberapa huruf bahasa Arab yang agak sukar disebut bagi pertama kali yang menyebutnya dan perlu kepada latihan untuk membiasakan lidah dengan huruf-huruf tersebut seperti huruf Tsa’, Ha’, Kho’, Dhod, Tho’, Zho’, ‘Ain dan Dzal.

 

Bagi pembaca yang membeli buku ini sebagai persediaan untuk pergi melancong ke negara Arab dan Timur Tengah atau mengerjakan umrah atau haji, anda perlu mempraktikkan isi kandungan buku ini kerana setiap topik perbualan yang telah saya nukilkan dalam Bab 5 merupakan perbualan yang paling kerap digunakan ketika berada di sana. Anda tidak perlu risau kerana saya telah mencipta suatu kaedah yang paling mudah untuk menguasai perbualan bahasa Arab bersesuaian dengan budaya masyarakat Arab yang peramah dan perkataanperkataan yang biasa digunakan agar anda tidak tertanyatanya ketika berada di sana nanti. Namun, yang bakal menentukan kemampuan anda berbahasa Arab ialah kemahuan anda untuk menggunakan atau menyebut perkataan Arab dalam bab-bab selepas ini. Semakin anda rajin berlatih, semakin fasih lidah anda menyebut perkataan-perkataan Arab dan percakapan anda menjadi semakin mudah difahami.

 

Saya sering terkenang zaman kecil dahulu, saya sangat tidak meminati bahasa Arab. Bagi saya bahasa Arab adalah rumit dan menyusahkan pelajar sahaja malah saya tidak nampak keuntungan menguasai bahasa Arab. Sehinggalah ketika berusia 13 tahun, tidak semena-mena pada suatu hari guru kelas saya memanggil saya ke bilik guru. Dia menghulurkan borang untuk saya isi. Saya semakin hairan lalu mengambil dan membaca borang tersebut. Alangkah terkejutnya saya, guru tersebut menyuruh saya menyertai pertandingan Forum Bahasa Arab! Cemas sekali perasaan ketika itu, pelbagai alasan saya berikan namun guru berkata, “Kamu cuba sahaja, kalah tak apa”. Dengan hati yang berat, saya mengisi borang tersebut dan menyerahkan kepadanya. Saya dipaksa! Namun apakan daya, saya hadirkan diri juga ke latihan bersama dengan ustaz selama 7 hari berturut-turut. Lapan muka teks yang perlu saya hafal dan fahamkan. Namun begitu, semakin lama saya berasa semakin seronok kerana terpesona dengan keindahan sebutan bahasa Arab itu sendiri. Makna perkataannya juga indah dan mudah difahami. Rupa-rupanya baru saya tahu bahawa lebih kurang 1000 patah perkataan bahasa Melayu diambil daripada perkataan bahasa Arab. Perkara ini tidak menghairankan kerana bahasa Arab merupakan bahasa tertua di dunia. Semasa hari pertandingan, semua rakan saya terkejut dengan perubahan saya. Saya dapat menghafal teks sepenuhnya malah menambah beberapa perkataan ucapan dan kata-kata hikmah secara spontan di hadapan warga sekolah. Itulah kenangan yang tidak boleh dilupakan dan menjadi titik permulaan minat saya terhadap bahasa syurga ini. Saya memenangi tempat pertama mengalahkan senior-senior di sekolah saya.

 

Kini, saya mahu berkongsi bersama-sama anda tentang perasaan yang pernah saya rasai 10 tahun dahulu. Mungkin anda tertanya-tanya mengapakah saya menyatakan bahawa bahasa Arab ini bahasa yang indah? Hal ini demikian kerana bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan al-Quran merupakan mukjizat yang terbesar bagi umat Islam. Oleh itu, bahasa Arab ialah bahasa mukjizat! Tahukah anda, setiap huruf dan perkataan bahasa Arab sebenarnya mempengaruhi maksud yang telah termaktub sejak berkurun lamanya? Perhatikan perkataan Arab yang berbunyi  Shod – Ro – Kho. Apabila anda menyebutnya pasti anda dapat merasakan sebutan huruf dan bunyinya yang kasar malah keadaan bukaan mulut anda seolah-olah menjerit, bukan? Shod – Ro – Kho bermaksud menjerit. Perhatikan juga perkataan yang berbunyi Ha – Ma – Sa. Bunyinya halus, bukan? Huruf-huruf Ha , Ma dan Sa juga mudah disebut. Penggunaan huruf (sin) seolah-olah berbisik. Ha – Ma – Sa bermaksud berbisik.

 

Bukan dua perkataan sahaja, malah banyak lagi perkataan lain yang sangat kena pada maksudnya. Anda pasti seronok dapat bertutur menggunakannya tanpa bersusah payah mengikuti kelas bahasa Arab bertahun-tahun lamanya. Sememangnya tidak dinafi kan bahawa bahasa Arab agak rumit dari segi baris dan tatabahasanya. Namun sebagai permulaan, saya telah menghasilkan kaedah mempelajarinya melalui perbualan agar anda dapat bertutur dalam masa yang begitu singkat. Saya doakan semoga anda dapat manfaat dan meningkatkan diri setelah membaca buku ini dan mengamalkannya. Ingat, yang paling penting ialah praktis.

 

Maklumat lanjut berkenaan buku BAHASA ARAB MUDAH MENGEMBARA DI TIMUR TENGAH ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila hubungi Cik Nor di talian 03-90195303.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment